Pages

09 Februari 2013

Andai Gerimis Berhenti 3


Diana berkejaran dengan Hakim di halaman rumah. Emak yang sedang menggoreng buah sukun memandang tepat wajah saya. Kain batik yang saya pakai, berona merah menangkap mata emak.
“Kenapa emak pandang saya macam mahu dimakan sahaja?” Saya ketawa dan mengambil alih tugas emak menggoreng sukun.

“Kak Ngah.” Emak bersuara lembut.  Kami berpadangan. Emak sudah mendapatkan duduk di meja. Menanti ayah pulang untuk minum petang.

“Ya emak.”

“Hisham nampak beria-ia mahukan kamu kak ngah. Anaknya, Diana semakin rapat dengan kita semua.”

Ishh emak ini, Hisham mana mahukan saya. Diana, tu kak ngah tolong jagakan sahaja.” Saya pandang emak. Telan air liur.

“ Orang kampung keliling kita semua bercakap fasal kamu berdua.”

Saya cebikkan bibir. Biasanya begitulah masyarakat kita ini. “Air liur mereka yang habis. Biarlah apa yang hendak dikata. Kak ngah terima.”

“Memang senanglah kamu tu bercakap. Emak yang telan. Kak ngahlah anak dara emak seorang. Apa-apa yang berlaku, kami yang bertanggungjawab. Senang sungguh kamu semua bercakap, air liurlah, jangan layanlah. Telinga emak ini yang mendengar. Hati mak yang bengkak, kamu tahu?” Suara emak seperti marah. Bernada tegas.

Saya terdiam. Membalikkan sukun yang hampir kuning. Saya tarik nafas. Perlu cari jawapan yang baik untuk emak. Mahu emak memahami.

“Kak ngah dengan arwah isterinya sahabat baik emak. Kami berkawan semenjak kecil lagi,” Saya menerpa ingatan kepada arwah isteri Hisham, Solehah. Kami bertiga bersahabat baik sehinggalah mereka melangkah ke gerbang perkahwinan. Usia perkahwinan mereka muda. Anjakan 20 tahun, mereka sudah membina masjid. Saya adalah rakan mereka yang paling sibuk di majlis perkahwinan mereka.

Solehah meninggal dunia selepas melahirkan Diana ke alam nyata. Saya terkenangkan pemergiannya di pagi Jumaat itu. Air mata saya mengalir laju dan Diana merengek di pangkuan saya. Saya lemah dan apatah lagi melihat Hisham yang memandang saya dengan perasaan luluh dan sungguh derita. Apa kudrat saya melainkan memandang Nur Diana tanpa ibu di dunia. Saya kehilangan seorang sahabat, rakan sepermainan dan Hisham kehilangan seorang sahabat, isteri dan ibu kepada seorang anak yang masih kecil.

“Sebab tu Kak Ngah rasa termakan budi? Membela anaknya macam anak sendiri. Emak tak faham sungguh kamu semua.” Mak merengus dan mencubit sukun. Di cicah gula dan emak memandang saya penuh simpati.

“Kata Faisal Tehrani dalam novel Tunggu Teduh Dulu,’semua ini kerja tuhan.’” Saya tersengih pada emak. Emak tergelak melihat saya mencebik mesra. Saya tidak mahu emak memikirkan perhubungan saya dan Hisham lagi. Banyak lagi perkara lain yang sedang bermain dalam kepala saya.

“Asyik sangat dengan Faisal Tehrani. Perasaan emak ni juga kerja tuhan Aisya.” Emak tersenyum bersahaja. Saya tersenyum dengan ingatan dari emak. Saya sedar mengenai perasaan emak. Juga mengenai fikiran emak yang akan terganggu dengan usikan dan pertanyaan orang-orang kampung mengenai hubungan antara saya dan Hisham.

“Kak ngah sedang fikirkan kolam. Pekerja baharu, membuka kolam baharu, isy... banyak benda lah emak. Nanti kak ngah senaraikan emak sendiri tak larat nak dengar. Kak ngah malas mahu fikirkan Hisham, Diana dan buat masa ni kak ngah senang sebegini. Kak ngah mahu hidup dengan setiap perkara yang kak ngah lakukan dengan restu emak dan ayah. Emak restui Aisya, bukan?” Suara saya yang terakhir menangkap sayu pada hati emak. Emak merenung dan menganguk perlahan. Tanda memahami saya.

“Ataupun emak sudah tak sabar mahu menyambut menantu lelaki?” Saya ketawa terbahak-bahak. Emak terkekeh-kekeh ketawa juga.

“Menanti orang Mesir balik. Lambat sangat, kepingan pulak emak. Tapi emak tak berapa sukalah kalau kak ngah masih teringatkan Ustaz Zul tu.” Emak meyambung bicaranya. Sedikit peringatan dari emak. Saya tersentak seketika. Memandang emak dengan mendalam.

 Secangkir kopi panas sudah bermain di hujung bibir. Saya masih tertanya-tanya. Kenapa pula emak tidak suka kalau saya digandingkan dengan Ustaz Zul itu?

Suara emak memanggil Diana dan Hakim lantang kedengaran. Saya termenung panjang. Tidak setenang selalu. Istighfar saya berkali-kali. Saya rindukan lelaki yang jauh dari pandangan saya. Ya Allah. Ampunkan segala dosa saya. Sungguh. Saya makin terbayangkan wajah polosnya. Kebaikannya. Bukan Hisham, sebaliknya Ustaz Zulkarnain itu.

***

Balqis akhirnya bersetuju untuk membantu saya di kolam. Dia akan datang pada minggu hadapan. Saya terpaksa meminta bantuan Hisham untuk mengambil Balqis di Melaka Sentral. Penternakan ini akan bermula beberapa minggu lagi. Bermula dengan sebenarnya bersama Balqis.  Hisham sudah bersetuju membantu  saya mendapatkan jentera bagi mengorek kolam. Sistem saliran sudah saya periksa. Kesesuaian tanah juga saya sudah amati. Saya mesti memastikan tanah dapat menampung air dan mempunyai daya takungan air yang tinggi. Tanah arwah datuk jenis tanah liat ini amat bermanfaat sekali.  Mujur arwah datuk memberikan tanah ini kepada ayah dan abang long. Sekurang-kurangnya memberi manfaat kepada kami sekeluarga. Saya cuma pening tentang modal dan dari mana manfaatnya. Saya cuba untuk mencari maklumat dan memeriksa senarai nama bank yang memberi kadar faedah dan pembiayaan yang paling maksimum. Saya perlu juga untuk beristikharah dahulu sebelum membuat pinjaman.

2 hari selepas Diana di rumah, ayahnya datang mengambil. Kenangan segera bermain-main di kepala.

 “Terima kasih sebab awak sudi jagakan Diana.” Hisham hadiahkan senyumnya.

“Sama-sama.” Entah kenapa saya berdebar-debar lantas terpandangkan matanya memandang saya tajam. Diana berada dalam pelukan saya. Saya berlagak tidak ambil peduli dengan pandangannya. Emak di sebelah mengusap-usap rambut Diana.

“Lelahnya berpanjangan Sham. Ubat jangan lupa. Jangan diberikan ais, Mandi malam jangan selalu. Diana beritahu, Sham selalu mandikannya waktu malam. Mengadu pada kami macam-macam.” Emak bersuara.

“Amboi-amboi, Diana kalau dengan aunty Aisya, semua diceritakannya.”

“Betullah kata Diana tu. Awak asyik sibuk dengan kerja. Tengokkan sikit kesihatannya.” Saya menambah. Kadang-kadang geram juga dengan perangai bapaknya si Diana ini.

“Sebab tu lah saya mahu kahwin cepat. Ada jugak emak baru untuk tengokkan Diana.” liriknya lagi.

