Pages

13 April 2012

Dia, Cinta Hati Saya 8

Dia, Cinta Hati Saya 8. Semoga pembaca semua suka dan bolehlah saya menyambung tugasan menyiapkan Mr Pai Epal hujung minggu ini. Macam YB daaaaa…Oh, DCHS plotnya akan terus berjalan dengan sederhana dari satu bab ke satu bab. Tetapi mesej dakwah, mesej istiqamah, mesej bagaimana Majdina berubah akan saya sadurkan dengan cara dan garapan tersendiri saya. Terima kasih untuk setiap komentar kalian semua di blog, like setiap entry saya dan komen comel-comel di fb.

Okey, jom kita menikmati kisah ini!

Jung il woo 2



Bila Doktor Firman kata, kaki Zain selesai dengan pembedahan kecil. Saya ucapkan kalimah Alhamdulillah berkali-kali. Sungguh tidak pernah saya rasa setenang ini dan damai begini! Doktor Firman tersenyum dan memberi ingatan, “Lebam di pipi, pendarahan di kepala dan bengkak di perutnya mengambil masa untuk pulih. Kaki kanannya sedikit patah! Tapi tidak memudaratkan.”

Saya sedut udara perlahan-lahan. Apa yang doktor Firman mahu jelaskan lagi, saya tidak ambil peduli. Isitilah sains atau apa pun, saya tidak mahu dengar lagi! Lantas kaki ini terus melangkah mencari bilik Zain. Saya yang mahu Zain ditempatkan di dalam bilik khas berkenaan. Saya mahu Zain selesa dan doktor yang merawat juga perlu memberi perhatian khusus mereka kepada Zain.

Dahi saya bertampal. Tangan kiri luka berbalut dan belakang badan saya juga sakit akibat dipijak oleh Fendi dan kawan-kawannya. Pesan doktor supaya saya berehat juga tidak dihiraukan. Malahan, saya terus lupa kepada ibu dan papa. Cuma saya sempat menelefon bibik J mengenai kemalangan saya dan sekarang duduknya di hospital.

Fendi? Saya tidak lagi mahu menyebut namanya. Sekalipun melihat wajah Fendi dan rakan-rakannya. Saya akan putuskan juga hubungan kami berdua. Malah, kalau Fendi menangis air mata darah untuk saya menerimanya semula pun saya tidak akan hiraukan! Saya benci Fendi semenjak dia berani memukul Zain saya! Saya benci kerana Fendi langsung tidak berperikemanusiaan kepada Zain. Berjingkit-jingkit langkah saya dan hati masih menyumpah seranah Fendi! Nasib baik juga kaki ini masih boleh berjalan seperti biasa.

Bilik Zain di hujung sana. Bilik saya di hujung kanan pula. Tidak terlalu jauh dan pagi tadi ketika saya membuka pintu, Zain sedang nyenyak tidur.

Kenangan terus berputar-putar ligat!

Umi sudah terlena dengan kerusi. Kepala umi terlentok dan saya lihat umi memegang kemas jemari Zain. Saya tidak mahu menggangu Zain dan umi yang sedang berehat-rehat. Dengan rasa sebak melihat kasih sayang umi, saya menutup kembali pintu berkenaan.

Saya tarik nafas. Senada dan ruang hospital sebenarnya terasa menyesakkan. Derap tapak kaki seseorang menerjah telinga ini. Saya angkat kepala dan terpandangkan Husna yang lesu berjalan ke bilik ini. Husna memakai baju kurung bunga-bunga kecil biru kundang. Wajahnya putih bersih dan cantik sama kacak seperti abangnya, Zain dan jari Husna memegang sebuah beg plastik dengan dua bungkus air milo. Saya pandang beg plastik berkenaan dan ada empat bungkus nasi lemak. Mata kami berdua berlaga!

“Kak Dina!” Dik Husna memeluk saya yang mendiamkan diri di hadapan pintu. Saya masih belum berani mempamerkan diri di hadapan umi kerana saya takutkan umi. Entah apa agaknya sangka umi. Atau nanti umi akan beranggapan kemalangan Zain ini semua berlaku kerana saya. Atau boleh juga umi menuduh saya mengupah sesiapa memukul Zain ? Ah – teruknya fikiran saya ketika itu.

Bahu saya dipegang Husna. Tangan kiri saya dibelek-belek dan tampalan di dahi serta di leher diusik-usik. “Kak Dina! Ya Allah, macam ni teruk sekali kak Dina dipukul! Memang jahat samseng-samseng tu! Allahuakbar! Nasib baiklah tak teruk! Mari masuk!”

Saya gelengkan kepala. Menolak jemari Husna dan adik Zain ini memandang saya dengan penuh rasa kasih sayangnya. “Kak Dina rasa sebab akak abang dik Husna jadi begini! Kak Dina minta maaf dik Husna. Mesti umi tak maafkan Kak Dina. Kan?”

Husna menggelengkan kepala. Ditariknya tangan saya. “Umi dah datang ke sini dari petang semalam lagi. Umi jenguk kak Dina juga di bilik. Tapi kak Dina tidur! Jangan suka buruk sangka begini, Allah marah tau! Umi nak marah? Hei…tengok ni! Cuba kak Dina teka ni apa?” Husna mengangkat beg plastik berisi nasi lemak dan air milo.

“Nasi lemak dan air milo!” jawab saya perlahan. Husna tersengih dan jemarinya menarik lagi lengan saya.

“Umi yang suruh dik Husna datang hospital bawakan nasi lemak dan air milo ni untuk kak Dina dan abang long. Jom kita masuk! Mengada-ngada nak malu dengan umi. Tak apa, abang long tidur lagi!”

Husna lebih pantas dari saya! Dan tombol pintu dipulas bersama umi yang sedang tersenyum. Dan bila umi memandang saya, wajahnya penuh dengan rasa bimbang.

Termangu dan saat saya berdiri di hadapan umi, umi memandang saya penuh rusuh! Serta merta umi menghampiri saya dan memegang pipi ini.

“Ya Allah, Dina sampai macam ni juga! Nasib baiklah tak apa-apa. Ada yang patah ke nak?” umi memegang tangan kanan dan kemudian beralih ke tangan kiri. Mata umi segera memandang balutan di lengan kiriku dan melihat segala tampal-tampalan kemas jururawat di hospital ini.

Saya senyum memandang wajah umi. Kemudian saya geleng-gelengkan kepala. “Dina umi jangan risaukan sangat. Dina okey, umi. Alhamdulillah!” Saya senyum panjang dan rasa semacam apabila bibir ini mengucapkan perkataan, ‘Alhamdulillah’. Sungguh tidak pernah saya menyebutnya sebelum ini. Tetapi bila saya dekat dengan umi dan Husna, telinga ini selalu sahaja mendengar kalimah-kalimah indah dari bibir mereka. Automatiknya, saya mengikut dan menghafal sedikit demi sedikit. Entah dari mana, Husna pula membawa sebuah kerusi dan disuruhnya saya duduk bersebelahan umi.

Apa lagi yang boleh saya tolak, melainkan berbual dengan umi dan Husna. Memohon maaf kerana Zain cedera disebabkan saya. Zain itu yang menyerahkan nyawanya untuk melindungi saya. Saya bercerita umi mendengar penuh khusyuk.

Dan entahlah mengapa hati saya luluh benar melihat kebaikan umi. Nasi lemak disuap terus ke mulut saya dan Husna. Berbual-bual dengan rasa yang bahagia. Selepas menyuap Husna, umi menyuap saya pula dan tahukah umi saya semakin sebak dan terlalu hiba memandang wajah redupnya itu. Husna menghulurkan air milo yang sudah dituang di dalam cawan kecil. Saya tersenyum mengangguk. Sungguh, saya rindu betul menatap wajah ibu. Dan saya kepingin betul merasa kasih sayang sebegini. Kenapa ibu tidak muncul-muncul juga malam tadi? Kenapa hanya bibik J sahaja yang datang dengan sebuah beg dipenuhi pakaian saya. Mana ibu? Adakah ibu masih sibuk dengan aktiviti persatuannya? Saya tahan air mata yang hampir tumpah! Makin ditahan semakin saya lemas dengan kekesalan. Saya rasa jiwa kosong dengan kasih sayang. Saya rasa terpinggir dengan kebaikan umi dan Husna. Saya rasa amat naïf dan kerdil. Lantas, saya bangun ke bilik air dan menangis semahu-mahunya. Menyembunyikan lagi sedih ini tanpa diketahui mereka semua.

Tuhan, adakah masih ada ruang untuk aku mendapat kasih sayang sebegini?

***

“Dina jangan kosongkan perut tu! Nanti perut kosong, siapa yang susah? Umi jugak. Ha, dik Husna sekejap lagi nak ke kelas. Dina rehat-rehat dan kalau senang teman umi sembang-sembang di sini! Zain ni kalau tidur, tak bangun-bangun!” umi memandang Zain. Suasana dingin dan umi mengelap jemarinya dengan tuala yang dihulurkan Husna. Dua bungkus nasi lemak sudah habis kami berdua nikmati.

Umi dekatkan tubuhnya ke arah Zain dan saya pandang air yang dimasukkan ke dalam urat di lengan Zain. Tiub putih panjang menghala ke langan Zain yang putih. Zain hari ini, benar-benar pengsan!

Kata umi dengan sebak, “Terima kasih Dina sebab sanggup Dina masukkan Zain dalam bilik yang umi tak tahu harganya ni. Kalau Zain sedar nanti, mesti dia terus nak balik ke rumah dan tak mahu menyusahkan Dina.”

Saya pandang Zain yang belum mahu membuka matanya. Umi mengusap-usap lembut dahi Zain. Husna entah kenapa, sayu memandang abangnya. Ada air mata mengalir keluar dari mata bundar Husna.

“Dina sekadar membantu dan kurangkan beban umi. Ini sahaja yang Dina mampu hulurkan dan kerana pertolongan Zain kepada Dina, umi.”

“Abang long baik sangat kak. Hari-hari kalau abang long balik dari kerja mesti abang long belikan Husna apam balik!” Husna menyengih tetapi ada air mata mengalir. Husna ketawa dalam sebak. Masih memandang saya dan Husna berdiri bersama begnya.

“Tapi dulu abang long kata, kanak-kanak di Palestin, jikalau kakinya patah dan hilang pun mereka gembira kerana sudah selangkah kaki mereka memijak syurga!” Husna kesat-kesat air matanya. Saya gigit bibir bawah. Umi sudah duduk dan merenung Zain lama-lama.

Saya duduk menanti mata Zain terbuka. Hiba mendatangi. Saya pandang wajah Husna yang putih bersih dan tudung yang melekap di kepala dan membalut tubuhnya. Saya rasa tenang melihat Husna berketrampilan sebegini.

Beberapa minit, suasana menjadi hening. Dingin dan sesekali bayu berpuput lembut. Langsir bergerak perlahan. Nadi semakin berdenyut dan nafas sesekali menjadi teman hati. Entah apa jadinya dengan saya, dan bibir ini mneyebut nama Allah beberapa kali.

Zain, bukalah mata! Umi rindukan Zain. Sungguh Zain. Kalau saya mahu terangkan cara renungan umi itu, saya sendiri sukar tafsirkan. Umi kesat-kesat dahi Zain dan betul-betulkan rambut Zain.

Zain, gerakkanlah jemari itu Zain. Dik Husna di sini sentiasa mahu Zain hadir bersama gurauan kecilmu itu. Dik Husna juga mahu Zain membelikan apam balik yang selalu Zain belikan untuknya.

Zain, bangunlah dan tersenyumlah Zain! Saya mahu sangat mendengar alunan bacaan Al-Quranmu itu. Mahu juga saya mendengar laungan azan yang mendayu itu. Zain, bukalah mata kerana saya semakin terasa mahu menyintai kamu sungguh-sungguh. Zain, jangan buat saya kesedihan dan jangan sesekali menolak rasa hati ini.

Zain, mahukah kamu mengajar saya bersolat? Zain, mahukah kamu mengajar saya santun seorang wanita itu? Zain, mahukah kamu memandang saya yang serba kekurangan ini? Dan Zain, mahukah kamu meletakkan kerudung putih membalut rambut dan tubuh ini?

Air mata mengalir menyesakkan.

Seketika kelopak mata Zain bergerak-gerak. Saya melihat Zain cuba membuka matanya. Umi beranjak terus mendapatkan Zain. Memegang jemari Zain dan umi mencium dahi Zain. “Zain, ni umi Zain!”

“…Allah.” Itu kalimah pertama keluar dari bibir Zain. Saya terus mengesat air mata dan berdiri membelakangkan Zain. Saya tersenyum penuh puas! Zain sudah sedarkan diri. Zain sudah boleh bercakap! Husna terus berpusing ke arah kiri katil dan berdiri di antara kepala abang kesayangannya itu. Saya tersorok di belakang umi.

“Umi!” dan Zain memberikan senyumannya.

"Dik Husna yang cantik pun ada!" Zain memandang Husna pula.

Saya terharu! Saya kesat air mata. Saya tutup mulut kerana melihat umi mengangguk dan mengucapkan Alhamdulillah berkali-kali.

“…Dina? Dina macam mana umi? Dina selamatkah umi?”Umi mengangguk lagi. Umi menarik tangan saya dan betul-betul saya berdiri di hadapan Zain. Saya memunculkan diri dan Zain menarik nafas melihat saya segar bugar! Husna tersenyum lega.

Mereka berpandangan dan Husna sekali lagi mengucapkan kalimah satu itu! “Allahuakbar abang long! Abang long boleh belikan dik Husna apam balik la malam ni!”

"Asyik sahaja dengan kuih apam baliknya! Buat sendiri!" Zain tersenyum lagi.

Saya membalas senyuman Zain dan rasa betul-betul dihargai. Zain bertanyakan saya, bukan? Bagaikan mimpi pula! Zain juga menyebut nama saya. Zain sudi memandang saya dan wajahnya nampak lega kerana saya berdiri dihadapannya.

Dan saya masih ingat, saat itu juga saya terus berjalan keluar dan mencari surau. Meski dalam keadaan terhenjut-henjut dan kaki ini masih sakit, saya panjangkan langkah ini. Berbekalkan ingatan bagaimana umi mengajari saya mengambil wuduk, saya terus membasahkan muka, tangan dan kaki. Mengambil wuduk dengan air mata mencurah-curah.

Saya mencari telekung di surau itu juga! Dan membentangkan sejadah.

Sungguh cinta membuatkan saya hidup dalam keadaan berjiwa hamba. Sungguh cinta membuatkan saya disayat kekerdilan yang menewaskan hati. Dan sungguh cinta membuatkan saya dipukul dengan rasa kehinaan kepada Tuhan. Sungguh kau cinta, membuatkan saya tewas dirangkul kenaifan.

Saat saya sujud. Air mata mengalir selebat-lebatnya! Tuhan, adakah kau sudi mengampunkan segala dosa-dosaku? Tuhan, adakah kau sudi membenarkan hasrat hatiku itu?

Ya Allah, sihatkan kembali Zain yang baik itu. Ya Allah, bahagiakan umi Zain yang lemah lembut itu. Ya Allah, lindungilah dik Husna seperti mana Kau lindungi kesempurnaan seorang wanita itu.

Dan kenangan itu terus terputus dengan air mata yang terus bertakung. Saya sendiri sukar mengerti kenapa apabila saya melihat kebaikan umi dan kesantunan Husna air mata ini mahu sahaja mengalir. Kenapa juga saya dilanda sebak bergunung-gunung dan rasa dihuni dengan serba salah yang mencucuk jiwa. Kenapa saya?

Saya berdiri sekali lagi merenung pintu bilik Zain. Ada suara Husna dan umi. Saya pulas tombol tetapi tersekat apabila mendengar perbualan mereka bertiga. Mata saya memandang mereka bertiga dengan rasa bahagia. Hanya cermin pintu bilik ini sahaja yang menjarakkan saya dan mereka. Cermin lutsinar yang mempertontonkan bahagianya Zain, umi dan dik Husna!

Suara Husna terus menyinggah ke telinga. “Kenapa along tak buka silat?”

“Tak sempat!”

Eleh..tak sempat ke sengaja buat-buat lembik sampai macam ni jadinya!” Husna mengusik lagi abang kesayangannya.

“Abang long kan pandai bersilat. Kenapa tak lawan patahkan tulang-tulang budak jahat tu?”

“Ala, along bukan sengaja. Entah kenapa along terlupa bukak langkah silatnya! Jadi macam tak stabil rasa hati ni! Mereka bertiga. Along seorang!”

Husna terkekek ketawa. “Ceh! Konon tak stabil rasa hati! Ke tercabut jantung abang long sebab terpandangkan kak Dina cantik tu?”

Eh eh, dia ni!” Zain menangkis serangan Husna. Saya tersenyum mendengar gurauan mereka.

“Anak umi memang pemalu!” suara umi pula kedengaran.

Husna terus ‘membelasah’ abangnya. “Iyalah, mesti abang long malu kan umi. Bilal keluar dengan gadis cantik. Tak terkejut beruk semua jiran-jiran umi sampaikan semua cakap umi gila benarkan abang long teman kak Dina cantik tu balik ke rumahnya!”

Husna pantas memotong buah epal. Menghulurkan seulas epal merah kepada Zain. Mata saya terus memerhati gerak geri mereka bertiga! Menawan hati! “Eh eh abang long, kak Dina tu cantik kan? Husna sukalah tengok kak Dina!”

Zain mengunyah epal yang disua ke bibirnya. Saya tersenyum memerhati gelagat Zain. Zain sudah beransur sembuh! Zain sudah boleh mengunyah buah epal. Soalan Husna endah tak endah sahaja. Adakah Zain mendengar soalan dari adiknya itu?

“Cantik ke umi?” suara Zain menyejukkan hati. Mengapa perlu ditanya kepada umi. Jawablah sahaja, Zain!

“Kalau umi kata tak cantik?” suara umi pula melekat ke dalam cepu minda ini. Saya gigit bibir bawah.

Errrr..terpulanglah pada pandangan mata umi! Tapi bagi Zain…” Zain terhenti. Gerak bibirnya yang mengunyah epal terbantut.

Mata saya dan Zain sedang bersatu! Hanya cermin lutsinar dan pintu ini yang memisahkan pandangan kami berdua. Entah kenapa jantung saya berdebar maha dahsyat!

“Tapi apanya abang long? Jawablah cepat!” Husna memaksa. Zain terpaku! Dan saya entah kenapa terkedu.

“Cantik! Kak Dina memang cantik!” suara dari bibirnya jauh melekat ke hati. Zain memerhati saya melalui tempat letak tubuhnya. Ekor matanya memandang lagi saya. Suaranya terus menusuk menikam jiwa ini.

Allah… saat itu juga, saya tunduk, menarik tombol pintu dan menutup pintu dengan perlahan-lahan. Saya senyum meski ada sendu berlagu.

Cantik! Kak Dina memang cantik!
Dan saya menangis perlahan-lahan di sebalik pintu bilik ini. Rasa malu menebal dan entah saya tidak tahu kenapa dengan jiwa saya yang dihambat pilu dan bahu yang berat memikul dosa bertan-tan!

Zain, ini kali pertama saya mendengar seorang lelaki menyebut saya cantik. Dan ia hadir dari lubuk hati seorang lelaki suci seperti kamu, Zain.

Saya teresak-esak di muka pintu. Jauh sekali saya selalu ketawa seperti selalu apabila ramai lelaki menggoda saya dan tersenyum ke arah saya. Ia berlainan rasanya sekarang ini. Dan pintu terbuka perlahan.

Zain dengan tongkatnya, memandang saya dengan senyuman. Husna yang memimpin Zain, menyeluruhi wajah saya dengan penuh rasa jiwa. “Dina, janganlah menangis lagi. Mari masuk, bual-bual dengan umi!”

Dan suaranya membuatkan saya bertambah pilu. Dihenyak dengan rasa cinta pengabdian kepada Ilahi.

Zain, saya malu dengan awak Zain!

Zain, saya segan bertambah sayu memandang wajahmu itu.

Dan Zain, saya tidak tahu kenapa rasa cinta ini semakin menebal untuk kamu!

4 ulasan:

  1. sis happynye Dina & Zain dah sedar n x teruk sangat kena belasah ngan samseng tu...
    Terharu dengan kasih sayang yang diberikan Umi Zain pada Dina...(t.t)

    BalasPadam
  2. *pengsan 777 kali....aissshhh.....

    BalasPadam
  3. Tanpa Nama13/4/12 13:29

    Salam..memang tak menghampakan.. tak rugi follow... :) byk iktibar di dlm cerita ini.. touching habis! normally citer kamu wat akak sengih memanjang..tp citer ni byk wat akak berfikir memanjang.. terutamanya khilaf diri.. syabas dik!! teruskan hasil karya yg berilmu sebegini..

    tp ada sesetengah ayat tu wat akak pening sikit.. rasa mcm kamu ada tertinggal ayat penyambungnya..but still boleh paham la..cuma kena betul2 bc n fahami.. hehe.. :)

    Wassalam

    BalasPadam
  4. Tanpa Nama13/4/12 19:59

    macam biasa, saya suka! ayat boleh edit sikit-sikit nanti. Tapi saya sukalah!

    BalasPadam