Pages

01 Oktober 2009

~Isme dan fikrah cinta~

Doa
Mengertikan Cinta yang mengolah novel pertama saya memberi makna kepada Lukisan Jiwa. Bait-bait harishauzah memang menjadi kegemaran saya. Gaya penulisannya yang mengkagumkan. Beliau seorang rakan saya yang menjadi peneman kritikan, penulisan dan banyak gaya bahasanya yang sebenarnya saya cintai. Doa saya untuk harishauzah lekas-lekas berkecimpung dalam dunia penulisan.

Testimoni
Pertama sekali, apabila ruang testimoni untuk belakang buku ; diberikan oleh editor untuk saya pilih seorang, orang pertama yang saya mahukan adalah Faisal Tehrani. Namun, kerana saya sedar, saya adalah seorang penulis baharu yang akhirnya mengalah dengan kekangan masa dan diri yang tidak punyai nama. Harishauzah sempat berpesan.. ’Kalau awak dapat testimoni dia, awak memang berjaya..susah dia mahu berikan testimoni kepada penulis lain’. Saya termenung panjang. Benar telahan rakan saya ini. Saya menghantar undangan yang tiada jawapan dan saya tahu jawapannya, selepas saya mengikut kata hati dan nurani. Untungnya, saya belajar untuk menjadi penulis yang perlahan-lahan mendaki kejayaan.

Pengalaman
Kemudian Harishauzah menjadi calon saya dan pilihan saya. Saya tidak mengenali dengan rapat nama-nama besar seperti Nisah Haron, malahan bersemuka dengan Puan Ainon Mohd juga saya sudah terketar lutut! Ini novel pertama saya yang pada pandangan saya harus saya kaji dan menjadikannya novel kajian kepada diri. Banyak pembetulan dan memberi pengalaman.

Pilihan
Saya sudah mempunyai pilihan untuk membantu Harishauzah yang saya kira harus saya berikan ruang untuk meladeni novel pertama saya juga memberikan ruang dirinya kembali menulis. Saya tidak memberikan manuskrip sepenuhnya kepada harishauzah kerana manuskrip saya pada permulaannya ada pembetulan dan harus saya perbetulkan dan dikembalikan kepada editor semula.

Berdebar-debar
Umumnya, saya sendiri terasa seolah bermimpi kerana perjuangan saya hampir 3 tahun dengan novel ini. Banyak yang saya belajar dan amati dalam menjadi penulis yang mahu melihat karya sulungnya diterbitkan. Berulang kali saya berbual dengan harishauzah menyatakan saya malu dan risau dengan pandangan ramai yang membaca Lukisan Jiwa. Pesannya :
“Tiada manusia yang ibadahnya sehebat Nabi s.a.w. Beliau menangis hingga lekuk di pipi kerana linangan air mata. Ibadahnya dan tangisnya hanya kerana takutkan Allah, takutkan neraka Allah. Khuatirnya maha hebat sedangkan dia seorang yang telah dijanjikan syurga... Jadi tiada apa yang kurang, dan tiada salah pula jika awak risau serta berasa kurang. Kerana itu adalah Fitrah”

Saya masukkan ulasan menarik harishauzah untuk bacaan semua dan juga boleh berkunjung ke laman sederhananya di sini

Mengertikan Cinta – Ulasan Harishauzah.
Isme dan fikrah cinta semuanya berbeza. Ada yang ikut mata, ada yang ikut hati dan ada pula yang turutkan apa sahaja. Falsafah dalam cinta lebih meninggi dan lebih mendalam lagi perbezaannya. Melayan perasaan yang selalu jatuh dan bermain dengan cinta, apa pula modal kita terhadapnya. Bagaimana pula mendalamkan pengertian dan pencarian cinta agar bisa mulus agar cinta itu cinta yang al-haq.Cuba kita hayati ini...

Cinta Mawaddah

Cinta yang sentiasa membuak-buak, sentiasa panas dan membara. Orang yang memiliki cinta jenis ini, selalu saja ingin berdua dan enggan berpisah. Selalu ingin memuaskan dahaga cintanya. Ia ingin memonopoli cintanya, dan hampir tidak menghiraukan perkara-perkara lain kerananya.

Cinta Rahmah
Cinta yang penuh kasih sayang, lembut dan sedia berkorban serta sentiasa siap untuk melindungi akan apa yang dicintaainya. Orang yang memiliki cinta jenis ini lebih mementingkan orang yang dicintainya berbanding dirinya sendiri. Baginya yang penting adalah kebahagiaan kekasihnya meskipun dia perlu menderita. Akan senantiasa menerima kekurangan kekasihnya dan selalu memaafkan kesalahan kekasihnya. Termasuk dalam cinta rahmah adalah cinta antara orang yang bertalian darah, seperti cinta orang tua terhadap anak juga sebaliknya. Al-Quran menyebut Al-Arham, Dzawi Al- Arham, yakni orang-orang yang memiliki hubungan kasih sayang secara fitrah, seperti kasih sayang ibu kepada anaknya, disebut rahim (dari kata rahmah). Sejak janin seorang anak sudah diliputi oleh suasana psikologi kasih sayang dalam satu ruang yang disebut rahim. Selanjutnya diantara orang-orang yang memiliki hubungan darah dianjurkan untuk selalu bersilaturrahim ertinya menyambung tali kasih sayang. Suami isteri yang diikat oleh cinta mawaddah dan rahmah biasanya akan saling setia.

Cinta Mail
Cinta yang sementara tetapi sangat membara. Cinta yang maha hebat sehingga menyedut seluruh perhatian hingga mudah pula melalaikan hal-hal yang lain. Secara khusus Allah menyebut perihal cinta jenis ini di dalam Al Quran dengan menyentuh kepada mereka yang berpoligami. Bila mana cinta itu mekar bugar kepada yang isteri yang muda (an tamilu kulla al mail) sehingga cenderung mengabaikan cinta isteri yang tua.

Cinta Syaghaf
Cinta yang sangat mendalam, suci dan memabukkan. Sesiapa yang diserang cinta jenis ini (syaghaf - qad syaghafaha hubba) semacam orang gila(mabuk cinta), lupa diri dan hampir-hampir tak menyedari apa yang dilakukan. Al Qur'an menggunakan istilah syaghaf ketika menceritakan peristiwa kemabukan cinta Zulaikha kepada Nabi Yusof.

Cinta Ra'fah
Iaitu rasa kasih ataupun kecintaan yang dalam hingga mengenepikan soal perkara-perkara yang haq. Contohnya apabila seorang ayah yang terlalu kasihkan anak sehingga tidak sanggup mengejutkan anak salat atas alasan kasih atau cinta itu tadi. Al-Quran menyebut istilah ini ketika mengingatkan agar jauhilah cinta ra`fah kerana ia boleh menyebabkan kita tidak menegakkan hukum Allah( khusus dalam kes zina.

Cinta Shobwah
Sebuah cinta yang buta, cinta yang selalu mendorong perlakuan yang menyimpang tanpa ada kekuatan diri dari mengelakkannya. Allah menyebut perihal cinta ini didalam Al-Quran apabila menggunakan istilah Sobwah ketika mengisahkan bagaimana Nabi Yusuf berdoa agar dipisahkan daripada Zulaikha yang saban hari menggodanya, nabi Yusof memohon agar dia dimasukkan ke penjara saja kerana khuatir lama kelamaan beliau akan tergelincir juga ke dalam perbuatan itu.

Cinta SyauqIstilah
Ini adalah bersumber daripada sebuah hadith yang menafsirkan ayat 5 surah Al-Ankabut yang menyebut barangsiapa rindu berjumpa dengan Allah pasti waktunya akan tiba. Kalimat kerinduan ini kemudian diungkapkan dalam doa ma'tsur dari hadis riwayat Ahmad; wa as'aluka ladzzata an nadzori ila wajhikawa as syauqa ila liqa'ika, yang bermaksud, aku mohon dapat merasakan nikmatnyamemandang wajahmu dan nikmatnya kerinduan untuk berjumpa denganmu. Menurut Ibnu Al-Qayyim Al-Jauzi dalam kitab Raudlat Al-Muhibbin wa Nuzhat Al-Musytaqin, menyebut bahawasanya Syauq (rindu) adalah pengembaraan hati kepada sang kekasih (safar al qalb ila al mahbub), dan kobaran cinta yang apinya berada didalam hati sang pecinta, hurqat al mahabbah wa il tihab naruha fi qalb al muhibbi.

Cinta Kulfah
Satu perasaan cinta yang disertai dengan kesedaran mendidik kepada hal-hal yang positif meskipun sulit, seperti seorang ayah yang menyuruh anaknya mengemaskan rumah walaupun si ayah tadi mempunyai pembantu. Cinta jenis ini disebut Allah di dalam Al-Quran ketika menyatakan bahawa Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya, La yukallifullah nafsan illa wus`aha.

Nah sekarang faham kah kita apa itu cinta ?, cinta jenis apa pula yang kita lukiskan di jiwa kita ?, lukisan apa pula pada jiwa mereka yang kita cinta ? Lukisan jiwa apa... ?

3 ulasan:

  1. maryam khalilah4/10/09 20:27

    Salam.
    Mardihah,

    Saya mengikuti perkembangan sdr. Tahniah kerana berjaya menuliskan sebuah cerita. Pun, saya belum berkesempatan membacanya.

    Saya harap sdr tidak berhenti di sini. Setiap penulis harus menulis lebih baik daripada yang sebelumnya. Maksudnya, perkara yang ditulisnya juga harus lebih cerdik dan lebih mencabar minda khalayak daripada hasil sebelumnya.

    Sdr bergiat dalam Nisa, bukan? Ambil satu isu yang dibincangkan dalam Nisa dan selesaikan mengikut pemikiran sdr. Elemen cinta boleh, tetapi dasar dan asasnya harus yang menjana pemikiran ummah. Elemen tersebut tersebut hanya disentuh, bukan dijadikan tunjang cerita.

    Kelak barulah saya boleh memanggil sdr penulis berwibawa.

    Renung-renungkanlah.

    BalasPadam
  2. salam maryam,

    nama yang menarik hati saya. Terima kasih sudi menulis di laman sederhana saya ini. InsyaAllah, saya akan usahakan genre sebegitu. Kekangan masa saya dan perjalanan akan terus saya gagahi.

    Terima kasih mengikuti perkembangan saya. Semoga kita beroleh manfaatnya bersama. InsyaAllah.

    BalasPadam
  3. untuk apa bercinta kak dihah?

    BalasPadam