“Haaa...tengokkan Diana atau tengokkan kamu, Sham?” Emak ketawa. Kami berpandangan dan entah kenapa saya begitu rasa sayu dengan ketabahan dirinya membela dan menjaga Diana dengan sempurna. Diana meski sudah 5 tahun, sudah petah berbicara, membaca muqaddam dan mampu bersolat bersama saya. Saya cukup kagum dengan kemampuannya menjaga Diana. Hisham ukirkan senyumnya dan mengambil Diana yang terpisat-pisat.

“Cepat-cepat cari calon. Senang sikit kamu Hisham. Ada pembantu di rumah.” Emak menambah.

“Tunggu anak makcik Kalthum ni. Diam sahaja. Tak bertepuk dan  tak bertampar juga.”
Sekali lagi saya di hujani berbagai perkara. Muka saya berona merah. Emak memandang saya. Saya buat tidak peduli. Tidak ambil pusing dengan setiap patah perkataannya.
Saya mengiringi Hisham. Membawa beg baju anaknya.

“Boleh luangkan masa menemani saya menjemput Balqis di Melaka Sentral?”

“Bila?” Tanyanya lembut.

“Minggu depan kata Balqis. Tetapi saya akan hubungi Sham nanti. Balqis tu belum confirm tarikh tiketnya.”

InsyaAllah. Saya cuba lapangkan masa. Harap-harap tak bertindih dengan jadual kerja saya.”

“Terima kasih. Oh ya Sham, Balqis setuju membantu saya di kolam nanti. Bermakna kerja saya di kolam akan menjadi sedikit mudah dengan kedatangannya. Balqis akan membantu urusan di kolam sebelum dia masuk ke universiti.” Saya menambah. Hisham memasukkan Diana perlahan di tempat duduk di sebelahnya.

Haaa....Jika Balqis berjaya ke Universiti, Aisya harus fikirkan pekerja lain untuk gantikan dia lagi. Dah dua tiga kali kerja pulak nanti.”

“Rasa macam okey je. Nantilah saya fikirkan benda tu kemudian. Soal cari pekerja lain tu boleh kot saya uruskan.” Saya angguk. Betul juga kata Hisham. Lepas Balqis masuk universiti, saya perlu cari pekerja lain pula.

“Okey. Segala keputusan serah pada tuan punya kolam. Saya ni membantu sikit-sikit bolehlah.” Hisham sengih. Sambung lagi berbual kosong dengan saya. “Diana ni  bila sampai ke rumah nanti, mesti menangis. Tengok Aunty Aisya tak ada. Sejam memujuk barulah dia berhenti menangis. Nanti Aisya ingatkan saya tentang Balqis ya. Takut pula saya ada hal.” Hisham memperingatkan saya.

“Awak tu kena pujuk Diana baik-baik. Jangan awak cubit dia sudahlah!”

Kami bertukar senyum. Beg ditangan saya di capai perlahan. Mata kami bertembung dan cepat-cepat saya alihkan perhatiannya kepada projek mengorek kolam minggu ini.

“Jangan lupa kolam minggu ni.”

Dia senyum. “ Saya ingat segala pesanan awak Cik Aisya.”

***

Diana sudah lena di katil. Saya membetulkan rambutnya yang separuh panjang. Tumpuan saya kemudian beralih kepada senarai kelengkapan. Saya sudah mendapat kata putus untuk membuat pinjaman di Agro Bank. Pasti mengambil masa 1 bulan. Proses pinjaman pasti mengambil masa. Saya perlu bersedia dengan hasil pertama saya. Kolam pertama yang akan mengeluarkan lebih kurang 2000 ikan keli. Benih anak-anak ikan sudah saya dan Hisham campakkan 2 bulan lepas. Saya perlu menyediakan kertas kerja yang baik untuk mendapat sokongan banyak pihak. Agro Bank antara senarai pertama untuk saya mendapatkan bantuan kewangan. Deringan tanda peti pesanan suara saya terima.

Dari Hisham. Maafkan saya, menyusahkan Cik Aisya.

