Pages

10 Januari 2013

Andai Gerimis Berhenti 1


Tetiba letak gambar ikan ko. Haha. Tapi Andai Gerimis Berhenti memang ceritanya fasal ikan-ikan sikit. Tak tahu nak letak siapa heronya. Bayangkan hero seperti kaver novel di belah kanan ni jelah ya. Andai Gerimis Berhenti boleh pesan melalui talian di SINI. Tapi awas, kerana di dalam novel bukan menggunakan kata ganti diri 'saya'. Untuk yang telah tinggalkan komen di bab prolog yang ingin memiliki novel ini, nanti saya pm ya. Boleh juga order terus dari saya dan akan diposkan.

Kolam ikan air tawar ini telah memberikan kepuasan. Jelas dalam mata saya. Betapa saya penuh gembira dan mengucapkan kesyukuran ke atas rahmat dan rezeki Ilahi. Emak dari jauh memandang. Penuh kasih dan sayang. Emak bersimpuh penuh tertib di pondok kecil. Meski pondok tersebut kecil namun utuh. Pondok yang sentiasa memberi saya teduh. Teduh dari gerimis, hujan dan ribut petir.

Saya terkenangkan kepada kebaikan pemuda itu. Ya, Ustaz Zul. Dia yang memulakan idea dan sokongan kepada saya untuk menjayakan usaha ini. Kelihatan beria-ia dan pada saya ia bukan yang mudah untuk saya capai sendiri. Namun kerana pujukan dan semangatnya, saya menjadi kuat dan yakin dengan kemampuan diri.

“Saya yakin awak boleh berjaya, InsyaAllah.” Pemuda itu melepaskan lelah.

“Ustaz yakin dengan saya?” Saya tersenyum. Membetulkan tudung yang berkibar-kibar perlahan. Angin sepoi-sepoi menyapa kami berdua. Kami beriringan ke ladang. Ladang sayur-sayuran miliknya menguntum senyuman. Menghijau. Sawi, kacang panjang dan terung. Sayur itu sahaja sudah cukup menampung kehidupan Ustaz muda ini. Saya tabik penuh semangat dengan usahanya.

“Ustaz Zul. Saya hanya seorang. Abang kandung saya seperti yang Ustaz tahu, tak lagi duduk dengan kami. Adik saya pula sedang belajar. Saya rasa macam tak yakin dan tak mampu untuk mengusahakan cadangan ustaz tu. Lagipun ayah dan emak saya yang sakit tu perlu diuruskan juga. Saya ni, haih....nasib baik pengajian pun dah habis. Takat Diploma yang segulung tu, mampukah saya untuk bersaing dengan orang lain, Ustaz.” Saya menoktahkan bicara, kemudian memandangnya.  

“Aisya, Allah menetapkan rezeki dan jalan kehidupan manusia berdasarkan apa yang diusahakannya. Emak ayah Aisya tu bukannya sakit selalu. Orang tua, sakit biasa-biasa sahaja bukan? Janganlah awak rasa putus asa. Usaha tangga kejayaan Aisya. Jangan mengeluh. Ladang saya ni, kemungkinan adik beradik saya yang akan usahakan juga. Bila maju, kita akan fikirkan jalan terbaik. Saya juga harus fikirkan pengajian saya yang tertangguh. Rezeki masing-masing siapa tahu, bukan?” Pujuknya memakan seluruh jiwa raga saya.

“Saya cuma tak yakin sahaja.” Sekali lagi rasa putus asa. Ada nada kecewa.

“Tapi saya yakin. Saya yakin dengan kemampuan awak, Aisya.” Kami berbalas senyuman. Pertemuan tidak sengaja itu cukup mengejutkan. Ustaz itu menantikan saya dan menemani saya sehingga ke perkarangan surau. Cukup molek benar sikapnya. Kerana gerimis itu, payungnya menjadi milik saya dan kami berbalas jiwa.

“Ambillah payung saya. Untung-untung jadi peneman Aisya semasa gerimis. Saya suka saat gerimis sebegini. Rahmat dari Allah.”

“Terima kasih.” Hanya itu. Itu sahaja mampu saya ungkapkan.

