Pages

08 Disember 2010

Kekasih Hati

1 tahun kini,
Pada tanggal 1 Muharam,
Diakadkan,
Kerana Ilahi.

Hijrah,
Membawa erti,
Pada diri.
Pada kekasih hati,
Membawa erti,
Menjadi sepasang suami isteri.

Semoga kekal abadi,
Bahagia bagai merpati sejoli,
Sehingga di syurga setia menanti.
Nota kaki : Selamat menyambut Maal Hijrah.

06 Disember 2010

Gua & minyak & tol

Saya sedang membikin dan menukang sebuah novel fantasi. Kemudian novel tauhid islami yang perlu dan mempunyai banyak bahan terpaksa saya ketepikan buat sementara waktu. Target saya penghujung Disember ini novel fantasi mendebarkan ini siap! Kemudian akan menyambung masa dengan novel tauhid Islami ini.

Doakan saya ya, kawan-kawan!

Blog ini juga adakala saya singgah dan adakala saya sapu-sapu agar ia menjadi bersih. Maaf kerana tiada cerita sensasi meski isu minyak, air dan gula mendadak naik.

Saya mendapat satu reaksi seorang teman ketika berbual-bual dengannya.

"Tol juga semakin lama semakin banyak. LEKAS, KESAS, NKVE, PLUS, FEDERAL, LAKSA, DUKE, SKVE, BESRAYA, LDP. Omak ai! Jalan sikit tol, jalan sikit tol. Gua kadang-kadang merungut juga dengan tukang tol tu!

Gua sendiri tak tahu mahu cakap bagaimana. Sebab orang-orang Malaysia semakin hari semakin kaya.

Gua bengang sungguh!

Minyak naik, tol sana sini, gula naik, adakah mereka kisah? Gua rasa macam tertipu sungguh."

29 November 2010

Disember menjejaki - Eksklusif!


Tiba-tiba saya terkenangkan kembali kisah-kisah sebelum perkahwinan antara dirinya. Tersenyum malu pula saya. Mari ketawa tersenyum sipu! Ngeee~~~ Yalah, kerana beberapa hari lagi bulan Disember akan tiba. Bulan perkahwinan paling meriah seluruh Malaysia, amnya!

Di kesempatan ini, untuk sahabiah-sahabiah tersayang, saya dan suami mahu mengucapkan 'Selamat Pengantin Baru.' Beberapa keping kad sudah tiba dan terasa seronok pula sebab kami berdua akan makan nasi minyak lagi! Yeah! Doa Dihah semoga bahagia dan kekal cinta kalian sampai syurga! Berkeluarga sama ertinya menerima hati, diri, jiwa dan keluarga. Belajarlah untuk saling mengenali, menghormati dan paling utama kepercayaan dalam rumah tangga.
Sesekali pasti akan terbit rasa cemburu kepada suami sendiri. Terbit rasa tidak percaya kerana wanita amnya mempunyai perasaan halus untuk meragui setia suaminya. Contohnya, melihat-lihat smsnya secara curi-curi sambil suami sudah berdehem-dehem dan menyambung dengan berkata, "Siapalah mahu sms abang sekarang."

Saya tersengih geli hati lantas menjawab, "Eh, mana ada. Ada habuk di telefon abang. Tolong lapkan. Sekali lagi saya berbohong sunat.

Kami berdua ketawa. Hei, cemburu kena ada ya! Itu pesan saya dalam erti kata lain mesti berjaga-jaga. Paling utama mesti percaya.

Namun suami menyentapkan rasa hati, "Kena percaya pada suami. Sayang kena percaya dan abang juga kena percaya pada sayang!"

Dan sehingga kini, saya sudah jarang memeriksa apatahlagi bertanya soalan-soalan cepu emas seperti, "Berapa orang perempuan dalam kilang abang ya?" Naya sahaja soalan ini akan keluar. Itu cemburu buta namanya. Tidaklah sampai mahu suamiku membilang setiap orang perempuan di dalam kilang tersebut ya. Mari gelak beramai-ramai. Ngee~~~

Paling utama : DOA. Dan sehingga kini, doa selepas solat jemaah yang diaminkan bersama-sama itu paling indah terasa. Paling menjiwai perasaan dan kasih sayang kami. Bersalaman, berciuman pipi dan dahi kemudian memeluk antara satu sama lain (haip, belum kahwin tidak dibolehkan. Ia haram dan sah untuk pasangan yang sudah berkahwin sahaja!)

Dahulu, sebelum mengenali suami - sebenarnya kami belajar bersama-sama di Politeknik tetapi tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Peliknya, sahabat-sahabat muslimin suami semuanya saya kenali! Ya Tuhan, memang sudah jodoh kami agaknya.

Penyatuan keluarga dengan singkat dan kata putus diambil. Pantas sungguh masa berlalu. Perkenalan melalui orang tengah itu akhirnya memutuskan kami bertunang dan seterusnya mengikat tali pertunangan.

Perasaan itu dibukakan oleh DIA sebenarnya. Malahan DIA menetapkan hati saya tenang apabila menerima lamaran dari suami. Paling utama, suami sederhana sahaja sikapnya. Tuturnya, senyumnya dan dari pandangan mata ini, suami amat pendiam berbanding saya yang suka bercakap dan membebel-bebel. Namun ia bahagia, dengan ketawa dan air mata.
Itulah pro dan kontranya. Itulah namanya perkahwinan yang memberi erti menerima dan memberi bahagia.

Menjengah satu tahun perkahwinan yang banyak manis dan pahitnya. Mencukupi, suami yang sederhana, memimpin saya sebaiknya dan dia suami yang banyak bersabar dengan karenah seorang 'wanita' seperti saya.

Sungguh, kematangan dalam perhubungan banyak memberikan saya pelajaran. Saya lantas terfikir, sekiranya takut ada kekurangan sepanjang layanan kepada suami.

Oh, ada perasaan halus menjentik naluri ini.

Setahun akan melengkapi dan kini menjejaki.

Nota kaki : Tahniah Suriani dan pasangan, Harith Amlus juga Adik Sara Mashitoh dan pasangannya. Semoga bahagia ke akhir hayat. Kami semua mahu serbu, makan nasi minyak!

25 November 2010

Pesona Cinta Aisya

Tahajud cinta yang suci,

Pada pesona,

Kisah cinta terlarang,

Kerana kasih,

Kerana sayang,

Maka senyuman,

Sewaktu kecil dahulu,

Adalah penawar segala,

Engkau yang tahu,

Engkau yang satu,

Tuhan membenarkan cinta zaman kecil itu..

Sebuah puisi indah pemberiannya, ditulis kemas,lengkap dengan tandatangannya yang cukup cantik. Aisya membuka tingkap, melihat hujan sudah mulai menggila. Liuk-lintuk pohon-pohon yang rendang seolah meraikan puisi cinta ini. Hujan yang turun ini juga tanda kemeriahan jiwanya di kala ini. Hujan itu hujan rahmat dan hujan yang memberikan rezeki kepada alam. Turunlah lagi, bernyanyilah wahai hujan!

*Ini adalah puisi yang sempat saya ilhamkan ketika menulis novel Andai Gerimis Berhenti. Puisi dan sebahagian fragmen novel AGB terdapat di dalam muka surat 356.

Ayuh, bernyanyilah bersama puisi indah ini!