Pages

08 Ogos 2012

Dia Cinta Hati Saya 18


 Oh. lama tinggalkan kisah ini. Hahaha. Maafkan saya semua. Ini sambungan DCHS. Meski rasa macam tak lengkap sebab babak betul di PD tak sempat nak buat. Maklumlah bulan puasa. Hihi. Nanti saya sambung lagi dalam minggu ini juga. Tunggu ya. Berita menarik : MANUSKRIP MR PAI EPAL telah siap dan telah pun saya emelkan ke editor. Doakan ya. Now, ambik feel Majdina dan Zain pula. Sebab feel dah hilang mungkin kerana penat menulis MPE dan dengan bulan pose lagi kan? Saya minta maaf buat semua yang tertunggu-tunggu sambungan ni. Apapun semoga suka dan tunggu sambungannya lagi. Ni sempat buat 6 muka surat je. ;D

 Okey, jom layan sambungan Dia, Cinta Hati Saya. Maaf jika tak sempurna. Selamat meneruskan baki Ramadhan ya.

                                                                                   ***

“Barang-barang nak ke Port Dickson dah siap?” Zain pandang saya dan kemudian membuka pintu almari. Dia gantung jubahnya.  Saya duduk bersila di atas karpet. Jemari lincah melipat baju milik suami saya ini. Baju-baju dan tudung hadiah dari Husna turut sama berkumpul. Petang tadi selepas sesi meluah rasa sedih kepada Zain, habis saya punggah almarinya itu kerana mencari baju-baju milik dia yang sesuai untuk di bawa ke Port Dickson.


Saya pandang beg. Sebuah beg tersedia di sebelah almari. Angguk laju dan sengih. Haihlah Majdina, rasanya 24 jam saya sengih macam kerang busuk. Malam tadi, saya sepenuh hati dan rela mengemas dan memasukkan baju-baju milik kami berdua.

“Dah abang. Dina dah susun dalam beg tu. Rasanya cukup. Ala, kita ke sana pun dua hari saja. Tak lama mana. Bawak baju lebih nanti, berlebih pulak.”

“Dina jangan lupa bawa...errr...errr...” Zain jamah wajah saya. Dia sengih nakal sambil garu dagunya. Memandang saya yang sedang meneliti sehelai tudung pemberian Husna.

Zain garu pula kepalanya. Entah apa yang ingin dia suruh saya bawa. Dia terdiam dan bibirnya bergerak perlahan. “Ermmm....”

“Bawak apa?” Pintas saya lekas.

Zain tarik nafas. Mata kami bertemu. Sekali lagi jatuh ke hati. Suara Zain terus memukau jiwa. “Dina jangan lupa bawak hati dan jangan jatuhkan hati Dina ke mana-mana. Okey?”

Saya senyum lagi. Rasa bahagia. Saya mula berfikir. Mula mahu menjadi Majdina yang nakal. “Ohhh...Dina ingatkan abang nak suruh Dina bawa baju tidur seksi tuuuu….” Saya muncungkan bibir dan herot bibir ke kanan. Menjeling Zain.

Wajah Zain memerah. Saya ketawa. Dia gelengkan kepala. Zain tidak mampu menjawab usikan saya. Sekadar menjeling saya dan dia ketap gigi. Selang beberapa saat, dia tutup pintu almari. Berjalan perlahan terus ke arah saya.

Zain bulatkan mata. Senyum meleret. “Dua hari jangan keluar dari bilik. Duduk diam-diam okey. Dina dah janji kata dua puluh hari pun sanggup. Kan?” Jegilkan mata.

Gulp. Jantung berdebar bagaikan sedang dikejar seekor kuda jantan. Degupan jantung ini terus berganda-ganda bila Zain turut sama bersila. Ringan sahaja jemari Zain membantu saya mengambil baju dan spontan melipatnya. Lincah. Gurauan kami kembali hening.  Dingin bila kipas berpusing memberi angin.