“ Oh ya. Saya ada perancangan untuk masa depan tanah milik ayah Aisya di hujung kampung tu  Kami pemuda kampung dah mengenal pasti beberapa projek untuk faedah masyarakat dan pemuda yang menganggur. Jika berminat, mesyuarat akan diadakan hujung minggu ini. Jam 9.00 pagi. Silakanlah Cik Aisya.”

Saya angguk sebelum ucapan salamnya mengakhiri pertemuan. Azan maghrib dari Bilal Ahmad meyakini langkah saya. Hakim di sebelah tersengih-sengih.

Hakim kenyit mata. “Amboi-amboi, dapat payung. Hakim nak tumpang, boleh?”

“Sibuk je dia ni tau! ”Saya mendepangkan payung bersama adik bongsu saya. Kami berkongsi payung menuju terus ke surau. Sambil Hakim tidak habis-habis mengusik.

Kami tertawa. Hakim membetulkan kain pelikatnya. “Ustaz janggut tu kacaknya. Manisnya dia macam gula-gula. Apa pendapat Kak Ngah ya?” Hakim mengangkat keningnya berkali-kali. Tersengih-sengih macam kerang busuk. Bersama mulutnya yang dimuncung-muncungkan.
“Sibuklah!” Saya ketawa, jeling manja dan meninggalkan Hakim di penjuru surau. Ustaz Zul menantikan Hakim dan senyum mereka pada saya membuatkan jiwa penuh kacau ketika menuju kusyuk dalam ibadah. Ahh..ustaz janggut itu! Buat saya tertanya-tanya.

Saya melihat gerimis. Gerimis itu juga akhirnya menghadiahkan perpisahan kami. Ustaz Zul menyambung pengajian ke Mesir. Meninggalkan saki baki persahabatan kami. Persahabatan sepi yang tidak pernah mengundang erti untuknya. Tetapi penuh erti dalam jiwa saya. Tidak ada berita darinya. Entah hidup atau mati. Namun saya masih ada kenangan dan setiap nasihat darinya. Saya terpandang-pandang wajah Ustaz Zul kala ini. Dalam gerimis sebegini menerbitkan rasa rindu juga. Ya Allah, apa kena dengan diri saya ini? Kenapa saya sukar melupakan wajah jernihnya. Segaris senyumnya juga.

“Kak Ngah, naik lekas ke sini, gerimis dengan hujan panas ni... nanti demam.” Hakim melambai-lambai. Buku di ribanya mencuit naluri ini. Adik bongsu saya ini memang tekun beelajar. Waktu menemani saya di kolam ini pun, dia masih membawa buku dan belajar. Peperiksaannya pun bakal tiba tahun hadapan. Semoga usahanya mencambahkan benih bahagia untuk kami sekeluarga. Kalau saya bebel-bebel kerana tahap rajinnya belajar pun sebenarnya telah menyerapkan rasa bahagia kerana usaha sungguh-sungguh Hakim itu. Untung-untung boleh saya menumpang kejayaannya. Iyalah kan, dia adik saya yang kacak!

“ Ya. Kak Ngah naik. Sabarlah.” Saya berlari-lari anak. Memacu kaki segera ke arah emak dan Hakim.

“Sudahlah tu Kak Ngah, mari kita balik. Berehat pulak. Ayah kamu balik dari kedai nanti, tengok emak tak ada kecil hati lagi. Makan seorang diri kat dapur tu, merajuk lagilah nanti ayah kamu. Cepat. Jom. Jom! ” Emak bangun membetulkan lipatan kain batiknya.

“Emak, kak ngah baru saja nak jejakkan kaki ke sini. Kak ngah beri ikan-ikan ni makan dahulu. Emak balik dulu dengan Hakim ya? Kak Ngah balik kejap lagi, akan ikut dari belakang.” Saya memujuk emak dengan penuh hati-hati. Ah – wajah emak sudah masam! Macam cuka pun iya.
“Degil. Sekejap lagi akan hujan. Tengok langit tu. Dah hitam campur kelabu. Lekas balik!” Emak merajuk lantas menarik tangan Hakim dengan  kuat.  Saya tertawa.

“Baik bos. Kak ngah balik sekarang jugak!” Saya mengesat-ngesat tangan dengan tuala. Emak turut tertawa melihat saya mencebik mesra. Saya yakin, emak masih tidak membenarkan saya duduk di sini keseorangan diri. Hakim selalunya menjadi mangsa menemani atau emak akan datang juga ke sini sekiranya saya lewat seperti biasa.

“Kak ngah tu tengah angaulah mak. Menantikan Ustaz Zul janggut. Yang tak kunjung tiba. Bagai menunggu bulan jatuh ke riba. Ha ha ha. Sudah satu tahun menghilang, entah-entah dah berkahwin dengan gadis Mesir. Atau angaukan abang Najmi kekasih hati zaman kecil-kecilnya dahulu. Lagi pulak kacak kalah artis orangnya. Yang mana satu pilihan hati, kak ngah?” Hakim kenyit mata. Selalu mengusik. Dia tambah rencah lagi.  Haa...jawab-jawab!” Hakim cekak pinggang.

Saya tarik telinga Hakim. Jeritan Hakim kini menjadi teman. “Eeeeee...sibuk benor dia ni tau! Emak tengoklah Hakim ni. Jahat betul!” Kami tertawa bersama. Gerimis terus menjadi sahabat dan teman perjalanan kami.

Gerimis mencipta suasana. Perjalanan kaki saya baru bermula. Bersama cita-cita yang terus tertulis. Mekar dan bersama kenangan yang sukar saya jangkakan. Kehidupan saya bermula dengan penuh warna warni. Tuhan itu maha Pengampun dan Pengasih. Bersama kudrat ini, saya gagahi meneruskan kehidupan. Saya tersenyum penuh makna. Saya memandang jauh kolam yang memberi semangat. Saya yakin. Allah Maha Mendengar.

Andai Gerimis Berhenti - Prolog


Manuskrip asal Andai Gerimis Berhenti sepenuhnya saya kongsikan di blog. Hadiah untuk semua yang saya sayangi. Untuk yang sudi dengan kisah tawakal gadis kecil bernama Nur Aisya. Novel ini telah diterbitkan oleh PTS Litera Sdn Bhd 29 Oktober 2010. Manuskrip asal menggunakan kata ganti diri ’saya’ dan di dalam novel telah diubah kepada kata ganti diri ketiga.  

Hehe. So, ni manuskrip dalam simpanan saya. Telah disunting sendiri dengan gaya sendiri. Sama macam novel tapi tak serupa. Okey? Suka tak? Suka tak? Meh meh sila baca. 



Saya berlari anak mengejar Sahara. Salji yang turun semakin berkurangan tanda musim akan bertukar lagi. Baju sejuk yang saya pakai ini serba sedikit membantu memanaskan badan.

“Kamu ni, pantas sahaja berjalan. Tunggulah aku, Sahara.” Bentak saya perlahan. Sahara tertawa. “Kamu tahu bukan, aku tak mahu ketinggalan kelas Prof Zainab untuk kali kedua berturut-turut” Ujarnya lagi. Ingatan saya tertancap kepada Prof Zainab, seorang wanita separuh usia, berdarah kacukan Belanda Jerman yang mampu menguasai 4 bahasa. English, Arab, Jerman dan Melayu. Tegas dan amat tidak suka kepada pelajar-pelajarnya yang lewat.

“Aisya, Aisya” Khaleeda memanggil saya kuat. Saya dan Sahara berhenti dan memandangnya. Gadis Johor bersama dengan saya mengambil jurusan Ekonomi, petah berbicara dan beliau adalah juara pidato sekolahnya dahulu.

Sahara memandang kami dengan masam. “Aku enggak bisa lewat lagi setelah kelmarin kita di denda berdiri selama satu jam. Aku enggak ikut kalian ke mana-mana.” Pantas Sahara menyuarakan kembimbangannya. Kami tersenyum nakal.

Gadis genit Indonesia yang ramah tamah dan bijak ini sukar ditandingi sesiapa. “Aku tidak bilang untuk ponteng atau lewat. Malah, aku mahu ikut kamu semua. Kita ke kelas Pn Zainab…” Khaleeda mengajuk pelat Indonesia Sahara. Khaleeda mengeluh. Saya tertawa dan pantas menarik lengan Khaleeda untuk turut bersama kami ke kelas.

“ Ayuh…cepat!” Sahara menggigit bibir melihat Khaleeda yang memandang saya seolah ada sesuatu yang ingin disampaikan.

Kelas yang menyamankan. Saya memberi perhatian. Nota dan arahan bertulis dari Pn Zainab saya ambil. Pn Zainab memeluk Islam selepas kejadian aneh yang berlaku kepada keluarganya 5 tahun dahulu. Ramai pelajar yang menyampaikan kisah anehnya itu. Ia menjadi sesuatu kekuatan buat pelajar Islam di rantau ini. Malahan, saya amat kagumi ketabahannya selepas suaminya ditahan tentera Taliban dalam satu operasi besar-besaran wartawan ke Negara penuh berdarah itu. Suaminya meninggal dunia dalam keadaan yang amat menyayat hati. Namun ada sesuatu yang tidak sesiapa tahu, siapakah yang membunuh suaminya dan apakah isi surat terakhir yang diterima Pn Zainab sehingga dia akhirnya memeluk islam?

“ Aisya…” Khaleeda mencuit bahu saya.

Saya memandangnya. “Kenapa?”

“ Engkau tak mahu balik? Kelas sudah selesai.” Khaleeda beransur mengemas buku-bukunya. Memasukkan ke dalam beg galas. Komputer riba disandang dengan cermat.

“Ya. Memang nak balik pun. Kenapa? ” Saya tersedar dari kisah Pn Zainab. Kemudian pantas mengemas buku dan menyusun ke dalam beg galas.

“ Aku ada sesuatu untuk kamu Aisya.” Khaleeda sengih.

“Sesuatu? Emmm…macam menarik sahaja. Apa ya?” Tanya saya dan kemudian kami sama-sama berjalan perlahan. Saya membetulkan tudung dan kemudian berjalan di padang luas University Of Leicester. Pelajar-pelajar keluar masuk dan kemudian kami ke café untuk membeli roti bagi mengalas perut. Beberapa pelajar islam memberikan salam tanda hormat. Kami membalas dan memberikan senyuman mesra.

“ Ada surat untuk Aisya.” Khaleeda menghulur perlahan. Saya amati dan kemudian tersenyum. Bersampul putih dan tercetak kemas ‘Nur Aisya Binti Mohd Jamil’.

“ Pelik. Sungguh pelik. Zaman sekarang, jika berkawan atau bercinta kita akan menggunakan sms, ym, facebook atau bergayut menelefon sampai jauh malam. Tapi engkau, bertunang dengan sempoi sahaja bersurat-surat. Ini kali pertamakah wahai Cik Aisya?” Khaleeda ketawa mesra. Saya mencubit pinggangnya. Hairan. Siapa yang memberi saya surat? Khaleeda masih tertawa dan saya terus menyimpan surat di dalam kocek baju sejuk biru.

“Aisya, kenapa kau diam?” Khaleeda bertanya. Kami berjalan beriringan. Menanti bas yang akan membawa kami pulang ke rumah dengan segera.

“ Siapa yang berikan kau surat ni ya?” Tanya saya. Kami berpandangan.

Sepi.

Khaleeda kemudian tersenyum-senyum tanpa saya tahu siapa pemilik surat ini. Otak ligat mencari jawapan. Haih Khaleeda ni..selalu buat nanar je dengan perangai dia ni!

Sehingga bas datang dan kami naik bersama. Telefon di kocek berbunyi. Saya dengan segera menjawab.

“Aisya. Kamu jangan lupa, ada usrah petang ni. Datang tau!” Suara Sahara menggigit cuping telinga. Dia menjerit seolah saya tidak mendengar suaranya. Saya tersenyum. Menggelengkan kepala dengan telatah Sahara yang memang gelabah sikapnya.

“ Memang akan pergi. Kamu Sahara?” Saya bertanya.

“ Saya ada perjumpaan Pelajar-pelajar Indonesia. Mungkin agak lewat sedikit. Kamu ambilkan nota untuk saya ya Aisya.”

Saya tarik nafas. Nampaknya hari ini akan berseorangan lagi ke usrah. Khaleeda ada urusan pula dengan keluarga angkatnya di City Centre.

