CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, November 4, 2009

Angin, sila khabarkan




Ukhwah
Mengiringi kenangan yang hadir ke tubir hati dan naluri sememangnya menjadi satu perkara yang paling saya halusi setiap masa. Saya percaya kepada kenangan yang banyak memberikan saya pengalaman. Pengalaman ketika menjadi pimpinan di zaman kampus dan mengingati jalinan ukhwah yang menerbitkan satu perasaan luar biasa kepada diri.

Pertama kali
Untuk pertama kali saya menjejakkan kaki di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Ia benar-benar memberikan saya suasana baharu. Kakak-kakak bertudung labuh itu saya pandang sinis. Ketika itu saya sedar, saya berada di satu bumi asing yang menempatkan saya dengan banyak perkara di luar dugaan. Paling istimewa sebenarnya. Istimewa kerana hati ini di buka seluasnya dengan nama 'Nur Hidayah'.
Paling saya ingat, ketika sibuk membeli t-shirt, saya hanya membeli 3 helai t-shirt berlengan panjang. Hatta, ia sebenarnya memberikan gambaran bahawa saya dilingkungi dengan keadaan agama yang agak sederhana, malahan menjawab isu aurat itu sebenarnya tiada dalam kotak fikiran saya. Saya asing ketika itu. Asing dengan nama 'agama'.

Usrah
Pendedahan pertama ketika di sana, adalah Program Kursus Pembentukan Insan Mulia. Saya mula mengenali solat dengan jamaah, alunan zikir-zikir munajat, ceramah-ceramah yang membasuh jiwa dan memberikan satu impak kepada hati saya. Entah mengapa, saya terasa dilingkungi dengan keadaan yang selamat dan suasana yang begitu datang dengan rahmat. Usrah dengan pendekatan naqib dan naqibah menjadi satu transformasi dalam kehidupan saya. Ya. Saya mula berubah. Kerana saya sedar, hidayah Allah itu hanya sekali sahaja.

Semester Satu
Penghujung semester satu, saya mengalami demam. Juga tidak dapat tidur malam. Saya lantas mengambil keputusan untuk menjalani Hidayah Allah. Saya menyuarakan hasrat hati saya kepada Naqibah pertama: Hasmiza Suid.

Sebak. Ada air mata mengalir.

Saya nekad merubah kehidupan saya. Sejarah tercipta, saya membeli sepasang kain. Belajar menjahit sendiri dari seorang kawan, dan akhirnya, saya mengemaskan tudung separuh bulat itu ke kepala saya. Nyata ia memberikan saya kepuasan sehingga akhirnya dengan perlahan-lahan saya merawat hati. Juga dengan istiqamah melawan nafsu hati. Itu tekad saya.

Persahabatan
Saya mula mengenali nama perjuangan. Perjuangan islam di kampus yang membawa kepada beberapa perubahan anak-anak usrah saya sendiri. Itu paling saya pelajari, bahawa memberikan ruang kepada adik-adik tentang erti Hidayah Ilahi itu terlalu meluas ertinya. Umar Al-Khattab sendiri menerima hidayah Ilahi setelah beliau membunuh anak perempuannya di zaman Jahiliyah. Momentum kepimpinan kemudian datang dan banyak yang dipelajari. Warna warni persahabatan, kesedihan, ketawa, air mata dan bahagia. Mengenali Lizawati, Laily Idayu, Syahariah, Ismahanes, Umi Kalsom dan Rafahah memberi saya satu pendekatan jiwa. Entah kenapa, saya seringkali dihambat dengan rasa sepi sejak kebelakangan ini. Mungkin kerana rindu dan kerana saya berperang dengan diri untuk Istiqamah. Namun saya percaya, doa kesemua mereka menjadikan jarak kami yang jauh, tetap menjadi nadi dan makin kuat. Saya menjadi kuat mencipta kenangan dan Doa Rabitah itu meyakinkan saya, mata jemari ini akan bercerita untuk setiap kenangan. Semoga ia menjadi ruang untuk kita menjadi semakin rapat. InsyaAllah.

Titik
Kerana rindu, saya mencoret kisah ini. Rindu pada kenangan bermesyuarat bersama kalian. Nilai air mata saya makin murah. Juga rindu dengan perbualan-perbualan kita tentang perjuangan islam. Rindu untuk bersama dalam halaqah usrah dan bersama mencipta ketawa juga air mata. Paling saya ingati, memarahi adik-adik AJK tentang sebuah meja yang akhirnya menjadi catatan sejarah. Ia masih terpahat sekali. Rindu juga saya pada alunan zikir-zikir yang mencuci jiwa. Kalian pasti yakin, ia sebenarnya sebuah pengalaman paling berharga pemberian dari Ilahi. Ia amat berharga sehingga adakala saya mahu lari ke surau yang banyak memberikan nostalgia. Saya pernah menangis di situ. Hamparan hijau lantainya menjadi peneman seketika merawat hati yang rawan. Kerana saya takut, andai saya tidak Istiqamah bersama kalian. Dan saya pernah menjadi patung berdiri di perantara surau yang memberikan saya kekuatan. Tiang-tiang itu menjadi saksi, kita bersama-sama dalam lingkungan Hidayah Ilahi.

Angin
Sampaikan salam saya kepada jejak-jejak kaki ini yang pernah memberikan sedikit perjuangan di sana. Juga angin, khabarkan kepada semua sahabiah saya, saya sungguh-sungguh menyayangi kalian. Angin, kisahkan kepada mereka tentang perjuangan dan anyamkan lagu rindu ini pada mereka. Ingati saya walau nanti saya hanya akan meninggalkan nama.

