Amanat Dan Harapan PRU12
Kepada Generasi Muda Dan Golongan Wanita
Mukadimah
Allah swt berfirman, maksudnya:
Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas).
Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.
(surah al Fath:29)
Ayat ini menunjukkan kepada kita proses evolusi perjuangan Islam yang ditegakkan oleh Rasulullah saw. Bermula dari batang tubuh Baginda saw, Islam telah berkembang dan akhirnya mampu memerintah Negara dan sebahagian dunia sehinggalah ke zaman kita pada hari ini.
Kini Islam telah melalui zaman naik turunnya namun janji kemenangan Islam dari Allah swt terus menerus terbuka dengan syarat ianya diisi dengan sempurna oleh satu gerakan Islam yang tersusun yang dipimpin oleh para pemimpin yang ikhlas dan cekal yang memimpin pula jemaah yang taat dan komited yang masing-masing kedua-duanya diikat dengan tali ketaqwaan yang kukuh.
Parti Islam Se Malaysia (PAS) adalah satu-satunya wadah perjuangan Islam yang konsisten dan komited sejak penubuhannya lebih 50 tahun dahulu, untuk menerajui dan menjuarai perjuangan Islam di bumi Malaysia yang tercinta ini. Bagi kita cita-cita perjuangan Islam hanya dapat direalisasikan melalui penyertaan kita dalam proses demokrasi yang diamalkan dalam Negara ini, lalu kita menggunakan pilihan raya umum sebagai
Ringkasnya Islam yang kita perjuangkan hanya mampu ditegakkan kiranya kita PAS memenangi pilihan raya. Oleh itu Pilihan Raya Umum ke 12 yang dijangka diadakan bila-bila masa dari sekarang adalah sangat penting kerana ianya bakal mencorak dan menentukan nasib dan masa depan Islam yang kita junjung dan perjuangkan ini.
Sepanjang usia lebih 50 tahunnya berjuang dalam proses demokrasi di Malaysia PAS telah menempuh evolusinya tersendiri, menempa saat pahit dan manis, jatuh dan bangun, memungut pengalaman yang mahal dan berharga sepanjang jalan yang penuh mencabar ini. Hari ini berkat perjuangan para pemimpin dan aktivis parti sejak tahun 50an dahulu, sambung-menyambung sehingga kini, PAS sudah berdiri sebagai parti politik arus perdana yang sudah dikenali dan malah diakui oleh kawan dan lawan bukan hanya diperingkat nasional malah sehingga ke persada antarabangsa. Di setiap pelusuk Negara kita telah mengembangkan sayap kita dari Sabah ke
Hakikat ini menunjukkan yang PAS sungguh serius dalam usahanya untuk menjadi galang ganti kepada kerajaan yang ada samada diperingkat negeri mahupun diperingkat nasional. PAS bukan lagi parti kecil-kecilan atau parti nyamuk tetapi PAS kini memiliki kekuatan dan kemampuan untuk menjadi parti pengganti kepada Umno dan Barisan Nasional.
Dan menjelang Pilihanraya Umum ke 12 ini PAS semakin meluncur ke hadapan apabila ia bukan hanya semakin diterima dan disenangi oleh masyarakat Melayu Islam tetapi ia juga kini sudah mampu menerobosi tembok yang dibina oleh musuh-musuh politik kita yang selama ini berusaha dengan jahat untuk memisahkan antara kita dengan masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu.
Semakin zaman berkembang dan manusia semakin celik, segala tohmahan dan fitnah terhadap kita selama ini semakin susut dan terlerai, dan masyarakat yang bermaklumat akan sentiasa mahukan kebenaran, dan apabila ini menjadi tuntutan umum ketika itulah PAS akan muncul sebagai wadah penyelamat ummah dan Negara.
