Pages

27 September 2012

Nama Dia Joe 4



Nama Dia Joe 4. Menyusuri kisah Joe dan Mawar lagi. Hehe. 

***
nama dia joe 1

Orang perempuan itu kadang-kadang macam kanak-kanak juga perinya.

***

Pagi tadi, bagaikan lipas kudung Mawar keluar dari rumah Joe. Terjerit-jerit dia macam kena histeria. Sampaikan Joe tersembam jatuh ke bawah dari sofa. Selimut juga jatuh membalut tubuh Joe. Dia cari kunci rumah Joe. Saat itu dia tengok jam di dinding rumah Joe. Jam 5.45 pagi.  Dia tidak pedulikan Joe. Apa jadi dengan Joe, lantaklah. Yang penting dia berjaya buka pintu besi rumah Joe. Tetapi semua kunci yang diambil dari kotak kayu semuanya tak sepadan dengan lubang kunci. Ah, stress! Stress!

Joe cekak pinggang. “Iya, iya. Saya bukakan pintu ni untuk awak. Awak dah sedap-sedap tidur dalam rumah saya, sekarang awak nak keluar tanpa ucap terima kasih. Senang-senang pulak tu  awak menjerit dalam rumah saya ni dan memang betul nampak awak macam orang gila. Heii…” Joe bukakan pintu besi. Kemudian, dia berlari sederhana ambil beg galas Mawar. Dia campak beg ke dalam pelukan Mawar.

Beg bersambut. Mawar terkebil-kebil dan mulut sudah berkunci. Tak lagi menjerit sambil terkebil-kebil mengingati jam-jam sebelum ini semasa dia duduk bersimpuh di dalam rumah Joe. Sengih macam kerang busuk. Garu kepala sambil renung Joe yang muka mamai. “Hehe. Terima kasih ya awak. Tak sangka saya tertidur kat ruang tamu rumah awak.”

Joe sengetkan bibir. “Haaa…kira nasib baiklah tak kena tangkap basah. Lain kali jangan susahkan aku lagi. Dah balik.”

Baru saja Joe hendak tutup pintu, Mawar menjerit kecil. “Joe!”

Kepala Joe tersembul keluar. Dia perhatikan Mawar yang terkial-kial betulkan kasut sarung warna hitam. “Haaa..nak apa lagi?”

“Untuk kali ni sahaja. Tolong saya ya.” Mawar buat muka sepuluh sen. Gigit bibir bawah. Dia mahu Joe faham masalahnya dan sudi membantu.

Joe tarik nafas. Telan air liur dan serta merta dia angguk. “Bila?”

“Appoinment dengan Eriana hari ni di cafeteria jam satu tengahari ya. Awak jangan lupa tau. Saya akan bawakan awak jumpa Eriana. Nanti awak belanja dia makan tau. Borak-borak dan lepas tu nanti Eriana yang akan aturkan pertemuan seterusnya dengan awak. Tengok wayang, picnic, shopping, karaoke, makan-makan dan macam-macamlah. Please.” Mawar sudah hafal semua agenda Eriana. Yang dia tahu Eriana akan kikis semua lelaki yang didampinginya.

Joe garu kepala. Eriana ni memang nak kena hempuk dengan helmet. Ataupun campak dia dalam tasik. Senang cerita tak payah aku perlu berappoinment macam CEO begini.  “Berapa lama semua ni nak kena habis?” Joe pandang Mawar.

“Selalunya makan masa sebulan. Sebelum ni Izmir cecah dua bulan. Tengku Syarnaz lima bulan. Saya tak tahulah kalau dengan awak ni berapa bulan. Harap-harap kekallah. Tak payah saya interview lelaki lain.” Mawar cerita dengan jujur. Entah kenapa dengan Joe dia berterus terang dengan sikap Eriana. Mampus kalau Eriana tahu mulut dia dah macam mulut tempayan.

Pintu sudah terbuka luas. Joe sandar depan pintu sambil telinga mereka sayup-sayup mendengar alunan zikir dari surau berdekatan. Waktu Subuh akan menjengah beberapa minit saja lagi. Mereka dipisahkan dengan pintu besi sahaja. Mawar masih menanti jawapan Joe.  “Dari aku kekal dengan dia, baik aku couple dengan kau. Kan?”

Mawar terkujat. Macam nampak hantu. Terkebil-kebil melihat Joe yang terkekek ketawa.

“Habis tu bila kau nak interview aku ni?” Joe mula tersedar dengan Mawar yang terlongo memandangnya. Nasib baik tak ada air liur meleleh. Mawar ni memang nak kena cium pipi dia. Beranganlah tu.

Mawar jungkit bahu.

Akhirnya sebelum Joe tutup pintu, suara dia masuk ke dalam gegendang telinga Mawar. “Kau balik rumah, mandi. Solat Subuh dan pergi kelas. Sampaikan salam pada Eriana, okey? Kemudian katakan pada dia aku setuju dating dengan dia tengahari ni dan tepat jam 11.00 tengahari kau perlu tunggu aku kat dalam library. Buku biodata kau fasal aku tak penuh lagi. Okey? Setuju?”

Mawar senyum sampai ke telinga. Sebelum tutup pintu, Joe hadiahkan senyum kacaknya. Kemudian Joe lambaikan tangan. Perlahan-lahan Joe tutup pintu dan Mawar pagi hening itu, berlari sederhana sambil berdoa agar Allah swt permudahkan segala urusan Joe yang baik hati itu. Oh, terima kasih Joe.

Terima kasih Joe.

***

Habis kelas Pharmacology Puan Jaya, Mawar segera dapatkan Eriana. Eriana sengih suka hati bila Mawar katakan yang Joe setuju untuk berjumpa dengannya di café.  “Really?” Mata buntang dan rasa puas hati kerana Mawar akhirnya berjaya mendapatkan lelaki terhebat di dalam kolej abad ini. Rasa nak peluk cium Mawar kala ini.

“Biodata dia, dah siap semua? Segala fasal dia penting tau untuk aku pikat dia.” Eriana jeling Mawar sambil serahkan buku notanya kepada Mawar. Nota subjek Pharmacology perlu Mawar siapkan untuk dia.

“Oh, nanti jam dua belas aku bagi dekat kau. Sebab Joe sendiri kata dia tak sabar nak jumpa dengan kau. Jadinya dia dah prepare soalan-soalan aku dan siapkan dalam satu kertas. Nanti kau tunggu kat café saja. Aku pesankan kat Hajar nanti. Sebab lepas habis jumpa Joe, aku kena pergi hospital.” Mawar mula rasa senang hati. Senang hati kerana Eriana sudah kembali baik dengannya. Dia tak perlu risau lagi dengan duit pembiayaan emak di sana. Eriana ada. Eriana juga sudah terima penjelasan dari dia seadanya. Kalau Eriana senyum, bermakna Mawar juga senang hati.

Eriana angguk. Senyum. “Eh-eh, dia betul nak jumpa dengan aku?”

Mawar angguk. “Iya, betul. Dan kau dah cukup gorgeous hari ni. Cantik dan seksi. Joe pasti akan terpikat. Eh, jangan lupa order juice apple. Joe kata dia suka juice apple.”

Eriana tarik jemari Mawar. Tak sangka Mawar jalankan lagi tugas-tugasnya. “Kalau betul kali ni aku jatuh cinta dengan Joe, macam mana? Kau doakan aku ya Mawar.” Eriana tarik nafas. Kadang-kadang dia berterima kasih dengan Mawar. Mawar sentiasa jalankan perintahnya tanpa masalah. Mawar akan sentiasa menjalan misi interview dan mengatur pertemuan pertamanya dengan mana-mana lelaki pujaan hati. Mawar tak akan menolak dan Mawar akur walau dia di maki hamun. Meski dia kadang-kala diherdik dan menjadi bahan marah semua lelaki yang telah dia tinggalkan.

Mawar. Dia tidak tahu kenapa Mawar menjadi bahan eksperimennya dengan banyak lelaki. Mawar, orang tengah dia. Mawar,pak turut dan pembantu setianya. Mawar yang menjadi sahabat dan adakala si tunggul kayu dalam hidupnya. Eriana senyum meleret. Kerana wang. Kerana emaknya yang terlantar koma di hospital dan kerana yuran pengajian juga perbelanjaan persekolahan adik-adiknya. Kerana dia mampu dan Mawar tidak mampu.

Noktah. Pertemuan tamat selepas Mawar senyum. Anggukkan kepala dan menitipkan pesanan kedua kepada Eriana. Dia masih patuh dan mengikut janjinya kepada Eriana. “Jangan lambat. Nanti Joe marah. Senyum jangan gedik dan jangan makan gelojoh. Kawal suara dan Joe tak suka perempuan perasan. Okey?”
Mawar segera melangkah. Dia perlu cepat untuk mengatur pertemuan dengan Joe pula. Sepuluh minit lagi pukul sebelas pagi. Dia berlari laju. Mawar tidak peduli lagi dengan pelajar-pelajar lain di kiri dan kanannya.

Eriana peluk tubuh. Senyum puas sebab dia melihat Mawar bersungguh-sungguh menjalankan misi entah keberapa puluh kali ini. harap-harap kali ini pulangannya lumayan. Dia boleh jalan-jalan ke Bali dan kemudian minta Joe belikan tas tangan Loius Vuitton paling mahal sekali dalam dunia. Berangan! Lelaki didampingi perlu kaya, Eriana. Kikis harta dan duit satu bank pun boleh. Eriana sengih suka dan matanya tajam memerhati tubuh Mawar yang semakin kecil di hujung mata.

Joe. Nama lelaki itu dia sebut berkali-kali. Auww… dia tak sabar nak peluk lelaki kacak dan badan ketul-ketul itu.

***

Joe tu susah nak senyum. Muka serius manjang je. Mawar gigit bibir. Teringat pesan Akmal mengenai sikap Joe. Susah senyum ya? Dia tulis sejarah Joe dalam buku nota barunya. Buku nota miliknya yang penuh dengan biodata bekas kekasih Eriana sudah hilang. Arghhh.  Akhirnya buku nota baru dibelinya. Hanya untuk tulis mengenai biodata Joe yang tak siap-siap.

Mawar gigit hujung pen. Terpandang-pandang wajah serius Joe tenungnya semalam. Tapi...tapi....semalam dia senyumlah. Senyum kat aku. Cet! Berangan lagi Mawar. Kenangan pagi tadi melilit di kepala. Wajah bengang Joe dengan sikap gelabahnya bersatu di cepu minda. Mawar sengih sambil harapkan ada pelangi datang hari ini. Harap-harap Joe tunaikan janjinya bertemu dengan dia di sini.

Mawar tarik nafas. Kepala di dongakkan. Kemudian, mata memerhati library yang setia dipenuhi para pelajar. Setia menanti Joe yang meminta dirinya menanti di sini. Mawar buka buku. Buku nota milik Eriana perlu dipenuhkan. Kalau ada assignment, dia perlu buat untuk dua orang. Satu untuk Eriana dan satu lagi untuknya.

Sambil memerhati buku nota  Eriana, wajah Joe tersenyum terpampang atas buku. Aik?

Hatiku cair kembang berbungakah? Arghh..sekali lagi Mawar letak kepala atas meja perpustakaan. Rasa tak bernafas tengok senyum si Joe yang terpacul atas buku ni. Dalam buku pun dia menjelma. Ajaib betul! Mawar lapik pipi dengan buku. Tup tup Joe tersengih. Kepala dia turut sama terlentok atas meja ini. Ehhhh….bila pulak dia tarik kerusi dan duduk di sebelah aku ini?

“Eh, nama betul awak memang Mawar ya?” Joe kenyitkan mata. Serta merta Mawar angkat kepala. Pusing badan ke kanan memerhati Joe yang masih terlentok kepalanya atas meja perpustakaan. Terkejut dia, ya rabbi. Joe ni, bagilah salam ke, selamat tengahari ke, selamat pagi ke. Ini tak, muncul macam pari-pari. Hishhh!

Mawar terus angguk. “Iya. Nama saya Mawar.”

“Ooo...ringkasnya nama awak.” Joe sengih. Pandang Mawar untuk kali ke lapan. Dari tadi dia perhatikan Mawar. Dia  memang sudah duduk bertapa di dalam perpustakaan ini. Dia perhatikan Mawar dari celah-celah buku dan mengendap si gadis berkenaan sambil tersengih geli hati.

“Kenapa awak tanya?” Mawar angkat kening.

“Senanglah bakal suami awak nak sebut nama awak masa akad nikah nanti. Mawar saja. Ringkas. Hehehe.” Joe pandang Mawar yang sudah merona merah pipinya.

Hehehe. Mawar pula panggung kepala dan sengih macam kerang busuk. Malunya I. Mawar serta merta pandang jam di dinding. Buku nota dibuka. Tugasnya perlu diselesaikan. Tapi belumpun pennya bersatu di dalam buku, Joe serahkan dua helai kertas kajang. “Saya dah siapkan biodata saya. Macam-macam saya tulis. Awak tak payah nak salin dalam buku nota tu. Nanti dengan Eriana pandai-pandailah saya gorengkan. Awak jangan risau ya.” Suaranya lembut. Timbul rasa kasihan dengan Eriana. Dia nampak buku nota Eriana yang rasanya perlu dibereskan. Akmal ada beritahu juga. Akmal ada cerita kepadanya yang Mawar ini ibarat pembantu rumah untuk Eriana. Ah, kasihannya gadis ini.

Kertas kajang dihulurkan. Dia ambil huluran dari Joe. Joe sengih. Angguk. “Hari ni saya tolong awak, dan nanti-nanti awak pula tolong saya. Sistem barter. Okey?”

Mawar terharu. Rasa nak nangis dengan Joe yang baik hati. “Terima kasih kerana memahami tugas saya. Awaklah lelaki paling payah untuk saya dapatkan biodata dan paling mudah berurusan dengan saya. Terima kasih untuk biodata ni. Bolehlah saya terus berikan pada Hajar dan  malam-malam nanti saya salin juga dalam buku istimewa saya ni.”

Suara Joe menikam jantung Mawar. Gemersik. “Eh, kenapa pulak awak nak kena salin lagi?” Joe masih tidak faham.

Mawar angguk.  Dia tahu, Joe perlu tahu tugasnya. Eriana itu sebenarnya serba serbi bodoh mengingati. “Kadang-kadang Eriana akan lupa hobi dan kegemaran setiap kekasihnya. Saya kena SMS apa yang dia kena buat. Apa yang dia kena belikan untuk lelaki yang sedang dia date. Hari jadi ke, hari persahabatan sedunia ke atau ingatkan tarikh-tarikh istimewa si lelaki berkenaan. Eriana malas nak fikir benda-benda remeh ni. Dia kata serabut. Sebab tu saya kena salin dalam buku nota saya ni. Mana saya pergi, buku nota ni mesti ada dengan saya. Senang untuk saya dan senang juga untuk Eriana. Eriana akan baca sepintas lalu kertas yang saya berikan kepadanya ni. dia akan tampal di dinding biliknya bersama sekeping gambar si lelaki berkenaan.”

“Sampai macam tu sekali ya si Eriana tu buat awak?” Joe pandang Mawar.

Mawar angguk. Dia mahu jelaskan secara terperinci modus operandi Eriana. Entah kenapa dia nekad bercerita kepada Joe. Hanya kepada lelaki ini dia mohon bantuan dan pertolongan. Selalunya lelaki lain jadi pak turut. Tetapi Joe lelaki tidak mudah terpedaya dengan godaaan Eriana. “Saya minta bantuan awak sangat-sangat. Kali ni sahaja dan saya minta tolong awak sebab nyawa emak saya di hospital. Lepas Eriana tinggalkan awak, saya janji saya akan bayar balik segala hutang dan wang yang awak belanjakan untuk Eriana. Saya janji.”

Joe tarik nafas. Perlahan-lahan dia bawa matanya meniti bibir Mawar. Tepat jam sebelas lima belas minit pagi, Mawar mula bercerita. Mula menggerakkan bibirnya dan sepasang mata lelaki Joe terus asyik memerhati Mawar. Mata, bibir, pipi, hidung dan akhirnya mata Joe teralih dan melekat ke alis kening Mawar yang terbentuk cantik.

Cantik. Mawar cantik sebenarnya bila ditenung lama-lama sebegini.

Angguk. Entah kenapa dia angguk mendengar arahan Mawar. Dia terima segala arahan Mawar dengan rela hati. Dia akan bantu Mawamr sebaik mungkin. Dia akan buang segala resah di jiwa Mawar. Jarum jam, minit dan saat terus menjadi saksi.

Hatinya berdetak. Jantungnya senada berdegup seperti dia melihat Mawar lena malam tadi. Dia ingin bertanya. Mahu tahu dengan keadaan emak Mawar. Tetapi bibir Joe terkunci kerana matanya asyik memandang wajah cantik ciptaan Tuhan.

20 September 2012

Mr Pai Epal's Doodle


Sambil menghitung hari, menanti penilaian, countdown Mr Pai Epal diterbitkan...mari-mari menjamu mata dengan doodle kreatif dari Cik Mal. Taip sahaja Cik Mal di Fb, add friend dan boleh bincang mahu doodle bagaimana. Page beliau di sini : 'Saya Suka Doodle'.

Terima kasih dengan sentuhan kreatif ini. Saya suka dan suka 14 juta kali. Yeayyy! Malam tadi pitam dan pengsan sebab comel sangat. Nanti saya akan minta Cik Mal doodle lagi mr pai epal dengan ada pai epal, ada topi chef dan skuter cik yaya sayang. Kan? Kan? Sesiapa ada cadangan, sila-sila. Kritikan itu boleh membantu doodle mr pai epal agar lebih cool, comel dan cantik 14 juta.

Sila senyum comel-comel. Ngeee

01 September 2012

Nama Dia Joe 3


 
Nama Dia Joe 3. Mawar dan Joe.  Semoga suka.  Senyum 14 juta ya.