Saya senyum. Hisham jika hendak memujuk atau meminta bantuan saya, pasti menggunakan perkataan “cik” di hadapan. Saya tidak membalas pesanannya tetapi tumpuan saya terarah terus kepada komputer dan kertas kerja saya. Selepas sahaja Hisham membawa Diana balik saya ingatkan bolehlah saya teruskan kerja-kerja yang tergendala. Hisham menelefon lagi sambil Diana menangis mahukan saya. Mahu balik ke rumah nenek dan Aunty Aisya. Diana nak Aunty Diana. Merengek-rengek si Diana sampaikan kami berdua mengalah dan akhirnya Hisham menghantar kembali Diana ke sini

Dan tawaran saya petang tadi. Adakah ada peluang untuk saya?
Eeeee...Hisham ni memang kacau betul kerja-kerja saya. Khidmat pesanan ringkas keduanya benar-benar menggangu saya. Sudah-sudahlah Hisham. Kita hanya kawan. Kita hanya sahabat. Kita hanya kawan sekampung. Tidak lebih dari itu.

Huh. Awak. Please, lupakan tawaran tu dan saya akan kahwin dengan kolam saya.

Saya balas pesanan ringkas Hisham. Kemudian terus offkan telefon. Malas mahu berpanjangan dengan Hisham yang angau!

01 Februari 2013

Mrs Pai Epal

Bolah tak bayangkan macam mana stress empat belas juta saya tunggu Mr Pai Epal? Hahaha. Stress dia macam rasa nak lekatkan kepala kat dinding tu. Miahaha. Apa-apapun mari sama-sama tunggu kisah cinta agung cik Yaya sayang dan Izz Amir hokey. Insya-Allah saya ni still dalam penyusunan plot kisah Mrs Pai Epal. Ni saya tepeklah untuk semua hilangkan rindu kan? Suka tak? Suka tak? #Eh, Mr Pai Epal ada sambungan? 




“Haaaa...kalau macam ni gayanya kan...toksah abang haraplah nak dapat anak sampai 11 orang. Yang seorang ni pun pening dibuatnya saya tau tak?”  

“Eh..apa pulak peningnya. Bukan awak yang jaga Izz Ashfan seorang. Ni..ni..” Izz Amir tepuk dada sendiri berkali-kali. "Saya yang jaga dia. Apa pulak awak nak peningnya. Sini-sini. Bagi saya dukung dia. Heiii mamanya ni pot pet pot pet!”

“Awak cakap saya pot pet pot pet? Habis...siapa yang punggah dapur ni dengan cream bagai ni. Keluarkan semua spageti saya dalam bekas ni kalau bukan anak awak ni?"

“Hello...ni anak kita. Bukan anak saya seorang. Huh!”

Eh eh... Aku ketap bibir. Jeling Izz Amir yang dukung Izz Ashfan yang tersengih-sengih sambil whipping krim penuh di tepi bibir.

“Anak awak. Dahlah comot sebijik macam awak!”

“Anak awaklah. Apa pulak nak samakan dia dengan kita...dahlah dia ni nakal macam mamanya. Meh sini saya dukung." Izz Amir jeling aku. Sempat pulak dia tarik hidung aku. "Kemas cepat. Saya tunggu awak kat atas”

“Tak nak..uwekkk!”  

“Cepat!!! Saya tunggu awak kat atas. Tak ada alasan-alasan lagi. Dah seminggu saya puasa..."

28 Januari 2013

Andai Gerimis Berhenti 2




Ayah batuk-batuk. Makin kuat dan semakin buat saya hilang ketenteraman diri. Perlahan saya keluar dari bilik. Melihat Hakim sedang menelaah pelajaran dan mata beralih kepada emak yang sedang mengurut kaki ayah. Kaki yang terhincut-hincut. Ayah bersama kaki itu tetap membawa hasil. Kedai runcit yang ayah sewa dari Pakcik Husin itu tidak mendatangkan untung, malahan merugikan. Ayah penat berniaga, alih-alih untung dikaut adik-beradik yang tidak tahu malu. Semua barangan seperti beras, minyak, kopi, gula, tepung dan barangan lain, mereka ambil percuma. Ayah telan air liur sahaja. Mendiamkan diri. Sebab itu saya malas mahu masuk campur urusan ayah. Jika ditegah lagi ayah marah. Kata ayah, itu adik-beradiknya. Biarkan mereka. Sehingga duit sewa kedai tidak mampu ayah tampung. Rugi. Ayah degil. Sungguh degil dengan kakinya yang sebegitu. Tidak mahu berjumpa doktor. Saya tidak mampu dan tidak larat melihat mata bening ayah sebegitu. Meruntun hati.

“Termenung sahaja anak dara emak ni. Tolong ambil minyak atas almari.” Emak memaksa ingatan untuk terus terpadam. Saya senyum. Meleret mata saya mencari minyak. Minyak gamat lantas saya capai.

Saya duduk bersimpuh. Menemani emak dan ayah di tengah rumah. Menggosok kaki ayah bersama emak. Perlahan. Suara gerangan ayah semakin kuat. Hakim berdekah-dekah ketawa.

“Ayah ni macam budak-budaklah.” Hakim masih tertawa. Memandang kami yang mengerumuni ayah.

Isk. Belajar sana, sibuk sahaja. Tarik telinga nanti.” Saya tersengih.
“Nanti jangan tengok soalan lain, jawapan lain.” Emak memerli. Hakim tersengih-sengih. Segera matanya tertumpu kembali kepada buku-buku di hadapan mata.

“Cepatlah urutkan kaki saya ini . Lenguh lagi.” ayah mengarah.

“Ya abang. Saya urutkan.” Emak kembali menarikan jemarinya ke seluruh betis ayah. Saya kemudian bangun dan meminta izin kembali ke bilik. Saya perlu mengira-ngira belanjawan untuk menghasilkan kolam ternakan ikan air tawar. Saya perlu bina satu lagi di sebelah kolam yang tersedia ada. Tanah arwah datuk atas nama ayah dan abang long, benar-benar menghasilkan sesuatu untuk saya. Itupun kerana Ustaz Zul yang mendesak dan membantu.

Saya  berfikir-fikir untuk mendapatkan modal dan benih ikan. Saya senaraikan beberapa perkara yang perlu saya buat. Jika dahulu, kolam pertama ini adalah atas usaha Ustaz Zul. Semua atas bantuannya. Pembinaan, modal, idea, benih anak ikan keli juga adalah pemberiannya. Bantuan sederhana ini adalah kerana cadangan saya menarik minat Persatuan Penduduk Kampung Sri Tanjung.

***
“ Saya terpanggil untuk membina kolam dan menternak ikan air tawar.” Saya menjelaskan secara ringkas kepada semua Ahli Jawatankuasa di dalam mesyuarat. Berdiri tenang sambil angin terus menjadi kawan.

Boooo…” penduduk kampung mentertawakan saya. Adakah melayu memang sebegini. Suka memperkecilkan idea dan pandangan orang lain. Tidak mahu melihat nasib yang baik setiap jiran tetangganya. Benarkah atau ada segelintir sahaja sebegini? Saya mengeluh. Aisya, engkau perlu kuatkan semangat. Ini tandanya sifat berputus asa. Suara hati saya memberi kekuatan. Saya memandang Ustaz Zul yang angguk memberikan semangat. Saya kembali teringat kata-kata Ustaz Zul di perkarangan rumah tempoh hari.

“Contohnya, menternak ikan keli dan ikan puyu yang saya rasa boleh mendatangkan keuntungan dan kekayaan kepada penternak. Hasil dan serba sedikit membantu isi keluarga. Malahan boleh kita perkembangkan. Mana tahu, Aisya boleh menjadi pengusaha yang berjaya di Kampung Sri Tanjung ni. Saya juga tumpang gembira. Pedulikan cakap-cakap orang lain.” Ustaz Zul yakin membentang hujah.

