Pages

18 Februari 2010

Semusim Cinta




Masa.
Sekelip mata masa merubah segalanya. Lama tinta saya didiamkan kerana kerahan idea yang tergesa-gesa menyebabkan banyak cerita untuk blog ini saya tidak siarkan. Entah kenapa, apabila selesai menulis, saya memadamkan semua. Ia tidak menjadi, atau
barangkali saya keletihan kerana ruang masa agak mendatar dengan masalah kesihatan dan setiap hujung minggu berulang alik ke rumah ibu ayah dan juga mertua. Masa yang tidak saya habiskan dengan sebaiknya, malahan saya akui masa saya tidak dihabiskan dengan sebaik mungkin.

Lelaki.
Jiwa saya kini dimiliki. Namun dalam diam, saya tetap akur dan pasrah seandainya Tuhan memberikan cabaran dan dugaan kepada kehidupan. Ya, kehidupan rumahtangga yang kini sedang saya daki memerlukan banyak persiapan dan perancangan rapi. Hati ini miliknya, namun Allah adalah pemilik segala kehidupan yang diciptanya. Bermula dengan kehidupan seorang diri, kini berdua dan hidup dilingkungi keluarga belah mertua. Sedikit sebanyak ia banyak mengajar bagaimana menjaga batas susila sebagai ipar duai di rumah mertua. Segenap perasaan kini, tertumpu kepada suami yang memerlukan sokongan diri. Doa dan harapan saya panjatkan, untuk kami duduk berdekatan. Dekat di hati dan berkongsi suka juga duka. Walau suami sedang bekerja di Melaka, namun ia bukan penghalang untuk mencipta 'Rindu' kepadanya. Bercinta selepas perkahwinan ini, membuatkan kami lebih memahami dan bertoleransi dalam banyak perkara.

Sederhana
Ya, saya sedang berkenalan dengan suami sendiri. Berkenalan dengan senyumannya, lirikannya juga sikap sifat semulajadi seorang lelaki. Dirinya juga, sedang cuba, memujuk hati untuk berinduan di kala kejauhan. Saya pernah mengucapkan kepadanya ' saya sederhana sahaja, tidak cantik malahan, tiada apa-apa selain insyaAllah, menjadi diri yang solehah kepada suaminya....' Ucapnya, ' Biar tidak cantik di mata orang lain, tetapi cantik hatinya.....'
Desis hati saya adakala risau. Risau jika tidak dapat menjadi isteri yang seimbang kepada suami dan ilahi. Takut seandainya mencipta dosa untuk suami. Semoga dijauhkan dan diri sentiasa menjadi terindah di mata suami juga Ilahi.

Jauh.
Saya tidak mahu jauh dari kasih sayang Ilahi. Terkadang, sebagai seorang manusia kita adakala terjerumus dengan sikap lalai, leka dan dilingkungi dengan masalah hati. Hitam. Paksakan diri kembali dengan rutin harian, membaca Al-Quran, Al-mathurat dan solat jamaah. Ia membawa saya kepada pegangan diri. Kembali menyegarkan diri. Masa merubah. Tiada kawan-kawan yang akan membimbing atau memberikan lagi sokongan juga kekuatan. Kerana, masing-masing mempunyai kehidupan berbeza yang harus diteruskan. Sama ada memilih untuk meneruskan atau menjauhkan diri. Kekuatan diri menjadi semangat selain melihat sahabiah berjaya dalam kehidupan.

Cinta
Saya memerlukan cinta. Kalian juga. Bohong jika dikatakan, kalian tidak mempunyai rasa kepada pasangan berlainan jantina.
Rutinnya, cinta saya tidak akan berbelah bahagi dengan suami, keluarga, kerjaya dan penulisan. Penulisan yang kini juga diambang 'suam-suam'. Ahh..betapa saya kehilangan banyak daya untuk menulis. Menulis manuskrip kedua yang memerlukan banyak ilham dan masa yang tertumpu dengan jiwa. Barangkali saya masih dalam 'mood' dan jiwa melihat gambar-gambar menarik sepanjang majlis perkahwinan. Tumpuan juga hilang untuk sesi mengemas buku dan bahan bacaan.

Kekuatan
Mencari nya dalam diri. Saya bertekad sendiri. Menghabiskan manuskrip sehingga bulan Mac ini. Menghantar kepada penerbit. Kerana jadual saya sudah ditempah untuk tahun 2010 oleh PTS. Tidak mahu menjanjikan yang terbaik. Namun, manuskrip kedua ini lebih jiwa dan penuh nilai muslimah. InsyaAllah. Terbaik untuk diri dan hadiah bernilai kepada suami. Doakan saya. Saya pohon ilham mencurah-curah. Juga kebaikan dalam kesihatan dan perancangan terbaik dalam rumahtangga. Ia juga harapan kalian. Kerjaya, Cinta, Keluarga dan kasih sayang.

Saya dambakan. Moga impian menjadi kenyataan. Semusim cinta bermula.

2 ulasan:

  1. semoga terus berjaya dan berjaya :)

    BalasPadam
  2. sungguh cinta tidak semestinya bersatu,

    salamm,

    BalasPadam