Pages

03 April 2012

Dia, Cinta Hati Saya 6

Majdina dan Zain kembali hari ini! Semoga suka dan seandainya ada kekurangan saya mohon maaf. Senyum comel-comel okey? (Kenyit mata dekat semua pembaca)

jung-il-woo-mobile-wallpaper




Saya cuba untuk membuka mata. Badan panas berbahang. Dan kepala terasa berat yang amat sangat. Dalam fikiran yang satu ini cuma mahu – memandang wajah Zain dan melihat senyumannya. Dalam keadaan begini pun, saya masih mahu mencari wajah dan kelibat tubuhnya.

Majdina memang kan ? Gatal ! Sudahlah demam-demam, kebasahan dalam hujan tetapi masih ingin memandang lelaki soleh itu. Saya pegang kepala yang diletakkan dengan sehelai tuala. Entah kenapa, rasa sejuk dan damai duduk di sini. Di manakah saya? Pantas, saya teringatkan beberapa jam tadi. Ketika hujan turun dan saat kesedihan bertapa di hati! Memilukan diri kerana kekurangan sendiri. Menangis dan tersedu-sedu memerhati lelaki penuh budiman itu. Dan yang saya pasti, saya terjelepuk lesu sedikit tidak sedarkan diri. Paling memilukan jiwa, apabila lelaki itu menyelamatkan saya, mengangkat tubuh lesu ini dan berlari dalam hujan. Tubuh saya dibalut kemas. Aurat saya dijaga rapi ketika itu dan matanya saya tahu langsung tidak memerhatikan lekuk tubuh ini.

Saya juga mendengar degup jantungnya yang laju itu. Saya sempat memandang wajah polosnya yang sering saya rindui itu. Dan di dalam hujan itu juga, saya telah bersumpah di dalam hati, bahawa saya tidak akan berkahwin dengan lelaki lain kecuali Zain! Saya ingat saat dan detik itu! Akan saya ingat kenangan terindah antara saya dan Zain.

Saya cuba membuka kelopak mata. Waktu itu juga, telinga ini mendengar suara seorang wanita. Lembut sahaja menikam-nikam ulu hati ini. Saya buka mata dengan perlahan-lahan. Hanya sedikit sahaja wajahnya menerpa di sebalik mata ini. Siapakah wanita ini? Saya kecilkan mata ini dan melihat susuk tubuh yang saya kenal sedang berdiri memandang wanita berkenaan. Penuh asyik wajahnya memerhati wanita di sebelah saya ini.

“Siapa nama kawan Zain ni?” sambil tangan wanita berkenaan lembut mengambil tuala yang melekap di dahi. Sebuah mangkuk berisi air menjadi air bilasan. Selepas selesai membilas, tuala berkenaan menjadi sasaran dahi ini. Kembali terletak kemas.

“Err…..” Zain tergagap-gagap. Dalam keadaan begini, mahu sahaja aku bangun dan mencubit-cubit lengan Zain. Kenapa perlu errrr…errrr….errrrrr ? Jawab sahajalah, ini Majdina yang cantik dan mahu minum dengan Zain, tetapi Zain menolak pelawaan Majdina dan wanita cantik ini menunggunya sehingga hujan lebat turun. Susah sangatkah Zain mahu menjawab soalan sebegitu mudah itu?

“Umi tanya serius ni Zain. Siapa ni ? Cantik sangat umi tengok. Putih melepak. Rambut panjang. Cantik !” memuji lagi. Saya mahu sahaja tersenyum meski mata mengecil menyaksikan aksi mereka berdua. Ini umi Zainkah?

‘Umi’, nama panggilannya sudah melekat di dalam hati saya. Wanita itu terus lagi bersuara. “Zain tak pernah bawa perempuan balik ke rumah kita. Berkawan pun masa zaman sekolah saja. Zain anak umi ni kan pemalu. Tengok-tengok bawa perempuan cantik balik macam ni. Sampai demam-demam! Habis basah badannya! Zain dah buat apa dengan anak orang ni?” Umi seperti menggertak pula.

