Pages

03 November 2009

Tauliah

Lama saya fikirkan apakah entri yang perlu saya tuliskan. Sepanjang hari, saya akan sentiasa berfikir, jemari ini memang sah menjadi kaku. Kaku kerana sepanjang tiga bulan hingga Disember ini saya akan sibuk untuk urusan peribadi. Malahan membuatkan saya sedikit janggal untuk memulakan kembali naskah manuskrip yang telah tertangguh.

Kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru untuk Normaliza Haron dan Dzulkarnain Mansor yang selamat diijabkabulkan pada 31 Oktober 2009 dan majlisnya pada 1 November 2009.

Semoga jodoh kalian kekal ke akhir hayat..InsyaAllah. Juga terima kasih kerana sepanjang dan sebelum Norma menjadi isteri, kami banyak menghabiskan masa berbual bersama. Juga beberapa perkara yang dikongsi. Paling terindah, seminggu sebelum majlis pernikahan, kami berjalan di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Norma belanja Dihah makan di Stesen Kopitiam yang sungguh berselera sekali! Terima kasih banyak-banyak. Sedih pula saya kerana terkenangkan keakraban kami. Saya pohon maaf pada beliau kerana tidak hadir pada majlis pernikahannya. Saya cuma berkesempatan ke majlis kendurinya.

Norma dan Nain akan ke Karambunai, Sabah untuk bulan madu mereka. Tahniah Norm. Jangan lupa bawa ole-ole untuk Cik Dihah di sini ya!

Kisah penangkapan Dr Asri, mantan Mufti Perlis menjadi tajuk hangat minggu ini. Kawan-kawan di facebook memberikan ulasan agar menukar status diri. Takut kena tahan dengan JAIS. Alahai. Artis-artis separuh bogel, maksiat sana sini, adakah menjadi kawalan terbaik mereka.Kasihan sungguh. Dr Asri kini menjadi popular dalam sekelip mata.

Sekarang, setiap perkara yang dibuat, perlu tauliah ya. Ingat itu! TAULIAH. Atau, adakah Dr Asri diperangkap? Tuhan lebih tahu. Media makin rancak di samping situasi ini dilihat akan menjadi rebutan beberapa pihak yang diakhirnya akan mencapai kemenangan. Atau Dr Asri menjadi satu 'antagonis' yang menjadi rebutan antara UMNO dan PAS? Pokoknya, Dr Asri dilihat cenderung mengkritik kerajaan sekular dalam setiap penulisannya, dan beliau juga pernah di atas pentas PAS.

“Saya tidak seronok dengan apa yang menimpa Dr. Asri hari ini”, ulasan Faisal Tehrani dalam blognya. Meskipun, terdapat pertentangan idea bersama Dr Asri, Faisal Tehrani meluahkan gugusan hatinya dan menegaskan membantah sebarang usaha mengharamkan satu-satu aliran yang tidak terkeluar dari al-Quran dan sunnah. Baik ia Wahabi, Salafi, Syiah ataupun tarekat yang benar. Setiap aliran tersebut adalah gagasan. Ia adalah teori.

Saya masih cetek ilmu tentang beberapa propaganda yang mengatakan Dr Asri dengan fahaman Wahabinya. Isunya, intelektual dan kebiadaban JAIS menjadi pelaku moral paling teruk bagi saya. Paling jelas, apakah kesalahannya sehingga hadir ke mahkamah dengan membuang masa dan tenaga beliau tanpa ada apa-apa hujahan dan kesalahan. Saya hormat pada setiap ulasan, kritikan dan hasil penulisan Dr Asri yang cukup lantang dan berani. Adakah kerana hasil-hasil kelantangannya maka ada tangan-tangan nakal di belakang tabir yang tidak berpuas hati.

Tulisan Ustaz Halim mengulas isu antara ijazah dan tauliah cukup memberi makna kepada saya. Kalian boleh rujuk di sini. Semoga ia serba sedikit memberi ilmu baharu dan bacaan di samping kita terus-terusan memperbaiki diri. InsyaAllah.


Hanya jauhari yang menikam kalbu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan