Pages

04 Jun 2013

Mr Tan 8



Nad berjalan lemah gemalai sambil tarik tudung dan sarungkan ke kepala. Fatimah a.k.a Tim Jelita sudah berkali-kali mengetuk pintu biliknya. Roommate si Habibah a.k.a Bib entah mana perginya. Kawan-kawan penuh dengan nama glamour kalah artis.

Nad pulas tombol pintu. Jengulkan kepala dan gosok-gosok mata. “Ha…apa lagi ni Tim Jelita oi. Aku nak tidurlah. Esok ada kelas lagi.”

Muka Tim Jelita serba salah sahaja. Dahi berkerut-kerut. “Selagi kau tak turun bawah, selagi itulah mamat mata sepet dan aku rasa macam dia tu spesis lelaki yang tak boleh blah akan ganggu aku belajar kat bawah pokok tu. Please…”

Nad kejip-kejipkan mata. Dah empat kali Tim Jelita ketuk pintu. Dia malas betul nak turun ke bawah semata-mata berjumpa dengan mamat mata sepet. Eh. Bukan ke nama dia Encik Tak Bernama. Macam mana pulak dia tahu aku belajar kat sini ni? Apa lagi yang dia mahu dalam hidup aku ni?

“Kau pun satu. Janganlah belajar kat situ.” Nad sarung selipar jepun. Tim Jelita ni pun satu, boleh pula dia dengan gigihnya berjalan ulang alik mengetuk bilik aku. Nad sengih lagi sambil membayangkan Tim Jelita membebel-bebel marahkan dia.

“Dah tu memang port aku study. Duduk dalam bilik terperap tak boleh nak jalan lah Nad. Cepatlah turun. Kesian kat dia.” Tim Jelita terus pusingkan badan. Dalam hati dia senyum gembira saja sebab dia dah dapat satu set Domino Pizza. Siap air sekali dan ada Mister Potato perasa BBQ. Lelaki bermata sepet yang menggelarkan dirinya sebagai Tan itu memang baik hati. Kerana si Tan itu belanja dia macam-macamlah, dia sanggup turun naik tangga mengetuk pintu bilik Nad. Empat kali pun empat kalilah Nad oi. Empat kali bermakna ada empat set Domino Pizza. Kenyang tahap buaya lah dia dan Zati hari ini. Sampai ke esok pagi pun entah-entah kentut bau pizza.

“Cepatlah Nad. Aku rasa dia ada benda urgent tu. Cari kau macam orang gila aku tengok.” Suara Tim Jelita bergema-gema dan tubuh genit Tim Jelita sayup-sayup mengecil di pelupuk mata Nad. Nad segera hayunkan kaki. Terus menuruni tangga dan kereta comel si Tan itu betul-betul ada di luar pagar  perkarangan parkir para tetamu kolej Siswi.

Tan ukir senyuman. Angkat kening dan hembus nafas. Akhirnya dapat juga dia bertemu dengan Nad. Bersusah payah juga dia dapatkan alamat kolej kediaman Nad di Universiti Putra Malaysia ini.

“Eh, datang sini ni nak apa? Tetiba aje you ni.” Nad buat muka pelik.  Dahi entah berkerut-kerut berlapis lapan.

Tan diam. Dari tadi dia rasa gembira semacam saja sebab nak berjumpa ‘kawan barunya’ ini. Nad ni kadang-kadang boleh buat hati dia hiba sungguh. Eee, boleh tak cakap tu elok-elok sikit.

“Tak apalah, I balik dulu.” Tan sangkut cermin mata hitam ke telinga. Terletak kemas di hidung dan kini menutup matanya. Dia senyum kelat.

“Ish dia ni…” Nad melangkah ke depan. “Laaa..merajuk lah tu. I cuma tanya, you datang sini kenapa? Ada benda urgent ke?” Nad maniskan muka. Mamat ni suka sangat ambil hati. Bergurau pun tak boleh.

