Pages

13 Mac 2012

Mr Pai Epal 23

Alhamdulillah. Saya siapkan bab 23 dengan kenangan demam panas! Kena cucuk punggung semalam! Hahahaha. MC dua hari. Syioknya! Jadinya ini hadiah untuk semua. Senyum comel-comel okey?


Song_Hye_Kyo_8Wallpaper




Aku kesat air mata yang berbaki. Ah, buruk sungguh menangis begini sampai hingus meleleh-leleh. Sebak dari tadi belum beransur reda. Yaya tak bermaksud begitu, ibu! Sumpah Yaya tak bermaksud mahu mengecilkan hati ibu. Aku duduk bertenggek di atas batu sambil merenung laut biru. Air mata aku kesat lagi dengan hujung lengan t-shirt ini.

Ya, ibu pernah mendiamkan diri selama seminggu juga gara-gara Fatin menipu mengenai keputusan peperiksaannya. Tidak bertegur sapa sehingga rumah jadi sunyi sepi. Sehingga Fatin meleleh-leleh air mata memujuk ibu. Puas dipujuk Fatin. Dimasak bermacam lauk kesukaan ibu. Dibelikan ibu itu dan ini.

Ya. Kami begitu akrab sekali. Bertiga di rumah dan jika apa yang berlaku kepada ibu, kami berdua akan salah menyalah, menunding jari antara satu sama lain. Bergelak ketawa dan bersedih hati juga bersama-sama. Kalau ibu menangis, maka kami berdua juga akan menangis. Jika ibu merajuk, pastinya akan ada hati kami berdua yang terguris.

Masakan boleh kami mengecilkan hati ibu? Ibu yang baik, ibu yang membesarkan kami dan melahirkan kami. Ibu yang berjuang melawan kesedihannya selepas arwah abah pergi. Ibu yang tetap redha dengan hilangnya mata dan pancaindera paling utama untuk manusia.

Dan sekali lagi, bila aku terpandangkan garisan senyuman ibu di mata ini, air mataku mengalir-ngalir penuh sendu. Aku tersengguk-sengguk lagi sambil cuba mencari idea, bagaimana harus aku memujuk hati sang ibu yang telah berkecil hati itu?

Lima belas minit aku tersedu-sedu. Ombak pantai serasi dengan halwa telinga. Deru angin yang dingin terus memberi kesebakan.

Sekotak tisu tiba-tiba muncul di sebelahku. Aku kesat air mata. Cuba mencari siapakah yang meletakkan kotak tisu ini. Pusing ke kiri dan kanan, tiada sesiapa pula. Ah- aku tidak peduli. Terus aku ambil tisu berkenaan dan kesat air mata ini. Aku hembus hingus dan mencampakkah tisu ke bawah.

Aku ulang lagi. Hembus hingus, kesat dengan tisu dan baling ke bawah.

+Buruk! Pengotor betul ko Yaya!
-Jangan kacau, tengah sedih-sedih ni.
+Saman lima ratus ringgit sebab mengotorkan kawasan pantai!
-Pergi! Pergi!
+Janganlah sedih, Yaya! Buruk benor rupanya melalak begitu. Baliklah. Pujuk ibu tu. Ibu mesti terima.
-Ibu dah kecik hati. Apa perlu Yaya buat?
+Peluk ibu kuat-kuat. Minta maaf dengan ibu. Ala Yaya…dia ibu. Ibu pasti tahu kenapa Yaya menipu sebegitu. Sebab apa dan kenapa.
-Yaya dah tipu ibu tahu tak? Menipu tu berdosa tahu tak?
+Cet! Ketuk kepala baru tahu! Oh, baru sekarang tahu menipu tu berdosa ya? Habis, siapa suruh ko tipu ibu? Siapa?

Aku tersengih macam kerang busuk! Aku angguk berkali-kali sambil tarik nafas. Aku tarik lagi tisu yang ‘diletakkan’ di sebelahku dengan penuh tidak berdaya.

