Pages

28 November 2011

Mr Pai Epal 9

1) Sebab dia kacaklah kan! Ramai perempuan-perempuan dan gadis-gadis Malaysia sukakan gaya wataknya dalam kebanyakan cerita Korea. Bukankah sekarang zaman K-pop?

2) Serius saya bukannya suka sangatlah, tapi gatal tetap adalah. Hwa Hwa Hwa..Saya sendiri pun akan tayang gambar Lee Min Ho ni pada encik abang untuk upload dalam flickr saya.

3) Wajahnya maskulin! Kata kawan saya, dia comel? !&*(^% Hahahaha

4) Hero mr pai epal sebenarnya perlu nakal-nakal dan dia sesuai saya rasa!

5) Apa lagi, mari membaca menyambung Mr Pai Epal kesukaan ramai!



13_00000_00002


***

Aku pandang epal hijau itu lama-lama. Rasa macam tak percaya yang dia telah memberikan aku sebiji epal hijau. Oh, so sweet! Rasa nak pengsan lagi! Aku tersengih-sengih bagaikan kerang busuk. Aku pandang lagi epal berkenaan dan terkenang-kenang senyum manis Izz Amir. Oh, gediknya rasa! Terasa aku terbang di awang-awangan, menggapai awan dan memeluk awan seperti memeluk bantal tidur!


“Kau ni Yaya! Tak habis-habis buat masalah. Habis kita semua kena marah dengan Kak Yati! Ni kenapa tersengih-sengih macam kerang busuk. Setakat dapat sebiji epal, dah perasan!” Suhana bercekak pinggang. Aku dengan pantas mengambil epal berkenaan dan memasukkannya ke dalam kocek blouseku.

“Jangan cemburu okey! Mr pai epal berikan aku sebiji epal hijau! Oh, selamat berkenalan mr pai epal! Saya terima perkenalan ini.” Aku tersenyum lagi dan mengenyitkan mata ke arah Suhana. Huluran perkenalannya memang aku sambut dengan senyuman tetapi juga dengan pengsan dan mengharu-birukan seluruh pasaraya.

“Tak kuasa nak cemburu! Kau tu sengaja buat-buat pengsan kan? Kami semua yang penat angkat kau, tahu tak? Sudahlah berat!” Suhana membebel lagi.

“Eh, aku pengsan betullah! Aku tak tipulah! Lepas tu, dia balik ya?”

“Balik? Kau ingat saja-saja macam tu dia nak balik?” Suhana menggigit bibir. Dia pantas mengunci lokernya pula yang berada di belakangku.

“Kami tak larat angkat kau! Nampak saja kurus, tapi berat ya rabbi! Macam angkat anak gajah! Tulang besi!”

Aku pandang Suhana. Aku galas begku dan berdiri di hadapannya. Dahiku berkerut-kerut dan bibir terherot kiri dan kanan. Aku pantas bersandar di depan loker bersebelahan dengannya. Aku inginkan kepastian betul-betul dari bibirnya.

“Cakap!”

Suhana memandang aku. Wajahnya pelik dan matanya membulat bagai guli. “Cakap apa?”

“Siapa angkat aku bawa ke bilik rehat? Cakap!” aku bercekak pinggang.

Suhana ketawa. Dia memandang aku dengan menggeleng-gelengkan kepalanya, “Lelaki mestilah gentleman, Yaya! Dia yang seboleh-boleh halang kami semua mengangkat kau.”

Aku terkebil-kebil lagi. Nafas rasa tersekat-sekat. Perlukah aku pengsan supaya Suhana mengangkat aku lagi?

“Jangan sengaja pengsan lagi ya, Yaya! Aku akan tinggalkan kau di sini. Biar kau mati kering! Esok baru kami semua angkat kau!” Suhana ketawa dan menggelengkan kepalanya. Lantas kakinya cepat melangkah.

Aku berjalan lagi menuruti Suhana. Biar kejadian itu sudah beberapa jam berlalu. Biar kejadian mengutip epal satu persatu dengannya dan diiringi bersama lagu Keabadian Cinta dari Anuar Zain itu menghilang. Dan biarpun kenangan bersama lelaki itu memberikan sebiji epal berwarna hijau kepadaku terpadam di mata, tetapi ia berbekas di hati dan jiwaku. Kenangan berlari ke sana ke sini, ke kiri dan ke kanan dengan dia bagai melayang-layang setiap masa. Oh, saat mr pai epal itu memandang aku dan memasukkan epal ke dalam beg plastik yang aku pegang rasa terlayar-layar lagi. Aku rasa macam kena elektrik seluruh urat sarafku. Rasa macam terbang tinggi bercuti ke Korea bermain salji dan bercak-cak dengannya. Oh, syiokkkknyaa!!

“Dia angkat aku?” aku deras melangkah mengikut jejak Suhana sehingga melanggar beberapa kawan-kawan yang turut sama datang membuka loker masing-masing. Izati dan Adibah memandang aku dan merengus-rengus kerana aku terlanggar mereka. Aku menunduk-nunduk memohon maaf dan dengan pantas mengejar Suhana.

“Habis, nak suruh Kak Yati? Aku nak angkat kau, lagi aku pengsan! Pakcik guard tu yang nak angkat kau pun turut sama dia halang! Wah-wah! Merah padam muka dia! Yaya, Yaya!” Suhana menggelengkan kepalanya dan tersenyum.

Aku terkedu. Suhana sudah melangkah beberapa tapak meninggalkan aku. Pintu belakang pasaraya ini terus terbuka menanti aku keluar dan harus aku pulang dengan kadar segera. Tetapi antara percaya atau tidak, antara benar atau ya. Aku sama sekali tidak percaya dengan apa yang Suhana katakan tadi. Benarkah? Adakah aku harus pengsan lagi? Adakah aku harus mempercayai segala kata Suhana? Adakah aku bersalah dalam hal ini? Eh, tidak! Aku bukan sengaja pengsan. Aku pengsan secara betul-betul.! Tetapi benarkah aku telah diangkat oleh lelaki itu? Rasa mahu pitam! Oh, malunya aku!

Kelibat Suhana lantas menghilang kerana aku pasti dia membelok ke arah kanan dan aku harus segera berjalan ke perhentian bas di sebelah kiri. Jam sudah pukul 10.30 malam. Selalunya selepas bekerja, aku akan memastikan untuk solat Isya’ terlebih dahulu dan nanti di rumah tidak perlu untuk bersolat lagi. Pesan ibu selalu aku pegang untuk jangan meninggalkan solat. Malah, pesan-pesanan ibu supaya menjaga diri sentiasa aku sematkan. Eh, eh! mengapa minggu ini ibu asyik berpesan mengenai tajuk yang sama? Ah, aku semakin konpius!

Adakah Fatin memberitahu ibu mengenai mr pai epal? Adakah Fatin memaklumkan kepada ibu mengenai mr pai epal berfacebook dengan aku? Tetapi memang ibu belum lagi menanyakan apa-apa kepadaku tentang itu. Maka, lebih baik aku zip sahaja mulutku ini! Huh!

Kawasan sekitar pasaraya masih dipenuhi beberapa orang teman dan pelanggan yang sibuk memasukkan barang di bonet kereta. Saat ini aku terkenangkan Miss MJ Unguku. Apa khabarkah kau wahai kesayanganku? Menanti wang gajiku mencukupi, bilakah akan aku mengambil Miss MJ Unguku itu? Rasa sebak pula tiba-tiba mengenangkan skuterku itu. Walau apa terjadi, aku tetap akan mengambil dan berkira-kira membuat kerja sampingan lagi. Tapi apa lagi kerja yang perlu aku lakukan. Adakala rasa tak berdaya! Rasa nak pengsan kepenatan!

Aku berjalan perlahan-lahan. Baru sahaja sampai di perhentian bas, sebuah kereta membunyikan honnya. Aku tidak peduli! Aku berjalan lagi. Dan hon berbunyi berkali-kali membingitkan telingaku. Huh! Siapa pula yang memekak-mekak ini? Gegendang telinga yang dari tadi terngiang-ngiang lagu Keabadian Cinta terus terbantut! Baru sahaja aku mahu bermain cak-cak dengan mr pai epal. Mengacau betul!

Hon berbunyi lagi.

“Cik Yaya sayang!” Suara yang sama kedengaran lagi. Aku kenal suaranya. Ya, semakin melekat-lekat gemersik suaranya itu.

Pantas aku menoleh. Memerhati kereta yang samar-samar kerana cahaya lampunya menghalang aku dari meneliti siapakah gerangan yang memanggil aku itu? Kemudian aku memandang ke depan semula.

“Cik Yaya sayang!” suaranya kedengarangan lagi.

Aku kaget berdiri. Terpempan lagi. Aku seluk kocek blouseku dan aku pegang epal yang dia berikan tadi. Adakah aku berkhayal akan kewujudan lelaki bermata redup itu? Lelaki penipu dan penggertak itukah yang memanggil aku?

“Cik Yaya sayang!” suaranya memecah gegendang telingaku lagi. Sudah tiga kali suara itu bergema.

Aku menoleh sekali lagi. Aku amati betul-betul lelaki yang berada di dalam kereta Volkswagen beetle itu. Sah! Memang sama dan ia bukan Izz Amir tetapi Adnan! Adnan tersengih seperti selalu. Macam kerang busuk! Pelik? Adnan memanggil aku juga dengan panggilan cik Yaya sayang? Apa kes?

+Tetapi itu suara mr pai epallah Yaya!
-Ya, memang suara dia. Dia terbang dari langitkah? Tapi di dalam kereta tu adalah Adnan yang suka menyengih ! Eee, sudahlah botak !

Erk!

Aku pandang ke depan semula. Kakiku pantas melangkah segera. Adnan buat apa di sini? Apa pula yang dia mahukan dariku? Kenapa Adnan di dalam kereta itu dan bukan Izz Amir yang datang? Haish! Aku keliru. Mataku terkebil-kebil dan aku pantas melangkah lagi. Volkswagen beetle rasanya mengekori aku dengan perlahan. Aku hampir-hampir tersungkur jatuh kerana sebuah batu! Tetapi cepat-cepat aku menyeimbangkan badan. Terdengar Adnan ketawa mengekek-ngekek kerana menyaksikan aku yang hampir tersungkur. Aku gigit bibir. Ah, malunya aku !

+ Kenapa kau harapkan Mr Pai Epal yang datang?
- Itu bukankah kereta dia? Kenapa Adnan budak yang suka menyengih tu pula yang bawa kereta Mr pai epal? Menyibuk sahaja!
+Tu bukan kereta Izz Amir kot! Entah-entah Adnan punya!
-Eh, tak. Tak! Itu kereta lelaki itu. Tak mungkin. Tak mungkin!
+Cuba pusing betul-betul Yaya. Tengok dengan dua biji mata engkau!

Kemudian bunyi hon yang sebati dengan jiwaku kedengaran lagi. Bukan bunyi hon sebuah kereta. Aku amati betul-betul hon yang berbunyi berkali-kali itu. Seperti bunyi hon Miss MJ Unguku. Benarkah apa yang aku dengar kala ini?

Aku menoleh lagi. Mengetap bibir. Dan mataku menangkap seorang lelaki yang membawa sebuah skuter bersama helmet comel. Tiba-tiba pula dia muncul dari arah belakang dan membawa skuterku ke kiri dan ke kanan. Dengan gaya terliuk-lentuk! Eh, eh mamat ni! Juga dia membunyikan hon skuterku berkali-kali. Seolah-olah jalan raya ini milik dia. Bersama senyumannya dan jelingannya yang sekali lagi mengganggu urat sarafku!

Aku terlopong kala ini. Mataku terkebil-kebil. Rasanya kalau lapan puluh ekor lalat yang masuk ke dalam mulutku, aku memang kenyang superb! Dia tersenyum menaiki skuterku. Miss MJ Ungu akukah itu? Ya Tuhanku.

Aku menekup bibirku dengan kedua jemari kanan dan kiri. Skuterku masih di bawa senang hati dan senyuman yang menampakkan giginya! Aku rasa bagaikan mimpi! Dan dia berhenti betul-betul di hadapanku.

“Cik Yaya sayang!” ucapnya lagi.

“Miss MJ Ungu sayakan?” tanyaku.

Dia terangguk-angguk! Enjin skuter lantas dimatikan. Helmet dibuka dan dia menepuk-nepuk skuterku. Bukan mimpi ya, Yaya ! Rambutnya dibetul-betulkan. Dia menongkatkan skuterku. Dan sekelip mata Izz Amir sedang berdiri di hadapanku bersama senyumannya yang masih membuatkan jantungku berdebar-debar. Ahh, kali ini tanpa mempedulikannya, aku terus mara ke skuterku. Sebenarnya, aku sedang kawal kawal nervous ! Kawal nervousku yang semakin melampau-lampau sekarang ini. Oh Tuhan, kenapa dia hadir dengan skuterku ini ?

Aku pantas menepuk-nepuk tempat duduk, membelek-belek cermin skuterku, melihat tayar, menampar-nampar pemegang dan tersengih-sengih geli hati. Sukanya rasa hatiku. Patutlah rasa rindu meluap-luap padamu, Miss MJ Ungu! Macam orang gayat! Terlompat-lompat aku keriangan melihat skuterku ini.

Tetapi kenapa harus dia membawakan skuter ini kepadaku? Aku pandang Izz Amir yang tersenyum. Adnan pula masih di dalam kereta menantikan bosnya. Aku berhentikan diri dari aksi melompat-lompat! Nanti apa pula kata lelaki ini terhadap aku? Suka melompat macam budak-budak!

“Err…err…” aku terkulat-kulat.

“Ini kuncinya. Bolehlah cik Yaya bawa balik skuter ni. Helmet tu saya belikan yang baru. Khas untuk awak!” Kunci dihulurkan kepadaku. Aku terkebil-kebil. Jemari lantas mengambil terus kunci yang dihulurkannya. Rasa malu-malu kucing pun ada.

Ah, aku rasa sungguh seronok saat ini. Rasa mahu meloncat tinggi lagi dan menyusuri pelangi pula. Macam mimpi! Kenapa tiba-tiba dia mengambil skuterku dari kedai motorsikal apek itu? Kenapa dia sudi membawakan skuter ini untuk aku?

“Saya tahu awak susah ke sana ke mari jika tak ada skuter ni. Awak terima ya cik Yaya?” dia memandangku.

Belum sempat aku menyambung rasa pelik dengan sikap dia, mulutnya pantas berbicara, “Eh, awak dah sedar dari pengsan ya? Kelakarlah awak ni Yaya! Boleh pula pengsan-pengsan ya!” Izz Amir menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Jadinya saya hutang sebanyak tiga tibu lapan ratuslah ya?” ingatanku terus menjurus kepada pasunya yang pecah dan sekarang harga membaiki skuterku. Siapa suruh dia bayarkan dahulu? Aku terasa terhutang budi sudah! Rasa sebak pula dengan kebaikan lelaki ini. Soalannya mengenai kejadian aku pengsan terus aku luputkan. Memoir memalukan seluruh hidupku itu tidak patut diperbincangkan dengannya.

“Kita kan sahabat. Saya kan sayang dekat awak banyak-banyak! Kalau cik Yaya sayang tak nak bayar pun saya tak kisah! Asalkan awak sayang saya juga!” jawapan mudahnya yang membuatkan aku mahu pengsan lagi. Tapi aku kawal kenervousan aku kerana lelaki ini. Sayang aku banyak-banyak? Banyak-banyak macam mana pula ni? Lelaki ni gila atau satu urat kepalanya terputus?

Adnan mengekek ketawa dari dalam kereta. Apa entah yang lawak aku tidak mengerti. Aku pandang Izz Amir dan bercekak pinggang.

“Gila!” semudah itu aku membalasnya. “Tetapi sebab awak dah bayarkan dahulu dan sanggup bawa skuter saya ke sini, saya terimalah ya! Seronoknya saya tengok skuter ni. Terharu! Nanti-nanti saya ganti duit awak ya !” Aku tersenyum dan kemudian menjadi senang hati. Kadang kala apa yang lelaki ini luahkan melalui hatinya menjadikan aku cepat mesra dan tidak janggal dengannya. Aku rasa senang pula dengan kehadirannya kala ini.

Izz Amir tersenyum. “Ikut saya keluar jalan-jalan makan angin nak tak cik Yaya sayang?”

Aku membetulkan beg galasku. Skuterku masih aku belek-belek. Keluar dengannya di waktu ini? Gilakah dia? Aku buat-buat tidak peduli dengan pelawaannya. Adnan di dalam kereta di belakang akhirnya turun sambil menggaru-garu lehernya. Dia duduk di atas sebuah batu kecil dan menjadi peneman kami. Sukar untuk aku percaya bahawa seorang lelaki mengajak aku keluar. Gila apa? Kalaulah ibu tahu, pastinya aku akan dimarahi ibu. Ibu pasti akan risaukan aku jika aku lewat sampai dari rumah dan pula keluar dengan lelaki yang bukan muhrim. Isk Isk..

+Keluar dengan lelaki kacak depan mata? oh pengsan!
-Jangan risau, Yaya! Ada peneman! Dia bawa teman. Adnan ada sekali. Silap-silap Fatin dan Lily pun ada malam ni.
+Eh, eh! Mana kau tahu?
-Aku kan penyiasat persendirian kau, Yaya! Kau lupakah?
+Okey, kita tengok. Fatin dan Lily ada atau tidak?
-Jika tak ada?
+Kita balik dan jangan keluar dengan Izz Amir
-Sombong betul!

“Saya hutang awak tiga ribu lapan ratus ringgit tau! Bulan depan saya janji saya bayar ya, Izz!” ucapku perlahan dan memandangnya.

“Apa awak kata?” jelingnya.

Aku hairan dengan soalannya, “Kata apa?”

“Tadi tu!”

“Bulan depan saya janji saya bayar ya!” aku mengulangi ayatku sebentar tadi.

“Bukan!” Geleng.

“Bukan apa?” mataku tepat memandangnya.

“Awak sebut nama saya tadi. Izz! Saya suka! Sebutlah lagi sekali. Izz!” Lelaki itu tersenyum dan ketawa. Siap geleng-gelengkan kepalanya.

Aku tersipu seketika. “Tiada ulang tayang! Perasan!”

Izz Amir tersenyum. Ya, saat ini dan ketika ini di mana jantungku sedang berproses dengan tenang dan aku mengawalnya agar tidak menjadi hura hara. Aku tidak mahu pengsan lagi di depannya! Bahaya! Bahaya! Aku akan mengalami hari malu sedunia lagi dengannya jika aku betul-betul pengsan. Cukuplah apa yang telah berlaku denganku. Cukuplah dengan dia yang mengangkat aku sebanyak dua kali. Malu oooo!

Izz Amir memandang aku dan dengan tenang berkata, “Sebagai balasan saya seorang kawan dan sahabat yang sudi ambilkan skuter kesayangan cik Yaya sayang, bolehlah awak ikut saya jalan-jalan ke sebuah tempat yang cantik dalam dunia ni! Bolehlah cik Yaya sayang ya?”

Sekali lagi dia menawar kepadaku. Aku terkebil-kebil. Dia berpeluk tubuh menantikan aku menjawab ‘ya’ sedangkan kepalaku dengan ligat mencari jawapan dan alasan untuk berkata ‘tidak’.

“Saya tak bolehlah! Saya tak pernah keluar dengan lelaki. Ibu marah nanti dan kata ibu saya, sebagai seorang gadis saya hanya akan keluar dengan suami saya sahaja selepas berkahwin. Saya juga rasa tak selesalah, Izz!”

“Awak panggil saya Izz?” Izz Amir ketawa geli hati. Pipinya pula berwarna merah kala ini. Aku hairan. Pelik pula dengan lelaki kacak ini.

“Kenapa? Haram panggil awak Izz ya?”

Dia gelengkan kepala lagi. “Tak! Tak! Saya suka! Sweet cara awak panggil saya. Izz!” dan dia berdekah-dekah ketawa lagi.

Izz Amir pandang aku, “Bila berbual dengan saya, awak panggil saya Izz ya? Saya suka!”

“Gila!” aku memuncungkan bibirku. Dia pandang aku dan kemudian tersenyum lagi.

“Iya cik Yaya sayang! Saya serius gila! Gila sebab awak!” Muka Izz Amir serius.

Gulp!

+Tengok, dia sebut lagi dia gilakan aku? Dia ni main-main ke betul-betul ni ? Haish !
-Betullah Yaya!
+Aku rasa macam mimpi!
-Eeeee, sudahlah handsome! Kaya. Ada Pai Epal Café sebanyak 5 cawangan di Malaysia, anak Tan Sri Mokhtar pula. Tapi dia jenis pandai berdikari sendiri dan tak suka gunakan kekayaan papanya untuk apa-apa kepentingan. Lelaki sebeginilah yang kita patut cari, Yaya !
+Mana kau tahu ? memandai-mandai cakap dia anak Tan Sri Mokhtar ? Kayalah ! 5 cawanganlah ! Entah-entah dia ni anak pak guard kilang !
-Aku baca paperlah ! Ngok !

Erk ! aku terkebil-kebil lagi ! dia panggil aku sayang? Bum ! rasa macam bom meletup. Hati, jantung, usus, urat, salur darah, ovari, pankreas, tulang dan segala macam pancaindera dan nikmat yang Allah swt berikan secukupnya dalam badan ni melonjak-lonjak girang. Yahooo !!!!

“Eh, saya nak baliklah! Seganlah!”pantas aku memasukkan kunci ke dalam punatnya. Mulut dan hati memang berlainan sifatnya !

“Okeylah begini, kalau awak segan. Saya ada Lily!” Jeritan pertamanya, Lily datang dengan sebuah skuter berwarna kuning! Vroommmm..vrooommmm….Lily bersama helmetnya sekali yang satu set! Kau nak pengsan, Yaya! Bersama itu juga lampu-lampu kecil yang berbentuk epal tiba-tiba terbentuk di sisi kananku. Aku terbeliak rasa nak pengsan! Ada berpuluh-puluh lampu berbentuk epal yang bergantung-gantung dengan pokok-pokok berkenaan! Jalan raya terus terang benderang! Pesta lampukah hari ini?

Pin! Lily membunyikan honnya dan berhenti betul-betul bersebelahan aku. “Yaya! Jom!”

Izz Amir tersengih lagi, “Kalau awak segan lagi, saya ada Fatin!” jeritan keduanya bergema dengan kuat dan serta merta lampu-lampu berwarna warni di sisi kiri dan seluruh jalan raya bertukar menjadi lampu berbentuk epal, hati dan pari-pari yang sedang menembak sebentuk hati!

Plup! Macam dalam mimpiku tempoh hari! Fatin menyengih bersama skuternya berwarna merah pula! Juga helmet satu set. Vrooommm…vrooommm. “Kak long! Fatin ni!”

+Haa, kan aku dah kata, Fatin dan Lily ada malam ni.
-Ajaib! Ajaib! Modus operandi apakah yang sedang lelaki ni gunakan untuk memujuk aku?
+Makanya, sila tepati janji, Yaya!

Seluruh jalan raya sisi kanan dan kiriku dipenuhi lampu neon yang berwarna warni! Apa gila lelaki ini? Apa hilang akalkah dia? Tetapi aku sebak dan terharu! Macam drama pula! So sweetnya!

“Bolehlah ya cik Yaya sayang. Kita keluar bersama. Bukan kita berdua pun. Ada Lily, Fatin dan Adnan temankan kita berdua. Awak duduk jauh 10 meter dari saya pun saya tak kisah. Ada sebuah bukit yang bila kita pandang sahaja kawasan sekitarnya kita akan rasa tenang selalu! Damai sahaja.”

Cheh, jiwang karat! Tapi sungguh aku terharu! Aku rasa bagai nak menjerit dan pengsan lagi. Jantungku seperti biasa, dan dia lelaki di hadapanku kini telah membuatkan jantungku terus menerus hura hara !

Aku memerhatikan kawasan sekitar yang dipenuhi lampu hiasan. Rupa-rupanya ada berbagai bentuk. Epal, bentuk hati, bentuk bintang dan pari-pari! Pokok ru turut sama bertukar warna! Cantik !

Ah – kenapa debaran ini tidak lagi berhenti? Mengapa saat ini dan ketika memandang wajahnya itu buat aku jadi penasaran? Aku yang gilakah atau dia yang gila ? Ya Allah, Ya Rabbi !

“Bolehlah cik Yaya sayang!” wajahnya penuh simpati. Aku terkebil-kebil saat ini. “Fatin dan Lily akan teman kita. Boleh ya?”

Hatiku akhirnya mengiayakan. Senyumannya telah membunuh jiwaku dan buat mindaku mengeluarkan aroma cinta! Belum pernah aku alami saat-saat indah sebegini. Belum pernah ada lelaki yang menawarkan mahu keluar denganku bersama lampu-lampu indah ini. Juga kerana berteman, maka aku tidak sanggup menolak permintaannya. Gara-gara skuterku dan kerana aku tidak mahu termakan budi. Dan bersama anggukan dan Izz Amir melompat-lompat sarkis di hadapan kami. Di sambut pula dengan gelak ketawa Adnan, Fatin dan Lily.

Miss MJ Unguku berjalan sederhana. Kami bertiga di hadapan bersama Volkswagen beetlenya yang mengiringi di belakang. Terasa ada bunga mawar mengiringi perjalanan ini. Miss MJ Ungu rasanya dengan bulu mata lentik dan matanya yang bulat bagai guli pasti mengalirkan air mata syahdu syahdan kerana aku sedang membawanya. Terlepas sudah memendam rasa rinduku separuh mati dengan skuterku ini.

Melalui cermin sisiku, dan aku melihat Izz Amir memandang skuterku dan aku ! Dia mencuri-curi pandang walau sesekali sedang berbual-bual dengan Adnan si sengih di sebelahnya ! Ya- aku perasan kerana mata ini tidak akan menipu walau apa sekalipun. Ombak rambutnya beralun-alun ditiup angin dan senyumannya terus membawa jiwaku melayang-layang pergi.

Ibu, adakah Yaya sedang jatuh hati? Ibu, adakah Yaya sedang jatuh cinta? Kenapa dengan Yaya kala ini ibu? Yaya bukan bermimpi ibu. Yaya rasa Yaya semakin sukakan dia. Layakkan Yaya yang banyak bersederhana ini untuk jatuh cinta? Layakkah Yaya yang tak punya apa-apa ini merasai rasa bahagia apabila lelaki itu selalu mahu mendekati Yaya?

***

Aku berdiri tenang dan dia pula 10 meter jaraknya dari aku. Turut sama berdiri dan kami mendongak. Fatin dan Lily sedang enak menikmati Pizza Hut yang rupa-rupanya ada di dalam kereta Volkswagen Beetlenya. Adnan pula berdiri di sebelah lelaki itu. Aku, Izz Amir dan Adnan. Lily dan Fatin melambai-lambai sambil mulut penuh mengunyah-ngunyah makanan. Berlima di atas bukit indah ini, dengan udara yang menyamankan. Ia cukup hari yang membahagiakan. Tidak pernah pula aku sangka untuk berdiri di atas bukit ini. Memang mendamaikan! Memang cantik!

“Saya laparlah bos!” suara Adnan memecah kesunyian.

Izz Amir pantas membalas, “Pergilah makan di sana tu!”

“Tinggalkan bos berdua di sini dengan cik Yaya sayang bos ni, tak apa kan?”

Aku terkedu. Memandang Adnan yang menyengih. Poyo punya budak!

“Apa pula awak ni Adnan. Bukankah ada awak, Lily dan Fatin teman kami sekarang ni. Saya di sini dan awak semua di sana. Bukannya jauh sangat pun! Pergi-pergi!” arahannya tegas tapi agak melucukan untuk aku.

“Iyalah… manalah tahu ustazah rock tu nanti bagi tazkirah dekat kita! Saya takutlah bos!” Adnan buat telingaku bernanah. Izz Amir boleh ketawa saat ini.

“Ambilkan makanan kami sekali Adnan. Saya pun tengah lapar ni! Perut dah krok krok bunyi ni!” dia berikan arahan kepada Adnan dan aku lebih selesa berdiri memandang persekitaran yang cukup mengindahkan. Kawasan bandar dengan bangunan yang tinggi melangit, lampu neon yang berwarna warni dan angin dingin yang menemani kami. Adnan melangkah pergi dan Izz Amir aku lihat makin mendekatkan tubuhnya denganku.

Jika tadi dalam anggaran 10 meter, kini sudah 5 meter. Aku pandangnya dan dia tiba-tiba menghentikan kakinya. Sambil dia memandang aku sambil itu juga dia tersenyum lagi. Apa yang sedang aku rasa ? Aduhai! Rasa nak pengsan lagi pun ada, rasa nak jerit kuat-kuat pun ada, rasa nak terjun dari bukit yang tinggi ini pun ada!

“Awak nak apa sebenarnya ajak saya datang ke sini?” pantas aku teringatkan Fatin yang sempat mengajarku supaya bertanya soalan ini kepadanya. Itupun Fatin ambil peluang berbisik-bisik denganku.

“Saja! Buang masa!” dia tersengih.

Eh, eh, eh! Banyak cantik muka dia!

“Saya tak boleh lama-lama. Tapi terima kasih ya sebab ambilkan skuter saya. Nanti saya bayarkan balik!”

Izz Amir memasukkan jemarinya ke dalam kocek seluar. Tubuhnya nampak sejuk kerana udara dingin di atas bukit ini. Ouch, kacaknya saat dia menolak rambut yang jatuh di dahinya itu! Rasa nak pengsan lagi! Sempat aku memandangnya dan kemudian aku larikan anak mataku. Berdebar-debar lagi jantungku!

“Dah 3 ke 4 kali awak sebut nak bayar, nak bayar. Ya, saya tahu. Nanti awak ada duit awak bayarlah! Saya tak kisah, tapi nanti datang ke café saya ya!”

Ala, sebut sahajalah percuma, bukankah bagus? Aku menggigit bibir.

“Cik Yaya sayang!” dia panggil lagi namaku dengan sekali-sekali perkataan sayang. Ah, sudah! Kalau masuk 100 kali memang sah-sah aku masuk hospital gila. Aku terdiam. Bulu roma seperti biasa, akan meremang-remang. Aku langkahkan kakiku ke kiri agar sedikit jauh darinya.

Dia menoleh dan kemudian Adnan datang menghulur beg plastik ke arahnya. Kemudian Adnan cepat-cepat berlari ke arah Lily dan Fatin yang sibuk memanggil-manggil. Gelak ketawa mereka aku dengari. Entah apa yang mereka sibuk bercerita, aku tidak ambil peduli.

Automatiknya, Izz Amir terus duduk bersila. Kasut mahalnya entah cap apa dibuka dan dijadikan alas punggungnya. Tangannya dengan pantas membuka beg plastik berkenaan dan memandang aku yang masih berdiri tegak. Aku jadi bisu saat ini. Aku jadi malu tiba-tiba. Aku jadi amat asing kala ini. Mengapakah hatiku ketika ini?

Matanya cepat-cepat melirik agar aku turut sama duduk. “Marilah. Saya lapar ni. Duduk depan saya. Kita makan pizza hut sama-sama. Sedapnya!” mulut Izz Amir digumam-gumam dan tangannya ligat lagi menyusun menu yang sedia ada. Dia seperti sedang menggoda aku untuk menikmati Pizza Hut yang belum pernah aku sentuh selepas arwah abah meninggal. Ya – aku tidak pernah habiskan duitku untuk membeli makanan segera ini. Setiap kali jika teringin sekalipun, aku akan telan air liur! Masa aku agak terhad juga untuk bersama-sama teman berjalan ke sana dan ke sini. Tiada KFC, Mc’donalds dan Pizza Hut. Malah, Kenny Rogers, Nando’s dan segala macam restoren makanan segera yang kawan-kawan selalu sebut, tidak pernah aku masuk dan rasainya! Masaku hanya bekerja mengumpul duit untuk ibu, Fatin dan kehidupan kami bertiga.

Aku pandang dia dengan rasa yang sebak. Kenapa dia mempelawa aku menikmati makanan kegemaranku ini? Aku toleh melihat Fatin yang sedang tersenyum-senyum. Mata Fatin bercahaya dan dia turut mengangguk dan mengarahkan agar aku segera duduk.

“Marilah makan dengan saya, cik Yaya sayang oi! Ni ada Pizza Cheezo Mix Waikiki Chicken, Pizza Beef & Mushroom.” Izz Amir menunjukkan pizza berkenaan. Aku gigit bibir. Perutku lantas berkeroncong. Grrrr…

Izz Amir menunjukkan menu satu persatu. Diangkat seolah-olah memperkenalkan segala jenis menu kepadaku, “Yang ni pula soup, ada garlic bread yang sedap. Yang ni Honey BBQ Wings paling mabeles dalam dunia.”

Mataku pantas memandang sebungkus lagi menu. “Yang tu?”

Dia tersenyum dengan lesung pipitnya yang dalam itu. Pantas Izz Amir membuka bungkusan tersebut. Dia nampak bersemangat mahu bercerita. “Spaghetti Creamy Carbonara untuk saya dan untuk awak saya pilih Spaghetti Chicken Bolognaise. Sedap ooooo!”

“Banyaknya. Kalau macam ni saya gemuklah!” ucapku dan lantas terus duduk di hadapannya. Tanpa membuka kasut sepertinya aku terus bersila memerhati segala macam makanan yang ada. Semuanya menggugat nafsu makanku. Kami berpandangan. Angin dingin menampar-nampar pipiku.

Izz Amir tersenyum lagi! Matanya merenung aku! Sudah! Rasa jika ada garfu mahu saja aku cucuk matanya itu.

“Ala, awak tak akan gemuk kalau makan dengan saya. Marilah makan dan teman saya! Saya lapar sangat ni.”

“Air ada tak? Tercekik nanti!”

Potongan pizza pertama dihulurkan kepadaku. Aku ambil makanan yang disuakan kepadaku. Rasa terharu pun ada! Rasa nak pengsan lagi pun ada!

“Sekejap lagi Adnan bawalah tu. Cepat-cepat, kita makan! Rugi kalau awak tak makan dengan saya. Lebih-lebih lagi sebab saya yang belanja, lagilah rasa pizza hut ni sedap!” dia ketawa. Aku turut sama memerhati gelagat lelaki ini. Sebotol sos juga turut sama ada! Haih, ni memang ada dalam rancangannyakah?

Bersama dengan ucapan Bismillah, akhirnya menu melazatkan ini menjadi teman kami.

Bersama Izz Amir di atas sebuah bukit. Ditemani keping-kepingan Pizza Hut yang tiba-tiba menghulurkan persahabatan. Bintang dan bulan lantas menjadi teman. Angin dingin juga turut sama membalut tubuh kami berdua. Volkswagen beetle dan skuter Lanceharmku menjadi saksi. Kedua-duanya diparkir rapat-rapat! Mata bulat skuterku memandang tepat mata bundar kereta comelnya! Sama-sama tersenyum malu!

Dan aku ketika ini, tidak dapat menahan sebak dan tidak dapat menahan rasa yang tiba-tiba Allah anugerahkan. Sesuatu rasa yang sukar aku ungkapkan dari dalam hati. Ada bunga-bunga sakura lagi menemani. Meski sekarang malam! Meski sekarang kami ditemani cahaya bulan dan bintang!

Tersenyum, ketawa, berbual apa sahaja dan kami menikmati makanan lazat yang menyambung episod diari manis dalam detik hidupku.

Ketika aku menikmati semangkuk sup dan baru sahaja aku mahu menyuapnya untuk kali kelima, suaranya gemersik mengusik hati dan jiwaku, “Kalau saya nampak matahari, saya sentiasa nampak wajah awak yang bercahaya! Kalau saya nampak bulan, saya sentiasa nampak awak yang sentiasa tersenyum dan kalau saya nampak bintang, saya sentiasa rasa awak bintang di hati saya! Entah – saya tak tahu kenapa dengan hati saya sekarang ni, Yaya!”

Rasa mahu terkeluar semua kepingan pizza hut dari dalam perutku! Erk !

Dan sup itu terbiar di depan mata. Aku kaku tiba-tiba. Nervous! Nervous! Rasa nak pengsan dan bangun balik, pengsan dan bangun balik enam belas juta kali! Biar betul! Jiwang pula lelaki ini tiba-tiba! Jiwang karat, jiwang segala jiwang! Adakah lelaki ini mentransformasikan dirinya menjadi mat jiwang atau mat bunga? Atau lelaki ini bakal menjadi autobot atau megatron yang bakal memerintah dunia?

Belum pun sempat aku memengsankan diri sekali lagi, Adnan, Lily dan Fatin akhirnya mengerumuni kami berdua. Pizza hut yang berbaki menjadi santapan mereka. Dan dia tersenyum-senyum bersama lesung pipit yang cukup-cukup mentraumakan diriku. Pipinya pula bertukar menjadi warna merah jambu! Aik?

Oh tuhan! Saat ini, aku dongakkan kepalaku dan aku lihat bintang dan bulan yang sedang menemani kami berlima. Dia sempat menjelingku dan secara tiba-tiba mengambil sup di tanganku dan dia akhirnya menghabiskan supku itu tanpa rasa malu!

Aku terkebil-kebil rasa mahu pitam! Aku ini bintang, bulan dan mataharikah untuk dia? Arghhh, malunya aku!

“Epal yang saya berikan tu, cik Yaya sayang simpan elok-elok ya!” Dan senyuman mahalnya yang berharga berbillion-billion itu masih terpalit untuk aku!

Wajibkah aku pengsan sekali lagi?


27 November 2011

Budi Setahun Segunung Intan [Mr Pai Epal]

lee-min-hoo-foto-wallpaper


Sesekali hero Mr Pai Epal dengar lagu melayu lama, mesti dia suka. Terangguk-angguk sebab M-Pop! Ngeeee!


Lagu tema e-novel Mr Pai Epal. Ada lagu tema? Eh, mestilah ada kan? Ececececece! Suka dengar lagu lama ni. Apatah lagi, lagu dari Allahyarham Ahmad Jais berduet dengan Kartina Dahari. Ayah saya cukup suka lagu ini. Catchy sahaja muzik awalnya. Nak tergelak pun ada sebab anak-anak buah saya pun kalau dengar lagu ni, kepala terangguk-angguk ikut rentak lagu ni. Alahai! Jadi semasa menulis kisah Mr Pai Epal, lagu ni saya rasa sesuaiiii! Hohohohohoho.

^__^ Yang mahu mendengar, bolehlah tekan play dan mendengar Budi Setahun Segunung Intan. Zasss!!


22 November 2011

Mr Pai Epal 8

Mr Pai Epal bersambung hari ini. Ingatkan nak publish esok, tapi penulisnya pula rasa tak manyabo-nyabo. Hahaha. Benarlah, Cik Yaya dah menjiwai diri sendiri! Adakala saya boleh tergelak sorang-sorang sebab teringatkan dia. Banyak fikirkan plot-plot menarik dan tak masuk akal! Hai, Yaya, Yaya! Menulis genre humor ditambah dengan cinta sebegini, buatkan saya resah banyak kali. 3 novel sebelum ini yang berlainan sama sekali dengan e-novel pertama saya ini. Saya resah dan takut jika ia tak diterima ramai. Apa sekalipun saya mencuba genre baru dan mencabar diri. Dengan harapan semua terhibur.


Oh, lama tak update pasal penulisan. Manuskrip saya telah diKIV, okey? Hohohoho! Sedih..sob sob! Tetapi rezeki ada di mana-mana. E-novel pun e-novellah. Sentap o! sentap! Manuskrip berkenaan saya tarik balik dan akan saya perbaharui jalan ceritanya. Dan manuskrip berkenaan akan turut sama saya ketengahkan dalam bentuk e-novel. Lebih segar-bugar dan akan toing-toingkan mata awak-awak semua. Ecececece!


Oh ya, satu lagi novel fantasi kanak-kanak yang tak tahu khabar beritanya telah saya tarik balik dari editor dan akan berdiri di blog ini kelak. Berdiri di blog ini dan tidak akan dipublish di penulisan2u. Tunggukan kemunculannya, okey? Saya dah rasa macam berserah dan tawakal! Tetapi usaha tetap usaha! Fighting Mardihah! Ganbate!

Eh eh eh, terbebel-bebel pula! Sedangkan semua tak sabar-sabar nak tunggu sambungan Mr Pai Epal. Jangan tunggu lama-lama lagi, okey? Selamat membaca dan tersenyum comel-comel! Harap-harap semua suka dan enjoy!Zassssss!



Lee min ho from his website
Kalaulah betul dia ni Mr Pai Epal, peluk Islam kan? Lepas tu say, saya sayang awak, Mardihah! Mesti saya pengsan lapan puluh juta kali!



Dua hari yang amat panjang. Tanpa gangguan sesiapa dan segala kerja dapat aku uruskan dengan jayanya. Menahan bas seawal pagi ke tempat kerja dan kemudian selepas jam 5.00 petang, Melati akan menjemput aku untuk kami terus ke stesen minyak. Melati jugalah yang akan menghantar aku pulang ke rumah lewat jam 11.00 malam. Hari sabtu sebegini, seawal pagi aku duduk di stesen bas untuk ke Pasaraya Yesco. Sehingga jam 10.00 malam aku akan terus bekerja. Ibu pagi-pagi lagi bersama denganku membuat sarapan. Entah apa pula mimpi ibu kerana mahu aku membuat pai epal dan kek coklat. Maka, begku kini sudah terisi dua bekas yang dipenuhi pai epal dan kek coklat.

Kata ibu sebelum aku menyalam dan menciumi pipinya, “Anak ibu memang pandai memasak ! macam arwah ayah, ibu suka kalau Yaya jadi chef macam ayah ! ”

Aku terkedu dan Fatin juga memandang aku dengan seribu rasa. Mulutnya yang mengunyah kek coklat buatanku terhenti seketika. Kami pimpin ibu duduk di atas sofa dan aku pantas berlari-lari keluar dari rumah bersama deraian air mata yang tidak dapat aku tahan. Sampai bila ibu akan bergelap? Sampai bila pula ibu tidak dapat mengecapi melihat kedewasaan kami berdua dan melihat keindahan dunia? Dan kenapa ibu sentiasa terus menerus mahu aku mewarisi bakat arwah ayah itu? Aku berlari-lari anak sehingga aku kesat air mata yang berbaki. Stesen bas pantas menjadi tempat penyinggahan. Perlahan-lahan, aku duduk di atas kerusi panjang yang telah disediakan untuk kemudahan masyarakat sekitar taman ini.

Pandangan aku segera tertancap ke arah seorang pemuda yang sedang menyapu sampah di hujung jalan. Bersama topi dan tulang empat keratnya menyapu dengan penuh sungguh-sungguh. Saat ini, aku tersedar. Jika aku ditentukan untuk melalui segala episod hidup sebegini, maka lelaki ini pastinya juga. Jika aku susah merintangi kehidupan yang penuh cabaran, maka lelaki ini pastinya lebih penuh dengan cabaran. Aku tarik nafas dengan perlahan-lahan. Lelaki itu kemudian melintas jalan menghampiri stesen bas ini. Dia mengibas-ngibaskan bajunya kerana peluh dan lantas duduk di atas kerusi panjang yang paling hujung sekali.

Hanya kami berdua di sini. Dia di hujung kananku. Kenderaan lalu lalang dan bayang bas masih tidak kelihatan. Masih berbaki setengah jam untuk aku mendaftarkan diri di dalam pasaraya. Masih sempat ! Aku pandang lelaki berkenaan. Dia agak muda dan wajahnya penuh dengan jambang dan misai yang tidak terurus. Air mineral water yang ada di tangannya diminum dengan memulakan bismillah. Aku kagum sedari tadi melihat dia.

Dia tiba-tiba menoleh dan kami berpandangan. Aku memberikan anggukan tanda hormat. Kami berbalas senyuman. Dia membuat isyarat dengan jemarinya. Isyarat yang dia memerlukan makanan. Isyarat yang dia sedang kelaparan. Aku terpinga-pinga.

Pesanan ibu segera mencelah, “Kita mesti sentiasa membantu sesiapa sahaja yang memerlukan, Yaya !”

Aku bingkas bangun dari tempat dudukku. Beg galas segera aku kedepankan dan mampir dekat dengannya. Bau badannya memang sedikit busuk. Tetapi aku memahami bidang tugasnya sebagai seorang tukang sapu. Jika dia seorang tukang sapu sekalipun, dia tetap sama di sisi Allah dengan kita yang serba lengkap ini, bukan? Hatiku berdetik lagi.

“Awak lapar ya?” aku kemudian mengambil bekas Tupperware yang diisi tadi oleh Fatin dan ibu. Dia memandang aku dengan matanya yang penuh bercahaya. Hanya mengangguk.

Bekas aku buka dan pai epal di jemarinya kini, dikunyah-kunyah penuh perasaan dan kek coklat kemudian menjadi santapannya. Aku terhibur melihatnya. Dia tersenyum dan terus meneguk airnya pula. Ah – memang dia lapar. Kasihannya!

“Saya yang buat! Nama awak siapa? Makanlah, jangan segan-segan!”

Dia pandang aku dan hanya mengangguk-angguk. Tidak menjawab dan hanya menunjukkan ibu jarinya tanda isyarat bahawa makananku sedap. Aku ketawa melihatnya. Dia tersenyum dengan anggukan berkali-kali. Tuala dilap pula ke dahinya dan dibasuh tangannya dengan air yang masih berbaki. Dia mengucapkan Alhamdulillah berkali-kali. Pai epal dan kek coklatku masih berbaki. Aku hulur perlahan lagi kepadanya. Dan dia menolak dengan perlahan.

Suaranya bergema tiba-tiba, “Terima kasih. Terima kasih. Semoga Allah melapangkan masa kamu, kawan!”

Kami berpandangan. Desiran angin pagi ini benar-benar memberikan kekuatan. Bekasku ditutup rapi dan dia masih dengan senyuman. Lelaki itu menghulurkan bekas kepada aku. Ketika aku sibuk memasukkan bekas ke dalam beg galasku, dengan pantas dia bangun dengan mengangguk-angguk dan berjalan pergi. Tubuhnya berjalan senada dengan bahasa dan pegangan bahawa setiap manusia itu ada rezekinya. Maka, pai epal dan kek coklat buatanku pagi ini benar-benar rezeki untuknya. Aku memandangnya dan bas yang selalu aku naiki berhenti. Pemandu yang sama dan mengerti bahawa aku adalah penumpang setianya.

Pantas aku berjalan menaiki tangga dan segera menuju ke belakang bas. Aku masih melihat susuk tubuhnya. Dia berdiri tegak memandang bas dan kami akhirnya dipisahkan dengan perjalanan aku ke tempat kerja. Pagi ini, pagi yang sungguh indah. Pagi yang memberi pelajaran dan seribu makna untuk diriku. Tetapi ketika aku duduk di dalam bas selepas susuk tubuhnya hilang dari pandangan mataku, aku menangis dengan sungguh-sungguh. Aku menangis dengan rasa terharu kerana aku masih mampu meneruskan kehidupan ini tidak sesusah lelaki berkenaan yang kelaparan. Bagaimana hari-harinya kelak. Jika dia lapar, siapa pula yang akan membantunya? Dan hidup kami sekeluarga sebenarnya jika diletakkan dan ditimbang dengan orang lain yang lebih susah, hidup kami sekeluarga pasti dikatakan lebih banyak nikmatnya.

Maka pesanan ibu sekali lagi menjengah ke gegendang telingaku, “Nikmat hidup kita pastinya lebih hebat dari nikmat hidup orang lain, Yaya! Alhamdulillah dengan segala nikmatnya.”

***

Memulakan kerja dengan semangat. Aku pandang barisan kawan-kawan yang berdiri di kaunter pembayaran. Tugasku seperti biasa, menjaga kaunter pembayaran. Kak Yati sebagai supervisor bertugas hari ini awal-awal lagi memberi warning, “Pastikan baki duit pelanggan kita diberikan dengan betul dan berikan senyuman. Customer always right!” Tegasnya penuh dedikasi. Macam pengetua sekolah!

Itu sahaja pesannya jika sampai waktu dia menjadi supervisor. Mengenai baki duit dan senyum selalu. Bosan! Sedangkan dia selalu aku lihat memarahi pelanggan tanpa usul periksa. Mahu sahaja aku dan kawan-kawan membuat aduan dengan sikapnya itu kepada ketua seksyen. Tetapi kami masih bersabar dengan karenahnya yang juga suka memerintah sesiapa sahaja.

Ketika aku tekun memeriksa segala barangan pelanggan, menekan jumlah bayaran, membuat scan, memindahkan barangan ke dalam beg plastik dan memberikan baki wang, ada sepasang mata aku rasa sedang memerhatikan diriku. Wanita di depan mataku, memberikan senyuman selepas aku menghulurkan bakinya. Aku fokus bekerja dan tidak mahu Kak Yati membebel memarahi aku jika ada kesilapan yang dilakukan.

Pantas selepas selesai berurusan dengan wanita berbaju kuning itu, aku mengangkat wajahku memandang pelanggan seterusnya. Namun wajahku tiba-tiba memandang lelaki yang berada di belakangnya. Trolinya maha dahsyat penuh! Setengah dari trolinya penuh dengan epal berwarna hijau! Juga beberapa kotak minuman dan sayur-sayuran. Jantungku pantas berdegup hebat! Bulu romaku pula tegak berdiri. Dia memandang aku dengan senyuman dan lirikan matanya. Memandang aku dengan renungan tajamnya. Terasa mahu aku mencucuk matanya dengan garfu! Tetapi kenapa sekali lagi aku terasa ada banyak bunga berkembang mekar di dalam hatiku.

Haish!

+Yaya, kau kenapa?
-Kau tak rasa malukah sebab dua hari lepas dia mengaku yang dia sayangkan aku. Juga katanya gilakan aku! Kau tahu tak? Aku nervous ni. Nervous!
+Oh, nervous ya? Rilekslah Yaya. Bertenang, tarik nafas!
-Eh, maka benarkah Allah memberi peluang dia berjumpa dengan aku seperti yang dia pesankan dalam facebook messengernya itu dua hari lepas? Oh, tidak! Nak pengsan! Nak pengsan!
+ Yaya, dia bukan hantu! Dan dia pun bukan mengaku betul-betul yang dia sukakan kau! Ibu kata, setiap lelaki yang sukakan kita, dia mesti menjaga iman dan menjaga gadis pujaannya. Mana boleh sebarangan bercakap, ‘aku sayangkan kau’ tanpa membuktikannya.
-Contoh?
+Dia akan kawal perasaan hatinya. Dia tidak akan memegang tangan kita, berdua-duaan dengan kita dan bukan bercinta kerana nafsunya. Dia akan sayangkan kita kerana Allah. Dia akan jaga kita sebaik-baiknya sebelum akad nikah!
+Ah, aku nak pengsan. Tak kira, aku nak pengsan juga! Kau tengoklah bagaimana dia pandang aku. Tak berkelip-kelip mata dia. Cuba kau rasa jantung aku yang sedang berproses hura hara ni? Cer rasa, cer rasa!
-Cucuk mata dia dengan garfu, habis cerita!
+Nanti dia butalah.
-Boleh operate balik!

Aku jadi kelam kambut. Izz Amir masih tegak berdiri dengan senyumnya dan berpeluk tubuh menantikan giliran. Wajahnya penuh kesabaran tetapi masih tetap mencuri hatiku. Entah, aku sendiri tidak tahu kenapa dengan hati kala ini. Aku senang sekali memandang wajah redupnya. Senang sekali melihat senyumannya untuk aku. Ah, gila aku! Sasau dibuatnya! Saat ini lagu Keabadian Cinta dari Anuar Zain yang sedang berkumandang di pasaraya terus membuatkan jantungku berdegup kencang! Urat rasa nak terputus! Air liur sudah berkali-kali aku telan.

Aku mahu pengsan! Mahu pengsan! Fuh!

“Dik!” suara wanita itu sekali lagi menjahanamkan proses pengiraaanku. Aku menggigit bibir. Serba tidak kena pula jadinya. Aku jadi lambat dan terhegeh-hegeh membuat kerja.

“Sekejap ya kak.” Aku batalkan transaksi dan dengan pantas membuat scan semula. Tepat. Dan kemudian aku beralih kepada barang yang berikutnya. Ah, kenapa pula tiada bar codenya.

Aku belek-belek susu kotaknya. Oh, ada. Wajah wanita berbaju kurung dan tidak bertudung ini nampak agak stress. Ya, kerana aku yang dengan automatiknya menjadi lembab dan seperti pekerja yang baru bekerja hari ini. Ah, aku nak pengsan! Aku nak pengsan! Terus aku scan susu kotaknya. Barangannya satu persatu aku scan dengan kadar yang sungguh lembab! Lembab seperti siput ! Fikiranku bercelaru.

Izz Amir masih memandang aku. Aku tarik nafas. Dia tersengih-sengih mentertawakan aku yang sedang kelam kabut menguruskan wanita yang sedang dalam keadaan tertekan ini. Lelaki ini, memang pendengki! Selalu menyusahkan aku!

Kerjaku makin lembab lagi dan ditambah dengan keadaan jari-jariku yang automatiknya menggigil. Memang sah, aku hari ini bakal dijadikan bebelan percuma Kak Yati. Habislah aku! Akhirnya proses pengiraan berakhir. Aku mengeluh memandang wanita berkenaan.

Dia menjeling aku. Dengan pantas aku menyusun bicara bersama senyuman. “Dua ratus tiga puluh empat ringgit dan lima puluh lima sen.”

“Haih, kenapa awak nampak gemuruh saja ni. Lembab! Saya tunggu dua puluh minit tahu tak?” lantas wang sebanyak dua ratus lima puluh ringgit diserahkan. Wanita ini merenyuk-renyuk. Wajahnya mencuka seperti kita menikmati mee goreng yang masin dengan garam sepuluh tan!

Aku tunduk dan memberikan senyuman. “Maaf kak. Sistem lambat!” sudahnya aku menyalahkan sistem. Sedangkan sistem nampak baik dan teratur. Komputer pun sebenarnya tidak buat hal! Aku dengan pantas menekan jumlah wang yang diberikan. Pantas aku mengeluarkan baki sebanyak lima belas ringgit dan empat puluh lima sen.

Wanita itu mengira-ngira lagi. “Dik, kurang satu ringgit!” celahnya cepat. Izz Amir mara menolak trolinya ke arah kaunter tempat aku bertugas. Wajah tekanan wanita itu jelas terpampang. Ah, memang sengaja dia mencari nahas.

Malas berkira dengan wanita itu, aku segera memberikan wang yang dikatakan kurang tadi. Dia merengus dan Kak Yati dari hujung kaunter sudah berpeluk tubuh. Matanya tajam merenung aku. Ah, Kak Yati memang memiliki sepasang mata kelawar. Tajam melihat pekerja-pekerjanya. Bolehkah aku buat-buat pengsan sekarang ini? Bolehkah?

+Kau nak pengsan sekarang, Yaya?
-Ya, aku mahu pengsan! Boleh?
+Izz Amir depan mata! Sila kawal perasaan dan tingkah laku. Jangan terjerit-jerit histeria seperti kau melihat Bae Yong Joon di dalam youtube, okey?
-Eh, mana kau tahu aku terjerit-jerit melihat pelakon lelaki korea tu?
+Eleh, terjerit macam kena sampuk histeria. Konon, tak mengaku! Bagi flying kicks Detective Conan, baru tau!

Dup dap dup dap! Jantung aku berdegup lagi. Selalunya dengan pantas aku mengambil barangan, membuat scan dan memasukkan barangan ke dalam beg plastik. Tetapi kini, aku rasa akulah pekerja paling lembab dan malang di dalam dunia. Bila sahaja aku berhadapan dengan lelaki ini, kenapa aku menjadi sebegini? Aku pandang segala barangnya yang penuh satu troli. Lihatlah epalnya yang bukan dibeli dalam bentuk kotak. Adakah dia jenis pemilih dan memilih epal ini sebiji-sebiji. Gila! Memang gila lelaki ini!

Kami berpandangan dan dia seperti biasa, memberikan senyumannya untuk aku. Haish, kenapa lesung pipitnya itu dalam seperti ibu lesung? Dia membantu meletakkan barangannya. Aku cuba berlagak biasa. Perasaan untuk pengsan tadi perlahan-lahan aku simpan. Sila pengsan sekejap lagi, Yaya!

“ Cik Yaya sayang. Apa khabar?” dia tersenyum dan memandang aku.

Oh tidak, aku mahu pengsan. Sekarang juga aku mahu pengsan. Aku nervous! Nervous!

Aku menjelingnya. Pantas memberikan jawapan,“Sibuklah awak ni! Saya sihat.”

Dia ketawa dan menggelengkan kepalanya. Lelaki ini dengan kemeja lengan panjang yang dilipat separas sikunya. Seluar slacknya berwarna hitam dan kemeja berwarna ungu muda yang dipakainya telah meragut kegedikan aku kala ini. Ah, handsomenya dia. Betullah kata Kak Mahani, dia memang handsome. Fatin juga berkali-kali mengusik aku dengan mengatakan pemuda ini handsome berjuta-juta handsome dari Bae Yong Joon! Eh, dia peminat warna ungu seperti akukah? Ada warna merah jambukah pada pakaiannya. Aku teliti kemejanya. Oh, tiada! Nasib baik dia bukan peminat merah jambu. Meminati warna ungu boleh aku maafkan lagi.

“Suka tengok awak. Pipi awak ada warna pink! Pink-pink malu!”

Erk! Kami berpandangan lagi. “Habis, kalau warna pink, kenapa?” aku sembunyikan keresahanku.

“Warna kesukaan saya juga! Merah jambu dan ungu. Macam awak, Miss MJ Ungu. Saya Mr MJ Ungu!”

Dus! Eeee, perasan Mr MJ Ungu konon! Rasa mahu sahaja aku memberi tendangan Detektif Conan terhadapnya. Beraninya dia meminati warna merah jambu dan ungu. Baru sahaja aku memaafkannya kerana tiada warna merah jambu pada kemejanya. Tangan aku ligat menguruskan barangannya. Sudahlah banyak membeli,menyusahkan aku dan sentiasa sibuk tersengih-sengih macam kerang busuk!

Aku tersengih, “Mr MJ Ungu, konon! Lelaki yang minat merah jambu selalunya pondan! Pondan awak tahu tak?”

“Eh, siapa kata? Siapa pula larang saya nak minat warna merah jambu. Kenapa, lelaki minat warna merah jambu dikatakan pondan ya? Saya ada hak saya juga dan saya punya sukalah nak minat warna merah jambu! Sebab tu saya suka tengok pipi awak. Pondan tak pondan, saya peduli apa! Yang penting saya suka tengok pipi awak!”

Aku terkaku. Dia menjawab! Menjawab dan menjawab tanpa segan silu! Ada bunga taik ayam berkembang mekar kala ini di dalam mataku. Oh, lelaki ini biar betul! Aku pandang wajahnya yang sedang tersenyum. Lelaki ini memang gila. Aku menarik nafas dan cuba mencari titik ketenangan.

+Tarik nafas, Yaya! Sila kawal nervous! Control ayu! Control ayu!
-Ah, aku tak bolehlah rasa nak kawal nervous aku ni. Control ayu pun rasa tak bolehlah!
+Kau nak pengsan ke?
-Ya, aku nak pengsan
+Sabar Yaya! Sabar. Mengucap panjang-panjang. Istighfar.

Dia masih mahu membebel-bebel. Pelanggan di belakangnya tersenyum melihat kami berdua.



“Eh, awak memang suka kerja di mana-mana ya? Stesen minyak, syarikat peguam dan pasaraya ini. Ya?”

Aku terhenti memasukkan epalnya di dalam beg plastik. “Eh, mana awak tahu saya kerja di syarikat peguam itu?”

Dia berpeluk tubuh. Merenung aku dengan mata nakalnya, “Lily beritahu.”

Arghh! Lily satu hal lagi. Kenapa dia mesti memberitahu mengenai pekerjaan aku kepada lelaki ini? Habislah Lily cerita kisah aku dari A sehingga ke Z kepada lelaki ini. Oh, Lily!

“Jangan marahkan Lily, cik Yaya sayang! Saya yang sibuk bertanya dia itu dan ini mengenai awak. Tak salahkan?” dia menyengih tanpa rasa bersalah.

Sekali lagi kami berpandangan dan aku dengan pantas menarik barangannya supaya dekat dengan aku. Aku kawal gementar diri. Untuk apa dia bertanyakan itu dan ini pada Lily?Lebih parah lagi kalau Lily menambah itu dan ini mengenai aku. Tugasku di kaunter lebih lama bersama lelaki ini dengan epalnya sebiji demi sebiji aku masukkan ke dalam beg plastik. Lelaki yang menyusahkan! Bukankah dia boleh menimbang di kaunter timbangan. Aku belek epal-epal berkenaan. Oh, epal promosi! Makanya mereka yang bertugas di kaunter akan mengira satu-satu epal ini. Kerja gila!

“Akhirnya Allah swt kabulkan doa dan permintaan saya untuk memberikan saya peluang berjumpa dengan awak, cik Yaya sayang. Eh, ustazah Yaya sayang! Alhamdulillah.” Ucapnya tersasul-sasul sambil tersenyum. Atau memang dia sengaja mentersasulkan mulutnya itu. Dia tersenyum lagi memerhatikan aku. Aku kawal perasaan diri. Mahu sahaja aku menonyoh bibir merahnya dengan cili seorang pelanggan di kaunter sebelah. Sempat aku melirik melihat cili yang meranum merah warnanya.

“Dua hari saya tunggu awak dan saya amat berharap awak datang memulangkan baju kemeja putih saya yang awak kotorkan. Tapi awak tetap tak muncul-muncul! Saya sayang awak, cik Yaya. Sungguh! Tiba-tiba saya rindu pula!” sekali lagi dia melantunkan perkara yang sama selepas dua hari jantungku berproses dengan baiknya. Tidak malukah dia mengaku di hadapan pelanggan lain yang masih menanti. Waraskah dia? Atau adakah aku bermimpi?

Adakah aku tersalah dengar? Jemariku yang memasukkan epal ke dalam beg plastik menggeletar. Akibatnya – berpuluh-puluh biji epal yang telah dimasukkan cermat ke dalam beg plastik berlambak-lambak keluar dari ikatannya. Maka, bergolek-goleklah ia di atas simen dan diperhatikan semua mereka yang ada di kawasan sekitar pasaraya ini.

Ya Allah, kau ampunkan dosaku. Kau berikan aku kekuatan Ya Allah! Aku berdoa dengan mataku terkebil-kebil mengharapkan keajaiban berlaku. Tiada pari-parikah yang sudi membantu aku memungut epal-epal ini? Aku memandang leretan kesemua epal-epal berkenaan dengan trauma!

Kami terkedu dan dia boleh tersenyum suka hati!

Maka, untuk pertama kalinya dalam sejarah hidupku, aku mengutip epal hijau itu satu persatu bersama dengannya. Disaksikan Kak Yati yang bercekak pinggang dan matanya tajam menikam. Lantas, kaunter pembayaranku ditutup oleh Kak Yati. Hari ini juga - upacara mengutip berpuluh-puluh biji epal hijau itu aku lakukan bersama dengannya. Kami berdua menjadi tontotan ramai. Bersama kedinginan pasaraya ini dan kepasrahan aku mengutipnya. Lantas lagu Keabadian Cinta dari Anuar Zain tiba-tiba berkumandang sekali lagi. Aku menjadi hairan. Kawan-kawan aku pula yang tersipu-sipu malu. Secara automatiknya juga jantungku berdegup kencang setiap kali dia menghulurkan epal-epal berkenaan kepadaku.

Setiap kali juga dia memasukkan epal berkenaan ke dalam beg plastik yang aku pegang, maka jantungku deras berproses. Ritmanya masih sama seperti dia menemani aku menolak skuterku. Suasananya masih sama ketika dia membantu aku ketika terjatuh dengan tangga. Perasaan ini juga masih sama ketika aku menyembur air tepat di wajahnya.

Mampukah aku berbohong kerana perasaan dan rasa ini juga sama ketika dia mengaku yang dia sayangkan aku di dalam laman mukabuku itu? Adakah dia menipu? Sungguh! Dan aku sanggup bersumpah bahawa kala ini rasa pengsan itu berganda-ganda mahu terjadi!

Izz Amir, dengan penuh santun dan berlagak machonya membantu. Melirik senyuman dan ke sana ke sini bersama aku mencari epal hijau yang masih bergolek-golek. Di bawah kaunter, di bawah rak-rak kedai buku di hadapan kaunter dan berlari-lari ke mana sahaja berdua. Mencari epal hijau yang bergolek-golek! Ah, hari malu sedunia dalam diariku menjelma lagi. Hari indah yang tidak akan lupakan sampai bila-bila dalam sejarah hidup seorang gadis seperti aku. Sekelip mata, kami berbalas senyuman dan menjadi teman yang berbalas kepercayaan!

Adakah hari ini Allah swt mentakdirkan yang aku jatuh cinta dengan lelaki ini? Atau adakah dia akan menjadi sahabat atau kawan yang aku perlukan di saat-saat genting kelak?

Dan ketika epal sudah memenuhi beg plastik yang aku pegang, dia mara dengan sebiji epal yang masih berbaki. Kami berdiri. Dia sekejap-kejap memandang ke kiri dan kanan. Kemudian dengan suaranya yang lembut dan menikam-nikam jantungku berbicara, “Err..err…selamat berkenalan, cik Yaya! Saya bagi awak sebiji epal hari ini!” mata Izz Amir bercahaya. Bersama senyumannya yang paling mahal dalam dunia.

Dan kami sekali lagi, berbalas senyuman, rasa dan jiwa. Sambil Kak Yati bercekak pinggang menantikan aku di hujung sana. Jantungku berdegup lagi. Prosesnya membuatkan aku rasa bagai terbang tinggi ke Negara Uganda. Aku memang rasa mahu pengsan. Pengsan kali ini bukan pengsan yang main-main. Ini pengsan betul-betul okey? Bukan tipu-tipu!

Dan aku pasti, suasana menjadi hura hara selepas aku pengsan. Dan lelaki itu aku tahu, pastinya dia lebih nervous dan nervous melihat aku pengsan!

Maka, hari ini juga adalah hari pengsan betul-betul dalam diari hidupku.

+Yaya, bangun yaya!
-Tak mahu! Aku mahu pengsan.
+Kau buat dia nervous, Yaya! Dia risaulah!
-Biarkan dia nervous. Biarkan!
+Oh Yaya! Dia panik Yaya! Dia tak tentu arah, Yaya!
-Aku kata, biarkan dan biarkan.
+Biarkan masa juga menentukan?
-Ya!

Zas, dan pari-pari itu terbang tinggi membawa bentuk hati ke arah kami. Dihadiahkan kepada kami dan serta merta pasaraya ini bertukar menjadi taman bunga! Bunga taik ayam di mataku tadi kini bertukar menjadi bunga ros berwarna merah yang segar bugar! Aku tergedik-gedik saat ini! Oh, seronoknya! Wah, ajaibnya!

21 November 2011

Haish, Cik Yaya ni!

twitter-love-wallpaper


Apa yang berlaku pada Cik Yaya untuk bab 8 minggu ini dalam Mr Pai Epal? Saya pula yang nervous! Saya pula rasa nak pitam! Haish! Cik Yaya selalu buat saya tak senang duduk! Hohohoho! Iyalah kan, tengok TV3, astro RIA, Prima, KBS mesti ada selingan, bukan? Jadi nah iklan untuk peminat Mr Pai Epal! Zassssss!


***

+Tarik nafas, Yaya! Sila kawal nervous! Control ayu! Control ayu!
-Ah, aku tak bolehlah rasa nak kawal nervous aku ni. Control ayu pun rasa tak bolehlah!
+Kau nak pengsan ke?
-Ya, aku nak pengsan
+Sabar Yaya! Sabar. Mengucap panjang-panjang. Istighfar.