Dan nasihat dari lelaki itu juga buat saya terus yakin membentang hujah. “Saya mahu menternak ikan keli dan ikan puyu yang boleh membantu dan membangunkan isi rumah saya dan keluarga. Siapa sangka kelak ia boleh diperkembangkan.” Tarik nafas. Lega kerana saya sudah memberi jawapan bernas.

“Saudari Aisya ada tanah?” Seorang Ahli Jawatankuasa bertanya. Pemuda berusia lewat 30 an. Setiausaha yang cemerlang membangunkan pembangunan kampung ini. Beliau, seorang lelaki yang sentiasa mempunyai ilham-ilham berguna untuk anak-anak bangsa. Tidak seperti segelintir mereka yang selalu memperlecehkan kemampuan orang lain.
“Ada.” Saya menjawab penuh yakin selepas istikharah yang membenarkan keyakinan ini. Saya memperoleh jawapan dari Allah, dan saya memberi jawapan sepenuh hati dan jiwa. Termaktub sudah. Walau berkali-kali ayah melarang keras saya mengusahakan tanah terbiar itu.

Saya mengulum lidah. Mengucapkan zikir berulang kali. Bayaran pinjaman bulanan kepada akaun persatuan peduduk kampung, harus saya segerakan. Saya wajib menggandakan usaha dan memperkembangkan kolam tersebut. Jika tidak, kolam akan terbiar dan saya harus memikirkan sesuatu untuk mengusahakan kolam dan memastikan ternakan ikan air tawar saya berjaya. Walaupun tanpa bantuan Ustaz Zul, saya mesti usahakan sendiri. Saya wajib meneruskan bantuan dan idea Ustaz Zul.

Malam terus menjelma. Suasana semakin sejuk.  Damai. Bunyi cengkerik ini menemani saya yang tidak berteman. Sekurangnya saya tidak merasa sunyi bila keseorangan begini.

Pena saya menari-nari. Kalkulator terus menemani. Buku bank, dan berbagai-bagai jenis kertas memenuhi ruang. Saya memikirkan sebuah pondok kecil yang harus di bina. Pondok yang boleh memberikan ruang saya berehat dan mencari idea memperkembangkan projek ini. Saya juga tidak boleh keseorangan dalam hal ini. Saya perlu mencari teman untuk berkongsi ternakan ini. Tetapi siapa? Umi Kalsom? Umi baru sahaja selepas berkahwin. Lizawati menyambung pengajian ijazah Ekonomi di Universiti Malaya. Syahariah pula sudah bekerja di Bank Rakyat cawangan Mersing. Ismahanes juga sudah berkahwin dan berpindah dari Jitra ke Sungai Petani kerana mengikut suaminya, Rosmadi. Rafahah juga sudah berkahwin dengan lelaki pilihan hatinya dan mempunyai seorang anak.  Laily pula sudah bekerja dengan tekun di Johor Bahru. Masing-masing di Utara dan berkemungkinan agak ajaib untuk mereka membantu dan turun ke Selatan. Serta merta saya teringatkan Balqis yang menetap di Perak dan masih menanti keputusan pengajiannya. Dia mahu menjadi seorang guru. Balqis. Minda saya lantas memangil-manggil nama Balqis berkali-kali. Dia amat sesuai sekali. Si gadis genit bermulut becok yang sesuai menjadi teman saya di kolam nanti.

Saya tersenyum sejenak dan mencari-cari nombor telefon talian bimbitnya. Saya terus memunggah buku-buku lama dan mencari alamatnya juga. Mana pulak nobor telefon si Balqis ini ya? Saat genting begini pulak hilang bukunya. Huwaaaa..