Suasana Politik diambang PRU12
Kita sekarang berada di tahun 2008. Kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri yang ada kini sudah dipenghujung penggalnya. Jika semasa PRU ke 11 dahulu, imej PM yang baru dengan janji dan harapan yang baru telah berjaya mendodoi dan mengelabui mata rakyat kerana menyangkakan inilah pemimpin harapan yang bakal menghapuskan segala kezaliman dan membersihkan segala noda kepimpinan di bawah Tun Dr Mahathir sebelumnya.
Ternyata baru sepenggal pentadbirannya pemimpin yang kononnya harapan Negara itu kini terbukti tidak mampu memenuhi harapan rakyat malah telah mengecewakan rakyat dengan pelbagai beban dan tanggungan yang tidak pernah dirasai dan dilalui sebelum ini.
Salah satu isu besar yang masih hangat ditanggung rakyat di bawah kepimpinan PM ini adalah kenaikkan kos hidup yang sangat membebankan. Bermula dengan kenaikkan harga minyak dan gas, kemudiannya tol diikuti dengan harga barangan dan perkhidmatan, rakyat terus terpukul dengan kejutan-kejutan yang tidak mereka sangka akan berlaku di bawah kepimpinan PM ini. Bagi sektor swasta gaji dan upah terus tidak mendapat pembelaan walaupun pihak Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menuntut agar digubal gaji minima RM900 dan elaun kos hidup RM300 untuk semua yang berada di sektor ini. Bagi kakitangan awam walaupun semakkan gaji dilakukan pada tahun lepas namun semakkan yang pertama dalam tempuh 14 tahun itu masih dilihat tidak berupaya membantu meringankan kakitangan awam dalam mengharungi beban kenaikkan kos hidup ini.
Akibat kesempitan ini rakyat merintih dan sanggup bangkit protes sehingga ke tengah jalan raya. Ini membuktikan betapa sengitnya tekanan tersebut ke atas hidup mereka. Sesungguhnya bahana kenaikkan kos hidup ini tidak hanya terkena pada satu-satu kelompok sahaja malah ia menyeluruh terkena atas kepala bahu semua kaum Melayu, Cina dan
Isu keselamatan turut menghantui rakyat jelata. Indek jenayah Negara bagi tahun 2007 contohnya meningkat sehingga mencecah 8% dan di Malaysia pada tahun 2007 sahaja berlaku 3,177 kes rogol yang dilaporkan, iaitu peningkatan 30% berbanding tahun sebelumnya dan jumlah ini bersamaan 9 kes rogol setiap hari. Ini menunjukkan kepada kita betapa kerajaan BN telah gagal dalam menjamin keselamatan rakyatnya sendiri apabila kadar jenayah berlaku pada tahap yang sangat membimbangkan ini.
Disamping itu kes rasuah, salah guna kuasa dan kes moral khususnya dikalangan pemimpin BN sendiri semakin menjadi-jadi. Keruntuhan akhlak akibat kes-kes ini merupakan petunjuk betapa perlu sangat rakyat melakukan suatu perubahan besar demi menjamin nasib dan masa depan mereka yang lebih sempurna.
Rakyat juga tidak kurang kini memperkatakan darihal kemiskinan dan peminggiran kaum-kaum tertentu. Sebagaimana yang kita ketahui baru-baru ini satu kumpulan yang diberi nama HINDRAF yang mewakili masyarakat keturunan
Dasar Ekonomi Baru (DEB) contohnya merupakan satu dasar yang mempunyai maksud membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat yang telah diperkenalkan oleh kerajaan BN. PAS bersetuju dengan dasar ini ketika itu kerana ia bermaksud membela golongan Bumiputera yang ketinggalan dari sudut ekonomi, Namun kini kita melihat dasar ini gagal kerana ia sesungguhnya hanya membela sekelompok kecil masyarakat kroni Umno dan BN tetapi majoriti golongan Bumiputera masih lagi terpinggir. Sesungguhnya dalam isu kemiskinan ini PAS akan membela dan mempertahankan bukan sekadar Bumiputera yang miskin dan tertindas malah yang bukan Bumiputera yang miskin dan tertindas juga akan dibela.
