Pages

26 April 2007

Anda Yang Mana Satu?!


Insan berfikiran Tinggi , gemar berkata tentang ilmu,
Insan berfikiran Sederhana, gemar berkata tentang peristiwa,
Insan berfikiran Rendah gemar berkata tentang insan lain....
Anda Yang Mana Satu?

24 April 2007

Iran Perketat Kod Berpakaian Wanita -Terharu..Bangganya saya.....Maruah Wanita Semakin Tinggi di IRAN!


Iran perketat kod berpakaian wanita (Berita Harian - 24/04/2007)


TEHERAN: Pihak berkuasa Iran bertindak mengeluarkan lebih 1,000 amaran dan menangkap hampir 200 wanita dalam usaha baru memastikan golongan berkenaan mematuhi etika berpakaian Islam, kata pegawai polis di sini.

Langkah yang dilancarkan ke seluruh negara itu – diadakan setiap tahun menjelang musim panas – terutama mensasarkan wanita yang kot mereka dilihat terlalu ketat, berseluar panjang tidak menepati ukuran atau tudung yang longgar.Pasukan penguat kuasa menyerahkan amaran dan memberi panduan kepada wanita yang melanggar kod berpakaian di khalayak ramai. Sesiapa yang menentang arahan supaya menukar pakaian akan ditahan dan kemudian dijadikan subjek prosiding perundangan.“Sejak pelan itu bermula jam 10 pagi waktu tempatan Sabtu lalu, 1,347 wanita diberi amaran dan diberi garis panduan berpakaian Islam.

“Terdapat 170 tangkapan dibuat dan 58 daripadanya dibebaskan selepas membuat komitmen bertulis dan membetulkan penampilan mereka. Kes selebihnya, yang sudah ada rekod, diserahkan kepada badan kehakiman,” kata ketua maklumat pasukan polis Teheran, Mehdi Ahmadi.Akhbar Iran menyiarkan gambar wanita berpakaian ketat dan berwarna warni diberi amaran di jalan raya di Teheran oleh pegawai polis wanita yang berpakaian bercadur ketika usaha itu bermula Sabtu lalu. Dua puluh kedai yang menjual pakaian disifatkan tidak bersesuaian turut diarahkan ditutup, kata Mehdi. Langkah itu bertujuan ‘memperbaiki keselamatan masyarakat dengan pendekatan keselamatan moral.’

“Tempohnya bergantung kepada bila masyarakat berasa tiada lagi isyarat seluar panjang yang pendek, kot ketat dan hijab nipis,” katanya.Pihak berkuasa berkata, usaha ‘hijab buruk’ itu bertujuan menggalakkan wanita berpakaian mengikut Islam dan ia lebih kepada mengeluarkan amaran berbanding menahan pesalah.Golongan konservatif memuji langkah itu sebagai perlu untuk mengekalkan moral ketika wanita di Teheran semakin berani bersuara mengenai apa yang boleh dipakai di khalayak ramai. – Agensi

Mungkinkah anda perasan...?


Kemarahan dia sebenarnya meluap-luap. Marah teramat sangat. Ingin sahaja mulutnya menyuarakan nasihat dan teguran. Kain gadis cina itu cukup singkat. Marahnya kerana lelaki di sebelah sekejap-kejap memandang. Sekejap kejap terteleng-teleng. Mamat ni, aku cepuk kang……baru dia tahu…Si amoi ni pulak...pakailah sopan-sopan sikit..
Tapi, sekadar hati yang berkata-kata. Marah lagi…sebab paha cina molek tersebut menjadi bahan taruhan di depan semua khalayak ramai. Ada mata yang masih tidak selesa
Dia makin marah.
Masuk pula dua tiga orang gadis.Mengekeh-ngekeh ketawa. Pembacaannya terbatas sekejap. Dia sudahlah segan bercampur malu-malu alah pada lelaki “keranjang” di sebelah.
Amoi cina masih kekal berdiri. Si lelaki mempamer mata yang membutang.
Gelak-gelak mereka ala “Pontianak Harum Sundal Malam”…….apa kena agaknya..apa yang menarik ye?
Pakaian ala-ala gothic…stokin belang macam nyamuk..hitam putih..erm, dia meneliti sekejap-kejap. Budak-budak sekarang…
Baju sendat macam sarung nangka. Ada warna oren dan ada warna kuning….muka mereka?….hitam ada putih ada…ohh celak agaknya….dia diam sekejap. Kenapa adik-adik zaman sekarang sebegini ? Mak ayah mereka tidak tahu ke dengan pakaian mereka yang serba kekurangan ini?
Dia belek-belek buku. Baca-baca buku……..fikiran sebenarnya terluap-luap!! Lelaki sebelah kejap-kejap sengih pada amoi seksi. Matanya kuyu ala-ala hero hidustan…….Huh……….
Dia bangun. Destinasi sampai. Dan geramnya pada lelaki tersebut…………cepuk..!!!

23 April 2007

Pentingnya Keberkatan

Pentingnya keberkatan dalam rezeki

Oleh ASMADI ABDUL RAHMAN

Keberkatan bermaksud mendapat restu, keredaan atau rahmat dari Allah s.w.t. Dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim, kita mengetahui bahawa kehidupan kita tidak hanya terhenti di dunia sahaja.
Sebaliknya kita mempercayai bahawa terdapat kehidupan yang lebih indah menanti kita seandainya setiap perbuatan kita di dunia ini mendapat rahmat dan keberkatan serta perkenan dari Allah s.w.t.
Bagi mendapat keberkatan dan rahmat tersebut, sewajarnya kita mematuhi serta mentaati setiap perintah Allah seperti yang telah digariskan-Nya di dalam al-Quran mahupun hadis.
Di antara perintah Allah s.w.t yang penting bagi mencapai keberkatan di dunia ini adalah berkaitan dengan punca rezeki yang diperolehi oleh setiap hambanya. Boleh dikatakan bahawa punca rezeki di sini adalah pendapatan kita untuk menyara kehidupan sendiri ataupun untuk keluarga.
Punca rezeki ataupun pendapatan boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu pendapatan yang berpunca dari sumber yang jelas halal seperti bekerja sebagai guru, berniaga barang yang halal ataupun melakukan pelaburan yang dihalalkan oleh syariat untuk mendapat keuntungan.
Pendapatan yang kedua adalah pendapatan yang bersumberkan kepada perkara yang haram seperti menjual arak, mencuri, membuat pelaburan ditempat perjudian dan pelacuran, sumber pendapatan seperti ini adalah jelas hukumnya adalah haram.
Sumber yang ketiga dikenali sebagai syubhat iaitu meragukan. Kebanyakan perkara syubhat tidak diketahui oleh orang ramai, tetapi hanya diketahui oleh pengamal agama. Seperti isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini iaitu berkaitan dengan pelaburan Internet sebagai sumber pendapatan, pelaburan ini telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan kerana terdapat unsur syubhat di dalamnya.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya yang halal itu jelas, yang haram itu jelas, di antara perkara halal dan haram dinamakan syubhat yang tidak diketahui oleh ramai. Sesiapa yang menjauhi dari perkara syubhat sesungguhnya dia telah menyelamatkan agama dan kehidupannya, barang sesiapa yang melakukan perkara syubhah sesungguhnya dia telah melakukan perkara yang haram. (riwayat Bukhari dan Muslim].
Hadis ini jelas menerangkan tentang halal dan haram sesuatu sumber sama ada sumber makanan ataupun sumber pendapatan. Justeru, amat tepat apabila Majlis Fatwa Kebangsaan memfatwakan pelaburan Internet adalah haram. Ini kerana terdapat unsur-unsur syubhat di dalamnya yang perlu dihindari bagi menyelamatkan agama dan kehidupan orang Islam sendiri.
Menurut Abu Darda’ R.a : Kesempurnaan takwa adalah taatnya hamba kepada perintah Allah s.w.t sehinggakan apabila didapati keraguan sebesar zarah terhadap perkara yang halal, maka ditinggalkan perkara tersebut. Maka apabila terdapat unsur yang jelas tentang keraguannya, sewajarnya kita mengelakkan diri daripada terlibat dengannya seperti mana yang yang telah difatwakan tentang pelaburan di Internet.
Kemuliaan seseorang individu adalah berpunca daripada sumber pemakanan yang halal. Menurut al-Syafie : Terdapat lima perkara untuk memelihara hati iaitu membaca al-Quran dan menghayatinya, sentiasa mengosongkan perut (berpuasa), menghadiri majlis ilmu dan bersama orang-orang soleh, mendirikan solat malam, serta sentiasa memohon pertolongan Allah s.w.t.
Namun begitu punca kepada kemuliaan hati adalah makan makanan yang berpunca dari perkara halal. Menurut beliau lagi makanan adalah benih kepada perbuatan, apabila makan sumber yang halal akan lahirlah perbuatan yang mulia, apabila makan makanan berpunca dari sumber yang haram, maka lahirlah perbuatan yang tercela.
Daripada sumber makanan yang bersih maka golongan yang akan dibangkitkan oleh Allah s.w.t dengan hati yang sejahtera seperti mana firman Allah s.w.t yang bermaksud: Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera. (Al-Syu'ara':89].
Ayat ini menjelaskan bahawa di hari pembalasan nanti, tiada apa yang dapat membantu atau menyelamatkan kita dari seksaan Allah s.w.t kecuali sesiapa yang datang kepada Allah dengan hati dan jiwa yang sejahtera iaitu golongan-golongan yang sentiasa memelihara diri mereka dari melakukan perkara yang dilarang dan sentiasa menjauhi diri dari perkara-perkara yang syubhat.
Selain itu, Rasulullah s.a.w ada meriwayat hadis yang menerangkan tentang syarat-syarat amalan yang diterima oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah s.w.t baik, tidak menerima apa perkara kecuali perkara yang baik sahaja. Sesungguhnya Allah s.w.t memerintahkan kepada semua golongan mukmin, seperti mana diperintahkan kepada para rasulnya.
Hadis ini menjelaskan kepada kita sesungguhnya, Allah s.w.t tidak menerima amalan hambanya kecuali melakukan dengan jiwa yang tulus suci, Allah s.w.t juga tidak menerima sedekah kita jika bersumberkan punca yang haram atau syubhat.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud, Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (al-Mukminun: 51].
Bagaimanakah Allah s.w.t ingin menerima ibadah kita jika kita mencari rezeki dengan bersumberkan perkara yang terdapat keraguannya, memakan makan yang berpunca dari pendapatan yang tidak pasti halalnya. Setiap perkara yang haram atau syubhat akan merosakkan setiap amalan kebaikan yang kita lakukan.
Apabila seseorang itu tidak menitikberatkan soalan soal halal dan haram dalam kehidupan, maka doa yang dipohonnya sukar diterima oleh Allah s.w.t. Seperti mana yang dijelaskan dalam sebuah hadis, apabila Said Bin Abi Wuqaz meminta agar Rasulullah s.a.w mendoakannya supaya Allah s.w.t memperkenankan doanya, maka Rasulullah s.a.w bersabda: “Perelokan sumber rezekimu, pasti doamu dimakbulkan.”
Justeru, marilah kita bersama-sama muhasabah diri masing-masing agar mensucikan diri daripada perkara yang syubhat, agar Allah s.w.t memperkenankan setiap doa yang kita pohon kepadanya, khususnya dalam perkara yang berkaitan dengan pendapatan kita yang sudah semestinya digunakan untuk keperluan harian kita.
Bagi mereka yang mempunyai simpanan hasil dari pendapatan yang syubhat, gunakanlah untuk bersedekah agar dapat digunakan oleh orang ramai, seperti mana yang diceritakan oleh Malik Bin Dinar, beliau bertanya kepada ‘Ato’ Bin Abi Rabah bagaimana ingin menguruskan harta yang tidak bertuan dan harta yang haram, lalu beliau menjawab: bersedekahlah. Pendapat ini turut disokong oleh Ibn Rajab.
Semoga Allah s.w.t memberi kita kekuatan untuk terus mencari keberkatan dalam setiap punca rezeki yang kita perolehi, dan membangkitkan kita dalam golongan hati yang sejahtera.
* ASMADI ABDUL RAHMAN ialah Pensyarah Kolej Shahputra Kuantan, Pahang.