“Hei princess....boleh tak jangan nakal
macam gini selalu. Nak cubit ke?”
Selepas menjengah ayah di dalam bilik, saya terus
bergegas ke dapur. Membantu emak menyiapkan sarapan. Hakim seawal pagi sudah
keluar. Dia akan membantu saya menguruskan kedai seawal pagi. Mujur sekarang
musim cuti persekolahan. Hakim akan mengulangkaji pelajaran di kedai. Saya
memujuknya meminta sedikit masanya untuk membantu ayah menguruskan kedai. Saya
akan menguruskan urusan di kedai dahulu, dan kemudian akan bergegas ke kolam.
Doa sentiasa saya panjatkan, semoga urusan kami sekeluarga dipermudahkan. InsyaAllah.
“Hati-hati ya Aisya.”Emak mendoakan saya.
“Emak jangan susah hati. Kaki ayah tu taklah teruk
sangat. Kaki sahaja yang terseliuh. Jangan difikirkan sangat ya. Tengahari nanti kak ngah balik, kita makan
tengahari bersama-sama.” Saya mengenyit mata dan minta emak tidak perlu risau
lagi.
Saya menyusun semua stok dengan rapi. Mengeluarkan
segala rak jualan runcit dan membuka buku belanjawan. Duit syiling saya
masukkan ke dalam laci. Saya menyapu kedai dan menyusun segala bahan dengan
perlahan dan teratur. Stok gula saya tolak perlahan. Salleh duduk di luar
sahaja entah apa yang dibuatnya. Tadi dia mencari penyapu dan agaknya mengemas
halaman kedai.
Selepas kedatangan Hakim, saya bergegas ke kolam
dan membalas sms Balqis yang
mengesahkan kehadirannya selama enam bulan membantu saya menguruskan kolam
ternakan ikan air tawar. Saya tersenyum membalas pesanannya.
Saya akan menjemput Balqis di Melaka Sentral. Ubat
ayah saya kemaskini di dalam bekas dan membalut kaki ayah. Malam tadi Hakim
sudah menjemput Pakcik Hamid untuk mengurut kaki ayah. Nampak sedikit susut dan
berubah dari hari pertama ayah terjatuh. Si kecil Diana sibuk mahu menemani
datuknya sehingga terlena di sebelah ayah. Emak tersenyum melihat karenah dan
intimnya perhubungan antara ayah dan Diana. Hisham melawat sekejap kerana mahu
berkursus dan meninggalkan barangan Diana di rumah. Dia meninggalkan pesan
kepada Hakim. Memohon maaf kerana tidak dapat menemani saya mengambil Balqis.
Saya itulah kan, dengan sengajanya menyembunyikan
diri di dalam bilik apabila terpandangkan kereta Hisham yang sudah tersadai di
bawah pohon rambutan. Tempat kebiasaannya untuk memarkir kereta. Saya sudah cam
dan sebati dengan kedudukan keretanya. Saya cuma mendengar suaranya dan suara
anak kecilnya sahaja. Duduk dalam bilik, baik sahaja saya mengemas beg dan
berbalas SMS dengan Balqis yang sedang dalam perjalanan ke sini. Setengah jam
kemudian, Hisham mengundurkan diri. Baharulah saya menampakkan diri dan
tersengih-sengih di dapur. Emak menjeling tajam. Ayah dengan kaki berbalut
duduk rapat bersama Diana.
“Sengaja duduk terperap dalam bilik. Kak ngah tahu
kan Hisham datang tadi?” Emak menjeling tajam.
“Tak apalah emak. Buat apa pulak Aisya asyik nak
nampakkan muka. Dia datang pun sekejap. Lagipun, Hisham ada kursus, nanti dia
terlewat pulak.”
“Hai, susah emak mahu jawab dengan perangai kamu
berdua. Tak faham emak.” Emak menggeleng. Membuatkan saya tertanya-tanya. Entah
apa yang emak, ayah dan Hisham bualkan. Saya mencapai barangan Diana dan
bergegas mengemaskannya ke dalam bilik. Pantas saya mencapai beg dan sebuah
buku untuk di baca ketika menanti kedatangan Balqis nanti. Saya menyalami emak,
ayah dan kemudian mengucup pipi Diana.
“Aunty, jangan balik lewat-lewat. Nanti Diana tunggu aunty makan
tengahari ya.”
Saya tersenyum dan angguk sahaja. Anak kecil ini
selalu mengingatkan saya dengan arwah Solehah dan ayahnya. Bagaimana harus saya
melarikan diri dari ayahnya itu? Bagaimana? Huh – fikir banyak pun buat saya
runsing selalu.
Saya menanti teksi. Berbalas sms
lagi dengan Balqis yang akan tiba dalam masa 1 jam sahaja lagi. Saya akan tiba
di Melaka Sentral dalam lebih kurang
45 minit sahaja. Perjalanan dipermudahkan. Mengambil sebuah teksi dan terus
meluncurkan ingatan kepada Balqis.
Sampai sahaja di Melaka Sentral, saya duduk
menanti. Membaca penuh ralit dan penuh kepuasan. Bas Balqis pula menghadapi masalah
dalam perjalanan. Macam-macam pula yang berlaku saat hati penuh kerinduan
kepadanya.
“Ni Aisya kan?” Seorang pemuda menegur saya penuh
ramah. Saya menutup buku dengan penanda serapatnya. Meletak dengan kemas di
dalam beg yang saya bawa. Kemudian saya tersenyum kepadanya.
“Tengok. Dia ni kan kalau baca buku sampai tak
ingat dunia. Sekeliling pun tak nampak, abang Najmi sapa dia berkali-kali pun
tak dengar. Sampai tiga kali barulah telinga beroperasi. Cerita apalah yang di
bacanya tu sampai orang sekeliling pun tidak perasan?” Sapanya lagi.
Saya ketawa. “Ni abang Najmi, kan?” Terkejut saya
dengan kehadirannya, “ingat siapalah
yang nak mengurat Aisya tadi.” Saya tunduk hormat. Mempersilakannya duduk.
Angin menyapa lembut tudung bidang 60 yang Balqis hadiahkan sempena perpisahan
kami 3 tahun dahulu. Nyata saya terkejut dengan kehadiran lelaki ini. Hampir 8
tahun kami tidak berjumpa. Angka 8 memang berhantu betul untuk saya.
Abang Najmi ketawa.
“Kawan kecil, kawan sepermainan, kawan main
kahwin-kahwin.” Saya menambah perbualan dan membuatkan wajah putih mulus abang
Najmi merona merah.
“Abang Najmi ni tengah tunggu Najihah. Dia tengah
beli barang yang dipesan Nenek Hanisah. Orang perempuan ni kalau keluar bershopping tulah syaratnya.”Abang Najmi
melihat sekeliling. Kemudian saya menjamah matanya yang sedang melihat
persekitaran kawasan Melaka Sentral.
Abang Najmi juga penuh dan sarat dengan begnya.
“Orang perempuan memang macam gitu.” Menyokong
kata-katanya.. Saya mencerunkan mata melihat Abang Najmi yang tidak lepas
matanya memandang wajah saya. Saya bersahaja membalas pandangannya. Abang Najmi,
si budak lelaki yang menjadi jiran semasa kecil. Watak Najihah, Abang Najmi,
Nenek Hanisah pasti akan bersemi dalam episod kisah saya ini. Kalau sebut fasal
Nenek Hanisah – haihlah, rindunya saya dengan Nenek Hanisah sebab sebelum ini
kami memang rapat. Cuma, saya agak memencilkan diri apabila sibuk menguruskan
kolam beberapa bulan kebelakangan ini. Si Najihah pun satu. Sibuk jugak dengan
urusan tadika KEMASnya itu.
Najmi dan Najihah - kembar seiras. Kawan
sepermainan saya dahulu kala. Menerbitkan berbagai rasa dalam jiwa. Kenangan
bukan? Abang Najmi berpisah dengan saya selepas ayah dan ibunya menghantar abang
Najmi melanjutkan pelajarannya ke Australia. Selepas pemergian Abang Najmi ke
Australia, sayalah yang menjadi teman rapat Kak Najihah.
“Semenjak bila adik, adik jadi sebegini?” Tanyanya
sehingga tersasul-sasul. Dia betulkan duduknya. Menuruti tingkah saya yang
duduk dan membetulkan tudung. Saya ketawa sederhana. Saya tidak mampu menjawab
soalan dari dirinya. Terpalit riak penuh pertanyaan dari wajah abang Najmi. Dia
masih memanggil saya dengan nama “adik”. Nama yang dicemburui oleh Najihah,
kembarnya.
Iyalah, kalau sudah 8 tahun tak berjumpa mestilah
abang Najmi mempersoalkan cara dan gaya saya yang tidak sama seperti dahulu.
Kalau dulu mana ada bertudung litup seperti hari ini.
“Adik...” Saya ketawa serta merta mematikan
kedutan wajah Abang Najmi. Nama itu menerbitkan kenangan kami dahulu.
“Kak Najihah dah sampai...hehehe.” Saya
memuncungkan bibir. Mata kami beralih kepada Najihah yang sudah tersenyum penuh
mesra.
“Sungguh tak kusangka berjumpa dengan jiran
sombong yang ada kolam ternakan ikan ni.
‘Adik’ abang Najmi ni dah sombong dengan kita. Dengan nenek lagi sombong.”