Inilah senario politik dalam Negara kita pada hari ini. PM yang baru ini gagal dan lemah sebagaimana diakui oleh bekas PM Tun Dr Mahathir Mohammad sendiri baru-baru ini, dan pengakuan ini juga turut diakui oleh rata-rata keseluruhan rakyat jelata secara terbuka atau dalam senyap-senyap.
Menuntut Pilihan Raya yang bersih
Disamping senario yang digambarkan diatas kesungguhan rakyat untuk memastikan yang proses pilihan raya dalam Negara berjalan dengan bersih dan adil telah terus memberikan suntikkan semangat kepada PAS. PAS pernah menang dan kalah dalam pilihan raya, kita menerima kemenangan dan kekalahan sebagai adat perjuangan, namun kita sekali-kali tidak dapat meredhai kekalahan yang berpunca dari penipuan dan salah-laku.
Lantas PAS telah bersama BERSIH iaitu badan yang menggabungkan 6 parti pembangkang dan 65 NGO dalam mendesak pihak SPR dan kerajaan agar memastikan yang proses pilihan raya dalam Negara kita khasnya dalam PRU ke 12 ini berjalan dengan bersih, adil dan telus tanpa campurtangan atau manipulasi mana-mana pihak. Lanjutan itu Perhimpunan Aman Rakyat telah dijayakan pada 10 November lalu yang telah menyaksikan “Gelombang Kuning Kebangkitan Rakyat” apabila lebih 50,000 keluar menyerahkan memorandum kepada SPB Yang Dipertuan Agong.
Dalam hal ini rakyat telah pun merakamkan suara mereka secara terbuka. Kita mengharapkan semua pihak lebih cermat dan berhati-hati kali ini. Kiranya pihak SPR khususnya terus tempang dan pincang dalam menjalankan tugasnya nanti, kita yakin rakyat akan terus bangkit berganda-ganda lebih besar dari apa yang berlaku pada 10 November itu nanti.
PAS akan terus menyertai PRU ke 12 ini berbekalkan pengalaman dan pengajaran dari pilihan raya yang lepas-lepas. Kita akan memantau dengan lebih teliti dan jentera kita telah pun dikerahkan agar bertindak tegas kiranya tercetus sebarang insiden yang mencabul proses pilihanraya kali ini.
Apa pun bagi kita semangat Gelombang Kuning yang telah dibangkitkan oleh BERSIH itu meyakinkan kita kali ini insyallah sebarang ketempangan atau kepincangan jika ada, akan dipukul oleh gelombang besar kebangkitan rakyat yang semakin celik dan peka.
Sasaran PAS dalam PRU ke 12
Berdasarkan senario dan gambaran yang diberikan di atas PAS yakin PRU kali ini akan melonjakkan lagi prestasi parti berbanding PRU ke 11 tahun 2004 lalu.
Di peringkat Federal (Pusat) PAS dan PKR melalui BA akan bekerja bagi menamatkan keangkuhan kuasa mutlak Umno/BN di Parlimen. Kita akan mensasarkan untuk menafikan 2/3 majoriti BN di Parlimen. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Datuk Seri Tuan Guru Presiden, PAS yakin memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen (dan selebihnya dari PKR dan DAP) dalam PRU ke 12 ini, insyaAllah.
Diperingkat Negeri pula PAS akan mempertahankan Kerajaan “Membangun Bersama Islam” di Kelantan, kali ini insyAllah dengan majoriti yang lebih besar dan selesa. Kita berhasrat untuk merampas kembali Terengganu dan menguasai Kedah ataupun sekurang-kurangnya menafikan 2/3 majoriti BN di negeri berkenaan.
Di negeri-negeri lain PAS mengharapkan untuk mengulangi prestasinya dalam PRU ke 10 tahun 1999 lalu dengan mendapat suara perwakilan di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Selangor disamping Johor, Melaka dan Negeri Sembilan serta Sabah (kecuali Sarawak yang hanya menjalankan pilihan raya Parlimen).
