Pages

08 Oktober 2013

Maleq Rafie 40 Part I

Hati kembali menjadi kecil. Air mata kembali menjadi teman. Dia rasa terbuang dan rasa dipinggirkan semenjak hadirnya Marsha di rumah ini. “Abang ngah!” Pintu diketuk bertalu-talu. Suara itu lagi. Menganggu lagi dan lagi!

Gebar terasa ditolak. Katil sebelah terasa ditinggalkan Maleq. Suara Marsha memanggil lagi. “Marsha buatkan kopi. Mehlah join. Best tau kopi yang Marsha buat ni. Bukan selalu dapat minum kopi yang Marsha buat.”




“Haaa…surat dari Tan Jie Kang ni genap dua tahun perkahwinan kau baru aku akan bagi.” Bib memasukkan surat berkenaan di dalam sebuah buku. Tulisan cina di atas sampul surat dibelek-belek. Sudah lama dia simpan. Sudah lama juga surat ini menjadi teman laci dan bukunya ini. “Lama lagi kan dua tahun tu. Kira aku simpan ya.”

Sebelah jemari menggosok-gosok mata. Bib ini kenapa? Bib ini buang tebiat apa?

Nadratul Nisa’…dengar sini ya! Bib itu baru memecahkan rahsia. Bib itu baru bercerita. Cuba dengar betul-betul ayatnya. Nadratul Nisa’ tidak menjawab. Sebaliknya diam mendengar suara Bib. Kenapa kau cerita mengenai Tan Jie Kang ya?

“Ni amanah dari orang Nad. Apa-apa kau pandai-pandai jawab dengan suami sendiri. Kau kena cerita dengan dia. Tau!.”

Diam. Pegun. Nama itu lagi bermukim di hati. Bib ini kenapa? Arahan apa yang sedang Bib berikan ini ya?

“Yang penting aku tak tahu mana Tan pergi. Mana duduknya dan keadaan dia sekarang. Satu perkembangan positif untuk kau agar terus tak jumpa dengan dia.” Bib sesekali memerli. Tersengih-sengih dia seorang diri. “Nad oi! Aku bukan nak keruhkan hubungan kau dengan Maleq. No. …sebaliknya aku tahu yang kau dan Maleq dah okey. Kan?”

Angguk. Mata merenung ladang bunga mawar yang terhidang. Indah. Kata-kata Bib sudah lali di gegendang telinga. Perli dan sesekali pedas berapi dia sudah boleh terima. Katalah apa sahaja Bib.

“Tan dah pergi Nad. Aku tak tahu dia pergi mana. Kita doalah dia baik-baik. Sebenarnya aku rasa perlu untuk kau tahu mengenai amanah ni. Paling penting kau nak terima atau tak surat ini. Lebih baik aku beritahu awal-awal dan lebih baik kau berikan keputusan untuk aku ni sebagai pemegang amanah jalankan tanggung dan jawab.”

“Kau cakap apa ni Bib?” Dahi berkerut-kerut. Tanda soal mula terbang melayang-layang.

“Kau nak atau tak nak? Kalau tak nak, aku buang.”

“Kau kata genap dua tahun perkahwinan aku kan? Mestilah aku nak!”

Bib ketawa. “Ada hati juga kau ya. Hahaha.” Mata Bib melirik lukisan di dinding. “Kau okey kan kat sana, Nad?” Dia tidak boleh menutup soalan-soalan di dalam benak. Nadratul Nisa’ sahabat dunia dan akhiratnya. Soal rumahtangga kawannya ini, biarlah diselesaikan sendiri oleh Nadratul Nisa’. Dia yakin yang Maleq itu lelaki baik. Dia juga yakin jodoh Nadratul Nisa’ telah tertulis dan terukir dengan nama Maleq Rafie. Ala, lambat laun Nad mesti boleh melupakan dan melenyapkan nama pemuda cina berkenaan.

Tapi keyakinannya kadang-kala sedikit menipis bila terpandangkan surat di dalam bukunya ini. Apa isinya ya? Apa pesan Tan Jie Kang untuk Nadratul Nisa’ ya? Nadratul Nisa’ di sana bahagiakah dengan Maleq Rafie si encik ganteng itu?

“Alhamdulilah. Aku semakin okey. Ladang mawar pun bertambah baik. Bila kau nak datang sini Bib? Bolehlah membantu aku tanam pokok.” Mata menyeluruhi ladang yang semakin membiak segar. Para pekerja sedang tekun membuat kerja. Dia beruntung. Untung sungguh kerana jejakkan kaki ke kawasan ladang yang sudah bertunas. Tidak perlu bersusah payah keluarkan modal dan berjerit perih mencari sumber seperti peladang yang lain.

“Maleq okey juga kan?” Bib mengasak.

“Pun okey. Dia baik. Macam aku kata, kalau tetiba aku rapuh selalu. Termenung selalu dia akan sergah suruh baca Al-Quran.” Mengaku dalam tawa. Jujur sungguh kau Nadratul Nisa’. Senyum Maleq kini menghiasi tubir mata.

“Rapuh?” Mata membulat bagaikan guli. Sudah dia jangka. Mahu saja dia letak telefon kala ini. Alahai Nadratul Nisa’, cincang empat belas hati tu boleh tak? Mari aku lumat-lumatkan nama Tan Jie Kang itu.

“Bib…” Kaki Nadratul Nisa’ berayun perlahan-lahan. Dia sedut udara. Bayang senyum suami sekali lagi di hujung mata. “Rapuh tu kadang-kadang ujian kan?” Sudah lama dia memendam. Entah kenapa dia terasa berdosa. Hiba, sedih yang selalu di hati selalu dia tahan seorang diri. Kalau ketawapun…sebenarnya hati menangis siapa yang tahu? Hati sedang bergerimis pun siapa mahu tanya?

“Aku sedang dengar Nadratul Nisa’.” Dia setia menadah telinga. Nadratul Nisa’ ini kan lurus bendul orangnya?

Air mata entah kenapa perlahan-lahan menjadi teman pipi. Nadratul Nisa’ kesat dengan hujung jemari. “Hati aku kadang-kadang tak sekuat mana Bib. Mana mungkin aku boleh lupakan dia, Bib.” Dia sudah teresak-esak. Sakit Bib! Sakit!

“Maleq tu baik sangat-sangat sampai aku terkadang rasa dia entah malaikat yang datang untuk aku. Tapi Bib..” Kaki langit yang biru menjadi teman mata. “Kalau aku nampak kolam kat hujung sana tu Bib…aku sentiasa nampak yang aku sedang memancing dengan dia. Berbual-bual dengan dia. Bergelak ketawa dan sama-sama jatuh ke dalam kolam.”

Kolam tenang di hujung ladang selalu menjadi tempat dia duduk seorang diri. Kalau terasa beban dengan masalah ladang, dia akan berjalan seorang diri ke kawasan kolam.  Hakikat yang tidak boleh dia benamkan ke mana-mana. Kalau semasa perjalanan di dalam kereta, terpandangkan kolam kecil itu pun dia akan nampak sebuah sampan. Duduknya dia dan Tan Jie Kang. Sedih Bib..Pilunya hati aku ini tidak pernah sekali berganti dengan mana-mana kenangan.

Ironinya jiwanya kosong. Meski hakikatnya sang suami itu sedang dicintai. “Aku masih ingatkan Tan Jie Kang, Bib. Aku masih ingat dia. Masih aku terkenangkan dia. Mana dia pergi selama ni.. Bahagikah dia dan segalanya tentang dia. Berdosanya aku Bib. Jahatnya aku kan?”

“Kau cintakan Maleq kan? Hati kau rapuh apapun aku tahu kau sekarang sayangkan dia kan?” Bib kini mendekatkan dua hati. Dia senyum.

Angguk. Apa lagi yang meski dia nyatakan. Kalau kata dia terpaksa mencintai Maleq itu penipu juga. Pembohong namanya kalau dia tidak cintakan Maleq. Pendusta namanya kalau dia tidak kasihkan Maleq.

“Jangan tamak Nad. Jangan. Allah swt sebenarnya sedang menguji sejauh mana setia kau dengan suami. Syurga kau, kasih sayang kau, hati kau dan perasaan kau. Itu semua syaitan yang sedang bolak balikkan hati kau, Nad.”

“Kalaulah aku boleh belah tubuh aku ni kan? Bahagikan dua. Kan bagus?” Perbualannya dengan tawa yang dibuat-buat. Nadratul Nisa’ segera beristighfar. “Allahuakbar. Isteri apa aku ini, Bib? Jahatnya aku.”

Dia memaku kaki. Memejam mata. Pergilah kenangan. Pergilah. Kenapa hari ini, dia boleh teringatkan semua itu? Kenapa?

“Nadratul Nisa’, Allah sedang hantar ujian. Allah sayangkan kau. Sebenarnya ujian ini diletak ke bahu kau sebab kau mampu galas. Dengan cinta kau untuk suami, aku rasa kau sedang layak duduk di syurga. Tapi Dia sedang menguji setia kau Nad. Pilihan di tangan kau kini Nad.”

Angin berhembus perlahan-lahan. “Tidak ada cinta yang sempurna. Masakan dengan mana-mana lelaki yang telah Allah takdirkan untuk kita. Tapi yang sempurnakan cinta itu..” Bib kini menggalas status teman berjiwa syurga. Dia mahu membantu sahabatnya ini. “…ialah antara kau dan dia yang bergelar suami.”

Angin memeluk tubuh. Zaqwan di hujung sana sedang memberikan arahan kepada para pekerja. Maleq bukankah sudah berpesan. Pesannya ringkas memalu jiwa “Abang perlukan Nad untuk ke syurga. Nad juga sama perlukan abang. Rumahtangga itu atas dasar kasih sayang dan ikutan sunnah untuk kita ke syurga.”

Suara Maleq tembus lagi ke dalam jiwa. “Abang ada kekurangan. Abang bukan yang sempurna juga.”

Air mata dia kini merembes-rembes ke pipi. Nad juga abang. Nad juga kini bukan sempurna sesiapa. Nad juga perlukan abang untuk ke syurga. Bantulah Nad. Bimbinglah Nad.

“Terima kasih Bib. Aku hanya titipkan doa untuk dia. Agar dia bahagia dengan apa yang sedang dia jalani. Esok dan sampai bila-bila, aku cuba…”

“Cuba lupakan dia ya?” Bib senyum. Susah sungguh mengasak si Nadratul Nisa’ ini. “Errr..” Bib garu kepala. “…dan surat ni Nad?” Bib gigih lagi memaksa hati sebenar si kawan. Haihlah bodoh kau Bib. Buatnya Nadratul Nisa’  ‘rapuh’ dengan tiba-tiba, kau nak jawab apa ya?

“Kau buanglah.” Dia sudah buat kata putus.

Jemari membuka kembali buku. Diteliti tulisan tangan Tan Jie Kang. Cantik. Sampulnya berwarna merah. Diselitkan kembali dan dia tutup perlahan-lahan. “Baiklah. Aku akan tamatkan riwayat surat ni sekejap lagi.”

“Mungkin sudah memadai untuk aku ada kenangan dengan dia. Sampai kau marah-marahkan aku macam mak tiri kan?” Tawa bersisa. Kenangan bertamu lagi.

“Ek eleh…alih-alih, kau juga cari aku Nad untuk bagi nasihat percuma. Berbuih dah mulut aku ni tau. Setengah jam kena bayar Ringgit Malaysia dua ratus tau!”

Bibir herot ke kiri. “Ishh..mahalnya.”

“….dan Nad!” Bib ketap bibir.

“Iya Bib. Dan apa?” Mata Nadratul Nisa’ terkebil-kebil. Tubuh seorang gadis menjelma di hujung pejabat kecilnya. Siapa itu? Siap melambai-lambai penuh mesra.

“Memadai doakan Tan Jie Kang beriman. Peluk Islam. Dia bahagia dan kau bersama Maleq juga bahagia. Aku doakan kau bahagia sampai syurga ya kawan!” Bib senyum. Laci almari soleknya dia tutup. Biarlah dia sahaja yang tahu mana simpan dan letaknya surat ini. Kalau Nadratul Nisa’ sudah membenarkan untuk dia tamatkan, maka dia akan lakukan. Tapi aku ini Nad, hati kecil sungguh mahu tahu akan isinya ini. Buang Bib! Buang! Berdosa tidak minta kebenaran pemunya surat ini.

“Terima kasih Bib. Eh..”

“Haa..apa eh-eh?”

“Aku ada tetamu ni Bib. Kita borak lain kali ya?”

“InsyaAllah. Whatsapp pun boleh kalau kau free. Assalammualaikum Nad.”

Nadratul Nisa’ ketawa. Tubuh tinggi lampai si gadis makin mendekati dia. “Aku tak free. Layan laki dua puluh empat jam.”

“Auwwww. Hahaha. Gatal kau Nad!” Bib sudah menjerit. Ketawa memecah kesunyian. Iphone segera Nadratul Nisa’ masukkan ke dalam kocek baju kemeja besarnya. Jemari cepat-cepat dia kesat ke kemeja.

Tubuhnya kini tiba-tiba dipeluk seseorang. Dia terkedu. Pegun rasa kaki memijak bumi. “Hai kak ngah. Assalammualaikum kak ipar Marsha.” Pipi sudah dicium. Automatik jemari membalas huluran salam Marsha.

“Waalaikumsalam. Ni Marsha kan?”

“Hmm..iyalah. Marsha. Adik yang tak dapat hadir ke majlis kahwin abang ngah dan kak ngah. Dah berbulan-bulan. Mesti pelik kan?” Marsha dengan cermin mata hitam menggosok-gosok hidung. Mata menyeluruhi gadis pilihan ibu untuk abang kesayangannya. Kak ngah ini pun kata ibu, sudah pilihan abang Maleq. Hari ini barulah dapat dia bertentang mata.

“Kenapa tak balik?” Cuba memesrai. Kaki sudah berayun sama rentak ke pejabat.

“Marsha ada kerja sikit. Masa kenduri, presentation projek dan jadual final pun sangkut masa majlis abang ngah. Abang ngah kata tak payah balik. So, Marsha pun malaslah. Tengok gambar pun dah okey.” Penipu sungguh Marsha. Walhal tiket bas sudah abang ngah poskan. Bila saja tahu yang abang kesayangan akan berkahwin, dia mogok duduk di rumah kawan. Peperiksaan bukan masa hari majlis pun. Kalau mahukan tiket kapal terbang pun, abang ngahnya boleh uruskan.

Sepatutnya dia awal memunculkan diri, tapi lebih baik dia ke Langkawi mengkut Sheila, Timmy dan Rose. Hati bengkak bernanah sebenarnya dia tahankan sahaja. Sampai hati abang ngah ambil keputusan mengahwini seorang wanita yang dia tidak kenal.

Lenggok kakak ipar dia perhati. Mampukah kak ngahnya ini mengemas baju, melipat baju dan menggosok baju seperti yang selalu dia buatkan?

Selektif. Dia sendiri yang sudah berjanji dengan abang ngah untuk memilih calon kakak ipar sendiri. Biar sama citarasa macam dia. Biar sama jenis kemasnya seperti Marsha. Abang ngah yang setuju. Abang ngah kan pembersih serba serbi seperti dia. Kak Nadratul Nisa’ ni boleh ke?

“Marsha…Marsha.” Panggilnya sudah masuk tiga kali.

“Haa…ya. Ya!” Sengih. Cermin mata hitam sudah di atas tudung yang melilit leher.

Nadratul Nisa’ mengemas fail-fail yang berselerak di atas mejanya. Dia pandang jam di dinding. Maisarah sudah menghilang ke ladang membantu Zaqwan dan rakan-rakan. “Kita naik ataslah. Marsha pun baru sampai. Mesti penat. Bolehlah rehat-rehat. Tetamu datang ni kita kena raikan.”

Angguk. Dia memerhati lagi. Jemari Nadratul Nisa’ terus menyeluk poket kemeja. Iphone dia keluarkan.

“Eh kak ngah. Kak ngah nak call abang ngah ya?” Marsha memeluk tubuh. Mata cepat sungguh memerhati tingkah kakak iparnya. Kalau dulu hanya berbual dua kali sahaja di dalam telefon. Kali ini, mereka sudah bertentang mata.

“Ya. Nak cakapkan yang Marsha dah sampai. Mesti abang ngah suka. Kata abang ngah Marsha sampai esok. Itu yang baru akak nak call ni.” Jemari runcing Nadratul Nisa’ memasukkan password. Pantas.

Marsha mendekati almari. Melihat susunan gambar kenangan antara Maleq dan kakak iparnya yang dibingkaikan. Marsha herot bibir ke kiri. Ala, setakat The Dusun. Dia pun pernah pergi. Pergi dengan abang ngah dan ibu. Lagi syok. “Tak payahlah kak ngah call abang ngah. Marsha dah call tadi. Dari dalam bas dah berborak panjang. Abang ngah on the way tu. Jomlah naik. Tak sabar Marsha nak tengok rumah abang ngah. Rindu!”

Mata merenung wajah selamba Marsha. Nadratul Nisa’ rasa lain macam hatinya. Entah kenapa degup jantungnya lain dari biasa. Iphone perlahan-lahan dia masuk ke dalam kocek kemeja. “Okey. Kita naik dulu. Marsha tunggu kat luar ya. Kak ngah nak sampaikan pesan kat Maisarah dan Zaqwan.”

“Ermmm..” Marsha peluk tubuh. “Okey.” Senyum meleret sampai ke telinga. Boleh tahan cantik kakak iparnya ini. Patutlah abang ngah suka. Takpe, kita tengok siapa sebenarnya yang abang ngah sayang.

Nadratul Nisa’ terburu-buru keluar. Retina mata terus mencari Maisarah dan Zaqwan. Marsha meletakkan kembali cermin mata ke atas hidung mancungnya. Kaki mengikut langkah kakak iparnya.

“Huh…”  Bibir bawah sudah menggelebeh ke bawah. Susuk tubuh kakak ipar di hadapan yang sudah beberapa meter direnung dalam-dalam. “Kita tengok siapa. Marsha atau Nadratul Nisa’? Yang penting Marsha sudah ada tiket. Tiket di mata abang Maleq.” Sinis. Dia senyum sambil gigit bibir.

:::Sedihnya saya dan tamatkan cerita ini. Satu bab lagi esok sebelum saya tamatkan kisah ini bi blog. Marsha in the house. Hehe. Apepun, plot Marsha perbualan telefon antara Nad dan Marsha sebelum ini akan saya ubahsuai sikit. Terima kasih semua setia menunggu si encik ganteng dan cik seksi:::

04 Oktober 2013

Maleq Rafie 39

“Kak ngah, baju ni salah letaklah. Bukan kat sini."
Terkejut. Baru keluar dari bilik air Marsha sudah ada dalam bilik kelamin dia dan Maleq. Eh? Dia yang hanya bertuala  terkebil-kebil.
"Eh, Marsha buat apa ni?" Kaki laju ke almari. Dia ambil baju-baju milik Maleq.
"Ni salah susunlah kak."
Telan air liur. Dia perhati jemari Marsha yang rancak mengambil kembali baju di jemarinya dan mengemas semula baju milik suaminya.
Apakah?



Sambil mengemas bilik tetamu di bawah, bibir membebel-bebel. Sekejap-kejap dia cekak pinggang. “Kemaskan bersih-bersih ya! Nanti Marsha datang.” Dia meniru gaya encik ganteng beri arahan.

“Nad jangan lupa tau. Bilik tu kena mop lagi sekali.” Dia meniru lagi.  Sambil itu mengemop lantai.

“Baju Nad yang Nad gantungkan sekejap tu Nad bawalah naik atas. Nanti Marsha nak letak beg dia dalam almari tu.” Tiga kali arahan diterima. Bertalu-talu. Dia beraksi lagi. Bergaya meniru cara encik suaminya member arahan.

Bilik tetamu sudah berkemas. Sabtu begini, kalau dibawanya pergi memancing ke, tengok budak-budak lelaki main bola ke, adalah faedahnya. Ini disuruh kemas bilik. Hanya sebab ‘Marsha nak balik!’. Nadratul Nisa’ angkat baldi. Mop dia bawa keluar dari dalam bilik. Hati berbisik lagi, ‘syurga Nad. Syurga!’

Kaki terhenti bila tiba-tiba Maleq berdiri di antara dapur dan bilik tetamu. Peluk tubuh, “Oooo, ejek abang ya?”

Baldi terus dia letak. Sengih. Gelengkan kepala. “Eh-eh, tak-tak. Bila masanya?” Nadratul Nisa’ masukkan kepala mop di dalam baldi. Haaa….rendamlah kat situ lama-lama. “Abang kan sibuk kat dalam bilik tu. Asyik adap aje lappy. Nad boleh buat semualah.”

“Aik?” Angkat kening. Dia terus membantu mengangkat baldi dan mop. Ditariknya tangan cik seksi mengikutnya. “Ni buat kerja tak ikhlas ya? Hihi.” Maleq ketawa. Jiwa terhibur sungguh mendengar suara isteri yang mengejeknya itu dan ini.

“Kita nak pergi mana ni?” Nadratul Nisa’ terus bergerak. Baldi dan mop kini di tangan kiri Maleq.

“Masuk bilik air! Haha.” Maleq mahu mengusik.

“Eh-eh. Tak kuasa! Hahaha.” Dia pula ketawa. Sempat mencubit pinggang Maleq di depannya.

“Iyalah, abang nak Nad temankan abang.” Maleq terburu-buru masuk ke dalam bilik air. Jemari Nadratul Nisa’ sudah di pintu. Dia menahan diri dari terus masuk mengikut Maleq. Jarinya memegang daun pintu. Habislah kalau dia dan Maleq masuk dalam bilik air. Haha. Maleq ni, bukan boleh percaya tindakan refleksnya. Lebih pantas dari biasa! “Sini tangan ni. Abang basuhkan. Amboi, kita bukan nak buat apa-apa punlah.” Dia jeling Nadratul Nisa’. Gelengkan kepala. Tawanya bersisa. Kelakar betul cik isteri banyak songehnya ini.

Jemari cik isteri terus dia basuhkan. Sinki berkilat-kilat kini menjadi saksi. Air paip mengalir dan perlahan-lahan dia menjirus jemari Nadratul Nisa’. Selepas berpuas hati, pinggang cik isteri terus dia tarik bawa keluar dari bilik air. “Ishh..memang tak boleh pun duduk lama-lama sebelah Nad ni. Ada magnet.”

“Magnet?” Kening terangkat ala-ala Ziana Zain.

“Iya.” Angguk.

“Ishhh..merbahaya-merbahaya.” Nadratul Nisa mengikut Maleq. Mereka sudah mendaki anak tangga. Kaki mengatur jejak. Kini bilik kerja Maleq menjadi teman kaki. Maleq sudah duduk di kerusi kerjanya. Lappy masih menyala. Beberapa keping lukisan bersepah-sepah di bawah. Ya rabbi. “Ribut taufan apa ni?”

“Taufan Maleq nama diberi.” Dia menepuk-nepuk peha. “Meh sini. Duduk sini dengan abang.” Sengih lagi. Cakap sajalah nak bermanja dengan cik seksi wahai encik ganteng.

“Ish..Nad busuk. Mandi peluh mengemas bilik kat bawah. Yang adik kesayangan abang nak balik esok tu kan?” Jelirkan lidah.

“Ala….sinilah.” Maleq memanggil Nadratul Nisa’ yang masih berdiri di sebelah tingkap. “Marsha pun datang dua tiga hari aje. Sini-sini.”

Kaki melangkah. Pergi mengikut permintaan suami. Sambil berjalan, dia garu leher. Akhirnya punggung sudah ada di atas peha suami. Sama-sama duduk berdua mengecap nikmat bahagia.

Jemari Maleq lancar membuka gambar-gambar mereka berdua. Dagu sudah ada atas bahu cik isteri. Haruman pewangi dipakai isteri menerobos masuk ke dalam hidung. Sesekali jemari membetulkan rambut Nadratul Nisa’ yang mengganggu retina mata. “Cantik kan?”

Angguk. “Eh, Nad ni rasa macam Nad gemuk sungguh duduk kat depan abang ni. Haha.” Malu. Iyalah. Musim cinta mereka pun sekarang terasa banyak bezanya dengan awal-awal perkahwinan mereka. Maleq ini, manja kemain lagi.

“Ishhh..diam-diam. Tengok gambar ni aje. Bukan buat apapun. Eh dia ni. Jangan bantah. Jangan bantah! Nak syurga tak? Hahaha.” Dia ketawa. Gelengkan kepala. Buka satu gambar mereka di The Dusun, satu ciuman hangat dia hadiahkan ke pipi comel cik isteri.

“Eh..cantik!” Mata menyeluruhi momen-momen indah mereka di The Dusun. “Dengan durian pun ada. Bila abang ambil gambar ni?” Gambar dia dengan durian pun turut terselit.

“Sebelum kita bertolak pergi mandi kat air terjun ni. Haaa..ni-ni.” Maleq scroll ke kanan. “Gambar kita berdua.” Dia senyum. Sekali lagi satu ciuman di pipi Nadratul Nisa’.

“Paling comel mestilah Nad kan? Hehe.” Dia meneliti. Jemari Nadratul Nisa’ turut sama berscroll ke kanan dan ke kiri. Dia menoleh ke kiri. Pipi encik ganteng dia renung. “…dan yang paling penting, orang yang paling ganteng ialah abang. Encik ganteng!”

“Cik seksi!” Jelirkan lidah. Maleq senyum lagi. Entah apa-apa sungguh mereka berdua ni. Ada sahaja usik mengusik. Tapi inilah dinamakan bahagia. Semalam ibu menelefon. Bertanya khabar dia dan perkembangan cik isteri banyak songeh.

“Maleq okey tak?”

“Alhamdulilah ibu.” Senada. Gembira sebenarnya.

“Haaa..Nad macam mana?” Tersipu-sipu si ibu bertanyakan projek si anak kesayangan.

Maleq mencerna ingatan dengan pesan-pesanan ibu. “Nad okey dah. Alhamdulilah. Nampaknya semakin serasi.”

“Ehem-ehem.” Puan Wardah berehem-ehem.

“Hahahaha.” Maleq ketawa. “Apa yang ehem-ehem ni ibu?”

“Takde apa-apa. Saja nak berehem-ehem. Eh, kedai ibu dah makin ramai ni. Kita talk-talk lain kali. Singgah sini, ambik strawberry. Ibu terbeli banyak. Bagikan Nad makan. Maleq tu kan belum sempat bawa Nad jalan-jalan sekitar sini.”

Tepuk dahi. “Ha..okey-okey.” Senyum sampai telinga.

Suara Nadratul Nisa’ matikan lamunan. “Kita belum setahun pun. Nanti dah dua tahun kahwin macam mana ya kita? Bahagia macam ni ke?” Dia mengajukan soalan entah apa-apa.

Jemari meraut rambut panjang isteri. Lappy dia tinggalkan bernyala. Perhatian kini lebih kepada rambut panjang isteri. “InsyaAllah. Kita doa sama-sama. Dan jangan tanyakan soalan-soalan ni lagi kat abang boleh tak?” Maleq serius. Nadanya hantar debaran di jiwa Nadratul Nisa’.

“Iya, Nad saja tanya. Kita kena planning rumahtangga kita. Tahun ni kita pergi The Dusun. Tahun depan Nad nak ajak abang lagi pergi honeymoon.”Jemari dia terus di atas papan kekunci. Gambar-gambar ini mesti dia printkan dan simpan dalam album. Kenangan indah kan?

“Abang doa siang malam untuk kita. Biar bahagia sampai syurga. Okey, nanti abang plan tahun depan kita pergi jalan-jalan.”

“Serius?”

“Iya, abang serius ni.”

“Janji?” Nad pusingkan kepala. Memerhati sekali lagi mata Maleq.

Angguk. Senyum. “Iya, abang janji. Nak jejak Kutub Utara pun boleh.”

“Eleh! Iyalah tu.” Sengaja lagi mengusik. Nadratul Nisa’ kini merenung kembali lappy encik ganteng.

“Iya. Sumpah!” Ketawa. “…paling penting kan…” Suara Maleq halus berbicara. “Kita solat jemaah sama-sama. Baca Al-Quran lembutkan hati kita di samping abang berdoa hari-hari lembutkan hati cik isteri banyak songeh ni. Hari-hari abang doa tau.”

“Eh…” Dia tiba-tiba berdiri. Punggung sudah tidak letak di atas peha Maleq Rafie. Nadratul Nisa’ cekak pinggang. “Doa lembutkan hati cik isteri banyak songeh?”

Angguk dan ketawa. “Iyalah.” Maleq buat muka selamba. “Doa tau. Hari-hari abang doa lembutkan hati cik seksi. Doa supaya abang seorang sahaja di hati cik seksi. Doa juga supaya cinta Nad tu untuk abang seorang. Doa kan senjata orang mukmin? Kira abang berusaha apa pujuk Nad dengan doa.” Dia tidak berdalih. Malah membenarkan sejarah rumahtangga di bibir.

Dia selangkah mendekati encik ganteng. “Ohhh…” Picit hidung Maleq. “Patutlah.”

“Patutlah apanya?”

“Hari-hari sebut nama abang aje…ohhh.” Nadratul Nisa’ picit lagi hidung encik ganteng.

“Mestilah. Haha.” Dia membalas. Menarik hidung cik isteri.

“Patutlah hari-hari nak duduk dekat sebelah abang aje. Haha.” Dia ketawa. Sekali lagi dia tarik lengan Maleq. Digigit kuat-kuat.

“Sakitlah! Hahaha.”

Ketawa. Bahagia meruap-ruap lagi. Tapi Nadratul Nisa’ masa semakin mendekati. Detik nan lalu sebenarnya sukar dia lenyapkan. Pernah satu malam, Maleq menarik dia ke dalam pelukan. Hangat. Meski dia sudah lelapkan mata, tetapi sebenarnya dia masih terjaga. Suara Maleq menyebarkan rasa syahdu. “Nadratul Nisa’, kita doa Tan itu jadi orang beriman. Itu lebih mulia. Itu malah tambahkan pahala. Abang tak kenal siapa Tan. Sikitpun abang tak akan tanyakan lagi siapa dia di sisi Nad.”
Suara Maleq menyambung sejarah. “Errr…..Sebab nama dia Tan kan. Mesti dia bukan Islam. Right? Agak-agak abang selalunya betul. Abang doa dia kekal bahagia di mana-mana. Abang doa dia diberi hidayah Tuhan. Terima kasih kerana dia berikan abang bahagia mengenali Nadratul Nisa’. Isteri abang yang baik, selamat malam.”

Kucup hangat melekat di dahi. Malam menabur bahagia. Tidurnya diselaputi sang cinta. Kenangan lalu sesekali sukar dia buang pergi.

Kelip-kelip membawa cahaya,
Bunga seroja tumbuh melata,
Hati kini bahagia dengan cinta,

Usah lagi dikenang sejarah lama.

:::Rindunya dengan Tan Jie Kang. Apa khabar dia? Ada satu bab akhir lagi di blog. Nanti saya bagilah dua entry pendek fasal TJK ya. Selamat berhujung minggu semua:::