Saya memunggah makanan ikan ke dalam baldi. Membungkus pula beberapa peralatan ke dalam bangsal. Jala yang koyak saya humban ke tepi. Peluh sudah turun membasahi. Minggu ini jadual kerja saya agak padat. Hanya tinggal seminggu sahaja lagi, hasil ternakan akan membawa pendapatan pertama kepada saya. Dua hari lagi, Balqis akan bertandang ke rumah. Menjadi tetamu kami semua. Emak sudah membilang hari berjumpa dengan anak angkatnya. Ayah pula sibuk menyusun jadual masakan emak. Sungguh menghiburkan mendengar mereka bergaduh mesra. Alhamdulilah. Sungguh Allah benar membantu saya. Segala urusan berjalan dengan amat lancar. Sesekali saya akan membantu ayah di kedai jualan runcitnya. Membuat belanjawan dan mengemas stok bersama Hakim. Barangan di kedai ayah perlu dikemaskini dan diganti stok baru. Banyak barangan lama dan saya harus teliti produk yang sudah habis tarikh luputnya. Mata ayah sudahlah tidak beberapa jelas. Jika ditegur, ayah akan bermasam muka. Saya tidak mampu memujuk rajuknya. Sampai ke malam kisahnya. Alahai….
“Assalammualaikum aunty
Aisya.” Suara genit Diana memancing telinga.
Saya menoleh melihat Diana dan ayahnya melambai
mesra. “Waalaikumsalam. Mari sini cepat.”
saya keriangan memandangnya.
“Diana rindu sangat pada aunty.” Dia
menunjukkan beg galasnya. Saya memandangnya. Hisham di sebelah ukirkan senyuman.
Tanah yang melekat di tangan saya tidak pedulikan. Membiarkannya begitu sahaja.
Saya sibuk mengemas semak di sebelah kanan kolam. Mencabut rumput dan mencangkul
pembahagi antara kolam.
“Aunty
kotor ni. Comot sangat. Mari kita
duduk kat sana tu. Kita berteduh dulu ya. Panas sangat ni dan nanti habislah
wajah putih Diana nanti.” Saya membawa mereka ke kawasan rehat. Ada bangsal, pangkin dan kawasan rehat
yang hanya ditutupi dengan kanvas.
Kami melabuhkan punggung. Sementara Diana terus
meluru ke arah saya. Si comel terus duduk di atas riba.
“Aunty kotor,
masam. Nanti Diana comot, tak cantik.”
“Tak apalah aunty. Nanti sampai rumah datuk, Diana
mandilah.” Dia senyum memandang ayahnya. Hisham dari tadi membatukan diri tanpa
sepatah kata. Saya membiarkan
suasana menjadi dingin dan menarik nafas seketika. Kami berpandangan. Diana
bermain dengan anak patung yang dibawa bersama-samanya.
“Haa....saya sarankan Aisya bina bangsal yang
kukuh sedikit. Macam pejabat kecil. Ada kipas angin, tempat berehat, tempat
solat, bilik air sederhana. Sudah mencukupi, sementara menunggu kolam kedua di
bina. Memudahkan Aisya juga, bukan?” Hisham memandang saya.
“Cadangan yang bagus juga. Memang Aisya ada terfikir
jugak untuk buat semua tu. Tapi kita
tunggu sehingga kolam kedua dibina, selepas ikan-ikan dari kolam pertama dijual.
Untung banyak nanti bolehlah kita usahakan pejabat baru. Senang sikit ya nak
solat tempat tertutup. Setuju?” Saya memandang tinggi cadangannya.
“Okey. Saya setuju. Nanti, kita panggil sahaja
Pakcik Rawi memunggah barangnya dan si Samad Tukang untuk menukang. Upahnya pun
taklah mahal sangat.”