Kerjasama PAS dalam BA
Sejak dari Pilihanraya Umum Pertama 1959, PAS telah mengadakan pakatan dengan parti pembangkang lain dalam menghadapi Umno (ketika itu dalam gabungan PERIKATAN). Dan dalam pilihan raya-pilihan raya berikutnya kerjasama ataupun persefahaman dengan pelbagai parti telah di adakan. Hakikatnya kehadiran masyarakat majmuk di
Tahaluf Siasi atau perjanjian persefahaman dengan parti-parti lain ini pada dasarnya diizinkan oleh syariat. Dalam sebuah Hadis Rasulullah saw dinyatakan:
Daripada Talhah bin Abdullah bin Auf bahawa Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya aku telah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jad’an satu pakatan yang aku amat suka kepadanya seperti sayang kepada unta merah (barang yang sangat berharga), kalau aku diajak kepadanya di zaman silam niscaya aku menyahutnya.”
(Riwayat Ibnu Ishaq)
Sejak PRU ke 10 tahun 1999, PAS telah berpakat bersama PKR (dan DAP yang keluar selepas PRU tersebut) di dalam sebuah gabungan dikenali BA. Dan insyallah pakatan BA ini akan kita teruskan bagi menghadapi PRU ke 12 nanti. BA akan memastikan yang BN akan ditentang satu lawan satu disemua kerusi Parlimen dan DUN yang dipertandingkan.
Kemampuan kita untuk membuktikan pakatan pembangkang yang berpadu ini sangat penting bagi meyakinkan masyarakat darihal kesediaan kita untuk mengambil-alih kepimpinan negeri dan Negara dari BN. Oleh itu seluruh jentera PAS perlu menghormati keputusan yang diambil bersama dalam pakatan BA ini dan kita akan hadapi PRU ke 12 dengan memusatkan seluruh kekuatan kita terhadap musuh bersama yang satu dan tidak sebaliknya menyerang sesama kita.
Sekiranya calon yang diputuskan bertanding disatu-satu kawasan itu adalah calon selain PAS, maka jentera PAS wajar bekerja seolah-olah yang bertanding itu adalah calon kita sendiri. Ini sebagaimana kita juga mengharapkan ditempat dimana calon kita bertanding maka layanan yang sama diberikan oleh pihak yang bersekutu dengan kita itu.
Tawaran PAS kepada rakyat
Tawaran kita kepada rakyat Malaysia akan terkandung di dalam Manifesto parti yang dijangka akan dilancarkan tidak berapa lama lagi. Adalah penting bagi seluruh jentera parti untuk memahami kandungan manifesto ini kerana ianya akan dijadikan bahan hujah kepada rakyat sepanjang tempoh kempen pilihan raya nanti.
Dalam program Jelajah Presiden ke seluruh Negara, yang masih belum selesai itu, Dato Seri Tuan Guru Presiden dan saya sendiri telah mula membayangkan beberapa isi penting yang bakal terkandung dalam manifesto kita itu nanti. Manifesto kita nanti akan menjanjikan sebuah “Negara Berkebajikan” yang akan memastikan pelbagai sumber asli dan hasil Negara diuruskan dengan cekap dan telus dengan keutamaan memelihara nasib dan kebajikan rakyat.
Segala bentuk amalan rasuah, kronisma dan nepotisma serta salah guna kuasa dalam mengurus dan mentadbir kekayaan Negara ini akan dihapuskan. Kita juga akan memastikan jurang antara golongan kaya dan miskin dirapatkan dan segala bentuk projek pembangunan yang dilaksanakan benar-benar bermatlamatkan kepentingan rakyat dan tidak membazir.