“Ada sesuatu mengenai kamu yang harus saya tahu.”

***
Eriana cekak pinggang. Mawar tunduk pandang lantai. Jemari kanan menguis-nguis jemari kaki kiri. Dia tahu dia lakukan kesilapan besar hari ini. Mawar tahu, dia dengan sengajanya membuatkan Eriana marah. “Kau dapat ni je?” helaian kertas putih itu dilayang-layangkan Eriana.

Eriana garu kepala. Bilik mereka tiba-tiba jadi panas dan hangat. Dia jadi marah dengan Mawar. Kerja mudah sebegini pun payah sangat ke nak buat? Selalu senang saja Mawar mendapatkan status, biodata dan segala macam perkara peribadi si lelaki untuknya. Dia keronyokkan kertas A4 dihadapan Mawar. Dia jegilkan mata memerhati Mawar yang dari tadi pandang lantai dan dua-dua jemari kakinya saling bergerak-gerak. Hishh..budak muka bersepah ni!

Dia baling kertas berkenaan di kaki Mawar. Mawar terkejut dan hampir menangis dibuatnya. Suara Eriana menjerit menujah lagi masuk ke dalam telinga. “Kau pergi cari Joe malam ni jugak. Aku tak kira. Rumah dia kat mana, segala perkara yang aku nak seperti biasa kau kena ambik tahu. Ingat Mawar, kalau kau tak dapat segala macam apa yang aku nak, kau jangan masuk bilik aku ini. Bil hospital mak kau yang tengah tenat kat hospital tu jangan harap aku nak settlekan. Keluar cepat!”

Gerimis. Mawar letakkan jemarinya ke dada. Dia mahu menangis sambil menatap wajah Eriana yang tidak ada perasaan. Dia tahan air mata dari mengalir. Dia cuba menjadi kuat sambil teringatkan wajah ibu yang terlantar koma di sebuah hospital. Wang bayaran hospital, yuran pengajian dan perbelanjaan keluarganya banyak ditampung oleh Eriana. Empat adiknya yang masih bersekolah turut sama menjadi menerima nilai bayaran dari Eriana. Dia terhutang duit..berhutang budi dan sekarang dia menyerahkan dirinya kepada Eriana. Hamba kepada Eriana. Apa yang Eriana suruh dia lakukan, akan dia buat. Akan dia patuhi meski dia meredah kesusahan. Menerima caci dan maki hamun lelaki-lelaki yang pernah didampingi Eriana.

Dia agen mencari lelaki kacak untuk Eriana. Dia menguruskan siapa lelaki yang mahu Eriana dampingi. Bila Eriana puas mengikis semua harta lelaki berkenaan, Eriana akan tinggalkan semua lelaki berkenaan. Natijahnya, Mawar menerima segala. Dia pernah ditampar, pernah diheret dan hampir dahulu pernah dirogol oleh seorang kekasih Mawar. Mujur. Mujur Allah mengasihani dirinya.

Eriana cekak pinggang. Sekali lagi dia rasa macam nak menujah dahi Mawar. Kawan-kawan jugak, kenapa tiba-tiba si Mawar jadi penakut sangat ni? Bukankah ini kerja macam kacang sahaja untuk Mawar. Apa kemahuan dia, Mawar akan ikutkan. Mawar akan jadi pak turut serba serbi yang dia arahkan. Ahhh, stress betul tengok muka kasihan si Mawar ni.

Eriana pantas buka langkah. Mawar terhinjut-hinjut tahan tangisan dan kutip kertas A4 yang dicampak oleh Eriana. Bahunya terus dipapah Eriana. Mereka sama-sama melangkah menyeluruhi apartment mewah Mawar. Sehingga ke pintu utama. Eriana buka pintu dan jeling Mawar yang mengesat-ngesat air mata.

Tubuh Mawar ditolak perlahan. Sekejapan dia di luar dan Mawar panggung kepala memandang Eriana yang bercekak pinggang. Daun pintu dipegang oleh Eriana. Gadis seksi dengan gaun tidur sampai ke peha pandang jam. “Jam tunjuk pukul sebelas malam Mawar. Aku tak kira. Selagi apa yang aku nak kau tak dapatkan, jangan masuk tidur dalam rumah mewah aku ni. Kau tidur kat tepi jalan saja, okey? Cari Joe sampai dapat. Sampai aku puas hati mengenai dia. Faham?”

“Kenapa kau menangis? Lap air mata kau. Ingat Mawar. Bil hospital mak kau siapa bayar? Aku kan? Kau nak mak kau mati esok?”

Mawar kesat air mata. Pintu berdentum tanpa sedikitpun simpati dari Eriana. Bibir Mawar bergetar dan selangkah dia membawa diri, berjurai-jurai air matanya turun. Wajah emak terbayang di mata. Wajah emak yang sayu di atas katil menghimpit jiwa. Mawar terus melangkah. Kakinya laju lagi. Dia cari semangat dan kekuatan. Berbantu lampu neon malam, dia akhirnya sampai ke stesen bas. Telefon bimbit dicapai. Apa akan jadi, jadilah. Dia cari nombor telefon Akmal.

Akmal. Hanya Akmal sahaja yang akan membantunya kala ini. Lelaki bercermin mata dan rapat dengannya itu yang akan membantunya. Nekad.

***

Joe terpisat-pisat. Pukul 12 tengah malam ini, siapa pula yang menekan loceng. Cinderella mana pula yang datang ketuk pintu bagai nak gila ini. Huarghhh, sudahlah mengantuk. Sambil terpisat-pisat, tanpa berbaju dan berseluar pendek, Joe cari kunci rumahnya. “Kejaplah…aku mengantuk giler ni.” Joe garu kepala. Jemari garu badan yang gatal. Dia buka pintu kayu. Tanpa memandang siapa di luar, dia buka pula pintu besi.

Mulut Joe membebel lagi. “Siapa yang datang tengah-tengah malam buta ni? Kau nak apa?” Joe terus panggung kepala. Bagaikan kilat gadis itu melangkah masuk ke dalam apartmentnya. Mulut Joe ternganga. Terkedu dan terkebil-kebil. Jantungnya berdegup laju. Ya Allah!

Dia terus berlari masuk ke dalam bilik. Apa pula si Mawar ni berani datang ke rumah lelaki malam-malam buta ini? Ya rabbi. Bagaikan lipas kudung, dia masuk ke dalam bilik. Sarung kain pelikat, cari baju yang dipakai tadi dan betul-betulkan rambutnya yang kusut masai. Apa gila si Mawar ni. Dia gigit bibir sambil genggam penumbuk. Berani betul Mawar datang sendiri ke rumahnya. Masuk tanpa izin dan menyelinap bagaikan pencuri ke dalam rumahnya. Berani sungguh! Huh!

Perempuan gred E. Hish. Joe pantas kembali ke ruang tamu. Mawar sedang duduk sambil memegang sebuah beg. Dia perhati sahaja Mawar dari belakang. Joe geleng kepala. Pintu rumah terbuka. Kalau pencegah maksiat datang, kahwin paksalah kita Mawar. Bibirnya ukir senyum. Suri pasti menangis empat puluh tahun kerana kes kahwin paksa kekasihnya.

“Apa buang tebiat awak datang ke sini. Kau nak apa lagi Mawar?” Joe duduk di atas sofa. Dia tahu modus operandi Mawar. Dia tahu Eriana yang menyuruh Mawar datang menyelidiki mengenainya. Dia tahu Mawar ini mangsa keadaan dan menjadi kuli batak si Eriana tak guna tu.

Diam. Mawar diam. Tunduk minta simpati. Wajah emak dan adik-adiknya terpampang di depan mata.

“Tolong saya. Untuk kali ni saja. Tolong saya Joe. Kalau tak, mak saya kat hospital akan dikeluarkan. Saya tak mampu bayar bil. Saya tak ada sesiapa yang akan bantu melainkan Eriana. Saya minta tolong sangat-sangat.” Serentak itu Mawar bangun dan duduk berhadapan dengan Joe. Bagaikan meminta sedekah dan memohon rayuan hakim Mahkamah Tinggi lagaknya. Air mata Mawar merembes-rembes keluar. Dia sedih dan hiba. Dia sudah tidak larat. Berjalan kaki kerana kehabisan wang. Akmal hanya berikan alamat apartmen Joe sahaja. Bila melihat wang di dalam walletnya berbaki tiga ringgit sahaja, dia tidak ada pilihan. Mawar menapak seperti seorang Cinderella ke rumah Joe. Dia harus tunaikan tugasnya untuk Eriana. Menolak tugas ini akan buatkan dia berada dalam dilema. Perut dia amat lapar. Jikalau dia tak lunasi tugas ini, perutnya akan kosong dua tiga hari. Minum air sejuk sampai Eriana puas hati.

Joe terkebil-kebil. Dia meloncat naik ke atas sofa. Kakinya dipeluk. Pandang Mawar yang menangis kesedihan. Penjelasan Mawar buat dia sayu. Hati lelakinya jadi pilu. Betul kata Mahzir dan Akmal. Betul kata kawan-kawan sekelas Mawar. Mawar ini gadis polos dan baik hati. Dia buat semua perkara yang Eriana tugaskan untuknya. Assignment Eriana pun dia yang susah payah buat sampai tak tidur malam.

Mawar bersila. Terus buka beg dan keluarkan buku notanya. Dia cari pen dan mahu jalankan tugas interview Joe yang tidak selesai lagi.

“Awak tahu apa hukumnya seorang lelaki dan seorang perempuan duduk dalam keadaan begini, Mawar?” Joe perlahan-lahaan turunkan kakinya. Mawar sudah reda menangis. Mawar entah mana datang semangatnya, terus keluarkan bahan-bahan utama menjalankan tugas. Ajaib betul si Mawar ni.

Mawar angguk. Matanya bertakung lagi air suci itu. “Saya tahu, tapi saya terpaksa. Hanya kali ni sahaja saya pinta. Saya pinta awak keluar satu hari saja dengan Eriana. Saya pohon awak berikan semua perihal mengenai awak pada saya. Itu sahaja. Bantulah saya. Selepas itu, saya janji saya tak akan kacau awak lagi.” Mawar bersungguh-sungguh. Demi emak dan adik-adik. Demi yuran pengajian juga. Dia anak pemandu kepada keluarga Eriana. Dia termakan budi atas segala-gala yang Tuan Haji Mazlan berikan kepada arwah babah. Dia termakan budi atas segala kebaikan Tuan Haji Mazlan dan keluarga Eriana kepada mereka sekeluarga.

Mawar tidak ada pilihan. Mawar juga tidak mampu merubah masa yang tidak pernah menyebelahinya.

Joe tarik nafas. Geleng kepala kerana dia lelaki tersenarai oleh Eriana anak orang kaya perasan cantik itu. Tak fasal-fasal dia lelaki yang menjadi habuan untuk diinterview oleh Mawar. Dunia canggih serba teknologi beginipun, ada gadis macam Eriana bodoh itu. Dia pandang wajah Mawar yang mendung. Simpatinya datang bertubi-tubi. Kenapalah kau jadi pak sanggup begini Mawar. Muka cantik, ada pakej. Tapi jadi tukang suruh itu dan ini. Dunia-dunia. Joe gigit bibir. Pandang lagi Mawar sehingga degup jantungnya berdegup laju. Entah kenapa.

“Eh, awak dah makan?” Soalan cepu emas keluar dari bibir Joe. Dia bangkit segera kerana mahu membuang gundah di jiwa. Joe segera buka pintu seluas-luasnya kerana seorang Cinderella sedang duduk bersila di ruang tamunya. Kalau mama tahu, habislah dia kena bebel sepuluh hari. Tazkirah bersama ceramah selang seli dalam facebook. Haha.

Mawar tarik nafas. Terkebil-kebil dia menanti Joe yang berdiri di depan pintu. Buku notanya dibuka dan pen diletakkan atas marmar berkilat Joe. Cantiknya rumah Joe. Baru dia perasankan ruang tamu rumah ini. Mawar geleng kepala. Dia memang lapar. Lapar teramat sangat.  Geleng kepala. “Tak. Saya belum makan. Dah dua hari saya tak makan.” Mawar bukan berbohong. Dia sama sekali tidak jangka bibirnya semudah itu memberi jawapan. Joe terlongo. Kakinya pantas  melangkah ke dapur.

Dia jerit sambil Mawar ternanti-nanti. “Awak tunggu kat depan ya. Saya masak mee goreng mamak untuk awak. Nanti saya buatkan kopi sekali. Sebelum interview saya, awak kena makan dululah ya!”

Mawar sengih. Perutnya akan diisi. Joe memang baik hati. “Terima kasih awak.”

“Sama-sama. Haaa, awak jangan curik pasu cantik saya tu ya. Jangan masuk dalam beg awak tu!” 

Mawar jelir lidah. Eee, mamat ni. Ketuk kepala dengan pen ni baru tahu. Tiba-tiba hatinya senang dengan tingkah Joe. Mawar segera lunjurkan kaki. Buat rumah Joe macam rumah sendiri.

Lima belas minit, mee goreng terhidang depan mata. Semangkuk mee goreng ni jika simbah atas kepala Eriana, mesti best. Hehe. Mawar pandang Joe yang baik hati, Joe bawak piring, sudu dan garfu. Joe hulurkan sepiring mee goreng. “Awak makan dulu. Saya pergi dapur buatkan kopi. Lepas tu saya nak pergi toilet sebab sakit perut. Awak makan dulu tau.” Muka Joe mengenyit-ngenyit tahan sakit. Tadi dia belasah asam pedas dua mangkuk. Entah kenapa buat dia sakit perut tak ingat.

Mawar tak hiraukan Joe yang sakit perut. Apa jadi, jadilah. Dia cuma mahu perutnya terisi dengan semangkuk mee goreng mamak masakan Joe ini. Bila Joe pergi ke dapur dan bunyi Joe masuk ke dalam bilik air, Mawar segera makan. Tidak toleh kanan dan kiri. Pergh, sedap. Kalah masakan chef Izz Amir yang buka Pai Epal Café di hujung kota sana. Sekali makan, dia mahu lagi dan lagi. Tiga kali bertambah. Mawar lupa yang dia berada di dalam rumah seorang lelaki. Mawar juga turut terlupa yang dia kini sedang habiskan semangkuk mee goreng mamak Joe. Halloooo, emak kan pernah pesan, kalau makan. Sila ingat orang belakang. Joe ada kat belakang awak, Mawar!

Erkkkk….Alhamdulillah. Mawar kekenyangan. Sedapnya mee goreng mamak awak Joe. Tunggu…Mawar terus menanti Joe sambil ruang tamu dingin bersama aroma mee goreng mamak buatan Joe.

Dari melunjur kaki, Mawar ambil sebiji bantal comel dari atas sofa. Rebahkan kepala dengan rasa nyaman. Dia penat dan bila kenyang dia mahu tidur. Entah bila, sambil menanti Joe bersama air kopi matanya terus lelap dan mimpi indah lantas bertandang.
                                                                                                                               
Sepuluh minit berlalu.

Joe bersama sedulang kopi, dua cawan kosong belum terisi air pekat berkenaan kaku menyaksikan tubuh gadis bertutup litup itu tidur dengan lenanya. Dia terlopong bila lihat mee goreng basahnya licin. Mangkuk tersebut tidak tinggalkan barang satu sisa pun mee. Mawar sedang tidur bersama dengkuran halus yang membuatkan dia tersenyum.

Joe gelengkan kepala. Perlahan-lahan dia mengemas ruang tamu. Membiarkan Mawar tidur tanpa alas. dia ambil buku nota Mawar. Pen Mawar disimpan masuk ke dalam beg. Piring, mangkuk yang kotor dibiarkan di atas meja kecil. Joe henyak tubuhnya ke atas sofa. Dia pandang Mawar yang tidak bangun-bangun. Sambil itu, dia buka helaian pertama buku kecil milik Mawar.

Meneruskan bacaan dengan senyuman kecil dan mata Joe menyeluruhi wajah Mawar yang sedang asyik di alam mimpi. Entah kenapa jantungnya berdegup maha dahsyat. Entah kenapa ada air mata mengalir di sebalik matanya yang tertutup itu. Dia mahu bangun mengesat air mata berkenaan. Tetapi dia tahu halal haram bersentuhan kulit dengan seorang perempuan bukan muhrim. Kenapa Mawar menangis di dalam tidur? Kenapa?

Dia diam duduk di atas sofa. Merenung lagi Mawar dengan penuh rasa dan jiwa. Kakinya lantas cepat-cepat membawa tubuh masuk ke dalam bilik. Ambil selimut tebal dan sebuah bantal selesa untuk gadis bernama ‘Mawar’.

Tidurlah Mawar. Tidurlah dengan lena.

Dia angkat bantal kecil dari kepala Mawar. Gantikan dengan bantal miliknya. Selimut menjadi teman tubuh Mawar. Beg Mawar dialihkan dan diletakkan di atas alamari. Buku nota Mawar dipegang. Mama, jangan marah Joe. Joe tak buat apa-apa pun pada Mawar. Huhh….Joe mula takut bila dia kunci pintu besi. Pintu kayu dibiarkan terbuka. Kalaulah pencegah maksiat betul-betul datang, naya…naya!

Buku nota Mawar di bawa masuk ke dalam bilik. Selang sejam dia bangun mengawasi Mawar. Gadis itu langsung tidak bangun. Ah, payah! Sudahlah esok, kuliah tepat jam 8 pagi.

Akhirnya selepas dua tiga kali keluar masuk dari bilik kerana mengawasi anak dara orang yang tertidur di rumahnya, Joe juga terlepek di atas sofa itu juga. Dia pula jadi bodyguard tak rasmi Mawar. Sebelum lelapkan mata, dia renung Mawar yang sederhana wajahnya.

Dia gelengkan kepala. Bodoh punya perempuan. Dummy!