“Seribu ringgit!” tiba-tiba suaranya mencelah. Dari kanan dudukku dan Izz Amir dengan selamba mendaki batu besar yang sedang aku duduk. Dia kini duduk di sebelahku dengan senyuman menawannya.

Aku tarik lagi tisu. Kemudian aku pandangnya. “Awak ya letakkan kotak tisu ni?”

Dia angguk dan memandang laut. “Seribu ringgit tu untuk apa?” pantas aku bertanya untuk menutup malu. Iyalah kan, semestinya aku malu. Izz Amir melihat aku menangis tersedu-sedu. Rasa mahu saja aku sorok muka ini di bawah meja. Nasib baik juga batu ini tidak berlubang seperti meja epal di dalam cafenya.

Muka selamba lagi. “Bayar untuk saman buang sampahlah. Eeee, hingus awak tu kalau saya buat ubat pengasih pun boleh! Jangan buat merata-rata boleh tak?”

“Saya rasa awak tak perlukan ubat pengasih tu. Saya senyum sikit pun awak dah suka. Kan?” aku sengih sambil mencampakkan tisu ke Izz Amir.

Eeeeee..Yaya!” Izz Amir menguis-nguis tisu yang melekat di seluar tracknya. Aku ketawa melihat dia yang teliti pembersih. Tisu itu tiada sekelumit hingus pun. Secebis pun tak ada! Amboi, Izz Amir!


“Sikit pun hingus tak melekatlah! Saya tipu saja!”

Izz Amir mengeluh sambil menjeling. Muka merah macam biji saga. “Awak memang nak kena dengan saya.” Tisu diangkat dan dibaling semula ke arah aku. Tapi angin menolaknya sehingga tisu berkenaan melayang-layang di udara.

Izz Amir tersenyum. “Buruk betul menangis! Macam budak-budak! Ni dah okey tak ni? Tisu ni harganya lima belas ringgit tau! Ganti balik!”

“Kedekut! Taik hidung masin betul!” aku menjelingnya. Angin pantas menemani.

Kami ketawa dan melihat tisu berkenaan jatuh perlahan-lahan di atas air laut yang membiru. Izz Amir memandang laut. Begitu juga aku. Sehingga beberapa minit melewati. Aku tidak mampu berkata apa-apa lagi. Jikalau Izz Amir mahukan jawapan kenapa aku menipu ibu, tanyalah. Aku akan jawab dengan sebetulnya. Tetapi aku malu dengan dia. Aku malu dengan semua.

“Ibu okey lepas saya pujuk ibu. Jomlah kita balik. Panas terik ni, Yaya! Dah jam 3 petang. Awak pun belum makan, kan?”Izz Amir memulakan langkah pertama memujuk aku.

Aku sedut udara nyaman dalam-dalam. “Saya tak bermaksud menipu ibu. Sumpah saya langsung tak berniat. Saya takut sekiranya ibu tahu saya bekerja di Pai Epal Café, ibu tak akan benarkan.”

“Sebab saya?” dan kami berpandangan sebelum mata aku memerhati Melati yang melambai-lambai mesra. Melati turut sama menanti aku di hujung sana. Aku ketap bibir. Rasa bersalah menghuni hati. Sejujurnya itu yang aku rasakan jika ibu tahu aku bekerja di café miliknya. Adakah Izz Amir akan berkecil hati?

“Ibu dah okey. Sebab ibu dah boleh terima saya sebagai calon menantunya.” Izz Amir mula menjiwangkan diri. Dalam keadaan aku sebegini sebak, dia boleh main-main pula. “Saya seriuslah Yaya!” sekali lagi Izz Amir buat aku tunduk memandang kaki yang melunjur ke bawah.

“Ya, saya tahu ibu memang dari mula tak benarkan kita berkawan kan?” Izz Amir pula menarik tisu dan bermain-main dengannya. Bibirnya pantas berbicara, “Biarpun saya pernah berjanji untuk kita berdua tidak ditemukan sebegini dan berkawan rapat lagi seperti ini. Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang Yaya!”