Tuesday, November 3, 2009

Tauliah

Lama saya fikirkan apakah entri yang perlu saya tuliskan. Sepanjang hari, saya akan sentiasa berfikir, jemari ini memang sah menjadi kaku. Kaku kerana sepanjang tiga bulan hingga Disember ini saya akan sibuk untuk urusan peribadi. Malahan membuatkan saya sedikit janggal untuk memulakan kembali naskah manuskrip yang telah tertangguh.

Kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Pengantin Baru untuk Normaliza Haron dan Dzulkarnain Mansor yang selamat diijabkabulkan pada 31 Oktober 2009 dan majlisnya pada 1 November 2009.

Semoga jodoh kalian kekal ke akhir hayat..InsyaAllah. Juga terima kasih kerana sepanjang dan sebelum Norma menjadi isteri, kami banyak menghabiskan masa berbual bersama. Juga beberapa perkara yang dikongsi. Paling terindah, seminggu sebelum majlis pernikahan, kami berjalan di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Norma belanja Dihah makan di Stesen Kopitiam yang sungguh berselera sekali! Terima kasih banyak-banyak. Sedih pula saya kerana terkenangkan keakraban kami. Saya pohon maaf pada beliau kerana tidak hadir pada majlis pernikahannya. Saya cuma berkesempatan ke majlis kendurinya.

Norma dan Nain akan ke Karambunai, Sabah untuk bulan madu mereka. Tahniah Norm. Jangan lupa bawa ole-ole untuk Cik Dihah di sini ya!

Kisah penangkapan Dr Asri, mantan Mufti Perlis menjadi tajuk hangat minggu ini. Kawan-kawan di facebook memberikan ulasan agar menukar status diri. Takut kena tahan dengan JAIS. Alahai. Artis-artis separuh bogel, maksiat sana sini, adakah menjadi kawalan terbaik mereka.Kasihan sungguh. Dr Asri kini menjadi popular dalam sekelip mata.

Sekarang, setiap perkara yang dibuat, perlu tauliah ya. Ingat itu! TAULIAH. Atau, adakah Dr Asri diperangkap? Tuhan lebih tahu. Media makin rancak di samping situasi ini dilihat akan menjadi rebutan beberapa pihak yang diakhirnya akan mencapai kemenangan. Atau Dr Asri menjadi satu 'antagonis' yang menjadi rebutan antara UMNO dan PAS? Pokoknya, Dr Asri dilihat cenderung mengkritik kerajaan sekular dalam setiap penulisannya, dan beliau juga pernah di atas pentas PAS.

“Saya tidak seronok dengan apa yang menimpa Dr. Asri hari ini”, ulasan Faisal Tehrani dalam blognya. Meskipun, terdapat pertentangan idea bersama Dr Asri, Faisal Tehrani meluahkan gugusan hatinya dan menegaskan membantah sebarang usaha mengharamkan satu-satu aliran yang tidak terkeluar dari al-Quran dan sunnah. Baik ia Wahabi, Salafi, Syiah ataupun tarekat yang benar. Setiap aliran tersebut adalah gagasan. Ia adalah teori.

Saya masih cetek ilmu tentang beberapa propaganda yang mengatakan Dr Asri dengan fahaman Wahabinya. Isunya, intelektual dan kebiadaban JAIS menjadi pelaku moral paling teruk bagi saya. Paling jelas, apakah kesalahannya sehingga hadir ke mahkamah dengan membuang masa dan tenaga beliau tanpa ada apa-apa hujahan dan kesalahan. Saya hormat pada setiap ulasan, kritikan dan hasil penulisan Dr Asri yang cukup lantang dan berani. Adakah kerana hasil-hasil kelantangannya maka ada tangan-tangan nakal di belakang tabir yang tidak berpuas hati.

Tulisan Ustaz Halim mengulas isu antara ijazah dan tauliah cukup memberi makna kepada saya. Kalian boleh rujuk di sini. Semoga ia serba sedikit memberi ilmu baharu dan bacaan di samping kita terus-terusan memperbaiki diri. InsyaAllah.


Hanya jauhari yang menikam kalbu!

Wednesday, October 28, 2009

Sila sahkan kehadiran Tuan/Puan!


Apabila orang-orang kita, seangkatan dengan perjuangan, melabel dan memberi pandangan. Mengapa kita seolah merasa ada krisis berlaku?

Bukankah menjadi sesuatu yang manis apabila setiap perjuangan itu di baluti dengan 'pendapat dan pandangan'.

Saya masih muda, namun ingin sekali ada perubahan yang baik untuk agama.

Semoga mesyuarat khas yang akan dihadiri semua, memberi respon positif!

Marilah kita menghayati kembali ruh berjamaah yang berpaksi di atas semangat ukhuwwah fillah yang utuh lagi intim . Jangan pula kita seronok melihat jamaah retak dan hubungan kita rosak . Mungkin banyak perkara terpaksa kita korbankan khasnya perasaan kita agar jamaah dan ukhuwwah kita kembali pulih malah lebih baik dari sebelumnya . Ianya tidak mustahil dan kita boleh melakukannya demi Islam.

Baca selanjutnya di sini

Friday, October 23, 2009

PAS : Keperluan Khas Muktamar Luar Biasa


Latarbelakang

Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak di zaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.”

Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata. Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.

Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa di sekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan di dalam kitab suci al-Quran.

i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.

Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

“Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.” (Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)

Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin di dalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

“ Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

“ Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.” (Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :

“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”
“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”
“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”
“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”

Pandangan Saya

Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :

Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah . Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah.

Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu.

Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas; ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .

Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.

Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009
*tajdid - Perubahan.

Thursday, October 22, 2009

Ikan Bakar Kuah Asam Satu....




Bagi mengurangkan tekanan diri, akibat kerja yang tiada di meja dan malas yang bertimpa-timpa. Juga akibat tekanan orang yang lalu lalang di kawasan tempat kerja, ditambah lagi dengan beberapa kesusahan diri akibat bahu kanan yang semakin sakit....

Dihah sajikan Ikan Bakar dan sambal belacan untuk semua ya. Menyelerakan sungguh. Waktu petang-petang begini, tambah-tambah selepas hujan, pastinya membuatkan bertambah berbunyinya perut.
Juga sementara menanti kehangatan sebuah negeri yang bakalnya akan diadakan pilihanraya semula. Betul atau tidak? Bubarkah?

Mari kita nikmati makanan ini dahulu.

Ikan bakar kuah asam satu!!!!

p/s : Dihah tidak sempat memasak, jadi gambar ini dicuplik sahaja di pakcik google.

Wednesday, October 21, 2009

~Sepi.Kosong.Kelam~

Air mata dia kesat.

Entah kenapa terasa syahdu. Terasa tiada teman-teman yang menemani dirinya. Kosong. Kelam. Sepi hati. Sepi dari gelak ketawa dan riang ria. Sepi dari makna sebenar perhubungan. Dia terasa jauh sekali dari sebuah persahabatan. Dirinya terasa sangsi dengan sikap diri sendiri. Jiwanya berbalam-balam.

“ Kenapa engkau sepi?” Tanya seorang kawan yang sudi berkongsi cerita dan bergelak ketawa dengannya.

“ Mungkin sebab aku. Sebab aku yang terasa sering sepi..” kata dia dengan disambut hilai ketawa kawannya nan seorang itu. Lantaran itu, dia sering teringat kenangan lama. Kenangan ketika zaman kecil. Dia menjadi abang kepada adik-adiknya. Yang tidak pernah kenal erti kemewahan. Caci maki dan kepenatan terbayang dalam benaknya. Ayah yang sentiasa menjadikan air matanya sepi mengalir. Ada kesal dan ada benaknya yang terasa kerdil yang amat. Terasa hinaan yang mencerca dan makian yang sering bergema.

“ Apalah engkau ini. Mari bermain dengan kami. Engkau tidak payah menjadi sepi lagi..”

“ Tapi aku suka sepi…sebab sepi membuatkan aku matang dalam fikiran. Sepi buat aku sering menang dalam setiap pertandingan…” kata dia lagi.

“ Sepi engkau itu adalah sepi dari rasa bertuhan…sepi yang engkau bawa sendiri ke dalam diri engkau. Terbawa-bawa sampai engkau sering anggap engkau sepi. Sedangkan aku, kawan-kawan yang lain, tidak pernah menganggap engkau seperti sepi yang engkau sering fikirkan…” kawan yang memegang bola memandangnya. Menantinya untuk bermain bersama.

Dia mengeluh. Dia hanya seorang budak lelaki yang sekarang menjadi anak, abang dan kawan kepada ramai manusia di sekelilingnya. Sekejap lagi, suara garau itu akan memanggilnya, memakinya dan mengherdiknya lagi.

Dia memandang kawan-kawan yang sedang rancak bermain bola. Menendang bola bagaikan ia bebas berterbangan di udara.

“ Sepi engkau itu adalah lumrah. Mungkin Tuhan menyayangi diri engkau untuk meletakkan sepi seperti itu. Sudah-sudahlah Mujahid. Bawa bertenang. Al-Quran dan Solat itu mengubat sepi engkau…”

Air mata dia mengalir deras lagi. Bola melayang entah ke mana. Seperti mindanya yang hilang entah keberapa kali.

“ Sepi aku ini adalah rasa terima kasih aku kepada Tuhan. Tuhan Maha Penyayang mahu aku rasa hebatnya sepi dan jangan rasa sepi kepada Tuhan..” ucapnya lagi.

“ Kemudian sepi aku ini adalah seperti unggas-unggas di rimba yang bunyinya menyenangkan dan meriangkan hati sesiapa mendengarnya..”dia mengucapkan kata-kata itu buat kawannya terlongo lagi.

“ Aku tidak berapa faham dengan engkau ini. Ayat engkau macam Sasterawan Negara. Berunggas lah, rimba lahh..pening-pening…” Kawan yang sejati di sebelah ketawa dan menepuk bahunya. “ Sudahlah Mujahid…jangan engkau fikirkan lagi..mari kita sambung bermain bola. Aku sudah lama tidak nampak engkau bermain bola dengan kami semua. Kami semua ada. Jangan rasa sepi lagi…”

“ Tapi…” dia angguk. Ada air mata menjadi teman sejati. Pantas suara garau seorang lelaki dari hujung padang memanggilnya dengan lantang.

“ Mujahid..balik!!!. Adik-adik ini tengokkan. Aku hendak pergi kerja..”

“ Aku mahu balik. Tapi janji dengan aku, jangan buat aku sepi lagi..” pesan dia kepada kawannya. Kawannya lantas ketawa. Bersisa. Kemudian memeluknya dengan mesra.

“ Aku bangga Mujahid, berkenalan dengan engkau yang rajin membantu emak dan ayah di rumah. Engkau tidak pernah merungut, malahan bila engkau dimarahi, engkau terus membuat kerja rumah. Engkau aku lihat, sentiasa tabah…engkau kawan aku yang sering dewasa fikirannya.” Kawannya memeluk dia. Erat sekali. Mujahid kelihatan mengesat air mata. Matanya merenung jauh rumput yang menghijau. Bulat matanya.

“ Petang nanti aku akan datang rumah engkau. Aku ada kasut bola baru untuk engkau” kawannya yang mempunyai lesung pipit ketawa memandangnya. Mujahid membeliakkan mata.

