Pages

09 November 2010

Perlu Dengan Hati

Menulis.

Ia perlu dengan hati. Lama sudah saya biarkan blog ini tanpa apa-apa luahan hati saya. Ledakan perasaan saya: keriangan, keindahan dan kegembiraan sudah berlalu begitu sahaja selepas Lukisan Jiwa hadir. Kini ditambah pula dengan kehadiran yang kedua iaitu Andai Gerimis Berhenti. Benar sungguh seperti tidak sangka. Ia benar-benar buat saya penuh kesyukuran. Menulis secara berdikit-dikit adakala berikan ketenangan untuk diri.

Entah mengapa lewat malam ini, terasa sunyi dan sepi menyelubungi. Memang benar saya akui, kehidupan kini tambah tertekan untuk meneruskan kerjaya yang begitu memberikan tekanan. Oh, Tuhan adakala saya terasa mahu lari jauh-jauh dan berhenti sahaja bekerja dan meneruskan langkah penulisan ini dengan baik. Tetapi bekerja itu perlu kerana saya bukannya penulis yang boleh menulis dengan baik untuk cerpen di mana-mana akhbar, menghantar puisi atau membuat kerja-kerja penulisan yang hebat seperti Puan Nisah Haron. Saya menulis ala kadar dan dengan keringat sedikit ini sahaja. Ya, tidak harus cepat putus asa dan berusaha memperbaiki mutu penulisan. Insya-Allah.

Adakala saya tertekan juga kerana saya adalah seorang penulis separuh masa. Ya, saya bekerja di siang hari dan kemudian terpaksa menulis di malam hari dan di hujung minggu. Perkataan terpaksa itu memang saya tekankan sekali lagi. Sekiranya saya tidak memaksa diri menulis maka saya akan terus tidak menulis sehingga dua minggu lamanya. Kemudian seminggu selepas itu, saya akan bayar dengan ‘keterpaksaan’. Kerana saya juga sudah berkahwin dan semestinya urusan rumahtangga yang mencecah angka 1 tahun perlu saya titikberatkan.

Mencelah dari kedinginan malam ini terasa benar terasing tiba-tiba. Penulis separuh masa yang adakala terasa kerdil dari kebanyakan penulis lain. Malahan bertitik tolak dari banyak pelajaran yang saya belajar selepas dua buku diterbitkan. Saya harus menggandakan usaha untuk menulis yang terbaik dan sentiasa mulus dalam penulisan. Banyak kekurangan apabila saya membandingkan diri dengan penulis lain yang lebih hebat, yang lebih indah kata-katanya, yang lebih murni rencahnya dan penulis yang disayangi pembacanya.

Cita-cita semakin terbang melangit. Seperti tingginya awan dan seperti burung-burung yang bebas berterbangan. Semoga Allah SWT sentiasa dekat, sentiasa tidak rapuh dari diri ini. Semoga segala urusan kerjaya, penulisan, rumahtangga, cita-cita peribadi akan terus terbang dan bukan angan-angan sahaja.

Saya sedang mencuba menulis novel Islamik Tauhid kemudian kembara saya berterusan dengan konsep Kembara Fantasi. Masih sedang menyiapkannya dan semoga ia dapat saya segerakan sebelum hujung tahun ini. Mudah-mudahan.

Nota kaki : Terima kasih untuk teman-teman yang telah menempah dan membeli novel Andai Gerimis Berhenti dari tangan saya sendiri. Oh, terharunya! 100 naskah yang diambil dari PTS berbaki sedikit sahaja lagi.

3 ulasan:

  1. Terburu-buru itu dari Syaitan dan bertenang-tenang itu dari Allah. Jadi, bertenang-tenanglah... pedulikan mereka yang melintang pukang berlebih dan keterlaluan terhadap kerjaya mereka itu.

    Bila berwang nan nanti saya mahu pesan sebuah...

    BalasPadam
  2. salam, baru bertemu blog sdr...
    novel ini memang menarik.

    BalasPadam
  3. Ya betul pesan Haris Hauzah.
    Terima kasih untuk peringatan ya.

    Baik, saya akan simpankan satu untuk akhi.

    Sdra mohamadkholid,
    terima kasih kerana ketemu blog ini. Semoga bahagia selalu ya.

    BalasPadam