Ceh. Berjiwang bahasa dia. Bahasa Melayu mesti A1. Aku kawal senyuman yang melekat di bibir. Izz Amir tarik nafas. Bibir merahnya pantas menyambung kata-kata yang berbunga indah, “Bila awak diterima masuk ke dalam Café saya. Sayalah orang pertama yang bersujud syukur sampai saya cerita pada umi tentang cik Yaya saya sayang. A to Z! Sungguh, Yaya! Sampaikan umi suruh saya pujuk dan mengurat hati ibu banyak-banyak. Saya tahu, awak takut ibu tak akan terima saya sebab saya bukan pemuda yang baik. Saya juga dulu tak pernah lengkap solat lima waktu. Puasa pun jarang-jarang sekali. Tapi tu dulu, Yaya!”

Izz Amir menambah sebak. Menambah kehangatan jiwa ini. Senyum aku tadi kini bertukar duka. “Awak menipu ibu bersebab, bukan? Sebab awak takut ibu tak terima saya? Bukan?”

“Sebab saya kan? Awak tipu ibu sebab saya kan?” soalnya bertubi-tubi.

Sehingga air mata ini perlahan-lahan mengalir. Aku sedut hingus yang berbaki dan aku kesat air mata yang menghujani pipi. “Yaya bukan bermaksud nak kecilkan hati ibu. Yaya bukan menipu.” Aku angguk mengiyakan segala soalan dari dia.

Aku tak sanggup menipu lagi. Walau dengan ibu dan dengan Izz Amir.

“Juga sebab awak sayangkan saya. Kan?” Izz Amir memandang aku dengan senyumannya. Aku kesat air mata dan memandang dia.

Aku diam. Dia hulurkan tisu. Aku betulkan duduk dan kawal nervous yang melanda di dada. Aku capai tisu dari dia. “Saya nak balik! Awak betul dah pujuk ibu?” soalku dan aku kesat air mata dengan hujung lengan t-shirtku. Aku buat-buat tak dengar dengan soalan jiwang karatnya. Izz Amir senyum lagi.

“Iya. Saya dah pujuk ibu. Saya beritahu ibu awak menipu sebab saya. Sebab awak nak kejar cita-cita. Sebab awak takut ibu tak akan benarkan awak belajar di café saya sebab saya ada. Banyaklah saya cerita. Oh, saya cerita satu perkara lagi!”

Aku bangun dan berdiri di atas batu berkenaan. Izz Amir juga begitu.

Dia menjeling aku dengan senyuman empat belas jutanya itu. Memang sengaja memberikan nervous berkali-kali. Izz Amir memang harus dicubit pipinya! “Awak cerita apa?”

“Saya mohon kebenaran ibu.”

Aaaaa?” aku berdecit.

Wajah Izz Amir memerah. Dia terkulat-kulat mahu mengaku. “Iya. Saya cakap…aaa..aaaaa..”

Aku memeluk tubuh. “Apa yang awak cakap dekat ibu?” aku tanyanya lagi. Jantung entah kenapa bergetar hebat. Izz Amir tersenyum lagi.

“Nanti awak akan kahwin dengan saya. Dan sekali dengan Zainal saya beri amaran jangan mengurat Yaya! Eh, saya serius!” Izz Amir angguk berkali-kali. Muka macam muka tak bersalah!

Saat itu juga, entah kenapa keseimbangan badan sekali lagi tidak terjangka. Kaki aku terus menggigil maha hebat. Ketika aku mahu mengambil kotak tisu dan sekali lagi membetulkan badan, angin dengan kuat menghempas tubuh ini.

Gedebushhhh!

Aku akhirnya jatuh ke dalam air laut.

Masin! Dan Izz Amir dari atas tersengih-sengih sambil mulutnya terkumat-kamit. Dia bercekak pinggang. Terdengar mulutnya membebel-bebel. “Nervous lagi lah tu! Haishhhh! Yaya! Yaya!” dia gelengkan kepala.

Dan dia turut sama terjun ke laut sambil suara Melati terjerit-jerit memanggil kami berdua.

***

Aku tolak pintu bilik ibu. Ibu sedang duduk di penjuru katil sambil memegang bingkai gambar. Aku pandang ibu dengan penuh kasih sayang. Aku tutup pintu bilik ibu. Aku tahu ibu perasankan kehadiranku sekarang ini.

Sekejapan aku sudah duduk di sebelah ibu. Selepas Izz Amir berkali-kali memberi nasihat dan akhirnya aku turuti kata-kata lelaki itu. “Dia ibu, Yaya! Tak kanlah ibu akan bermasam muka dengan anaknya yang comel macam awak ni!” Ah – boleh pula aku tersenyum mendengar pujukannya di meja makan tadi. Fatin yang mendengar pun tersedak. Mak Su tersenyum simpul lagi! Zainal menganga luar biasa kerana melihat kejiwangan Izz Amir. Punah sudah impiannya mahu mengahwini aku. Ah – Zainal hanya sepupu sahaja dan nampaknya dia sudah berkawan rapat dengan Izz Amir. Adnan dan Melati pula terkekek-kekek ketawa sambil Nek Pa tersenyum luar biasa.

“Macam mana ya wajah Yaya sekarang ni?” tanya ibu tiba-tiba.

Aku tahan sendu yang masih berlanjutan dari pagi tadi. Aku perhati lagi wajah ibu dengan air mata yang bergenang-genang. Aku tahan dan tak mahu ia keluar. Aku pegang jemari ibu.

“Cantik macam ibu!” jawabku jujur. Ibu tersenyum dan mengusap perlahan-lahan gambar di tangannya. Aku perhati ibu dengan penuh luhur. Aku pandang juga gambar yang dipegang ibu. Itu gambar aku, Fatin, ibu dan arwah abah. Gambar penuh kenangan ketika kami sekeluarga berjalan-jalan di Cameron Highland. Ketika aku di tingkatan lima. Alangkah bagus juga jika arwah abah ada menemani saat-saat indah membesar dengan ibu. Tetapi abah sudah tiada. Abah sudah pergi. Membiarkan ibu kesepian lagi.

“Sebab tulah Izz Amir suka!” ibu angguk lagi. Aku tahu ibu sembunyikan marahnya dengan aku. Aku kesat air mata yang mengalir. Puas aku pujuk diri untuk tidak menangis di hadapan ibu. Tetapi aku tewas juga akhirnya.

Aku peluk ibu kuat-kuat. “Yaya minta maaf dengan ibu!” tambahku perlahan-lahan dengan esakan.

“Yaya tahu, ibu selalu mahu tengok Yaya membesar dengan mata ibu sendiri. Tapi ibu cuma nampak dengan mata hati ibu saja.” Pintas ibu buat aku menangis teresak-esak.

“Ibu nak anak-anak ibu jadi anak yang baik. Mendengar kata, jaga solatnya, tak berbohong dengan ibu dan sentiasa jaga peribadinya. Ibu selalu pesan hari-hari dekat Yaya, kan?” tambah ibu dan aku kesat air mata. Aku angguk dan mengakuinya.

“Ya, Yaya bohong ibu. Yaya bohong dengan ibu. Memang Yaya tipu ibu. Yaya kerja dekat Pai Epal Café. Bukan Gemilang Café yang Yaya selalu sebut-sebutkan dekat ibu. Yaya ingat semua pesanan ibu. Dan Yaya tahu yang Yaya dah buat ibu kecil hati. Yaya minta maaf dekat ibu.” Aku tarik jemari ibu dan aku salam ibu. Aku kucup-kucup tangan ibu. Berkali-kali. Aku mengaku akhirnya yang aku berbohong dengan ibu.

Aku teringatkan emel sang lelaki itu. Membuatkan air mata aku mengalir-ngalir sehingga ibu meletakkan jemarinya di atas kepalaku. Diusap-usap perlahan dan ibu berbisik, “Ibu sayang Yaya. Sampai ke syurga ibu akan sayangkan Yaya!”

