Pages

21 Mei 2012

Oh, Mama Mia.

Selamat membaca Oh, Mama Mia! Sebuah cerpen pendek sahaja.

page2

Merahsiakan perjalanan musim sejuk tahun ini daripada semua. Bukan seperti selalu. Tika dua tiga tahun yang lalu, kembaranya mencari ilham, melagukan puisi dan menulis manuskrip akan dipukul dan dicanang seantero dunia. Dia sudah mengembara ke seluruh dunia. Ceruk rantau menyelidiki ragam manusia. Sudah berbakul-bakul ilham menyinggah mindanya. Tetapi entah kenapa tahun ini, dia tidak mampu menulis sehangat biasa. Tawar sahaja ramuannya meski garam sudah dibubuh hampir setengah periuk. Editor pening kepala. Dia sekadar angguk dan tersengih menayangkan gigi bila editor memberi jawapan. “Hilang taring. Pergi bercutilah, Napi. Bercuti dan cari pasangan hidup. Agak-agaknya kan, berkahwin akan menambahkan rencah manuskrip awak yang dah lama hilang ni. Saya pulangkan balik dan awak betulkan semula ya.”

Buku-buku catatannya sudah habis diteliti kembali. Dia sudah memerah tenaga dan keringat untuk menulis kembali. Tetapi tiada ilham menarik mengecurkan jiwa pembacanya. Editor tetap gelengkan kepala sambil menjuihkan bibir. Maka – dia berdiam diri hampir dua bulan dalam kancah penulisan. Saranan Ungku Mariah agar dia berehat ditimbang-timbangkan juga. Editornya itu asyik menggelengkan kepala. Emel berbalas supaya manuskripnya diubah itu dan ini. Sehingga dia mahu muntah dan pening kepala dengan kemahuan editornya yang satu itu.

Mata dia bergerak membaca status-status lama sendiri di dalam facebook. Kenangan di muka buku ini selalu juga memberi dia ilham. Sepotong dua ayat juga boleh diambil melalui status kawan-kawannya. “Dia mahu cari momentum baru. Barangkali seorang penulis sastera seperti Hanafi mahu ilham lebih istimewa dalam setiap karyanya.” Kata seorang teman di dalam facebook. Statusnya berbalas dengan penuh cemburu. Aku mahu menawan Belgium pula. Selepas itu mahu ke Palestin. Menulis kisah anak-anak yang sentiasa kepinginkan syahid. Allahukbar.

Dia membaca komen dari kawan-kawannya. Timeline tahun lepas diteliti. Ipadnya dipandang penuh minat. Salji semakin turun nipis-nipis. Tubuhnya sudah dibalut dua lapis baju sejuk. Lehernya dililit muffler berwarna biru gelap. Hadiah daripada peminat misterinya. “Tulis mengenai dunia. Tulis mengenai pemberontakan dan mengarang yang meruntunkan jiwa pembaca. Memberi kesedaran dan kemudian jangan menjahanamkan minda pembaca dengan karya semberono.”

Dia geleng kepala. Menutup mata dan tersenyum melihat komen seorang peminat setianya. Namanya ringkas sahaja. ‘Mama Mia’. Entah siapa pula gerangan dia. Entah wanita atau pemuda. Kerap juga memberi komen. Komennya bukan berbaur manis-manis, tetapi penuh kritikan berjela. Komennya yang satu ini pula penuh dengan amarah dan dihiasi dengan petir berdentum-dentum kuat. ‘Mama Mia’ - profile picturenya dengan gambar seorang kanak-kanak kecil yang tersenyum. Senyumnya cantik menawan dan sedang berdiri di bawah sekaki payung berwarna merah. Ada salji melatari membuatkan matanya melekat memerhati gambar nan satu ini. Gambar yang cantik dan sungguh memikat hatinya.

Dia turut sama membalas komen dari ‘Mama Mia’, Penulis itu ada seni dan bunganya tersendiri. Biarkan mereka dengan jalur-jalur yang mengisi minda. Asalkan dibatasi dengan syariat Islam dan memadai mengajari pembaca seperti yang terdapat dalam kitab-kitab Allah. Islam itu memudahkan. Mahu melawan arus ini, harus ada penulis yang menegakkan kalamnya dengan menulis mengikut manhaj dan alirannya. Nah – barangkali kita selalu naik angin dengan para pembaca yang mahukan manuskrip klise sama dengan penerbit lain. Tetapi penulis itu harus bijak sendiri meletakkan dirinya dimana. Lima manuskrip yang ditulisnya : takkanlah semua cerita, plot, nama dan wataknya sama. Muallah nanti pembaca. Sepuluh tahun akan datang, jangan disampahkan naskah berkenaan sudah! Jangan dibedah oleh anak-anak akan datang nanti. Mudah sahaja kitaran hidup yang Allah janjikan. Dunia ini bagaikan roda, wahai Mama Mia. Saya menyokong semua penulis dengan berbagai genrenya. Tulislah apa sahaja asalkan ada seni dan ada bunganya. Cuma jangan mendabik dada dan nanti jangan terkejut dengan dunia penulisan penuh warna ini. tetapi saya sentiasa ingat, tujuan saya menulis ini kerana janji saya dengan Allah swt.

Bola matanya bergerak lagi. Bersinar-sinar seperti cahaya. Kereta api sedang ditakluki bersama keindahan yang menggiurkan. Begnya disusun kemas supaya penumpang lain boleh duduk selesa bersama dengannya. Kereta api akan melintasi bukit bukau dengan dipenuhi salji cantik dan akan menjejaki Gunung Matterhon. Malah, matahari juga tidak akan bersinar kerana malu dengan salji.

“Hanafi, nanti melancong ke mana-mana jangan lupa ole-ole ya.” ulas seorang temannya di ruang komen.

Dia tersenyum lagi dengan gelagat peminatnya. Mata beralih lagi memandang komen ‘Mama Mia’. Minda membaca laju. Jika mahu ke negara tercantik di dunia ini. saya akan sentiasa ada. Di mana-mana dan boleh sahaja membantu.

Dia ukir senyum. Mata memerhati tempat duduk yang masih kosong. Jemari Hanafi pantas menutup ipadnya. Semua negara yang diciptakan oleh Allah itu cantik pada pandangannya. Ada sebab musabab kenapa Allah menjadikan Indonesia itu sebuah negara yang selalu dikejutkan dengan tsunami, gempa bumi dan letusan gunung berapi. Ada sebab juga kenapa sesebuah negara itu dijadikan miskin semiskinnya. Hanafi segera bangun dari duduknya. Perjalanan panjang dengan keretapi di negara yang juga dikatakan tercantik oleh ramai pelancong bakal ditakluki.

Musim sejuk ini, dia mahu menyaksikan salji turun sepuas-puasnya. Dia mahu meramas salji juga tanpa segan silu seperti selalu. Dia tidak lagi memaklumkan kepada sesiapa yang sekarang kakinya sedang berdiri di bumi tercantik ciptaan Ilahi. Matanya tekun memerhati salji turun. Salji seperti hujan yang nipis-nipis menitis memberi bahagia. Pohon-pohon rendang juga ditutupi salji. Maha Berkuasa Allah yang menjadikan segala-galanya. Hanafi membuka tingkap keretapi. Mata memerhati salji dengan penuh puas. Jemari keluar dengan sendirinya dan perlahan-lahan menyentuh salji.

Sejuk. Roda keretapi akan berputar sebentar lagi. Bunyi siren dari balai pengawal jadi mendamaikan dengan suasana sejuk sampai menggigit tulang. Menyendiri. Lebih tepat berkhalwat. Menjamu mata dengan pemandangan indah di sini.

Telinganya menangkap perbualan seorang gadis kecil. “Cepatlah mama. Cari tempat duduk kita. Mia tak sabar nak duduk. Penatlah mama.”

“Mia, sabar ya sayang. Kita cari perlahan-lahan. Banyak kerusi ni, sayang.” Suara seorang wanita pula masuk ke dalam telinga Hanafi. Lembut sahaja suaranya memujuk si anak gadis.

Dia panggungkan kepala bila si kecil bercekak pinggang dan memberi senyum cantiknya. “Sini mama. Sini kosong dan rasanya ini tempat duduk kita. Betulkan mama?”

“Ya sayang. Okey, Mia boleh duduk.” Wanita itu sibuk pula mencari sesuatu di dalam begnya. Hanafi memerhati penuh minat. Wajah cantik wanita itu memberi debar berganda.

“Mia duduk sebelah uncle. Boleh?” Mia tersengih. Bersahaja membawa punggungnya dan duduk di sebelah Hanafi. Hanafi cepat-cepat mengangkat beg dan membawa begnya naik ke atas. Dia menjeling Mia. Gadis kecil penuh dengan senyum manis. Ada sekaki payung berwarna merah bersama dengannya. Wanita itu terus duduk berhadapan dengannya.

Hanafi cepat-cepat angguk. “Ya Mia. Boleh. Duduklah sebelah uncle. Teman uncle berbual-bual.”

Mia nampak seronok. Dia pandang mamanya yang sedang menggigit bibir. “Mia jangan nakal-nakal. Jangan pergi sampai ke belakang. Ingat pesan mama.”

“Okey mama. Mia ingat semua pesan mama. Jangan nakal-nakal dan jangan berjalan sampai ke belakang. Nanti Mia akan hilang. Mama akan menangis.” Mia menjeling mamanya. Kakinya disilangkan dan Hanafi mendengar penuh minat. Dia pandang wajah wanita yang sedang tekun memerhati anaknya ini.

Dia tidak menyangka yang duduknya hari ini dengan seorang wanita yang sama negara dengannya. Wanita itu memandang Hanafi dan memberi senyum. Matanya memerhati muffler yang melilit leher Hanafi. Senyumnya terus menjadi teragak-agak. Tiba-tiba wanita itu membuka beg galasnya. Jemari runcingnya mencari sesuatu dan dengan pantas mengeluarkan sebuah buku dan terus diangkat buku berkenaan. Buku itu terus sahaja menutup wajah cantiknya dari direnung oleh Hanafi.

Hanafi gelengkan kepala dan tersenyum. Dia menjeling Mia dan memeluk bahu Mia.

Eeee. Mama baca buku terbalik. Malulah mama ni.” Mia tergelak sambil menutup bibir dengan jemari halusnya.

“Mama Mia malu tu.” Hanafi cepat membalas dan membuatkan Mia mengekek-ngekek ketawa. Pantas mindanya berputar. Ligat mengingati komen-komen dari ‘Mama Mia’. Dia terus terkedu dan menelan air liur. Jantung terus berdegup kencang bila wanita di hadapannya itu meletakkan buku di atas riba. Memandang Hanafi dan Mia dengan satu pandangan yang sukar dia tafsirkan.

Roda kereta api bergerak. Bunyi siren membingitkan. Riuh-rendah suasana di dalam kereta api. Perjalanan telah bermula. Pemandangan cantik akan menjadi jamuan mata. Salji akan melatari suasana indah hari ini. Mata Hanafi menjeling wanita berwajah cantik di hadapannya. Selepas dimalukan kerana membaca sebuah buku terbalik, wanita itu banyak mendiamkan diri. Dia ada sebuah kamera Canon. Digantung cermat bersama tali dan sesekali dibuka kameranya tanpa memandang wajah tampannya. Mia pula sibuk membaca.

Ipadnya dimasukkan ke dalam beg. Hanafi memandang wanita di hadapannya. Dia mahu beramah mesra.

“Hanafi.” Suaranya terbit dari kerongkong. Terasa sukar tetapi tidak salah jika dia menghulurkan perkenalan.

Dia senyum lagi. Cantik. Sehingga jantungnya berdebar entah kenapa. Mia menjeling dan tersengih. “Nama saya Mia. Uncle pun dari Malaysia kan?” Jemari kasar Hanafi akhirnya bersalaman dengan si kecil yang cantik. Si kecil yang sukakan sekaki payung berwarna merah. Dia juga sudah tahu bahawa di hadapannya ini ialah ‘Mama Mia’. Kecil sungguh bumi Allah. Masakan dia boleh menolak untuk berkenalan dengan peminatnya sendiri?

“Nama mama siapa?” Hanafi mencuit bahu Mia. Mia menutup bukunya. Persis anak genius yang suka membaca.

Mia memandang mamanya. “Mama, jawablah mama. Mama kan ada mulut.”

Bola mata bertembung lagi. Jantungnya berdebar beberapa kali kerana memandang bola mata wanita berkenaan yang berwarna coklat itu. Hanafi memandang salji. Kereta api terus bergerak dengan pemandangan maha indah. Dia gigit bibir bawah dan menjerit di dalam hati. Marah diri sendiri kerana tidak mengawal hati. Entah-entah wanita ini bini orang! Hanafi, cuba bertenang dan kawal rasa hati. Dia tarik nafas.

“Maisara. Nama saya Maisara.” Wanita itu menjawab perlahan dan sekali lagi Hanafi menoleh memerhati wajah putih Maisara. Jemari wanita itu lincah menggerakkan kameranya. Fokus dengan pemandangan indah di luar. Mencari sudut pandang terbaik. Badannya bergerak mencari gambar tercantik.

Klik!

“Awak, seorang jurukamera ya?” Hanafi lincah menyoal. Mia senyum menawan memerhati mamanya dan kemudian kepala menoleh melihat Hanafi.

Maisara gelengkan kepala. Ukir senyum menawan. Giginya putih berbaris cantik. “Hobi. Kebetulan bercuti dengan Mia. Saya suka ambil gambar.”

Hanafi angguk mengerti. “Berdua?” lancang sungguh soalan kamu, Hanafi. Dia tersengih dengan rasa bersalah kerana soalan yang terpacul dari bibirnya.

Maisara gelengkan kepala. “Kami berdua sahaja.”

“Oh.” Hanafi malu sendiri. Jantung berdegup terus kencang. Mia diperhati. Mata beralih pula menjamah pemandangan indah di luar. Sesekali Maisara menjeling Mia.

“Awak ‘Mama Mia’ ya?” Hanafi terus bertanya. Tanpa berlapik dan tanpa insuran. Gasaklah Hanafi. Jangan ditamparnya bibir aku, sudah!

Maisara tersengih malu. Jemari yang ligat mengambil gambar terberhenti dengan sendirinya. Dia pandang Hanafi. Bulu romanya menegak bila terpandangkan penulis pujaannya berada di dalam kereta api yang sedang dinaiki. Ah – sudahlah duduknya di gerabak yang sama. Bagaimana mahu dia melarikan diri dari Hanafi ? Lelaki ini seniornya ketika di universiti dahulu.

Sejarah terbuka. Dahulu dia jatuh cinta pandang pertama dengan Hanafi. Lima belas novel Hanafi Darus dibeli. Setiap kali buku penulis di hadapannya ini terbit, dia akan meredah kedai buku untuk membeli. Dia sanggup beratur panjang untuk memiliki naskah penulis pujaannya ini. Bahkan rasa cintanya dengan karya penulis ini menebal dengan kemunculan puisi ‘Irama Cinta’.

Maisara angguk. “Ya, ‘Mama Mia’. Bibir oles senyum. Cintanya kepada Hanafi terus luput apabila perkahwinan diatur oleh keluarga. Maisara terima seadanya. Redha dengan jodoh dan menerima lelaki berhati mulia bernama suami itu. Lantas penulis di hadapannya ini diintai dalam diam. Hanya dunia internet menjadi penghubung. Status penulis dihadapannya ini dibalas selepas dia menanggung rindu teramat dahsyat. Tidak salah memuja di dalam diam. Rindunya juga mahu diisi kembali kerana suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Dia sepi. Kontang kasih sayang dari teman berbicara dan kawan bergelak ketawa. Membalas komen Hanafi Darus itu tidak salah bukan ? Kerana dia memberi komen berlapik. Penuh serius membincangkan dunia sastera Malaysia hari ini.

Maisara telan air liur. Tahukah dia mengenai rasa cinta yang bertahun-tahun lama itu? Tidakkah dia ketahui bahawa aku gadis yang sentiasa memerhatikannya dari jauh di universiti itu? Ah – cinta itu akan membutakan hati dan minda. Akal akan bergerak dengan tidak waras, Maisara.

“Oh. Betullah agakan saya. Saya suka dengan ‘Mama Mia’. Suka dengan komen bernasnya dan berani. Nanti komen banyak-banyak lagi ya! Oh, dunia ni kecil rupanya.”

Maisara terkejut. Hanafi juga. Lelaki itu geleng kepala. Dia sama sekali tidak memaksudkan ‘sesuatu’ yang lain. “Oh, saya suka dengan semua komen awak di muka buku. Menarik. Penuh ilmiah. Tidak salah bertukar pandangan, kan ?”

Maisara tersenyum lagi. Dia gelengkan kepala. “Nanti saya akan komen lagi. Harap tak mengecilkan hati. Saya peminat dari jauh saja.”

“Silakan.” Hanafi senyum menawan. Perkenalan dibalas dengan perbualan panjang. Penuh cerita dan kisah menarik. Masa bergerak penuh cinta. Minit juga berdetik penuh rasa. Mia, si kecil berdiri tenang. Berjalan ke arah mamanya dan mengambil beg galas Maisara. Mengeluarkan semua bekas makanan di atas tempat duduk. Mata kecilnya memerhati Hanafi dan Maisara.

“Mia asyik dengar uncle berbual dengan mama Mia sahaja. Sampai perut Mia berbunyi krok, krok, krok. Marilah kita bertiga makan. Mama masak sedap. Uncle jangan malu-malu ya.”

Hanafi memerhati penuh minat. Sesekali bola matanya bergerak menjeling Maisara. Sandwic, makaroni bakar, air kotak, ketupat, dan sambal goreng Malaysia. Sedapnya membuatkan perut lelakinya berkeroncong. Dia jadi lapar. Kereta api terus meluncur sederhana. Salji nipis-nipis menghangatkan suasana. Pertemuan pertama memang indah.

Mereka bertiga di dalam keretapi.

Mereka bertiga bersama pemandangan indah yang menemani.

Mereka bertiga menikmati makaroni bakar dan sandwic dengan begitu berselera sekali.

Mereka bertiga berbual mesra dengan penuh ketawa.

Klik! Gambar turut sama menjadi bukti pertemuan mereka.

Hari ini kedua mereka berbual-bual dan berkenalan seadanya. Ada bahagia tiba-tiba menyelinap masuk ke dalam hati lelakinya. Dia tidak pernah merasa bahagia kerana berbual dengan seorang wanita jelita. Perkenalan singkat yang membuahkan harapan seperti setinggi gunung dan bukit yang mewah dengan pemandangan indah itu. Nampaknya masin betul mulut Ungku Mariah. Balik sahaja ke Malaysia, dia akan peroleh ilham setinggi cinta barunya ini.

Keretapi terus meluncur sederhana. Asap dari keretapi terus berkepul-kepul. Pohon menghijau melatari perjalanan. Bunga-bunga berkembang mekar. Kawasan menghijau dan salji menutupi gunung mencantikkan mata. Kambing biri-biri turut sama menghiasi perjalanan. Kekaguman dia kepada keindahan yang diciptakan oleh Ilahi terus bertambah dengan menikmati bola mata berwarna coklat yang dimiliki wanita di depan matanya ini.

Mereka berbalas senyum. “Saya harap sangat, kita akan bertemu sekali lagi di Malaysia.” Hanafi mengunyah sandwic dengan bersahaja dan memandang Maisara. Senyuman cantik bersama gigi yang tersusun rapi itu memberikan dia harapan lagi. Hanafi memandang Mia yang tersengih malu. Oh, Mama Mia! Hanafi sudah jatuh cinta.

15 Mei 2012

Mr Pai Epal 31


 Eh eh...Mr Pai Epal 31 berjaya saya selesaikan sebelum malam ini. Fuuuu...
Mari-mari semua membaca. Please say, sayang Mardihah empat belas juta kali! Hehehe
Yang rindu-rinduan...semoga terubat dengan sambungan very the terbaikkkkk from ladang dari Mardihah! (Statement hangit) kahkah...

lee_min_ho


Dalam sekejapan sahaja, aku boleh berkawan dengan Munir. Huh – apa? Ingat Izz Amir saja yang ramai peminat? Hei, Yaya ni lagi ramai lelaki yang mahu berkenalan tau. Sekali Yaya petik jari, sepuluh yang datang. Cewah! Perut aku memang sudah penuh dengan nasi ayam. Kemudian pelayan restoren ini, hidangkan bihun tomyam yang dipesan oleh Munir. Pergh…Dengan malu-malu aku suap jugalah bihun tomyam terbaik ini. Sekali dengan cili padinya yang bikin meletup! Fuuu! Selesai menikmati bihun tomyam, aku tolak mangkuk cendul yang masih berbaki. Tidak laratlah aku menghabiskannya. Pusingan pertama, nasi ayam dan cendul. Pusingan kedua – bihun tomyam, satay dan air batu campur. Pinggan mangkuk berhidang penuh satu meja.

Gila betul si Munir ni.

Aku jeling Munir yang sedang meneguk air suam. Munir ni kuat makan juga gayanya. Satay 15 cucuk berjaya dia makan. Aku hanya boleh memuatkan perut ini sebanyak 5 cucuk satay sahaja. Cendul, dia sudah makan semangkuk. Nasi ayam sepinggan. Bihun tomyam perlahan-lahan juga si Munir ni suap ke dalam mulut.

Perut tong betul! Sama saja macam Izz Amir. Aku yang lapar tahap lapan puluh juta pun tak makan sehebat perut mereka semua. Mahu termuntah dibuatnya kalau aku makan dan makan. Haihlah lelaki! Aku pandang Munir yang kekenyangan. Aku ukir sengih. Munir pantas mengambil tisu. Mengelap bibirnya dan menghulurkan aku sehelai tisu. Dia senyum memerhatikan aku.

“Terima kasihlah sebab temankan saya makan. Memang betullah awak bukan anti sosial. Kan?”

Aku geleng kepala. Ketawa dengan usikannya. Munir pantas muncungkan bibir. Pantas dia bertanya, “Kenyang tak?”

Dengan pantas mata aku melilau memandang semua pinggan yang sudah licin. Yang tinggal hanya timun untuk satay dan jus tembikai untuk aku sahaja. Segelas air suam masih belum berusik. Air batu campur sudah jadi air batu bercampur-campur. Cair dan nampaknya tidak sedap lagi untuk ditelan.

Aku angguk. Malu-malulah konon, kan? Mata bersinar-sinar memandang Munir yang tersenyum memerhatikan aku. “Mestilah saya kenyang. Awak belanja. Semua makanan jadi sedap.”

Munir sengih lagi. “Nanti saya pergi Paris, awak hantarkan ya. Adalah saya kawan dan berteman. Bolehlah kenal-kenal dengan emak dan ayah saya.” Munir senyum lagi.

Eh. Eh. Mengada-ngada betul! Mahu berhantar-hantar pula ke airport!

Dan tiba-tiba aku tersengih! Kepala toing-toing bersama ilham baru. Ilham nakal! "Saya panggil awak encik Munir boleh?”
Matanya bulat bagai guli. “Encik Munir? Eeee, tak class langsung! Nampak sangat saya macam orang tua." Munir menjelirkan lidah. Dia gelengkan kepala.

"Iyalah, awak kan nak saya temankan awak di airport. Siap suruh lambai-lambai lagi.  Jadinya sebagai syarat pertama saya terima awak sebagai kawan dan syarat untuk saya akan ke airport menemani awak, awak kena terima apa sahaja panggilan yang saya rasa sesuai untuk awak! Hmmm…encik Munir...” aku pejamkan mata dan tersengih geli hati kerana melihat wajah Munir yang tidak berpuas hati. Aku kembali memandangnya yang mengetap bibir. Jemari Munir berpusing-pusing keliling gelas.

“Ala, encik Munir sahaja. Lagipun kita kawan kan? Encik Munir pun akan ke Paris. Dua tiga hari saja kita akan berkawan di sini. Kat sini sahaja jugalah saya boleh panggil awak dengan gelaran encik Munir. Ala, bolehlah!” aku pujuknya.

Munir gumam bibir. Akhirnya dia angguk seperti tidak ikhlas. Hidungnya terjungkit-jungkit naik. Kelakar pula melihat gaya hidungnya begitu!.“Iyalah...iyalah..encik Munir pun encik Munirlah!"

"Encik Munir...." Dan aku ketawa perlahan.

Munir pandang aku dan dia berpeluk tubuh. Tetapi meski dia tersenyum menawan, kenapa hanya wajah Izz Amir sahaja yang bermain di ruangan mata ini? Mengapa? Kenapa terbit rasa rindu dengan sikap nakal lelaki itu? Ah- kenangan aku dan Izz Amir sedang makan pun masih terbayang-bayang di minda!

“Nanti hari Khamis awak lambai-lambailah saya di airport ya. Sebab saya dah terima syarat pertama awak tu.” Munir sengih.

Aku mula berfikir. Gigit bibir bawah sebab perjanjian memakan diri. “Jam berapa?”

Flight ke Paris jam 3 petang.” Munir nampak selesa bercerita dan dia selesa pula menyengih, menayangkan gigi putihnya.

"Ala, saya kerjalah."

“Keluar sekejap sahaja untuk saya. Awak kan dah janji?”

Aku tarik nafas. Munir kembali membuatkan fikiran aku menjadi serabut. “Kalau dah berjanji tak baik dimungkiri. Berdosa tau, Yaya!”

Cis! Pandai sungguh dia minta itu dan ini dengan aku. Sudah berbayar nampaknya edisi belanja makannya hari ini dengan aku. Aku harus mencari helah untuk memecutkan Hei MJ Unguku ke lapangan terbang. Bagaimana pula aku harus berhadapan dengan Izz Amir nanti? Cuti separuh hari aku akan diluluskankah? Cuti separuh hari kerana menghantar seorang lelaki ke lapangan terbang? Memang tidak munasabah alasan aku nanti. Tipikal betul!

Izz Amir akan cemburukah?

+Tak munasabah. Langsung tak munasabah. Izz Amir sekarang sah-sah sudah menjadi tunangan Jasmin. Apa perlu dia cemburukan aku? Yaya geleng kepala. Pejam mata. Munir ketawa melihat gelagat Yaya!
-Kalau dia masih sayangkan Yaya dan betul-betul cemburu, bagaimana?
 +Errrr..iyakah yang Izz Amir masih sayangkan Yaya? Betulkah Izz Amir lelaki berwajah empat belas juta itu akan cemburu lagi dengan Yaya? Yaya gigit bibir bawah. Munir renung lagi. Separuh mati jiwa melayang-layang pergi. Ala, comelnya budak Yaya ni...
-Mustahil! Mustahil! Bukankah namanya sudah tidak wujud sama sekali dalam hati kau, Yaya!
+Tapi…Yaya sayangkan dia. Yaya bulatkan anak mata. Munir separuh terkejut dan terkedu.
-Tolonglah, Yaya! Pleaselahhhh!

Dahi aku berkerut-kerut. Boleh pula aku memikirkan Izz Amir yang sedang bergembira dengan majlis pertunangannya hari ini. Sedih, kan?

“Awak akan bawa skuter ya? Boleh sampai ke?” Munir muncungkan bibirnya. Nampak hairan melanda dahinya!

Eh, menunggang skuter ke KLIA? Gila! Kerja gila! Mahu semput dan pengsan Hei MJ Unguku itu jika aku merempitkannya ke sana. Atau akan terus ke sana dengan menaiki teksi sahaja? 

Aku tersengih sendiri. Berfikir panjang.

Munir mengetuk meja dengan sudu. “Encik Munir sedang menunggu jawapan. Cepat!"

Dengan pantas aku mengangguk. “Baiklah encik Munir. Saya setuju. Saya akan lambai-lambai awak di airport nanti. Encik Munir jangan risaulah. Saya mesti akan sampai. Tepat jam 2.15 petang. Nanti saya naik kapal selam.”

Munir mengekek-ngekek ketawa. Sampai merah pipinya. Eh, aku buat lawak antarabangsakah?

"Eh, saya nak tanya dengan awaklah ”

Aku panggung kepala. “Tanyalah.”

Munir senyum lagi. “Tentang Le Cordon Bleu. Yaya pilih outlet mana? Beritahulah dengan saya.”

Aku tayang gigi. "Biarlah rahsia. Bukankah saya beritahu, biarlah rahsia."

"Cakaplah, Yaya" dia buat muka sepuluh sen. Muka simpati bersama renungannya yang menggoda. Tapi, jiwa aku melayang-layang memikirkan Izz Amir.

"Iskk..sibuk betul encil Munir ni. Nantilah saya beritahu di airport."

“Okey, nanti beritahu saya ya. Jangan lupa. Saya tuntut janji awak.”

Aku angguk lagi. Dan pertemuan ini katanya tidak akan terhenti. Munir tiba-tiba membuatkan jiwa aku dipalu satu perasaan aneh. Sama seperti perasaan ketika bertemu empat mata dengan Izz Amir. Cuma, perasaan ini sedikit kurang. Tidak ada bunga sakura gugur menuruni kami kala ini.

“Jom kita balik. Saya temankan awak. Sampai depan pintu pagar dan betul-betul awak parking dengan selamat depan mata saya.”

Dan dia senyum lagi. Kami bangun mengambil helmet masing-masing. Munir membuatkan jantungku sekali lagi berdegup kencang. “Kawan dengan saya sampai bila-bila ya?”

“Awak ni kelakarlah...”

Munir menjeling. “Apa pulak yang kelakarnya Yaya? Saya serius ni. Mana tahu awak pilih Paris. Hari-hari bolehlah awak panggil saya encik Munir. Saya suka.” Dia menyengih pula. Aik? Tadi dia macam ikhlas tak ikhlas menerima panggilan nama berkenaan untuknya. 

Aku ketawa. Dan telefon bimbitnya berbunyi. Segera dia menyeluk saku seluarnya dan menekan punat hijau. Munir tersenyum. “Sepupu saya. Baru selesai majlis pertunangannya pagi tadi.”

Munir letak telefon di telinganya. Mulutnya pantas terbuka. “Selamat bertunanglah! Sorry, aku keluar makan dengan si budak comel.”

“…….”

“Eh, mestilah perempuan.” Munir ketawa.

“……”

“Kau jangan jadi gilalah Izz Amir!”

Dan aku merenung Munir. Merenungnya sehingga Munir mengangkat kening dan wajahnya penuh tanda soal. Helmet dipegang, baju sejuknya dengan selamba di berikan kepada aku.  Izz Amir?

“……..”

Munir pandang aku. Membalas renungan aku dengan senyumannya.  “Tunang saja pun, bukan kahwin. Kalau serasi teruskan. Umi yang paksa. Lama-lama mesti kau terima. Pilihan umi selalunya terbaik untuk anak dia.”

Kami berjalan keluar. Dan degup jantung aku terus kencang mendengar perbualan telefon Munir dan ‘Izz Amir’.

“……..”

Seriusly? Siapa budak perempuan tu?”

Dan sekali lagi kaki ini berhenti dari melangkah. Aku merenung Munir. Dia pula memandang aku tanpa berkelip-kelip.

“……”

“Okeylah kalau kau tak nak beritahu! Kenapa hari ni semua orang nak berahsia dengan aku ya? Aku bertolak ke Paris Khamis ni. Nanti jangan lupa. Jumpa di airport. Kau kalau tak datang, aku pancung kepala ! ” Munir ketawa tetapi dia setia memandang aku.

Aku gigit bibir bawah. Mahu pengsan pun ada saat ini. Dan perbualan mereka terhenti. Munir terus memandang telefonnya dan tersenyum.

“Kenapa awak pandang encik Munir macam tu? Sebab saya kacak ya ? ” dia senyum malu. Aku pandang skuterku. Hei Ducati Seksinya parkir cantik-cantik di sebelah skuterku.

Aku tunduk memandang skuter. Cet ! Jantung aku pantas berproses dengan laju. Bukan kerana Munir tetapi kerana perbualan telefonnya.  “ Errr…..siapa yang bertunang?”

“Ohh, sepupu saya. Izz Amir. Awak kenal?”

Automatik aku gelengkan kepala. Menipulah lagi, Yaya.Aku gumam bibir.

Munir menarik motorsikalnya. “Dia bertunang hari ni. Bertunang terpaksa. Kelakar betul bunyinya. Dan dia kata dia dah ada teman istimewa lain. Izz Amir siap ugut saya, nak terjun bangunan sebab umi paksa dia kahwin lagi lima enam bulan dari sekarang.”

What?” aku separuh menjerit.

“Eh, awak kenapa?” muka Munir terkejut separuh mati!

“Hukumnya berdosa besar terjun bangunan. Bunuh diri tu syirik, awak tahu tak?”

Dengan pantas, aku mencari kunci skuterku. Apa akan jadi, jadilah. Terus sahaja aku menarik Hei MJ Unguku. Munir terkebil-kebil. Lintang pukang aku hidupkan enjin skuterku. Sarung baju sejuk dan menggalas beg galasku. Aku sarung helmet comelku.

“Eh Yaya, tunggu sayalah!”

“Saya pergi dulu encik Munir. Kita jumpa esok di sini. Jam 5.30 petang. ” Hei MJ Unguku sudah berlagu. Mahu segera merempit ke Pai Epal Cafe. Benarkah dia mahu membunuh diri ? Oh, tidak ! Oh..no ,No !

“Hei..nombor telefon!” sempat lagi menjerit kecil. Badannya sudah dekat denganku dan Munir segera mengeluarkan telefon bimbitnya. Munir memberikan telefon canggihnya. Ah- terkial-kial pula aku menaip nombor telefonku disertai dengan nama, 'Yaya Comel'.

Kah kah kah. Okey, Yaya memang comel. Aku perasan lagi.

Munir tersenyum memerhati aku. Dia pandang telefon bimbitnya. Senyum puas sampai ke telinga. Boleh tahan gatal juga si Munir ni.

“Saya pergi dulu ya Encik Munir! ”

Pin !!! Hei MJ Unguku mengeluarkan bunyi honnya.

Dan Hei MJ Ungu terus menderu laju ! Benarkah Izz Amir akan terjun dari bangunan ?  Dan kenapa sekarang hati semakin sayu. Kenapa hati semakin sedih kerananya. Izz Amir siap ugut saya,, nak terjun bangunan sebab umi paksa dia kahwin lagi lima enam bulan dari sekarang.

***
Aku tolak pintu Pai Epal Cafe. 

Tiada sesiapa di ruang tengah.  “Izz Amir!” aku menjerit lagi. Jam hampir ke pukul 7.00 petang.   

Suram.

Pai Epal Café memang ditutup hari ini. Dan aku tahu, Izz Amir akan menghabiskan masanya di sini.

“Awak ! ” Aku menjerit lagi. Kaki aku terus berasak ke dapur. Menolak pintu kayu dan ruang dapur memang ternyata kosong. Bersih. Aku tarik nafas. Dan dengan pantas aku berpusing. Mencari anak tangga dan kaki ini melangkah perlahan-lahan.

Kenapa semakin tidak selesa sahaja hati ini? Mengapa rasa gementar datang lagi? Aku mendaki menuju ke tingkat atas. Ada cahaya. Dan dengan beraninya aku meneruskan langkah ini.

“Izz…” namanya aku sebut. Sekali lagi dan membawa jauh ke dasar hati.

Aku sudah berdiri di tingkat atas. Melihat bilik Izz Amir yang terang dengan cahaya lampu. Dan tangan ini laju menolak pintu biliknya. Tubuhnya pantas beralih ke hadapan. Matanya dipenuhi air. Bergenang-genang kesedihan.

Dia berdiri memandang aku. Dia merenung aku dan setia berpeluk tubuh! Mata bertentang mata dan tahukah dia bahawa aku merinduinya? Tahukah dia bahawa aku masih setia dengan setiap janji-janjinya.

Angin menjadi teman.

Aku tarik nafas. Dia turut sama. Bibirnya bergerak-gerak seolah-olah mahu berkata sesuatu.

Beberapa minit yang penuh dengan kehibaan.  

“Awak sihat?” tanya aku tiba-tiba. Air mata lelakinya tumpah. Dan aku entah kenapa terus berdiam diri. Memandang dia yang setia memandang aku.

“Cik Yaya sayang….” Serunya dan air matanya menitis-nitis sehingga dia terjelepuk lesu.

08 Mei 2012

Mr Pai Epal 30

Oh, Mr Pai Epal kini menjejaki bab 30. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Semoga semua peminat MPE tersenyum suka dan rupa-rupanya plot semakin panjang dan dipanjangkan ke beberapa bab. Hehehe. Surprise! Yang sentiasa merindui MPE, Cik Yaya sayang dan Izz Amir semoga terhibur ya. Hari ni, saya letak gambar Munirlah. Angkat kening sikit supaya Izz Amir cemburu! Hehe.


Dari semasa ke semasa, saya akan perbetulkan bab 30 ini. Almaklumlah, saya berdezup tepek bab ini di dalam blog sebelum proses audit. Eceh!

Lebiuuuuuu semua banyak-banyak!


Taecyeon


Subuh hening. Sejuk mencucuk tulang kerana semenjak jam 4 pagi tadi, hujan turun tidak berhenti-henti. Sekarang, bumi Tuhan sedang basah. Hujan turun berlawanan dengan angin kencang. Jam 5 pagi tadi, aku bangun. Rasa mahu menenangkan diri dan kaki ini pantas menjenguk ibu di dalam kamarnya dan sempat aku bersama-sama ibu, menunaikan solat sunat.

Fatin akan menyerti kami solat jemaah solat Subuh nanti. Entah apa yang dia buat di dalam bilik. Duduk di dalam bilik air 40 minit ! Huh ! Mengalahkan sedang berspa dan bersauna pula si Fatin ni !

Selesai solat sunat bersama ibu, aku tolak langsir berona biru lembut. Aku pandang awan yang masih gelap. Pagi dingin yang mengasyikkan sekali ! Azan Subuh akan berkumandang beberapa minit lagi. Sesekali tubuh ini dipeluk oleh angin ! Aku pandang wajah ibu yang diam berteleku di atas sejadah. Tasbih bergerak-gerak perlahan. Bibir ibu bergerak senada dan membuatkan hati ini dipukul kepiluan. Dihentak dengan seribu kesedihan. Ah, mahu sahaja aku berlari dan memeluk tubuh ibu. Mahu sahaja aku menghamburkan rasa sedih ini di bahu ibu.

Ahad yang mendebarkan menjelma juga hari ini! Majlis pertunangan Izz Amir dengan sahnya akan berlangsung beberapa jam lagi. Aku pasang tekad - Senyuman ini akan terus mati untuk lelaki itu. Aku tidak boleh lagi mengharapkan janji manisnya. Tidak lagi yakin dengan segala kata-kata yang keluar dari bibir merahnya itu ! Betul kata Fatin, aku perlu kuat. Buat apa berangan berkawan dan bersahabat dengan lelaki seperti itu. Jangan ikutkan sangat rasa cinta dan kasih sayang itu, kak long !

“Kak long dengan Izz Amir dah tak ada apa-apa hubungan lagi! Wajib!” Fatin menggertak dan aku terkebil-kebil! Fatin lebih marah dan lebih pilu berbanding aku . Aku iyakan segala kata Fatin. Aku mengangguk sambil mendengar bebelan yang keluar dari bibir Fatin. Dan aku mengerti. Semakin mengerti bahawa -  tiada lagi gurauan manis Izz Amir  untuk aku. Bunga sakura yang sentiasa aku bayangkan apabila berjalan berdua dengannya juga akan lenyap sama sekali ! Aku sendiri dengan lidah ini telah berterus terang dengan Izz Amir, “Jangan panggil saya cik Yaya sayang lagi!”

Dan kaki aku melangkah pergi meninggalkan Izz Amir di puncak sejuk itu. Aku berlari sekuat hati menahan sebuah teksi dan akhirnya mencari sekeping tiket bas. Aku deras mahu pulang dan selepas ini, aku tidak mahu ada kenangan lagi dengan lelaki ini. Cukup-cukuplah dia membuat aku rasa berharap dengan perhubungan ini. Juga cukup membuatkan aku terseksa dengan sikapnya itu.

Pekerja Pai Epal Cafe yang menyaksikan tragedi bawang dan cili tumpah di atas kepala Jasmin, akan membisu bila aku masuk ke dalam dapur atau kawasan kerja mereka. Ya, mereka semua tahu aku kesayangan Izz Amir. Ya, mereka yang pernah masuk ke dalam bilik Izz Amir akan memerhati kemasan gambar antara aku dan Izz Amir di dinding biliknya itu. Kenangan indah antara aku dan dia yang sedang menikmati pizza itu menjadi buah mulut pekerja di cafe ini. Gambar itu juga sudah sah menjadi bahan bukti hubungan hati yang terjalin antara aku dan Izz Amir. 

Tetapi aku bukan Tuhan yang boleh menentukan nasib sendiri berjodoh dengan lelaki sekacak Izz Amir. Aku juga tidak mampu menolak qada dan qadar yang Allah swt sedang aturkan untuk aku ini.

Ya, azan subuh hari ini adalah azan subuh paling menyanyat hati. Paling mencucuk sanubari. Aku kesat air mata dan tidak mahu ibu turut sama tahu aku sedang kesedihan. Masa terus berdetik dan saat melagukan solat subuh secara berjemaah bersama ibu dan Fatin, air mata mengalir lesu dan lesu.

Dan selepas Fatin usai menjadi imam solat secara berjemaah, aku segera mendapatkan ibu. Menyalam ibu dan memeluk ibu seperti selalu.  Ibu terus memeluk aku dengan erat tanpa mahu melepaskan tubuh ini.

Suara ibu membuat sebak datang lagi. “Kenapa Yaya makin kurus?” dan ibu memegang lengan ini. Fatin memandang aku tanpa berkata. Ya, Fatin sudah mendengar kisah yang terjadi antara aku, umi Izz Amir dan Jasmin. Izz Amir sendiri yang bercerita dari A ke Z. Bukan dari diri aku ! Dan malam tadi, aku menyambung cerita Izz Amir kepada Fatin. Fatin membebel-bebel bercakap itu dan ini. Ajaibnya - bukan aku yang menangis, tetapi Fatin ! Sambil membebel dia teresak-esak pula !Jiwang karat betul si Fatin ni !

Aku renggangkan diri dari pelukan ibu dan duduk bersimpuh di hadapan ibu. Memandang ibu dan entah kenapa, perasaan berkecamuk hadir tiba-tiba. Sejadah yang letaknya di punggung aku ketepikan. Aku mahu redakan rasa hiba ini. Ah – bodohnya aku menangis kerana seorang lelaki, kan?

Lengan aku ditarik perlahan oleh ibu dan sekali lagi ibu memeluk aku. Tuhan, sebaknya rasa! Pilunya hati ini hanya Allah SWT yang tahu.

Suara ibu sekali lagi membuatkan air mata aku mengalir tanpa dipinta. “Yaya dah kurus sangat-sangat. Ibu pun tahu Yaya dah kurus. Lengan pun sekeping macam papan. Anak sulung ibu ni, kenapa ya?

“Eh, mana ada Yaya kurus. Yaya makanlah ibu! Lauk yang kak Hamidah selalu masak pun, Yaya yang makan. Siap Yaya bawa ke café. Adnan dan Salmi tukang habiskan lauk!” Ah – aku berbohong lagi!

Ibu mengusap lagi belakang badan ini. Inilah cara ibu mententeramkan hati anak-anaknya. Ibu akan mengusap-usap belakang badan kami dengan penuh kasih sayang. Bertanya dan bertanya sehingga aku dan Fatin akan bercerita perkara sebenarnya kepada ibu.  

“Ya, Yaya dah kurus. Ibu tahu bezakan bentuk tubuh anak ibu yang dahulu dengan sekarang. Yaya dah kurus sangat-sangat ni.” ibu menekan lagi ayatnya.

Ibu memeluk lagi dengan erat. “Ibu tahu, Yaya dah kurus.”Dan akhirnya air mata yang aku tahan agar tidak tumpah, turun perlahan-lahan. Membasahi bahu ibu dan kepalaku diusap-usap dengan penuh ketenangan. Aku tutup mulut dengan kedua jemari kiri dan kanan agar ibu tidak mendengar tangisan. Tetapi, wanita yang sedang memeluk aku ini adalah ibu yang melahirkan aku dan menjaga aku sejak kecil lagi. Ibu tahu aku sedang bersedih kerana seorang lelaki.

“Jangan menangis Yaya…”

Fatin ketap bibir. Air matanya pula mengalir-ngalir. Membasahi telekung yang masih belum ditanggalkannya. Buku Al-Mathurat yang telah selesai dibaca disusun elok-elok oleh Fatin di atas rak buku ibu. Sejadah digantung kemas-kemas. Fatin berdiri membelakangkan kami sambil dia tersedu-sedu menangis.

“Yaya makanlah bu. Yaya makan banyak sangat!” aku berbohong lagi.

“Kalau makan tak kan jadi kurus macam ni. Sampaikan Fatin mengadu dengan ibu, jamah nasi pun tak. Yaya kan anak ibu yang kuat. Dugaan sekecil yang Allah beri dekat Yaya sekarang tak sehebat dugaan orang-orang lain ! Ala, lelaki ni susah kita nak ramal hati budi dia, Yaya ! Izz Amir tu kalau betul dia jodoh Yaya, akan tetap kuat menjadi jodoh Yaya ! ”

Aku tarik hingus. Lantas merenggangkan pelukan kami berdua. Ibu membawa jemarinya mencari pipi aku. Dikesat-kesat air mata aku yang sedang mengalir.

“Cinta tu kan ibu kata boleh. Tapi lama-lama cinta akan buat manusia lalai dan sesekali memenjarakan hati. Cuba Yaya tengok apa yang dah berubah dengan Yaya sekarang?”

Aku pandang wajah ibu. Perlahan-lahan aku tarik nafas dan pantas aku menyebamkan kepala ke dada ibu. “Yaya dah kurus, Yaya tak lalu makan dan Yaya tak senyum seperti selalu!”

Dan Tuhan - sambil bibir ini berterus terang kepada ibu, air mata aku mengalir deras! Ibu kembali mengusap-ngusap kepala ini dan sekali lagi jemari ibu menenangkan diri ini.  

“Hari ni Izz Amir bertunang dengan Jasmin, bu!”

Ibu angguk. “Kita doakan dia bahagia ya nak!” ibu memujuk aku.

Fatin pandang jendela. Subuh menginjak cepat dan siang mahu menjelma segera. Burung-burung berkicauan dengan gembira. Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar. Aku bertasbih, bertahmid dan bertakbir beberapa kali. Aku tarik nafas dan mengawal rasa hati.

“Bukan jodoh Yaya dengan Izz Amir. Tapi ibu sentiasa doakan Yaya anak ibu yang bertuah ni cepat jodohnya dan berkahwin dengan lelaki soleh pilihan hati sendiri. Ibu yakin!”

“Sekacak Izz Amir boleh tak, ibu?” soal aku tiba-tiba. Aku panggung kepala dan memandang wajah ibu. Ibu ketawa. Dalam hiba sebegini, aku boleh bergurau dengan ibu. Bahu aku ditampar perlahan ibu. Dan ketawa Fatin pantas kedengaran. Aku kesat air mata dan turut sama ketawa.

“Kak long gila! Angau lagilah tu! Dah-dah! Kita yang sedih-sedih, risau tengok badan dia kurus cengkung. Muka pun dah monyok empat belas. Boleh nak buat lawak antarabangsa pulak!”

“Tak adalah. Kak long saja test market. Manalah tahu boleh dapat kekasih baru lapan belas juta lebih kacak dari Izz Amir. Kan?”

“Gatal!” ibu cepat-cepat menarik telinga aku. Fatin bersama ibu terus mengekek ketawa. Jemari ibu sekali lagi mengesar-ngesat air mata yang masih mengalir. Ah – dalam ketawa ada sendu! Memang aku ini gadis cengeng! Tak tahu malu, menangis kerana seorang lelaki! Buruk betul! Sekali lagi, ibu membersihkan pipi ini dari dibasahi kesedihan. Memujuk dan pesan memesan ibu terus melekat di dalam kepala.

Dalam beberapa minit berbual-bual bersama ibu dan Fatin, akhirnya kepala aku terlentuk di atas riba ibu.

Le Cordon Bleu terasa memanggil-manggil. Dan rupa-rupanya ibu bersama Fatin sedang memandang borang pemergian aku ke sana dengan linangan air mata.

+Nanti, siapa nak buatkan air milo untuk ibu?
-Ala, Fatin kan ada?
+Tetapi air milo buatan Yaya lain benar rasanya. Nanti ibu rindu.

Air mata ibu jatuh di pipi ini. Air mata ibu pula mengalir-ngalir perlahan mengasak sendu di hati.

+Kak long, siapa yang akan berbual-bual dengan Fatin nanti?
-Ibu kan ada. Berbuallah dengan ibu.
+Iya. Fatin tahu ibu ada. Berbual dengan ibu itu antara seorang emak dan anaknya. Tetapi berbual dengan kak long seperti seorang kawan dan kakak. Nanti Fatin akan keseorangan di rumah ni. Fatin sunyi nanti. Siapa nak ikatkan rambut Fatin nanti?
+Ibu…
-Kak long, Paris tu jauh sangat-sangat! Nanti Fatin dan ibu akan menangis kerana rindukan senyuman kak long.

Dan air mata Fatin mengalir juga. Di hadapan jendela bersaksi awan yang semakin cerah. Di hadapan jendela bersama langsir yang sedang beralun lembut. Desiran bayu terus menghangatkan pagi ini. Pantas, tubuh aku ditarik lembut oleh ibu. Pipi ini dikucup perlahan-lahan. Dan aku sedar, air mata ibu menjadi teman kepada hati. Air mata Fatin lantas menjadi saksi bahawa cinta yang abadi sebenarnya bersama darah daging sendiri.

Ya. Hari ini hari sedih dan hari penuh gembira. Meski aku sedang cuba melawan hati dan bibir dari terus menyebut nama Izz Amir.  Aku akan cuba selagi terdaya.

***

Selalunya aku senang dengan seluar dan blouse untuk ke kelas. Tetapi hari ini, aku lebih selesa mengenakan baju kurung. Berbaju kurung berwarna merah jambu. Bunganya kecil-kecil sahaja berwarna kuning. Tudung yang tersarung ini senada dengan warna baju. Kata Fatin, sudah cukup menarik! Dan pagi Ahad ini, aku segera memecut Hei MJ Ungu ke Yayasan Marjan. Aku harus segera ke kelas. Jadual seperti biasa bermula dari jam 8.00 pagi sehingga ke petang.

Hei MJ Ungu, aku parkirkan betul-betul di sebelah sebuah motorsikal besar. Berwarna hitam dan motorsikal jenama Ducati Streetfighter 848, ini memang menggoda Hei MJ Unguku. Cet! Berangan saja aku di pagi-pagi murni ini. Sudahlah skuter aku ini murah saja harganya. Nak dibandingkan dengan motorsikal berkuasa besar ini, sudah-sudahlah Yaya!
Kaki terus melangkah!

Hari Ahad terus berlalu dengan tenang! Aku bawa diri berjalan menjelajah Yayasan Marjan. Menyendirikan diri memandang setiap pensyarah yang keluar masuk di dalam dewan kuliah. Menyalin semua nota dan belajar dengan tekun. Menjadi pelajar yang setia mencari ilmu. Mengangkat tangan bertanya jika ada masalah dalam setiap kelas. Haryani menjadi teman. Kadang-kadang, Salbiah menyelit juga menjadi kawan. Ah – aku berkawan dengan siapa sahaja. Menyembunyikan senyuman yang telah mati dan sebak terus menghuni hati.

Mampukah aku melawan rasa rindu dan cinta kepada lelaki itu? Dan mampukah aku melupakan wajahnya?

Pembelajaran dengan pantas mengisi masa. Kuliah mengenai Restaurant Operation & Food Study oleh Encik Sahari aku tekuni.

Kuliah kelas Ekonomi oleh Puan Hasnita sesekali mencuti hati! Dia membaling sebatang pen terus kepada Zahari yang tidur kerana dengkurannya mengganggu pembelajaran.

Kelas bahasa Mandarin oleh Sir Alex. Ah – susahnya belajar bahasa Mandarin. Semalam sudahlah belajar bahasa Perancis sampai tergeliat lidah. Tersasul-sasul menyebutnya!

Paling seronok masuk ke dalam kelas Tuan Wanzu untuk subjek Management

Ya, jam terus bergerak dengan laju. Sehingga Adnan memberi SMS merobekkan hati! Sah. Jasmin dan Izz Amir selamat bertunang. Izz Amir ada di rumah Jasmin. Umi berpapah sebab tak berapa sihat lagi. Dia cari kau, Yaya!

Sepantas kilat aku menutup telefon. Telefon cap ayam kepunyaan aku ini dengan segera aku offkan. Baterinya aku cabut dan aku sumbat-sumbatkan di dalam beg gelas. Aku tersengih memandang Haryani. Dia terkebil-kebil memandang aku dengan mata penuh tanda tanya. Bulat macam guli!

“Kau gila ya?”

Aku tersengih memendam sedih! Gelengkan kepala dan rasa mahu sahaja aku memutar masa supaya bergerak lebih pantas! “Telefon ni tiba-tiba keluar anak jin! Terkejut beruk aku dibuatnya.”

Haryani tayang gigi putihnya. Aku segera memandang ke depan. Minggu depan peperiksaan! Sekejapan masa berlalu dan Sheikh Anuar melayangkan jadual peperiksaan untuk minggu hadapan. Aku telan air liur. Minggu memeritkan. Mampukah aku berhadapan dengan kenyataan duduk di Pai Epal Café bersama-sama Izz Amir dan peperiksaan yang mendatang ini?

Masa rehat aku habiskan diri terpelosok di dalam perpustakaan. Membaca buku yang tidak masuk ke dalam kepala dan ilmunya entah terbang ke negara mana.

Dan jam 5.30 petang, selepas berakhirnya kelas untuk hari ini, aku terus berjalan lesu mencari Hei MJ Unguku. Haryani puas memujuk, mengajak aku menyertainya makan-makan di sebuah restoren.

“Aku anti sosial bermula hari ni!” aku sengih sambil mengeluarkan kunci dari beg galas.

“Iyalah, aku tahu kau akan berkawan dengan senarai student yang akan ke LCB sahaja. Budak macam aku ni, kau tak nak layan, Yaya!” Haryani menjeling.

Aku geleng kepala. Haryani memang maklum bahawa aku adalah antara sepuluh pelajar yang memohon untuk ke Le Cordon Bleu. “Sepatutnya kau doakan aku berjaya dan lulus periksa. Dengkilah tu!”

Haryani ketawa dan mengangkat tangannya. “Aku balik dululah. Yaya, aku doakan kau berjaya. Dengki-dengki ni, melayu tak ada akal! Haryani berlapang dada walau sedih sebenarnya!” Haryani membuat gaya sedihnya. Aku ketawa.

Aku turut sama geli hati melihat Haryani.

Dia keluarkan kunci keretanya dari beg. Haryani juga seorang pelajar jurusan kulinari. Separuh masa belajar di Yayasan Marjan dan bercita-cita mahu menjadi seorang chef pastry. “Okeylah, budak-budak ni dah tunggu aku! Nanti kalau mimpi soalan bocor, SMS aku! Jangan kedekut tau!” Haryani melambai-lambai.

Sekelip mata dia menghilang dan menyusup masuk ke dalam kereta Myvinya. Dan aku segera menoleh memandang skuterku. Seorang lelaki berpeluk tubuh di sebelah skuterku. Berhelmet dan siap menyarung jaket serba mewah. Dia memerhati aku dari atas ke bawah.

+Siapa pula ni?
-Lelaki Yaya! Lelaki. Kau tak kenal ke?
+Apa pasal dia pandang-pandang Yaya semacam saja ni? Ada hutang?

Aku jeling dia. Dia pandang aku. Manalah aku nak kenal siapa dia. Sebab dia berhelmet kan? Izz Amir ya? Dengan sepantas kilat aku memandangnya. Lelaki berkenaan masih kekal berdiri dan memandang aku. Dia mengalihkan sedikit motorsikalnya bila aku mendekati Hei MJ Unguku. Ducati Streetfighter 848 ini, dia yang punyakah? Gila mahal motorsikal ini!

Ya Rabbi! Aku tepuk dahi bila dia membuka helmetnya. Munir tersenyum. Bukan Izz Amir seperti yang aku harapkan. Aku tarik nafas. “Hari ni, Yaya betul anti sosial?”

Aku ketawa. Hairan dengan kewujudan dia di sini.  Aku betulkan beg galasku. Menyarung baju sejuk dan mula memasukkan kunci. Bila aku perasan lelaki di sebelah aku ini adalah Munir, rasa segan mula bertimpa-timpa. Aku tidak jadi menghidupkan enjin skuter. Terus aku diam berdiri. Macam patung!

Aku gelengkan kepala. “Taklah. Saya bukan anti sosial. Penat sikit!” Oh, jadinya dia dengarlah perbualan antara aku dan Haryani tadi? Canggihnya telinga dia.

“Yaya dah kurus!”

Mata kami berlaga dan dia tersenyum. Aku gelengkan kepala. Mana mungkin dia tahu segala yang terjadi antara aku dan Izz Amir. “Saya diet!”

“Ni diet ke atau ada masalah?” helmet diletak di atas motorsikalnya.

“Eh, awak bukan akan ke Paris? LCB?” aku ubah topik perbualan. Nampak lebih afdal juga sekiranya aku melarikan diri dari topik sedih sendiri dibicarakan.

“Lagi 3 hari saya bertolak. Jadual penerbangan saya diubah saat akhir. Tadi saya duduk di perpustakaan. Perhatikan awak selama satu jam!” dia sengih luar biasa. Aku gigit bibir bawah. Erk!

“Berdosa!”

Dan Munir ketawa kuat. Dia menggelengkan kepalanya. Entah apa yang lucu pun aku tidak tahu. Habis ketawanya, dia mempelawa. “Kita pergi Uganda?”

Dan aku pula tertawa kecil. “Nanti saya akan pergi. Satu hari nanti sebab saya rasa istimewa negara Uganda tu!”

“Saya akan bawa awak!” Munir senyum.

Ah- lelaki semua sama. Tiba-tiba hadir dan mula menabur janji-janji palsunya. Aku gelengkan kepala. Munir masih tidak mahu berganjak. Masalahnya tongkat motorsikalnya betul-betul menghadang tongkat skuterku. Motornya sudahlah berat! Bagaimana harus aku alihkan motorsikal berkuasa tingginya ini?

“Jom saya belanja awak makan. Sebagai seorang kawan dan untuk hari terakhir saya di Malaysia. Boleh?”

Aku gelengkan kepala. Wajahnya penuh mengharap. Tetapi aku tidak teruja dengan ajakannya. Munir terus mengasak dan memujuk. “Kita makan ABC?”

Aku gelengkan lagi kepala. Wajahnya aku renung. Adakah dia ini lelaki yang boleh dipercayai? Buatnya aku diculik dan dibawa ke Paris, naya-naya! Entah-entah dia ini perogol!

Aku melangkah setapak ke belakang. Membawa beg galasku ke hadapan. Jangan-jangan dia ni pencuri? Tak kan baru berkenalan, dia boleh menawarkan diri. Belanja itu dan ini.
Munir tersenyum lagi!

“Yaya. Saya tak buat apa-apa lah! Saya pelajar Yayasan Marjan. Kita dah kenal pun. Percaya saya. Jom! Jangan buat muka sepuluh kerat macam tu! Jom, saya belanja!”Munir gelengkan kepalanya. Masih menawarkan sesi belanja makan untuk aku. Aku terkebil-kebil.

“Okey, kalau awak tak setuju. Kita pergi makan. Tutti frutti?”

Aku terdiam. Pantas aku menggelengkan kepala. Di situlah kenangan terindah antara aku dan Izz Amir. “Mahal!”

“Bihun sup utara?”

“Tak sedap!” jawabku lagi.

“Nasi ayam?” dia bertanya penuh mesra.

“Betul ke awak akan pergi lagi 3 hari?” aku bertanya dia tanpa menjawab pelawaannya.

Munir angguk. “Nanti awak hantar saya di airport. Boleh lambai-lambai saya!”

Cet! Sempat dia mengurat. Amboi, Munir! “Saya tak hairan pun nak lambai-lambai awak, Munir! Eh, nasi ayam dekat mana yang sedap?” aku pandang Munir. Dia sudah tersenyum puas. Hati ini rasa senang  dengan sikapnya. Meski dia muncul dengan tiba-tiba dan menawarkan ‘belanja makan’ untuk aku. Entah bagaimana aku boleh suka dengan pujukannya.

“Saya tahu di mana kedai yang sedap. Jom ikut saya.”

“3 pinggan boleh?” aku naikkan jari telunjuk, jari tengah dan jari manis kepadanya. Munir angguk sambil tersenyum. Dia pantas menolak motorsikalnya.

“Awak nak makan lima pinggan pun boleh, Yaya!”

Aku tersenyum lagi. Pantas mengambil helmet. Membetulkan beg galas dan menghidupkan enjin skuterku. Munir turut sama menghidupkan enjin motorsikalnya. Aku sarung helmet dan menanti Munir yang sedang menyarung helmetnya.

“Lima pinggan boleh?”

Munir angguk. “Sepuluh pun saya akan bayar!”

Motorsikalnya mengaum kuat. Aku jeling motorsikalnya. Munir angkat kening! Aku menjerit kuat. “Hei Ducati Seksi!”

“Apa?” Munir bertanya. Wajahnya berkerut-kerut tanda tidak jelas dengan sebutan dari bibir aku.

“Nama motorsikal baru awak ni, Hei Ducati Seksi!”

Munir gelengkan kepala. Wajahnya merah kerana malu. Dia ketawa! “Yaya ikut saya dari belakang ya! Saya bawa slow-slow!”

Aku mengangguk!

Munir segera menjerit kecil. “Nasi ayam lima pinggan!”

Kamu semua tahu bukan, saat angin perlahan memeluk tubuh ini, aku rasa gembira sekali! Saat deruan enjin skuter kesayangan ini menderu di jalan raya, rasa kecewa itu aku pinggirkan ke tepi. Angin memeluk tubuh. Rasa nyaman dan hari ini aku mahu makan sepuas-puasnya. Hei MJ Ungu setia mengikut Hei Ducati Seksi yang perlahan menyusuri jalan raya.

Munir belanja aku makan betul-betul. Bukan tipu-tipu seperti sangkaan aku!  Nasi ayam memang tersedia. Tetapi ada tambahan makanan lain seperti satay, bihun tomyam, air batu campur dan cendol power! Ini mencekik namanya, encik Munir!

“Saya dah isi borang!”

“Serius? Okey, Yaya pilih outlet mana?” Munir nampak teruja ingin tahu.Bola matanya bersinar-sinar.

“Rahsia!”  bihun tomyam masuk ke dalam perut. Munir mencebik. Mengetuk jari aku dengan sudu.

“Sakitlah!”

Dia tayang gigi! “Cakaplah. Yaya pilih outlet mana? Nanti kalau ada kawan-kawan yang kenal dengan Munir, bolehlah maklumkan dengan mereka. Mana tahu, ada hal emergency ke!”

“Biarlah rahsia!” aku sengih.

“Cet!” Munir menjeling marah! Dia gigit bibir bawah dan sekali lagi mengetuk jari aku dengan sudu.