Errrr….eh eh. Zain mana ada buat apa-apa umi!” Zain gelabah tidak tentu hala. Suaranya kedengaran lagi, mencecah gegendang telinga, “Dik Husna pun ada tadi. Boleh jadi saksi!”

Saya mahu tersenyum mendengar jawapan ikhlasnya. Rasa reda demam dan panas yang membahang ini apabila mendengar suara merdunya.

“Betul ni?” umi mengambil sehelai lagi tuala di dalam mangkuk berkenaan dan dilap-lapkan ke lengan ini. Umi menyoal lagi. Pastinya umi tidak percaya dengan jawapan dari Zain. Ah – kasihan pula Zain kerana terpaksa bersoal jawab dengan umi.

Suara Zain melekat lagi di dalam kepala ini. “Sumpah umi ! Zain tak buat apa-apa pun dengan Dina ! Sumpah umi!”

“Oh, namanya Dina ya?” umi bersoal jawab lagi dengan Zain. Umi seolah-olah memasang perangkap kepada Zain. Saya nampak umi tersengih suka hati.

Suara Zain terus memenjarakan cinta. “Majdina! Nama kawan Zain ni Majdina! Dina !” Tiga kali dia menyebut nama saya. Majdina…Majdina dan Dina ! Hati saya terus sahaja kembang berbunga-bunga.

“Oh…diam-diam dah ada kawan perempuan rupanya. Selalu umi tanya Zain calon-calon yang berkenan di hati, Zain langsung tak nak bersuara. Cantik namanya dan secantik wajahnya. Eh, macam mana Zain boleh kenal-kenal tanpa umi tahu ni?”

Dan Zain tunduk tidak berkutik ! Pemalu mengalahkan perempuan. Eeee, geramnya saya melihat Zain memegang jari-jemarinya. Umi tersenyum dan ekor mata saya menyaksikan episod penuh rasa berbunga ini. Umi Zain kata Majdina cantik. Secantik namanya! Ah, sukanya saya!

Akhirnya saya mampu membuka mata. Itupun dengan kadar yang maha lembab tetapi jiwa kembang semangkuk kerana mendengar pujian umi Zain. Perlulah saya suka hati! Tetapi kepala masih terasa berat ! Cepat-cepat saya tersenyum memandang umi dan kemudian terus memandang Zain! Zain pandang umi pula. Kenapa Zain melarikan anak matanya dan kenapa Zain pandang umi ? Kenapa Zain tidak mahu memandang saya ?

“Zain keluar dulu ya umi ! Zain baring di luar. Kalau Zain lewat untuk Subuh, umi kejutkan cepat ya ! Esok Zain minta tolong Haji Zakaria bilalkan masjid. ” Zain tunduk dan cepat-cepat melangkah keluar dari bilik ini. Umi memandang Zain dan secepat kilat umi memandang saya dengan senyuman cantiknya. Oh, Zain rupa-rupanya persis umi. Zain yang kacak ini sebenarnya diwarisi dari uminya yang lemah lembut ini.

“Majdina ? ” umi memanggil nama penuh saya dan membetulkan tuala di dahi. Perlahan-lahan saya membangunkan diri dan umi membantu menaikkan separuh badan ini. Saya betul-betulkan rambut dan memberikan senyuman kepada umi. Bantal di belakang badan dibetul-betulkan oleh umi. Melayan saya bagaikan permaisuri pula.

“Alhamdulillah. Majdina dah boleh buka mata. Zain mesti suka!” Umi membetulkan baju. Baju kurung siapa pula yang saya pakai ini? Adakah ini baju kurung dik Husna?

“Terima kasih umi!” Saya pandang umi dengan rasa cinta. Umi tidak seperti ibu yang berwarna rambutnya. Kepala umi ditutup dengan sehelai tudung. Umi ringkas berbaju kurung dan berkain batik. Rasa sejuk memandang wajah umi. Rasa seronok memerhatikan wajah umi kerana saling tak tumpah seperti Zain.

Dan umi tersenyum memerhatikan saya. Mata umi melekat ke seluruh wajah saya dengan penuh rasa tidak percaya. Bagaikan saya ini seorang bidadari yang turun dari langit dan menghadiahkan umi hadiah mahal pula. Eh..eh…Dina terasa malu pula kerana umi merenung saya dengan penuh mendalam. Penuh tersirat pandangannya itu! Kenapa umi memandang saya sebegitu rupa?

“Dina demam panas ni! Habis basah baju Dina tadi! Dina rehat dulu ya. Ni dah pukul 4 pagi. Tapi Zain sempat buatkan bubur. Dah pun sejuk buburnya. Dik Husna dah tidur di biliknya sebab dia pun macam nak demam. Umi suapkan bubur ya ? ” Umi ambil bubur yang tertutup rapi. Mahu menyuapkannya masuk ke dalam mulut ini. Saya pandang umi dengan penuh kasih sayang.

“Terima kasih umi!” saya memberi lagi rasa ikhlas berkenaan.

Umi angguk dan memandang wajah saya. “Sama-sama nak! Syukur Alhamdulillah, Dina dah sedar. Risau pula umi sebab Dina tak sedarkan diri tadi. Badan panas sangat! Kita makan bubur ya, nak! Perut Dina kosong tu. Zain kata, Dina tak makan sehari suntuk. Dina makan ya!”

Dan entah kenapa, rasa hiba menyelebungi diri saya. Bila umi melayani saya seperti kanak-kanak kecil dan menyuapkan bubur yang Zain telah masakkan untuk saya. Kasih sayang umi terus tertumpah untuk saya. Sungguh! Kerana saya selalu mahu ibu menyuapkan nasi ke dalam mulut ini. Tetapi ibu sentiasa sibuk dengan berbagai agendanya. Semenjak bersekolah menengah sehinggalah ke hari ini! Dan ketika ini, saya merasai kasih sayang berkenaan dari umi Zain. Saya melihat jemari umi yang timbul urat-urat hijaunya.

Air mata mengalir penuh sendu. Umi terkaku memerhatikan saya. “Eh, Dina kenapa ni?” dikesat-kesat air mata dengan hujung jarinya. Mangkuk bubur diletakkan kembali di atas meja kecil yang tersedia. Ada segelas susu dan segelas air suam juga untuk saya. Sebak mencucuk-cucuk hati! Kebaikan Zain, dik Husna dan umi membuatkan saya dilanda hiba yang berpanjangan.

Saya angguk dan bibir terbuka. “Terharu! Rindu betul nak makan bersuap-suap sebegini dengan ibu di rumah!” saya memberikan senyuman dan mengesat-ngesat air mata. Memujuk hati sendiri dan membiarkan air mata bertakung.

Umi tersenyum lagi. “Isk…menangis pula dia. Umi suapkan lagi jika tu yang Dina mahukan. Umi suka tetamu datang ke rumah. Lagi-lagi Dina yang cantik macam ni. Dina makan ya. Buat apa nak sedih-sedih ? Umi ada ! ” dan sekejapan sahaja umi mengambil mangkuk dan kini sudu dimasukkan perlahan ke dalam mulut. Saya terharu!

“Betul ke Zain yang masak bubur ni, umi?” tanya saya selepas sendu berkurangan dan kekok menghilang. Sudah beberapa sudu bubur masuk ke dalam perut ini. Umi memandang saya. Hairan agaknya kerana saya bertanya. Angin sejuk membalut tubuh kami berdua. Langsir bergerak senada dan lampu berwarna putih menjadi teman. Ini rumah Zain rupa-rupanya. Sejuk sahaja dan rasanya ini rumah separuh batu dan separuh papan yang menyamankan! Dan ini bilik siapa?

Umi mengangguk dengan senyuman berjela-jela. “Betul dan memang Zain yang memasaknya tadi. Kenapa Dina ?”

“Sedap. Tapi masin sikit!” bola mata menyinar-nyinar. Saya tersenyum dan dibalas segera umi. Gigi umi yang teratur serta merta menjadi hiasan mata ini. Haba badan yang panas sedikit berkurangan. Dan haba cinta meruap-ruap terus kepada Zain. Zain, si jantung hati, Dina! Oh - Terima kasih Zain kerana sudi membuatkan bubur yang sedap ini untuk saya! Mahu sahaja saya pergi kepada Zain, berdiri di hadapannya, memandang mata redup milik Zain dan memberikan kata-kata ini kepadanya. Tetapi mampukah saya berhadapan dengan lelaki berspesis pemalu itu?

Bolehkah saya namakan bubur ini sebagai bubur cinta Zain? Saya tersengih memerhati umi. Mata umi terkejip-kejip. Suapan umi membuatkan selera saya bertambah-tambah. Sudahlah ini bubur buatan Zain, dan wajib saya habiskannya walaupun tekak ini teramat perit. Setengah jam berlalu dan akhirnya mangkuk berisi bubur kosong. Bubur di dalam perut juga bercampur dengan tegukan segelas air susu dan umi memaksa juga saya menghabiskan segelas lagi air suam.

Mata saya memandang tubuh umi yang kini sudah berdiri tegap. Mata kami bertemu lagi. “ Dina rehat ya. Dah pagi ni. Esok, umi suruh Zain hantarkan Dina balik. Nanti takut pula ibu dan ayah Dina kata, Zain ni menculik ! Anak umi tak culik Dina kan ? ” umi bertanya penuh rasa. Wajahnya rusuh mahukan jawapan segera.

Aku tersenyum kecil! Menggelengkan kepala, “Eh, Zain menculik? Taklah umi! Zain nak menculik Dina? Tak akan dibuatnya si Zain tu menculik-culik anak dara orang! Menculik hati, ya ! ” Saya angguk beria-ia. Berbunga rasa hati bergurau dengan umi yang nampaknya senang dengan kehadiran saya.

Umi ketawa. Menggelengkan kepala melihat telatah saya yang nakal ! “Amboi-amboi! Umi tak tahu pun Zain pandai menculik hati gadis secantik Dina ni. Nanti dia, umi mahu tanya banyak-banyak ! ” Umi tersengih senang dan memegang bahu saya.

Tubuh saya perlahan-lahan di bawa untuk berbaring. Saya mengukir senyum paling mahal kepada umi. Umi kemudian menarik gebar dan meletakkan tuala di atas dahi. Sama seperti sebelum saya membuka mata tadi. Saya tahu, tuala di atas dahi ini diletakkan adalah untuk mengurangkan suhu panas badan ini. Umi menyuapkan juga sesudu madu!

Kata umi juga. “Madu si Zain ni ! Nasib baiklah Zain ada menyimpannya. Dia suruh umi suapkan madu ni untuk Dina. Nanti esok Dina minum air barli ya ! Sejukkan sikit badan Dina. Pun Zain siap-siap belikan barli . Nasib baiklah ada kedai 24 jam! Puas Zain keliling berpusing mencarinya ! ”

Dan kini saya kembali terlantar di atas katil. Rasa terharu menyelinap lagi di hati kerana Zain sanggup mencarikan barli untuk saya. Madu ini pun kalaulah saya larat, boleh habis sebotol saya telan! Semuanya akan saya buat demi Zain ! Saya sanggup!

Umi sudah menghilang dan pintu bilik ditutup rapat.

Saya memandang bilik yang kembali gelap. Namun cahaya dari ruang tamu membawa sedikit bantuan agar mata ini menyeluruhi bilik damai ini.

Ada sebuah meja kayu lama. Dan diatasnya, tersusun kemas beberapa buah buku. Entah buku apa, saya tidak pasti. Dan ada dua helai baju melayu bergantungan. Ada tali pula menghubungkan tingkap dan paku di dinding. Menjadi penyidai untuk dua helai baju berkenaan. Sebuah almari sederhana duduknya di hujung pandangan ini. Mata pantas memandang meja yang menarik minat hati saya. Ada tasbih bergantung dan kopiah putih juga!

Adakah ini bilik Zain?

Bibir saya terukir lagi senyum yang paling menawan. Degup jantung entah kenapa terus laju! Tetapi, bila saya memikirkan kekurangan diri, ada gerimis di hati! Layakkah Zain untuk dipadankan dengan saya ini?

Mahukah Zain merenung wajah yang terlalu banyak dosa ini?

Dengan kudrat yang ada, saya bangun. Saya sendiri tidak pasti kenapa saya harus menolak gebar ini dan dengan kekuatan diri, kaki sudah tegap! Saya betulkan rambut dan apabila berdiri saya memandang tubuh sendiri. Saya memakai sehelai baju kurung yang cantik. Ini baju dik Husnakah? Rasa terharu lagi kerana seumur hidup ini, saya hanya memakai baju kurung ketika pagi Aidilfitri. Saya akan selalu berkata, “Kolot betul pakai bajau kurung! Tak cantik! Sudahlah panas!” Cantikkah saya dengan baju kurung dik Husna ini?

Saya melangkah lagi dan menarik daun pintu. Seketika suasana hening. Bau hujan menerpa hidung saya. Sejuk pagi ini, betul-betul mencucuk tulang. Kepala terkeluar separuh dari badan.

Dan mata saya menyaksikan tubuh Zain sedang bersolat. Ada tikar sejadah terhampar indah di mata ini. Kopiah putih melengkapkan wajah kacak Zain. Penuh kusyuk saya memerhati.

Zain sedang beribadah! Zain sedang solat malam sebelum menyambung tidurnya. Bukankah tadi, Zain mengatakan yang dia mahu tidur? Saya perhati lagi gerakan tubuh Zain. Sampai ketika, ada rasa sayu mencucuk-cucuk perasaan. Rasa hiba berlanjutan mendengar zikir-zikir yang dialunkan oleh Zain. Bila doa dipanjatkan, air mata saya mengalir kembali. Rapuh hati! Rapuh seluruh jiwa raga!

“Ampunkan segala dosa-dosa kami, Ya Allah. Sayangi umiku seperti mana umi menyayangi daku, Ya Allah! Rahmati keluarga kami dan peliharalah dik Husna ku, Ya Allah! Selamatkan kami..selamatkan kami dari seksa api nerakamu.”Ketika ini juga, air mata menjadi teman. Sesak nafas ini! Seluruh badan bergetar hebat dan betapa saya akui, saya seorang yang terlalu berbeza dengan Zain. Saya wanita bebas dengan hidup penuh tipu daya dunia!

Dari daun pintu, saya memandang Zain dengan tangisan kecil. Sehingga Zain selesai solatnya dan dia melipat sejadah. Apabila tubuhnya mahu berbaring dengan dialas sehelai tilam nipis, dia menoleh memerhati saya. Zain terkejut!

Dan air mata lesu mengalir-ngalir hiba. “Tolong saya, Zain! Saya berdosa! Berdosa dengan Allah!”

***

Ada rasa bahagia. Zain memang tidak mahu membawa motorsikalnya. Kata umi tadi, “Bukan muhrim! Zain tak boleh bawa balik Majdina dengan motorsikal! Dina faham kan?”

Dik Husna, pagi-pagi lagi sudah memecut membawa kereta kancil ke kuliah. Dik Husna hadiahkan saya dua helai baju kurung. Sehelai yang sedang dipakai oleh saya dan sehelai lagi di dalam beg comel ini.

Meski dalam sendu dan saya tidak kisah apa-apa pun hari ini melainkan Zain ada di depan mata. Saya tidak pedulikan kerja saya pada hari ini. Saya tidak pedulilan telefon bimbit saya lagi! Segalanya saya tolak ke tepi. Mencukupi, umi memberi restu dan umilah yang memujuk Zain supaya saya dihantar pulang ke rumah.

Dan detik ini, saya dan Zain di dalam sebuah bas.

Saya bukan duduk bersebelahan Zain. Saya di belakang dan Zain ada di depan saya. Ruang tempat duduk sebelah saya memang kosong. Begitu juga ruang tempat duduk Zain. Memang Zain mengarahkan saya duduk di sini dan Zain saya lihat beralih mencari tempat duduk yang kosong di hadapan saya.

Hari ini, saya menaiki bas bersama Zain. Hari ini, saya melihat rambut Zain yang berombak dengan damai! Hari ini, saya minum air barli yang Zain buat dan bekalkan. Hari ini, Zain membalas senyuman saya. Hari ini juga, umi mengajar saya mengambil wuduk meski dalam esak tangis yang berpanjangan.

Zain, hari ini saya belajar banyak perkara dalam hidup saya. Pertama, saya belajar mendengar alunan Zain membaca Al-Quran di tengah rumahnya selepas selesai waktu Subuh. Hari ini juga saya belajar solat subuh dua rakaat. Damainya terasa sungguh, Zain!

Hari ini juga, saya sedang belajar untuk mencintai kamu yang sentiasa memandang umi dengan rasa cinta dan kasih sayangnya. Ah – saya sungguh sebak melihat Zain menghormati umi! Tutur kata Zain sentiasa lemah lembut dengan umi. Zain asyik tersenyum sahaja memandang umi.

Zain, saya sungguh serba kekurangan. Saya sungguh serba kedaifan dalam agama. Saya tidak pernah ingat dengan Allah swt. Saya langsung lupa dengan nikmat yang banyak Allah swt berikan kepada saya.

Adakah Zain sukakan saya?

Dua insan berbeza kehidupannya. Angin dingin terus menemani. Roda bas berputar sungguh laju! Saat saya merenung rambut hitamnya, ada air mata melebat dengan penuh rasa sesal! Syahdu menemani perjalanan pulang untuk hari ini.

Jika boleh, saya mahu bas ini bergerak mengelilingi dunia. Kerana saya mahu melihat ombak rambut Zain! Zain, adakah hari ini hari terakhir kita berjumpa?

7 ulasan:

  1. sedihnye.... kisah dina ni mcm kisah izz amir la... saya rindu dgn izz amir.... huwaaaa... sob sob... btambah sedih.... ehem2 zain, nk jdi abg angkat sye x... tq akk. best

    BalasPadam
  2. Tanpa Nama3/4/12 23:15

    hep ZM...asyk nk cri abg agkt dia xsuda...hehe
    ksiannyer hdup mjdina...kehausan ilmu agama n kasih syg...
    nmpknyer fmily zain la yg dpt mmbntu mjdina ni ke jln yg lbih baik....
    -fathmumtaz-

    BalasPadam
  3. Tanpa Nama3/4/12 23:45

    best gilerrr...cik writer..cepat2 sambung...sebab best sangat tak tau nk komen apa..speechless...

    BalasPadam
  4. Mardihah sayang...akak Amy ambil Zain jadi menantu akak boleh???,muahahaha.., sebab bukan senang nak senang dapat menantu lelaki sebaik Zain..

    BalasPadam
  5. Amboi Majdina!!!!!!
    Sanggup keliling dunie naik bas semata-mata untuk lihat rambut Zain berombak...

    BalasPadam
  6. Tanpa Nama4/4/12 13:59

    Salam..syahdu rasanya bila bc n3 kali ni..tetiba rasa diri ni betul2 byk khilaf! huhu..insaf rasanya.. klu akak kan tempat Dina kan best! hahaha..penuh pengajaran dan penginsafan atas khilaf diri ni.. tahniah Mar..kamu dah berjaya beri ilmu dalam citer ini.. akak memang suka..rasanya setiap n3 akak ckp akak suka kan..hehehe..

    keep up a good writing ye dik.. double thumbs up utk kamu.. :)

    Wassalam

    BalasPadam
  7. best la nvel nie..mmg myentuh jiwa tgk seseorg 2 brubah ke jlanNya mllui seseorg yg dsukai krn pganggannya..trs kn ag

    BalasPadam