Saya angguk. Cepat benar saya bersetuju dengan
cadangan lelaki ini. Ya, kami mudah bekerjasama dalam banyak hal. Tetapi saya
tidak berapa suka dengan sikapnya yang gemar bertandang ke kolam ini. Tanpa
saya pinta dan tanpa saya sedar, masanya banyak dihabiskan di sini. Membantu
saya dalam banyak perkara. Hal ehwal kolam dan perkara berkaitan ikan.
“Aunty,
untuk 2 hari ni, Diana tidur rumah aunty boleh tak?’ Diana menoleh ke arah saya. Bertanya perlahan dan
memandang ayahnya. Hisham dengan wajah yang biasa. Dia agak gelap dan berkumis.
T-shirtnya lusuh sedikit dan berseluar track-suit.
“Awak nak ke mana Sham?” Saya memandang ayah
kepada kanak-kanak ini.
“Saya ada kursus ternakan udang di Bandar Hilir 2
hari. Tidur kat sana. Kolam udang saya di Melaka, Zaki akan uruskan. Boleh ya,
Cik Aisya. Menjaga anak saya untuk 2 hari lagi?” Ujarnya perlahan. Pinta simpati saya lagi. Ya,
lelaki ini selalu menyusahkan saya. Jika saya menolak, emak dan ayah di rumah,
pasti memarahi saya juga. Diana
akan menefon atuk kesayangannya minta di ambil. Ayah tidak semena-mena cepat
melangkah. Pantang ada peluang. Cucu sendiri tidak pernah diendahkan.
Hisham menternak udang secara komersial di Bandar
Melaka. Dia pelajar jurusan Ijazah Teknologi Marin yang mengubah landskap
kerjayanya kepada penternak udang yang berjaya dan paling menonjol di Melaka.
Sibuk dan barangkali dia memerlukan isteri baharu. Adakah saya terlalu menduga
perasaannya? Kalau selalu fikirkan Hisham dan masalah ini, selalu sahaja saya
ingin larikan diri dari dia yang selalu bertandang. Bertandang ke kolam dan ke
rumah emak ayah. Tapi bagaimana? Tak manis sungguh sikap kami sebegini.
Pertolongannya memakan diri saya. Membuat saya serba salah selalu. Tuhan,
berikan saya petunjuk. Dia sebenarnya Maha Adil lagi Maha Mengetahui. Perancangan
Allah saya tidak akan tolak. Tetapi saya harus lebih berhati-hati menyusun
bicara dengan lelaki di depan mata saya kini. Jika tersilap bicara, memakan
diri dan hati juga. Saya berperang dengan perasaan. Mengelirukan.
“Rasanya jugak
saya tak dapat temankan Aisya ke Melaka Sentral. Tetapi jika ada masa terluang,
saya akan call Aisya ya. Awak kenalah uruskan Balqis sendiri di Melaka Sentral
nanti.” Dia memandang saya.
Saya angguk. “Tak kisah. Aisya boleh tumpang sesiapa
atau naik bas ke sana. Lama juga tak menyedut udara dari dalam bas. Kalau motor
itu diizinkan nyawanya, mahu juga dibawa ke sana.” Saya berseloroh dan ketawa.
Mengundang juga tawa lelaki ini. “Lagipun Hisham ada kursus, mahu lari ke sana
sini, menggangu pula bukan?” Saya memandang kolam.
“Saya susun jadual nanti. Ada pertukaran atau
perkembangan lain, Hisham akan beritahu Aisya secepat yang mungkin.” Dia masih
mencuba untuk membantu saya.
“Eh, tak
apalah. Baik awak uruskan kerja yang penting tu. Lagipun setakat jemput Balqis aje.” Saya tak mahu Hisham rasa bersalah.
Saya membantu Diana turun
dari pangkuan. Kemudian saya melirik mata kepada Hisham. Meminta dia faham
kehendak naluri saya.
“Aisya nak lekas ni. Ada sikit lagi urusan. Hisham bawa Diana balik ke rumah dulu, boleh?
saya nak siapkan kerja yang dok
tertangguh tu.” Saya mengharap dia mengerti permintaan kecil ini.
“Okey aunty,
Diana tunggu aunty Aisya
di rumah nenek dan datuk ya.” Diana
menyalami saya. Dia mendongak memandang saya. Anak kecil persis Solehah.
Hidungnya mancung seperti ayahnya. Alis keningnya juga terbentuk cantik seperti
kening Hisham. Wajah, bibir, rambut mengurai dan bentuk muka menyerupai
Solehah. Diana akan membesar menjadi gadis yang cantik nanti.
Saya membalas senyuman Hisham dan melambai Diana.
Kemudian bergegas menyambung kerja saya. Cuaca kembali panas terik dan saya
lantas teringatkan abang long bersama isterinya dan anak-anaknya. Sihatkah?
Bahagiakah?
Ikan membesar jelas dalam pandangan mata. Dari
benih anak ikan sehingga membiak besar. Seperti ranumnya buah jambu di hujung
kolam. Ikan ternakan ini seperti tahu kehadiran tuannya. Sentiasa membuat jiwa
saya, tenang. Bukankah ikan-ikan ini juga turut bertasbih memuji kebesaran
Ilahi. Juga ikan-ikan ini menjadi terapi kala saya sedang bergundah gulana. Betapa
ia ajaib! Maha Besar Allah yang menciptakan setiap makhluk itu. Sentiasa ada
tujuan dan menjadikan kita dengan tujuan bersyukur kepada Allah.
Saya balik lewat dari biasa. Motosikal ‘Mr Romeo’ menghala ke hujung kampung.
Saya mahu menjenguk Kak Hasnah dan anaknya-anaknya. Telefon bimbit saya sudah
berbunyi-bunyi nyaring. Oh, semestinya Hakim. Apa pulak yang urgent hari
ini?
***
Anak-anak Kak Hasnah berlari mendapatkan saya. Saya
memarkir motosikal di bawah pokok rambutan. Musim buah rambutan menjengah.
Merah menyala dan di hujung rumah Abang Long, rambutan kuning gading turut
meliurkan. Saya membalas sms kepada Hakim.
Angah lewat. Jumpa Kak Hasnah sekejap. Jangan
beritahu pada ayah dan emak ya.
Saya menyimpan telefon bimbit ke dalam kocek
kemeja. Kemeja besar ini memudahkan saya untuk bekerja di kolam ikan. Iqbal
meluru kepada saya. “Mak ngah datang. Emak...emak.. mak ngah datang ni.” Iqbal
memeluk saya. Dia nyata keriangan kerana kedatangan saya bertemu dengannya. Saya
membalas pelukannya dan kemudian memimpin tangan Iqbal.
“Mana adik-adik Iqbal?” Mata saya meliar, “Emak
Iqbal mana?” Saya lantas bertanyakan Kak Hasnah juga.
Mata saya mencerun memandang Iqbal. Iqbal anak
sulung yang paling bertanggungjawab. Iqbal sudah bersekolah dalam darjah dua. Iqbal
segala-galanya dalam keluarga abang long dan kak Hasnah.
“Adik-adik main di bawah. Emak ada di atas.” Ujarnya
perlahan.
Saya memandang kawasan sekeliling. Melihat di mana
anak-anak Kak Hasnah. Mesti anak-anak Kak Hasnah bermain yang bukan-bukan di
bawah sana. Ibtisam. Idris dan Izhani melambai-lambai. Saya menguntum senyuman.
Anak-anak buah yang sungguh comel. Saya memandang teratak sederhana abang long
saya.
“Heiii
budak-budak ni. Main tanah ya? Naik atas cepat. Naik. Naik!” Saya menjerit
perlahan. Bercekak pinggang.
“Adik-adik selalu degil mak ngah. Iqbal sudah
suruh mereka naik Kak Ngah. Tapi semua tak mahu. Asyik main tanah aje.”
“Ya Allah. Bertuah budak-budak ni. Tanah tu kotor.
Kotor tangan, baju dan seluar semua!” Saya menjerit lagi. Ketiga-tiga anak
abang long segera berlari ke arah saya. Mereka mencampak bekas plastik. Kaki
saya melangkah menjengah ke rumah. Kak Hasnah menjengah wajahnya. Agaknya dari
dapur.
“Kamu rupanya kak ngah. Jemput masuk.” Kak Hasnah
menjemput saya masuk Semua kelengkapan
rumah abang long memang serba sederhana. Meski sederhana, tetapi kemas dan
cukup teratur. Saya tahu kaka Hasnah ini rajin mengemas. Meskipun barang-barang
dalam rumahnya tidaklah semewah orang lain tetapi susun aturnya buat senang di
jiwa.
“Akak jangan cakap dengan abang long yang saya
singgah di sini ya. Nanti bergaduh lagi kami adik beradik. Abang long tu kan masih
tak suka Aisya datang ke sini. Boleh ya kak?”
“Benda tulah yang kamu selalu pesankan dengan akak
bila kamu datang ke sini, Aisya. Sudah puas akak berbohong dengan abang long
kamu. Sampai bila mahu kita berterusan sebegini?” Kak Hasnah mengeluh. Saya
ukirkan senyuman. Sesekali nafas bersatu dengan angin. Wajahnya kelihatan amat
rusuh sekali. Menanggung beban yang saya tahu, dipikulnya seorang diri.
“Sampai ayah dan
abang buang ego masing-masing. Kak
ngah dah penat memujuk. Biarkan mereka kak Hasnah. Air dicincang tak akan
putus. InsyaAllah.” Saya membalas
perlahan.
7 tahun lepas abang long ditangkap basah. Pergaduhan
besar antara abang long dan ayah bagaikan Palestin dan Israel. Ayah tetap tidak
mahu bermenantukan kak Hasnah. Putih kata ayah, maka putihlah. Hitam kata ayah semasa itu, maka jawapannya
tetap hitam. Kami
berpandangan. Mata sama-sama berlaga sambil kenangan lama itu saya buang
jauh-jauh. Beberapa biji kuih karipap sudah terhidang di depan mata. Iqbal
menuang air teh panas. Secangkir cawan, bertukar tangan. Rajin sungguh Iqbal
membantu. Saya mengusap perlahan-lahan rambutnya.
“Saja Aisya datang ni. Nak tengok akak, sihat atau
tak. Juga menengeokkan kesihatan anak-anak akak. Tadi, masa tengah bei ikan
makan, tiba-tiba teringat pulak akak
anak beranak. Itu yang Aisya terus ke mari.” Saya tersenyum. Mengunyah karipap.
“Karipap ni lebih Kak Jah kedai kantin tu order.
Langkah kananlah kamu Aisya.
Dapat merasa. Akak begini sahaja. Sihat. Anak-anak lain, tiada yang dapat
dibantunya. Main sana sini.
Penat Iqbal. Tapi nasib baik dia sudah boleh di harap. Abang long kamu tu, panas baran tak habis-habis. Tabiat
judi sudah tak dapat akak tolong. Entahlah.” Kak Hasnah mengeluh. Diam dan
termenung panjang. Saya jadi bisu entah kenapa.
Abang long masih dengan tabiatnya. Itu juga salah
satu sikapnya yang menjadi sebab kemarahan ayah sehingga kini. Apa yang perlu
saya lakukan? Berdoa? Ya. Doa itu senjata mukmin yang sentiasa Allah dengar. Namun
jika perihal seseorang itu tidak diubah sendiri, sampai bilakah harus doa itu
sentiasa dipanjangkan. Aisya...kita berusaha, Allah yang akan menentukan. Saya
memandang Kak Hasnah. Suara hati saya termati tiba-tiba. Wajah rusuh kak Hasnah
menggelodak jiwa.
Kami berbual. Seketika suara anak-anak kecil
memenuhi kerancakan suasana. Saya pulang 1 jam selepas itu. Memberi sedikit
wang perbelanjaan untuk kak Hasnah dan anak-anak buah. Kak Hasnah menolak
tetapi saya tetap memberikan. Simpati saya menjenguk apabila Iqbal turut
menyuarakan kegelisahannya tentang sekolah yang akan memulakan sesi
persekolahan awal Januari tahun hadapan.
Saya berbisik dengan Iqbal. “Jangan risau ya, nanti
mak ngah tolong Iqbal. Iqbal akan pergi sekolah, tapi janji jangan beritahu
dengan ayah, mak ngah datang ke sini ya.” Saya mengeraskan suara. Iqbal
tersenyum dan memeluk saya. Bersaksikan motosikal ini, saya membalas pelukan
anak kecil yang baru belajar dan mengerti tentang banyak perkara. Iqbal akan
setabah saya menjalani kehidupan warna dan warni. Dia adalah abang sulung, anak
buah pertama saya, cucu pertama emak dan ayah yang mempunyai sifat ketegasan
seperti datuknya. Iqbal terkebil-kebil memandang saya. Menyalami dan dia
melambai. Membuatkan hati saya bertambah sayu.
Semoga Allah merahmati anak-anak kecil itu. Semoga
mereka tabah. Motosikal deras memecut. Saya gagahi motosikal yang banyak
memberi peluang saya ke mana-mana. Minda saya terus berawang-awangan.
Kedai Azimin di hujung menyambut deru saya. Abang
long memandang saya penuh tajam. Persis wajah emak yang tenang dan menggamit
kerinduan di hati saya. Lama sudah tidak berbual mesra dan memeluk dirinya.
Kedai itulah operasi pemuda-pemuda bermain judi dan sentiasa menjadi sarang apa
sahaja kegiatan baharu. Persatuan
Kampung tidak mampu membendung. Azimin anak Dato’ yang berpengaruh di kawasan
ini. Kedai hanya atas nama pemuda itu, tetapi diusahakan pemuda belia yang
tidak langsung memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada Agama dan Bangsa.
Semuanya kerana ‘Nama’.
Rindu. Ya, rindu kepada abang saya sendiri. Sudah
lama tidak mendengar suaranya dan apa sahaja gurauannya. Saya benar-benar
menanggung sesuatu di bahu. Beban yang tidak dapat saya tanggung sehingga kini.
Terbawa sampailah ke mimpi. Rindu berbual-bual dengan abang kandung sendiri.
Rindu berbasikal bersama-sama sampai terbawa ke hujung kampung yang letaknya
sebuah padang menghijau. Sama-sama berlari dan kenangan itu buat saya terkadang
tewas sendiri. Ah, abang long sungguh saya rindukan dia.
Saya harus pulang. Air mata perlahan mengalir di pipi
gebu saya. Saya buang jauh kerinduan dan dari cermin sisi motor, saya memandang
abang long yang menggamit kerinduan. Pandangan semakin kecil dan saya terus
membawa air mata bersama. Persisnya hilang dan telefon bimbit bersuara lagi
minta diangkat. Apa pula
kemahuan Hakim saat ini? Sabarlah. Kak ngah on
the way okey! Ish dia ni tau!
Ayah jatuh di bilik air.
Emak bising-bising memarahi saya lewat mengangkat
telefon. Suasana hening. Motosikal saya
campakkan dan berlari ke dalam rumah. Hakim sudah memapah ayah. Kereta Hisham menanti.
Saya diam memerhati. Tidak bercakap sepatah kata malah tidak membantu. Emak
mengesat-ngesat mata dengan hujung lengan bajunya. Bengkak kesan menangis. Hisham
dan Hakim memapah membawa ayah ke dalam kereta.
Saya kaget melihat keadaan ayah sebegitu. Kaki
ayah bengkak dan terenjut-enjut.
“Aisya duduk di rumah ya, tolong tengokkan emak.
Hisham dan Hakim bawakan ayah Aisya ke klinik sekejap.” Hisham mengarah
perlahan. Wajah saya yang tiada warna. Mendung. Saya memandang emak yang sedih
menghiba.
Lantas saya beristighfar mengucap Alhamdulilah. Tiada implikasi pada kaki ayah. Saya risau
sekiranya ayah tidak sedar atau takut sesuatu berlaku kepadanya. Bermacam perkara ligat berpusing di dalam
kepala. Minda saya seolah terhenti tadi.
Saya memandang emak dan perlahan mengusap bahu emak.
“Ayah selamat tu emak. InsyaAllah. Kaki terseliuh sahaja. Kita tunggu Sham dan
Hakim balik ya.” Saya memujuk emak. Senja datang untuk menutup hari. Saya
membawa emak ke atas. Berbisik kepada emak untuk bersiap solat Maghrib. Saya
masih menanti hari untuk solat secukupnya. Bulan ini haid saya tidak menentu. Mungkin
kerana kepenatan dan tekanan menguruskan kolam.
Zikir saya tidak putus. Doa saya untuk ayah agar
segera sembuh dan sentiasa dalam perlindunganNya. Saya memandang emak yang
sedang berteleku di atas sejadah. Emak menadah tangan. Diana sedang lena di
atas katil saya. Saya kemudian bergegas ke dapur. Menyediakan makan malam dan
mengemas sinki yang masih berbaki pinggan mangkuk yang kotor. Saya ternantikan
apa sahaja berita tentang ayah. Berdebar. Memohon agar ayah pulih sediakala.
Jam 9.00 malam, saya memberanikan diri menelefon
Hisham.
“Ayah macam mana ya?”
“Kami sedang tunggu Doktor balutkan luka ayah dan
Hakim sedang tunggu ubat. Jangan risau. Ayah Aisya baik-baik sahaja. Cuma bila berjalan
tu terhenjut-henjut dan doktor suruh banyakkan rehat.”
“ Terima kasih, maaf banyak menyusahkan Hisham. Tadi
Aisya ke rumah abang long. Melawat
Kak Hasnah dan anak-anaknya. Tu yang lambat sikit. Telefon pun saya tak angkat.
Ingatkan hal apanya tadi. ”Saya mengeluh. Hisham mendengar butiran penyebab
saya terlewat.
“Eh tak apalah.
Saya pun tadi kebetulan menghantar Diana ke rumah. Takkanlah saya tak tolong
dan biarkan ayah Aisya macam tu aje.”
Hisham diam. Entah apa yang dia buat di sana. “Eh kejap ya Aisya. Doktor panggil tu. Pesan kat
mak awak tu, jangan dirisaukan tentang ayah,”
Hisham batuk kecil kemudian sekali lagi menyambung
bicaranya, “kami semua akan balik sekejap lagi. Okey ya.”
Talian diputuskan. Saya memandang telefon bimbit dengan
penuh jiwa. Saya duduk perlahan dan tak
sabar sungguh menantikan kepulangan mereka. Jeritan halus emak memanggil saya
ke ruang tamu. Bergegas dan saya melirik senyuman untuk emak. Senyuman ini semoga
mengubat gundah emak. Memberi emak penyejuk. Memberi emak kekuatan.
“Emak...ayah tak ada apa-apa. Jangan risau ya.”
Tubuh dekat dengan emak.
Mahu sahaja saya sebut perkara ini kepada emak, ”Tadi
Aisya jenguk kak Hasnah dan cucu-cucu emak. Emak mesti rindu dengan abang long
kan?”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan