Pagi-pagi ayah akan keluar dari rumah. Membuat kerja baharunya. Yang pasti memberikan peluh dan kesegaran kepada susuk tubuh yang masih tegap. Selepas pencen, tanpa ada pendapatan tetap, rutin hariannya adalah memberi ikan keli makan. Sekarang, kata emak lagi ; ayah membela seekor anak lembu baharu. Oh ya, namanya Si Merah. Ayah sekarang, adalah seorang penternak kecil-kecilan. Jika ada jualan ikan keli yang dijual sebanyak RM5 sekilo, sudah cukup memadai. Juga saya pasti, Si Merah akan mempunyai kawan-kawan juga. Paling tidak, tiga ekor atau pasangan untuk menambah keluarga Si Merah. Pastinya menambah pendapatan ayah.
"Abang mahu beri Si Merah makan. Mahu ikut kah, achik ?" ayah menjawab soalan emak selepas melihat ayah sedang bersiap-siap dan berada di dapur. Entah apa yang ayah cari. Saya tidak tahu. Malahan, selepas pencen ini wajah redup ayah menjadi kekuatan kepada diri ini.
"Bila ayah mula membela anak lembu, emak?" tanya saya.
"Baru saja..." ucap emak.
"Tidak beritahu pun" saya memandang emak
"Alah, takut nanti tidak menjadi. Duit membeli anak lembu, hasil jualan tanah arwah woo. Ayah belikan seekor anak lembu. Biarkanlah.." emak bersuara perlahan. Malah, menyokong pekerjaan baharu suaminya.
Saya teringatkan perbualan itu yang memberikan sesuatu ilham lagi. Ya. Ilham saya dengan manuskrip yang semakin berlegar-legar lagi. Juga dengan kekuatan kudrat ayah yang tidak mengharapkan wang ringgit anak-anaknya untuk sesuap nasi atau belanja diri.
Si Merah
Pastinya Si Merah menjadi teman bicara ayah, atau teman merawat segala sepi ayah selepas berpencen. Menjiwai sifat dan sikap tenang ayah amat saya inginkan. Berkali-kali juga saya tidak memaafkan diri kerana emak dan ayah masih lagi mencari rezeki untuk kami adik beradik. Hatta sudah mempunyai anak yang terkadang mereka lupa memberi wang ringgit. Pesan Ustaz Farid Ravi Abdullah ketika menyampaikan ceramah perdana di Bank sedikit sebanyak memberikan kesan kepada diri.
"Memberi wang ringgit setiap bulan kepada ibu dan ayah, tidak akan membuat kita papa malah, akan memberikan BERKAT dalam hidup kita sebagai seorang anak. Ingat, emak dan ayah akan mendoakan setiap kebaikan anak-anaknya.."
Kalimah itu saya pegang. Membawa kepada doa yang berpanjangan. Saya tidak akan lupa kepada janji kepada diri.
Si Merah itu pastinya seperti tulisan saya di atas - menjadi teman bicara dan merawat segala sepi ayah. Tiada siapa tahu,tiada anak-anak tahu, gerak geri laku ayah ketika sedang bermanja dengan ikan-ikan kelinya. Juga memberi si merah makan dengan senyumannya yang bersisa. Juga emak yang setiap pagi masih lagi ditemani dengan tepung-tepung. Diuli dan kemudian menjadi berbagai-bagai jenis kuih muih untuk dijual.
Ya..sampai bila, harus saya melihat semua itu. Melihat situasi itu dengan kaca mata seorang yang bernama anak.
Petang itu, ketika suami membawa kereta. Saya menghamburkan kesedihan. Menangis sehingga pertengahan perjalanan. Mata membengkak. Merah. Suami diam membisu. Membiarkan seorang perempuan yang tewas dengan air mata. Sedih kerana saya risau, khuatir dan takut. Adakah saya tidak memberikan dan menjaga hati dan perasaan seorang ibu dan ayah. Takut juga andai pengorbanan mereka selama ini, belum mampu saya bayar.
Remang senja kemudian tiba. Sisa kesedihan saya simpan di dalam jiwa. Semoga Allah membalas segala kebaikan kedua ibu bapa saya. Saya akan cuba, selagi bernafas, saya akan cuba membahagiakan kedua ibu bapa. Walau saya tidak cukup apa-apa. Walau kemahuan saya tidak lagi saya perolehi. Cuma, setakat ini, saya bahagia, kehadiran seorang suami, ibu dan ayah juga adik beradik yang memberi rasa berbeza. Itu dinamakan bahagia. Tempuhi segala dengan senyuman dan andai dalam kesedihan, saya akan rebahkan dan sandarkan kepada suami. Air mata itu tetap peneman setia. Pada seorang yang bergelar wanita.
Si Merah, semoga menjadi teman ayah yang paling akrab. Namun, sesekali jangan ambil kasih sayang kami dengan berlebih-lebihan. Menjadi teman ayah, jangan juga nakal-nakal. Saya akan mengambil gambar antara kamu, Si Merah juga bersama ayah. Merakamnya sebagai kenangan yang terindah. Mana tahu, saya juga boleh berkawan dengan Si Merah.
:::Gambar dicuplik dari pakcik google:::
Tiada ulasan:
Catat Ulasan