“Baiklah Puan Besar. Saya akan ambilkan nota untuk kamu!” Tegas saya yang mengundang ketawanya. Kemudian saya memandang Khaleeda yang masih menuntut jawapan saya tentang surat ini. Saya diam memandang keluar. Pemandangan indah di sini yang memberikan kehidupan baharu kepada saya. Namun pemandangan ini tidak seindah suasana persekitaran kampung halaman saya. Ya, dua tahun, saya menyulam rindu dan kenangan. Surat-surat dari adik bongsu, Hakim mewarnai hari-hari saya di sini. Gambar-gambar emak, arwah ayah dan keluarga Abang long menjadi sumber inspirasi.

“Kau terlalu berahsia dengan kami. Dua tahun Aisya. Dah dua tahun aku tengok kau yang tak pernah balik ke Malaysia. Hari Raya. Kau yang paling sibuk menguruskan jamuan pelajar di sini. Ke sana dan ke mari. ” Khaleeda bersuara perlahan namun menusuk terus ke hati dan jiwa saya. Saya diam. Terus merahsiakan sesuatu dari Khaleeda. Sudah banyak kali mereka bertanya status diri ini. Tapi jarang sekali saya mahu bercerita. Tangan segera masuk ke kocek baju sejuk yang melindungi tubuh. Bas berhenti sesekali di kawasan perhentian. Beberapa warga Leicester makin memenuhi ruang bas. 

Surat dari siapakah ini? Surat dari Hakim selalunya beralamat dan bersetem. Tetapi ini surat yang agak membuatkan hati dan jiwa saya meronta-ronta untuk tahu. Saya masih mendiamkan diri. Tersenyum memandang Khaleeda yang membetulkan tudungnya. Sesekali dia merungut kerana bahunya dilanggar penumpang. Saya memerhati. Sesekali mengelak bahu beberapa orang pelajar yang tergesa-gesa mahu turun.

“Bukan berahsia. Aku sedang mencari ruang. Memperbaiki kisah lampau. InsyaAllah, tahun ni aku pulanglah ya. Bolehlah sambut hari raya dengan kau.” Saya senyum. Senyuman yang terus bersisa sehingga kami turun dari bas. Khaleeda menggelengkan kepala tanda masih tidak berpuas hati. Mata saya kemudian beralih ke tingkap bas. Saya membetulkan beg sandang kemudian mata bergerak semula ke dalam bas.

Tiba-tiba! Mata kami bertemu. Matanya bergerak-gerak memandang saya.

Penuh perasaan dirinya memerhatikan saya. Namun milik mata dan badan itu terlindung di sebalik penumpang yang sederhana padat itu. Saya mencuba mencari wajah penuhnya. Namun dia cepat menoleh dan mengelak. Kemudian dia kembali mencuri-curi pandang diri ini. Sehingga bas menyusuri perlahan dan mata itu masih tekun memandang dan menjamah wajah ini.       

Sehingga akhirnya wajah itu hilang. Wajah serupa milik ’dia’ tetapi agak kurang pasti empunya diri dan pemilik tubuh berkenaan.

Kami terus menghayun langkah. Perlu melalui tasik yang sederhana dan sebuah kolam yang memberikan pemandangan cukup luar biasa. Kalau boleh berlari laju seperti Usain Bolt, dah lama saya berlari sepertinya.

Satu sahaja yang mahu saya buat bila sampai di bilik nanti. Mahu buka surat ini dan meneliti isi kandungannya. Itu sahaja.

***

Nur Aisya,

Semoga sentiasa sihat dan dirahmati Allah selalu.. Pohon maaf untuk surat yang tidak diundang ini.
Namun abang percaya, Aisya akan tersenyum membaca warkah ini. Abang panjatkan, doa dan kesihatan yang baik-baik untuk suri di hati abang ini.

Sebulan lagi, Aisya akan pulang ke Malaysia. Kami akan nantikan kepulangan Aisya. Emak Aisya sihat, namun sesekali apabila datang menjenguk, demam rindunya akan sentiasa ada. Emak selalu melihat kalendar. Usik emak, ’emak tak sabar mahu memeluk anak gadis emak yang paling dirindui’.

Oh ya, Najihah sudah berbadan dua. Di dalam perut, ada dua baby. Alhamdulilah, selepas penantiannya, akhirnya, Allah memberikan rezeki.

Mama, papa, Nenek Hanisah menyampaikan salam ’Assalammualaikum’. Pesan mereka, tak sabar menanti kehadiran Aisya di sini.

Dari abang, jaga kesihatan. Abang tak pandai tulis surat panjang-panjang. Senyum-senyum selalu.Emm...kami semua terasa ingin ke sana, jika Allah izinkan, nantikan ya.

Salam Rindu Sekeluarga,
Abang Najmi.


Saya diam. Abang Najmi akan ke sinikah? Eh, emak tak ada maklumkan pun! Ishh...

Saya lantas menutup warkah dengan senyuman yang membahagiakan diri. Namun, jiwa ini terus dilanda rasa bersalah teramat sangat. Pada emak yang sentiasa merindui diri ini. Juga pada Abang Najmi sendiri. Air mata entah kenapa mengalir perlahan-lahan. Bila Abang Najmi kirimkan surat, terasa dekat sungguh saya dengan kenangan. Jiwa saya terasa makin dekat dengan kenangan lama itu. Ya, kenangan dua tahun lalu. Kenangan itu yang memenjarakan saya untuk berdiri di sini. Saya berdiri. Menolak langsir dan pandangan saya terus terarah ke terusan panjang di hujung sana. Terusan yang mempunyai air tenang. Kawasan di mana penduduk sekitar Leichester gemar berjogging dan merehatkan minda. Saya dan Khaleeda juga turut gemar bersama udara mesra di sana. Saya ke sini hanya kerana mahu melupakan segalanya. Saya memerlukan ketenangan selepas membuat keputusan terbaik untuk diri. Saya pasti, lelaki itu akan menantikan saya. Setia dan sentiasa menyayangi saya. Saya pohonkan kepada Tuhan walau kami jarang sekali berhubungan. Saya merenung cincin di jari. Masih berkilauan. Masih menjadi kekuatan diri.

Saya memandang luar. Mata saya ralit memerhati. Pemuda yang sedang berdiri tegap di bawah sebatang pokok terus-terusan merenung saya. Kepalanya ditutup dengan topi dan berjaket kulit. Mata yang sama di dalam bas sewaktu saya dan Khaleeda pulang dari kelas tengahari tadi. Ya. Benar telahan saya. Sepantas kilat, saya membetulkan tudung. Mencapai kunci bilik, jaket biru dan dengan segera menyarung kasut. Pintu saya buka dengan penuh perasaan.

Berdentum!

Saya terus menuruni tangga sehingga hampir terjatuh. Terpelosok saya di bawah namun dengan kesakitan saya kembali bangun. Terhencut-hencut.

Saya berlari anak mencari kelibat dan susuk tubuhnya itu. Saya berpusing-pusing hingga termengah-mengah. Kaki yang semakin sakit. Semakin berdenyut-denyut. Ya Allah.

Tidak ada sesiapa. Malahan bayangan wajah Abang Najmi menerpa berkali-kali lagi. Saya mencari dan malahan mencari lagi. Saya berlari ke sana dan ke mari. Adakah pemuda itu Abang Najmi?  Saya mengetap bibir. Saya tersilap lagi! Lantas saya duduk perlahan di sebuah kerusi yang disediakan. Saya rapat, bersandar. Angin terus memberi nyaman, namun saya semakin berpeluh-peluh. Saya memandang terusan di hadapan. Air di dalamnya serta merta mengingatkan saya kepada kisah dua tahun yang lalu. Ya, dua tahun lalu.

02 Januari 2013

Sekeping Hati Untuk Dia

Salam 2013 semua. Selamat tahun baru dan semoga semua sihat. Baik-baik dan sentiasa dengan senyum manis! Holaa!  Doakan saya terus menulis dengan baik. Gigih, sedap susun ayat dan laju mengetuk papan keyboard ya.

Mari susuri sedikit perkembangan semua manuskrip saya.

Insya-Allah..kalau ikut azam tahun 2013 ni, saya nak siapkan cepat Yang Terindah. Bulan Februari harus siap. Teaser akan saya masukkan di dalam group sahaja. Tidak di blog (Wah..ni memaksa semua orang masuk group je kanzz? Tapi tidak. Saya approve siapa sahaja yang sudi. Jangan risau ya)

Haaa..mengenai Yang Terindah... rasa macam tak seronok tinggalkan kisah Nur Cahaya, Papa Adib dan Fifi comel tu kan? Manuskrip ni ada sedikit thriller. Wahhh...
Harus kena bom buku nanti kalau buat papa Adib tu watak jahat.  Iya dak? Hahahaha. Macam mana dengan Aizul? Fifi si comel pun mesti ramai yang rindu kan? Rasa macam nak siapkan esok je semua ni. Huwaaaaaaa

Dia, Cinta Hati Saya. rindunya dengan sentuhan 'saya' dan kisah kecil Majdina bersama Zain ini. InsyaAllah saya jangka siap April atau Mei 2013. Kalau boleh nak siapkan cepat. Tapi sebab saya perlu fokuskan dulu dengan Yang Terindah. Mana tahu ada super duper kuasa 14 juta ke kan, tetiba rajin I menaip dan edit dua manuskrip ini. Bolehlah cepat hantar ke penerbit. Hiksss....Jangan risau, saya akan up beberapa bab di dalam blog. Jangan rindukan mereka ya.

Nama Dia Joe...saya akan terus menulis kisah mereka dan tepek di blog ni ya. Hehehe. Mesti ramai dok tunggu mana lah abang Joe ni kan. Tunggu tau. Kalau sesiapa ada ilham untuk semua kisah-kisah saya ni...saya lapang dada untuk anda kongsikan dengan saya. Nak macam mana untuk kesemua tiga manuskrip di atas. Saya cuba untuk elakkan klise. Bincang dengan seorang penyusun plot saya ini. (Terima kasih untuk semua bantuan you sis..lap you 24 juta.,,kasi up sikit..hehehe)

Mr Pai Epal? Ohhh....rindunya kan? Yang pasti pembaca kesayangan Mr Pai Epal mesti tak sabar nak tahu apa penyudahnya. Saya still suntikkan kesegaran, romantika d amor juga ada...hahaha...tapi jangan tak tahu..Yaya kembali menjadi matang selepas peristiwa 'itu'. Cek kembali kisah mereka di sini. Bagaimana pertemuan semula mereka di Paris? Kisah cinta mereka semua ada dalam novel yang akan diterbitkan kelak. Tapi saya sendiri masih menadahkan tangan berdoa semoga ia cepat diterbitkan. Saya masih berharap semua sudi menantikan novel ini.  Yang penting ia telah pun DILULUSKAN. Cuma saya harap pembaca semua menanti dan jangan jangkakan bila terbitnya. Harus menunggu dan menanti ya! Sama jugalah kan, macam kita menukang sebuah rumah. Ada penantian..cari penukangnya, mencari kayunya, mencari atapnya, susun kabinetnya, cat rumahnya, wiring segala macam perkara. Semua itu perlu dengan rasa sabar. Sabar itu selalu mengajar saya erti perjuangan sebenar. Nanti kita peluk sama-sama Mr Pai Epal ya. Lepas tu bolehlah sambung Mrs Pai Epal pula. Hihihi. ^___^

Mahu Memeluk Bulan. Skip kisah ini selepas semua selesai. Projek ini akan saya berhentikan sekejap. Tak mo buat banyak-banyak..nanti pening sampai pitam sendiri. Hehe.
Kasih sayang semua untuk setiap manuskrip saya, komen, like, sokongan di group, membaca, menjeling dan menjejaki blog ini saya ucapkan ribuan terima kasih. Lebiu semua 14 juta. Hehehe.

Selamat Tahun Baru 2013. Semoga terus dengan kasih sayang Ilahi. Amin-amin. 

Senyum 14 juta untuk semua.
Mardihah 

#SekepingHatiUntukDia? Wah..tajuk ni boleh juga dibuat untuk kisah Husna & Fendi & Hakimi. Okey, nanti ya! Banyak projek...hahahaha