Pages

09 Februari 2013

Andai Gerimis Berhenti 3


Diana berkejaran dengan Hakim di halaman rumah. Emak yang sedang menggoreng buah sukun memandang tepat wajah saya. Kain batik yang saya pakai, berona merah menangkap mata emak.
“Kenapa emak pandang saya macam mahu dimakan sahaja?” Saya ketawa dan mengambil alih tugas emak menggoreng sukun.

“Kak Ngah.” Emak bersuara lembut.  Kami berpadangan. Emak sudah mendapatkan duduk di meja. Menanti ayah pulang untuk minum petang.

“Ya emak.”

“Hisham nampak beria-ia mahukan kamu kak ngah. Anaknya, Diana semakin rapat dengan kita semua.”

Ishh emak ini, Hisham mana mahukan saya. Diana, tu kak ngah tolong jagakan sahaja.” Saya pandang emak. Telan air liur.

“ Orang kampung keliling kita semua bercakap fasal kamu berdua.”

Saya cebikkan bibir. Biasanya begitulah masyarakat kita ini. “Air liur mereka yang habis. Biarlah apa yang hendak dikata. Kak ngah terima.”

“Memang senanglah kamu tu bercakap. Emak yang telan. Kak ngahlah anak dara emak seorang. Apa-apa yang berlaku, kami yang bertanggungjawab. Senang sungguh kamu semua bercakap, air liurlah, jangan layanlah. Telinga emak ini yang mendengar. Hati mak yang bengkak, kamu tahu?” Suara emak seperti marah. Bernada tegas.

Saya terdiam. Membalikkan sukun yang hampir kuning. Saya tarik nafas. Perlu cari jawapan yang baik untuk emak. Mahu emak memahami.

“Kak ngah dengan arwah isterinya sahabat baik emak. Kami berkawan semenjak kecil lagi,” Saya menerpa ingatan kepada arwah isteri Hisham, Solehah. Kami bertiga bersahabat baik sehinggalah mereka melangkah ke gerbang perkahwinan. Usia perkahwinan mereka muda. Anjakan 20 tahun, mereka sudah membina masjid. Saya adalah rakan mereka yang paling sibuk di majlis perkahwinan mereka.

Solehah meninggal dunia selepas melahirkan Diana ke alam nyata. Saya terkenangkan pemergiannya di pagi Jumaat itu. Air mata saya mengalir laju dan Diana merengek di pangkuan saya. Saya lemah dan apatah lagi melihat Hisham yang memandang saya dengan perasaan luluh dan sungguh derita. Apa kudrat saya melainkan memandang Nur Diana tanpa ibu di dunia. Saya kehilangan seorang sahabat, rakan sepermainan dan Hisham kehilangan seorang sahabat, isteri dan ibu kepada seorang anak yang masih kecil.

“Sebab tu Kak Ngah rasa termakan budi? Membela anaknya macam anak sendiri. Emak tak faham sungguh kamu semua.” Mak merengus dan mencubit sukun. Di cicah gula dan emak memandang saya penuh simpati.

“Kata Faisal Tehrani dalam novel Tunggu Teduh Dulu,’semua ini kerja tuhan.’” Saya tersengih pada emak. Emak tergelak melihat saya mencebik mesra. Saya tidak mahu emak memikirkan perhubungan saya dan Hisham lagi. Banyak lagi perkara lain yang sedang bermain dalam kepala saya.

“Asyik sangat dengan Faisal Tehrani. Perasaan emak ni juga kerja tuhan Aisya.” Emak tersenyum bersahaja. Saya tersenyum dengan ingatan dari emak. Saya sedar mengenai perasaan emak. Juga mengenai fikiran emak yang akan terganggu dengan usikan dan pertanyaan orang-orang kampung mengenai hubungan antara saya dan Hisham.

“Kak ngah sedang fikirkan kolam. Pekerja baharu, membuka kolam baharu, isy... banyak benda lah emak. Nanti kak ngah senaraikan emak sendiri tak larat nak dengar. Kak ngah malas mahu fikirkan Hisham, Diana dan buat masa ni kak ngah senang sebegini. Kak ngah mahu hidup dengan setiap perkara yang kak ngah lakukan dengan restu emak dan ayah. Emak restui Aisya, bukan?” Suara saya yang terakhir menangkap sayu pada hati emak. Emak merenung dan menganguk perlahan. Tanda memahami saya.

“Ataupun emak sudah tak sabar mahu menyambut menantu lelaki?” Saya ketawa terbahak-bahak. Emak terkekeh-kekeh ketawa juga.

“Menanti orang Mesir balik. Lambat sangat, kepingan pulak emak. Tapi emak tak berapa sukalah kalau kak ngah masih teringatkan Ustaz Zul tu.” Emak meyambung bicaranya. Sedikit peringatan dari emak. Saya tersentak seketika. Memandang emak dengan mendalam.

 Secangkir kopi panas sudah bermain di hujung bibir. Saya masih tertanya-tanya. Kenapa pula emak tidak suka kalau saya digandingkan dengan Ustaz Zul itu?

Suara emak memanggil Diana dan Hakim lantang kedengaran. Saya termenung panjang. Tidak setenang selalu. Istighfar saya berkali-kali. Saya rindukan lelaki yang jauh dari pandangan saya. Ya Allah. Ampunkan segala dosa saya. Sungguh. Saya makin terbayangkan wajah polosnya. Kebaikannya. Bukan Hisham, sebaliknya Ustaz Zulkarnain itu.

***

Balqis akhirnya bersetuju untuk membantu saya di kolam. Dia akan datang pada minggu hadapan. Saya terpaksa meminta bantuan Hisham untuk mengambil Balqis di Melaka Sentral. Penternakan ini akan bermula beberapa minggu lagi. Bermula dengan sebenarnya bersama Balqis.  Hisham sudah bersetuju membantu  saya mendapatkan jentera bagi mengorek kolam. Sistem saliran sudah saya periksa. Kesesuaian tanah juga saya sudah amati. Saya mesti memastikan tanah dapat menampung air dan mempunyai daya takungan air yang tinggi. Tanah arwah datuk jenis tanah liat ini amat bermanfaat sekali.  Mujur arwah datuk memberikan tanah ini kepada ayah dan abang long. Sekurang-kurangnya memberi manfaat kepada kami sekeluarga. Saya cuma pening tentang modal dan dari mana manfaatnya. Saya cuba untuk mencari maklumat dan memeriksa senarai nama bank yang memberi kadar faedah dan pembiayaan yang paling maksimum. Saya perlu juga untuk beristikharah dahulu sebelum membuat pinjaman.

2 hari selepas Diana di rumah, ayahnya datang mengambil. Kenangan segera bermain-main di kepala.

 “Terima kasih sebab awak sudi jagakan Diana.” Hisham hadiahkan senyumnya.

“Sama-sama.” Entah kenapa saya berdebar-debar lantas terpandangkan matanya memandang saya tajam. Diana berada dalam pelukan saya. Saya berlagak tidak ambil peduli dengan pandangannya. Emak di sebelah mengusap-usap rambut Diana.

“Lelahnya berpanjangan Sham. Ubat jangan lupa. Jangan diberikan ais, Mandi malam jangan selalu. Diana beritahu, Sham selalu mandikannya waktu malam. Mengadu pada kami macam-macam.” Emak bersuara.

“Amboi-amboi, Diana kalau dengan aunty Aisya, semua diceritakannya.”

“Betullah kata Diana tu. Awak asyik sibuk dengan kerja. Tengokkan sikit kesihatannya.” Saya menambah. Kadang-kadang geram juga dengan perangai bapaknya si Diana ini.

“Sebab tu lah saya mahu kahwin cepat. Ada jugak emak baru untuk tengokkan Diana.” liriknya lagi.

“Haaa...tengokkan Diana atau tengokkan kamu, Sham?” Emak ketawa. Kami berpandangan dan entah kenapa saya begitu rasa sayu dengan ketabahan dirinya membela dan menjaga Diana dengan sempurna. Diana meski sudah 5 tahun, sudah petah berbicara, membaca muqaddam dan mampu bersolat bersama saya. Saya cukup kagum dengan kemampuannya menjaga Diana. Hisham ukirkan senyumnya dan mengambil Diana yang terpisat-pisat.

“Cepat-cepat cari calon. Senang sikit kamu Hisham. Ada pembantu di rumah.” Emak menambah.

“Tunggu anak makcik Kalthum ni. Diam sahaja. Tak bertepuk dan  tak bertampar juga.”
Sekali lagi saya di hujani berbagai perkara. Muka saya berona merah. Emak memandang saya. Saya buat tidak peduli. Tidak ambil pusing dengan setiap patah perkataannya.
Saya mengiringi Hisham. Membawa beg baju anaknya.