Zain letakkan sehelai baju yang kemas dilipatnya. “Abang memang suka lipat kain baju. Dalam rumah ni memang abang yang tolong Husna dan umi lipat kain baju. Bolehlah suami ringankan tugas isterinya. Gosok baju pun abang suka.” Zain mula rancak berbual. Memang Zain pemalu. Zain diam sahaja bila di hadapan umi dan Husna. Tetapi bila duduk berdua di dalam bilik ini, Zain mula berbicara mengenai perihal dirinya. Dia itu, dia ini dan segala-galanya. Saya mula seronok mengenali Zain.

Saya panggung kepala. Memandang wajah suami tercinta. Angguk dan bibir rela untuk memberikan senyuman. “Suka. Nanti bolehlah abang tolong lipatkan baju-baju Dina ya.” Saya mengiyakan kerana Husna sudah bercerita serba sedikit mengenai abangnya ini. Kami malah belum lagi mengenali hati budi secara rapat. Makanan kegemaran Zain juga saya masih belum tahu. Ah, baru beberapa hari bergelar isteri. Sabarlah wahai hati. Pujuklah diri kerana kelak kami akan berkongsi apa sahaja.

“Dina suka tak kita pergi Port Dickson?” Zain dekatkan tubuhnya. Wajahnya nampak sedikit risau. Berkerut-kerut dahinya.

“Terlebih suka. Mana-mana pun Dina tak kisah abang.” Jantung berdegup lagi. Saya ketepikan baju yang sudah berlipat ke sebelah kiri. Tidak mahu mengganggu perbualan antara saya dan Zain. Saya dekatkan diri dengan Zain.

Jemari saya lantas dicapai. Dielus lembut. Zain mula meluahkan rasa hatinya. “Abang tak boleh nak bawa Dina jauh ke mana-mana. Port Dickson saja yang mampu. Dina terima ya?"

Saya hadiahkan senyum ikhlas. Merapatkan jemari Zain ke dada ini. Kalaupun kami tidak ke akan mana-mana, saya rela. Rela duduk sahaja di dalam rumah penuh cinta ini. Buang sahaja semua kemahuan sendiri mahu berbulan madu ke Italy, Paris atau Switzerland. Itu dahulu. Ke Bali pun saya tidak hingin lagi. Saya boleh menerima hakikat tidak bershopping sakan barangan mewah seperti selalu. Duduk di rumah ini sudah lengkap serba serbi. Seperti syurga.

Saya angguk. “Dina okeylah. Ala, abang jangan risaukan sangat. Tapi kan, Dina cakap terus terang yang Dina belum pernah sampai ke Port Dickson.” Senyum meleret.

“Eh, iya?” Zain mula membuang kegugupan. Kalau saya duduk di sebelah dengannya sahaja, Zain mula gelabah tidak tentu hala. Jantungnya berdegup kuat. Melebihi degup jantung ini.

“Kesiannya dia...”  Zain sengih.

“Betul tak pernah pergi?"  Tanya Zain lagi.

Mata menyeluruhi wajah tampan Zain. “Eh, betul. Memang Dina tak pernah pergi. Dulu ibu dengan papa saja yang selalu pergi. Kalau mereka ajak Dina pergi abang tahu Dina jawab apa?”

“Haa…Dina jawab apa?”

            “Tempat tak best!”

            “Tapi sekarang?” Bola matanya menyinar.

            “Dah best. Sebab abang ada.”
            Zain ketawa. Rancak nampaknya dia berbual-bual dengan saya.. Zain dekatkan tubuhnya. Dekat lagi dengan saya. Jemarinya menolak rambut ini. Saya tahu debarnya Zain kala ini. Saya sedar antara kami sudah ada hubungan sah. Malah menghalalkan. Lebih dari itu lelaki ini berhak ke atas diri saya. Hubungan kami belum termaktub. Belum terpatri dengan hubungan suci itu.

Suara Zain memberi rasa bahagia. Senyum sampai ke esoklah Majdina lagi. ‘Kalau begitu, kita duduk dalam bilik dua hari macam yang abang requestkan, boleh?" Zain senyum.  Saya mahu ketawa pun iya mendengar butir percakapan Zain. Satu-satu sebutannya. Gemuruh. Diam-diam, Zain ini nakal sebenarnya. Mana mungkin seorang lelaki menolak hubungan halalnya bila isteri duduk di depan mata.

“Boleh tapi dengan satu janji.” Aju saya kepadanya.

“Janji apa?” Zain bawa bibirnya ke kening ini. Dia kucup lembut. Hangat sahaja kasih sayangnya. Bahagia.

“Hadiahkan Dina sekuntum bunga matahari. Boleh ya?”

“Iya. Abang akan hadiahkan. Tapi lepas berkhidmat kepada suami tercinta. Okey?”

Kami ketawa dan sempat pula mata ini membalas renungan menggodanya. Sama-sama kembali berbual dan merancakkan malam yang semakin dingin. Kerinduan terhadap ibu lantas saya padamkan. Rasa hiba dan sedih saya simpankan di dalam hati. Saya tidak mahu Zain tahu yang sebenarnya saya sedang kesedihan merindui keluarga. Majdina, bukankah Majdina sudah serahkan diri kepada si suami Zain ini? Telapak syurgamu itu di bawah telapak kaki Zain. Ya, sesekali meski terasa bahagia duduk di sini, tetapi hati tetap meronta-ronta mahu bertemu keluarga. Mahu memujuk ibu menerima Zain dan bertemu juga dengan papa.

Esok bulan madu kami bermula. Esok juga hari saya akan mula belajar banyak perkara dari Zain. Dari menjadi isteri, melengkapi diri sebagai seorang Muslim dan menjadi menantu kepada umi.

Selepas malam menginjak. Tidur dengan nyenyaknya bersama lingkaran ubat nyamuk yang baunya seperti di rumah banglo nenda Mariah. Bunyi cengkerik di luar bersatu dengan angin sejuk. Pinggang ramping ini menjadi tempat Zain berpaut. Erat dia memeluk saya bersama tidurnya yang nyenyak.

Esoknya, syuruk kembali menjelma. Azan Subuh berkumandang dan suami saya tidak pula menunjukkan mahu ke surau. “Abang nak sembahyang dengan Majdina.” Zain kejutkan saya. Mengelus rambut ini dan bila mata terbuka, wajahnya terpampang depan mata. Senyum sampai ke telinga. Alhamdulillah kerana apabila mata terbuka, nikmat kasih sayang masih Allah anugerahkan kepada saya yang kerdil ini.

Saya mula solat Subuh. Solat Subuh pertama selepas bergelar isteri. Solat subuh berjemaah bersama suami saya Zain yang dikasihi. Saya sebenarnya sedang melukis kehidupan sendiri yang tanpa saya sedar penuh warna dan warni. Rupa-rupanya kisah cinta kami ini semakin panjang untuk dilakarkan. Kelak nanti kalian semua akan tahu kuatnya cabaran yang Allah turunkan untuk saya yang lemah ini.

Ironinya, cinta saya kepada Zain terus hangat bila selepas solat Subuh berjemaah itu, dia mendakap saya sepenuh hati.

20 Julai 2012

Jangan Rindui Aku




Apartment Reu Dutot. Tingkat 5. Tidak ada lif dan cik Yaya sayang perlu mendaki anak tangga atau kadang-kadang Izz Amir dukung sahaja dia bawa ke atas ‘bilik kecil’ atau syurga mereka.

Berhampiran dengan stesen metro Volontaires. Izz Amir kini sedang bekerja di Restoren Bong.

Mereka berdua boleh bersila di tepi jendela dan bergurau senda. Memandang langit yang cantik. 

pstt : Jangan Rindui Mr Pai Epal. Tunggu ya. Hehehe

05 Julai 2012

Dia Mardihah

Salam semua pembaca tersayang I. (hehehe) 

Jom ke group 'Dia Mardihah'.Oh yeayyyyy! Semua perkembangan penulisan saya di sini, di sini dan di sini.
  • Mr Pai Epal (Mr Pai Epal sudah ada page sendiri, tapi saya tetap kemaskini perkembangan di dalam group peribadi ini)
  • Yang Terindah
  • Dia Cinta Hati Saya
  • Mahu Memeluk Bulan
  • Nama Dia Joe
  • Mael, Suami Saya

Baca, komen, kritik dan berikan idea okey.
Sharing is caring!

Salam sayang,
Mardihah.


27 Jun 2012

Mr Pai Epal Bonus 2


Mr Pai Epal Bonus 2.

Doakan saya laju lagi menulis kerana manuskrip ini hampir siap. Plot sudah tersusun dan bonus ini untuk semua yang sentiasa ternanti-nanti
perkembangan kisah ini. Terima kasih semua untuk komen dan like like like.

Saya yang tak popular, (hahaha)
Mardihah. 
 
 lmh16

Dia sudah berkumis. Rambutnya panjang dan diikat satu. Kurus sahaja tubuh dan tidak terurus melihat bajunya. Sepanjang 1 tahun setengah yang berlalu ini, apa yang berlaku dengan kehidupannya?

Kenapa dia merenung aku sebegini? Mengapa ada air mata menitis di pipinya?

Mengapa dia mengangkat karung sampah dan keluar dari pintu belakang restoren mewah ini ?

Benarkah apa yang Zana katakan kepada aku tempoh hari? “Dia jadi pembantu dapur di restoren hujung sana tu, Yaya.”

Air matanya mencurah lagi.

“Dia sakit selama enam bulan selepas kau terbang ke Paris. Dia dihukum dengan kebencian umi yang meluap-luap kepadanya. Kerana Izz Amir masih setia menantikan kau, Yaya.” Suara Zana terapung-apung kala ini.

Bibirnya bergerak-gerak seperti mahu berbicara. Karung sampah yang sedang diangkatnya terjatuh. Dia terkedu. Aku tarik nafas. Merenungnya. Aku perhati susuk tubuhnya yang kurus ini. Wajah mendungnya penuh rahsia. Matanya berkaca-kaca. 

Ya, selepas tiga bulan dia berdiri menantikan aku di kota cinta ini. Setia merenung aku di depan apartment. Izz Amir kemudian menghilangkan diri sehingga aku sedar yang aku merinduinya. Dia sudah putus asa memujukku. Tetapi aku tahu, dia masih setia menyembunyikan diri di belakang bangunan itu. Lewat beberapa hari, bila aku menoleh, tubuhnya di belakang bangunan itu tiada. Sudah sebulan Izz Amir pergi. Selama sebulan itu juga aku kembali mencari dan menjejakinya. Adnan mahupun Munir, tetap mengatakan yang Izz Amir masih berada di sini. Dia menghilang tanpa khabar berita dan rupa-rupanya dia duduk di lorong ini. Oh tuhan…duduknya di lorong ini?

Kenapa dia tidak lagi berdiri di depan bangunan itu dan merenung aku. Kenapa Izz Amir tidak cekal menunggu aku yang sentiasa menyebut namanya di hati ini? Meski aku menolak dan rasa marah itu ada, aku tetap mencintainya.

Ya, dia Izz Amir. Namanya bernafas di jiwa ini. Semenjak pertama kali aku ditemukan dengan dia.

Kakinya melangkah setapak ke belakang. Dia nampak terkejut dengan kehadiran aku. Dia kesat-kesat air matanya.

“Umi buang dia dari keluarga, Yaya.” Suara Munir pula mengasak emosi. Penjelasan teman-teman seminggu yang lalu membuatkan aku diserang kepiluan.

Kaki aku melangkah. Perlahan-lahan berdiri di depannya. Aku masukkan jemari ke dalam baju sejuk. Bila aku renungnya, air mata aku untuk kesekian kali menemani. Hiba mengetuk pintu hati. “Kenapa awak tak makan ? ”

Dia diam. Matanya menunjukkan reaksi terkejut dengan sapaan pertamaku. Hampir dua tahun lamanya. Ini adalah pertemuan pertama meski sudah berkali-kali dia datang memohon maaf kepadaku. Ini juga kali pertama aku menyapanya.

Dia terkejut. Bibirnya bergerak lagi. Tetapi dia ternyata tidak mampu membuka mulut. Bibirnya seakan terkunci. Mati.

Angin berhembus lembut. Menemani pertemuan ini. Entah kenapa kaki ini kuat untuk berdepan dengannya. Air matanya laju lagi.

“Kenapa awak biarkan perut awak kosong dan sentiasa masuk hospital?” aku pandang dia.

“Kenapa awak tak makan sampai awak kurus macam ni? Makanlah sikit. Nanti kalau awak sakit, saya susah hati.” Ah – air mata aku laju dan terus deras . Dia sudah kurus. Nampak cengkung dan betul seperti orang sakit. Bola matanya tidak lagi bersinar seperti dahulu.

“Rambut awak pun dah panjang. Kenapa awak selekeh macam ni? Kenapa awak tak terus tunggu saya di depan apartment seperti selalu ? ”

Izz Amir kesat-kesat air matanya. Dia menangis dan setia merenung aku. Soalan-soalan aku membuatkan emosinya bergerak bersama air mata.

Aku gumam bibir yang bergetar. Senada dengan kesedihan yang membalut ruang hati. Melihatnya sebegini membuatkan aku jadi nanar. Simpati datang lagi.

“Kenapa awak masih sayang saya ? Kenapa?” 

Dia betul-betulkan topi yang menutup rambut. Tunduk menyembunyikan wajahnya.

“Dah malam Yaya, baliklah. Nanti awak sakit.” Akhirnya dia bersuara. Semudah itu dia menyuruh aku balik ke rumah. Aku gelengkan kepala.

Aku renung dia. “Kalau saya sakit sekalipun, saya tak kisah. Asalkan awak makan dan kembali sihat. Makan ya. Saya bawa nasi dan ayam sambal ni.” Cepat-cepat aku alihkan beg galas ke hadapan. Aku keluarkan bekal yang aku masak di rumah tadi. Bersungguh-sungguh aku menyelongkar beg galas ini. Aku mahu Izz Amir makan makanan yang aku bawa ini. Dari rumah tadi, aku sudah masak dan aku bertekad menemuinya di sini selepas dua hari aku menjejaki dia. Aku temui dia. Tuhan memakbulkan doa aku. Pertemuan telah kembali tercipta. Gigih aku menyusup masuk ke dalam restoren ini dan melihatnya bekerja di dapur restoren. Aku menunggu dia sehingga habis waktu kerjanya. Betul telahan aku yang dia keluar melalui jalan belakang. Ironinya, pertemuan antara aku dan dia mencipta berbagai rasa.

Di sini. Di lorong ini. Mata kami bersatu lagi.

Izz Amir senyum. Ada air mata di pipinya dan jantung ini terus berdebar hebat.

“Makan ya.” Aku hulurkan bekas berkenaan.

Entah kenapa air mata ini laju lagi. “Kalau awak tak makan, nanti awak sakit. Makan ya.” ‘perkataan’ makan menjadi topik utama pertemuan ini. Barangkali aku risaukan kesihatan Izz Amir sehingga aku asyik mengulang-ulang meminta dia supaya makan.

Izz Amir mengambil bekas dari pegangan ini. “Kalau awak yang masak, saya makan. Saya akan makan. Untuk teruskan hidup ini.”

Dia bersungguh-sungguh.

Akhirnya kami duduk bersila. Dia menikmati nasi dan sambal ayam dengan penuh jiwa. Aku perhati sahaja Izz Amir mengunyah. Cara dia makan seperti sudah lama tidak menyentuh nasi. Dia betul-betul kelaparan. Entah kenapa, bila kali kelima dia menyuap nasi, air mata Izz Amir mengalir lagi. “Sedap.” Dia senyum sambil tersedu hiba.

Sedetik itu juga, aku memeluk kaki ini. Aku menangis sungguh-sungguh di hadapannya.