Pages

04 September 2007

Merdeka Mereka yang Sia-Sia

"KEMERDEKAAN yang sebenar adalah apabila insan dapat membebaskan diri dari menjadi hamba sesama makhluk kepada perhambaan diri hanya kepada Tuhan segala makhluk."

Tidak ada kemerdekaan mutlak dalam kehidupan insan. Jika insan berjiwa hamba atau menghina diri sesama mereka, maka dia tidak akan lagi menjadi hamba yang sebenar kepada Allah, Tuhan segala ciptaan yang wujud. Jika insan benar-benar menjadi hamba yang penuh ikhlas akidahnya kepada Allah, maka dia akan berjaya membebaskan diri dari cengkaman perhambaan sesama makhluk. Dalam erti kata lain, jika insan benar-benar tulus akidahnya, maka merdekalah dirinya dari kerendahan perasaan dan penghinaan jiwa terhadap selain Allah. Begitulah sebaliknya. Tiada insan yang merdeka mutlak dalam hidupnya. Hingga mereka yang mendakwa tidak mempercayai Tuhan dan bebas dari sebarang peraturan manusia pun, mereka tetap menjadi hamba nafsu dan pemikiran sesat yang akhirnya merobohkan nilai keinsanan mereka yang sebenar.

Lihatlah apa yang berlaku kepada penganut ajaran dan blok komunis. Akhirnya Lenin dan Karl Mark menjadi tuhan baru dalam kehidupan mereka. Firman Allah dalam surah al- Jathiyyah ayat 23 (maksudnya):

Maka tidakkah kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan ditutupi pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak insaf?

Sebab itulah, apabila tentera Islam memasuki sesebuah negara maka itu tidak dinamakan dengan penaklukan atau penjajahan. Sebaliknya dipanggil al-Fath iaitu pembukaan seperti Fath al-Makkah yang bermaksud Pembukaan Mekah. Maka gerakan umat Islam pada zaman kegemilangannya apabila memasuki sesebuah wilayah dinamakan al-Futuhat al-Islamiyyah iaitu pembukaan-pembukaan Islami. Ini bermaksud kedatangan umat Islam kepada sesuatu wilayah atau negara bertujuan memberikan kemerdekaan jiwa dari penindasan, kehinaan, kekejaman kepada satu sistem yang adil, yang berteraskan akidah yang benar.

Jika hal itu tidak berlaku, maka bererti penaklukan atau penjajahan telah dilakukan. Ini menafikan tabiat Islam yang tulen, kerana Islam bukan agama yang diutuskan untuk menjajah orang lain, sebaliknya peranan umat ini adalah membebaskan kehidupan manusia keseluruhannya dari perhambaan sesama mereka, kepada mendaulatkan sistem Allah yang adil untuk semua. Inilah yang ditegaskan oleh Rib’i bin ‘Amir di hadapan angkatan tentera Parsi:

“Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat.” (lihat: Ibn al-Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, 1/413).

Misi inilah yang cuba dilaksanakan oleh umat Islam pada zaman kegemilangannya. Maka apabila umat Islam menguasai dunia pada zaman tersebut mereka membina jiwa yang merdeka dan pembangunan tamadun untuk dikongsi oleh semua. Di bawah panji-panji Islam kaum Muslimin Arab telah berjaya membawa obor gemilang kepada manusia sejagat. Empayar Islam berkembang, bernaung di bawahnya manusia tanpa mengira bangsa dan agama, keadilan untuk semua. Tanyalah orang-orang Yahudi, bilakah penulisan ilmu mereka berkembang?

Tidak lain hanyalah pada zaman mereka hidup di bawah kerajaan Islam di Baghdad. Padahal sebelum itu mereka sentiasa ditindas oleh berbagai-bagai puak dan agama. Namun mereka bangsa yang melupai jasa. Tanyalah kepada agama-agama lain, pernahkah mereka diburu dan dibunuh secara kejam di bawah pentadbiran yang menjadikan Islam sebagai terasnya? Malangnya, umat Islam sentiasa mempunyai pengalaman diburu dan dibunuh secara rakus di bawah sistem kuasa yang mengambil agama selain Islam sebagai pegangan.

Adapun umat Islam sesama mereka, tanpa mengira bangsa yang penting al-ukhuwah al-Islamiyyah iaitu persaudaraan Islam, mereka berkongsi ketamadunan yang agung. Sehinggakan lahirnya tokoh-tokoh besar yang bukan Arab ketika pemerintahan umat Islam berada di tangan yang berbangsa Arab. Di dalam bidang hadis yang merupakan sumber agung Islam umpamanya; al-Imam al-Bukhari iaitu Abu Abdillah Muhammad bin Ismail (wafat 256H), pengarang Sahih al-Bukhari bukan seorang Arab. Beliau berasal dari Bukhara, Ukzbek. Al-Imam Abu Isa, Muhammad bin Saurah al-Tirmizi (wafat 297H), pengarang Sunan al-Tirmizi juga bukan seorang Arab. Beliau berasal dari Tirmiz. Pengarang Sunan Abi Daud, Sulaiman bin al-Asy‘ath al- Sajistan (wafat 275H) juga bukan seorang Arab. Berasal dari Sajastan.

Demikian pengarang Sunan al-Nasai Ahmad bin ‘Ali bin Syu‘aib al-Nasai (wafat 303H) juga bukan Arab. Berasal dari Nasa, salah satu negeri di Khurasan. Begitu juga pengarang Sunan Ibn Majah, Muhammad bin Yazid al-Qazwaini (wafat 279H), bukan Arab, berasal dari Qazwain. Adapun al-Imam Muslim bin al-Hajjaj (wafat 261H), pengarang Sahih Muslim, para pengkaji berbeza pendapat sama ada beliau seorang Arab atau tidak. Ramai yang menyatakan beliau juga bukan seorang Arab. Walaupun mereka semua bukan Arab tetapi Islam menjadikan mereka tokoh-tokoh hadis umat, kedudukan yang begitu tinggi yang diiktiraf oleh Arab dan bukan Arab. Dalam politik, Salahuddin al-Ayubi (wafat 589H) juga bukan seorang Arab. Dia berbangsa Kurdi. Namun dia berjaya menjadi sultan yang disayangi Arab dan bukan Arab. Dia berjaya mentadbir kerajaan Islam pada zamannya sehingga berjaya mengembalikan al-Masjid al-Aqsa.

Namun apabila umat Islam gagal menunaikan misi ini, mereka menjadi umat yang amat hina. Bayangkan, bagaimana mungkin Belanda yang kecil boleh menyeberangi lautan yang luas lalu menjajah Indonesia yang besar? Begitu juga Portugis yang datang begitu jauh dengan beberapa kapal mampu menjajah Melaka. Demikian tentu lebih dahsyat halnya di negara-negara Arab. Satu umat yang pernah membina tamadun gemilang akhirnya bertukar menjadi bangsa yang dijajah dan melutut hina di hadapan penjajahan. Aduhai, benarlah dikau Wahai Amirul Mukminin Umar ibn al-Khattab, ungkapan keramatmu ketika pembukaan Masjid al-Aqsa:

“Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah.” (Riwayat ini sanadnya dinilai sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi, lihat: Al-Mustadrak, 1/237, Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Namun dengan kurniaan Allah, penjajah kebanyakannya telah keluar dari bumi umat Islam. Itu pun setelah mereka merampas hasilnya dan memerah keringat dan darah umat ini. Mungkin kesan ajaran Islam, menyebabkan umat ini tidak dapat menerima kelangsungan penjajahan. Firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat: 75 (maksudnya):

"Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak- kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh."

Kata al-Qurtubiy (wafat 671H): “Allah menggesa untuk berjihad bertujuan menyelamatkan golongan yang ditindas (Muslimin) oleh kuffar musyrikin yang menyeksa mereka dengan seburuk-buruk seksaan dan memfitnah agama mereka. Maka Allah Taala mewajibkan jihad untuk menegakkan kalimah-Nya, memenangkan agama-Nya dan menyelamatkan hamba-hamba-Nya yang lemah.” (al- Qurtubiy, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/279, Beirut: Dar al-Fikr).

Sama ada disebabkan kesedaran agama atau politik, kebangkitan menentang penjajahan berlaku hampir seluruh negara-negara yang dijajah. Namun, keluarnya penjajah dari sesebuah wilayah tidaklah bererti berakhirnya penjajahan dalam segenap aspek. Bangsa yang dijajah, jika gagal menegakkan identiti murni sendiri, mereka akan sangat terkesan dengan bangsa yang pernah menjajah mereka. Penjajah keluar meninggalkan tanah air, namun bangsa yang lemah selalu memandang tinggi dan ingin bersama bangsa yang lebih gagah dan hebat. Atau, manusia apabila tertindas, ada yang hanya memikirkan kepentingan diri, bukan umatnya.

Maka tidak hairan jika kita melihat ramai yang sanggup menjadi talibarut bagi setiap penjajah. Merekalah yang membawa misi dan polisi penjajahan. Sebab itu jika kita berjaya mempertahan identiti diri, kita akan merdeka sekalipun bumi terjajah. Dalam sejarah Islam, bangsa Mongol yang menjajah umat Islam bertukar menjadi Muslim. Walaupun ada kekurangannya, namun ia adalah lambang tidak tumpasnya umat yang dijajah sekalipun kekuatan ketenteraan gugur dan hancur.

Bercakap soal kerendahan harga diri, umpamanya kita temui sesetengah orang Melayu yang hanya beberapa tahun berada di negeri ‘orang putih’ mendakwa kononnya dia sudah kurang mampu bercakap Melayu. Bahkan saya pernah menemui pensyarah di universiti saya bertugas yang menyatakan beliau sukar bercakap Melayu kerana setahun setengah berada di England dan bapa angkatnya ‘orang putih’. Dia kononnya lupa bahasa yang dia hidup lebih 20 tahun dengannya dan bahasa bapa sebenarnya yang menjaganya sejak kecil.

Namun demikianlah contoh kehinaan jiwa. Isu sebenarnya, bangsa yang lemah berasa bangga jika mereka berjaya menjadi sebahagian dari bangsa yang kuat. Jika ‘mamat Bangla’ yang datang beberapa bulan boleh bercakap Melayu, adakah kerana beberapa potongan keju lidah Melayu menjadi kaku?

Jelas, bukan soal bahasa sebenarnya, tapi soal kerendahan jiwa dan kegagalan memerdekakan perasaan. Justeru dalam dunia tanpa sempadan, penjajahan tidak semestinya memerlukan tentera dan peralatan perang, sebaliknya kekuatan identiti dan propaganda. Demikian pemikiran Hollywood berjaya menjajah anak-anak muda kita. Dunia ini sebenarnya dalam banyak hal terus dijajah oleh propaganda Barat melalui media, kuasa ekonomi dan ketidak- merdekaan jiwa bangsa-bangsa lain.

Justeru bagi umat Islam, membina identiti Muslim dan jiwa yang merdeka adalah amat mustahak sebagai lambang kemerdekaan. Bukan kita tidak boleh mengambil manfaat dari Barat, namun identiti Islam mesti dipelihara. Saya amat bergembira apabila Tun Ahmad Fairuz mencadangkan supaya undang-undang Inggeris Common Law diganti dengan undang-undang yang berasal dari tanah air di sini serta yang sesuai dengan syariah. Hal ini disokong pula oleh Peguam Negara dan pimpinan kerajaan. Ini adalah perlambangan jiwa yang merdeka dan kembali kepada identiti asal. Namun hasrat itu mesti terus berkobar, bukan sekadar berita akhbar sahaja.

Makna kemerdekaan yang seperti ini perlulah sentiasa diterapkan. Sambutan kemerdekaan memang baik. Namun ciri-ciri sambutan itu bagi seorang Muslim hendaklah beridentitikan Islam. Sebab itu saya amat tidak bergembira dengan sebuah iklan televisyen yang menampilkan tabik hormat kepada Tugu Negara. Walaupun itu bukan satu penyembahan, namun ajaran Islam amat sensitif kepada sebarang unsur seumpama itu dan budaya berkenaan pun bukan dari kita, bahkan warisan penjajahan.

Bergembira menyambut kemerdekaan agar kita tahu bersyukur, tidaklah salah. Demikian juga kita boleh berhibur dengan aturan yang diizinkan syarak. Namun sambutan kemerdekaan hendaklah tidak menenggelamkan makna kemerdekaan. Janganlah anak-anak muda berkumpul dan melaung kemerdekaan bukan kerana jiwa yang merdeka, tetapi sekadar acara tanpa menghayati makna. Gaya dan cara mereka hendaklah melambangkan jiwa yang merdeka dari cengkaman penjajahan manusia kepada tauhid yang luhur.

Kita amat tidak dapat menerima pelaksanaan perkara-perkara agama tanpa memahami dalil dan maknanya. Tentu sekali kita juga tidak dapat menerima mereka yang menyambut kemerdekaan tapi kontang dari penghayatan sebagai umat yang merdeka. Perhimpunan anak muda semperna kemerdekaan jika hanya untuk melihat hiburan di atas pentas semata, tentu tidak mencapai matlamatnya. Sebaliknya, mereka hendaklah berhimpun bagi menggambar kecintaan yang jujur kepada negara yang telah memberikan perlindungan kepada rakyat, agama dan kehormatan diri. Bukan sekadar acara tahunan.

Setelah memahami hakikat ini, maka laungkanlah Merdeka! Merdeka! Merdeka!

S.S. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis

- Saya kongsikan dengan kalian artikel yang saya perolehi dari emel. Menarik bila membacanya dan setiap pendapat ini wajar kita fikirkan meski berlainan "aliran, mazhab dan bangsa..."Meski September bermula, namun Ogos akan sentiasa kita kenang sebagai bulan kemerdekaan. Tunggu dan lihat sahaja tahun hadapan.

Adakah muda-mudi kita sudah merdeka? Saya terkenangkan sahabiah saya, nyaris-nyaris menjadi mangsa lelaki yang tidak bertanggungjawab. Hikmahnya, bila cinta beraja kerana nafsu, hilanglah akal dan iman. Bila cinta kerana Allah, nikmatnya terasa hingga ke akhir hayat. Cinta kerana Allah, membawa kepada bahagia.

Saranan saya, usahlah terlalu mencari cinta manusia / lelaki yang tidak lagi merdeka dirinya, yang tidak lagi merdeka jiwanya. Carilah yang baik agamanya, budinya dan pekertinya. Menghormati orang tua dan sentiasa teguh dirinya. Memperingati dan sentiasa tahu tanggung dan jawab kepada keluarga. Kerana bagi saya malam merdeka di Malaysia…sia-sia sambutannya. Bukan tidak suka….tapi saya yakin, ramai yang rela dan terpaksa. Hanya kerana mahu membuktikan mereka sudah merdeka yang “sia-sia”.

13 ulasan:

  1. sukhbhjbak kata seorang guru ...
    diambil dari kata2x Drhamka...
    merdeka sorang mukmin bilamana berpisahnya jasad dan roh... sebab buku amalan akan ditutup...

    BalasPadam
  2. - Saya kongsikan dengan kalian artikel yang saya perolehi dari emel. Menarik bila membacanya dan setiap pendapat ini wajar kita fikirkan meski berlainan "aliran, mazhab dan bangsa..."Meski September bermula, namun Ogos akan sentiasa kita kenang sebagai bulan kemerdekaan. Tunggu dan lihat sahaja tahun hadapan.

    Apa maksud ; meski berlainan "aliran, mazhab dan bangsa..." (dengan penulis artikel) ??


    Haris Hauzah

    BalasPadam
  3. wah.....
    cbuk ker...
    hapdet pls..

    peng peng.. :P

    BalasPadam
  4. anda memang pandai menulis....

    suka entri ini... :)

    BalasPadam
  5. Haris Hauzah,

    maksud saya, kita di dunia dengan berbagai mazhab – Shafie. Maliki, Hanafi dan Hambali. Aliran – pembaca sekarang banyak aliran – punk (boleh jadi aliran juga, grunge, remp-it, terbaru – impak maksima, wahabi, syiah ?semestinya pendukung Sunnah Wal Jamaah. Sebab ada pembaca yang tidak suka genre kebaikan ni. Perbetulkan saya jika silap.
    Bangsa – ada melayu, cina, India, iban, kadazan…..kita sambut sama-sama merdeka…….tapi paling jauh merdeka yang sia-sia si melayu agaknya…..ehh ehhhh silap2 nanti kena gam…..

    BalasPadam
  6. wah...
    good komen... suka komen mardhiah nih..
    :P

    BalasPadam
  7. salam...


    selamat menyambut hari merdeka yang ke 50 thn.....

    BalasPadam
  8. udah le tuh ..
    kome... titikla plak...
    hapdet pls...
    :P

    BalasPadam
  9. salam,

    tak berapa paham dengan hadpet...meski sunan dah jelaskan di blog sunan....bagi contoh dan penjelasan sekali leh tak sunan?

    faridmw,
    :) selamat kemerdekaan juga

    13May...,
    a:) kenapa ehem ehem?

    BalasPadam
  10. eh.silap - hapdet....

    BalasPadam
  11. buat per???
    hapdet...pls!!!

    BalasPadam
  12. KEMERDEKAAN HAKIKI adalah sewaktu kita lepas dari titian sirath.

    BalasPadam