Antara yang menjadi keutamaan kita adalah:
a) Pendidikan percuma dari peringkat rendah sehinggalah ke IPTA
b) Perkhidmatan kesihatan yang berkualiti secara percuma kepada rakyat
Selain itu kita juga akan berusaha mewujudkan sebuah kerajaan yang:
a) Mendukungi Keluhuran Undang-undang (Rule of Law)
b) Memperkasakan konsep pemisahan kuasa (separation of powers) antara ketiga-tiga badan eksekutif, legislatif dan kehakiman
c) Mendukung dasar keadilan dan integriti sebagai teras amalan
d) Membenteras segala bentuk projek pembaziran mega-mewah
e) Mengembalikan daya saing Negara sebagai tumpuan pelaburan asing dan domestik
Berdasarkan senario kelam di bawah kepimpinan BN kini, kita yakin konsep “Negara Berkebajikan” yang mahu diperkenalkan oleh manifesto kita ini nanti akan diterima dengan baik oleh rakyat sekaligus insyAllah memberikan kemenangan kepada kita.
Gerak kerja kita dalam menghadapi PRU12
Perhimpunan kita pada hari ini menghimpunkan generasi muda dan golongan wanita yang mendukung dan menganggotai PAS. Peranan dan tanggungjawab akhawat semua adalah penting dalam merealisasikan segala yang telah diutarakan tadi. Perjuangan PAS ini adalah dalam bentuk Qiyadah Jama’iah ataupun “Kepimpinan Secara Berjemaah” ini bermakna seluruh kekuatan parti hendaklah akur dan melaksanakan segala keputusan dan arahan parti. Ianya diputuskan secara berjemaah dan perlu pula dipikul dan dilaksana oleh jemaah tanpa pilihan.
Generasi muda dan golongan wanita adalah teras kekuatan masyarakat, dan dari pengalaman kita yang lepas-lepas, parti yang mampu menguasai dan memenangi hati kelompok inilah lazimnya yang akan menjuarai satu-satu pilihan raya. PAS tidak boleh dilihat meminggirkan kepentingan kelompok ini.
Lalu seluruh tenaga muda dan golongan wanita dalam PAS perlulah mengembeling tenaga bersama untuk memenangi jutaan hati kelompok ini yang terdiri dari para pengundi di luar sana.
Dalam gerakerja kempen pilihanraya segala yang telah digaris dan ditentukan oleh Jabatan Pilihanraya PAS Pusat (JPP) dan Jabatan-jabatan Pilihanraya Negeri-negeri (JPN) hendaklah dipatuhi dan dilaksana. Saya ingin berpesan kepada akhawat semua bahawa pilihan raya bukanlah gelanggang untuk kita menunjukkan siapa yang lebih bengis dan siapa yang lebih perkasa. Pilihanraya adalah gelanggang untuk merayu dan menarik seberapa ramai sokongan dari rakyat jelata di luar sana termasuklah dari kalangan mereka yang simpati dan menganggotai Umno dan BN. Termasuklah juga masyarakat bukan Islam yang kita akui semakin condong kepada kita.
Kemampuan kita untuk berhujah dan meyakinkan masyarakat itulah yang insyaAllah bakal memenangkan kita bukannya mereka yang sekadar berceramah dengan lantang, berapi dan bersemangat atau menunjukkan kekasaran dan unsur paksaan dalam gerak kerja, tetapi sebenarnya tidak membuahkan hasil hanya sekadar mengundang musibah dan malapetaka kepada parti.
Dalam hal ini Allah swt mengajar kita:
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-jalan Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(an Nahl: 125)
Golongan wanita muda dalam Umno (Puteri Umno) serta BN sebagaimana kita ketahui akan digunakan semaksima mungkin dalam kempen pilihan raya untuk menarik sokongan rakyat. Mereka akan dikerahkan menganjurkan pelbagai program untuk golongan muda disamping menguasai pondok-pondok panas bersama Wanita Umno semasa hari mengundi. Wanita muda kita khasnya Nisa’ perlu merintis gerakerja pintar bagi memintas jalan ini dan mematahkan keberkesanan mereka. Kita jangan lagi sekadar menikus melihat keaktifan mereka, sebaliknya kita yang mendukung perjuangan suci ini perlu berganda kali lagi lebih aktif dari mereka.
Wanita Umno adalah teras kekuatan Umno. Jika mereka bertugas semata-mata kerana imbuhan kewangan dan kemewahan, Muslimat PAS perlu insaf bahawa kita menunggu imbuhan yang lebih besar dari itu. Allah swt berfirman maksudnya:
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga(disebabkan) mereka berjuang di jalan Allah……………”
(at Taubah: 111)
Kerana itu kita perlu bekerja lebih bijak dan lebih berkesan dari Wanita Umno. Mad’u atau sasaran (target group) kita adalah masyarakat kebanyakan di luar sana. Oleh itu jangan sekali-kali kita menganggap yang mereka itu sama seperti kita, kerana jika mereka sama mereka bukan lagi mad’u tetapi seharusnya duduk bersama kita. Kerana itu usaha-usaha untuk memujuk dengan cara menjelaskan kepada mereka akan perjuangan dan manifesto kita sangat kritikal.
Kita jangan sekali-kali menghina atau memalukan mana-mana tokoh atau kumpulan yang mungkin masih disayangi dan dihormati oleh mad’u kita. Kita tidak menyerang tetapi menerang dengan harapan mereka terpengaruh dengan dakwah kita dan akhirnya bersedia mengundi PAS atau BA.
Tunjuklah adab dan hormat kita kepada semua. Pada masa berkempen kita semua adalah “duta” atau wakil PAS. Sebarang kekurangan atau kelemahan yang kita pamirkan kelak akan dinisbahkan kepada PAS dan akhirnya yang akan mengendong rugi adalah parti dan jamaah. Oleh itu befikirlah masak-masak dan berhati-hati, tetapi yakin dan pasti semasa bekerja dalam tempoh pilihan raya nanti.
Faktor kekuatan PAS
Tidak ada satu faktor yang sebenarnya menjamin kekuatan dan kelangsungan parti ini selain kerana kita berpegang kepada Islam. Gerak kerja dan doa mereka yang terdahulu dari kita, tali-menali sehingga ke hari ini terus–menerus memberikan kekuatan kepada parti dan jamaah. Allah swt berfirman, maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwaah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepada Nya (dengan mematuhi perintah Nya dan meninggalkan larangan Nya) dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan”
(al Maidah: 35)
Dan kerana kita yakin dan mendukung perjuangan ini dengan penuh istiqomah Allah swt menawarkan kita jalan menuju kejayaan dunia dan akhirat melalui firman Nya yang bermaksud:
“ Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul Nya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui………………”
(as Saff: 10-12)
Kerana itu kita seharusnya sentiasa berbangga dan bersemangat dalam menjana dan melaksanakan gerakerja parti khususnya yang berkaitan pilihan raya ini. Kelantan adalah satu contoh, model kemampuan kita menobatkan Islam diperingkat tertinggi dalam serba keterbatasan. Kita telah melahirkan corak kepimpinan Islam yang sehingga ini terus diperkatakan oleh kawan dan lawan.
Inilah model yang mahu kita bawa dan laksanakan disemua peringkat di negeri-negeri sehinggalah ke peringkat Federal jika dengan izin Allah swt rakyat memberikan mandat kepada kita.
Penutup
Yakin dan percayalah Allah swt akan mengurniakan kita kemenangan kiranya kita mampu menepati syarat yang ditetapkan oleh Nya. Kerana itu kesatuan dan kesepaduan kita semua penting. Segala perselisihan yang remeh-temeh dan tidak menguntungkan jemaah dan perjuangan besar ini perlulah diselesai dan diketepikan.
Saya menyeru akhawat semua agar kita memberikan semaksima tumpuan kepada gerakerja pilihanraya ini kerana nasib dan masa depan agama, bangsa dan Negara terletak pada kejayaan kita. Bekerjalah dengan gigih dan baik, insyAllah kejayaan akan berada di pihak kita.
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Alllah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”
(Muhammad :7)
Nasharudin Mat Isa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan