Pages

26 November 2012

Nama Dia Joe 18


Nanti saya akan rindu saat-saat ketika kita bersama. Mawar, bila lagi kita akan bertemu? 


“Betul ni Param, Din dan Jiha ada sekali?” Mawar betulkan begnya. Joe hulurkan sebuah beg untuk dipegang oleh Mawar. Mawar ambil dan sengih lagi. Mereka sama-sama dah berdiri depan pintu lif. Tepat jam 1.45 petang tadi, Joe dah SMS. Tunggu saya kat depan pintu lif blok awak. Nanti saya naik atas.

Joe angguk. Ah, gasak. Sudahlah menipu Mawar. Menipu yang semua kawan-kawannya ada sekali. Dia siap kata, “Iya, semua ada. Param, Din dan Jiha pun ada. Bihun yang mummy buat ni memang untuk semua makan.”

“Haaa..kalau macam tu baru saya boleh ikut. Seram sejuklah kalau saya dengan awak duduk kat padang hijau tu. Pokok tu rasa macam nak tumbang timpa saya je. Lepas tu bulu roma ni asyik menegak je bila awak pandang-pandang saya. Haaa..awak jangan macam-macam Joe, nanti saya mengadu dengan Suri. Baru awak tahu!”

Joe hentikan kakinya. Budak ni memang nak kena dengan aku ni. Mulut membebel tak henti-henti. “Apa awak nak mengadu dengan Suri. Kalau awak mengadu pun ada saya kisah!” Joe terus tarik lengan Mawar dan mereka terus masuk ke dalam lif.

Mawar terkebil-kebil bila masuk ke dalam lif. Lif sudah penuh. Joe tolak bahu Mawar perlahan-lahan. Dia pastikan Mawar tak melanggar sesiapa. Akhirnya mereka berdiri dan bersandar di dinding lif. Berdiri. Berdua dan sama-sama tarik nafas. Joe masih belum lepaskan jemarinya yang erat lagi memegang pergelangan tangan Mawar. Dia pusingkan kepala pandang Mawar.

Mawar dongak dan ukirkan senyum manisya. “Awak…” Mawar gigit bibir.

“Iya…” Joe pusingkan kepala. Tak mahu pandang Mawar. Rasa jantung berdegup kebabom saja bila Mawar hadiahkan senyumannya itu. Ah, manisnya.

“Kita naik bas nak?” Mawar sederhanakan suara. Tahu yang Joe mahu bawa dia naik kereta. Entah kereta cap apa dia kurang cek pulak. Dah dua kali naik pun dia tak tanya Joe.

Bakul warna coklat, anyaman yang dipegang oleh Joe terjatuh. Inipun bakul yang mummy suruh Joe bawa. Kata mummy senang nak letak semua makanan dan piring plastik. Cawan pun mummy dah siap sediakan. Semua lengkap bagai. Serentak itu dia pandang Mawar. “What?” Joe gigit bibir. Eeee, geramnya dia dengan Mawar. Tanya soalan begini dalam lif yang ramai orang. Memang sengaja betul! Sengaja cari nahas.

Mawar sengih. Terkulat-kulat pandang Joe. “Errr..naik bas berangin sikit. Lama dah awak saya tak naik bas. Dapat tengok pokok, tengok jalan raya, tengok motor mat rempit, luaskan pandangan mata, dapat tengok pakwe hot atau handsome ke, haa…lama dah saya tak tekan loceng bas tu. Mesti dia rindu kat saya.”

Terdengar ketawa kecil beberapa orang penghuni apartmen. Joe juih bibir. Dia terus leraikan genggaman jemarinya yang tadi setia di pergelangan tangan Mawar. “Haaa…pakwe handsome hot sangatlah awak. Panas tau tak. Tak nak!”

Joe betulkan begnya. Sudahlah beg berat dengan kamera. Tikar dan buku pun dah bersumbat sama. Mawar nak ajak dia naik bas pulak. Isk isk. Minah ni harus diketuk kepalanya dengan cawan plastik ni. Haruskah membawa semua barang-barang ini naik bas dan turun bas. Dia gelengkan kepala. Mawar ni selalu buat dia tak bernafas. Lif sudah ke G. Mereka terus keluar. Masing-masing dengan haluan masing-masing. Mereka berdua terus melangkah sambil Joe pegang erat bakul coklat mummy. Ikut punggung Mawar yang memerintah berkali-kali.

“Yeay…kita naik bas. Yeay…Joe setuju!”

Mawar lambai-lambaikan tangannya. Cuaca separuh redup. Petang sedang menanti dengan damai. “Cepat awak. Nanti kita tertinggal bas!”

Joe hayun kaki. Gigit bibir. “Hei…siapa pulak yang setuju ni. Kita naik keretalah. Mawar. Mawar!” Joe menjerit kuat bila matanya mencari Mawar yang dah jauh berjalan ke depan. Mawar dah melepasi pondok pengawal. Tangannya sedang menahan bas. Joe tarik nafas, kumpul kekuatan untuk mengejar Mawar dan bas yang sedang menanti dirinya. Joe rasa nak cium pipi Mawar banyak kali hari ini Mawar  memaksa dia berlari dan peluh sudah lencun di belakang badannya. Akhirnya, nak atau tidak dia terus berlari-lari mengejar Mawar yang sedang mendaki tangga bas.

Semput! Mawar ni memang nak kena. Joe termengah-mengah sambil matanya ligat mencari Mawar. Mana pulak perempuan ni duduk. Dia betulkan beg. Bakul mummy dipegang erat. Mata memastikan air tidak tumpah. Mujur ada Tupperware. Cehh, dah macam iklan free je.

Rasa nak marah terus pudar bila dia nampak Mawar lambai-lambaikan tangan. Tempat duduknya sudah wajib sebelah Mawar. Yang pasti, matanya sedang memerhatikan pipi putih Mawar disimbah rona merah. Matahari petang sedang memerahkan pipi putih gebu Mawar. Mata Mawar bergerak-gerak bagaikan memberi arahan dia cepat supaya datang dan duduk di sebelah Mawar. Joe senyum. Mata nakal terus memerhatikan pipi Mawar.

Gulp, geram!

Akhirnya punggung Joe melekat di tempat duduk sebelah Mawar. Tarik nafas dan Joe menjeling Mawar yang sedang memandang keluar. Bas terus meluncur sederhana. Sekejap lagi akan laju berpusing di seluruh kota. Joe betulkan bajunya. Peluh dah rasa busuk. “Awak tahu tak?”

Mawar gelengkan kepala. “Tak. Saya tak tahu!” Ketawa.

“Eh dia ni. Saja je bagi saya marah.”

Mawar pusingkan kepala. Pandang Joe. Jelir lidah. “Iyalah, awak tak cakap apa-apapun. Manalah saya tahu.”

“Saya tak sempat nak tolak paksaan awak untuk kita naik bas. Saya nak naik kereta. Cuba dengar betull-betul. Kereta! Awak tahu tak, saya dah busuk ya amat ni. Penat saya sembur minyak wangi.”

Mawar jeling Joe. Juihkan bibir “Hello, awak nak pergi study. Baca buku. Bukan pergi mengurat!”

Joe terus letak bakul mummy sebelahnya. Mujur bas tidaklah sepenuh selalu. Beg galasnya dibawa ke depan.  Serentak itu, Joe cari jemari Mawar. Dia tarik jemari Mawar. “Shhhh….” Dan sekelip mata jemari Mawar sudah dibawa masuk ke dalam kocek seluar jeansnya.

Mata Mawar secara automatiknya menoleh memerhati Joe. Mata bertemu mata. Mulut Mawar terus terkunci. Dia langsung tak pasti apa perkataan yang boleh keluar melalui bibirnya. Joe sekali lagi membuatkan jantungnya berdebar. Sungguh dia tak tahu debaran apakah ini. “Dan kalau saya tak buat begini, sampai kita jejak padang hijau nanti awak tak akan berhenti membebel. Shhhh…” Joe ambil tangan kanannya. Buat gerakan zipkan mulut di depan bibir Mawar. Kepala Joe betul-betul berpusing dan kini matanya tepat menembusi mata bundar Mawar.

Mawar terkedu. Jantung berdetak laju. Bola mata mereka terus berlaga. Turut sama jemari Mawar kini sedang merasa betapa sejuknya jemari Joe. Sedarkah Joe yang dia sedang menggenggam jemari ini? Sedarkah Joe yang jemarinya sedang sejuk beku di dalam kocek seluar jeansnya?

Mawar cuba menarik jemarinya. Makin kuat Joe menggenggam. Joe sengih dan sekali lagi berbisik. “Kalau awak membebel lagi, paksa saya itu atau ini, saya cium pipi awak! Awak yang comel, tolong diam dan jangan berani pandang mana-mana mamat handsome dalam bas ni.”

“Suri…” Suara Mawar sedar tak sedar sahaja waktu ini. Joe dengar, tapi buat-buat tak dengar. Makin kuat dia menggenggam jemari Mawar. Sekarang, jemari runcing Mawar sudah ada dalam poket seluar jeansnya.

Mawar. Dia sendiri tidak pasti apa yang perlu dia lakukan. Menolak? Dia yakin sama sekali Joe bukan main-main. Joe juga bukan sengaja menggenggam jemarinya. Joe memang rela menarik jemarinya dan dia entah kenapa rasa terbuai di jiwa dengan sikap Joe ini. Mawar dah beberapa kali telan air liur. Menahan gelora cinta di jiwa. Apakah Joe ini gila membuat dia sebegini? Adakah Joe lupa bahawa antara mereka ada jurang yang tercipta. Bukankah Joe sudah ada Suri di hati. Masakan Joe lupa atau dia sengaja buat-buat lupa?

Dingin. Joe senyum sahaja bila angin memeluk wajahnya. Dia ukirkan senyum kacak bila menjeling Mawar yang sekarang diam macam batu. Kejung sahaja wajah Mawar tanpa reaksi. Hahaha. Agaknya dia takut aku betul-betul cium pipi gebunya itu. Bas terus bergerak laju. Joe seperti biasa, silangkan kaki dan sekali lagi dia menjeling Mawar yang sedang menguap-nguap.

Entah bila, akhirnya Mawar tertidur. Sama seperti pertemuan mereka di dalam bas. Sama seperti ketika dia menemani Mawar ke hospital. Mawar akan cepat tertidur bila duduk selesa di dalam bas. Mawar akan menguap-nguap sampai merah matanya. Mawar akan gigit bibir sambil terkebil-kebil cuba menarik-narik jemari di dalam kocek seluar jeansnya. Dia akan buat-buat tak tahu dan sambil itu terus genggam kuat-kuat!

Dan tangan kanan Joe terus beralih menarik kepala Mawar.  Dilentokkan sekali lagi ke bahu kirinya. Bas akan dibiarkan berpusing sebanyak dua pusingan. Kalau bas ini menjelajah satu dunia pun dia sanggup duduk berlama-lama di sini. Asalkan boleh menemani Mawar. Dia mahu Mawar di sisi. Mahu mendengar dengus nafas perlahan Mawar di telinga kirinya ini. Comel. Sehingga dia gelengkan kepala dan tersenyum sendiri.

Entah kenapa dia terus lupa pada Suri yang sedang setia menanti di depan pintu rumahnya. Hari ini, bukankah hari jadi Suri. Malam tadi, dia sendiri yang hantar SMS ucapan selamat hari jadi. Suri siap membalas dengan senyum lebar. You ingat birthday I. Tq sayang. Esok celebrate ok. I tunggu depan rumah you. 2.30 petang.

Dan Suri kala ini, sedang menekan-nekan loceng. Sudah sepuluh kali. Berdiri bagaikan patung menanti Joe yang masih belum membuka pintu apartmennya. Mana Joe? Bukankah Joe dah berjanji untuk bertemu dengan dirinya hari ini?

***
Joe turunkan beg galasnya. Keluarkan tikar dan membentang. Mawar masih terkulat-kulat berdiri macam patung cendana. “Oi oi…marilah tolong betulkan tikar ni. Saya dah lapar ni. Lepas makan baru boleh study.”

Mawar terus letakkan beg galas uzurnya sebelah beg Joe. Terus berlari dapatkan hujung tikar. Macam kanak-kanak dan tersengih. Mata Mawar pusing kiri dan kanan. “Awak, kita berdua je ni. Mana yang lain?  Saya dah lama tak jumpa dengan Jiha. Awak confirm dia datang kan?”

Angguk. Menipu lagi. “Iya, diorang datang. Setengah jam lagi mesti datang. Kalau tak siapa nak habiskan bihun goreng mummy ni.” Joe pandang wajah Mawar yang sedang terangguk-angguk macam burung belatuk. Dia nak ketawa pun ya.

“Okey. So, kita tunggu diorang datang lah ya?”
Joe cekak pinggang. Tarik nafas. “Mawar, boleh tak awak jangan membebel dan tanya fasal diorang lagi. Diorang datang ke tak ke, yang penting saya nak makan. Saya dan awak. Berdua kat sini. Eh budak ni, jangan risaulah. Nanti Param, Din dan Jiha mesti datang.” Joe naik rimas. Sebab Mawar asyik tanya sahaja fasal kawan-kawannya. Masuk ni dah masuk lima enam kali Mawar tanya.

Dan Mawar terkebil-kebil macam orang tak tahu nak buat apa. Harusnya aku menangis sebab segan ya amat dengan Joe. Entah kenapa feeling dah lebih berjuta-juta tan ni. Joe ni memang selalu buat aku dalam keadaan tertekan. Selalu renung-renung macam nak makan….selalu renung-renung macam mahu ditelannya aku ni. Arghh….ini duduk pula berdua di padang hijau seperti selalu. Berdua pulak tu. Mana semua ni? Mana Param dan Din ni? Perasaan yang mula-mula dulu bolehlah terkawal sikit. Sekarang, bila bab Joe dah berlagak macam aku ini pasangan kekasih dia, mulalah rasa nak terbang jiwa ini. Alahai Joe ini. Hati Mawar bercampur-aduk. Monolog itu dan ini sampai rasa nak terkencing pun ya.

Jiwa Mawar sebu semacam. Nak menangis pun iya ni. akhirnya,dia rajinkan diri membantu menyusun semua jenis makanan yang dibawa oleh Joe. Pujuk hati dan dia telan air liur. Berdoa dengan harapan Param dan Din membawa Jiha bersama-sama.

Akhirnya Joe dah baring bersama beg galasnya sebagai pengalas dan kaki lunjur ke bawah. Tangan macam biasa, pangku kepala dan memerhati Mawar yang terkulat-kulat buat kerja. Bakul mummy sedang disusun oleh Mawar. Semua makanan dan stok yang dia bawa dari rumah habis dikeluarkan oleh Mawar. Sudu, pinggan plastik, cawan plastik dan Tupperware air pun dah dikeluarkan oleh Mawar. Mawar perlahan-lahan susun sambil kawal nervousnya.

“Awak…” Joe panggil Mawar. Oktaf dua. Suara gemersik sahaja.

Mawar dah stabilkan diri. Rasa macam nak ambik garfu cucuk mata Joe. Jadi Kassim Selamat baru tau. Toleh pandang Joe yang sedang tersenyum. “Ya…”

“Duduk sini. Sebelah saya. Tengokkan Math saya ni. Mana tahu awak boleh jawab.”

Mawar sendukkan bihun yang mummy buat. Wahhh, matanya dah terbeliak. Perencahnya penuh satu alam. Ada ayam, sotong, daging dan udang. Sayur pun lengkap segala-gala. Perutnya terus berkeroncong maha lapar. Sendukkan bihun untuk dua piring. Keluarkan sandwich dan tuang air dalam cawan.

“Eh-eh..mummy awak masak sedapnya. Semua ni mummy buat?”

Joe angguk sambil menanti Mawar. Mawar memang sengaja buat kerja lambat-lambat. Mawar memang nak kena ni. “Iyalah awak oi. Mummy buat sebab awak. Excited terlampau bila saya kata nak ajak awak teman saya study kat sini. Kalau boleh nasi lemak dengan rendang pun dia nak buat.”

Mawar berdiri sambil bawa bihun goreng. Tangan sebelah pegang sandwic. Air nanti boleh ambil kemudian. “Laaaa..kenapa awak tak setuju je. Nanti Param, Din dan Jiha boleh makan jugak. Awak ni kedekutlah!”

“Mawar. Please cepat sikit datang sini. Saya lapar ni. Boleh tak awak jangan sebut nama Param, Din dan Jiha tu. Eeeeiiii, bernanah telinga ni.” Joe pandang Mawar. Heilah Mawar ni. Ingat lagi nama budak sekor-sekor tu. Sekelip mata dia keluarkan kamera dari dalam beg. Sambil betulkan kamera, dia menunggu Mawar yang sedang berjalan ke arahnya. Buku study letak tepi.

Dan kini Mawar dah duduk sebelahnya. Muka cebik sambil hulurkan sepiring bihun terus ke arah Joe. Sekelip mata mereka berdua sudah jadi seperti biasa. Mula berbual-bual seperti biasa. Sambil menanti Mawar habiskan bihunnya, dia sesekali curi-curi mengambil gambar Mawar. Kalau Mawar sedang tersenyum cepat-cepat dia klik!

Kalau Mawar hulurkan air dengan wajah seriusnya, cepat-cepat dia klik! Cantik. Lagi-lagi langit sedang berwarna biru. Juga ditemani dengan hijaunya padang ini. Turut sama menjadi teman ialah pohon rendang yang sedang meneduhkan mereka ini. Semuanya lengkap. Petang indah dan menawan dengan semua gambar di dalam kameranya kini dipenuhi dengan gambar Mawar. Gambar Mawar serius sambil jawab soalan matematiknya pun dia klik. Klik dan klik!

Dia senyum memerhati gambar Mawar. Mawar sebelahnya sedang berkerut-kerut dahi memerhati soalan matematiknya. Dia jeling Mawar. Perut dah penuh dengan isi makanan. “Dapat tak?”

Geleng kepala. “Tak. Otak dah berkarat. Lamanya tak study macam awak ni.” Mawar letakkan buku Joe. Joe letak kameranya. Dekatkan tubuh dengan Mawar. Lunjur kakinya sama dengan Mawar kini.  Kepala Joe macam biasa, ditongkatkan dengan tangannya.

Senyum sambil angkat kembali bukunya. Rileks sahaja Joe selesaikan jawapan matematik di dalam buku berkenaan. Pennya bergerak-gerak. Mulut Joe terkumat-kamit seperti membaca buku. Dia tenang menjawab. Lagi senang hati bila Mawar ada di sebelahnya.“Senang aje ni. Prof Kamil tu memang suka bagi soalan tak mencabar begini. Tengok, dah siap!”

“Wah!” Mawar dekatkan lagi dirinya. Mereka dah duduk berdua seperti selalu. Mawar terus ambil buku Joe. Perhatikan langkah penyelesaian yang dibuat oleh Joe. “Dah siap. Pandainya awak.”

Joe angguk. Senyum. Capai begnya dan letakkan di bawah kepala sebagai alas. Dia dah mengantuk. Bihun mummy ni memang sedap sampai buat dia mengantuk. Mata terpejam-pejam. Mawar di sebelah sedang menilik bukunya. Sambil pandang Mawar matanya terus layu.

Mawar terus menilik buku Joe. Sambil itu, dia  perhatikan Joe yang sedang terlena. Mata Joe terpejam-pejam. Nampak sikit terbuka. Kemudian nampak terpejam. Cepat-cepat Mawar ambil kamera Joe. Masih belum dioffkan. Dari tadi dia memerhati apa yang Joe buat. Dia tahu Joe curi-curi mengambil gambarnya. Dia tahu dan dia bukan budak-budak lagi.

Perlahan-lahan dia buka. Duduk diam-diam sebelah Joe. Sambil mendengar nafas Joe bersatu dengan angin, Mawar terus menilik kamera peribadi Joe. Sah! Gambar Mawar. Dia terpegun. Semuanya gambar dia. Di sini. Ketika menceduk bihun tambah untuk Joe. Ketika dia sedang menghulurkan sandwic. Segala-galanya ada. Hanya gambar dia. Mawar terus memeriksa. Kiri dan kanan.

Gambarnya ketika sedang sibuk menjual nasi ayam turut sama ada. Matanya terbeliak. Gambarnya di kolej juga ada. Ini gambar semasa dia dan Jiha sedang makan. Aik?  Jantungnya terus berdebae-debar. Perlahan-lahan engsotkan punggung. Dekatkan dirinya dengan Joe. Joe dah tidur. Joe dah berdengkur halus.

Dia pandang kamera yang diletakkan di atas tikar warna biru ini. Pandang Joe. Lelaki yang dah dianggap sahabat dan teman. Lelaki baik yang sudi membantunya. Dan kini dia lelaki yang sedang mengisi kekosongan hatinya. Joe.

Kenapa hati ini sebut nama kamu selalu Joe? Kenapa debarannya lain macam sahaja. Kenapa Joe? Mawar tanpa segan terus meneliti wajah Joe. Beralih memandang hidung mancung Joe. Bibir basahnya berwarna merah. Terus terang hari ini, barulah dia boleh memerhati Joe. Dengan betul dan tepat. Oh, betul kata Eriana…Joe memang kacak. Cuma rambutnya memang fesyen tak bersikat begini. Tapi dia suka melihatnya. Tulang rahangnya tinggi. Wajahnya putih bersih. Ada pun cuma kesan jerawat sahaja. Dua biji. Mawar tersenyum sambil memerhati.

Pegang jantung yang sedang berdegup kencang!

Serentak itu, mata Joe terbuntang besar. “Kenapa awak pandang saya? Saya ‘hemsem’ ya?” Joe terus bangun. Pandang Mawar yang terkulat-kulat betulkan punggung. Panas wajahnya. Merah pipi Mawar. Malu! Malu!

“Hemsem?” Eeee, rosak bahasa.  “Eeee..perasan. Bukan hemsemlah. Handsome. Siapa ajar awak BI?”

Joe sengih. Suka benar dia melihat Mawar sebegini. Bukan dia tak tahu yang Mawar memerhatikannya tadi. Dua minit. Dia mengira sambil tersenyum-senyum tadi. “Cikgu Loga. Tapi saya serius ni. Saya nak tahu.” Joe dekatkan wajahnya dengan wajah Mawar. Mawar kaget. Terpempan.

Mawar belakangkan badannya. Jauhkan sedikit tubuhnya dari tubuh Joe. “Tahu apa?” Garu pipi yang tak gatal. Ah, malunya. 

Joe bulatkan anak mata. “Kenapa awak tengok saya? Dah dua minit awak perhati wajah saya. Eee, saya hemsem kan?  Errr…awak suka saya ya?” Joe sengih.

Mawar terkedu. Langit terus berarak warna biru. Tenang dan meneduhkan jiwa.

“Errrr…errr…” Dia terus rasa nak lari bila Joe dekatkan wajahnya.

“Apa errrr…errrr.. cakap! Awak suka saya ya?” Joe terus memaksa. Tolak buku ke tepi. Makin dekat dengan Mawar dan dia makin nakal mahu mengusik Mawar.

23 November 2012

Nama Dia Joe 17


Kenapa awak pandang saya? Saya hemsem ya?

‘Hemsem’? Eeee…perasan. Bukan 'hemsem'lah. Handsome. Siapa ajar awak BI?

Cikgu Loga. Tapi serius. Saya nak tahu. Kenapa awak tengok saya? Dah dua minit awak perhati wajah saya. Eeeee..saya ‘hemsem’ kan? Awak suka saya ya?

Cet!







Seminggu. Sudah seminggu nasi ayam Mawar menjadi topik perbualan. Sana dan sini. Raju di Batu Caves turut sama datang. Bawa anak bini dan ketua kampung datang menikmati nasi ayam Mawar. John Labu pun sama. Siap menapau lima bungkus kerana kesedapan tahap mahadewa. Kata John Labu la.

Mawar senyum. Meski penat. Kadang-kadang tak menang tangan melayan karenah pelanggan. Duit keuntungan dia simpan di dalam bank. Mahu bayar balik modal kepada baba Joe. Mahu bayar sewa lori kepada Jackie. Asingkan juga untuk memutar kembali membeli barang basah. Stok penting ialah ayam segar, bawang, rempah ratus, buah-buahan dan juga beras. Kalau ayam dapat yang tak disembelih harus Mawar pengsan empat puluh malam. Kemudian Mawar juga sudah selesai membuat penyata kira-kira untuk seminggu. Belum sebulan, dia dah excited semacam. Macam baru dapat laki je bunyinya. Haha. Duit yang berlebih sikit, dia serah kepada Kenanga untuk membeli buku yang Kenangan mahu beli. Kata Joe, simpan dulu untuk serahkan modal kepada baba dan mummy Joe.  

Baru seminggu, dia seronok berniaga. Rasa semangat. Rasa macam baru bernafas. Rasa macam baru hidup je di bumi Malaysia ni. Sambil mandi, Mawar sengih seorang diri. Oh, duit sewa apartmen ini pun dia boleh beri kepada Joe. Wah….seronok…seronok.

Dari dalam bilik air dia dengar bunyi telefonnya berbunyi. Kring kring kring kring. Mawar tutup kepala paip pancuran air. Kain basah dipegang. Amati bunyi telefon yang tiba-tiba berhenti. Okey, berhenti. Kalau pemanggil tu rasa macam urgent sangat, dia mesti akan telefon semua. Mawar buka kembali paip pancuran. Nyaman mandi sambil ada sabun-sabun wangi cap Lux. Oh…oh…dia menyanyi. Lagu bawa daku pergi. Bergaya ala-ala Kaka. Ala-ala hip hop sambil berharap kain kembannya tak terlucut. Kahkah. Mawar sambil nyanyi pejam mata juga. Juga dia berharap Joe sahabat baiknya itu menjadi Zizan. Hahaha.

Bawa aku pergi
Pacu laju-laju
Kita lari dari realiti
Bawa aku pergi
Pacu laju lagi
Malah kita
Tak perlu kembali

Tengah malam nanti
Tolong jangan lupa
Jangan mungkir janji
Aku dah teruja
Sudah cukup lama
Aku tunggu saat ini
Sejak kali terakhir kau hantar pulang
Hidup sungguh sepi
Tolong jangan bilang mama
Tolong jangan bilang papa
Malah jangan bilang teman karibmu
Jangan bilang sesiapa

Kring kring kring kring. Ah, telefonnya berbunyi lagi. Minta diangkat. Syampu jenama Pantene berbau wangi. Buih penuh atas rambut. Mawar pasang telinga. Urgent sangatkah? Ummi atau Kartika agaknya. Adeiii… Mawar tutup lagi pancuran air.  Jadual berniaganya memang masih belum disusun. Seminggu ini dia masih belum berehat. Joe dah bising. Katanya, pak guard pun ada cuti, pekerja kilang hatta juruterbang pun ada cuti. Eee, rimas betul kalau dengar Joe membebel. Bising. Atau mesti itu Joe yang sibuk mahu aku angkat telefon. Otak Mawar ligat berputar. Eee, Joe ni!

Gerai nasi ayam operasinya jam 11 pagi sampai 4 petang. Boleh laku sebanyak 200 kepala. Okey, sila darab sendiri dengan sepinggan nasi ayam berharga Ringgit Malaysia empat ringgit lima puluh sen. Joe pun dah membebel. “Apesal murah sangat awak jual nasi ayam awak ni. Jual lah enam ringgit cik Mawar oi. Bila nak kaya ni?”

“Kedai saya. Pedulik la awak! Hehe.” Mawar jelirkan lidah. Akibatnya Joe cubit lengan Mawar sampai merah.

Mawar buka pintu bilik air. Pegang tuala dan memerhati lengannya yang berkesan akibat dicubit Joe. Mata Mawar pusing kiri dan kanan. Bergerak pantas. Kring kring kring kring dah berhenti. Awasi biliknya yang memang tidak ada sesiapa melainkan perabot biasanya. Rambutnya masih berbuih dan penuh dengan buih. Mengalir-ngalir bawa ke tapak kaki. Bilik basah kerana air belum kering. Mawar kesat jemarinya dengan tuala kecil atas katil.

Kring kring kring kring. Uiii…  “Oh mak kau!” Dia melatah. Belum sempat ambil telefon nak melihat siapa yang kaki urgent, dia berbunyi sekali lagi. Sah urgent!

Joe. Mawar sengih. Buih-buih atas rambut dah makin cair. Meleleh-leleh tepi pipi.

“Haaaa..awak. Nak apa?”

Joe sengih. Garuk kepala. “Nak awak!” Ketawa.

Buat-buat tak dengar. “Haaa..apa? Nak nasi ayam ya?” Mawar ketawa juga.

“Ish dia ni. Nasi ayam pulak. Jemu dah sebab hari-hari makan nasi ayam tu. Haaa…Apesal saya call sampai tiga kali baru angkat. Awak gi mana? Tidur ya?”

Angguk. Mawar geleng kepala. Fikir tiga saat. “Aaaaa….ya ya!” Menipu. Sebenarnya sedang mandi. Dah jam sepuluh malam baru terhegeh-hegeh dia nak mandi. Bila bau ketiak mula menusuk masuk dalam hidung, barulah Mawar sedar yang dia belum mandi. Oh, habis saja berniaga. Basuh semua besen-besen kat dapur. Dia pengsan. Emak di hospital diuruskan oleh Tuah dan Kenanga.

Buih makin laju menghala ke mata. Mawar terkebil-kebil. Joe mula fikir perancangan untuk Mawar. Mawar setuju atau tak, dia tak peduli. “Macam mana plan awak yang kita discuss tu. Awak cuti hari apa? Esok Sabtu. Takkan esok pun nak berniaga. Sabtu awak cutilah ya. Esok teman saya study kat padang tempat kita selalu lepak tu.”

Mawar cebik bibir. “Eh-eh. Suka hati awak je. Saya nak berniaga. Habis, nasi ayam saya tu macam mana? Sabtu mesti lagi ramai pelanggan. Saya nak kaya cepat!”

Joe tarik nafas. Pujuk lagi Mawar. “Esok teman saya belajar ya.”

“Eh, kan saya kata saya sibuk dengan nasi ayam saya tu. Tak nak!” Buih mula masuk dalam mata. Mawar tahan. Okey, pedih. Pedih. Macam mata masuk lada.

Joe mahu menang juga. “Tak. Saya tak kira. Esok awak kena cuti!”

“Eh-eh. Suka hati mak ayah tiri dia je. Huh!” Buih dah masuk mata. Mawar gosok-gosok mata.

“Saya tak peduli. Kartika dan Ummi saya dah call kata esok cuti. Esok tepat jam dua petang jom ikut saya…”

“Adeiii…pedih-pedih!” Mawar terloncat-loncat. Cepat-cepat pejam mata. Dah macam orang buta cari jalan ke bilik air.

Joe terkedu. Apa pulak masalahnya si Mawar ni. Apa pulak yang pedih ni? “Awak…eh. Kenapa? Kenapa?”

Mawar pegang dinding. Cuba buka mata. Sikit. Dapat. Dia cari pintu bilik air. Mana ni. Mana ni. “Ehh awak. Buih syampu ni dah masuk mata. Pedih. Pedih. Okey, nak sambung mandi. Okey. Bye!”

Mawar mahu campak telefon. Cepattttt….pedih dah ni. Suara Joe terus menjerit-jerit. “Ehhh awakkkkk!”

Joe sengih. Nakal. Suka betul Mawar ni mengelentong dia. Tadi kata tidur. Cet! “Oooo, patutlah suara seksi je. Hahaha. Tengah mandi ya?”

“Eeeee…gatal! Dah-dah. Pedih ni!” Mawar campak telefon tanpa dioffkan. Mawar tarik pintu bilik air. Perlahan-lahan masuk sambil terkapai-kapai cari paip pancuran. Pintu bilik air dia tutup. Zupp!

Dan Mawar di dalam bilik air sekali lagi menjadi Kaka. Bawa daku pergi menjadi lagu paling sedap dilagukan.  Gaya hip hop. Rancak. Berdendang-dendang suka hati dalam bilik air.

Bawa aku pergi
Pacu laju-laju
Kita lari dari realiti
Bawa aku pergi
Pacu laju lagi
Malah kita
Tak perlu kembali

Rangkap itu diulang-ulang. Sambil menjadikan botol syampu sebagai microfon. Penuh gaya sambil kain kemban menjadi teman. Kahkah. Mawar memang suka berangan-angan. Indah gaya nyanyiannya.

Dan Joe mendengar. Sambil tersenyum. Gelengkan kepala. Sampai satu masa dia ketawa terbahak-bahak. Mendengar jerit pekik nyanyian Mawar yang sedap didengarinya. Mawar ni. Kelakar betul!

Joe sengih nakal. Esok, dia dah suruh mummy buatkan bihun goreng. Mummy siap kata nak bekalkan satu bekas air oren dalam Tupperware biru. Siap juga dengan sandwic. “Mummy buatkan Joe dan Mawar sandwic ya. Mawar mesti suka mummy buatkan sandwic.” Ah mummy terlebih suka pula bila dia cakap nak bawa Mawar keluar ke ‘padang hijau’. Dia dah senaraikan apa makanan yang akan dibawa. Untuk mereka berdua makan di ‘padang hijau’. Dia dah beli empat roti coklat dan empat air kotak. Dalam beg sandangnya tersedia tikar yang baru dibeli. Tikar untuk mengalas punggung mereka berdua. Buku sudah siap untuk ditelaah pun dah dia sumbat dalam beg. Kamera canon pemberian baba pun dia dah siap sedia atas meja. Esok dia akan ambil gambar Mawar banyak-banyak. Kalau hari Sabtu dan Ahad, Joe memang suka belajar di padang luas menghijau itu. Pohon rendang itu memang sudah kenal bau Joe. Padang hijau itu juga sudah sebati menerima Joe sebagai teman karib. Cuma esok, dia akan ditemani oleh Mawar. Sekali lagi bersama dan berdua dengan Mawar.

Esok, dia akan bawa Mawar pergi. Ke ‘padang hijau’.

Esok, dia akan tersenyum senang sambil Mawar menemaninya. Gembira dan hatinya rasa berbunga-bunga. “Eh, mummy tengok Joe ni macam sukakan Mawar je. Cantik pun cantik dia tu. Mummy pun berkenan!”

Dan Joe senyum nakal sambil suara Mawar menyanyi dijadikan ‘loud speaker’. Menghiasi biliknya dan dia ketawa.  Bila awak nak berhenti menyanyi ni Mawar. Bila jugak awak nak habis mandi ni. Kita tak habis lagi borak dan bincang fasal esok. Tak sejuk ke Mawar oi!

Hahaha.  Joe ketawa sambil terbayangkan mata Mawar terbuntang. Cekak pinggang dan ketap bibir. Oh, comel!