“Aisya Husna..bangun. Bangun.” Suara
Hakimi menerjah masuk ke dalam gegendang telinga. Sahut menyahut suaranya.
Aku bangun. Betulkan tudung yang sedikit
herot. Dia senyum tetapi mata melarikan diri memandang pemandangan luar. Tubuh Hakimi
yang tinggi jauh beberapa meter. Beg di atas bas diturunkan ke bawah. “Jom. Kita
dah sampai.”
“Haaa?” Aku macam tak percaya.
“Sampai mana?”
“Perlis.” Mandatar sahaja. Hakimi segera
membawa tubuhnya. Turun segera dari bas. Terpisat-pisat dan aku bingkas
membangunkan diri. Mana Shamsul, sahabat Hakimi yang dikatakannya tadi?
Mata meliar. Tubuh rasa letih. Tekak terasa
perit. Sebuah kereta menantikan kami. Shamsul keluar dari kereta. Hakimi meluru
ke arah Hakimi. Mereka berpelukan dan mata Shamsul menyeluruhi wajah aku yang
mendung ini. Kaki perlahan-lahan mengikut Hakimi dan Shamsul yang berada di
tanah lapang sana.
Seorang wanita bertudung pendek menemani
kami. Siapa dia, entah…aku tidak pasti. Mengenalinya pun tidak termasuk dalam
minda kala ini. Namanya pun entah apa aku tidak tahu. Aku lebih mudah
menyendiri. Selepas menyalaminya, aku berdiri sambil mendengar bebelan Shamsul
untuk Hakimi.
“Salah ni Hakimi. Kau dah bawa anak
orang lari dari rumah.” Suara Shamsul perlahan sahaja. Tetapi cukup ranum masuk
ke dalam kepala.
“Aku terpaksa.” Hakimi menjeling aku.
Aku tunduk. Wajah abang long Zain, kak
Majdina dan umi terbayang-bayang lagi di peluput mata.
“Kau dah yakin nak kahwin kat Siam ni?”
“Aku yakin.” Suara Hakimi deras lagi. Penuh
ikhlas sambil memandang aku. “Dari aku
takut kami terbabas buat maksiat, lebih baik aku kahwin dengan Husna. Lebih mudah
dan aku dah siap-siapkan semua dokumen. Lepas ni aku dan Husna nak terbang ke
London. Aku nak bawa dia ke sana sebagai isteri aku.”
“Emak ayah dan adik-beradik dia tahu?”
Diam. Jiwa aku rasa sebu. Hati mendayu-dayu.
Perasaan entah kenapa libang libu. Rasa sedihnya hati ini hanya Tuhan yang
tahu. Hakimi menggelengkan kepala. Rindunya mahu memeluk umi. Sayangnya dengan
kenangan kami adik beradik. Antara aku dan abang Zain tersimpul ikatan jiwa di
hati.
Shamsul berjalan perlahan-lahan. Sudah berdiri
pula dia di hadapan aku. Bawa Hakimi juga ke hadapan aku. Bersama peneman kami
si gadis yang aku tidak tahu namanya ini.
“Aisya Husna…” Shamsul menyeru nama aku.
Perlahan. Hakimi menyorot wajah aku. Sekali pandang dan kemudian matanya tunduk
rapat memandang bumi.
Suara Shamsul keras. Peringatan jelas
untuk aku dan Hakimi. “Kalau boleh beritahu keluarga yang kamu selamat. Jangan susahkan
hati emak, ayah dan ahli keluarga. Abang tengok Aisya Husna ni baik orangnya.
Hakimi ni pun baik juga tingkah lakunya. Kalau betul nak kahwin dengan Hakimi,
buatlah cara yang betul dan tepat. Memang abang dan kakak Siti ni boleh
membantu, tetapi kami tak nak bersubahat kahwinkan kamu di Siam. Jika ada
masalah lepas kahwin nanti, bagaimana?”
Wajah Hakimi merah. Seperti dibakar
mentari yang tegak di atas kepala. Aku panggung kepala, membawa bola mata memandang
Hakimi. Aku kumpul semangat dan keyakinan yang kadang kala rapuh untuk
keputusan hidup dan mati ini.
“InsyaAllah. Husna akan telefon abang
long Husna. Bukan Husna belakangkan keluarga. Masalahnya saya tak diterima
keluarga Hakimi. Nanti saya takut umi dan abang long akan dipersalahkan oleh
keluarga Hakimi. Lebih baik sahaja saya mengikut Hakimi dan saya bersetuju
berkahwin dengan Hakimi. Keputusan saya tepat. Saya tak akan balik sama sekali
dan tak mahu menyusahkan umi dan abang long saya.”
‘Abang’ Shamsul kerutkan dahi. Nampak pasrah
dengan segala jawapan aku. Hakimi senyum sambil menarik nafasnya. Otak aku
berputar lagi. Sungguh hidup aku ini bagaikan drama dan disusun seperti plot di
dalam novel. Pasrahkah aku ini Aisya Husna?
Suara abang Shamsul dan kak Siti bersatu
dengan angin. Entah apa yang mereka tazkirah dan pesankan, aku tidak pasti. Telinga
sudah beku. Gegendang ini bagaikan tidak mahu menerima apa-apa lagi nada suara.
Tinggi mahupun rendah.
Yang pasti…kaki aku mengikut sahaja
hayunan Hakimi. Bagaikan aku ini pasrah dan menyerah dengan takdir yang sedang
aku cipta sendiri. Zikir-zikir yang sentiasa menjadi peneman menjadi penawar
diri. Aku ini mengikut kata-kata syaitan atau nafsu sendiri? Budak baik macam
aku ini boleh pula berkahwin lari seperti cerita yang disisipkan di dalam
kebanyakan lambakan majalah di Malaysia.
Aku sama sahaja seperti mereka. Detik ini
dan detik mendatang itu, aku tidak tahu apa akan jadinya. Kami sudah masuk ke
dalam perut kereta Honda. Menyusur laju dan aku membisu. Tidak ada cerita lain
hanya mata merenung alam semulajadi dan bumi Malaysia yang akan aku tinggalkan.
“Lepas nikah, kita akan pergi London. Duduk
di London.” Suara Hakimi lewat beberapa malam dahulu menganggu halusinasi. Janjinya
sama seperti hari ini.
“Abang janji akan jaga Husna baik-baik.
InsyaAllah semuanya selamat lepas kita pergi London.”
Janji? Benarkah Hakimi akan mengotakan
janjinya itu kepada aku. Mata menyorot lagi pokok-pokok yang tegak berdiri di
sepanjang jalan. Kak Siti menghulur sebuah telefon bimbit kepada aku.
“Telefonlah abang Zain Husna ya. Katakan
Husna selamat dengan kami.”
Serentak itu aku memandang mata kak Siti
yang bersinar-sinar. Jemari aku ditarik dan telefon diletak di atas jemari ini.
“Hakimi kata Husna ada seorang abang yang baik. Ada seorang kakak ipar yang cantik
bernama Majdina. Juga seorang umi yang sentiasa tersenyum dengan Husna. Husna
mesti rindukan mereka semua kan?”
Ah – aku rindukan umi, abang long dan
kak Majdina. Kelopak mata terasa dipenuhi genangan air mata. Suara umi dan
senyuman abang long bagaikan menari-nari di tubir mata.
“Telefonlah. InsyaAllah…Husna akan dapat
restu dari mereka semua.” Kak Siti menghadirkan rindu di hati.
Dan air mata mengalir-ngalir lesu. Bahu terhinjut-hinjut
menahan keesakan tangisan sendiri. Aku terus memeluk kak Siti dan perjalanan
ketika itu disimbahi dengan seribu kepayahan. Antara paksaan hati dan jiwa yang
meronta-ronta untuk memeluk semua kesayangan aku itu.
Maafkan dik Husna. Maafkan dik Husna.
Best....
BalasPadamada sambungannnnnnn.terima kasih :D
BalasPadamHusna budak nakal.... kesian dekat Umi n Abg Zain
BalasPadamIkut Bukit Kayu Hitam lebih mudah kot...hihi
BalasPadam