Pages

24 Februari 2010

Comel



Ohh..ini gambar saya.
Emak bilang saya anak yang baik sekali.
Pemalu. Mendengar kata. Paling saya suka bila emak kata saya sungguh comel.
Tapi, tidak saya sangka, dahulu, rambut saya begitu sebenarnya.
Ouchhhh

18 Februari 2010

Semusim Cinta




Masa.
Sekelip mata masa merubah segalanya. Lama tinta saya didiamkan kerana kerahan idea yang tergesa-gesa menyebabkan banyak cerita untuk blog ini saya tidak siarkan. Entah kenapa, apabila selesai menulis, saya memadamkan semua. Ia tidak menjadi, atau
barangkali saya keletihan kerana ruang masa agak mendatar dengan masalah kesihatan dan setiap hujung minggu berulang alik ke rumah ibu ayah dan juga mertua. Masa yang tidak saya habiskan dengan sebaiknya, malahan saya akui masa saya tidak dihabiskan dengan sebaik mungkin.

Lelaki.
Jiwa saya kini dimiliki. Namun dalam diam, saya tetap akur dan pasrah seandainya Tuhan memberikan cabaran dan dugaan kepada kehidupan. Ya, kehidupan rumahtangga yang kini sedang saya daki memerlukan banyak persiapan dan perancangan rapi. Hati ini miliknya, namun Allah adalah pemilik segala kehidupan yang diciptanya. Bermula dengan kehidupan seorang diri, kini berdua dan hidup dilingkungi keluarga belah mertua. Sedikit sebanyak ia banyak mengajar bagaimana menjaga batas susila sebagai ipar duai di rumah mertua. Segenap perasaan kini, tertumpu kepada suami yang memerlukan sokongan diri. Doa dan harapan saya panjatkan, untuk kami duduk berdekatan. Dekat di hati dan berkongsi suka juga duka. Walau suami sedang bekerja di Melaka, namun ia bukan penghalang untuk mencipta 'Rindu' kepadanya. Bercinta selepas perkahwinan ini, membuatkan kami lebih memahami dan bertoleransi dalam banyak perkara.

Sederhana
Ya, saya sedang berkenalan dengan suami sendiri. Berkenalan dengan senyumannya, lirikannya juga sikap sifat semulajadi seorang lelaki. Dirinya juga, sedang cuba, memujuk hati untuk berinduan di kala kejauhan. Saya pernah mengucapkan kepadanya ' saya sederhana sahaja, tidak cantik malahan, tiada apa-apa selain insyaAllah, menjadi diri yang solehah kepada suaminya....' Ucapnya, ' Biar tidak cantik di mata orang lain, tetapi cantik hatinya.....'
Desis hati saya adakala risau. Risau jika tidak dapat menjadi isteri yang seimbang kepada suami dan ilahi. Takut seandainya mencipta dosa untuk suami. Semoga dijauhkan dan diri sentiasa menjadi terindah di mata suami juga Ilahi.

Jauh.
Saya tidak mahu jauh dari kasih sayang Ilahi. Terkadang, sebagai seorang manusia kita adakala terjerumus dengan sikap lalai, leka dan dilingkungi dengan masalah hati. Hitam. Paksakan diri kembali dengan rutin harian, membaca Al-Quran, Al-mathurat dan solat jamaah. Ia membawa saya kepada pegangan diri. Kembali menyegarkan diri. Masa merubah. Tiada kawan-kawan yang akan membimbing atau memberikan lagi sokongan juga kekuatan. Kerana, masing-masing mempunyai kehidupan berbeza yang harus diteruskan. Sama ada memilih untuk meneruskan atau menjauhkan diri. Kekuatan diri menjadi semangat selain melihat sahabiah berjaya dalam kehidupan.

Cinta
Saya memerlukan cinta. Kalian juga. Bohong jika dikatakan, kalian tidak mempunyai rasa kepada pasangan berlainan jantina.
Rutinnya, cinta saya tidak akan berbelah bahagi dengan suami, keluarga, kerjaya dan penulisan. Penulisan yang kini juga diambang 'suam-suam'. Ahh..betapa saya kehilangan banyak daya untuk menulis. Menulis manuskrip kedua yang memerlukan banyak ilham dan masa yang tertumpu dengan jiwa. Barangkali saya masih dalam 'mood' dan jiwa melihat gambar-gambar menarik sepanjang majlis perkahwinan. Tumpuan juga hilang untuk sesi mengemas buku dan bahan bacaan.

Kekuatan
Mencari nya dalam diri. Saya bertekad sendiri. Menghabiskan manuskrip sehingga bulan Mac ini. Menghantar kepada penerbit. Kerana jadual saya sudah ditempah untuk tahun 2010 oleh PTS. Tidak mahu menjanjikan yang terbaik. Namun, manuskrip kedua ini lebih jiwa dan penuh nilai muslimah. InsyaAllah. Terbaik untuk diri dan hadiah bernilai kepada suami. Doakan saya. Saya pohon ilham mencurah-curah. Juga kebaikan dalam kesihatan dan perancangan terbaik dalam rumahtangga. Ia juga harapan kalian. Kerjaya, Cinta, Keluarga dan kasih sayang.

Saya dambakan. Moga impian menjadi kenyataan. Semusim cinta bermula.

14 Februari 2010

Aktifkan Diri..!

Selamat Tahun Baru Cina diucapkan......

Bercuti lama berehat kerana masalah kesihatan. Selepas 1 hari 1 malam di Hospital Tawakal, Doktor memberikan rehat selama 2 hari dan segera saya pulang ke kampung untuk urusan ubatan tradisional.

Rehat dan rehat.

Saya akan aktifkan diri selepas ini.....InsyaAllah...

20 Januari 2010

Mardihah Adam Cafe'

Pagi yang dingin
Memberikan banyak inspirasi kepada diri. Saya acapkali tewas dengan nafsu lalai. Lalai mengemudi jemari saya dengan baik untuk manuskrip yang masih terbengkalai. Rindu juga kepada kenang-kenangan bagaimana saya tekun menulis untuk novel pertama dahulu. Setahun mengambil masa. Waktu pagi ketika cuti, saya berteman dengan langsir yang perlahan melambai dengan angin dingin. Berbekal semangat, sebuah buku mencatat plot, dan adakala saya rehatkan diri dengan menggoreng cucur enak untuk sarapan kepada teman-teman. Semua itu berlanjutan sehingga tengahari. Seterusnya membawa ke tidur yang sungguh lena. Kepuasan dan ketelitian saya perolehi meski ketika itu saya terang-terangkan kepada diri bahawa belum tentu manuskrip ini diterima oleh sesiapa. Tetapi kerana ketabahan, saya menulis dan mencongak kepada diri, 'Jika rezeki, impian ini pasti saya perolehi'.

Musim berganti
Angin tetap memberikan nafas. Dedaunan yang jatuh dan kemudian ia menjadi kering dan pepohon akan tetap menggantikan dedaunan kembali. Saya mencongak kepada perubahan diri untuk setahun yang lepas. Ia sama seperti setiap makhluk ciptaan tuhan. Manusia akan melalui fasa kehidupan. Manis. Sedih. Kecewa. Gembira. Air mata dan ketawa.

Saya menjadi penulis

Cita teragung saya adalah menjadi Penulis Sepenuh Masa. Terbayang di minda saya akan bersama sebuah cafe ringan milik sendiri. Bersama sebuah komputer riba comel berwarna merah jambu, secangkir kopi hangat dan sekeping donut. Saya mungkin ketika itu sedang meneliti manuskrip entah ke berapa. Mencari ilham di dalam Cafe'. Mungkin ketika itu ramai rakan penulis menjadikan cafe' ini sebagai teman mencari ilham juga. Ahhh..tingginya angan saya.

Mardihah Adam Cafe'
Ia adalah Cafe penuh milik saya, yang didirikan dengan konsep moden dan islamik. Beberapa kenalan akan menghirup kopi dengan menjelajah dunia facebook, mencari bahan pelajaran dan ketawa membaca di meja sudut. Beberapa kanak-kanak akan membaca di sudut tersendiri.
Setiap keluarga akan selesa di sini.Sebuah surau yang lengkap bersama perpustakaan kecil turut akan disertakan. Ia mungkin di tingkat dua. Bertemakan 'Dunia Buku', kalian akan menjelajah setiap struktur cafe dengan jalinan sentuhan skrin yang tidak akan mengecewakan. Sebuah panggung mini untuk lelaki dan perempuan. Pengasingan akan saya terapkan. Konsep Bar Islamik dan permintaan setiap buku dengan pengarangnya akan dilayan sebaik mungkin oleh pelayan cafe saya yang menutup aurat dan manis-manis belaka. Anda akan berteman dengan 4 tingkat Mardihah Adam Cafe'. Segalanya di sini.

Apa kemahuan anda di sini, akan dimakbulkan! Mardihah Adam Cafe' akan menjelajah minda anda, dan mungkin ia akan terbit dalam manuskrip saya kelak!!!

Kalian pasti merindui cafe ini!
Ahhhh...bahagianya saya menjadi Penulis Sepenuh Masa dengan Mardihah Adam Cafe' yang akan terletak strategik di tengah bandar Kuala Lumpur. Saya tersenyum sendiri. Angan-angan yang amat tinggi nilainya. Penuh eksotik!