Najihah bercekak pinggang. Lucu sahaja kak Najihah mengenakan saya. Memang
selalu berdas-das tembakan dia hadiahkan kepada saya. Dia merapati saya dan
memeluk pinggang penuh mesra. Saya merapati Najihah. Kemudian berbisik
perlahan. Kami tersenyum.
“Haaaa..apa agaknya yang dibisikkan tu?” Abang
Najmi mencebik. Meski umur mereka 4 tahun lebih tua dari saya, tapi kami rapat
seperti adik-beradik. Kemunculan semula abang Najmi selepas lama tidak
mendengar khabar berita buat saya teruja.
“Adik abang Najmi ni cakap, abang Najmi depan mata
ni makin kacak. Tergoda Aisya.”
Saya mengenakan si dia. Memandang sisi abang Najmi di depan. Matanya
bersinar-sinar dan merenung saya. Sisa ketawanya buat hati menelan kenangan
lama.
“Masih nakal lagi seperti dahulu ya. Nak rasa
cubitan asli lagi ke?” Abang Najmi mengetap bibir. Menunjukkan ibu jari yang
digenggam ke arah jari telunjuk. Seolah mahu mencubit-cubit saya. Lesung pipit
kedua belah pipinya kelihatan kembali. Saya tersenyum.
Mereka beriringan mesra. Abang Najmi rupa-rupanya baru
sebulan pulang dari Australia. Saya mengorek-ngorek berita dari Kakak Najihah.
Entah apa anginnya, mahu bercuti ke kampung. “Abang Najmi bercuti sebelum
memulakan kerjayanya di sebuah syarikat Bursa Saham di Kuala Lumpur.” Kak
Najihah pecahkan rahsia. Masa kami di dalam tandas.
“Ohh...lama ke kak?”
Jungkit bahu. Mata kami bertembung dan sama-sama
keluar dari tandas. “Entahlah. Tapi macam rasa-rasanya dia nak hilangkan rindu
kat Aisya kot. Hahaha.”
“Eeeee...kalau
dia pangkat dato Najmi dan harta setimbun macam dalam drama tu, sekarang jugak Aisya lamar dia. Hehe.”
“Haaaa...akak
cakap dengan abang Najmi ya.”
“Ehhh..jangan-jangan.
Mengada tau dia ni.”
Kami makan di
sebuah food court yang disediakan. Abang Najmi memesan asam pedas
kegemarannya. Najihah pula memesan tom yam dan telur bungkus. Saya menambah ikan kukus siakap tiga rasa dan
sambal belacan. Udang goreng tepung juga bersama sup sayur. Alang-alang, Abang
Najmi mahu belanja kami makan, baik saya order
apa sahaja. Saya memesan air kegemaran Abang Najmi, Tembikai laici.
Dia tersenyum geli hati. “Nampak macam dah seminggu
tak makan.” Kami berpandangan. Namun matanya tidak lekang seperti memerli saya
yang memesan makanan paling ‘hebat’ sekali.
“Boleh habis apa. Perut Abang Najmi ada, mari kita
layan.” Saya tersengih. Seperti
Fara Fauzana mengacarakan rancangan Melodi di TV3. Gasaklah. Dia memerhati saya
lagi dan tertawa kerana kenakalan saya yang masih tidak berubah dari dahulu
lagi. Ah – makan bersama kali ini bertiga dengan banyak cerita. Sesekali kalau
mata abang Najmi melekat ke wajah ini, cepat-cepat dia halakan ke lain. Sambil
menukar-nukar topik cerita, dia menyelami banyak rasa dan jiwa kisah dahulu
kala. Ah – buat apa nak di kenang Aisya.
Saya menolak pelawaannya untuk menanti Balqis
bersama.
“Abang temankan Aisya ya. Lagipun Najihah ada bawa
kereta sendiri tu.” Suaranya melekat-lekat ke dalam telinga. Saya gelengkan
kepala.
Abang temankan Aisya ya. Bolehlah.” Dia sedaya
upaya memujuk saya.
“Lagipun, abang pun baru aje sampai sini. Balik Melaka ni bukan nak jumpa Kak Najihah dengan
nenek ke? Tak apa, jangan susahkan diri. Seganlah adik.” Saya menolak ajakan
Abang Najmi dengan baik.
“Ala,
kita pun lama tak jumpa kan? Kak Jiha kata awak tu sibuk manjang aje...nanti
entah sempat jumpa ke tak agaknya.” Abang Najmi menolak perlahan bahu Najihah
yang tersengih-sengih.
“Jangan risau ya Aisya, abang si hero awak ni kan
ada. Temankan sekejap sahaja. Boleh sambung berbual-bual. Bolehlah akak pergi jumpa
tunang tersayang sekejap. Ada peluang.” Najihah senyum meleret.
