Pages

30 Mei 2007

Kisah Saya - Episod 1-

Alhamdullilah, dalam kiraan saya, 1 Jun 2007 genap setahun saya bekerja di sini. Kerja ini semoga sentiasa dilimpahi Barakah dan dalam lindunganNya.

Ketika entri ini saya karangkan, KESYUKURAN itu menguji saya. Kesyukuran itu melampaui jiwa dan batas nurani saya. Mengharungi setahun di sini, membuahkan satu perjalanan hidup baru yang dinamakan kebenaran. Saya mengenali erti kawan, persahabatan, kuasa besar, hipokrit, hipokrasi, wang ringgit, kasanova, hiburan, perang “kipas-mengipas”, perjuangan hakikat diri dan banyak lagi. Semuanya bagai terlayar-layar dalam benak saya. Inilah rutin kita dalam bekerja. Penting dalam peribadi, adalah kerja adalah satu ibadah dalam kehidupan.

Kerja yang halal, walupun sedikit ganjarannya, lebih berkat berbanding kerja yang tidak halal dan beroleh ganjaran yang banyak. Apatah lagi jika kerja itu dilaksanakan dengan hati ikhlas demi menyara diri sendiri, kaum keluarga, dan menyumbang kepada umat islam secara keseluruhannya.

Pernah satu ketika Rasulullah s.a.w duduk-duduk bersama para sahabat. Sahabat terpandang seorang lelaki gagah perkasa keluar dari rumah untuk bekerja. Sememangnya para sahabat selalu melihat lelaki itu keluar setiap pagi untuk bertugas. Sahabat mengeluh, “ Alangkah baiknya jika lelaki gagah perkasa begitu, keluar untuk berjihad ke jalan Allah”…

Rasulullah s.a.w terus mencelah dengan bersabda,

“ Jangan kamu berkata begitu. Ini kerana jika dia keluar mencari rezeki untuk anaknya yang masih kecil, maka dia telah berjuang ke jalan Allah. Jika dia keluar bekerja untuk menyara orang tuanya yang uzur, bermakna dia juga termasuk golongan yang berjuang ke Jalan Allah. Begitu juga kalau dia bekerja untuk menyara diri sendiri, dia juga tersenarai dalam berjuang ke Jalan Allah. Sebaliknya jika dia keluar berusaha kerana riak dan hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain, ibarat dia berjuang ke jalan syaitan…..”
(Riwayat Tabrani)

Pertama kali, menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur, ia membuka lembaran baru. Saya ‘berjaya’ membawa ayah menaiki STAR dan PUTRA LRT, memang pengangkutan awam ini paling popular…! Ketika itu, saya berdebar-debar..ayah cukup risau kerana saya agak takut dan mungkin agak baru di sini. Masih belum menyesuaikan diri dan masih mentah. Ayah dan mak risau anak daranya berpindah dari kampung ke Bandar besar. Sebab itu, ayah sanggup bercuti dan menemankan saya. Hanya memastikan agar saya “menjadi anak paling Berjaya”..saya kagumi ayah saat itu. Saya melihat ayah menghayunkan kakinya perlahan-lahan menemani saya. Itu satu kenangan terindah antara saya dan ayah.

Untuk tidak “merasa’ janggal, saya memerlukan peta perjalanan yang ayah dan adik saya bawakan. Kami, menjelajahi….: Dari Bandaraya, terus ke Masjid Jamek dan kemudian bertukar stesen ke PUTRA LRT untuk ke KLCC. Ke KLCC sebenarnya untuk mengambil kunci sewa rumah. Juga bertemu sahabat di sana. Berjalan-jalan sebentar. Kata orang..”sambil menyelam..minum air”. Ayah paling seronok kerana mengenali seketika dunia Kuala Lumpur. Perjalanan kami cukup menggembirakan. Terselit di wajah ayah… ‘bangga’!!! Kemudian, saya di ajar untuk membeli tiket dari KLCC ke Universiti.
Dulu, rumah sewa saya di Universiti.

Rutin harian saya telah bermula, Universiti ~ Masjid Jamek ~ Bandaraya ~

Tak sampai 2 bulan, saya berpindah atas alasan keselamatan.

Kemudian Maluri ~ Bandaraya ..kenangan sungguh. Tidak boleh saya cerita panjang-panjang, kerana ini dah nama entri peribadi pula ya. Tetapi mungkin apa yang saya kongsi di sini, ada kena mengena dengan sesiapa sahaja. Mungkin sedikit orang-orang di luar sana. Kalau banyak, ohh….mungkin secara kebetulan.

Kita berada di atas muka bumi yang sama. Kita diterjah dengan pengalaman berharga di dunia kota ini. Kisah saya ini mungkin mengambil sedikit kenangan yang meliputi banyak perkara. Paling penting adalah, mengingati tujuan hidup di muka bumi ini. Semoga kejayaan dunia dan akhirat milik kita semua.

Saya akhiri dengan sebuah senyuman ……borak-borak bersama Pengarah di Jabatan menambah keyakinan saya, bahawa muslimat seperti saya mampu merubah diri lebih bagus dan baik dari mereka-mereka yang “kadang-kadang lupa”. Saya juga lupa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan