Memberi seribu nostalgia dalam diri. Berlari-lari. Termengah-mengah jiwa. Saya menarik pelepah kelapa dan kemudian tertawa bersama sepupu. Kami bermain hujan. Hujan memberi seribu rasa. Dalam jiwa.
" Tini....naik atas...jangan main hujan..." mak berteriak. Saya dan kakak sepupu berpandangan. Kami berlari semahunya. Ke belakang dan ke arah lopak air yang jernih airnya. Hujan makin lebat. Dentum bunyi guruh tidak menakutkan malah menghiburkan.
" Kejap makkk......sikit lagi..." saya menjerit dan menarik tangan kakak sepupu supaya turun ke bawah. Rumah nenek yang mempunyai kawasan lapang cukup menyeronokkan. Air hujan yang turun dari atas bumbung kami tadah dengan badan. Semahunya kami bermain.
Lencun! Basah.
Gigi kami berketap. Menahan gigil semahunya.
" Kakkkk...se se se jukkkkk..." itu ucapku.
Kami ketawa mengilai. Zaman kanak-kanak yang menggamit.
Gigi berlaga. " Ha..a...se se se jukkkk..."
Air hujan yang sejuk. Asli. Jernih dan memberikan keriangan dalam zaman tersebut. Saya terlari-lari menghabiskan masa. Macam Jantan! Itu saya suatu masa dahulu. Kak Pijah menarik tangan saya membawa saya terus ke dalam lopak air semula.
" Kita main masak-masak...."
" Gila apa akak ni...?"
"Masak dalam hujan..."
" Tini jadi chef...akak jadi bos....akak akan arah masakan apa untuk dimasak...tau!!" jeritnya. Guruh dan kilat sabung menyabung. Kami tertawa. Memasukkan daun-daun kering ke dalam periuk bocor. Kemudian saya buat-buat masak seperti sediakala melihat aksi mak memasak di dapur.
Setengah jam bermain masak-masak, kami membuat kapal layar kertas. Longkang di kawasan rumah nenek menjadi pelayaran kapal kertas. Hujan terus menggila. Namun menyeronokkan. Kami berlari bersama kapal yang tersedia di dalam longkang. Air hujan yang lebat terus membawanya belayar. Saya berlari cemas. Akan menangkah kapal saya? Saya berlari menggapai impian. Impian supaya kapal layar saya memenangi pertandingan belayar di dalam hujan. Kami ketawa.
Kapal itu akhirnya lencun dan terperenyok kerana basah. Hujan semakin serasi. Tiada tanda mahu berhenti. Saya memenangi pertandingan perlawanan kapal layar. Mak sudah menggesit dan menjerit dari muka pintu. " Masukkkkk...nanti demamm..." Mak sudah bercekak pinggang. Marah.
Saya ketawa.
Hujan masih belum mahu berhenti.
Saya membuka tingkap yang berjeda dengan besi. Guruh semakin kuat. Menyalut dingin tubuh saya. Itu kenangan zaman kanak-kanak yang tak bisa saya lakukan semula. Namun saya rindu mahu bermain dengan hujan. Rindu untuk kembali ke zaman kanak-kanak semula. Riang. Terasa muda semula.
Saya menarik nafas panjang. Melepaskan lelah kenangan yang masih berbaki dalam ingatan. Arwah nenek sentiasa segar dalam minda. Rumah berbumbung zink dan bertiang kayu memberi naskah berharga. Rumah Melaka dengan beranda dan luas mata memandang. Dapur kayu yang sentiasa berasap. Sarapan yang bermacam-macam aneka. Belajar mengupas kulit kentang dan bermain sehingga tangan saya patah!
Saya ralit dalam kenangan lagi.
Nota : Hujan telah disiarkan di dalam 'Notes' Facebook Mardihah Adam.
maksu suka layan mandi ujan masa kecik2, enjoy :)
BalasPadamnostalgianyerrr..
BalasPadam