Tan buka pintu kereta. Mata Nad cepat-cepat tala ke dalam kereta yang nampak menarik hatinya. “Iyalah, manalah you nak jumpa dengan lelaki selekeh macam I ni kan. Okeylah, I balik dulu.” Tan merajukkan hati. Walau rasa nak merajuk, tapi matanya tetap hala ke hidung mancung Nad.

Nad segera berpusing. Bila Tan masuk ke dalam tempat memandu, dia cepat-cepat masuk ke kerusi penumpang di sebelah Tan. “Dah start ke renovate rumah baba?”

“Dah. Baba kata buat masa you duduk kolej. Tak adalah orang yang cerewet dan I pun akan buat kerja dengan senang hati tanpa orang ganggu I.” Tan hidupkan enjin kereta. Dalam Nad tidak menduga akan kehadiran lelaki disebelahnya ini, dia turutkan hati duduk di dalam kereta comel Tan. Mahu bertanya banyak, dia segan pula. Alih-alih kereta Tan bergerak perlahan.
“Eh, I tak bawak apa-apa pun ni. Purse pun dalam laci.” Nad hembus nafas. Rasa wangi pulak kereta comel si Tan ni. Bebelannya bersambung, “Ohh….baba tipu I. Baba kata nak renovate masa I ada kat rumah. Hurmmm..kalau bilik tu tak menepati citarasa I, you ubah balik boleh?”

Senyum nampak gigi. Tan buat-buat bodoh sambil membawa keretanya.

“Apesal you diam ni? Jawablah.” Nad gumam bibir. Tan ni susah betul nak jawab soalan-soalan cepu emas dari dirinya.

“I jawab dalam hati. Hehe.” Tan ukir lagi sengihannya. “Cantik tak kereta I?” Tan menjeling-jeling keretanya. Bola mata kejap-kejap ke kanan. Kemudian ke kiri. Dia bawa jemari runcing hidupkan radio. Sudah berbunyi lagu dari Jason Marz. “Kalau kena tahan dengan Polis pun, I tinggalkan you dengan mereka. Boleh?”

Bola mata Nad pula meliar. Dia pusing ke belakang. Ada sebuah beg kecil juga terletak kemas di kerusi penumpang. Hidungnya baru perasankan pewangi jenama Ambi Pur. Oh, wangi! Bila mendengar lagu dari penyanyi yang disukai oleh Bib, Nad tanpa segan hadiahkan senyumannya untuk Tan. “Polis tu kawan I. Ceh!” Nad sandarkan tubuh dengan selesa ke kerusi yang sedang diduduknya ini.

Suasana tiba-tiba hening semacam. Perut bergelodak rasa lapar. Nad memerhati kawasan Universiti Putra Malaysia yang perlahan-lahan sedang mereka tinggalkan. Anehnya rasa. Anehnya perasaan ini tatkala melihat lelaki yang bukan seagama sedang membawa kereta dan ‘melarikan’ dia dari kawasan kampus. Bukankah tidak manis sungguh dia keluar dengan seorang lelaki yang bukan muhrim ini? Nad pejam mata. Tiba-tiba rasa diri betul-betul terpinggir dengan hukum karma agama.

“Eh…I macam mimpi.” Nad buka mata. Hembus nafas perlahan-lahan.

“Iyalah. You memang mimpi pun.” Tan juihkan bibir.

“Hahahaha.” Nad ketawa. Nak tanya banyak, dia rasa segan. Perubahan apakah yang berlaku dengan lelaki di sebelahnya ini? Agaknya lepas Nad menegur dan mengutuk keretanya yang serba selekeh ini, Tan terus buang tabiat dan membersihkannya. “I nak tanya beberapa soalan boleh?”

“Haaa..tanyalah.” Tan senang hati.

“Bila you bersihkan kereta you ni? Kemain cantik dan wanginya. You marah ekkk…sebab I kutuk you dan suruh you bersihkan kereta ni?”

