Pages

22 April 2012

Mr Pai Epal 28

Mr Pai Epal 28 ! Phewwww, berasap kepala nak siapkan! Tapi mesti you allz semua teruja kan nak baca? Okeylah, jom kita saksikan edisi menarik pertemuan Jasmin dan Yaya ! Seronok betul membuli Jasmin. Ekekeke. Jahat betul saya ! Selamat membaca dan semoga tersenyum suka meski ada sedikit rasa kecewa ! I lebiu semua yang like like dan komen!

user_369523_user_369523_1307926452b6-700

Sudah dua hari Izz Amir tidak masuk ke dalam Pai Epal Cafe ! Dan selama dua hari ini juga aku mencari kekuatan sendiri. Mengubat luka dan sedih di hati dengan kawan-kawan di dapur ini. Adnan seperti biasa, sentiasa membuat lawaknya. Sentiasa membantu ke sana dan ke sini ketika aku mula diberi tugasan memasak oleh Chef Ridzuan.

Dalam hati ini ada sendu sebenarnya. Mendengar cerita dari mulut Adnan. Mendengar juga kisah Izz Amir yang ditekan dengan umi dan papanya.

“Dia seboleh-boleh tak nak tunang dengan Jasmin tu, Yaya!” Adnan mengunyah sebiji epal semasa rehat. Salmi memerhati aku. Dia turut sama rasa sedih dengan berita pertunangan Izz Amir, Ahad ini.

“Oh. Kalau tak nak, janganlah tunang. Habis cerita!” aku menjawab. Sejukkan hati sendiri sebenarnya.

Adnan tarik muka empat belas. “Sampai umi pengsan, masuk hospital! Lagak macam drama, filem Malaysia. Paksa anak tunang dengan Jasmin! Dia dah tak nak, janganlah paksa-paksa kan? Tu, Izz Amir stress memanjang kat rumah sebab Jasmin ajak pergi sana sini. Beli itu ini!”

“Anak orang kaya. Biasalah! Mengada-ngada!” Salmi suap nasi. Lauk asam pedas ikan tenggiri yang sempat kak Hamidah masak di rumah tadi, menjadi santapan Salmi. Baunya memang sedap, tapi seleraku entah mati tiba-tiba!

Memang sudah berhari-hari aku hilang selera makan. Fatin sudah naik risau.

Mulut Adnan kini penuh dengan nasi. Epal diletak atas piring. “Dia tak tahu nak pilih yang mana, Yaya! Iya, aku tahu dia serba salah. Antara umi dan antara pilihan hati!”

Salmi pandang aku. Dia tak jadi menyuap nasi. Diramas-ramas nasi dan aku pandang segelas air yang langsung tidak diteguk. Aku telan air liur. Entah kenapa aku sekarang lebih banyak membisu. Tidak seceria selalu. “Makanlah, Yaya! Janganlah sebab ni, kau murung dan tak makan. Nanti kalau kau pengsan dekat sini, siapa susah.”

Aku geleng kepala. Pura-pura jadi kuat. Lagi dua hari, Izz Amir akan bertunang dengan Jasmin. Rasa sedih menghuni lagi. “Aku tak ada seleralah, Salmi. Kau dan Adnan makanlah. Balik rumah nanti, aku makan!” aku berbohong lagi.

Sumpah! Bila balik ke rumah, aku tidak makan. Aku akan masuk ke dalam bilik. Mencuci bilik air, mandi dan bersolat seperti biasa. Bila Fatin memanggil membantunya menyiapkan makan malam, aku turun dengan lemah longlai. Duduk saja semeja dengan Fatin dan ibu. Berlakon makan supaya ibu mendengar kunyahan aku. Fatin memandang penuh geram kerana aku masih membisu tidak bercerita apa-apa! Dan malam-malam aku minggu ini, dipenuhi dengan mengulangkaji pelajaran, mencuci bilik air, memandang borang Le Cordon Bleu, mencuci bilik air di dapur, membaca buku, mencuci bilik air Fatin, menyanyi sekuat hati di dalam bilik air ibu. Menyental juga bilik air sendiri. Menyerap tekanan lagi dengan latih tubi untuk persediaan kelas minggu mendatang.

Pendek kata, aku isi masa dengan kegiatan mencuci bilik air, mengulangkaji pelajaran dan sebenarnya aku akan menangis sekuat hati di dalam bilik air juga! Pedih, bukan? Dan sampai hari ini, aku masih belum memaklumkan kepada ibu dan Fatin mengenai kata-kata umi kepadaku. Ya, aku sanggup ketepikan rasa cinta aku kepada Izz Amir kerana umi Izz Amir menyebut nama ibu dan Fatin. Keselamatan ibu dan Fatin lebih aku utamakan kala ini. Umi Izz Amir orang berada dan boleh melakukan apa sahaja untuk meraih kasih sayang anaknya sendiri. Kalau aku ini gadis yang dibenci, maka aku tahu, umi Izz Amir boleh menghalangnya dengan berbagai cara.

“Ahad ni kita semua ada majlis kan? Prepare set buffet di rumah Jasmin. Chef Ng siap letak senarai menu pilihan umi Izz Amir dan mama si Jasmin! Hari Sabtu semua kena datang awal siapkan bahan-bahan. Yaya, join kami semua tak?” Adnan pandang mata aku.

Aku geleng kepala. “Ada kelas.”

“Adnan, kau lagi nak bikin panas dan bengkakkan hati Yaya! Boleh tak jangan tanya soalan cepu emas mengenai majlis tunang bos.” Salmi tunjuk penumbuk.

Adnan mencebik. “Iyalah! Aku bertanya saja! Ala Salmi, baru tunang. Kerja jodoh ni semua kerja Allah. Kita merancang. Betul tak, Yaya?”

Aku ukir sengih. Pandang lagi air yang tidak berusik.

“Betul!” aku sengih. Bersemangat tiba-tiba! Pantas aku meyakinkan Adnan dan Salmi. “Aku okeylah! Siapa kata aku tak okey. Masalahnya memang aku ada kelas. Kalau tak memang nak datang untuk persediaan kenduri di rumah Jasmin tu!”

Adnan dan Salmi terus menjamah nasi. Siap berulamkan kacang botol sekali! Wah, meriah pinggan masing-masing.

Dalam hati ada sendu lagi! Bermakna betullah, Ahad ini Izz Amir akan bertunang dengan Jasmin dan enam bulan lagi mereka akan menjadi suami isteri. Dan ketika itu, aku yakin aku sedang berada di Le Cordon Bleu! Melanjutkan pelajaran dan membawa diri. Di mana? Aku sendiri belum memutuskan. Cuma aku mengharapkan redha ibu.

Ah – air mata bergenang lagi. Sampai hati juga Izz Amir tidak menjejakkan kakinya ke Pai Epal Café. Sibuk sangatkah dengan persediaan majlis pertunangannya itu?

***

Chef Fikri mengajar teknik ‘food stylist’ atau lebih tepat penggayaan makanan. Entah apa mood baik chef kacak ini pun aku kurang pasti. Kata chef Fikri, food stylist adalah salah satu cabang kulinari yang mesti diberi perhatian. “Jangan tak tahu, kalau pandai menggayakan makanan yang tak sedap pun, ia boleh jadi mahal dan berbaloi-baloi!”

Aku terkebil-kebil. Tapi angguk macam faham. Haruslah aku membuka buku dan bertanya Chef Aziz di kelas Sabtu nanti.

Oh ya - tadi, aku berjaya membuat pai epal bersos strawberi! Hasil kreatif aku dan Chef Fikri! Chef Fikri ukir sengih bila aku selesai menyiapkan tugasan yang diberi. Aku membalas senyumannya sambil memandang pai epal bersos strawberi “Amacam, sedap kan?”

Dia merasa sambil memerhati dapur yang kelam kabut dengan urusan pesanan. Aku memang tidak akan menyibukkan diri dengan urusan pesanan. Kerana aku dikhaskan membantu semua chef utama dan belajar apa sahaja teknik memasak dengan semua chef. Itu kelebihan aku pelajar di bawah projek biasiswa Yayasan Marjan.

Chef Fikri angguk lagi. “Sedap! Sos pun memikat. Saya suka! Awak dah pandai buat apa ya? Boleh saya tahu?”

Aku tersenyum mendengar pujian dari chef Fikri.

Pantas aku mengulas. “Saya dah pandai buat basic mayonnaise dan honey lemon dressing. Black pepper sauce, lemon butter rice, mango lassy marinated chicken breast dan prawn cocktail!” aku pandang chef Fikri.

“Bagus, Yaya! Sebab hari ni Chef Ridzuan agak sibuk dengan persediaan majlis pertunangan Izz Amir dan Jasmin. Jadinya, saya jadi cikgu awak hari ni. Okey?” sepiring pai epal bersos strawberi yang telah aku buat dihulur ke ruang dapurnya. Berlari-lari pekerja lain merasa. Menjerit-jerit mereka kata suka dan sedap! Aku rasa terharu.

“Yaya buat! Sedap kan?” sempat lagi dia mempromosi.

“Saya okey. Dengan mana-mana chef pun saya okey!” aku membalas segera. Sebenarnya rasa selesa belajar dengan chef Fikri biarpun dia agak pendiam dan pemalu. Chef Fikri berterus terang sekiranya masakan aku kurang menjadi.

“Dan awak okey ke kalau Izz Amir bertunang dengan Jasmin?” bola mata kami bertentangan. Soalan cepu emas lagi!

Erk!

Aku angguk lagi. Jadi mak angguk pun ya! “Saya okey! Dan saya akan terus belajar di sini. Yaya kuat! Kata arwah abah!” dan aku entah rasa sebak. Buat-buat tersenyum lagi sambil menanti arahan chef Fikri.

“Saya tahu mengenai hubungan awak dengan Izz Amir ni pun dari dia sendiri. Err, nanti sambil saya ajar awak masak, awak dengar cerita saya mengenai Izz Amir. Boleh?” chef Fikri menambah hiba. Rasa nak menjerit pun ada. Tapi entah kenapa aku angguk lesu macam tidak ada perasaan lagi. Apa lagi yang nak diceritakan mengenai Izz Amir?

+Sudah-sudahlah Yaya! Buang perasaan terhadap Izz Amir jauh-jauh! Bina semua kehidupan yang baru.
-Ya, bina kehidupan baru. Bina kenangan baru. Bina kekuatan baru.
+Tapi jangan bersedih lagi, Yaya!
-Tak… Yaya tak sedih. Cuma Yaya rindu dengan Izz Amir. Salahkah kalau Yaya rindu?
+Tak salah Yaya. Merindui seseorang itu bukan kesalahan besar Yaya.
-Dan Yaya rasa macam mahu lari laju ke Uganda. Melarikan diri dari kebenaran dan detik yang bakal mendatang. Mampukah Yaya hadapi segala ini?
+Yaya mampu! Fighting Yaya! Fightinggg!

Aku tarik nafas. Memberi senyuman. Sedia menerima arahan. Mencari semangat untuk diri sendiri. “Okey chef. Saya sedia memasak dan belajar hari ni! Menunya chef?”

Chef Fikri tersenyum lagi. Dia mengangguk. “Kambing Morocco dan Nasi Mandy! Kita juga akan belajar membuat tomato salsa, mango pudding dan satu kuih tradisional iaitu lompat tikam! Suka?”

Mata chef Fikri melekat di atas kertas yang diberikan oleh Chef Ridzuan. Aku tahu itu adalah jadual pembelajaran aku dan telah bersusun menu wajib yang perlu mereka ajari kepadaku. Aku perlu memahami berbagai teknik masakan dan membuat berbagai pembaharuan dalam resipi. Jika awal-awal kemasukanku dahulu, asyik sahaja aku mengupas kulit bawang dan kentang. Hiris itu dan ini sampai naik bosan dan muak! Tetapi lima bulan ke atas, aku sudah diberi tugas sebagai pembantu utama semua chef! Sehingga menangis dimarahi chef Rita! Sumpah, memasak bersama chef Rita buat aku rasa nak terkencing selalu! Takut!

Tetapi, aku bangga betul sebab sudah berdiri dan duduk sama level dengan semua chef di Pai Epal Café! Wah! Aku telan air liur. Serta merta jawapan bergema dan entah kenapa senyuman Izz Amir terus menghiasi minda ini. “Suka!”

Semangat baru bermula. Dan menjadi satu kebanggaan kerana setiap tugasan yang diberikan oleh chef Fikri berjaya aku lunasi dengan baik. Salmi sesekali membantu dan Kartina yang semakin rapat turut sama menjeling-jeling segala gerak kerja aku. Jika ada teknik yang belum aku mahir, maka Kartina sudi menghulurkan bantuan. Salmi juga menjadi panduan.

Sebenarnya ada hikmah di atas segala apa yang terjadi. Jika aku kehilangan Izz Amir, tetapi Allah swt anugerahkan aku Kartina, Salmi dan Adnan sebagai teman rapat di sini.

Ketika membuat dressing terakhir untuk Nasi Mandy, aku terdengar jerit pekik seorang wanita dan seorang lelaki. Di tengah-tengah Pai Epal Café. Tetapi aku buat-buat tidak peduli. Pastinya pelanggan bergaduh sesama mereka. Suara wanita berkenaan kuat lagi. Melekat betul-betul di dalam telinga. Aku juga buat tidak peduli.

Dan bila aku amati suara lelaki berkenaan, aku tahu itu suara Izz Amir. Dan selama beberapa hari tidak mendengar suaranya, rindu seolah terus terbang melayang! Dan kerana aku betul rindu melihat wajahnya, aku segera memusingkan tubuh ini. Nasi Mandy aku tinggalkan di dalam mangkuk hidang. Chef Fikri juga melangkah menyaksikan aksi entah apa yang tidak aku pasti.

Semua pekerja Pai Epal Café berpusu-pusu ke pintu kayu! Masing-masing tercegat memerhati dan mendengar suara nyaring wanita berkenaan. Terpekik terlolong.

Suara berkenaan semakin mendekati telinga ini. Kuat. “Okey, siapa Yaya? Cakap dengan I, siapa Yaya?”

Nama aku sedang disebut. Dan sepantas kilat aku mampir ke arah semua pekerja yang mengerumuni pintu kayu. Ada juga yang meneropong melalui lubang kecil dan pintu kaca. Bila aku melangkah, semua pekerja memberi aku laluan. Aku kesat jemari aku. Chef jacket sedikit berbau Nasi Mandy.

“You jangan buat kecoh lagi dekat sini, Jasmin!” suara Izz Amir pula kedengaran. Ditariknya lengan Jasmin dengan kuat. Tetapi Jasmin merentapnya semula. Dan ketika kaki aku tepat di tengah pintu kayu, Jasmin memandang aku dengan penuh marah! Wajahnya merah.

“Siapa Yaya?”

Kaki aku melangkah setapak ke belakang. Jantung berdebar-debar dan Izz Amir memandang aku penuh rusuh! Dia meraup wajahnya. “Kita balik, Jasmin. Janganlah buat malu I di sini. Jom balik!” ditarik lagi lengan Jasmin.

Chef Fikri berdiri di sebelah aku.

Aku malas mahu menegangkan suasana dan memalukan Izz Amir. Aku segera berpusing dan masuk kembali ke ruang dapur. Chef Fikri terus menjejaki aku. “Yaya!” panggilnya.

Dan telinga terus memerangkap suara Jasmin. “Oh, yang tu rupanya Yaya kesayangan you ya! Penipu! You dah setuju nak tunang dengan I, tapi hati dan jiwa you milik Yaya budak dapur tu ya! Kita tengok siapa yang menang hari ni!”

“Jasmin!” Izz Amir menjerit. Semua pekerja lintang pukang lari ke dalam semula. Kesemua pekerja memandang aku dengan rasa serba salah. Adnan buat-buat menghiris bawang. Salmi pula berjalan sebelah aku. Chef Rita tersengih macam kerang busuk.

Chef Ng terngaga!

Chef Ridzuan terkebil-kebil!

“I tak akan puas hati selagi I tak dengar penjelasan dari perempuan murahan tu!”

Aku yang mendengar jadi sebak! Sungguh dihina sebegitu sekali.

“I kata balik. Balik! Jangan buat masalah dekat café I, Jasmin!”

“You dah mengaku depan semua yang Yaya kesayangan you, bukan? Okey, sekarang I nak dengar dari mulut dia sendiri! I nak tengok, siapa yang gatal sebenarnya! Dan you kena ingat Izz, sampai bila-bila, you milik I!”

“Jasmin! Balik!”

“Nama I Jasmin! Dan I tak akan balik selagi mata I tak melihat wajah kesayangan you tu!”

Dan keadaan dapur menjadi senyap sepi. Seperti dilanggar garuda dan selepas kejadian tsunami. Aku berdiri memandang Nasi Mandy yang selesai dibuat. Chef Fikri menjeling aku dan dengan isyarat mata, menyuruh aku ke belakang.

Pantas aku berjalan ke arah Adnan dan beberapa orang pekerja dapur yang sibuk menghiris bawang. Aku tidak mahu melibatkan diri dengan pergaduhan ini. Dan baru sahaja kaki aku melangkah, tangan kiriku direntap kasar!

Berhadapan dengan Jasmin dan Izz Amir di belakangnya. Mata kami bertentangan untuk kali pertama dan aku menelan air liur. Jasmin sedang tarik nafas. Dada aku berdebar-debar!

"Yaya ya?” Jasmin bertanya penuh sinis. Bola mata aku tepat menjamah hidung mancung Jasmin dan beralih mencari wajah Izz Amir.

“Kenapa cari saya?” soal aku penuh yakin. Tetapi sebenarnya aku sedang mencari bala. Jika beberapa hari lepas, aku bertemu dengan umi Izz Amir, hari ini aku bertentang mata pula dengan Jasmin.

Kembang kempis hidung Jasmin. Bibirnya lancang lagi, “You bukan pilihan umi. Dan you, Yaya! Beringat sikit sebelum merampas kekasih orang lain. Tak sedar diri!”

“I tak rampas kekasih orang lain. You yang tak sedar diri!” bentak aku tiba-tiba. Aku genggam jemari. Aku pandang Izz Amir yang menarik lagi lengan Jasmin.

“Jangan gaduh dekat sini, Jasmin! Pleaselah!” Izz Amir memandang aku. Sempat dia melirik matanya supaya aku berlalu. Bibirnya turut sama mengarah.

“Hei, kalau kau tak rampas Izz Amir pun, kau kena ingat yang Izz Amir tak akan jadi milik kau sampai bila-bila.” Kata ganti I bertukar menjadi kau pula.

Wah! Jasmin memang bikin panas!

“So?” tanya aku. Sengaja menambah bahang di hati Jasmin.

“Izz Amir milik I. Lusa kami bertunang. You, jangan bermimpi, okey!” dia tolak bahu aku. Kaki aku terus melangkah ke belakang.

“I tak pernah bermimpi! Dan untuk makluman awak Jasmin, ya saya sayangkan Izz Amir dan dia sayangkan saya seperti apa yang dia cakap dekat you. Puas hati?”

“Youuuuu!” Jasmin separuh gila. Tiba-tiba suaranya meninggi.

Aku melangkah laju ke arah Jasmin. Apa akan jadi selepas ini, jadilah! “Kenapa? Tak puas hati! Kami berdua berangan ada anak sebelas orang! Duduk dalam rumah mewah dan makan ikan siakap tiga rasa! You, pergi lari ke Uganda dan duduk sana bela harimau. Tak tahu malu datang sini jerit-jerit macam orang gila!” Wah, aku dengan beraninya melawan Jasmin. Entah kenapa siap ada anak sebelas orang dan ikan siakap terbabit sekali!

Tubuh langsing Jasmin aku perhati. Sudahlah pakai baju tak cukup kain! Perasan cantik!

Dahi aku pula menjadi sasaran jari telunjuk Jasmin. “Perempuan murahan. Perasan cantik sedangkan kerja dekat ceruk dapur. Dahlah bau busuk! Heiiii, sekali kalau kau sentuh Izz Amir, kalau kau pujuk rayu dia supaya dia datang kembali dekat kau, kau siap! Ini Jasmin Dato Majid!”

Melampau betul minah ini! Aku geram dengan kata nista Jasmin. Kalaulah dia ini adik aku, sudah lama aku lempang dia laju-laju! Mata aku cepat menangkap semangkuk bawang yang telah dimesin dan semangkuk cili juga yang siap diproses. Dengan gagahnya aku mengangkat!

Izz Amir menjerit. “Yaya!”

Akhirnya bawang yang siap dimesin, aku jatuhkan ke atas kepala Jasmin. Cili yang merah di dalam mangkuk turut sama aku curahkan di atas kepala Jasmin. Sekelip mata semuanya terjirus ke atas tubuh Jasmin! Dan seketika suasana dapur menjadi hening.

“Lelaki yang kerja dekat ceruk dapur nilah yang kau gila-gilakan! Perempuan gila!” aku tersenyum penuh puas. Kali ini bergaduh bukan tarik menarik rambut dan bukan lempang melempang. Tetapi, dicurahkan dengan cili dan bawang!

Jasmin menjerit histeria. Izz Amir kelam kabut! Gelak ketawa kedengaran dan kemenangan berpihak di tangan aku.

“Yaya! Keluar Yaya! Keluar!” Izz Amir kuat memberi arahan. Mukanya merah memandang aku dan jemari Izz Amir mengusap-ngusap rambut Jasmin yang dipenuhi bawang bersama cili mesin. Cukup membuatkan aku yakin yang dia memang ada perasaan terhadap Jasmin. Aku berdiri dengan rasa puas hati. Memandang Izz Amir dengan penuh rasa kecewa. Sepatutnya dia tersenyum suka kerana aku sudah menewaskan Jasmin.

“Keluar!” jerit Izz Amir lagi! Dan aku terkedu tiba-tiba. Entah apa yang merasuk fikiran ini, aku tidak tahu! Entah di mana datangnya kekuatan melawan sikap gedik Jasmin pun aku tidak tahu!

Sekalipun Izz Amir memarahi aku, tetapi aku cukup puas hati!

Dan aku melempar mangkuk yang telah kosong itu ke tepi.

“Ya, memang saya akan keluar! Keluar dari hidup awak, Izz Amir!” tegasku dan aku melangkah penuh puas!

Suara Jasmin merengek memanggil Izz Amir terus membuatkan aku sakit hati! Aku memandang Chef Fikri yang bulat matanya memandang aku!

17 April 2012

Dia, Cinta Hati Saya 9

Majdina dan Zain. Saya susuri kisah Dia, Cinta Hati Saya! untuk kalian semua hari ini. Semoga terhibur ya! Yang Terindah akan dijadualkan pada Jumaat ini, InsyaAllah. Senyum empat belas juta, hokeyyy? Jom kita baca!

jiw 4


Ibu menolak pintu. Memandang saya yang sedang mengemas-ngemas beg. Ibu menjemput akhirnya saya di sini. Dua hari di sini yang memberikan rasa sendu berpanjangan. Juga rasa kasih sayang yang sudi umi curahkan kepada saya. Bukannya banyak kasih sayang yang umi hamparkan. Meski dua hari, tetapi ia melekat jauh ke dalam hati ini. Umi itu santun sahaja bicaranya. Umi itu asyik bertasbih mengucapkan kalimah segar iaitu Alhamdulillah, Subhanallah dan Allahuakbar. Kalau bercerita bersama saya, Zain pasti mendengar dan merenung wajah umi dalam-dalam. Dik Husna pula merenung wajah saya seperti saya ini pesalah pula. Dan saya meski mendengar kisah-kisah Nabi Muhamad s.a.w dan para sahabat lain, tetap mencuri-curi memandang wajah redup Zain. Dik Husna tersengih sahaja sambil melarikan bola matanya! Oh, bila umi bercerita mengenai Nabi Muhammad s.a.w, saya renung mata umi. Mahu bertanya banyak mengenai sejarah baginda, saya terlalu malu. Dahulu, nenda Mariah yang terpekik terlolong mengajar saya dan abang-abang. Ya, dahulu. Dan zaman remaja dahulu, kami akan berlari sekitar halaman rumah agam kerana malas mendengar ajaran nenda Mariah. Dan sekarang, masakan saya boleh mengingati sejarah baginda dalam usia sebegini.

Rasa malu menyerbu lagi kerana banyak yang saya tidak tahu. Dan saya pasang tekad, untuk membeli buku mengenai baginda. Mahu menyusuri lagi kisah agung Nabi akhir zaman ini.

Mata saya terus memerhati ibu. Kenangan semalam pudar akhirnya. Ibu tersenyum menawan! Ibu dengan tas tangan berwarna merah, berbaju kebaya sendat mengikut lekuk tubuh dan rambutnya sudah berwarna kuning semula. Kasut tumit tinggi ibu kembali menerjah minda. Keletak keletuk bunyinya.

“Dina! Kenapalah selalu buat ibu risau! Papa asyik bebel-bebel dengan ibu saja sebab Dina dua tiga hari tak balik rumah! Phone ibu asyik berbunyi saja dari papa suruh carikan Dina. Alih-alih bibik J kata, Dina masuk hospital. Why, sayang?” ibu rapat dan memeluk tubuh saya. Saya terkebil-kebil lagi. Hidung menahan bau minyak wangi ibu. Seperti tumpahnya minyak wangi kala ini.

Ya. Saya lebih suka memanggil wanita yang melahirkan saya ini dengan nama ibu. Bukan mama seperti yang papa mahukan. Saya seorang sahaja yang memanggil gelaran ‘ibu’. Abang sulung saya, Mukhlis memanggil mama. Abang kedua, Muzayyan juga sama menyebut ‘mama’.

Entah – tapi saya sinonim menggelar wanita cantik ini sebagai ibu.

Pelukan direnggangkan. Saya mendiamkan diri. Ibu menyeluruhi wajah saya. Memegang tampalan di dahi dan lengan yang dibalut. “Sorry sayang, ibu ada meeting di Langkawi. Ibu pesan dengan bibik J bawakan beg untuk Dina. Fendi yang beritahu ibu. Katanya, kawan Fendi nampak Dina keluar dengan seorang lelaki di kampungnya. Dia jumpa Dina naik bas dengan lelaki tu.”

“Fendi mengaku dia memukul Zain. Boleh ibu tahu, siapa Zain?” ibu memandang saya yang masih diam. Saya simpan barangan peribadi di dalam beg. Malas mendengar kisah Fendi kesayangan ibu itu.

“Sejak bila pula Dina ni pandai naik bas? Kereta mana?” ibu bertanya lagi.

Saya senyum memandang ibu. Fendi pasti menelefon ibu dan akan menceritakan keburukan Zain. Dan saya pasti ada kawan-kawan Fendi yang ternampak saya dan Zain berjalan kaki ke perhentian bas. “Papa mana, ibu?” tanya saya tanpa menjawab beberapa soalan dari mama.

“Please jawab soalan ibu dulu, sayang!” ibu duduk di sebuah kerusi. Memandang bilik yang berharga beratus ringgit ini. Ibu membetulkan bajunya. Bergaya ala-ala seorang primadona.

“Zain tu kawan baru Dina, bu. Dina naik bas sebab Zain nak hantar Dina balik ke rumah. Dina pasti Fendi akan bercerita yang Zain menculik Dina dan Dina tidur rumah Zain. Tapi bu, itu bukan sebab musababnya. Fendi bohong! Ni, semua lebam-lebam dan luka di dahi ni semua sebab Fendi! Dina benci tau dengan dia!” saya menjawab keras. Ibu terdiam. Pastinya ibu tidak akan mempercayai segala pengakuan dari bibir ini. Saya tahu, Fendi akan memutar belitkan cerita mengenai Zain. Dulu, Sharkawi juga pernah dituduhnya sebegitu, walhal saya tidur di rumah Hani. Selepas berhibur, berpesta di kelab malam, saya bukannya tidur dengan Sharkawi. Saya ke rumah Hani. Saya memang kaki berhibur! Tetapi saya bukan tidur dengan mana-mana lelaki!

“Kereta Dina ada di pejabat pos. Tempat Zain kerja.” Sambung saya lagi dengan jujur. Ibu tarik nafas dan berdiri. Kemudian merapati saya. Segera dipeluknya saya dan jemari ibu mengusap lembut rambut saya.

Entah – hati saya beku dan kini menjadi dingin ! Adakah saya marah dengan ibu dan papa kerana langsung tidak melawat saya di sini? Kenapa saya dipinggirkan oleh papa sebegini rupa? Kenapa kasih sayang papa berbeza dengan kedua-dua abang kandung saya itu? Kenapa? Ibu juga sibuk sangat dengan mesyuaratnya. Kenapa saya tidak dilayani sama rata seperti abang Mukhlis dan abang Muzayyan?

“Papa mana, ibu?” saya renggangkan lagi pelukan ibu. Mata kami bertentangan lagi. Ibu tersenyum. Lantas saya positifkan diri meski adakala rasa terasing dengan layanan papa terhadap saya. Adakah kerana sedikit ketenangan yang saya perolehi apabila bersama umi itu sedang menjalari diri ini ? Atau kerana disampuk cinta terhadap Zain itu ?

“Papa pergi London sayang!” jawab ibu dengan senyumnya.

Saya tarik nafas dan mengangguk. Mengerti kesibukan papa ke sana dan ke sini kerana kerjanya. Papa memang kuat kerja! Papa memang begitu sejak dahulu lagi. Ubat di dalam beg plastik saya pegang dan ibu pantas mengambil beg yang telah siap saya kemas.

Seorang jururawat masuk ke dalam bilik ini. Menghulurkan bil yang selesai saya jelaskan. Bil : untuk dua bilik. Bilik yang saya duduki dan juga bilik Zain.

“Nurse, Zain dah keluar ke?” tanya saya pantas.

Adik cantik manis itu angguk dan tersenyum. “Ya, dan uminya yang baik hati tu, berikan kami pulut kuning siap dengan rendang kerangnya. Dik Husna yang hantarkan ke kaunter kami.”

Mata saya terbeliak. “Mereka semua dah balik?”

Dia angguk. Saya mengeluh lagi. Pantasnya Zain mahu keluar dari hospital ini. Sampai hati Zain tidak menanti saya sekali. Sampai hati umi meninggalkan saya sendiri di sini. Jururawat itu tersenyum dan mengangguk hormat apabila ibu memandangnya.

Ibu pantas memeluk bahu saya. Membawa saya keluar dari bilik ini. Ada rasa gerimis lagi kerana mereka keluar tanpa memandang wajah saya. Zain… tidakkah ini dinamakan kejam terhadap saya? Tidakkah ini dinamakan kecewa untuk saya ?

“Kita balik ya. Nanti ibu suruh Fendi ambilkan kereta Dina di pejabat pos.” ibu masih mahu memujuk dan menyebut nama Fendi.

Saya berjalan lesu. Tetapi bibir terus menjawab, “Tak perlulah umi. Dina boleh ambil sendiri kereta Dina. Jangan harapkan sangat Fendi. Dina tak suka!” jawab saya lagi membuatkan ibu menjeling. Pasrah agaknya kerana kedegilan saya yang masuk fasa kedua. Fendi itu lelaki pilihan ibu dan papa. Lelaki kaya yang tidak bekerja dan hanya menghabiskan kekayaan keluarganya. Kemewahan memang milik dia dan siapa yang berkawan rapat, mengipas seadanya pasti mendapat habuan lumayan dari Fendi.

Kami berjalan dan bila sampai sahaja di ruang tengah sebelum masuk ke dalam lif, Husna mengeluarkan kepala dan sejambak bunga matahari dipeluknya. Saya terpaku! Dan ibu seketika merenung wajah manis Husna yang tersenyum.

“Dik Husna!” mata saya bersinar-sinar. Ada rasa cinta menjalari merenung Husna yang bertudung litup ini. Sejuk sahaja memandangnya. “Kak Dina ingat Husna, umi dan Zain dah balik!” saya terus tersenyum! Darah menyerbu ke muka kerana melihat Husna sudi menjenguk saya.

“Ini ibu Kak Dina. Engku Azlina Engku Azimin.” Saya memperkenalkan ibu. Lantas Husna menyalami ibu dan jambangan bunga dikepitnya di bahagian kiri.

“Nama saya Aisya Husna. Apa khabar ibu.” Dan sekali lagi saya terpegun dengan sikap Husna. Ibu gigit bibir dan merenung Husna dari atas ke bawah. Ditariknya salaman Husna dengan cepat dan riak wajah ibu berbeza sekali melihat Husna. Husna terkebil-kebil.

“Ya! Ya! Saya sihat! Kami nak cepat ni. Kak Dina harus balik segera. Berehat!” Ibu dengan pantas menarik lengan kanan saya. Nada suara ibu yang keras membuatkan wajah Husna berubah seratus peratus. Meski sudah berjalan tiga langkah ke hadapan, saya serta merta berhenti dan tindakan saya ini membuatkan ibu membulatkan mata.

“Siapa budak yang Dina kenal tu? Jangan suka-suka kenal dengan orang yang tak setaraf dengan kita. Baju kurung pun lusuh saja warnanya! Behave yourself, Majdina!” gertak ibu dengan berbisik ke telinga dan segera saya menarik lengan ini meski ditarik sekali lagi oleh ibu.

“Ibu turun dulu dan Dina tahu dengan siapa Dina berkawan!” hati saya retak seribu! Sampai hati ibu memperincikan kelusuhan baju Husna sebegitu. Sampai hati ibu! Husna itu baik budaknya. Husna itu manis sikapnya. Adakah Husna terdengar dan akan berkecil hati?

Saya segera menoleh dan melihat Husna masih tersenyum. Ibu turut sama menoleh dan merengus bersama gayanya. Bunyi hentakan kasut tumit tinggi ibu terus kedengaran. Laju dan tanda protes dengan sikap saya. Biarkan ibu dengan lagaknya yang tidak pernah hilang itu. Biarkan ibu dengan caranya yang asyik mahu berkawan sahaja dengan golongan orang kaya. Biarkan!

“Husna…Kak Dina minta maaf ya. Ibu nak cepat!” Saya segera berdiri di hadapan Husna. Husna setia dengan senyumannya dan tubuhnya yang bersandar dengan dinding cepat-cepat dikehadapankan.

Husna gelengkan kepala. “Tak apa Kak Dina. Dik Husna datang ni pun sebab abang long pesan. Abang long suruh jenguk kak Dina. Juga umi dan abang Zain suruh dik Husna berikan bunga ni untuk akak. Suka tak?” jambangan besar bunga matahari! Digubah cantik dengan daun-daunnya sekali.

“Abang long memang suka bunga matahari!” Husna menarik nafasnya. Dia menjamah lagi wajah ini.

Saya tersenyum. Mengambil jambangan bunga berkenaan dan memandang Husna. Rasa terharu kerana diberikan jambangan bunga ini. “Kenapa umi dan abang long balik awal? Sampai hati tak nak temankan kak Dina. Pesan pun tidak. Kak Dina pun tak dapat salam dengan umi!” saya menyorokkan rasa gembira kerana bunga matahari ini. Saya perhati bunga ini puas-puas. Seperti mekarnya senyuman Zain pula!

Husna menyeluruhi wajah saya. “Abang long nak cepat. Sibuk sangat nak balik. Katanya banyak kerja nak buat. Tapi umi tetap sampaikan salam assalammulaikum untuk kak Dina.”

Saya pantas menjawab salam umi. Mata ini memandang lagi wajah Husna.

Husna masih terkebil-kebil. Bibirnya terbuka lagi. “Abang long ucapkan terima kasih kerana masukkan abang long dalam bilik mahal sampai naik segan dia dan kos perubatannya sekali. Umi juga mahu ucapkan terima kasih pada kak Dina. Dik Husna juga mahu ucapkan beribu-ribu terima kasih kerana kak Dina yang baik! Hanya Allah swt membalas segala kebaikan kak Dina yang cantik ni,” dan tanpa dipinta Husna memeluk saya.

“Terima kasih kak Dina!” ucapnya sekali lagi buat saya dipagut kesayuan. Saya usap kepala Husna yang ditutup dengan tudung. Bibirnya mengucapkan terima kasih tanpa henti-henti. Dan beberapa saat kemudian, pelukan kami renggang dengan air mata yang bertakung.

Beg galasnya lantas di bawa ke hadapan. Wajahnya bertukar ceria. “Sebelum kak Dina balik, dik Husna ada sesuatu yang istimewa untuk kak Dina.”

Saya membulatkan mata. “Apa lagi dik Husna ni?”

Husna ukir senyuman cantiknya. Giginya tersusun rapat-rapat dan betul-betul sama susunannya dengan gigi Zain! Ah – tiba-tiba saya jadi rindu dengan Zain dan kepingin mahu melihat wajahnya.

Sesuatu dikeluarkan dari beg galasnya. Sebuah bungkusan dengan balutan kemas dan ada sekeping sampul surat. Husna menyengih lagi. dia pantas menghulur. “Untuk kak Dina. Memang khas sebab abang long yang balut buku ni dan surat ni pun abang long yang tuliskan untuk kak Dina. Abang long pesan buka hadiah ni dan baca surat ni selepas selesai solat Isya’.”

Dan saya menyambut huluran dari Husna dengan debaran. Entah kenapa rasa terharu ditambah pula rasa hiba mencucuk-cucuk! Bungkusan seperti buku ini dibalut kemas dengan sehelai pembalut berwarna biru laut. Sampul suratnya lusuh sahaja dan saya pasti sampul ini mesti dibawa Husna dari rumah. Gigih betul Zain membalut bungkusan ini. Kemas pula balutannya.

“Suka tak?” Husna pula bertanya dengan senyuman berjelanya.

Saya senyum lagi. Angguk dan memeluk Husna. “Suka!”

“Nanti baca waktu nak tidur! Dik Husna gerenti kak Dina tersengih-sengih!” dia mengusik pula.

Saya angguk dan saya tarik nafas. Waktu tengahari semakin menginjak ke petang. Husna melihat jam tangannya. Kemudian mata Husna beralih memandang saya pula.

“Kita jumpa lagi ya kak Dina. Dik Husna ada kelas petang ni.”

Rasa gembira sekali dengan semua pemberian Husna ini. Saya mengangguk membenarkan pemergian Husna. Saya pandang semua barang yang kini dipegang erat jemari saya.

Pantas tubuh saya dipeluknya. Tapi kali ini, pipi saya diciuminya. Membuatkan saya terkejut! “Dik Husna tak ada kakak. Kak Dinalah kakak Husna mulai hari ni! Jaga diri baik-baik ya kak Dina. Makan ubat dan berehat!”

Sayu terasa! Sungguh saya terasa bahagia dengan telatah Husna. Saya hantar pemergian Husna dengan air mata! Dia melambai-lambai saya dan entah apa agaknya dengan hati kala ini. Saya pegang pipi kanan yang dicium ‘dik Husna’. Bekas ciumannya terasa dan perlahan-lahan jiwa sayu entah kenapa.

Saya pandang bunga matahari yang digubah cantik. Kemudian mata memerhati bungkusan indah dan sampul surat berisi ‘sesuatu’. Saya rasa bahagia tiba-tiba. Bahagia yang tidak pernah saya kecapi dari dahulu lagi.

***
Duduk di rumah. Saya mengejar bibik J sahaja. Saya duduk di dalam bilik J. soalan pertama saya membuatkan bibik J terkedu. “Bibik J ada telekung?”

Bibik J terkebil-kebil. Seperti sedang memandang hantu!

“Bibik J!” panggil saya lagi.

“Kamu ni gila apa? Kapan kamu berubah seperti ni? Atau saya yang bermimpi!” Bibik J cepat-cepat menutup pintu. Takut ibu mencari saya yang sebenarnya bukan duduk berehat di dalam bilik.

“Kapan..kapan! Dina serius ni bibik J. Ada telekung?” saya pandang jam yang terletak di atas almari comel bilik bibik J.

Bibik J membuka almarinya. Saya sengih. Rasa seronok tiba-tiba. “Saya memang ada telekung lebih. Kamu mahukannya terus pun boleh!” dan wajah bibik J mula berubah apabila saya tersenyum puas. Bibik J menghulur. Saya mengambilnya perlahan dan memeluk puas-puas.

“Bibik J ada buku solat? Cara-cara sembahyang?”

“Udah! Macam-macam kamu ni! Mana pula mahu saya mencarinya!” bibik J memandang saya.

“Kalau mahu, kita kena belilah! Banyak di kedai buku!” ulas bibik J lagi.

Saya pandang bibik J dan tarik nafas ini perlahan-lahan. “Saya cuma hafal Al-Fatihah sahaja, bibik J. Itupun rasanya ada yang salah. Ayat-ayat lain memang saya lupa. Bibik boleh ajari saya?” pinta saya tanpa rasa malu. Saya diasak kemahuan untuk bersolat semahu-mahunya. Semenjak saya berteleku di surau hospital lagi! Saya mahu belajar mulai hari ini. Ketika di rumah Zain semasa bersolat subuh, saya hanya membuat gerakan dan menangis dan menangis sahaja. Saya membaca Al-Fatihah sahaja tanpa tahu apa-apa.

“Saya tak ingat bacaan solat pun, umi!” tersengguk-sengguk saya bertangisan dan umi memujuk saya.

“Dina boleh belajar. Siapa kata Dina tak pandai! Umi pun boleh ajarkan Dina!” suara umi mengapung lagi minda ini.

Bibik J terkebil-kebil. Seketika ruang bilik bibik J menjadi dingin! Saya pandang bibik J dan mengangguk. “Saya rasa kosong, bibik! Saya rasa saya ni seperti manusia yang lupa akan nikmatnya. Saya rasa berdosa banyak-banyak bibik. Bibik ajarkan saya sikit-sikit dahulu, boleh?” saya tarik hujung baju bibik sambil air mata lesu mengalir.

Bibik J telan air liur. Saya pandang lagi wajah bibik yang sudah serasi dengan rumah ini. Dia mengangguk dan membuatkan saya tersenyum senang. Meski tersenyum, tetapi air mata menjadi peneman saya.
Bibik J terkedu dan wajahnya penuh seribu tanda tanya.

Dan hari ini, saya mula belajar semula cara berwuduk dan bersolat. Meski bibik J mahu mengajar saya dengan gerakan sahaja. Katanya, ayat-ayat itu kelak perlu saya pelajari di lain waktu. “Perlahan-lahan! Mana boleh kamu mahu membuatnya secara serentak! Nanti penat!”

Dan bibik J mengajari saya penuh rasa sendu. Dan entah kenapa, selepas sahaja solat Zohor, selepas sahaja mengucapkan salam, bibik J bangun memegang bahu ini dan terus memeluk saya.

“Kamu pilihan Allah!”

Dan berderai-derai air mata ini disaksikan bibik J yang keharuan!

***

Saat yang paling saya nantikan. Pesan Husna saya pegang kuat-kuat. Solat Isya’ saya selesai dibantu lagi bibik J. Bibik J hanya mengajar ayat rukuk sahaja. Itupun tergeliat lidah ini menyebutnya. Sehingga saya hampir putus asa dan betapa saya memikirkan yang kosongnya saya tanpa ilmu. Saya betul malu dan betul-betul terpukul dengan kenaifan diri sendiri.

Tapi, saya tidak mahu mengaku kalah. Saya mahu belajar serba serbi dengan rasa sendiri. Umi juga berkali-kali memesan, “Dina, hidayah tu Allah campak sekali sahaja ke dalam hati! Satu lagi, Allah ni sayangkan kita Dina. Sebab tu kita diuji dengan berbagai perkara! Ni, nikmat kita ni cukup banyak. Mata, telinga, kaki, tangan, lidah, jari, perut, hidung dan semuanyalah! Tapi adakala kita selalu lupa!”

“Dan adakah Dina lupa segala nikmat yang Allah berikan kepada Dina?” sayu sahaja saya bertanya umi. Umi menggelengkan kepala dan memeluk saya. Air mata mengalir lagi tanpa rasa malu.

“Dina bukan begitu nak. Dina cuma lupa dan Allah takdirkan Dina lambat menerima hidayah. Dan sekarang, kalau betul Dina nak berubah..Dina kena betul-betul kuatkan semangat diri dan cuba untuk berubah! Dina boleh!”

Saya tarik nafas dan memandang ruang bilik indah ini. Ibu sudah keluar entah ke mana. Papa masih belum pulang dari London dan kedua-dua abang saya juga belum pulang! Mata saya memandang jambangan bunga matahari yang masih segar. Yang masih menyedut udara ini.

Saya tersenyum dan pantas menarik kerusi. Mendudukkan diri dan tangan sudah memegang meja. Bungkusan dari Zain dan surat dari Zain penuh bererti kala ini. Saya buka sampul lusuh berwarna coklat muda yang diserahkan Husna. Sehelai kertas putih bersama tulisan tangan Zain yang cantik menyerap segala tekanan. Saya pandang seluruh kertas yang dipenuhi tulisan indahnya. Zain…

Dan seperti kata saya, Zain ini pelangi untuk saya. Zain adalah lelaki yang akan meneduhkan saya ketika hujan turun lebat. Saya membacanya bersama air mata yang menjadi teman.

Pertama kali menulis surat untuk seorang wanita cantik seperti kamu, Majdina. Tetapi Majdina harus ingat dan simpan di dalam hati pesan saya ini. Mana tahu…kelak, Majdina boleh sahaja bercerita kepada sesiapa mengenai pesan saya ini. Pesanan yang berlapik dan sesekali sebenarnya akan jatuh ke hati jika disusuri maksudnya.

Majdina, cantik seorang wanita itu lebih terserlah apabila ia menjaga diri, mengikut aturan sunah dan Al-Quran dan sentiasa patuh kepada suaminya kelak. Janji Allah swt itu pasti ada jika seorang wanita itu cukup menjaga solatnya, berpuasa di bulan Ramadhan dan mematuhi suaminya. Syurga janji Allah. Maka, yakinlah setiap kita dilahirkan di muka bumi ini ada tujuannya tersendiri.

Tangan kiri ini bergerak dengan rasa yang sukar Zain mengertikan. Umi di sebelah sedang tersenyum simpul dan dik Husna menyengih seperti kerang busuk. Dik Husna juga sekarang sedang berpeluk tubuh lagak pengawal peribadi Zain. Matanya memerhati Zain menulis surat ini.

Majdina, Zain juga kini ditemani dengan beberapa kuntum bunga matahari. Berwarna kuning dan cantik mekarnya. Ini pilihan umi dan dik Husna untuk kamu. Moga Majdina suka dan menemani bunga ini dengan sinar mata bercahaya kamu itu. Matahari ini umpama senyuman Majdina juga. Bunga matahari ini umpama cahaya yang Allah swt sedang limpahkan kepada Majdina. Mudah-mudahan doa kami mengiringi kamu sentiasa.

Dan semoga senyummu itu, terus mengalir dekat di hati ini dan bahagia kamu itu kelak disinari pengabdian kepada Ilahi. Cantik kamu akan tersusun indahnya di mata ini, InsyaAllah. Saya akan sentiasa doakan untuk kamu. Bahagia dunia dan akhirat.

Majdina,
Jangan menangis lagi. Jangan ditangisi perkara lalu dan bermula saat ini, dik Husna dan umi akan memimpin kamu. Dan saat kamu mengangkat wuduk bersama umi dan tangisan yang berlagu itu benar-benar telah meruntuhkan air mata ini. Bagaimana mungkin juga dapat Zain lupakan ketika Majdina menangis saat solat Subuh dua rakaat itu. Ia memberi Zain kepercayaan bahawa hidayah itu adalah hadiah terhebat dari Allah swt.

Majdina, jaga diri ya! Terima kasih untuk harga bilik di hospital ini yang tak mampu saya bayarkannya. Juga, Majdina harus tersenyum selalu. Terima kasih melindungi saya tika tragedi tidak disangka itu. Ada kenangan kerana parut luka di kaki ini akan kekal selamanya.

Dik Husna sedang menjeling manja! Persis si anak dara dan katanya mahu Majdina mengunjungi teratak bahagia kami. Datanglah ya!

Senyum dari umi dan doa darinya juga agar Majdina disimbahi ketakwaan dan bahagia dunia akhirat.

Saya juga akan sentiasa mendoakan Majdina di sana. Saya tak pandai meluahkan rasa dengan kata-kata. Hanya Allah swt merencana. Juga terima hadiah tak seberapa dari saya, “Apa Ertinya Saya Menganut Islam – Fathi Yakan”.

Zain.


Ada sendu bukan? Dan saya akan ingat tulisannya yang berbunyi sebegini, Dan semoga senyummu itu, terus mengalir dekat di hati ini dan bahagia kamu itu kelak disinari pengabdian kepada Ilahi. Cantik kamu akan tersusun indahnya di mata ini, InsyaAllah.

Betul-betul saya berfikir dengan dalam kata-kata puitis lelaki ini. Dan bila saya renung suratnya, saya tersenyum panjang dan seperti biasa, air mata mengalir dan mengalir lagi kerana kesudian lelaki ini memberi sepucuk surat untuk saya yang serba kekurangan ini.

Saya kesat air mata dan perlahan-lahan membuka balutan buku pemberian dari Zain. Dan kini ia betul-betul di hadapan mata saya. Sehingga saya terkedu dan rasa hiba itu berlanjutan sampai ke katil! Tidur saya malam ini, dalam keadaan saya memeluk sebuah buku hadiah dari lelaki berwajah redup itu.

Zain, mahukah kamu membuktikan kata-kata kamu yang lalu? Tidakkah kamu pernah berkata mahu melindungi Majdina dunia dan akhirat?

Zain, adakah berdosa saya memendam rasa cinta dan sayang ini untuk kamu?

Zain, adakah benar kamu akan menjadi pelangi hati saya ini? Dan mampukah hati yang kosong ini diisi oleh kamu yang berbeza imannya dengan saya ini?

14 April 2012

Mr Pai Epal 27

Mr Pai Epal 27 hari ini ! Yeahhh ! Ini plot penuh untuk bab ini, okey ? Saya awalkan menepek entry ni sebab esok ada aktiviti sosial. Hehehe. Suka tak ? Suka tak ? Senyum empat belas juta kali ya ! Jom kita baca sambungan kisah cik Yaya sayang dan Izz Amir ni. Macam mana agaknya mereka akan berhadapan dengan kenyataan memilukan. Ceh!

Izz Amir akan bertunang ? Dengan Jasmin ? Jeng jeng…

lmh


Dingin !

Ibu dan Fatin sudah balik dari Mersing ! Membawa berita gembira dari Nek Pa yang bersetuju sangat-sangat sekiranya Izz Amir cepat-cepat merisik ! Aku memberi senyuman di hadapan ibu. Terbatuk-batuk aku ketika mendengar luahan dari ibu yang seronok dengan jawapan Nek Pa. Wajah aku kembali mendung. Tetapi aku kawal mendung di hati sedaya mungkin agar mereka tidak mengetahui kisah sedih ketika ketiadaan mereka di sini. Meski ibu tidak nampak, dan aku renung wajah Fatin dengan penuh harapan. Sampai bila aku boleh menyembunyikan perkara ini dari ibu dan Fatin ?

Aku telan air liur. Aku tidak mampu berterus terang dengan keadaan ‘perhubungan’ antara aku dan Izz Amir. Mungkinkah aku boleh membuat kesimpulan, ‘biar masa sahaja yang menentukan ?’ Bodohkah aku ?

Aku sekadar mengangguk dan menjawab ‘InsyaAllah’ sahaja. Makan malam kami sepi tanpa gurauan dari aku dan pergaduhan kecil antara aku dan Fatin. Malam terus suram. Terasa sepi mencucuk jiwa ! Fatin sesekali menjeling aku bagaikan ada yang tidak kena. Dan hidangan malam itu berlalu sepi sahaja sehingga sesekali ibu sengaja membatukkan dirinya.

“Kenapa kak long diam saja ni ? Makan pun sikit. Lauk Nek Pa buat tu bukan sedap ke ? Tak baik tau makan sikit sangat ! Nek Pa masak untuk kak long tu ! ” Fatin menjamah wajahku. Matanya merenung aku seperti mahu mengetahui sesuatu dari aku. Kami duduk menghadap televisyen yang menayangkan drama melayu korporat kisah datuk dan datin. Anak berebut harta pusaka dan pergaduhan berebut tanah bagai segala. Memang tidak menepati citarasa tetapi aku tenung televisyen sehingga tembus ke negara Uganda.

Ibu masih duduk menemani kami berdua. Mendengar apa yang sedang anak-anaknya berbualkan dan adakala kami yang menjadi penyampai cerita di televisyen kepada ibu.

“Eh, tak ada apa-apalah. Kak long okey. Kenyang sangat! Siang tadi chef Ng belanja makan semua kakitangan di cafe. Nasi beriyani gam Johor lagi ! Tu yang kak long makan sikit. Esok boleh panaskan lagi lauk tu.” Aku berbohong lagi. Selepas sahaja aku melarikan diri dari rumah keluarga Izz Amir, aku keseorangan di bukit indah itu. Sekali lagi merenung langit biru dan kemudian menahan sebuah teksi untuk terus ke Yayasan Marjan.

Aku telah membuat keputusan. Entah apa yang menggila di dalam fikiran, aku tidak tahu !

Pertama, aku mahu menukar pusat kulinari aku. Tetapi, aku harus menghabiskan pembelajaran di Yayasan Marjan terlebih dahulu. Tetapi borang permohonan menukar pusat kulinari iaitu Pai Epal Cafe ditolak sama sekali. Syarat telah menetapkan bahawa pelajar harus menghabiskan pembelajaran sama dengan tempoh jadual di Yayasan Marjan. Sebarang pusat penukaran haruslah atas sebab-sebab tertentu. Harus konkrit dan ada surat dari pusat kulinari masing-masing. Konkrit sangatlah kan ! Ah ! Hiba betul ! Bila aku menghitung masa, ada lebih kurang lima bulan lagi untuk aku berhadapan dengan kenyataan ini.

Mampukah aku ? Adakah aku akan menjadi kuat berhadapan dengan Izz Amir di dalam cafenya itu ? Aku renung borang permohonan penukaran yang ditolak. Terkebil-kebil aku duduk seorang diri. Telefon berbunyi dan dengan segera aku tenung. Nama ‘Mr Pai Epal’ tertera. Sepantas kilat, aku menekan butang off. Mencabut bateri berlagak seperti kebanyakan cerita Korea yang pernah aku tonton. Aku sumbat telefon bimbit cap ayam aku ini ke dalam kocek seluar. Baterinya aku masukkan di dalam beg galas. Malas aku memikirkan lagi masalah ini ! Penat !

Dan rupa-rupanya segala perlakuanku sedang direnung oleh seorang lelaki yang duduk berhadapan dengan aku. Kerusi yang diatur di dalam pusat pentadbiran Yayasan Marjan ini panjang berderet. Cuma tempat dudukku berhadapan pula dengan deretan kerusi yang diduduki oleh lelaki berkenaan. Aku melipat-lipat surat permohonan yang awal-awal telah ditolak kerani. Mata aku mengerlingnya yang masih tersenyum. “Awak nak tukar pusat kulinari ya? ”

Aku angguk sambil memegang beg galas. Ramah mesra betul lelaki ini. Menyibuk tepi kain orang, betul !

+Tapi dia kacak lima juta kalilah Yaya ! Cer tanya, dia tu chef juga ke ?
-Jangan sibuk boleh tak ? Tak ada makna kacak lima juta kali. Kacak lagi Izz Amir yang empat belas juta kali tu ! (Opsss..Yaya tersasul. Yaya tersebut tiba-tiba) # Pilu hadir !
+Yaya ! Tengok ! Siapa yang ingat siapa ni ? Boleh tak jangan sebut nama lelaki yang bakal bergelar tunangan orang Ahad ni. Pleaselah Yaya ! Pleaselah Yaya !
-Yaya tak bolehlah ! Yaya entahlah..Yaya asyik ternampak-nampak saja senyuman Izz Amir ! Yaya rasa nak demam bila sebut nama dia. Yaya tak boleh. Yaya tak kuatlah !

Air mata bergenang. Entah kenapa, hiba melanda !

“Eh, kenapa awak macam nak nangis ni ? Saya cuma tanya awak nak tukar pusat kulinari ke ? Saya minta maaf ya ! ” Lelaki itu terkebil-kebil memerhati aku yang cengeng ! Aku tarik nafas, buat-buat betulkan beg dan mengangkat wajahku sedikit agar air mata tidak tumpah.

Seperti biasa, jawapan lapuk diberikan, “Mata saya masuk habuk ! ”

Dia tersenyum. Aku gigit bibir bawah. “Lepas habis pembelajaran setahun awak di Yayasan Marjan, awak nak sambung belajar di mana ? Eh..nama awak siapa ? ” ramah mesra betul lelaki ini.

Aku gelengkan kepala tanda tidak tahu ! Dalam masa ini pun aku masih belum merancang pembelajaran aku. Itupun jika peperiksaan lulus. Jika tidak aku harus belajar sehingga menepati piawaian dari Yayasan Marjan. Bodoh betul aku ini, sehingga lupa menyusun perancangan pembelajaran sendiri selepas keluar dari Yayasan Marjan. Gadis gilakan cinta dan angau tidak henti-henti dengan berangannya sahaja ! Nanti, orang sambung belajar ke Australia, Paris dan United Kingdom, Yaya akan duduk mengadap kertas peperiksaan yang asyik gagal sahaja ! “Yaya ! Nama saya Yaya !”

“Munir ! Nama saya Munir !” Dia ada sepasang mata yang cantik ! Itu yang aku perasankan pada lelaki ramah mesra ini.

Aku sekadar mengangguk dan memerhati ruang pejabat ini. “Dah ambil borang ?” tanyanya tiba-tiba.

Aku memandang wajahnya. “Borang apa ?”

Tersenyum ! “ Dua minggu lagi saya akan ke Paris. Saya akan ke Le Cordon Bleu. Ada banyak outlet untuk semua pelajar Yayasan Marjan menyambung pelajaran. Awak boleh pilih mana-mana outlet. Ada di London, Madrid, Paris, Adelaide, Sydney, Melbourne, Tokyo, Kobe, Seoul, Ottawa, Mexico dan Lima di Peru. Pilih saja mana-mana. Cari pengalaman dan belajar tinggi-tinggi ! Baik awak ambil borang awal-awal. Istikharah pun kena awal, persediaan awal dari segi fizikal dan mental ! Boleh pilih tempat sekali awal-awal ! Eh, pendek kata semua kena awal-awallah !”

“Serius?” aku seronok mendengar jawapan panjang lebar dari Munir.

Dia angguk lagi. Aku tersenyum berseri-seri !

Soalan ala-ala sengal terkeluar dari bibirku. Munir memerhati aku dengan penuh minat. “Outlet Le Cordon Bleu tu ada di Uganda tak?”

Dan Munir terus ketawa besar sampai terkeluar-keluar air matanya! Eh eh...soalan dari aku tadi lawak sangatkah baginya? Bukankah betul soalanku, adakah outlet itu terdapat di negara Uganda? Cet, bikin malu Yaya saja!

Dan keduanya, dengan saranan dari Munir akhirnya aku mengambil segala broucher, borang permohonan dan segala macam borang dari unit pentadbiran untuk persediaan awal-awal ! Itu kata Munir yang aku simpan sampai sekarang ini. Dia berikan kad namanya kepada aku dan memang sah-sah dia seorang chef. Chef De Partie yang mahu menyambung belajar lagi ! “Kalau Yaya pilih Paris, boleh jumpa saya di sana !” usiknya dengan senyuman. Ah, Munir ! Dalam sekejapan kami boleh menjadi kawan.

Kerana umi Izz Amir mahu aku jangan mendekati anaknya lagi, maka aku rasakan ini keputusan yang tepat untuk kerjaya dan masa depan sendiri. Ya, hati orang tua adakala berubah, bukan ? Tetapi aku harus menghormati apa juga keputusan umi Izz Amir. Aku harus mengambil masa memaklumkan perkara ini kepada ibu dan Fatin. Dan betul juga kata Munir bahawa aku harus bersedia awal-awal ! Bersedia dengan meneruskan pelajaranku seterusnya, mengisi hari Sabtu dan Ahad dengan tumpuan kuliah dan meneruskan kerja di Pai Epal Cafe dengan tenang. Meski kehadiran Izz Amir sekalipun ! Aku boleh ! Ya, Yaya boleh !

“Kak long !” Jerit Fatin. Aku ternganga-nganga memandang Fatin. Serta merta kenangan pagi tadi menghilang. Selepas sahaja mengambil borang, terus aku keluar dari Yayasan Marjan dan menaiki bas untuk ke Pai Epal Cafe. Kad yang diberikan oleh Munir segera aku simpan di dalam beg duitku. Katanya, “Apa-apa masalah, cari saya ! Saya boleh bantu.”

“Tiga kali Fatin panggil nama kak long. Mengelamun tak habis-habis saja ! Ni mata kenapa bengkak semacam saja ni ? Mata pun merah macam biji saga ! Kak long ni kenapa ? Moody semacam saja. Bateri telefon kenapa kak long letak atas almari ?”

Gulp ! Aku memandang Fatin dengan debaran berganda-ganda ! Soalan bertubi-tubi dari Fatin tidak mampu aku jawab satu persatu . Fatin pantas berdiri dan mara ke arah aku. Mulut murai betul si Fatin ni !

Dia merenung aku. Fatin gigit bibir bawah. Belakang tangannya diletak di atas dahiku. “Ibu, kak long demam ! Panas sangat ni !”

Aku tepis tangan Fatin. “Ala, sikit saja demam ni. Nanti lepas makan panadol kak long okey . Telefon kak long tadi kenapa rosak ! Tu yang kak long buka bateri !” Aku pantas bangun dari dudukku dan mara ke arah ibu. Aku mahu cepat-cepat masuk ke dalam bilik dan mengurungkan diri dari disoal perkara pelik-pelik dari Fatin ! “Kak long nak masuk tidur dulu ya bu ! Mengantuklah ! ” Aku ambil jemari ibu dan bersalam dengan ibu. Fatin merenung aku tanpa berkelip. Setiap inci gerakanku diperhatikan satu persatu. Aku kucup dahi ibu dan peluk ibu dengan lama. Rasa sebak mula melanda. Dada bergetar hebat. Mahukah ibu tahu perkara yang melanda anak gadisnya ini ?

“Nanti ibu rehat ya ! Kak long naik ke atas dululah. Esok kena pagi-pagi datang ke cafe. Selamat malam bu!” pelukan direnggangkan. Aku pandang wajah ibu beberapa saat. Ibu angguk dan tersenyum.

“Betul panas badan kak long. Nanti makan ubat!” suara ibu bergetar ! Aku sengih lagi. Cepat-cepat berlari menuju ke anak tangga dan menyembunyikan wajah mendung ini. Fatin masih merenung aku dengan seribu soalan tertera di kepalanya. Nampak tanda soal di atas dahinya dan aku tersengih geli hati !

“Selamat malam Fatin!” aku menjerit dari atas ! Kaki aku melangkah lekas-lekas. Terus aku masuk ke dalam bilik dan sekejapan pintu bilik berdentum ! Akhirnya, aku berdiri di belakang pintu sambil menarik nafas. Menenangkan diri dan menyembunyikan air mata yang mahu mengalir lagi !

***

Ya. Tepat jam 2 pagi, aku kembali demam ! Tetapi aku tidak mengejutkan ibu dan Fatin. Perlahan-lahan aku turun ke bawah mencari ais. Mengambil bekas kecil dan mengisi air. Aku cari panadol dan kembali ke dalam bilik. Tuala di dalam laci sudah berada di jemari.

Aku baringkan diri. Mengelap-ngelap leher dan dahi dengan air sejuk ! Panas berbahang ! Betul kata Fatin, aku demam ! Ah, aku kuatkan diri. Aku terus bersandar di belakang bantal. Mencari segelas air dan mengambil panadol yang berada di atas meja di sisiku ini. Aku tidak mahu menyusahkan Fatin dan ibu. Kalau aku pengsan pun, esok InsyaAllah aku boleh bangun dan kembali ke Pai Epal Cafe !

Aku meneguk air dan panadol masuk ke dalam perut. Tawakal sahaja, Yaya !

Dan seketika suasana terus menjadi bungkam. Ketika ini juga, pintu bilik aku ditolak seseorang.

Fatin !

Aku cepat-cepat menyorokkan besen air di bawah katil. Tuala yang berada di sisiku, aku simpan di bawah bantal ! Kelam kabut aku mengambil baki panadol dan menyimpannya di bawah bantal ! Dengan pantas aku menarik gebar.

Fatin menggosok matanya. Berkelip-kelip matanya memandang wajahku dan Fatin segera menghampiriku. Dia berdiri betul-betul dekat dengan kepala ini.

Telefon bimbitnya dihulurkan kepada aku. “Jangan buat-buat tidur. Ni, mr pai epal nak cakap sesuatu ! Kak long ni kan, selalu menyusahkan Fatin tau. Fatin nak tidur !”

Aku tolak gebar dan menyengih ! “ Susahkan apanya ? Jawab saja telefon tu sendiri. Kak long mengantuk ! Good night !”

“Kak long !” Fatin menjerit ! Telefon sekali lagi disuakan ke arah aku. “Ambil telefon ni, cepat ! Fatin nak tidur. Janganlah macam ni kak long. Dah lima kali chef Izz ni telefon. Jawablah.” Fatin merayu lagi.

Eeeee, sibuk betullah !” aku tolak gebar dan segera bangun. Mengambil telefon berkenaan dari tangan Fatin. Fatin menjeling dan dengan termamai-mamai terus berlalu. Mulutnya masih membebel-bebel ! “Sengaja rosakkan telefon sendiri ! Kacau betullah nak tidur ni !”

Dalam keadaan samar-samar begini, aku memerhati tubuh Fatin yang menghilang. Pintu bilik kembali ditutup dan aku pandang telefon bimbit Fatin. Perlukah aku berbual dengan dia ?

Aku segera menarik gebar ! Telefon pantas aku halakan ke telinga. “Ya ! Saya nak tidur! ” jawabku keras.

Suara Izz Amir lembut sahaja. “Kenapa awak offkan telefon, Yaya ? Cik Yaya sayang, janganlah begini. Saya risaukan awak ! Masuk ke Cafe pun lambat. Yaya pergi mana pagi tadi ?”

“Sengaja ! Ya, saya memang sengaja offkan telefon. Pagi tadi, saya ke Yayasan Marjan. Ambil borang untuk tukar cafe !” Jawabku terus terang. Rasa macam kami sudah perang dingin ! Izz Amir mengeluh.

“Yaya, umi tak bermaksud begitu. Tak kanlah sebab semua kata-kata umi awak sanggup tukar cafe dan larikan diri dari saya. Janganlah begini, Yaya ! Saya risaukan awak, Yaya!”

“Risaukan majlis pertunangan awak minggu depan, Izz Amir ! Jangan risaukan saya !” aku pegang telefon dengan kuat. Badan kembali berbahang. Aku kuatkan diri. Aku tabahkan hati sendiri. Izz Amir akan bertunang. Aku ingat kata umi Izz Amir, “Umi tak suka Yaya berkawan dengan Izz Amir. Enam bulan lagi Izz Amir akan berkahwin dengan Jasmin. Minggu depan majlis pertunangan mereka berdua.”

Aku tarik nafas dan menabahkan hati. Lelaki berwajah empat belas juta ini akan bertunang dengan Jasmin. Segala impian dan cita-cita Izz Amir nampaknya terbit di mulutnya sahaja. Ya, betul kata umi, aku ini tidak berkerjaya. Apa pun tiada. Lainlah Jasmin yang cantik dan berkerjaya. Berduit dan pandai bergaya. Memang betullah pilihan umi. Jasmin dan Izz Amir sekufu ! Aku dan Izz Amir ? Haih….sekufu pun tidak !

“Kalau saya bertunang dengan Jasmin pun, hati saya, jiwa saya dan perasaan saya hanya untuk awak, Yaya. Jauh mana awak lari pun, kalau dah Allah kata, saya kahwin dengan awak, saya tetap akan berkahwin dengan awak, Yaya !”

“Penipu! ” balasku segera. Sakitnya hati ini hanya Allah swt yang tahu.

Izz Amir tarik nafas ! “Saya sumpah tak tipu. Selama ni pernah saya tipu soal perasaan saya dekat awak ? Pernah ?”suara Izz Amir membuatkan panasku semakin bertambah.

Izz Amir menyambung lagi “Kalau saya bertunang dengan Jasmin pun, saya tak akan rela menikahi dia, Yaya. Saya akan pastikan semuanya tak berlaku !”

Aku pejam mata. Aku tarik nafas dan cuba untuk bertenang ! “Saya nak tidurlah. Esok nak kerja!”pintasku segera. Malas lagi melayan segala macam permintaan Izz Amir. Segala macam sumpah sudah keluar dari bibirnya.

“Awak kalau tidur, saya datang sekarang!” gertaknya lagi.

Aku gelengkan kepala. Gigit bibir bawah dan sekarang ini, aku harus berdiplomasi dengan Izz Amir. Aku harus sendiri memutuskan ketegangan yang melanda diri kami berdua. Aku tidak tahu apa sebenarnya yang umi sampaikan kepada Izz Amir. Malah, aku juga tidak boleh menyalahkan Izz Amir seandainya umi mahu dia bertunang dengan Jasmin.

Siapa aku dengan umi, bukan ? Aku hanya kawan Izz Amir. Tidak lebih dari itu. Kalau aku bukan ditakdirkan berjodoh dengan Izz Amir, siapa boleh menolaknya, bukan ?

Izz Amir menggertak lagi. “Saya serius akan datang ke sana!”

Aku tarik lagi nafas. Jemari kanan memegang dahi. Mataku memandang dinding. Cahaya berlawanan dengan lampu jalan di luar. “Izz, saya tak sihat. Saya demam ni. Saya pohon sangat, awak ringankan beban di bahu ni dan saya betul-betul mahu berehat. Saya minta maaf dan janganlah awak datang ke sini. Nanti ibu terbangun pula. Ibu dan Fatin pun baru balik dari Mersing. Please.” aku memujuk rayu Izz Amir. Dan dia terdiam tidak menjawab. Kepala aku terus berat dan benar-benar rasa terbeban dengan segala perkara yang berlaku kepada aku dua tiga hari ini.

“Cik Yaya sayang…”panggilnya perlahan. Aku gigit bibir bawah.

“Makan ubat ya…” suaranya gemersik memujuk. Entah kenapa aku boleh mengangguk. Ada air mata menitis keharuan. Aku betul rindukan lelaki ini. Sumpah, aku tidak membohongi diri sendiri. Dari mula berkawan dan rapat dengan Izz Amir, dia menerbitkan banyak warna dalam kehidupanku. Dialah hujan dan pelangi yang menemani. Sampai sahaja ke Pai Epal Cafe tengahari tadi, aku dilanda kesuraman. Menjadi pendiam dan Adnan memandang aku tidak terkata. Sampaikan aku dimarahi Chef Ridzwan kerana salah menumis bahan. Salah mengambil rempah dan serba serbinya salah !

“Ya, dah makan tadi !” jawabku perlahan.

“Badan panas tak ni ?” soalnya lagi. Soalannya buat aku rasa hiba . Kenapa aku ditemukan dengan Izz Amir dan kenapa aku perlu melalui pengalaman bertemu umi ? Sampai demam-demam dibuatnya !

“Dah kurang sikit.” Aku berbohong.

“Saya akan doakan awak sihat malam ni. Saya akan doa untuk perhubungan kita juga. Saya sayangkan awak, Yaya !” Izz Amir menarik nafas.

Air mata aku mengalir. Panas betul air mata yang meleleh keluar ini. Aku angguk dan gigit bibir bawah. Aku tidak boleh menidakkan sayang lelaki ini kepada aku. Aku juga tidak boleh menolak rasa hati yang memang bermukim untuk namanya.

Aku diam. Dan akhirnya suara Izz Amir melompat masuk ke dalam telinga ini. “Baiklah, Yaya rehat ya. Esok pagi-pagi saya tunggu awak di cafe. Saya nak tunggu awak dan tengok wajah kesayangan saya ni, lama-lama. Assalammualaikum.” Suaranya serba salah. Tanpa membuang masa, aku terus mematikan talian. Menarik gebar dan membetulkan kedudukanku. Aku jawab salamnya dan air mata aku terus mengalir-ngalir. Adakah perhubungan kawan dan sahabat kami ini akan terhenti selepas Izz Amir bertunang ?

Malam, kirimkan kepadanya bahawa, aku mahu dia bahagia. Selama-lamanya!

Angin, kirimkan kepadanya bahawa aku mahu dia sentiasa tersenyum seperti selalu. Dan sungguh aku rindukan kenakalan lelaki itu terhadapku.

***

Kata Izz Amir, pagi ini dia mahu bertemu dengan aku. Mahu melihat aku. Mahu memandang wajah aku. Bukankah malam tadi, dia menyatakan yang dia mahu menunggu aku di cafe ini ?

Tetapi, tubuh tinggi lampai Izz Amir tidak kelihatan. Adnan yang membuka pintu cafe. Bukan Izz Amir seperti selalu. Dengan pantas, aku membuka helmet, membuka baju sejukku dan memarkir skuterku. Beg galas yang mengandungi bekalan dari Nek Pa untuk Izz Amir turut sama aku bawa. Ibu seboleh-boleh mahu aku membawa rendang siat ini untuk Izz Amir. Ketupat juga turut sama ibu dan Fatin letakkan. Macam hari raya pula !

Aku berdiri di hadapan Adnan. Entah kenapa bila aku memandang Adnan, rasa sebak menimpa-nimpa.

Angin terus berpuput lembut. Aku pandang kawasan sekitar Pai Epal Cafe. Di depan inilah, aku ditemukan dengan Izz Amir. Aku juga teringat ketika aku terjatuh dari tangga. Menggantung origami untuk membayar duit pasunya yang pecah itu. Saat Izz Amir membaca notaku dan dia menambah-nambah notaku itu ! Ah – semuanya aku teringat. “Memang awak yang tulis semua. Saya bacalah apa yang awak tulis. Buat apa saya nak menambah-nambah cerita yang memang hakikat terjadi. Tapi awak memang comel! Cute!”

“Comel?”

“Karikatur yang awak lukis tu, comel. Saya suka karikatur tu. Saya tak kata pun awak yang comel. Jangan perasan ya!”

Aku berdiri memandang segala kenang-kenangan yang mengasak minda. Air mata aku mengalir deras. Adnan memandang aku dengan wajah bersalahnya.

“Yaya?” suara Adnan lembut memanggil.

Cepat-cepat aku kesat air mata. “Ya!”

“Janganlah sedih macam ni, Yaya! Kalau awak sedih touching-touching macam ni, nanti saya pun sedih.” Adnan menarik ke atas pintu gril. Berbunyi kuat di telinga ini.

“Awak tahu kenapa saya sedih?” tanyaku sambil kesat lagi mata.

Adnan menggelengkan kepala.

“Izz Amir kata nak datang pagi ni.”
Aku ke depankan beg galasku. Aku keluarkan Tupperware yang penuh dengan rendang. Beg plastik yang dipenuhi ketupat aku hulurkan kepada Adnan. Sampai hati Izz Amir tidak munculkan dirinya pagi ini. Sampai hati dia mengecewakan hati ini.

“Dia ada hal penting pagi ni. Papa Izz Amir telefon, suruh dia balik ke rumah segera. Umi pengsan.”

“Nek Pa buatkan ni semua untuk Izz Amir. Nanti Adnan berikan pada Izz Amir ya.” Dan bila aku pandang Tupperware dipenuhi rendang kering berkenaan, air mata aku perlahan-lahan mengalir. Aku tidak boleh menyorokkan rasa hiba ini. Masa di rumah Nek Pa, Izz Amir selalu sebut mahukan rendang kering buatan Nek Pa. Ini, Nek Pa sudah buatkan dan ini memang untuk Izz Amir yang Nek Pa sayang itu.

Adnan terkedu. Dia mengambil Tupperware dan bungkusan dari jemariku perlahan-lahan.

“Kalau Izz Amir tak sempat nak makan. Awak makanlah!”

Adnan tersenyum lagi. Dia pasti tahu apa yang berlaku dengan perhubungan kami berdua. “Terima kasih, Yaya!”

Dan hari ini berlalu dengan seribu kedukaan! Dan hari ini berlalu tanpa Izz Amir menjadi teman. Juga hari ini berlalu dengan rasa sebu berpanjangan.

13 April 2012

Dia, Cinta Hati Saya 8

Dia, Cinta Hati Saya 8. Semoga pembaca semua suka dan bolehlah saya menyambung tugasan menyiapkan Mr Pai Epal hujung minggu ini. Macam YB daaaaa…Oh, DCHS plotnya akan terus berjalan dengan sederhana dari satu bab ke satu bab. Tetapi mesej dakwah, mesej istiqamah, mesej bagaimana Majdina berubah akan saya sadurkan dengan cara dan garapan tersendiri saya. Terima kasih untuk setiap komentar kalian semua di blog, like setiap entry saya dan komen comel-comel di fb.

Okey, jom kita menikmati kisah ini!

Jung il woo 2



Bila Doktor Firman kata, kaki Zain selesai dengan pembedahan kecil. Saya ucapkan kalimah Alhamdulillah berkali-kali. Sungguh tidak pernah saya rasa setenang ini dan damai begini! Doktor Firman tersenyum dan memberi ingatan, “Lebam di pipi, pendarahan di kepala dan bengkak di perutnya mengambil masa untuk pulih. Kaki kanannya sedikit patah! Tapi tidak memudaratkan.”

Saya sedut udara perlahan-lahan. Apa yang doktor Firman mahu jelaskan lagi, saya tidak ambil peduli. Isitilah sains atau apa pun, saya tidak mahu dengar lagi! Lantas kaki ini terus melangkah mencari bilik Zain. Saya yang mahu Zain ditempatkan di dalam bilik khas berkenaan. Saya mahu Zain selesa dan doktor yang merawat juga perlu memberi perhatian khusus mereka kepada Zain.

Dahi saya bertampal. Tangan kiri luka berbalut dan belakang badan saya juga sakit akibat dipijak oleh Fendi dan kawan-kawannya. Pesan doktor supaya saya berehat juga tidak dihiraukan. Malahan, saya terus lupa kepada ibu dan papa. Cuma saya sempat menelefon bibik J mengenai kemalangan saya dan sekarang duduknya di hospital.

Fendi? Saya tidak lagi mahu menyebut namanya. Sekalipun melihat wajah Fendi dan rakan-rakannya. Saya akan putuskan juga hubungan kami berdua. Malah, kalau Fendi menangis air mata darah untuk saya menerimanya semula pun saya tidak akan hiraukan! Saya benci Fendi semenjak dia berani memukul Zain saya! Saya benci kerana Fendi langsung tidak berperikemanusiaan kepada Zain. Berjingkit-jingkit langkah saya dan hati masih menyumpah seranah Fendi! Nasib baik juga kaki ini masih boleh berjalan seperti biasa.

Bilik Zain di hujung sana. Bilik saya di hujung kanan pula. Tidak terlalu jauh dan pagi tadi ketika saya membuka pintu, Zain sedang nyenyak tidur.

Kenangan terus berputar-putar ligat!

Umi sudah terlena dengan kerusi. Kepala umi terlentok dan saya lihat umi memegang kemas jemari Zain. Saya tidak mahu menggangu Zain dan umi yang sedang berehat-rehat. Dengan rasa sebak melihat kasih sayang umi, saya menutup kembali pintu berkenaan.

Saya tarik nafas. Senada dan ruang hospital sebenarnya terasa menyesakkan. Derap tapak kaki seseorang menerjah telinga ini. Saya angkat kepala dan terpandangkan Husna yang lesu berjalan ke bilik ini. Husna memakai baju kurung bunga-bunga kecil biru kundang. Wajahnya putih bersih dan cantik sama kacak seperti abangnya, Zain dan jari Husna memegang sebuah beg plastik dengan dua bungkus air milo. Saya pandang beg plastik berkenaan dan ada empat bungkus nasi lemak. Mata kami berdua berlaga!

“Kak Dina!” Dik Husna memeluk saya yang mendiamkan diri di hadapan pintu. Saya masih belum berani mempamerkan diri di hadapan umi kerana saya takutkan umi. Entah apa agaknya sangka umi. Atau nanti umi akan beranggapan kemalangan Zain ini semua berlaku kerana saya. Atau boleh juga umi menuduh saya mengupah sesiapa memukul Zain ? Ah – teruknya fikiran saya ketika itu.

Bahu saya dipegang Husna. Tangan kiri saya dibelek-belek dan tampalan di dahi serta di leher diusik-usik. “Kak Dina! Ya Allah, macam ni teruk sekali kak Dina dipukul! Memang jahat samseng-samseng tu! Allahuakbar! Nasib baiklah tak teruk! Mari masuk!”

Saya gelengkan kepala. Menolak jemari Husna dan adik Zain ini memandang saya dengan penuh rasa kasih sayangnya. “Kak Dina rasa sebab akak abang dik Husna jadi begini! Kak Dina minta maaf dik Husna. Mesti umi tak maafkan Kak Dina. Kan?”

Husna menggelengkan kepala. Ditariknya tangan saya. “Umi dah datang ke sini dari petang semalam lagi. Umi jenguk kak Dina juga di bilik. Tapi kak Dina tidur! Jangan suka buruk sangka begini, Allah marah tau! Umi nak marah? Hei…tengok ni! Cuba kak Dina teka ni apa?” Husna mengangkat beg plastik berisi nasi lemak dan air milo.

“Nasi lemak dan air milo!” jawab saya perlahan. Husna tersengih dan jemarinya menarik lagi lengan saya.

“Umi yang suruh dik Husna datang hospital bawakan nasi lemak dan air milo ni untuk kak Dina dan abang long. Jom kita masuk! Mengada-ngada nak malu dengan umi. Tak apa, abang long tidur lagi!”

Husna lebih pantas dari saya! Dan tombol pintu dipulas bersama umi yang sedang tersenyum. Dan bila umi memandang saya, wajahnya penuh dengan rasa bimbang.

Termangu dan saat saya berdiri di hadapan umi, umi memandang saya penuh rusuh! Serta merta umi menghampiri saya dan memegang pipi ini.

“Ya Allah, Dina sampai macam ni juga! Nasib baiklah tak apa-apa. Ada yang patah ke nak?” umi memegang tangan kanan dan kemudian beralih ke tangan kiri. Mata umi segera memandang balutan di lengan kiriku dan melihat segala tampal-tampalan kemas jururawat di hospital ini.

Saya senyum memandang wajah umi. Kemudian saya geleng-gelengkan kepala. “Dina umi jangan risaukan sangat. Dina okey, umi. Alhamdulillah!” Saya senyum panjang dan rasa semacam apabila bibir ini mengucapkan perkataan, ‘Alhamdulillah’. Sungguh tidak pernah saya menyebutnya sebelum ini. Tetapi bila saya dekat dengan umi dan Husna, telinga ini selalu sahaja mendengar kalimah-kalimah indah dari bibir mereka. Automatiknya, saya mengikut dan menghafal sedikit demi sedikit. Entah dari mana, Husna pula membawa sebuah kerusi dan disuruhnya saya duduk bersebelahan umi.

Apa lagi yang boleh saya tolak, melainkan berbual dengan umi dan Husna. Memohon maaf kerana Zain cedera disebabkan saya. Zain itu yang menyerahkan nyawanya untuk melindungi saya. Saya bercerita umi mendengar penuh khusyuk.

Dan entahlah mengapa hati saya luluh benar melihat kebaikan umi. Nasi lemak disuap terus ke mulut saya dan Husna. Berbual-bual dengan rasa yang bahagia. Selepas menyuap Husna, umi menyuap saya pula dan tahukah umi saya semakin sebak dan terlalu hiba memandang wajah redupnya itu. Husna menghulurkan air milo yang sudah dituang di dalam cawan kecil. Saya tersenyum mengangguk. Sungguh, saya rindu betul menatap wajah ibu. Dan saya kepingin betul merasa kasih sayang sebegini. Kenapa ibu tidak muncul-muncul juga malam tadi? Kenapa hanya bibik J sahaja yang datang dengan sebuah beg dipenuhi pakaian saya. Mana ibu? Adakah ibu masih sibuk dengan aktiviti persatuannya? Saya tahan air mata yang hampir tumpah! Makin ditahan semakin saya lemas dengan kekesalan. Saya rasa jiwa kosong dengan kasih sayang. Saya rasa terpinggir dengan kebaikan umi dan Husna. Saya rasa amat naïf dan kerdil. Lantas, saya bangun ke bilik air dan menangis semahu-mahunya. Menyembunyikan lagi sedih ini tanpa diketahui mereka semua.

Tuhan, adakah masih ada ruang untuk aku mendapat kasih sayang sebegini?

***

“Dina jangan kosongkan perut tu! Nanti perut kosong, siapa yang susah? Umi jugak. Ha, dik Husna sekejap lagi nak ke kelas. Dina rehat-rehat dan kalau senang teman umi sembang-sembang di sini! Zain ni kalau tidur, tak bangun-bangun!” umi memandang Zain. Suasana dingin dan umi mengelap jemarinya dengan tuala yang dihulurkan Husna. Dua bungkus nasi lemak sudah habis kami berdua nikmati.

Umi dekatkan tubuhnya ke arah Zain dan saya pandang air yang dimasukkan ke dalam urat di lengan Zain. Tiub putih panjang menghala ke langan Zain yang putih. Zain hari ini, benar-benar pengsan!

Kata umi dengan sebak, “Terima kasih Dina sebab sanggup Dina masukkan Zain dalam bilik yang umi tak tahu harganya ni. Kalau Zain sedar nanti, mesti dia terus nak balik ke rumah dan tak mahu menyusahkan Dina.”

Saya pandang Zain yang belum mahu membuka matanya. Umi mengusap-usap lembut dahi Zain. Husna entah kenapa, sayu memandang abangnya. Ada air mata mengalir keluar dari mata bundar Husna.

“Dina sekadar membantu dan kurangkan beban umi. Ini sahaja yang Dina mampu hulurkan dan kerana pertolongan Zain kepada Dina, umi.”

“Abang long baik sangat kak. Hari-hari kalau abang long balik dari kerja mesti abang long belikan Husna apam balik!” Husna menyengih tetapi ada air mata mengalir. Husna ketawa dalam sebak. Masih memandang saya dan Husna berdiri bersama begnya.

“Tapi dulu abang long kata, kanak-kanak di Palestin, jikalau kakinya patah dan hilang pun mereka gembira kerana sudah selangkah kaki mereka memijak syurga!” Husna kesat-kesat air matanya. Saya gigit bibir bawah. Umi sudah duduk dan merenung Zain lama-lama.

Saya duduk menanti mata Zain terbuka. Hiba mendatangi. Saya pandang wajah Husna yang putih bersih dan tudung yang melekap di kepala dan membalut tubuhnya. Saya rasa tenang melihat Husna berketrampilan sebegini.

Beberapa minit, suasana menjadi hening. Dingin dan sesekali bayu berpuput lembut. Langsir bergerak perlahan. Nadi semakin berdenyut dan nafas sesekali menjadi teman hati. Entah apa jadinya dengan saya, dan bibir ini mneyebut nama Allah beberapa kali.

Zain, bukalah mata! Umi rindukan Zain. Sungguh Zain. Kalau saya mahu terangkan cara renungan umi itu, saya sendiri sukar tafsirkan. Umi kesat-kesat dahi Zain dan betul-betulkan rambut Zain.

Zain, gerakkanlah jemari itu Zain. Dik Husna di sini sentiasa mahu Zain hadir bersama gurauan kecilmu itu. Dik Husna juga mahu Zain membelikan apam balik yang selalu Zain belikan untuknya.

Zain, bangunlah dan tersenyumlah Zain! Saya mahu sangat mendengar alunan bacaan Al-Quranmu itu. Mahu juga saya mendengar laungan azan yang mendayu itu. Zain, bukalah mata kerana saya semakin terasa mahu menyintai kamu sungguh-sungguh. Zain, jangan buat saya kesedihan dan jangan sesekali menolak rasa hati ini.

Zain, mahukah kamu mengajar saya bersolat? Zain, mahukah kamu mengajar saya santun seorang wanita itu? Zain, mahukah kamu memandang saya yang serba kekurangan ini? Dan Zain, mahukah kamu meletakkan kerudung putih membalut rambut dan tubuh ini?

Air mata mengalir menyesakkan.

Seketika kelopak mata Zain bergerak-gerak. Saya melihat Zain cuba membuka matanya. Umi beranjak terus mendapatkan Zain. Memegang jemari Zain dan umi mencium dahi Zain. “Zain, ni umi Zain!”

“…Allah.” Itu kalimah pertama keluar dari bibir Zain. Saya terus mengesat air mata dan berdiri membelakangkan Zain. Saya tersenyum penuh puas! Zain sudah sedarkan diri. Zain sudah boleh bercakap! Husna terus berpusing ke arah kiri katil dan berdiri di antara kepala abang kesayangannya itu. Saya tersorok di belakang umi.

“Umi!” dan Zain memberikan senyumannya.

"Dik Husna yang cantik pun ada!" Zain memandang Husna pula.

Saya terharu! Saya kesat air mata. Saya tutup mulut kerana melihat umi mengangguk dan mengucapkan Alhamdulillah berkali-kali.

“…Dina? Dina macam mana umi? Dina selamatkah umi?”Umi mengangguk lagi. Umi menarik tangan saya dan betul-betul saya berdiri di hadapan Zain. Saya memunculkan diri dan Zain menarik nafas melihat saya segar bugar! Husna tersenyum lega.

Mereka berpandangan dan Husna sekali lagi mengucapkan kalimah satu itu! “Allahuakbar abang long! Abang long boleh belikan dik Husna apam balik la malam ni!”

"Asyik sahaja dengan kuih apam baliknya! Buat sendiri!" Zain tersenyum lagi.

Saya membalas senyuman Zain dan rasa betul-betul dihargai. Zain bertanyakan saya, bukan? Bagaikan mimpi pula! Zain juga menyebut nama saya. Zain sudi memandang saya dan wajahnya nampak lega kerana saya berdiri dihadapannya.

Dan saya masih ingat, saat itu juga saya terus berjalan keluar dan mencari surau. Meski dalam keadaan terhenjut-henjut dan kaki ini masih sakit, saya panjangkan langkah ini. Berbekalkan ingatan bagaimana umi mengajari saya mengambil wuduk, saya terus membasahkan muka, tangan dan kaki. Mengambil wuduk dengan air mata mencurah-curah.

Saya mencari telekung di surau itu juga! Dan membentangkan sejadah.

Sungguh cinta membuatkan saya hidup dalam keadaan berjiwa hamba. Sungguh cinta membuatkan saya disayat kekerdilan yang menewaskan hati. Dan sungguh cinta membuatkan saya dipukul dengan rasa kehinaan kepada Tuhan. Sungguh kau cinta, membuatkan saya tewas dirangkul kenaifan.

Saat saya sujud. Air mata mengalir selebat-lebatnya! Tuhan, adakah kau sudi mengampunkan segala dosa-dosaku? Tuhan, adakah kau sudi membenarkan hasrat hatiku itu?

Ya Allah, sihatkan kembali Zain yang baik itu. Ya Allah, bahagiakan umi Zain yang lemah lembut itu. Ya Allah, lindungilah dik Husna seperti mana Kau lindungi kesempurnaan seorang wanita itu.

Dan kenangan itu terus terputus dengan air mata yang terus bertakung. Saya sendiri sukar mengerti kenapa apabila saya melihat kebaikan umi dan kesantunan Husna air mata ini mahu sahaja mengalir. Kenapa juga saya dilanda sebak bergunung-gunung dan rasa dihuni dengan serba salah yang mencucuk jiwa. Kenapa saya?

Saya berdiri sekali lagi merenung pintu bilik Zain. Ada suara Husna dan umi. Saya pulas tombol tetapi tersekat apabila mendengar perbualan mereka bertiga. Mata saya memandang mereka bertiga dengan rasa bahagia. Hanya cermin pintu bilik ini sahaja yang menjarakkan saya dan mereka. Cermin lutsinar yang mempertontonkan bahagianya Zain, umi dan dik Husna!

Suara Husna terus menyinggah ke telinga. “Kenapa along tak buka silat?”

“Tak sempat!”

Eleh..tak sempat ke sengaja buat-buat lembik sampai macam ni jadinya!” Husna mengusik lagi abang kesayangannya.

“Abang long kan pandai bersilat. Kenapa tak lawan patahkan tulang-tulang budak jahat tu?”

“Ala, along bukan sengaja. Entah kenapa along terlupa bukak langkah silatnya! Jadi macam tak stabil rasa hati ni! Mereka bertiga. Along seorang!”

Husna terkekek ketawa. “Ceh! Konon tak stabil rasa hati! Ke tercabut jantung abang long sebab terpandangkan kak Dina cantik tu?”

Eh eh, dia ni!” Zain menangkis serangan Husna. Saya tersenyum mendengar gurauan mereka.

“Anak umi memang pemalu!” suara umi pula kedengaran.

Husna terus ‘membelasah’ abangnya. “Iyalah, mesti abang long malu kan umi. Bilal keluar dengan gadis cantik. Tak terkejut beruk semua jiran-jiran umi sampaikan semua cakap umi gila benarkan abang long teman kak Dina cantik tu balik ke rumahnya!”

Husna pantas memotong buah epal. Menghulurkan seulas epal merah kepada Zain. Mata saya terus memerhati gerak geri mereka bertiga! Menawan hati! “Eh eh abang long, kak Dina tu cantik kan? Husna sukalah tengok kak Dina!”

Zain mengunyah epal yang disua ke bibirnya. Saya tersenyum memerhati gelagat Zain. Zain sudah beransur sembuh! Zain sudah boleh mengunyah buah epal. Soalan Husna endah tak endah sahaja. Adakah Zain mendengar soalan dari adiknya itu?

“Cantik ke umi?” suara Zain menyejukkan hati. Mengapa perlu ditanya kepada umi. Jawablah sahaja, Zain!

“Kalau umi kata tak cantik?” suara umi pula melekat ke dalam cepu minda ini. Saya gigit bibir bawah.

Errrr..terpulanglah pada pandangan mata umi! Tapi bagi Zain…” Zain terhenti. Gerak bibirnya yang mengunyah epal terbantut.

Mata saya dan Zain sedang bersatu! Hanya cermin lutsinar dan pintu ini yang memisahkan pandangan kami berdua. Entah kenapa jantung saya berdebar maha dahsyat!

“Tapi apanya abang long? Jawablah cepat!” Husna memaksa. Zain terpaku! Dan saya entah kenapa terkedu.

“Cantik! Kak Dina memang cantik!” suara dari bibirnya jauh melekat ke hati. Zain memerhati saya melalui tempat letak tubuhnya. Ekor matanya memandang lagi saya. Suaranya terus menusuk menikam jiwa ini.

Allah… saat itu juga, saya tunduk, menarik tombol pintu dan menutup pintu dengan perlahan-lahan. Saya senyum meski ada sendu berlagu.

Cantik! Kak Dina memang cantik!
Dan saya menangis perlahan-lahan di sebalik pintu bilik ini. Rasa malu menebal dan entah saya tidak tahu kenapa dengan jiwa saya yang dihambat pilu dan bahu yang berat memikul dosa bertan-tan!

Zain, ini kali pertama saya mendengar seorang lelaki menyebut saya cantik. Dan ia hadir dari lubuk hati seorang lelaki suci seperti kamu, Zain.

Saya teresak-esak di muka pintu. Jauh sekali saya selalu ketawa seperti selalu apabila ramai lelaki menggoda saya dan tersenyum ke arah saya. Ia berlainan rasanya sekarang ini. Dan pintu terbuka perlahan.

Zain dengan tongkatnya, memandang saya dengan senyuman. Husna yang memimpin Zain, menyeluruhi wajah saya dengan penuh rasa jiwa. “Dina, janganlah menangis lagi. Mari masuk, bual-bual dengan umi!”

Dan suaranya membuatkan saya bertambah pilu. Dihenyak dengan rasa cinta pengabdian kepada Ilahi.

Zain, saya malu dengan awak Zain!

Zain, saya segan bertambah sayu memandang wajahmu itu.

Dan Zain, saya tidak tahu kenapa rasa cinta ini semakin menebal untuk kamu!