“ Iya….?” Mujahid terkejut yang amat sangat.

“ Supaya engkau tidak lagi rasa sepi dan sentiasa tidak rasa sepi yang bukan-bukan.
Aku tahu, ia permintaan engkau yang sukar ayah engkau dapatkan…”

Dia pandang kawannya lama. Ada kesan air mata yang berbaki dari kelopak mata kawannya.

“ Aku rasa aku tidak akan sepi lagi. Tapi aku tidak janji, kerana sepi adalah teman aku seumur hidup. Sepi barangkali mengajar aku menjadi anak yang berguna dan menjadi abang yang bermakna…”

“ Sepi juga akan mengajar engkau supaya mencari teman yang sentiasa ada untuk memberi sokongan…”Mujahid tertawa. Memeluk mesra kawannya. Lama. Erat sekali.

Dia melangkah longlai. Senja mahu tiba.

Beberapa kanak-kanak lelaki terlihat-lihat kelibatnya, bercakap-cakap sesama sendiri.

“ Engkau tengok. Budak lelaki sepi!! Suka bercakap seorang diri. Entah dengan siapa dia bercakap. Aku rasa dia gila…”

Senja mendatang. Dari anjung rumah, dia melihat kawannya sedang melambai-lambai mesra. Bersama sebiji bola dan sepasang kasut yang di galas bersama. Kawannya berlari mahu ke rumahnya. Mujahid menanti. Ketawa bersama adik-adiknya.

Sebuah kereta akhirnya memecut. Di depan mata. Sekujur tubuh menggelupur tanda sakit yang amat sangat. Dia tidak sempat menyelamatkan. Darah tersembur keluar.

Pekat.

Likat dan maha kejam.

Sepi juga akan mengajar engkau supaya mencari teman yang sentiasa ada untuk memberi sokongan…..”Kata-kata terakhir kawannya itu menjadikan dia sepi lagi. Teramat sepi sehingga luka yang amat mendalam.

Dia akan menanti hadiah dari kawannya itu. Sehingga hari ini. Meski kawannya kini menjadi jasad yang tidak lagi bernyawa. Dia mendongak, melihat senja makin mendatang. Ada beberapa ekor burung yang mencari sarang untuk pulang. Barangkali sesat. Garis-garis pada kaki langit mahu kelihatan merah dan akan beransur-ansur gelap.

Sepi.

Kosong.

Kelam.

Tuesday, October 20, 2009

Payung Hati


Saya sudah lama tidak membaca buku yang lebih memberikan nyawa kepada saya. Akhbar Malaysiakini mungkin menjadi bahan dan tatapan saya semenjak beberapa hari lalu. Tidak mahu tidak, saya merasakan perlu untuk membaca sekurangnya sebaris ayat atau kisah dalam akhbar online berkenaan. Ada beberapa buah buku yang belum dikhatam oleh saya ; antaranya

1) Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck karya penulis tersohor Indonesia - Hamka
2) Maaf Dari Sorga - Faisal Tehrani , buku nipis ini saya baharu habiskan setengah sahaja.
3) Cinta Fansuri - A.Samad Said, saya terang-terangan sakit kepala membaca novel sasterawan negara ini. Ia memerlukan kefahaman dan minda saya benar-benar berjalan mencari maksud setiap ayat yang benar tinggi gaya bahasanya. Novel ini benar banyak memberi pelajaran baharu kepada saya.
4) Maryamah Karpov - Novel terbitan PTS - kulitnya penuh luar biasa yang buat saya tertarik sekali. Ia buku lanjutan Laskar Pelangi yang mendapat sambutan hangat di Indonesia dan filemnya yang penuh emosi.
5) Ahmadinejad , Singa Baru Dunia Islam ; Sebuah buku memahami sikap dan sifat Presiden Iran
6) Wo Ai Ni Allah - Karya Vanny Chrisma. W ia sebuah novel spiritual yang benar memberi inspirasi kepada makna 'Mencari Tuhan dalam diri seorang lelaki, isteri dan anak kecil'

Ada beberapa lagi buku yang masih tersenarai dalam carta, namun saya gagahi untuk menyimpan hasrat membeli dan membacanya. Sehingga penghujung bulan 12, saya akan berhenti menulis. Ia tidak bererti saya memadamkan impian menjadi penulis. Bahkan hutang selama tiga bulan ini akan saya bayar untuk tahun 2010. InsyaAllah.

Saya akan berteduh dengan nyaman. Mempunyai payung hati yang akan mengemudi jiwa saya. Doakan perjalanan saya mencari teduh seperti Aisya menjadi nyata. Aisya adalah watak yang saya ciptakan untuk manuskrip kedua yang kini meresap dalam hati. Jika kalian membacanya, pasti teruja! Nantikan ia.

“Gerimis mencipta suasana. Perjalanan kaki saya baru bermula. Bersama cita-cita yang terus tertulis. Mekar dan bersama kenangan yang sukar saya jangkakan. Kehidupan saya bermula dengan penuh warna warni. Tuhan itu maha Pengampun dan Pengasih. Bersama kudrat ini, saya gagahi meneruskan kehidupan. Saya tersenyum penuh makna. Saya memandang jauh kolam yang memberi semangat. Saya yakin, Allah Maha Mendengar.”

Juga doakan saya.

Friday, October 16, 2009

Teduh

Teduh.

Satu hari nanti, saya mahu berteduh dengan dia di sisi dengan nyaman dan tenang. Itu pinta kita sebagai seorang manusia yang mahu bahagia. Jika Allah mentakdirkan sebaliknya, tabah itu semestinya harus dipelajari. Saya merenung dia di sisi.

"Aisya senang dengan abang?" tanyanya buat air mata saya mengalir-ngalir lagi. Angguk tidak, geleng pun tidak.

Wednesday, October 7, 2009

~Hujan~

Hujan.

Memberi seribu nostalgia dalam diri. Berlari-lari. Termengah-mengah jiwa. Saya menarik pelepah kelapa dan kemudian tertawa bersama sepupu. Kami bermain hujan. Hujan memberi seribu rasa. Dalam jiwa.

" Tini....naik atas...jangan main hujan..." mak berteriak. Saya dan kakak sepupu berpandangan. Kami berlari semahunya. Ke belakang dan ke arah lopak air yang jernih airnya. Hujan makin lebat. Dentum bunyi guruh tidak menakutkan malah menghiburkan.

" Kejap makkk......sikit lagi..." saya menjerit dan menarik tangan kakak sepupu supaya turun ke bawah. Rumah nenek yang mempunyai kawasan lapang cukup menyeronokkan. Air hujan yang turun dari atas bumbung kami tadah dengan badan. Semahunya kami bermain.

Lencun! Basah.

Gigi kami berketap. Menahan gigil semahunya.

" Kakkkk...se se se jukkkkk..." itu ucapku.

Kami ketawa mengilai. Zaman kanak-kanak yang menggamit.

Gigi berlaga. " Ha..a...se se se jukkkk..."

Air hujan yang sejuk. Asli. Jernih dan memberikan keriangan dalam zaman tersebut. Saya terlari-lari menghabiskan masa. Macam Jantan! Itu saya suatu masa dahulu. Kak Pijah menarik tangan saya membawa saya terus ke dalam lopak air semula.

" Kita main masak-masak...."

" Gila apa akak ni...?"

"Masak dalam hujan..."

" Tini jadi chef...akak jadi bos....akak akan arah masakan apa untuk dimasak...tau!!" jeritnya. Guruh dan kilat sabung menyabung. Kami tertawa. Memasukkan daun-daun kering ke dalam periuk bocor. Kemudian saya buat-buat masak seperti sediakala melihat aksi mak memasak di dapur.

Setengah jam bermain masak-masak, kami membuat kapal layar kertas. Longkang di kawasan rumah nenek menjadi pelayaran kapal kertas. Hujan terus menggila. Namun menyeronokkan. Kami berlari bersama kapal yang tersedia di dalam longkang. Air hujan yang lebat terus membawanya belayar. Saya berlari cemas. Akan menangkah kapal saya? Saya berlari menggapai impian. Impian supaya kapal layar saya memenangi pertandingan belayar di dalam hujan. Kami ketawa.

Kapal itu akhirnya lencun dan terperenyok kerana basah. Hujan semakin serasi. Tiada tanda mahu berhenti. Saya memenangi pertandingan perlawanan kapal layar. Mak sudah menggesit dan menjerit dari muka pintu. " Masukkkkk...nanti demamm..." Mak sudah bercekak pinggang. Marah.

Saya ketawa.

Hujan masih belum mahu berhenti.

Saya membuka tingkap yang berjeda dengan besi. Guruh semakin kuat. Menyalut dingin tubuh saya. Itu kenangan zaman kanak-kanak yang tak bisa saya lakukan semula. Namun saya rindu mahu bermain dengan hujan. Rindu untuk kembali ke zaman kanak-kanak semula. Riang. Terasa muda semula.

Saya menarik nafas panjang. Melepaskan lelah kenangan yang masih berbaki dalam ingatan. Arwah nenek sentiasa segar dalam minda. Rumah berbumbung zink dan bertiang kayu memberi naskah berharga. Rumah Melaka dengan beranda dan luas mata memandang. Dapur kayu yang sentiasa berasap. Sarapan yang bermacam-macam aneka. Belajar mengupas kulit kentang dan bermain sehingga tangan saya patah!

Saya ralit dalam kenangan lagi.

Nota : Hujan telah disiarkan di dalam 'Notes' Facebook Mardihah Adam.

Thursday, October 1, 2009

~Isme dan fikrah cinta~

Doa
Mengertikan Cinta yang mengolah novel pertama saya memberi makna kepada Lukisan Jiwa. Bait-bait harishauzah memang menjadi kegemaran saya. Gaya penulisannya yang mengkagumkan. Beliau seorang rakan saya yang menjadi peneman kritikan, penulisan dan banyak gaya bahasanya yang sebenarnya saya cintai. Doa saya untuk harishauzah lekas-lekas berkecimpung dalam dunia penulisan.

Testimoni
Pertama sekali, apabila ruang testimoni untuk belakang buku ; diberikan oleh editor untuk saya pilih seorang, orang pertama yang saya mahukan adalah Faisal Tehrani. Namun, kerana saya sedar, saya adalah seorang penulis baharu yang akhirnya mengalah dengan kekangan masa dan diri yang tidak punyai nama. Harishauzah sempat berpesan.. ’Kalau awak dapat testimoni dia, awak memang berjaya..susah dia mahu berikan testimoni kepada penulis lain’. Saya termenung panjang. Benar telahan rakan saya ini. Saya menghantar undangan yang tiada jawapan dan saya tahu jawapannya, selepas saya mengikut kata hati dan nurani. Untungnya, saya belajar untuk menjadi penulis yang perlahan-lahan mendaki kejayaan.

Pengalaman
Kemudian Harishauzah menjadi calon saya dan pilihan saya. Saya tidak mengenali dengan rapat nama-nama besar seperti Nisah Haron, malahan bersemuka dengan Puan Ainon Mohd juga saya sudah terketar lutut! Ini novel pertama saya yang pada pandangan saya harus saya kaji dan menjadikannya novel kajian kepada diri. Banyak pembetulan dan memberi pengalaman.

Pilihan
Saya sudah mempunyai pilihan untuk membantu Harishauzah yang saya kira harus saya berikan ruang untuk meladeni novel pertama saya juga memberikan ruang dirinya kembali menulis. Saya tidak memberikan manuskrip sepenuhnya kepada harishauzah kerana manuskrip saya pada permulaannya ada pembetulan dan harus saya perbetulkan dan dikembalikan kepada editor semula.

Berdebar-debar
Umumnya, saya sendiri terasa seolah bermimpi kerana perjuangan saya hampir 3 tahun dengan novel ini. Banyak yang saya belajar dan amati dalam menjadi penulis yang mahu melihat karya sulungnya diterbitkan. Berulang kali saya berbual dengan harishauzah menyatakan saya malu dan risau dengan pandangan ramai yang membaca Lukisan Jiwa. Pesannya :
“Tiada manusia yang ibadahnya sehebat Nabi s.a.w. Beliau menangis hingga lekuk di pipi kerana linangan air mata. Ibadahnya dan tangisnya hanya kerana takutkan Allah, takutkan neraka Allah. Khuatirnya maha hebat sedangkan dia seorang yang telah dijanjikan syurga... Jadi tiada apa yang kurang, dan tiada salah pula jika awak risau serta berasa kurang. Kerana itu adalah Fitrah”

Saya masukkan ulasan menarik harishauzah untuk bacaan semua dan juga boleh berkunjung ke laman sederhananya di sini

Mengertikan Cinta – Ulasan Harishauzah.
Isme dan fikrah cinta semuanya berbeza. Ada yang ikut mata, ada yang ikut hati dan ada pula yang turutkan apa sahaja. Falsafah dalam cinta lebih meninggi dan lebih mendalam lagi perbezaannya. Melayan perasaan yang selalu jatuh dan bermain dengan cinta, apa pula modal kita terhadapnya. Bagaimana pula mendalamkan pengertian dan pencarian cinta agar bisa mulus agar cinta itu cinta yang al-haq.Cuba kita hayati ini...

Cinta Mawaddah

Cinta yang sentiasa membuak-buak, sentiasa panas dan membara. Orang yang memiliki cinta jenis ini, selalu saja ingin berdua dan enggan berpisah. Selalu ingin memuaskan dahaga cintanya. Ia ingin memonopoli cintanya, dan hampir tidak menghiraukan perkara-perkara lain kerananya.

Cinta Rahmah
Cinta yang penuh kasih sayang, lembut dan sedia berkorban serta sentiasa siap untuk melindungi akan apa yang dicintaainya. Orang yang memiliki cinta jenis ini lebih mementingkan orang yang dicintainya berbanding dirinya sendiri. Baginya yang penting adalah kebahagiaan kekasihnya meskipun dia perlu menderita. Akan senantiasa menerima kekurangan kekasihnya dan selalu memaafkan kesalahan kekasihnya. Termasuk dalam cinta rahmah adalah cinta antara orang yang bertalian darah, seperti cinta orang tua terhadap anak juga sebaliknya. Al-Quran menyebut Al-Arham, Dzawi Al- Arham, yakni orang-orang yang memiliki hubungan kasih sayang secara fitrah, seperti kasih sayang ibu kepada anaknya, disebut rahim (dari kata rahmah). Sejak janin seorang anak sudah diliputi oleh suasana psikologi kasih sayang dalam satu ruang yang disebut rahim. Selanjutnya diantara orang-orang yang memiliki hubungan darah dianjurkan untuk selalu bersilaturrahim ertinya menyambung tali kasih sayang. Suami isteri yang diikat oleh cinta mawaddah dan rahmah biasanya akan saling setia.

Cinta Mail
Cinta yang sementara tetapi sangat membara. Cinta yang maha hebat sehingga menyedut seluruh perhatian hingga mudah pula melalaikan hal-hal yang lain. Secara khusus Allah menyebut perihal cinta jenis ini di dalam Al Quran dengan menyentuh kepada mereka yang berpoligami. Bila mana cinta itu mekar bugar kepada yang isteri yang muda (an tamilu kulla al mail) sehingga cenderung mengabaikan cinta isteri yang tua.

Cinta Syaghaf
Cinta yang sangat mendalam, suci dan memabukkan. Sesiapa yang diserang cinta jenis ini (syaghaf - qad syaghafaha hubba) semacam orang gila(mabuk cinta), lupa diri dan hampir-hampir tak menyedari apa yang dilakukan. Al Qur'an menggunakan istilah syaghaf ketika menceritakan peristiwa kemabukan cinta Zulaikha kepada Nabi Yusof.

Cinta Ra'fah
Iaitu rasa kasih ataupun kecintaan yang dalam hingga mengenepikan soal perkara-perkara yang haq. Contohnya apabila seorang ayah yang terlalu kasihkan anak sehingga tidak sanggup mengejutkan anak salat atas alasan kasih atau cinta itu tadi. Al-Quran menyebut istilah ini ketika mengingatkan agar jauhilah cinta ra`fah kerana ia boleh menyebabkan kita tidak menegakkan hukum Allah( khusus dalam kes zina.

Cinta Shobwah
Sebuah cinta yang buta, cinta yang selalu mendorong perlakuan yang menyimpang tanpa ada kekuatan diri dari mengelakkannya. Allah menyebut perihal cinta ini didalam Al-Quran apabila menggunakan istilah Sobwah ketika mengisahkan bagaimana Nabi Yusuf berdoa agar dipisahkan daripada Zulaikha yang saban hari menggodanya, nabi Yusof memohon agar dia dimasukkan ke penjara saja kerana khuatir lama kelamaan beliau akan tergelincir juga ke dalam perbuatan itu.