Tan terus hamburkan rasa senangnya. Mula jujur. “I hantar workshop seminggu. Siap suruh diorang bersihkan, vacumkan, cantik-cantikkan. Kira decoratekan sekalilah kereta I ni. Lepas mama bising dan lepas you pun mengutuk kereta I ni, baik I kemaskan sebelum telinga I bernanah lagi dengan suara sumbang you tu.”

Nad senyum. “Bagus-bagus. Tak sangka you boleh terima kutukan I. At least senanglah sikit jiwa I naik kereta you ni. Nak tidur baring pun nyaman saja rasa I.” Nad mula buka telinga. Enjin kereta lelaki ini sudah juga diservis dengan baik. Kalau semasa mereka keluar beberapa minggu lepas, enjin kereta lelaki ini punyalah berbunyi tong tong tong gitu.

“Ni…” Nad pandang Tan yang sedang fokus memandu. “Nak bawa I pergi mana ni?”

“Kita pergi cari joran you dan alat kelengkapan memancing you. Lepas tu cari telefon baru. Hari tu kan semua masuk dalam tasik. Suka tak?” Tan pusingkan stereng. Ala-ala si gagah perkasa bawa kereta.

Nad terdiam. Telefon sementara yang abang Nazrul bagi pun masih elok. “Ish…seganlah. Tak naklah.”

“Tak apa. I boleh sekali beli joran baru. Lepas tu kalau you free lagi minggu depan, boleh I ambik you dan kita sama-sama pergi memancing lagi. Ok tak?”
Nad garu kepala. Haihh….situasi menjerat diri. Ini semua sebab abang-abangnya. Sebab projek memancing mereka minggu lepas yang tak jadilah, Tan telah menuntut masa dan janji-janji dari dia.  Suara Tan terus masuk ke gegendang telinga. “Hari tu you dah janji kan dengan I? Lagipun projek memancing kita yang tak jadi tu harus ditukar jadualnya. You dah janji kan?”

“Aaaaa….errr….” Nad terkebil-kebil. Dia pandang lagi Tan yang sedang membawa kereta. Cermin mata hitam yang dipakai oleh si Tan ini betul-betul merimaskannya. Dia ni pandang jalan raya ke pandang aku? Chet!

Tan tahu, Nad macam susah mahu menerima pelawaannya. Tapi terus saja dia mencaras suara Nad. Cepat-cepat dia memberikan alasan kukuh untuk Nad tidak menolak pelawaannya. “I susah payah datang sini. Gigih cari alamat kolej you. Paksa kawan you tu panggilkan you. Sampai ai belanja dia Domino Pizaa. Lepas pilih joran dan i-phone you, kita pergi makan. Ok kan si gadis manis?”

“Si gadis manis?” Nad jeling lagi Tan. Tan belanja Tim Jelita Domino Pizza? Habislah…habislah aku akan digosipkan satu kuliah nanti dengan Tim Jelita tu.

Tan ketawa. Paling tidakpun, hari ini masanya akan ditemani oleh Nad. Boleh pilih joran dan cari barang-barang keperluan yang disukai oleh Nad. Kemudian boleh pilih i-phone juga. Seronoknya dia rasa semenjak Nad sudi menjadi kawannya.

Tan angguk lagi. “Iyalah…you….Nad si gadis manis.” Dia jeling Nad yang sedang terkedu blur-blur ayam.

Aku si gadis manis? Okey kejap…Tan ni kena suluh muka dia sebelum dia cakap aku ni si gadis manis. Dia ni mimpi ke apa? Nad sekali lagi membawa bebola matanya ke cermin mata hitam yang menutupi mata Tan. “Gila! Manis apanya I ni?”

“Bila you senyum….” Tan senyum meleret. Jantungnya berdegup-degup. Entah kenapa laju berdetak-detak. Viva kesayangannya bagaikan menjadi saksi. Malam tadi, memang dia mimpikan gadis ini. Lancar sahaja bibir merahnya mengatur arahan degup jantung. “Manis!” 

"Wo zuo wan meng jian ni" Tan nakal kenyitkan mata.

Oh mai...menatang apa pulak yang dia sebut ni. Nad rasa nak sekeh-sekeh kepala Tan Jie Kang.

29 Mei 2013

Katakan Padaku Kekasih 2





“Aisya Husna..bangun. Bangun.” Suara Hakimi menerjah masuk ke dalam gegendang telinga. Sahut menyahut suaranya.

Aku bangun. Betulkan tudung yang sedikit herot. Dia senyum tetapi mata melarikan diri memandang pemandangan luar. Tubuh Hakimi yang tinggi jauh beberapa meter. Beg di atas bas diturunkan ke bawah. “Jom. Kita dah sampai.”

“Haaa?” Aku macam tak percaya.

“Sampai mana?”

“Perlis.” Mandatar sahaja. Hakimi segera membawa tubuhnya. Turun segera dari bas. Terpisat-pisat dan aku bingkas membangunkan diri. Mana Shamsul, sahabat Hakimi yang dikatakannya tadi?

Mata meliar. Tubuh rasa letih. Tekak terasa perit. Sebuah kereta menantikan kami. Shamsul keluar dari kereta. Hakimi meluru ke arah Hakimi. Mereka berpelukan dan mata Shamsul menyeluruhi wajah aku yang mendung ini. Kaki perlahan-lahan mengikut Hakimi dan Shamsul yang berada di tanah lapang sana.

Seorang wanita bertudung pendek menemani kami. Siapa dia, entah…aku tidak pasti. Mengenalinya pun tidak termasuk dalam minda kala ini. Namanya pun entah apa aku tidak tahu. Aku lebih mudah menyendiri. Selepas menyalaminya, aku berdiri sambil mendengar bebelan Shamsul untuk Hakimi.

“Salah ni Hakimi. Kau dah bawa anak orang lari dari rumah.” Suara Shamsul perlahan sahaja. Tetapi cukup ranum masuk ke dalam kepala.

“Aku terpaksa.” Hakimi menjeling aku.

Aku tunduk. Wajah abang long Zain, kak Majdina dan umi terbayang-bayang lagi di peluput mata.

“Kau dah yakin nak kahwin kat Siam ni?”

“Aku yakin.” Suara Hakimi deras lagi. Penuh ikhlas sambil memandang aku.  “Dari aku takut kami terbabas buat maksiat, lebih baik aku kahwin dengan Husna. Lebih mudah dan aku dah siap-siapkan semua dokumen. Lepas ni aku dan Husna nak terbang ke London. Aku nak bawa dia ke sana sebagai isteri aku.”

“Emak ayah dan adik-beradik dia tahu?”

Diam. Jiwa aku rasa sebu. Hati mendayu-dayu. Perasaan entah kenapa libang libu. Rasa sedihnya hati ini hanya Tuhan yang tahu. Hakimi menggelengkan kepala. Rindunya mahu memeluk umi. Sayangnya dengan kenangan kami adik beradik. Antara aku dan abang Zain tersimpul ikatan jiwa di hati.

Shamsul berjalan perlahan-lahan. Sudah berdiri pula dia di hadapan aku. Bawa Hakimi juga ke hadapan aku. Bersama peneman kami si gadis yang aku tidak tahu namanya ini.

“Aisya Husna…” Shamsul menyeru nama aku. Perlahan. Hakimi menyorot wajah aku. Sekali pandang dan kemudian matanya tunduk rapat memandang bumi.

Suara Shamsul keras. Peringatan jelas untuk aku dan Hakimi. “Kalau boleh beritahu keluarga yang kamu selamat. Jangan susahkan hati emak, ayah dan ahli keluarga. Abang tengok Aisya Husna ni baik orangnya. Hakimi ni pun baik juga tingkah lakunya. Kalau betul nak kahwin dengan Hakimi, buatlah cara yang betul dan tepat. Memang abang dan kakak Siti ni boleh membantu, tetapi kami tak nak bersubahat kahwinkan kamu di Siam. Jika ada masalah lepas kahwin nanti, bagaimana?”

Wajah Hakimi merah. Seperti dibakar mentari yang tegak di atas kepala. Aku panggung kepala, membawa bola mata memandang Hakimi. Aku kumpul semangat dan keyakinan yang kadang kala rapuh untuk keputusan hidup dan mati ini.

“InsyaAllah. Husna akan telefon abang long Husna. Bukan Husna belakangkan keluarga. Masalahnya saya tak diterima keluarga Hakimi. Nanti saya takut umi dan abang long akan dipersalahkan oleh keluarga Hakimi. Lebih baik sahaja saya mengikut Hakimi dan saya bersetuju berkahwin dengan Hakimi. Keputusan saya tepat. Saya tak akan balik sama sekali dan tak mahu menyusahkan umi dan abang long saya.”

‘Abang’ Shamsul kerutkan dahi. Nampak pasrah dengan segala jawapan aku. Hakimi senyum sambil menarik nafasnya. Otak aku berputar lagi. Sungguh hidup aku ini bagaikan drama dan disusun seperti plot di dalam novel. Pasrahkah aku ini Aisya Husna?

Suara abang Shamsul dan kak Siti bersatu dengan angin. Entah apa yang mereka tazkirah dan pesankan, aku tidak pasti. Telinga sudah beku. Gegendang ini bagaikan tidak mahu menerima apa-apa lagi nada suara. Tinggi mahupun rendah.

Yang pasti…kaki aku mengikut sahaja hayunan Hakimi. Bagaikan aku ini pasrah dan menyerah dengan takdir yang sedang aku cipta sendiri. Zikir-zikir yang sentiasa menjadi peneman menjadi penawar diri. Aku ini mengikut kata-kata syaitan atau nafsu sendiri? Budak baik macam aku ini boleh pula berkahwin lari seperti cerita yang disisipkan di dalam kebanyakan lambakan majalah di Malaysia.

Aku sama sahaja seperti mereka. Detik ini dan detik mendatang itu, aku tidak tahu apa akan jadinya. Kami sudah masuk ke dalam perut kereta Honda. Menyusur laju dan aku membisu. Tidak ada cerita lain hanya mata merenung alam semulajadi dan bumi Malaysia yang akan aku tinggalkan.

“Lepas nikah, kita akan pergi London. Duduk di London.” Suara Hakimi lewat beberapa malam dahulu menganggu halusinasi. Janjinya sama seperti hari ini.
“Abang janji akan jaga Husna baik-baik. InsyaAllah semuanya selamat lepas kita pergi London.”

Janji? Benarkah Hakimi akan mengotakan janjinya itu kepada aku. Mata menyorot lagi pokok-pokok yang tegak berdiri di sepanjang jalan. Kak Siti menghulur sebuah telefon bimbit kepada aku.

“Telefonlah abang Zain Husna ya. Katakan Husna selamat dengan kami.”

Serentak itu aku memandang mata kak Siti yang bersinar-sinar. Jemari aku ditarik dan telefon diletak di atas jemari ini. “Hakimi kata Husna ada seorang abang yang baik. Ada seorang kakak ipar yang cantik bernama Majdina. Juga seorang umi yang sentiasa tersenyum dengan Husna. Husna mesti rindukan mereka semua kan?”

Ah – aku rindukan umi, abang long dan kak Majdina. Kelopak mata terasa dipenuhi genangan air mata. Suara umi dan senyuman abang long bagaikan menari-nari di tubir mata.

“Telefonlah. InsyaAllah…Husna akan dapat restu dari mereka semua.” Kak Siti menghadirkan rindu di hati.

Dan air mata mengalir-ngalir lesu. Bahu terhinjut-hinjut menahan keesakan tangisan sendiri. Aku terus memeluk kak Siti dan perjalanan ketika itu disimbahi dengan seribu kepayahan. Antara paksaan hati dan jiwa yang meronta-ronta untuk memeluk semua kesayangan aku itu.

Maafkan dik Husna. Maafkan dik Husna.

20 Mei 2013

Mr Tan 7

Mr Tan 7. Okey.. cerita saya ni hero dia biasa-biasa saja. ;)






“Akhirnya awak yang selamatkan saya, Nad.” Polos sahaja. Suara Tan sayu. Rasa insaf sekejap kerana dia diselamatkan oleh seorang perempuan. Rasa malu menebal rasa nak masuk muka bawah meja pun iya.

“Saya heroin. Heroin hujung-hujung cerita.”

“Kata tak tau berenang.” Tan buat muka pelik. Iyalah, sebelum beberapa jam tadi Nad yang mengaku akan tenggelam kalau dia tenggelam juga. Pasrah betul dia waktu itu tanpa tahu perkara ini akan terjadi.

Bohong sangatlah Nad ni. Nad kan memang begitu. “Abang-abang saya dah ajar saya berenang semenjak dalam perut mama lagi. Macam mana nak jadi pemancing handalan kalau berenang pun tak reti.”

Tan ketawa. Entah apalah yang kelakar sangat. Tapi dia suka mendengar segala butir yang keluar dari bibir Nad.

“Kenapa you ketawa?”

Tan lap rambutnya yang masih basah. Mereka duduk di hujung tasik sambil menantikan baju kering. Rumput basah menjadi alas punggung. Sesekali dia menjeling Nad yang kini berbalut tuala. Dah macam duduk di kutub utara si Nad ni. Nasib baik pak guard tasik ada. Haha. Tapi betul, nyaris-nyaris dia mati! Sempat pula tu dia sebut Ya Allah masa terjunkan diri selamatkan Nad tadi.

“You kelakar.”

Nad renung air yang menghijau membiru. Habis semua joran kesayangan masuk dalam tasik. Semua tak dapat diselamatkan lagi. Haru-biru betullah hidupnya hari ini. Kelakar sangatlah Tan oi!

Tan gerakkan lagi bibir. Mahu menyusun maaf. Dari hati. “I minta maaf ya. Dalam kalut-kalut tadi terpegang pinggang you. I takut jatuh tasik. Sebenarnya cuak juga tadi bila ikan tu berat ya amat.”

Nad tidak bereaksi. Hanya renung air yang tenggelamkan rel mahalnya. Huwaaa.. Rasa mahu menangis sahaja dia saat ini. Telefon pintarnya dipandang juga seperti tidak bernafas.
“Okey.” Hanya itu mampu dijawab oleh Nad. Hati sebu ya amat.

“I tahu, haram hukumnya pegang pinggang you yang bukan muhrim tu. I minta maaf ya.” Tan tundukkan muka. Hanya angin yang menemani mereka sekarang ini. Memeluk dan sesekali angin menampar pipi gebunya. Kalaulah dia tidak tergopoh-gapah tadi, mesti Nad tidak jatuh ke dalam tasik. Mesti juga perkara ini tidak akan terjadi. Rel, joran dan semua kelengkapan memancing Nad juga mesti akan selamat dari malapetaka.

Eh dia ni. Bab hukum haram sudah selari di bibirnya pulak. Kemain lagi dia.  “Sila taubat nasuha!” Nad jegilkan mata.

Tan ketawa. Merenung juga telefon pintarnya yang habis basah. Kalau boleh diselamatkan...selamatkanlah Tuhan. “Nanti I gantilah telefon mahal you tu.”

Nad dah menggigil-gigil. Cepat-cepat dia bangun. Angkat semua barang-barang yang berjaya diselamatkannya. I-phone segera digenggam. “Ehh, jomlah. Dah sejuk sangat ni. Hantar saya balik. Nanti tak fasal-fasal demam.” Nad segera hayun kaki.

“Nanti I ganti tau.” Tan mengekor langkah Nad. Dah dua kali dia sebut soal ganti telefon si Nad tu.

“Iya. Kalau rosak awaklah kena ganti. I memang akan tuntut pun.” Nad serius.

Tan pulak terkebil-kebil. Rasa bersalah yang amat. Sampai sahaja dalam kereta, semua barang dihumbankan ke dalam kereta. Nad terus letak punggung. Kunci kereta nasib baik ada dalam poket seluar, diseluk. Kereta comel Tan terus membelah kesibukan jalan raya.

Haihlah Tan. Hari ini, kau buat adik Nazim masam macam cuka.

“Saya kenal Huzairi.” Tan memulakan perbualan. Dia harap topik ini menggembirakan Nad. Lagipun, Nazim dah beritahu awal-awal pada dia…Nad baru putus tunang. Nad perasaannya sukar dikawal dalam tempoh dua tiga bulan ini. Kalau dia sebagai kawan kepada Huzairi boleh menggembirakan semula Nad, apa salahnya. Kan?

Nad pusing kepala. Hairan. Pandang tunak wajah Tan yang selamba. “You kena Huzairi?”

“Ha’a.” Angguk lagi.

“Okey.” Tapi Nad pelik. Macam mana pula Tan Jie Kang boleh kenal Huzairi? Dia ni memang skudeng aku ke?

“Kawan saya. Udin. Udin suka dengan adik Huzairi.”

Diam. Hening sahaja suasana tanpa radio yang sudah rosak.

“Apa kena mengena Udin pulak ni. Udin mana ni?” Nad mula rasa nak demam.

“Udin tu kawan baik I. Satu sekolah dengan I. Best friend I. Mestilah I tahu adik dia berkawan dengan siapa. Jadinya I kenal gitu-gitu aje dengan Huzairi. Makan-makan satu meja sebab nak ‘pow’ abang dia benarkan kami bawak Jen keluar dengan kami.”

Nad keliru. Cerita apa pulak Tan bawa petang-petang yang nyaman ni. Udin? Jen?  Nad cuba imbas memori. Oh…Jen itu adik Huzairi. Rapat dengan dia. Kalau fasal Jen dengan Udin, dia memang malas nak ambil tahu.
Yang penting sekarang..antara dia dan Huzairi sudah tidak ada perhubungan. Noktah.

“I tahu you putus tunang dengan Huzairi pun dari Udin.”

Dia ni apesal? Apehal pulak nak cerita, imbas memori lama antara aku dan Huzairi ni? Aku bukan kenal dengan kau pun, Tan Jie Kang. “Boleh tak jangan bagi I pening kepala. Soalnya I tak kenal you dan you jangan lebih-lebih nak korek sejarah silam I. kalau Udin rapat dengan you pun nak cerita bagai fasal I kat you…you boleh shut up tak?”

“Tapi I nak tolong you.” Tan pusingkan stereng kereta. Dada berdebar-debar tengok tahap kemarahan Nad. Tapi serius, dia sekadar mahu membantu dan sekadar mahu bercerita sahaja. tidak lebih dan tidak kurang, Nad.

“Tolong apa? Apa yang you boleh tolong I?” Nad mula garang. Dia peluk tubuh.

“Rapatkan balik you dan Huzairi.”

Nad kerutkan dahi. Adeii..pening-pening. Ni skandal siapa pulak akan tercipta lepas ini. Atau adakah ini perancangan abang Nazim mahu dia kembali mencipta hari-hari bahagia seperti dahulu. Kenapa pula mahu kaitkan Tan Jie Kang dalam kisahnya ini? Kenapa? Mengapa?

Nad membisu. Tan juga. Sampai satu persimpangan, Tan memecut memotong kereta yang terhegeh-hegeh di atas jalan raya.

“Sorrylah..” Tan masih memujuk. Abang Nazim yang cerita mengenai Huzairi pada dia. Memang betulpun dia kenal Huzairi. Udin dan Jen yang mengenalkan dia dengan lelaki bernama Huzairi. Paling mengejutkan bila dia tahu yang Nad bersama Huzairi sudah putus tunang.

Kalau dulu, masa dia teman Jen dan Udin lepak-lepak di kedai mamak makan mee goreng basah, dia akan nampak Nad bersama Huzairi duduk di sebuah meja. Di kedai yang sama mereka sebenarnya pernah ditemukan.
Tapi dia tahu, Nad itu budak perempuan melayu. Mana mungkin Nad akan memandang dia sebab Huzairi sudah ada di depan matanya.

Udin dan Jen sahaja yang akan bercerita. Mengenai Huzairi dan Nad. Semuanya tentang mereka sampai telinga dia hafal satu-satu mengenai perhubungan cinta mereka berdua terus ke pertunangan dan habis putus kerana Huzairi main kayu tiga. Dia macam angin sahaja di depan mata Nad.

Angin. Sampai dia pernah mengaku…kalau Nad ni bleh tersuka pada dia….pandang dia dan hadiahkan segaris senyuman pada budak lelaki cina tak tahu apa-apa ni..dia akan peluk Islam. Gila sungguh.

Sehingga detik menemukan mereka. Agaknya angin yang bercerita dengan Tuhan mengenai kehendak hatinya. Mereka bertemu di rumah Nad. Whatsapp macam menyatukan mereka berdua dan akhirnya dia sebagai lelaki mana mungkin menolak getar di hati bila terpegangkan pinggang Nad tadi. Ohh..terima kasih Nazim. Terima kasih.

Mana kau nak letak Moh Jia Wei, Tan Jie Kang?

“Tak perlulah nak rapatkan I balik dengan Huzairi. Orang melayu kata jodoh dah tak ada. Allah dah kata dia bukan pilihan tepat untuk I. So, lepas ni..baik I fikirkan study. Terima kasihlah sebab hairankan kisah dan kenangan saya tu. Cerita lama aje, Tan.” Nad mula rendahkan intonasi suara. Kepala berputar mengingati wajah lelaki di sebelahnya ini. Bagaikan pernah ternampak-nampak senyumnya. Tapi di mana dan bila dia mula mencongak-congak. Udin dan Jen?

Tan Jie Kang kawan rapat Udin? Ohh..Udin adik Huzairi tu kawan dia rupanya.  “Kecilnya dunia ni..rupa-rupanya you kawan dengan Udin.” Nad lempar pandangan keluar. Baju rasa kering sikit dari tadi. Habislah hapak lagi kereta Tan ni.

You aje yang tak pernah nampak I, Nad. I ni siapalah kan. Tan jauhkan hatinya. Pergi membiarkan angin membawa kepedihan hati. Amboi…sudah ada Moh Jia Wei..ada hati nak berkawan dengan Nad pulak ya.

“Lebih baik kita fokuskan dengan masa sekarang.” Nad mula ubah fikiran. Pusing kepala tepat dan mata pandang Tan.

“Masa sekarang?”

“Yes.”

“Fokuskan apa?”

“I dan you. Kita kan dah jadi kawan. I boleh bawak you memancing lagi nanti. Senang-senang you pun boleh join aktiviti kami hujung minggu ni. Dengan abang Nazim dan Nazrul. Kita pergi memancing lagi. Nak?”

“Errrr..” Apa Nad ni? Sudahlah dia fobia nampak air. Buatnya betul dia lemas dalam tasik ke, sungai ke ..laut ke.

“I akan selamatkan you lagi kalau you lemas. Don’t worry!”

“Ehh…you biar betul!” Tan pula tiba-tiba jadi nanar dengan pelawaan Nad. Tiba-tiba sahaja mood perempuan sebelah aku ni boleh berubah. Tadi angin satu badan, ni sekarang tersengih-sengih gembira macam nampak aku hulur choki-choki.

“Iyalah. Lebih baik ktia fokus dengan keadaan sekarang. I dengan study, aktiviti memancing dan mulakan persahabatan kita ni. Tu kira bagus apa…dari you nak rapatkan I balik dengan Huzairi malaun tu. Itu lebih bagus dari kita buang masa dan tenaga kan? You tak penat…I pun tak ralat sangat. Masa itu emaslah Mr Tan!”

Malaun? Bahasa apa pulak Nad sebut ni.

Dia tersengih-sengih. Errrr…..Bila Tan menjeling, dia nampak Nad sedang tersenyum. Manis.