Pages

10 Oktober 2012

Nama Dia Joe 7



Nama Dia Joe 7. Sederhana sahaja tulisan saya. Kecil-kecilan sambil rendah diri. Tapi terima kasih untuk pembaca kisah ini. Semoga terus baik-baik dan senyum selalu ya! #Tetiba I tacing. Hihi

nama dia joe 1

“Dah lama ke mak awak sakit Mawar?” Joe silangkan kaki. Punggung sudah melekat di wakaf. Mawar sedang bersila di atas wakaf sambil Joe jadi bodyguard dan peluk tubuh. Sesekali Joe tarik nafas. Punggungnya melekat sipi-sipi sahaja dengan kayu beratap rumbia ini. Hospital dipenuhi pelawat. Macam-macam ragam. Doktor Suri tak muncul-muncul. Katanya tadi mahu lekas turun ke bawah. Sudah sepuluh minit berlalu.

Joe jeling Mawar. Mata Mawar merah. Kesan tangisannya ketika bertemu dengan emaknya tadi. Emak Mawar koma. Sudah dua tahun terlantar begitu sahaja di hospital ini. Mata bundar memerhati Mawar mencuci tiub makanan emaknya. Penuh kasih sayang. Penuh santun dan tika membedakkan wajah emaknya, air mata Mawar mengalir tanpa dipinta. Emak Mawar sudah wangi. Ditukarkan baju, dibersihkan lampin dan segala-galanya dibuat penuh jiwa. Joe terkesan. Bibir Joe terkunci mahu bertanya sebab apa dan kenapa emaknya koma sampai sebegini. Simpati menggunung dihatinya kini. Bila kekasih hatinya, doktor Suri datang menjengah ke katil dan berdiri berhampiran Mawar, Joe terpempan. Pandang Mawar dan mata beralih menjamah wajah Suri yang sedang mengukir senyuman mahalnya.

Manis dan jelita. Oh, Suri muncul juga akhirnya. Lengannya ditarik kuat dan kedua mereka terus bertemu empat mata. Suri senyum sampai ke telinga. Tapi sesekali dia menjeling melihat Mawar yang masih melayani emaknya. Apa pula hubungan Joe dan Mawar. Kenapa pula Joe menemani Mawar ke sini. Suri jeling-jeling lagi hingga lupa yang Joe sedang menantinya di depan mata.

Joe pusingkan badan. Tanggalkan selipar jepunnya dan segera panjat wakaf dan duduk bersila bersama Mawar.  Kenangan tadi bubar bila dia lihat Mawar senyum. “Ahh..jangan sedihlah. Kita sebagai anak kena teruskan hidup. Selagi ada daya, pengorbanan sampai ke titik akhir adalah yang paling baik kan? Mana tahu, Allah takdirkan emak Mawar boleh buka mata. Siapa tahu kuasa Allah kan?” Joe pujuk sambil gigit bibir. Sebab soalannya tak berjawab. Rasa tak ‘best’ sangat Mawar diamkan diri. Dunia rasa sepi pulak. Eh, tetiba saja Joe ni kan? Gatal!

“Kalau emak saya bukak mata. Apa awak akan buat?” Mawar segera renung Joe.

Joe jungkitkan bahu. Jemari masuk dalam kocek seluar. Betulkan silanya sambil jeling lagi Mawar. Akal merencana sesuatu. Sengih macam kambing tak mandi. “Saya kahwin dengan awak. Saya jaga emak awak dan teman awak jaga emak. Setuju?” Joe ketawa.

Mawar geleng. “Mana awak nak campak doktor Suri a.k.a ‘kakak angkat’ awak tu?”  Mawar jelirkan lidah. Siap ber ‘a.k.a’ lagi. Gasak!

“Ala, Suri baik hati. Dia percaya dengan qada dan qadar. Saya masuklah dalam poket seluar saya ni. Hehe.”

Mawar tolak kaki Joe dengan kakinya. “Amboi. Saja-saja je awak ya. Ingat orang perempuan ni mainan? Baju? Bola?” Mawar mula aktif melayan karenah Joe. Ah, dia jadi biasa dan senang sekali dengan gurauan Joe. Hati yang sedih da bergalau dengan percikan gerimis terhenti.

Joe menyengit. Mata mengecil kerana ketawa. Terus dia straight to the point. Tanya lagi soalan yang sama. “Dah lama ke emak awak sakit Mawar?” Oh, dia mula korek rahsia. Mahu tahu dalam-dalam mengenai Mawar.

“Dua tahun dah emak terbaring kat hospital. Emak sakit jantung sekitar tahun 2008. Angin ahmar serang emak dan sebab tu emak koma sampai sekarang. Doktor dah buat tiga siri pembedahan. Satu kat kepala dan satu lagi di perut.”