Awak ketika itu awak terus memimpin ibu dengan penuh kasih sayang. Bersama sekaki payung sebagai teman. Hujan turun dengan lebatnya! Payung itu awak buka dan memberi teduhan untuk ibu dari dirinya ditimpa hujan. Waktu hujan lebat itu, saya melihat awak memayungkan ibu seorang sahaja.

“Yaya, payungkan sekali Yaya ya! Cepat kita pergi perhentian bas!”

“B..baik bu!” awak angguk tapi payung itu tetap awak teduhkan hanya untuk ibu sahaja. Awak berbohong dengan ibu.

Awak tahu perasaan saya ketika itu? Sayu dan sedih. Betapa awak menghargai kasih sayang seorang ibu dan meneduhkan ibu awak dengan sekaki payung itu sahaja. Dan awak kebasahan sehingga akhirnya kamu berdua berhenti di sebuah perhentian bas. Awak basah lencun dan terbersin-bersin!

Dan diluar, ada air mata dari seorang lelaki yang aku tidak tahu berjurai-jurai turun di pipinya. Dia berdiri di hadapan pintu mendengar segala nasihat-nasihat ibu untukku. Aku mahu menjadi payung untuk ibu. Payung bahagia kala hujan, ribut dan taufan untuk ibu.

“Maafkan Yaya, ibu!”

“Maafkan Yaya!”

***
Hari mendung telah pergi! Hari kesebakan melanda berpisah dari diri ini. Bak kata Adnan, kalau cik Yaya monyok muka enam belas macam semalam, alamatnya Izz Amir pun monyoklah dalam bilik.

Aku tersenyum memerhati Izz Amir menjenguk-jengukkan kepalanya memilih kuih. Aku masih memegang erat lengan ibu. Aku, ibu, Izz Amir dan Nek Pa. Nek Pa asyik pula memperkenalkan Izz Amir kepada semua kenalannya. Habis malu! Izz Amir? Angguk sahajalah suka kerana semua kata dia lawa, kacak dan juga handsome. Cuma kacak empat belas juta kali yang tak sempat aku sebut. Habislah kembang semangkuk dia jika aku mengaku sebegitu!

Amboi! Suka betul dia!

Gerai tepi laut di Sri Lalang ini memang memikat. Berbagai-bagai jenis kuih ada. Nek Pa mahu dibungkuskan nasi dagang, ada juga kuih yang namanya paung goreng, pulok lepa dan aku turut membeli kuih kegemaran ibu iaitu tepung kapur.

“Apa susah sangat menyebut nama kuih ni, Yaya?” Izz Amir berbisik. Aku tersengih sambil menghulurkan duit kepada Pak Jeragang. Pak Jeragang memang cukup aku kenali di sini. Dia sudah menjual kuih selama bertahun-tahun di Sri Lalang.

“Sini ramai orang Terengganulah!” aku sengih sambil menarik tangan ibu ke sebuah gerai. Izz Amir mengangguk-angguk tanda faham dan berbual-bual mesra dengan Pak Jeragang. Entah dia faham atau tidak bahasa pekat Pak Jeragang itu!

Kami berjalan lagi. Izz Amir menyusul di belakang bersama Nek Pa. Dia membebel lagi. “Paung goreng tu kuih apa? Masa belajar jadi chef, saya tak tahu ada pula nama kuih sebegitu.”

“Macam kuih cucur badak. Tetapi dibuat daripada tepung beras dan intinya ialah isi ikan. Sedap! Nanti kita makan. Kena cuba!” aku menambah-nambah sambil ngap lagi sebiji kuih berkenaan.

Nek Pa menggelengkan kepala, “Eh Yaya ni! Buruk sangat makan smabil berjalan! Jom kita duduk tepi pantai. Sambil-sambil tengok pantai Mersing. Bukan selalu Izz Amir dapat tengok!”

“Ada banyak bot berlabuh waktu ni, Izz. Jom. Betul kata Nek Pa. Ibu suka tengok suasana pagi-pagi begini. Kita sarapan sini dulu. Nanti balik, Yaya buatkanlah nasi goreng untuk kawan-kawan. Ya?” Ibu mencelah. Aku terngaga dan Izz Amir tersenyum suka hati. Amboi dia, sukanya sebab semua prihatinkan dia. Izz Amir itulah, Izz Amir inilah. Izz Amir kesayangan Nek Pa lah. Izz Amir yang kacaklah. Izz Amir yang lawalah. Izz Amir intan payung Nek Pa lah.