“Haaaa….bagus-bagus…”Abang Najmi memeluk lengan
kembarnya semula dan mereka bersalaman mesra. Beg galas dan beberapa buah beg
milik Abang Najmi bertukar tangan. Sepantas kilat mereka bergerak. Saya
terkulat-kulat mahu menahan. Bagaimana harus saya menolak untuk duduk berdua dengan
lelaki yang bukan muhrim ini? Kami bergegas ke kawasan tempat letak kereta.
Memasukkan semua beg. Jiwa saya sebu. Ya Allah, percepatkanlah kedatangan
Balqis.
“ Jaga ’adik’ kita ni baik-baik ya abang Najmi.”
Najihah menekan ayatnya dan mereka tertawa kecil. Serta merta kenangan lama
menerjah dalam minda. Abang Najmi yang semasa kecil selalu prihatin terhadap
saya. Malahan kasih sayangnya kepada diri ini melebihi dari Abang Huzairi
kepada saya. Sehingga mengundang cemburu Najihah dan cemburu Abang Huzairi.
Najihah melambai dan kemudian suasana kembali
hening. Ingatan terhadap kenangan lama beransur hilang. Kami beriringan masuk
kembali ke Melaka Sentral. Saya duduk
berbual kosong dengan dirinya. Malahan, tidak perlu saya gusarkan kerana diapit
oleh pasangan warga tua yang turut sama berbual. Kami berbual bersama. Bertanya pasangan
tersebut yang kelihatan menantikan sesuatu. Berbual kisah isu semasa, politik
dan rupanya banyak perkara yang dirinya tidak tahu selepas Pilihanraya ke 12.
“Abang ni memang malas baca internet dan surat
khabar. Bazir masa kat benda-benda lain
aje. Agaknya, jika Malaysia dilanggar garuda abang mesti tak tahu. Kesian kan?”
Dia ketawa. Saya juga. Diikuti dengan gelak ketawa memanjang pasangan warga tua
tersebut.
“Lagi 15 minit Balqis akan sampai. Eh, janganlah
panggil ’adik’. Panggil Aisya je ya? Janggal pulak selepas lama tak jumpa. Panggil aje Aisya sudah memadai. Segan rasanya.”
Saya
memusingkan badan. Berulang-ulang saya mengingatkan dirinya. Saya senyum
kepadanya yang sedang memerhati Melaka
Sentral. Bibir dan hati saya mengucapkan doa berbagai-bagai. Cepatlah
engkau datang Balqis. Saya melambai pasangan lelaki dan wanita tersebut yang
sudah didatangi bas mereka.
Abang Najmi angguk dengan permintaan saya dan
mengalihkan pandangan ke kedai berhampiran. “Jika kadang-kadang tersasul abang
minta maaf ya. Iyalah mungkin dulu dah terbiasa. Asyik panggil adik...adik aje. Tak sangka dah besar panjang
rupanya adik abang kat sebelah ni.” Dia bawa mata memandang jemari saya. “Ehhhh...Aisya tunggu kejap ya. Abang nak
beli barang untuk Nenek.”
“Tapi kan,
kalau lelaki pulak yang bershopping, pastinya mengalahkan
perempuan.” Ucap saya membuatkan dia ketawa nipis.
“Hei
princess....boleh tak jangan nakal macam gini selalu. Nak cubit ke?” Dia
bangun dan menjeling saya. Kami ketawa dan debaran hari ini lantas berkurangan
bila Balqis muncul dan hadiahkan senyuman manisnya untuk kami.
Pelukan berganti dan perbualan semakin hangat. Akhirnya,
abang Najmi menghantar kami betul-betul di hadapan rumah. Wajah emak – hmmm memanglah
mencuka bila melihat hero lama saya yang menghantar kami pulang. Kisah lampau
pastinya menjadi bahan kebencian emak dan ayah pada abang Najmi.
Ya, persahabatan erat kami dahulu mengundang
perbalahan dalam keluarga kami. Itu penyebabnya yang saya pasti menjadi ingatan
kepada emak. Namun saya percaya emak tetap akan berlembut hati.
Saranan akhir abang Najmi buatkan saya senyum
sampai ke hati, “Ehh..nanti abang nak
buat makan-makanlah kat rumah nenek. Bolehlah ajak semua makan dan doa-doa moga
hati emak dan ayah si princess abang
ni lembutlah hendaknya. Cerita lama-lama jangan dikenang kan?” Abang Najmi
kenyitkan mata.
Buat Balqis sengih panjang. Menyiku perut saya. “Alahai...gantengnya
dia!”
Terbaik le Abg Najmi ni, Cerita lama jangan di kenang....TQ Diha
BalasPadamsuka suka. sambung lagi. dpt baca dalam blog sambil menyelam keindahan bahasa mardihah. buat senyum je dgn abg najmi.
BalasPadam