Joe angguk. Faham sudah sakit emak Mawar. Ah – setiap manusia berbeza dugaan hidupnya kan? Mahu saja dia bukak mulut bagi tazkirah sebegitu. Tetapi rasa macam tak layak. Joe zipkan mulut sambil sengih. Tanya lagi soalan-soalan peribadi kepada Mawar. “Hari-harilah awak jenguk emak kat sini? Orang lain? Adik-adik ke? Abang-abang ke? Takde?”

Mawar ketawa. Jeling Joe. “Saya kakak yang sulung. Adik-adik ada kat rumah. Tiga lagi masih bersekolah. Lepas saja lawat emak nanti saya balik flat. Budak-budak tu semua bersekolah. Lagi pulak tiga-tiga nak ambil exam. UPSR si Melati. PMR si Kenanga. SPM si Tuah.”

Joe garu kepala. Melati? Kenanga? Tuah? Haihlahh..emak ayah Mawar ni memang peminat bunga sungguh.

“Eh, ape pasal nama adik awak Tuah?” Joe ketawa. Geleng kepala. Gelakkan nama adik-beradik Mawar yang unik. Sepesen saja nama mereka. “Kenapa tak nama Matahari ke, Tulip ke, Kaktus ke. Barulah nampak ganas sikit.”

Mawar tutup mulut. Ketawa. Semua kawan-kawannya memang akan pelik, kerut-kerut dahi mendengar nama adik-beradiknya. Unik. Nama bunga. Tuah sahaja yang berbeza. Mungkin kerana dia lelaki. Ironinya, arwah ayah mahu anak lelakinya itu bawa tuah dalam keluarga.

“Sebab dia lelaki. Letak nama bunga nanti jadi pondan kan. Arwah ayah letaklah nama Tuah. Simple. Just nice. Tuah pun baik budaknya. Bertuah sungguh!” Mawar sambung ketawa. Tepuk dahi sendiri dengan jawapan bijak.

“Bukan awak serumah dengan Eriana?” Joe tanya lagi soalan kepada Mawar. Sambil tunggu Suri yang tak tiba-tiba lagi, baik dia borak-borak kosong dengan Mawar. Ususnya kini bertahan dari ketawa. Joe buat-buat muka serius.

Mawar pandang Joe. Joe sudi bertanya kisah-kisahnya. Selama ini, mana pernah lelaki bertanyakan soalan sebegini. Semua kawan-kawan di kolej tahu dia pembantu Eriana. Dibenci dan selalu dikutuk itu ini. “Iya, serumah. Lepas lawat emak kat sini, saya akan terus balik apartmen. Saya sibukkan diri buat assignment Eriana dan saya sekali. Kalau ada kelas malam, saya terus sambung belajar. Study group atau apa sahaja sampai dua belas tengah malam. Salin semua nota untuk Eriana di rumahnya dan tidur di sana kalau masa saya padat. Seminggu…” Mawar gumam bibir. Mula mengira harinya tidur di rumah Eriana. Joe renung mata Mawar. Oh, sampai begitu sekali Cinderella ini. Sibuknya jadual dia.

Mawar gigit bibir bawah. “Ermm..seminggu adalah dalam tiga hari saya tidur di apartmennya.”

Ohhh. “Lepas tu?” Joe bertanya lagi. 
“Jalan kaki balik flat. Kalau nasib baik, saya naik bas. Nasib lagi baik, naik teksi sebab Eriana bagi duit tambang teksi. Balik rumah, tengok pulak buku-buku adik. Itu pun kalau sempat. Masak lagi untuk adik-adik. Simpan dalam peti sejuk. Kemas rumah dan semua. Macam maid!” Mata Mawar bersinar-sinar. Segala memorinya terlayar. Kepantasannya di dalam rumah kecil itu membatasi waktu. Penat. Kadang-kadang rasa tulangnya mahu tercabut. Menangis? Dia sudah lali. Bahagia dengan susun atur hidupnya sebegitu. Paling penting, adik-adik berjaya dalam peperiksaan. Emak senang hati bila dia sentiasa ceritakan mengenai adik-adik yang sempurna perjalanan dan lengkap bersama kasih sayang dari dia. Mawar mahu berbakti. Selagi hidup dan berdaya. Dia akan bahagiakan semua adik-adiknya dan emak.

Joe ternganga. Begitukah sekali hidup dan masa Mawar setiap hari? “Habis tu bila awak tidur?” 
Joe alih mata bulatnya ke arah mata Mawar. Bawah matanya hitam. Nampak sangat Mawar penat dan patutlah dia sampai tertidur-tidur dalam bas. Tidurnya pula sungguh-sungguh ya amat!

“Pukul 3 pagi. Takpun dua pagi. Kalau kelas mula awal, dapatlah saya rehat sekejap sebelum sambung ke kuliah dan kejar pula si Eriana dengan tugasan peliknya tu. Cari lagi lelaki untuk dia. Hmmm…” Mawar lunjurkan kaki. Dia ternantikan doktor Suri. Kata Joe, Suri mahu bertemu lagi. Sampai sekarang, batang hidung pun tak nampak.

Joe mengikut. Lunjurkan kaki. Kini silanya sudah dekat dengan Mawar. Sebak betul mendengar kisah Mawar. Begitu sekali hidupnya. Sah-sah Cinderella seperti yang dia copkan dalam hati sendiri.  “Jadinya betul Eriana bayarkan semua bil hospital emak awak?”

Mawar telan air liur. Tidak ada sesiapa tahu mengenai urusan bayaran bil emaknya. Eriana itupun ambil kesempatan dari kebaikan papanya. Tuan Haji Budiman hulurkan bantuan kerana arwah ayah dahulu pemandunya. Bila Eriana menyogok dari papanya akan membantu uruskan semua urusan kewangan kepada emak, Eriana menyelam sambil minum air. Paksa Mawar buat itu dan ini. Apa daya dia untuk menghalang Eriana. Dia anak majikan papanya. Terhutang budi dan kewangan. Duit papa Eriana, bermakna duit milik Eriana juga.  

Ditelan mati emak, diluah mati bapak. Mawar tarik nafas. Angguk lagi. “Iya, betullah. Macam yang saya cerita sebelum awak keluar dating dengan dia tu. Tapi Baitulmal ada hulurkan sikit bantuan. Dapatlah saya belikan lampin pakai buang dan susu untuk emak setiap bulan.”

Joe sekali lagi bawa matanya menjamah hidung Mawar. Oh, mancung. Sederhana cantiknya. Sesekali dia angguk macam itik makan dedak. Terpatuk-patuk muncung bibirnya itu terus ke bibir merah Mawar. Kalau patuk bibir ini ke bibir Mawar, macam manalah rasanya kan?

Isk Joe! Joe terkebil-kebil. Rasa nak tampar pipi sendiri sebab bayangkan yang bukan-bukan dengan Cinderella di hadapannya ini. Berdosa tau tak? Joe cepat-cepat larikan pandangannya ke bangunan hospital. Sampai sekarang, batang tubuh Suri tidak kelihatan. Joe pandang jam. Mawar sudah gelisah. Dah banyak soalan dan dari hati ke hati kini dia mengenali keluarga Mawar. Apa lagi soalan cepu emas yang mahu dia tanyakan untuk Mawar ni.

“Eh, nanti bolehlah awak bawa saya jumpa dengan bunga-bunga kat rumah flat family awak tu ya? Naklah jugak saya kenal dengan Tuah yang awak kata bertuah tu. Hehe.” Joe gelak lagi. Mawar turut sama ketawa.

Joe betulkan kaki. Bangun dan segera turun. Menunggu Mawar yang tiba-tiba mengikut rentak tubuhnya. “Kata nak tunggu Suri. Suri kan nak jumpa dengan awak tadi. Kita nak pergi mana ni?” Mawar pandang Joe sambil kakinya sarung sepatu hitam. Soalan-soalan Mawar buat hati Joe bengkak menanah-nanah.

Joe pandang kawasan hospital. Tarik nafas dan lepas perlahan-lahan. Buang masa tunggu Suri kat sini. Eh-eh…kalau buang masa, tak dapatlah dia tahu serba sikit salasilah keluarga Mawar. Nama adik beradiknya ‘berbunga’ pun dia sudah hafal. Melati, Kenanga dan Tuah. Haaa..pakej lengkap bersama dating di bawah wakaf atap rumbia dengan Mawar.

Joe terus tarik lengan Mawar. “Dahlah jom balik. Nanti awak lambat. Eriana mesti tunggu awak kat rumah. Awak pun kena study dan salin nota untuk Eriana kan? Nanti dalam bas, awak boleh rehat sambil tidur. Jom-jom!”
Emm…bolehlah sekali awak rebahkan kepala ke bahu saya ya? Joe sengih lagi. Gesa Mawar ikut langkah kakinya. Jari tangkas keluarkan telefon pintar. Hantar SMS ke Suri.

Buah hati kesayangan saya, masuk ni dah sepuluh kali saya tunggu awak. Lambat. I balik dulu dengan Mawar. I call you malam ni okey?

Joe masukkan telefon bimbit ke dalam poket jeans. Dia melangkah bersama-sama Mawar. Dia mahu rasa lagi indah dari biasa bila bersama Mawar. Dia mahu lagi mendengar degup jantung yang berirama bila duduk berdua bersama Mawar. Dia entah kenapa, mahu menjadi si putera raja kepada Cinderella.

Ah – Joe entah kenapa jadi nanar. Dengan Mawar. Dan bila bersama dengan Mawar rasa segar itu tidak pernah sekali datang kecuali dengan dia. Hanya bila detik, saat dan waktunya bersama dengan Mawar.

Kaki Joe bawa kaki kiri melangkah, hatinya sebut Mawar. Kaki Joe hayun kaki kanan seiringan dengan Mawar, hatinya berdetak lagi nama Mawar. Kiri Mawar. Kanan pun Mawar.  Bersama angin dan nama Mawar kini memeluk jiwanya.

Joe dan Mawar seiringan. Tanpa mereka sedar sepasang mata cantik jelita itu memerhati mereka penuh dalam. Matanya mencerlung. Tajam.

04 Oktober 2012

Nama Dia Joe 6



Nama Dia Joe 6. Si jejaka nakal mula rasa sesuatu. Indah dari biasa ya Joe? Hehe. Okey, layan. Maaf, pendek sangat. Insya-Allah saya akan sambung lagi ya. Tunggu pulak si Zain kesayangan ramai. Hohoho. Sila sayang saya 14 juta. Hohoho lagi. Cet!

****
Persahabatan ini indah dari biasa. Entah. Aku tidak ngerti.

*** 

“Berani ke awak nak cium pipi saya?” Mawar sengih pandang Joe yang baru saja duduk di sebelahnya. Joe mengekek ketawa. Bas terus berjalan senada dengan rentak jantungnya. Dia toleh pandang Mawar. Kemudian Joe betulkan jaketnya. Mata bundar Joe melilau memerhati bas berhawa dingin. Lama betul tak duduk di dalam bas. Hari ini dalam sejarah kerana menemani si Mawar ke hospital.

Joe geleng. “Ehh, siapa kata saya tak berani. Awak nak ke?” Joe pusing kepala. Serentak itu mata mereka berdua bertentangan. Serentak itu juga, jantung mereka turut sama laju berdegup. Tubuh bagaikan direnjat elektrik. Kaku. Kedua mereka terus beku merenung bola mata. Angin dingin terus memeluk tubuh dan menghangatkan. Bas meluncur sederhana. Sehingga satu minit berlalu dan bila bas berhenti, kedua mereka bergerak menoleh arah bertentangan. Joe gigit bibir. Oh, malu!

Mawar ramas jari-jemari. Rasa nak hempuk diri sendiri dengan beg. Kenapa dia tenung aku macam tu? Amboi Joe, pantang ada peluang!

Suara Joe tenggelam timbul akibat malu amat sangat. “Hospital mana?”

“Haaa?” Mawar buat-buat pekak. Dia ketawa dalam hati. Haha. Mawar, control ayu dan jangan gelojoh sangat bila berhadapan dengan bakal ‘teman lelaki’ Eriana. Haih, memang patut pun Eriana terpaut dengan Joe. Mata Joe hitam pekat. Mencerlung buat dia bedebar-debar. Rasa mahu saja masuk muka ke dalam beg. Hiks…Mawar memang gatal kan?

Joe sengih. Ulang sekali soalan paling senang dalam dunia. “Saya tanya kita ni nak ke hospital mana?”

Mawar pandang jalan raya. Kereta, bas, lori, motorsikal berpusu-pusu membelah jalan raya. “Hospital Tunku Abdullah.” Senada sahaja jawapan Mawar. Dia kembali duduk secara rapi. Duduk bersebelahan dengan Joe, memang mengundang nada degup jantung berirama. Tadi bunyi rock. Sekarang, lepas dia tarik nafas lima enam kali barulah degup jantungnya kembali asal ke irama balada. Ohhh….nasib baiklah saat mata bertentang mata tadi, jantung ini tidak terkujat dan berhenti terus. Kus semangat.

“Oh. Suri saya kerja kat sanalah. Kenapa awak tak cakap awal-awal. Laaaa…” Joe tepuk dahi. Terus dia keluarkan telefon pintarnya dari kocek seluar.

Mawar bawa mata bundarnya. Memerhati Joe yang sibuk menanti panggilannya diangkat. Suri? Suri saya? Siapa Suri? Otak Mawar ligat berputar. Wajah seseorang yang bernama Suri menggamit jiwa. Ada berpuluh doktor di sana. Jururawat apatah lagi. Ramai. Doktor Surikah?  “Suri? Rasanya macam saya kenal. Doktor Surike?”

Joe senyum. Tunjuk telefonnya. Angkat bahu. “Dia sibuk manjang. Telefon saya pun jarang diangkat. Tengok ni, tak angkat. Dah tiga kali saya miss call. Nak date lagilah kena berappointment dengan dia dulu. Terukkan kami ni.” Joe mula jujur. Entah kenapa dia senang sekali berbual dengan Mawar. Meski Mawar belum sepenuhnya mengenali tentang dirinya. Juga dia yang belum sepenuhnya mengenali hati budi Mawar. Tapi entah kenapa bibirnya senang sekali berkongsi kisah antara dia dan Suri.

“Iya. Doktor Suri. Awak kenal ke?” Joe lepaskan lagi matanya menjamah wajah bersih Mawar.

Ada gerimis dan sedih bertandang di hati Mawar. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa amat kerdil berbanding dengan doktor Suri. Doktor cantik dan sekarang sudah sah-sah pula doktor itu yang mengawasi emak di hospital. “Kecik saja dunia ni kan. Dialah doktor yang rawat emak Mawar. Rasa-ranya bolehlah awak jumpa saja doktor Suri kat hospital dengan saya.”

Joe cebik. “Hmm..kalaulah dia ada, untunglah saya Mawar. Entah-entah sedang on call. Atau sedang bedah kaki sesiapa. Hehe.”

Mawar dekatkan sikit pehanya. Dia hala pula bahunya ke bahu Joe. Chemistry. Dia rasa segar sesekali berbual begini dengan Joe. Seolah-olah tidak ada rahsia antara mereka. Lancang sahaja mulutnya terbuka. “Eh, doktor Suri tu awek awak erk?” Mawar mengerdipkan matanya. Sesekali kebaikan doktor jelita itu menyinggah masuk ke dalam kepala. Jikalau tidak kerana doktor Suri,

Angguk. Joe senyum. Wajah Suri tenggelam timbul sambil matanya nakal menjelajahi bibir Mawar. Merah. Bibir Mawar merahnya segar dari Suri. Matanya pandang lagi hidung Mawar. Hidung Mawar mancung terletak. Hidung Suri agak rata. Eh, mata nakalnya terus melekat ke alis mata Mawar yang sering mengganggu lenanya. Alisnya cantik. Tebal. Eh, apa aku ni! Harus tampar pipi sendiri sebab gatal betul menengok dan menilik wajah si Mawar. Amboi, Joe! Kenapa pula aku perlu membezakan antara Mawar dan Suri ni? Gila apa namanya ni? Joe sengih. Angguk lagi macam buruk belatuk. “Iya. Awek saya. Tapi awak jangan tak percaya. Dulu Suri tu akak angkat saya tau. Entah kenapa melekat terus ke hati. Ceh!” Joe geleng kepala dan ketawa.

Mawar tak senang hati. Semangat melawat emak di hospital menjunam jatuh dengan pengakuan dari Joe. Oh, Joe sudah berpunya. Joe hatinya kini sudah dimiliki seseorang. Matanya terus melihat Joe yang sedang geleng kepala sambil matanya terpejam rapat. Oh, Joe sebenarnya sudah ada buah hati pengarang jantungnya. Patutlah Eriana pun dia tak pandang sebelah mata. Hmm..sebelah matanya nak pandang aku pun lagilah simpang malaikat 44.  Cet!  “Ohh, awak kira sezaman masa kita kecik-kecik dululah ya. Main kakak-kakak angkat. Terus melekat jadi buah hati. Hebatnya awak.”

Joe sengih. Betul kata Mawar. Dulu Suri itu cuma kakak angkatnya saja. Bila dah rapat seperti irama dan lagu, mereka tak boleh lagi dipisahkan. Bila jiwa dah sebati seperti puisi dan lagu, dia tetap menyayangi Suri. Halangan apa pun, mereka akan harungi. “Beza umur kami 10 tahun. Pelik kan?”

Mawar tarik nafas. Berpijak di bumi yang nyata, Mawar! Life must go on.  “Cinta tu tak kenal usia, Joe. Orang kata cinta tu buta. Dah sah-sahlah soal hati ni kita tak boleh kompromi. Beza umur tu bukan penghalang bahagia kan?” Ah – Mawar sedang menipu diri sendiri. Buang syok sendiri ‘tersuka’ dengan Joe jauh-jauh Mawar! Buang!

“Tapi orang lelaki boleh kahwin dua.”

Eh-eh dia ni. “Apa pulak kena mengena kahwin dua dengan rumusan yang saya buat tu? Amboi, orang lelaki senang je fikir fasal kahwin dua ya?” Rasa nak aje cubit peha Joe miang keladi ni. Mawar jelirkan lidah. Joe sengeh tayang gigi putihnya.

Joe peluk tubuh. Kaki lunjur ke bawah kerusi yang berhadapan dengannya. Dia rendahkan sedikit tubuh agar lebih dekat dengan Mawar. Tubuh rasa nyaman kerana Mawar kini sudah jadi penemannya. Baru beberapa minggu berdaftar sebagai pelajar baru di kolej, dia sudah ada teman dan sahabat. Mawar. Dua dalam satu. Mungkin boleh menjadi bunga yang harum ataupun mungkin boleh bertukar rupa menjadi Mawar yang batangnya berduri? Harum tetapi penuh duri. Siapa sangka kan? Dia jeling Mawar. “Iyalah Mawar. Saya standby. Mana tahu Suri mati dulu dari saya ke kan? Saya kahwinlah dengan awak. Bolehlah kan?”

“Amboi! Baik awak jadikan saya bini pertama terus. Nak?” Mawar jegilkan mata. Joe terus terkujat tak tahu nak jawab apa. Alih-alih dia diam menikus. Rasa tak berani nak menjawab soalan dari Mawar. Haaaa, tengok! Mawar sudah keluarkan durinya yang tersembunyi. Mawar disebelahnya terus mengekek-ngekek ketawa. Hempuk kepala Joe dengan beg ni baru best agaknya.

Suasana di dalam bas terus menghangatkan jiwa. Joe dan Mawar. Sesekali Joe menjeling nakal Mawar yang terus menyepikan diri. Bola mata jantannya ligat memerhati jemari runcing Mawar dan matanya terus beralih ke kuku kaki Mawar. Angkat kening. Oh, bersihnya kuku kaki dia. Cantik. Joe sengih sambil jeling Mawar yang rupa-rupanya sudah tertidur. Kepala terlentok-lentok. Adus! Sekali kepalanya pup…cecah cermin bas. Mak ai! Kepala batu apa si Mawar ni.  Kali ketiga Mawar tegakkan kepala sambil mata terpejam rapat. Lena akhirnya.

Kali keempat sebab kesian sangat. Joe betulkan duduknya sendiri. Kaki yang tadi melunjur ke bawah, naik dengan sendirinya. Dia bingkas mendekati Mawar. Kepala Mawar terus sahaja dia rebahkan ke bahunya sendiri. Duduk diam-diam di sini, okey! Jangan rebah ke cermin, pecah kepala nanti! Joe sengih sambil pandang ke depan. Uh, sandarkan kantukmu itu di bahuku Mawar. Cewah!

Jantung Joe berdegup terus kencang. Dia memerhati telefon bimbitnya yang kini sedang berbunyi. Nama ‘Suri’ menangkap cepat mindanya. Wajah Suri terpampang di dalam cepu kepala. Dia pandang lama-lama. Tenung skrin telefon pintarnya sehingga akhirnya jari telunjuk Joe menolak tanda merah.

Dia toleh ke kanan. Kepala Mawar kian selesa menumpang tidurnya. Entah kenapa dia rasa bahagia. Sekian lama, dia tidak pernah rasa seindah sebegini. Indah dari biasa.

:::Terima kasih kerana like:::

28 September 2012

Nama Dia Joe 5



Nama Dia Joe 5. Phewww....Insya-Allah akan lebih pantas menulis. Enjin turbo kuasa 14 juta ni. Hihi. Semoga suka ya. Enjoyyyy!

***

"Mengapa jantung ini penuh warna warni seperti pelangi?"

***
“Satu awak kena teman Eriana makan. Eriana tak makan pedas tau. Awak pesan bihun sup sayur campur untuk dia ya.” Suara Mawar berdesing masuk ke dalam telinga. Dia terima arahan Mawar. Pesanan Mawar dah sebakul dan bertubi-tubi menerjah ke dalam jiwanya. Kaki melangkah longlai menanti Eriana yang sedang melambai-lambai. Joe bersandar sambil berpeluk tubuh. Matanya terbayangkan wajah Mawar dan gerak geri bibir Mawar. Oh, kenapa tiba-tiba kala ini wajah Suri hilang di tubir matanya. Kenapa?

Dating pertama antara Joe dan Mawar menjelma. Hari malang dan hati Joe menyumpah-nyumpah Eriana. Bihun sup yang sebenarnya dipenuhi dengan lada hitam halus sudah dimasukkan ke dalam sup. Bodoh betul Eriana. Percaya saja resipi terbaru yang dia pesan dari pelayan tadi. Lepas makan, sila pitam ya cik adik! Muka tak lawa, perasan lebih. Gedik-gedik gesel bahu membahu. “Oitt..haram tau tak?”

“Ala you ni!” Suara manja Eriana macam kucing betina. Baru duduk sebelah menyebelah, Joe sudah segan-segan pula. Eleh, dia tahu jantung Joe berdegup kencang dengan wangian yang dia pakai. Dia tahu, Joe suka bila dia gesel-geselkan bahu dan kuit-kuit kasut Joe. Auww! Dia mula rasa tak sabar mahu berkepit dengan Joe di dalam shopping complex. Mula juga tak tahan nak pegang jemari kasar Joe di dalam panggung wayang dan lentukkan kepala ke bahu Joe. Juga paling tak sabar, dia mahu membonceng di belakang motor berkuasa tinggi Joe.

Joe sengih. Telan air liur. Allahu rabbi. Mawar, rancangan ini adalah bala namanya tau tak? Ini bukan kes kecil-kecil. Ini libatkan nafsu. Argh..Joe jeling Eriana. Tolak jemari Eriana yang mula lekat di pehanya. “Kita makan dulu okey, lepas makan I bawak you jalan-jalan. Tengok wayang nak? Eh, nama penuh you apa? Eriana binti?”

Eriana senyum. Lelaki macam ni dia suka. Lelaki jenis sabar dan tak gelojoh. Oh, dia mesti perfect melayani kehendaknya. Oh, I like! “Eh, lupa pulak nak beritahu kat you. Eriana. Eriana Binti Dato Halim. Father I businessman.”

“Oh…” Joe angguk sambil rasa mahu lempang pipi Eriana agar duduk jauh-jauh dari sebelahnya. Businessman sangatlah. Heiii, budak ni. Ada kena tendangan ultraman ni!
Makanan sampai. Joe sengih. “Kalau you habiskan bihun sup yang I order ni, I belanja you lebih-lebih nanti. Makan okey?” Joe sengih. Tayang gigi putih sambil dalam hati minta ampun maaf berjuta-juta kali dengan Mawar kerana misi pertama ini akan rosak sama sekali. Ah, dia mahu lekas pulang dan tidur.

Eriana terkebil-kebil sambil hidungnya menusuk masuk haruman bihun sup istimewa yang dipesan oleh Joe. Dia pandang nasi ayam pilihan Joe. Eriana angguk. “Eh, ayah you kerja apa?”

Joe tarik pinggan nasi ayam. Ah, laparnya. Pesanan Mawar semalam masuk lagi ke dalam minda. “Joe, jangan bagi Eriana marah. Dia akan suka kalau kau sebut pekerjaan ayah ke, kekayaan ke, harta berjuta ribu satu dunia ke. Dia suka shopping. Jangan sebarangan okey?”

Ah, lantak. Dia dah suruh pelayan kedai curah lada hitam halus sebanyak mungkin. Joe mula makan. Eriana juga. Sambil mengunyah, Joe terus menjawab. “Ayah I tukang kebun je."

Burrr! Eriana terus tersedak. Mata merah menahan pedas. Tukang kebun? What? Bukanke Mawar kata ayah Joe kerjanya jual tanah beli tanah? Joe yang suka berfalsafah ni pun ada dua kereta sport mengancam habis dengan sebuah motorsikal Ducatinya itu. Biodata Joe tu biodata tipu ke? Eh, Mawar memang nak kena ni!

Eriana terus terbatuk-batuk. Geram dengan Mawar tak habis lagi!

Joe hulur tisu sambil sengih. “You dah janji kan? Kena habiskan bihun sup tu. Sup kat sini sedap tau kalau you hirup sup tu. Habiskan okey?”

Akhirnya Eriana mengalah. Kerana Joe dan kerana dia mahu bershopping selepas ini. Satu sudu bihun sup dia boleh tahan lagi. Dua sudu bersama kuah pedasnya ini sudah membuatkan kepalanya berdesing dan berputar. Dia rasa hangat. Punggung rasa mahu terangkat. Oh, buasir pasti datang menyerang lagi.

Joe renung Eriana. Muka macam buah kulit buah langsat je aku tengok Eriana ni. Lawa lagi si Mawar itu berpuluh kali ganda. “You cantik!” Joe pasang jerat. Sumpah, saya terpaksa kata awak cantik, Eriana. Iyakkk…...
Eriana terkujat. Serta merta dia makan lagi bihun sup penuh lada hitam itu. Perghh..kerana Joe kata dia cantik, maka dia rela makan bihun sup ini dan rela buasirnya menjelma. Malam ini, dia akan duduk satu jam di dalam bilik air. Ah, sebab Joe kata dia cantik, dia rela. Rela buat apa sahaja. Sanggup habiskan bihun sup ni.

Lima belas minit berlalu. Joe makan dengan kenyang dan suka hati. Sedut straw dan air sirap limaunya sudah habis ditelan. Sedap! Satu SMS masuk. Eriana sedang tahan kepedasan dan wajahnya sudah merah. Telinganya turut sama berbahang kepanasan.

Joe buka telefon pintarnya. Mawar. SMS pertama dari Mawar. Semua okey kan? Hehe. Joe sengih jahat.

Eriana serta merta bangun. Pijar dan nanar rasa seluruh tubuhnya. “I nak pergi toilet. You tunggu I okey. Oh…pedas, pedas!!!”  Eriana ambil beg. Berlari-lari cari toilet. Oh, bihun sup tu membunuh aku. Kau siap Mawar. Aku dah pesan banyak kali pastikan semua menu aku adalah makanan yang tak pedas. Bihun sup yang dah masuk dan bergelodak dalam perut aku ni, gajah pun tak akan makan. Kau memang nak kena dengan aku Mawar. Dah berkali-kali aku pesankan? Eriana bagai lipas kudung. Tolak pintu toilet. Bibirnya kini, sumpah seranah Mawar.

Saat itu juga, Joe terus lintang pukang capai helmet dan jaketnya. Dia lekas-lekas buat bayaran dan segera berlari menyusup menghilangkan diri. Pantas. Bagaikan kilat memburu waktu.

Eriana masuk jamban terus muntah hijau! Pitam dibuatnya sebab taik dalam mangkuk tandas tak berflush. Oh, malang. Hari malang sedunia menjelma saat ini.

***

Joe mengekek-ngekek ketawa. Rasakan! Suara terkejut Mawar di hujung telefon membuatkan dia mahu gelak guling-guling.

“Awak. Ya rabbi. Habis tu tinggal dia macam tu saja?” Mawar gigit bibir bawah. Habislah aku malam ni. Habis!

“Nanti saya pujuk dia. Awak jangan risau, Mawar. Akan okey semuanya.” Joe yakinkan Mawar. Dalam sekejapan, mereka kini sudah bersahabat baik. Sudah berbual-bual dalam telefon. Joe masih bersisa ketawanya. Mawar gelengkan kepala. Berani betul Joe buat Eriana begitu. Hish….takutnya dia kalau Eriana mahu jumpa malam ini.

“Habis saya macam mana? Iya, awak senang lepas macam tu saja. Buatnya malam ni dia sekeh lagi kepala saya? Saya yang nangis.”

“Tak apa, nanti saya datang. Pujuk awak, okey?” Joe mula duduk atas sofa. Sofa di mana si Mawar pernah terlena dua hari yang lalu.

Mawar pandang kaki langit. Tarik nafas dan melangkah lagi. “Huh..” Dia mengeluh. Fikirkan nasib yang bakal menjelma malam nanti.

“Iya, jangan risaulah Mawar oi. Nanti saya datang sana pujuk awak. Okey?”

“Toksahlah awak nak pujuk saya, Joe. Saya tak pasti nasib saya malam ni bagaimana. Saya ni perempuan, awak lelaki. Kan saya cakap, jangan bagi Eriana marah. Awak memang degil kan? Sengaja cari nahas!”

“Aik? Sebab awak perempuanlah saya akan pujuk. Awak kan kawan saya. Ala, takat Eriana jerkah saja, jangan takutlah Mawar. Saya kan ada.” Joe renyih lagi. Gigi putih bersusun cantik.

Mawar cebik. “Kawan sangatlah. Saya ni perancang untuk Eriana, tau tak? Kalau tak menjadi, hubungan awak dengan Eriana, habislah saya.”

“Awak kawan saya yang baik kan?” Joe rasa sesak dada. Apa yang akan Eriana buat dengan Mawar ya? Dia mula susah hati. Bergunung simpati menerjahinya kini.
“Eeee..geramlah!” Mawar makin laju berjalan. Tahan bas dan harus bergegas ke hospital. Mawar kepit telefon. Antara telinga dan bahu. Masuk syiling dalam mesin. Kad touch n go tidak cukup bakinya.

Joe ketawa lagi. Dia suka mengenali si Mawar. Entah kenapa senang sekali mengenali gadis yang sederhana ini. “Okey-okey. Kita jumpa sekarang. Mawar kat mana? Saya teman awak sampai awak balik rumah dan kita sama-sama jumpa Eriana. Jangan susah hati. Saya kan dah janji akan tolong awak. Awak tolong saya dan saya akan tolong awak. Sistem barter kita..awak ingat kan?”

Angguk. Mawar tarik nafas. Lapang dada. Mawar cari kerusi kosong dan duduk. Beg diletak di peha. Tangan masih pegang telefon jenama lama. “Okey. Saya dalam bas. Nak ke hospital. Sepuluh minit lagi bas nombor 543 ni akan lalu depan apartmen awak. Tahan dan naik. Saya tunggu awak kat dalam perut bas ni. Kalau awak lambat, saya karate awak!”

“Hihi..”Joe ketawa halus. Mawar, Mawar! Kelakarlah. “Berani ke awak nak karate saya?” Joe terus bangkit. Hafal nama bas. Hari ini, dia mahu teman Mawar ke hospital dan hantar Mawar  kembali ke apartmen Eriana.

“Eh-eh. Saya beranilah. Siapa kata saya tak berani. Takat karate leher awak tu, kacang goreng je bagi saya.” Jerkah Mawar. Dia sengih. Harus dia terbungkang kalau karate Joe.

“Sebelum awak karate saya, saya cium pipi awak!” Joe tepuk dahi. Terlajak kata, bolehkah diundur semula?

Dingin. Saat itu bas yang sedang meluncur sederhana menyerbukan angin ke wajahnya. Selendang yang melilit dan melekap di kepala berkibar senada. Mawar kaku dan telefon di jemarinya kala ini terkejut sungguh dengan pengakuan Joe.

“Errr…awak, tunggu saya tau! Kalau saya lambat suruh bas berhenti. Wajib!!!” Joe terus off telefon.

Mawar pandang telefon. Eeee, dia ingat pakcik drebar bas tu pakcik angkat aku ke? Dia masukkan telefon ke dalam poket beg. Mawar bawa lima jarinya ke dada. Jantung sedang berdegup hebat. Jantung bagaikan mahu melompat.

“Sebelum awak karate saya, saya cium pipi awak!”