***
Saya bukan lulusan ijazah pertama, namun sekadar Diploma dalam Perakaunan. Hidup penuh sederhana dan saya bersyukur dengan ajaran agama dan aspek sosial ketimuran yang ayah dan emak aturkan. Saya juga sentiasa berjiwa segar dengan usrah, kuliah agama malahan saya menjawat jawatan kepimpinan di Politeknik. Dahulu, saya selalu bercita-cita besar mahu masuk ke Universiti. Namun, keputusan yang sederhana tidak memberi peluang saya ke Universiti. Sedikit kecewa, namun Allah mengatur perjalanan insan ini dengan amat menarik sekali. Alhamdulillah, saya menyambung pengajian di Politeknik. Apabila menjadi seorang pelajar dan belajar, banyak perkara yang dapat saya adaptasi dalam kehidupan ini. Alhamdulilah, saya berjiwa tenang dan hidayah yang Allah berikan itu dengan perlahan-lahan saya panjatkan ke dalam diri.

Saya berdiri tenang merenung kawasan projek.

Saya terperanjat apabila telefon bimbit berbunyi nyaring. Ini mesti kerja Hakim yang menukar nada dering. Cepat-cepat saya menyeluk poket kemeja besar milik saya.

“Assalamualaikum.” Suara halus seorang wanita memberi tanda tanya. Saya amati suaranya.

“Waalaikumsalam.” Saya bangun dan membetulkan tudung yang sedikit herot. Pandangan terarah kepada kolam di depan mata.

“Aisya. Ini aku.” Suaranya ceria.

“Siapa?” Saya sedikit tertanya. Namun mencuba lagi mengamati suara ini.

“Amboi-amboi hang. Semenjak menjadi penternak ikan ni, hang terus lupakan aku nooo.” suaranya bergema dan ketawa. Saya ingat ketawanya. Ya. sahabiah saya. Akrab dan wajahnya yang manis segera menerpa di ruang mata.

“ Siti Balqis Bte Ayob!” Saya menjerit dan seakan mahu melompat keriangan. Siap sebut nama penuhnya pulak. Haha.

“ Ya. Nasib baiklah kau masih ingat suara aku yang merdu ni. Semenjak menjadi penternak ikan secara kecil-kecilan ni kau dah makin sombong ya.”

“Balqis sihat tak?”

“Sihat Alhamdulilah. Aisya, kat sana ada kerja kosong tak? Kau sedang cari pembantu untuk kolam baru tu, bukan?” Petah bicaranya. Bagaimana Balqis tahu saya sedang mencari nombor telefonnya dan memang ingin bertanya dan menawarkan dia jawatan pembantu saya di kolam.

“Balqis,” saya terdiam. Fikiran melayang kepada jawatan pembantu saya di kolam ini. Saya baru sahaja bekira-kira mahu menelefonnya malam nanti. Allah membenarkan niat saya. Allah membantu saya dengan begitu cepat sekali. Perjalanan saya telah dipermudahkan.  Alhamdulilah Ya Allah.

“Bekerja dengan aku? Kau okey ke?” Saya tersenyum mesra. Badan saya kini lencun oleh peluh. Saya lap dahi dengan hujung baju. Baldi makanan ikan saya letak dan mencapai tuala. Pandangan saya terarah kepada seorang lelaki yang semakin dekat. Dia sudah menguntum senyuman. Anak gadisnya digenggam penuh erat.

“Peluang keemasan nampaknya ni. Gaji ribu-ribu tak?” Balqis ketawa manja.

“Amboi-amboi. Kalau gaji beribu, alamat bankruplah aku. Eh, Balqis, malam ni Aisya telefon semula ya. Selepas jam 9.00 malam, aku akan call kau semula. Kita bincang nanti ya.”

“Ok bos. Arahan diterima,” Balqis seolah memahami diri saya yang sibuk.

“Kau buatlah kerja dulu. Nampak macam sibuk tu. Kita sambung berbual malam ni. Jangan lupa call tau!” Balqis masih dengan suara cerianya.

“ Ok. Jaga diri Balqis.”
           
“Assalammualaikum.”

“Waalaikumsalam.” Salam terus dijawab. Saya mematikan talian. Menerpa kemudian kepada wajah di depan mata. Anak gadisnya yang comel sedang tersengih-sengih.

“Assalammualaikum aunty.” Suaranya memancing naluriku. Hisham, ayahnya kemudian mengambil baldi makanan ikan dari saya.

