Pages

25 Mac 2012

Dia, Cinta Hati Saya 5

Bonus minggu ini : Dia, Cinta Hati Saya 5 ! Tetapi minggu hadapan saya bercuti dan semua manuskrip akan ditangguhkan sekejap. Maaf ya semua. Mr Pai Epal dan Yang Terindah akan dijadualkan bersambung pada minggu berikutnya.

Jangan rindu-rindu okey ! Jom layan kisah selanjutnya Majdina dan Zain ! Senyum comel-comel !


jung-il-woo-07



Hujan terus melebat. Guruh berdentum bersama kilat. Sesekali tubuh saya terasa mahu melayang-layang jatuh. Tetapi, kaki ini terus terpacak kuat. Menjadi gagah hanya kerana saya menantikan Zain dan kepala batu saya ini. Ya, saya memang kepala batu seperti yang papa selalu sebut-sebutkan !

Saya terbersin berkali-kali. Wajah Zain menerpa lagi. Mampukah saya menunggu bersama malam pekat yang menakutkan ini dan ditemani hujan yang terus membasahkan tubuh saya ini. Ada beberapa motorsikal lalu lalang sambil mereka bersiul-siul nakal. Kecut perut juga lantaran teringatkan beberapa kes rogol dan bunuh yang kerap terpapar di muka akhbar. Saya telan air liur dan kepala ini entah kenapa cuba mengingati beberapa doa yang pernah nenda Mariah ajarkan sewaktu kecil dahulu. Tapi sumpah, saya lupa ! Mati-mati saya lupa. Dan dalam keadaan sejuk menggigil ini barulah saya ingat bahawa Zain itu dipanggil bilal. Ya, bilal ! Bilal Zain ? Dan dahulu nenda Mariah selalu menyebut mengenai bilal. Tugas-tugas bilal dan imam juga pernah nenda Mariah ceritakan.

Sepantas kilat, saya cuba mengingati. Bilal itu bukankah kerjanya di surau-surau dan masjid ? Ya ! Juga yang mengalunkan azan jika masuknya waktu solat. Mata terkedip-kedip sambil mulut ini ternganga. Sumpah, saya lupa ! Adakah Zain itu seorang bilal dan kerjanya juga di pejabat pos ? Apa kerja tetap Zain itu sebenarnya ? Saya terus menggigil kesejukan. Hujan mencurah-curah lebatnya.

Saat ini fikiran terus memikirkan Zain. Meski saya tahu, Zain itu langsung tidak memandang saya dan memikirkan saya. Sedihnya, bukan ? Adakah seorang bilal itu, tidak memandang langsung saya yang cantik sebegini rupa ?

Ada sendu berlagu . Saya kesat air mata yang melimpah dan bercampur-campur dengan air hujan. Saya masih tegak memandang pejabat pos besar ini dengan perasaan yang sungguh luluh. Sungguh-sungguh sayu kerana saya tidak langsung diendahkan oleh Zain. Apa kekurangan saya di mata Zain ?

Sampai hati Zain memperlakukan saya sebegini rupa.

Saya menggigil lagi. Harus saya demam panas kerana Zain. Saya tunduk diam dengan jiwa kosong yang tiba-tiba menerpa. Kenapa saya bertindak sebegini bodoh dengan lelaki yang tidak langsung mengendahkan saya ? Kenapa saya lupa pulang ke rumah dan lupa dengan janji-janji saya berama Raihana, Juwita dan Linda ? Sepatutnya kami meraikan kejayaan Juwita yang berjaya menggoda seorang duda berpangkat dato. Meraikan kemenangan manis dengan terkinja-kinja menari keseronokan di kelab malam dan balik sehingga lewat pagi. Bukankah itu yang saya suka dan selalu menjadi tujuan hidup saya ?

“Kak Dina!” suara halus seorang gadis dekat di telinga ini. saya mendongak dan melihat sekaki payung sudah menjadi teman. Saya memandangnya dan kemudian mata menerpa laju melihat Zain memegang lengan gadis berkenaan. Ada garis kecewa di hati ini. Luluh lagi dan rasa mahu meraung kerana melihat Zain memegang lengan gadis yang memayungkan saya ini. Zain memegang sebuah payung untuk meneduhkan mereka berdua dan gadis berkenaan pula meneduhkan saya. Kenapa bukan Zain yang menyapa saya? Mengapa perlu gadis ini pula?

Mata Zain bercahaya sambil tunduk memandang bumi.

“Kak Dina. Hujan lebat sangat ni! Kak Dina baliklah. Dah lewat malam! Nanti demam!” Hujan terus mencurah-curah. Saya ketap bibir bawah dan menelan air hujan yang mengenyangkan. Sehari suntuk menantikan Zain dan akhirnya Zain datang. Cuma Zain datang dengan seorang gadis yang bertutup litup. Bertudung labuh dan lengannya dipegang erat oleh Zain.

Saya cemburu.

Saya gelengkan kepala. “Tak apa. Saya tunggu sini!” dasar kepala batu sungguh saya! Saya kecewa kerana kemenangan tidak berpihak kepada saya.

“Jangan degil, Dina! Nanti awak demam. Tarik tangan dia, dik Husna. Hujan makin lebat ni!” suara Zain sayup-sayup. Ditambah dengan air hujan yang melimpah.

Lengan saya terus ditarik dan seketika gadis yang dipanggil ‘dik Husna’ membawa payung bersama kami berdua. Zain berdiri memandang ‘dik Husna’. “Malam-malam macam ni, awak duduk sini. Gila sungguh! Jom balik! Mana kereta awak?” Zain menbebel-bebel. Tapi suaranya sudah cukup membuatkan rindu saya kepadanya hilang. Zain berjalan perlahan dan kami berdua terus mengikutnya. Saya tahu, Zain mahu mencari di mana letaknya kereta saya. Zain mahu saya pulang ke rumah. Zain mahu saya membawa rindu saya kepadanya semula ke dalam jiwa. Sungguh, saya tidak mahu mematikan rasa rindu dan sayang saya kepadanya.

Saya geleng. “Dina tak nak balik rumah. Dina nak ikut Zain balik! Dina nanti kena marah dengan papa! Dina nanti kena pukul dengan papa!” tambahku dengan rasa sayu.

Husna memandangku dengan wajah penuh tanda tanya.

“Along! Kak Dina nak ikut kita balik!” tambah Husna. Along? Dik Husna? Fikiran saya ligat berputar. Bermakna Husna ini adik Zain? Oh, Tuhan..benarkah?

Entah kenapa, air mata saya menitis-nitis terharu! Air mata gembira mewarnai lagi! Turun tanpa saya pinta. Saya merenung Husna yang cantik bertutup litup. Husna tersenyum memandang saya. Jernihnya wajah gadis ini.

“Saya adik abang Zain. Husna.” Dia memperkenalkan diri. Tubuh kami dekat bersatu. Husna pantas berbicara, “Along suruh saya teman cari kak Dina di sini. Abang Anwar telefon berkali-kali dari tengahari tadi. Katanya kak Dina akan tunggu along di sini. Betul rupanya sangkaan along yang kak Dina ada di sini. Mana kereta akak?” Husna turut bertanya. Zain di hadapan kami ke hulur ke hilir mencari kereta milik saya.


Saya gelengkan kepala. “Kak Dina ikut Husna balik, boleh?”

Husna terkebil-kebil dan kami berdua berdiri sambil memandang Zain yang terus-terusan mencari kereta milik saya. Zain menjerit. Suaranya bersatu dengan hujan lebat “Mana kereta awak, Dina?”

“Along tak pernah ada kawan perempuan kak Dina. Umi bising nanti!” Husna memerhatikan saya dari atas ke bawah. Husna memandang Zain pula yang berputus asa. Kakinya melangkah semula mendapatkan kami. Zain hanya berkain pelikat sahaja. Kemudian berjubah putih separas lutus dan ada kopiah putih yang terletak kemas di atas kepalanya.

Saya tidak pasti kenapa saya sayu melihat wajah jernihnya. Saya tidak pasti kenapa. Jiwa saya seakan remuk apabila memandang wajah Zain yang redup itu. Barulah saya mengerti bahawa tidak mungkin lelaki sebaik Zain akan terpautkan saya yang sebegini rupa. Sudahlah saya memakai jeans ketat dan blouse mendedahkan dada. Saya juga tidak menutup aurat sesempurna Husna yang cantik di sebelah saya ini.

Saya insaf! Saya dijerut satu perasaan sayu yang tiba-tiba datang menghiris hati. Air mata tumpah dengan laju! Husna memerhatikan saya dengan penuh tanda tanya. Saya menggigil kesejukan dan terus memandang Zain yang membuatkan jiwa ini dilanda aneh melampau-lampau. Kenapa dengan saya kala ini?

Saya bersin lagi. “Kak Dina ikut Husna balik ya?” suara saya bergema lagi ketika Zain menghampiri dan Zain untuk kali pertamanya memandang saya. Juga dengan penuh tanda tanya.

Tahukah Zain bahawa jantung ini sedang berdebar-debar kerana renungannya itu? Tahukah Zain bahawa saya menantikannya di sini. Tahukah dia, yang saya tiba-tiba ada rasa cinta dengannya? Tetapi saya semakin rasa bahawa saya tidak secocok dengan Zain yang jernih wajahnya. Saya cukup rasa terhina dengan diri saya dan sikap saya selama ini dengan Allah swt. Saya cukup rasa yang saya berdosa berbillion-billion dengan Allah atas segala yang telah saya buat di atas muka bumi ini.

Kenapa Allah swt temukan saya dengan Zain? Dan kenapa saya rasa pilu teramat sangat ketika ini?

Dan entah kenapa, tubuh saya semakin lemah tidak berdaya. Suhu badan ini terasa tinggi mendadak. Air mata laju mengalir-ngalir. Jantung berdegup-degup kuat! Saya terjelepuk lesu! Tubuh badan saya terus basah!

Hujan terus turun dengan lebat. Guruh berdentum-dentum maha dahsyat.

Payung Husna terus terbang di bawa angin yang kuat. Saya pejam mata dan entah kenapa saya terasa tidak sedarkan diri. Saat itu, entah apa terjadi, saya tidak pasti. Cuma saya mendengar suara Zain menjerit. “Dik Husna, cepat ambilkan baju along dalam kereta!”

Pipi saya terasa disentuh-sentuh. Suara Zain memanggil-manggil nama indah saya, Majdina! Majdina! Dan ada air mata sayu mengalir di kelopak mata ini.

Genting! Dan lelaki itu membalut tubuh badan saya dengan beberapa helai baju kepunyaannya. Dalam saat ini, saya tahu, saya tidak menutup aurat. Dan seorang bilal yang menjaga pandangan matanya ini, menutup tubuh saya dengan baju-bajunya. Husna memberi arahan itu dan ini kepada Zain. Disuruh Zain mengangkat saya dengan segera.

Hujan terus membasahkan tubuh saya dan Zain. Lelaki itu terus mengangkat tubuh ini yang tidak berdaya. Dari mata kecil ini, saya melihat wajah redup Zain dan jernih Zain menyelamatkan saya. Saya terdengar degup jantungnya yang laju. Saya terasa indah apabila Zain akhirnya datang menyelamatkan saya dan membantu saya.

Tetapi, saya disayat hiba. Pilu teramat pilu kerana malu dengan lelaki itu. Saya tidak layak diselamatkan apatah lagi saya malu apabila tubuh saya telah ditutup sekali lagi dengan sehelai kain oleh Husna. Air mata berjuraian turun. Berderai-derai bersama air hujan.

Kaki Zain terus berlari membawa saya. Husna, Zain dan Majdina meredah hujan lebat sehingga kami sampai ke sebuah kereta kancil.

Saya tidak tahu apa lagi yang berlaku kerana mata saya terus tertutup dan telinga ini sayup-sayup mendengar arahan Zain kepada Husna agar Husna memangku kepala saya.

8 ulasan:

  1. Tanpa Nama25/3/12 17:10

    Sayu saja membacanya. Terkesan betullaaaaa.....

    BalasPadam
  2. DCHS memang pendek2 sikit. Hehehehe.

    BalasPadam
  3. Oh, terima kasih anonymous..:)

    BalasPadam
  4. Tanpa Nama25/3/12 19:30

    tegarnye dina demi mcri lelaki yg dgilainyer tnpa siasat dlu latarbelakang si zain...

    permulaan cerita yg mnarik..
    truskn kak mardihah...

    sy suka cerita nih...(*_*)

    -fathmumtaz-

    BalasPadam
  5. saya suka cerita ni.. plotnya sama mcm jaja&din dan ikhlas, AK!

    seorg perempuan yg kurang ilmu agama jatuh cinta dgn watak pemuda syurga :)

    BalasPadam
  6. Tanpa Nama27/3/12 00:45

    Salam..Zain,menantuku sayang..hehe..memang rs sejuk je perut ni klu dikurniakan anak yg sebegini..Insya Allah.. itulah doa akak.. :) bestla Mar citer ni..ada unsur islamik..akak suke..jln cerita yg tak terlalu kasar penggunaan bahasanya..suka bila kamu gunakan ganti diri saya drpd aku.. nampak lembut jln penceritaannya..

    cepat2 sambung MAr.. akak nak tahu apa yg terjd lepas ni kt menantu akak tu.. hehe :)

    Wassalam

    BalasPadam
  7. Memang menarik....terkesan di hati....

    BalasPadam