Habis.. Yaya ni apa?

Dan kami berempat kini. Memandang laut bersama kuih muih yang aku rindui! Laut yang menghijau dan sesekali biru warnanya. Sungguh-sungguh rasa macam tak percaya yang aku akan habiskan masa sebegini dengan Izz Amir. Bersama pula dengan Nek Pa yang sporting habis dan ibu yang reda dari merajuknya.

Dia mencuri memandang aku sambil berbual-bual mesra dengan ibu dan Nek Pa. Dia memberi senyuman mahalnya yang membuatkan kunyahan kuih pulok lepa hampir tercekik di kerongkongku.

Izz Amir sekarang sedang mencuri hati ibu dan Nek Pa. Berbual-bual penuh mesra dan membuatkan aku tertawa. Ada-ada sahaja ceritanya. Ironinya, Izz Amir terus memikat hati Nek Pa dan sesekali dia mencuba berbual-bual dengan ibu. Dia agak kekok tetapi sikapnya telah mencambahkan rasa sayang aku terhadapnya. Lihatlah bagaimana dia berbual-bual dengan ibu.

Aku ingin sekali memeluk angin dan menceritakan kepada awan yang aku sedang bahagia. Aku ingin juga mendaki pelangi dan mengkhabarkan yang aku sedang ketawa suka.

Masa pantas terus berlalu ! Kami menikmati pagi indah ini bersama-sama dan ada kalanya bergurau senda. Pagi tadi juga, ustaz muda atau lebih tepatnya, Ustaz Izz Amir telah menjadi imam solat jemaah Subuh kami semua. Sejuk perut umi mengandungkan, Izz !

Aku pula yang terkesan dengan bacaan tertiba Izz Amir. Rasa hiba pula kerana selepas bersolat jemaah, ibu memeluk aku dan ibu tersenyum sampai ke telinga. Izz Amir memang telah berubah seratus peratus. Kopiahnya di atas kepala itu sudah menjadi sebati letaknya. Kacaknya bertambah-tambah dengan memakai kain pelikat dan berbaju melayu. Garis dahinya tertera menawan. Dan aku terus berdebar-debar ! Izz Amir bukan menipu aku dan menipu ibu. Dia hafal sudah membaca doa dan telah banyak yang berubah ! Benarkah kisah-kisah di dalam emelnya itu ? Bila lagi aku boleh mendengar sambungan kisah menariknya di dalam emel itu ?

Aku juga tahu, orang yang paling suka dengan perubahan Izz Amir semestinya umi ! Dan aku juga mengharapkan ibu menerima Izz Amir seadanya. Aku tarik nafas perlahan-lahan. Menyedut angin dan membiarkan ibu, Nek Pa berbual-bual dengan lelaki yang semakin kuat letaknya di hati ini.

Kenangan selepas selesai bersolat Subuh menggamit lagi :

Ketika aku membawa ibu masuk ke dalam bilik untuk berehat dan mendudukkan ibu di katilnya, lenganku ditarik. Ibu memaksa aku duduk di sebelahnya. Telekung aku letakkan bersebelahan dengan ibu. Ibu tersenyum, “Sedaya upaya dia mahu memikat hati ibu, Yaya ! ”

Apa maksud ibu ? Aku pandang wajah ibu. Bibir ibu bercantum lagi, “ Nek Pa pun suka dengan dia. Apalah doa yang Izz semburkan pada wajah Nek Pa sampai berseri-seri wajah Nek Pa sebab sukakan dia ! ”

“ Eh, mana ibu nampak ?”

“Mata hati ibu yang nampak ! ”

Aku tersenyum dan menggelengkan kepala. Rasa terharu pun ada. Rasa sebak juga. Ibu beralih angin dalam masa 2 hari sahaja. “ Chef yang berbakat memikat !”

“Yaya!” panggil Izz Amir.

Aku tersengih sambil memadamkan kenangan selepas bersolat subuh pagi tadi.

“Apa yang awak menungkan tu? Jom-jom kita balik! Awak kena masak nasi goreng untuk saya, Adnan, Fatin dan Melati. Lapar lagi ni!”

Perut tong gas betul dia ni! “Teringatkan seorang ustaz!” jawabku.

“Siapa Yaya?” Nek Pa bertanya. Sambil aku tersengih-sengih geli hati.

Wajah Izz Amir berubah tiba-tiba. Aku pandang dia sambil menguis-nguis pasir. “Ustaz muda, Izz Amir!”

Dia ketap bibir bawah. Aku ketawa dan bibirnya muncung sedepa. Dia pantas membaling surat khabar yang sempat direnyukkannya.

“Mulut memang tak ada insuran!”

Mahu saja kami berdua berlari-lari berkejaran seperti pasangan kekasih yang lain, tapi…tapi…kaki kami berdua terkujat sebenarnya. Mana mungkin sebab ada Nek Pa dan ibu di sisi. Aku pula mana pernah berlari-lari ala-ala cerita Hindustan itu. Gila namanya, kan?

Paling tidak, aku pastinya akan dibuli di dalam dapur Pai Epal Cafenya. Jelingan mautnya itu adalah salah satu tanda yang aku akan disuruh membasuh periuk belanga di dapur Pai Epal Café.

Tapi serius, aku makin menyayangi lelaki ini. Aku semakin mengenali siapa Izz Amir sebenarnya. Biar sedikit, tetapi bila dia sudah berjaya mencuri hati Nek Pa dan ibu, peratus sayangku kepadanya telah meningkat kini.

“Cik Yaya sayang!” dia memanggil aku di dalam kereta.

Erk! Bukankah Nek Pa dan ibu ada di dalam kereta comelnya ini? Gila apa lelaki ini? Ah – malunya aku!

“Cik Yaya sayang!” panggilnya kali kedua.

“Gila!” jawabku perlahan. “Jalanlah. Kita balik!” Nek Pa yang duduk bersebelahan dengannya tersengih geli hati.

“Iyalah, saya nak bawa semua baliklah ni. Tapi saya sukalah awak panggil saya Ustaz muda, Izz Amir. Sweet! Tambah-tambah lagi dengan senyuman awak tu! Lagi sweet!”

Rasa nak saja aku cabut tayar kereta Izz Amir dan baling ke laut atau patah-patahkan giginya itu! Terkena lagi aku!

Huarghhhhhhh! Sambil itu Nek Pa dan ibu tersengih geli hati. Izz Amir memang suka menyakat! Suka betul mengharu-birukan dan mentraumakan penkreas ini!

:::Terima kasih Pak Jeragang atas info dan sedikit bahan-bahan untuk "Mersing":::

6 ulasan:

  1. Tanpa Nama13/3/12 18:59

    Oh...you write it well well well...like like like betul mr pai epal. keep it good mardihah! terbuai sungguh dengan setiap idea kamu di blog ini. benar berbeza. terjah sini, suka sangat akak! Bila novel ni nak dibukukan? eh.. akak ni silent reader je..tetiba bagi komen.
    Hahaha

    BalasPadam
  2. Suke banyak2...hehehe
    Semua dah restu Izz Amir...XD

    BalasPadam
  3. Ahkak RSL13/3/12 22:57

    Sambil membaca, Ahkak ketawa bersama sendu yg hanya Allah tahu kisah disebaliknya... Terima kasih banyak2 untuk bab kali ini. Menghiburkan hati ahkak, dan sedikit menyedarkan ahkak dari lamunan dan sendu yg berpanjangan... Semoga ahkak sekuat Yaya!

    BalasPadam
  4. Tanpa Nama14/3/12 08:48

    Novel ni tak dibukukan ke? Saya pun suka. :)

    BalasPadam
  5. puan author...sy mcm dah tersuka Min Ho ehh..Izz Amir..haha...

    BalasPadam