“Boleh luangkan masa menemani saya menjemput Balqis di Melaka Sentral?”

“Bila?” Tanyanya lembut.

“Minggu depan kata Balqis. Tetapi saya akan hubungi Sham nanti. Balqis tu belum confirm tarikh tiketnya.”

InsyaAllah. Saya cuba lapangkan masa. Harap-harap tak bertindih dengan jadual kerja saya.”

“Terima kasih. Oh ya Sham, Balqis setuju membantu saya di kolam nanti. Bermakna kerja saya di kolam akan menjadi sedikit mudah dengan kedatangannya. Balqis akan membantu urusan di kolam sebelum dia masuk ke universiti.” Saya menambah. Hisham memasukkan Diana perlahan di tempat duduk di sebelahnya.

Haaa....Jika Balqis berjaya ke Universiti, Aisya harus fikirkan pekerja lain untuk gantikan dia lagi. Dah dua tiga kali kerja pulak nanti.”

“Rasa macam okey je. Nantilah saya fikirkan benda tu kemudian. Soal cari pekerja lain tu boleh kot saya uruskan.” Saya angguk. Betul juga kata Hisham. Lepas Balqis masuk universiti, saya perlu cari pekerja lain pula.

“Okey. Segala keputusan serah pada tuan punya kolam. Saya ni membantu sikit-sikit bolehlah.” Hisham sengih. Sambung lagi berbual kosong dengan saya. “Diana ni  bila sampai ke rumah nanti, mesti menangis. Tengok Aunty Aisya tak ada. Sejam memujuk barulah dia berhenti menangis. Nanti Aisya ingatkan saya tentang Balqis ya. Takut pula saya ada hal.” Hisham memperingatkan saya.

“Awak tu kena pujuk Diana baik-baik. Jangan awak cubit dia sudahlah!”

Kami bertukar senyum. Beg ditangan saya di capai perlahan. Mata kami bertembung dan cepat-cepat saya alihkan perhatiannya kepada projek mengorek kolam minggu ini.

“Jangan lupa kolam minggu ni.”

Dia senyum. “ Saya ingat segala pesanan awak Cik Aisya.”

***

Diana sudah lena di katil. Saya membetulkan rambutnya yang separuh panjang. Tumpuan saya kemudian beralih kepada senarai kelengkapan. Saya sudah mendapat kata putus untuk membuat pinjaman di Agro Bank. Pasti mengambil masa 1 bulan. Proses pinjaman pasti mengambil masa. Saya perlu bersedia dengan hasil pertama saya. Kolam pertama yang akan mengeluarkan lebih kurang 2000 ikan keli. Benih anak-anak ikan sudah saya dan Hisham campakkan 2 bulan lepas. Saya perlu menyediakan kertas kerja yang baik untuk mendapat sokongan banyak pihak. Agro Bank antara senarai pertama untuk saya mendapatkan bantuan kewangan. Deringan tanda peti pesanan suara saya terima.

Dari Hisham. Maafkan saya, menyusahkan Cik Aisya.

Saya senyum. Hisham jika hendak memujuk atau meminta bantuan saya, pasti menggunakan perkataan “cik” di hadapan. Saya tidak membalas pesanannya tetapi tumpuan saya terarah terus kepada komputer dan kertas kerja saya. Selepas sahaja Hisham membawa Diana balik saya ingatkan bolehlah saya teruskan kerja-kerja yang tergendala. Hisham menelefon lagi sambil Diana menangis mahukan saya. Mahu balik ke rumah nenek dan Aunty Aisya. Diana nak Aunty Diana. Merengek-rengek si Diana sampaikan kami berdua mengalah dan akhirnya Hisham menghantar kembali Diana ke sini

Dan tawaran saya petang tadi. Adakah ada peluang untuk saya?
Eeeee...Hisham ni memang kacau betul kerja-kerja saya. Khidmat pesanan ringkas keduanya benar-benar menggangu saya. Sudah-sudahlah Hisham. Kita hanya kawan. Kita hanya sahabat. Kita hanya kawan sekampung. Tidak lebih dari itu.

Huh. Awak. Please, lupakan tawaran tu dan saya akan kahwin dengan kolam saya.

Saya balas pesanan ringkas Hisham. Kemudian terus offkan telefon. Malas mahu berpanjangan dengan Hisham yang angau!

1 ulasan:

  1. Alahai kesiannya Hisham. .... sabar ye sabar , 5 thn boleh tunggu hahaha tunggu Balqis sampai ok

    BalasPadam