“Waalaikumsalam. Diana sihat? Si comel aunty ni, dah makan?” Saya ramah bertanya.

“Sihat sangat-sangat. Diana teringin jumpa aunty tapi ayah cakap kena makan ubat dulu. Diana belum makan. Diana ingat, nak makan masakan neneklah.” Diana mengambil jemari saya dan menggenggam erat.

“Tangan aunty kotor sangat ni. Tengok. Ada lumpur kotor.”

“Tak apalah aunty, Diana tak kisah. Diana nak teman ayah dengan aunty buat kerja kat sini. Boleh kan?” Petah lagi bicaranya. Saya tersentak. Kami berpandangan. Apa yang lelaki ini sudah racunkan dalam fikiran anak gadis sekecil ini.

 Hisham melirik seketika melihat wajah saya yang berona dan semestinya berubah. “Aisya. Diana ni masih budak-budak. Dia bergurau sahaja, tapi tak salah ucapnya untuk menemani, kita berdua, bukan?”

“Saya pun tak pernah kisah. Mulut orang kampung pun saya dah tak ambil peduli. Saya kena lekas, ikan-ikan saya ni belum makan.” Pantas saya menjawab.

“Jagakan anak saya untuk dua hari. Saya akan berkursus di Bandar Hilir” Pintanya secara tiba-tiba.

“Bukan Hisham boleh berulang alik? Lagipun awak tolong saya di kolam hari Sabtu dan Ahad sahaja bukan?” Saya merengus kerana permintaan ini akan menambahkan erat perhubungan antara diri saya dan anaknya, Diana.

“Kalau awak keberatan. Saya hantar sahaja mana-mana.” Tegas dan bernada merajuk.

Please aunty. 2 hari sahaja. Bukan lama mana, please. Boleh ajarkan Diana mengaji lama sikit dengan aunty dan datuk, aunty okey bukan?” Diana memujuk saya pula. Naluri keperempuanan saya tercuit dengan pujukannya. Kami berbalas senyum. 

Saya mengulum lidah. Bercekak pinggang. “Baiklah Tuan Hisham. Sebab anaknya yang comel ni tak mengapalah. Tapi Diana mesti janji dengan aunty, wajib dengar cakap nenek dan datuk. Jangan nakal-nakal okey?” Saya memujuk Hisham kerana saya perasankan wajah mendungnya. Hisham kalau merajuk, habis saya dibebelkan oleh emak nanti. Entah apa nanti alasan dan pujuk rayu Hisham kepada emak. Malas mahu berfikir panjang, maka saya bersetuju untuk Diana diletakkan sahaja di rumah bersama dengan saya.

Yes. Aunty baik sangat dengan Diana. Sayang aunty” Lantas Diana memeluk diri saya. Saya tertawa. Pagi itu, Hisham membantu saya memberikan makanan ikan dan saya mengemas semak-samun di sekitar kolam. Sebelah kanan akan saya buka sebuah kolam lagi. Itu perancangan saya. Cita-cita saya semakin besar. Saya mahu menternak secara kanvas pula selepas ini. Cita-cita saya juga makin tinggi. Saya terpandang wajah mendung ayah dan emak juga Hakim. Abang Long saya itu, sihatkah dirinya?

“Saya suka lihat wajah Aisya begini. Merah-merah. Comel.” Ujar Hisham mematikan khayal saya.  Hisham nakal memandang wajah ini. Dia bercekak pinggang. Mata mencerun tapi belum buat jiwa ini tertawan.

“Jangan jadi gila Sham. Saya tak suka dengan gurauan sebegini!” Bentak saya dengan tegas dan saya berlalu meneruskan kerja. Hisham terdiam dan berdehem bersama anaknya. Ketawa nakal mereka mengundang ketawa geli hati akhirnya. Dia memang bergurau tetapi saya kerap kali gusar dengan tingkahnya. Dia lelaki dan saya wanita yang sefahamnya pasti memberikan sesekali kesan kepada dirinya dan diri saya juga. Ini soal perasaan. Jangan main-main!