Cinta SyauqIstilah
Ini adalah bersumber daripada sebuah hadith yang menafsirkan ayat 5 surah Al-Ankabut yang menyebut barangsiapa rindu berjumpa dengan Allah pasti waktunya akan tiba. Kalimat kerinduan ini kemudian diungkapkan dalam doa ma'tsur dari hadis riwayat Ahmad; wa as'aluka ladzzata an nadzori ila wajhikawa as syauqa ila liqa'ika, yang bermaksud, aku mohon dapat merasakan nikmatnyamemandang wajahmu dan nikmatnya kerinduan untuk berjumpa denganmu. Menurut Ibnu Al-Qayyim Al-Jauzi dalam kitab Raudlat Al-Muhibbin wa Nuzhat Al-Musytaqin, menyebut bahawasanya Syauq (rindu) adalah pengembaraan hati kepada sang kekasih (safar al qalb ila al mahbub), dan kobaran cinta yang apinya berada didalam hati sang pecinta, hurqat al mahabbah wa il tihab naruha fi qalb al muhibbi.

Cinta Kulfah
Satu perasaan cinta yang disertai dengan kesedaran mendidik kepada hal-hal yang positif meskipun sulit, seperti seorang ayah yang menyuruh anaknya mengemaskan rumah walaupun si ayah tadi mempunyai pembantu. Cinta jenis ini disebut Allah di dalam Al-Quran ketika menyatakan bahawa Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya, La yukallifullah nafsan illa wus`aha.

Nah sekarang faham kah kita apa itu cinta ?, cinta jenis apa pula yang kita lukiskan di jiwa kita ?, lukisan apa pula pada jiwa mereka yang kita cinta ? Lukisan jiwa apa... ?

Wednesday, September 30, 2009

Satu Hari Di Bagan Pinang




“Mak tak rela…” Kak Nab muncung sedepa.

“Kenapa pula emak ini? Tadi baik sahaja mood nya..” si anak dara meneliti wajah emak kesayangan. Masak lemak daging salai dengan pisang menambah seleranya. Benar-benar menggugat dietnya.

“Calon baru. Muka lama. Veteran. Isk, emak penat melobi calon muda . Tapi yang adiambil adalah calon si kisah lampau melampau-lampau juga menjadi pilihan..”

“Sebab rakyat didahulukan. Jika rakyat inginkan..apa kita boleh buat emak. Sudah-sudah...sedapnya lauk mak...nyum-nyum...mari kita makan..” anak daranya mencedok nasi.

Emak sudah mencebik. “Che Det sudah bilang beberapa kali..dia tidak seharusnya menjadi calon. UMNO masih kekalkan calon yang ada politik wang...” emak mengesat hingusnya yang meleleh. Aiseh. Potong stim sahaja mahu makan masak lemak. Tekaknya rasa ingin termuntah.

“Alahai Bagan Pinang...harap-harap menang...” emak mengambil tisu dan menghembus hingusnya.

Si anak dara memandang emaknya.

“Emak... saya hendak makan ni! Jangan lah menangis pasal Pak Iso Samud tu...huh!! Cepat. Sekejap lagi mahu beraya rumah bakal besan emak..” dia tersengih-sengih manja. Terbayang janggut hensem bakal suaminya. Adus.....tergedik-gedik dia di depan meja. Masak lemak daging salai berdendang-dendang keriangan.

Tuesday, September 29, 2009

Tulis suka-suka


Tulis suka-suka
Kerana malas melanda
Kerana perut kenyang suka

Tulis suka-suka
Kerana sepi semestinya
Kerana semestinya jemari kaku lara

Tulis suka-suka
Oiiii...mari kita nyanyi lagu 1 Malaysia
Dendang suka dendang lagu negara

Tulis suka-suka
Ahhh...penatnya saya
Melayan fikiran yang sepi melanda
Idea sudah hilang begitu sahaja

Tulis suka-suka
Dalam suka, ada debar yang melanda
Dalam suka, ada jiwa manusia yang melara..

Tulis suka-suka
Saya terkelip-kelip menahan mata
Kerana kelak, di sisi ada peneman jiwa

hahahaha!!

Saya saja suka-suka
Tulis suka-suka
Untuk kalian ketawa
Saya saya saya malu mahu bertanya
Adakah hati sudah ada yang punya??
hahahahaha

Thursday, September 24, 2009

Keindahan Aidilfitri

Gambar anak-anak buah Dihah yang buat tersenyum sendiri.
Paling seronok apabila Irfan mengeluarkan suaranya "Nak duit raya....!!"






Aidilfitri yang memberi makna. Tahun yang akan saya kenang hingga ke akhirnya.
Menu pagi aidilfitri ; ketupat, rendang itik, sambal bali ayam yang menjadi kegemaran ramai juga ayah yang telah membakar sebanyak 40 batang lemang. Cuma saya belum dapat menikmati kuah kacang yang lazat dari emak.

Esok, saya akan kembali semula ke kampung, menyambung cuti. Kak Sarinah tergelak mendengar saya pulang semula ke kampung. Cuti saya masih berbaki sehingga menghabiskannya untuk cuti hujung tahun nanti. Anak-anak buah yang comel paling sakan berhari raya. Aidilfitri ini, menemukan kami semua sekeluarga. Emak sekurangnya, beban memasak sudah digalas ke bahu Dihah. Adik-adik semakin rajin mengemas dan membantu urusan rumah. Ayah, paling gembira, kerana anak-anak kembali dan memberi ruang kepada diri masing-masing untuk memohon maaf di pagi aidilfitri. Angah, menyambut aidilfitri di rumah mertuanya :Muar.

