Pages

10 Januari 2013

Andai Gerimis Berhenti 1


Tetiba letak gambar ikan ko. Haha. Tapi Andai Gerimis Berhenti memang ceritanya fasal ikan-ikan sikit. Tak tahu nak letak siapa heronya. Bayangkan hero seperti kaver novel di belah kanan ni jelah ya. Andai Gerimis Berhenti boleh pesan melalui talian di SINI. Tapi awas, kerana di dalam novel bukan menggunakan kata ganti diri 'saya'. Untuk yang telah tinggalkan komen di bab prolog yang ingin memiliki novel ini, nanti saya pm ya. Boleh juga order terus dari saya dan akan diposkan.

Kolam ikan air tawar ini telah memberikan kepuasan. Jelas dalam mata saya. Betapa saya penuh gembira dan mengucapkan kesyukuran ke atas rahmat dan rezeki Ilahi. Emak dari jauh memandang. Penuh kasih dan sayang. Emak bersimpuh penuh tertib di pondok kecil. Meski pondok tersebut kecil namun utuh. Pondok yang sentiasa memberi saya teduh. Teduh dari gerimis, hujan dan ribut petir.

Saya terkenangkan kepada kebaikan pemuda itu. Ya, Ustaz Zul. Dia yang memulakan idea dan sokongan kepada saya untuk menjayakan usaha ini. Kelihatan beria-ia dan pada saya ia bukan yang mudah untuk saya capai sendiri. Namun kerana pujukan dan semangatnya, saya menjadi kuat dan yakin dengan kemampuan diri.

“Saya yakin awak boleh berjaya, InsyaAllah.” Pemuda itu melepaskan lelah.

“Ustaz yakin dengan saya?” Saya tersenyum. Membetulkan tudung yang berkibar-kibar perlahan. Angin sepoi-sepoi menyapa kami berdua. Kami beriringan ke ladang. Ladang sayur-sayuran miliknya menguntum senyuman. Menghijau. Sawi, kacang panjang dan terung. Sayur itu sahaja sudah cukup menampung kehidupan Ustaz muda ini. Saya tabik penuh semangat dengan usahanya.

“Ustaz Zul. Saya hanya seorang. Abang kandung saya seperti yang Ustaz tahu, tak lagi duduk dengan kami. Adik saya pula sedang belajar. Saya rasa macam tak yakin dan tak mampu untuk mengusahakan cadangan ustaz tu. Lagipun ayah dan emak saya yang sakit tu perlu diuruskan juga. Saya ni, haih....nasib baik pengajian pun dah habis. Takat Diploma yang segulung tu, mampukah saya untuk bersaing dengan orang lain, Ustaz.” Saya menoktahkan bicara, kemudian memandangnya.  

“Aisya, Allah menetapkan rezeki dan jalan kehidupan manusia berdasarkan apa yang diusahakannya. Emak ayah Aisya tu bukannya sakit selalu. Orang tua, sakit biasa-biasa sahaja bukan? Janganlah awak rasa putus asa. Usaha tangga kejayaan Aisya. Jangan mengeluh. Ladang saya ni, kemungkinan adik beradik saya yang akan usahakan juga. Bila maju, kita akan fikirkan jalan terbaik. Saya juga harus fikirkan pengajian saya yang tertangguh. Rezeki masing-masing siapa tahu, bukan?” Pujuknya memakan seluruh jiwa raga saya.

“Saya cuma tak yakin sahaja.” Sekali lagi rasa putus asa. Ada nada kecewa.

“Tapi saya yakin. Saya yakin dengan kemampuan awak, Aisya.” Kami berbalas senyuman. Pertemuan tidak sengaja itu cukup mengejutkan. Ustaz itu menantikan saya dan menemani saya sehingga ke perkarangan surau. Cukup molek benar sikapnya. Kerana gerimis itu, payungnya menjadi milik saya dan kami berbalas jiwa.

“Ambillah payung saya. Untung-untung jadi peneman Aisya semasa gerimis. Saya suka saat gerimis sebegini. Rahmat dari Allah.”

“Terima kasih.” Hanya itu. Itu sahaja mampu saya ungkapkan.

“ Oh ya. Saya ada perancangan untuk masa depan tanah milik ayah Aisya di hujung kampung tu  Kami pemuda kampung dah mengenal pasti beberapa projek untuk faedah masyarakat dan pemuda yang menganggur. Jika berminat, mesyuarat akan diadakan hujung minggu ini. Jam 9.00 pagi. Silakanlah Cik Aisya.”

Saya angguk sebelum ucapan salamnya mengakhiri pertemuan. Azan maghrib dari Bilal Ahmad meyakini langkah saya. Hakim di sebelah tersengih-sengih.

Hakim kenyit mata. “Amboi-amboi, dapat payung. Hakim nak tumpang, boleh?”

“Sibuk je dia ni tau! ”Saya mendepangkan payung bersama adik bongsu saya. Kami berkongsi payung menuju terus ke surau. Sambil Hakim tidak habis-habis mengusik.

Kami tertawa. Hakim membetulkan kain pelikatnya. “Ustaz janggut tu kacaknya. Manisnya dia macam gula-gula. Apa pendapat Kak Ngah ya?” Hakim mengangkat keningnya berkali-kali. Tersengih-sengih macam kerang busuk. Bersama mulutnya yang dimuncung-muncungkan.
“Sibuklah!” Saya ketawa, jeling manja dan meninggalkan Hakim di penjuru surau. Ustaz Zul menantikan Hakim dan senyum mereka pada saya membuatkan jiwa penuh kacau ketika menuju kusyuk dalam ibadah. Ahh..ustaz janggut itu! Buat saya tertanya-tanya.

Saya melihat gerimis. Gerimis itu juga akhirnya menghadiahkan perpisahan kami. Ustaz Zul menyambung pengajian ke Mesir. Meninggalkan saki baki persahabatan kami. Persahabatan sepi yang tidak pernah mengundang erti untuknya. Tetapi penuh erti dalam jiwa saya. Tidak ada berita darinya. Entah hidup atau mati. Namun saya masih ada kenangan dan setiap nasihat darinya. Saya terpandang-pandang wajah Ustaz Zul kala ini. Dalam gerimis sebegini menerbitkan rasa rindu juga. Ya Allah, apa kena dengan diri saya ini? Kenapa saya sukar melupakan wajah jernihnya. Segaris senyumnya juga.

“Kak Ngah, naik lekas ke sini, gerimis dengan hujan panas ni... nanti demam.” Hakim melambai-lambai. Buku di ribanya mencuit naluri ini. Adik bongsu saya ini memang tekun beelajar. Waktu menemani saya di kolam ini pun, dia masih membawa buku dan belajar. Peperiksaannya pun bakal tiba tahun hadapan. Semoga usahanya mencambahkan benih bahagia untuk kami sekeluarga. Kalau saya bebel-bebel kerana tahap rajinnya belajar pun sebenarnya telah menyerapkan rasa bahagia kerana usaha sungguh-sungguh Hakim itu. Untung-untung boleh saya menumpang kejayaannya. Iyalah kan, dia adik saya yang kacak!

“ Ya. Kak Ngah naik. Sabarlah.” Saya berlari-lari anak. Memacu kaki segera ke arah emak dan Hakim.

“Sudahlah tu Kak Ngah, mari kita balik. Berehat pulak. Ayah kamu balik dari kedai nanti, tengok emak tak ada kecil hati lagi. Makan seorang diri kat dapur tu, merajuk lagilah nanti ayah kamu. Cepat. Jom. Jom! ” Emak bangun membetulkan lipatan kain batiknya.

“Emak, kak ngah baru saja nak jejakkan kaki ke sini. Kak ngah beri ikan-ikan ni makan dahulu. Emak balik dulu dengan Hakim ya? Kak Ngah balik kejap lagi, akan ikut dari belakang.” Saya memujuk emak dengan penuh hati-hati. Ah – wajah emak sudah masam! Macam cuka pun iya.
“Degil. Sekejap lagi akan hujan. Tengok langit tu. Dah hitam campur kelabu. Lekas balik!” Emak merajuk lantas menarik tangan Hakim dengan  kuat.  Saya tertawa.

“Baik bos. Kak ngah balik sekarang jugak!” Saya mengesat-ngesat tangan dengan tuala. Emak turut tertawa melihat saya mencebik mesra. Saya yakin, emak masih tidak membenarkan saya duduk di sini keseorangan diri. Hakim selalunya menjadi mangsa menemani atau emak akan datang juga ke sini sekiranya saya lewat seperti biasa.

“Kak ngah tu tengah angaulah mak. Menantikan Ustaz Zul janggut. Yang tak kunjung tiba. Bagai menunggu bulan jatuh ke riba. Ha ha ha. Sudah satu tahun menghilang, entah-entah dah berkahwin dengan gadis Mesir. Atau angaukan abang Najmi kekasih hati zaman kecil-kecilnya dahulu. Lagi pulak kacak kalah artis orangnya. Yang mana satu pilihan hati, kak ngah?” Hakim kenyit mata. Selalu mengusik. Dia tambah rencah lagi.  Haa...jawab-jawab!” Hakim cekak pinggang.

Saya tarik telinga Hakim. Jeritan Hakim kini menjadi teman. “Eeeeee...sibuk benor dia ni tau! Emak tengoklah Hakim ni. Jahat betul!” Kami tertawa bersama. Gerimis terus menjadi sahabat dan teman perjalanan kami.

Gerimis mencipta suasana. Perjalanan kaki saya baru bermula. Bersama cita-cita yang terus tertulis. Mekar dan bersama kenangan yang sukar saya jangkakan. Kehidupan saya bermula dengan penuh warna warni. Tuhan itu maha Pengampun dan Pengasih. Bersama kudrat ini, saya gagahi meneruskan kehidupan. Saya tersenyum penuh makna. Saya memandang jauh kolam yang memberi semangat. Saya yakin. Allah Maha Mendengar.

2 ulasan:

  1. Tak boleh nak ulas apa apa lagi . . .cerita pendek sangat n watak2x dlm cerita ni tak berapa nak kenai lagi..... Waaaa mengantuknya selamat Malam

    BalasPadam
  2. Tanpa Nama14/1/13 08:18

    oh..saya sukakannya.

    BalasPadam