Selepas solat berhari raya, kami adik beradik berkumpul bersalaman. Tradisi. Namun tradisi aidilfitri ini bukan untuk setahun sekali sahaja. Memohon maaf harus sentiasa. Setiap hari dan harus menjadi amalan. Bagi saya sendiri, hari raya bererti menghubungkan silaturrahim dan jalinan keluarga. Juga aidilfitri adalah bererti untuk mereka yang terlibat dalam perjuangan islam. Ketaqwaan yang diraih dan barakah di dalam Ramadhan bererti kemenangan kepada diri. Hasilnya adalah aidilfitri yang memberi makna.

Saya kini melangkah ke tangga pertama menaiki cita-cita. Menjadi penulis bukanlah mudah. Bahkan ia memberi saya satu pelajaran baharu dan mengorak langkah dengan lebih berjaya. Saya teringat kata-kata Faisal Tehrani ketika mendengar rancangannya di ikim.fm. Seorang penulis itu apabila bercakap dan melontarkan suara, gemanya adalah penuh dengan ilmiah dan intonasi penuh ilmuan. Seorang penulis apabila berbicara, dia akan berbicara dengan kata-kata yang penuh dengan bahasa dan gaya sasterawannya. Seorang penulis juga harus penuh kreativiti. Perlu ada bakat dan perlu banyak membaca, membaca dan membaca. Saya mencari masa dan sekarang bertatih sendiri.

Bekal saya sekadar berusaha dan belajar mencari kesabaran dalam setiap manuskrip. Manuskrip yang berjalan atas dasar mengajar dan memberi makna kepada khalayak. Juga manuskrip yang berdiri atas nama islam sendiri.

Saya menanti komentar kawan-kawan dan pembaca untuk Lukisan Jiwa saya. Ia banyak memberi saya pelajaran. Meski ada sedikit kesilapan dalam saya menulis untuk naskah ini, dan saya belajar memperbaharuinya untuk manuskrip kedua. Doakan saya.

Saya baru setahun jagung menjadi penulis.

Tunasnya sedang saya siram dengan baja yang baik agar menjadi istimewa dan mengeluarkan isi yang penuh manfaat kepada semua. Harapan saya, diberikan ilham berpanjangan dan menjadi sederhana seperti ini. Saya mahu tulisan saya dialirkan kepada semua dengan
ingatan berharga dan memberi makna kepada kalian.

Kita berjumpa di lain tinta. InsyaAllah.

Friday, September 18, 2009

~Salam Aidilfitri~


Ketupat dan lemang menjadi hidangan,
Santapan selera di hari raya,
Maaf dan ampun dihulurkan,
Untuk semua yang mengenali saya.

'Salam Aidilfitri Maaf Zahir Dan Batin'
Hartini Tamin
@Mardihah Adam

Tuesday, September 15, 2009

Di Saat Saya Sedari

Saya terfikir.
Untuk bertukar ke wordpress dan mengubah background blog ini dengan kadar segera. Tetapi entah bila. Adakala saya jemu dan penat melihat blog ini. Entah kenapa. Terasa sendiri lagi bertamu untuk blog ini.

Saya mahu menulis tentang bagaimana naskah Lukisan Jiwa bermula dan bagaimana untuk pertama kali manuskrip pertama saya ini berjaya diterbitkan oleh PTS. Saya akan panjangkan selepas Aidilfitri nanti. InsyaAllah. Doakan saya untuk kerap menulis lebih di blog ini. Saya sekarang sibuk dengan projek kedua. Manuskrip kedua saya yang sedang dalam proses plot ke plot dan sambungan kisahnya dari satu bab ke satu bab. Saya belajar banyak perkara. Belajar memperbaharui gaya bahasa, mood penceritaan dan menulis dengan plot yang sudah tersedia. Meski saya telah membuat plot, namun, adakala jemari dan minda saya akan membuang plot dan membuat plot baharu yang lebih menarik. Plot dari satu bab ke bab sebenarnya banyak membantu seorang penulis. Blog ini akan saya ubah alirannya kepada dunia bacaan dan penulisan saya.

Juga serba sedikit saya akan menjurusi kepada peribadi, berita-berita semasa dan sama seperti sedia kala. Fasa saya baharu bermula. Menjadi penulis sebenarnya bukan sesuatu yang mudah. Lukisan Jiwa banyak memberikan saya panduan dan idea baharu untuk saya memperbaharui diri. InsyaAllah. Lukisan Jiwa juga memasuki fasa untuk mendekati diri saya dan seharusnya berdepan dengan kritikan dan khalayak ramai. Namun saya tidak pinta yang hebat-hebat melainkan penulisan saya hanya mewakili sebuah kisah yang pastinya alirannya dekat dengan khalayak.

Beberapa hari lagi, Aidilfitri akan menjelma. Setahun, rupanya tidak lama. Pejam celik, pejam celik, kita sudah bertemu Ramadhan dan kemudian kembali ke Aidilfitri. Banyak perkara yang berlaku, memberikan kenangan dalam hidup saya tahun ini. Perkara paling saya belajar adalah tentang 'kawan, persahabatan'
Kita tidak akan dicari oleh seorang yang bernama kawan jika kita berterusan mendiamkan diri. Itulah saya yang sekarang menyepi terlalu luar biasa.
Kawan sebenarnya cermin kita, dan sekarang kawan mengajar saya tentang erti
'Luar Biasa'

Saya lebih suka menyendiri dan sendiri itu sebenarnya proses monolog diri.Entah kenapa, saya merajuk kepada kawan-kawan, sahabiah-sahabiah yang lama tidak memunculkan nama di telefon ini. Semuanya sepi meminta-minta agar diri yang dahulu menjadi kawan pertama.
Akhirnya.
Blog Widget by LinkWithin