Pages

30 September 2009

Satu Hari Di Bagan Pinang




“Mak tak rela…” Kak Nab muncung sedepa.

“Kenapa pula emak ini? Tadi baik sahaja mood nya..” si anak dara meneliti wajah emak kesayangan. Masak lemak daging salai dengan pisang menambah seleranya. Benar-benar menggugat dietnya.

“Calon baru. Muka lama. Veteran. Isk, emak penat melobi calon muda . Tapi yang adiambil adalah calon si kisah lampau melampau-lampau juga menjadi pilihan..”

“Sebab rakyat didahulukan. Jika rakyat inginkan..apa kita boleh buat emak. Sudah-sudah...sedapnya lauk mak...nyum-nyum...mari kita makan..” anak daranya mencedok nasi.

Emak sudah mencebik. “Che Det sudah bilang beberapa kali..dia tidak seharusnya menjadi calon. UMNO masih kekalkan calon yang ada politik wang...” emak mengesat hingusnya yang meleleh. Aiseh. Potong stim sahaja mahu makan masak lemak. Tekaknya rasa ingin termuntah.

“Alahai Bagan Pinang...harap-harap menang...” emak mengambil tisu dan menghembus hingusnya.

Si anak dara memandang emaknya.

“Emak... saya hendak makan ni! Jangan lah menangis pasal Pak Iso Samud tu...huh!! Cepat. Sekejap lagi mahu beraya rumah bakal besan emak..” dia tersengih-sengih manja. Terbayang janggut hensem bakal suaminya. Adus.....tergedik-gedik dia di depan meja. Masak lemak daging salai berdendang-dendang keriangan.

29 September 2009

Tulis suka-suka


Tulis suka-suka
Kerana malas melanda
Kerana perut kenyang suka

Tulis suka-suka
Kerana sepi semestinya
Kerana semestinya jemari kaku lara

Tulis suka-suka
Oiiii...mari kita nyanyi lagu 1 Malaysia
Dendang suka dendang lagu negara

Tulis suka-suka
Ahhh...penatnya saya
Melayan fikiran yang sepi melanda
Idea sudah hilang begitu sahaja

Tulis suka-suka
Dalam suka, ada debar yang melanda
Dalam suka, ada jiwa manusia yang melara..

Tulis suka-suka
Saya terkelip-kelip menahan mata
Kerana kelak, di sisi ada peneman jiwa

hahahaha!!

Saya saja suka-suka
Tulis suka-suka
Untuk kalian ketawa
Saya saya saya malu mahu bertanya
Adakah hati sudah ada yang punya??
hahahahaha

24 September 2009

Keindahan Aidilfitri

Gambar anak-anak buah Dihah yang buat tersenyum sendiri.
Paling seronok apabila Irfan mengeluarkan suaranya "Nak duit raya....!!"






Aidilfitri yang memberi makna. Tahun yang akan saya kenang hingga ke akhirnya.
Menu pagi aidilfitri ; ketupat, rendang itik, sambal bali ayam yang menjadi kegemaran ramai juga ayah yang telah membakar sebanyak 40 batang lemang. Cuma saya belum dapat menikmati kuah kacang yang lazat dari emak.

Esok, saya akan kembali semula ke kampung, menyambung cuti. Kak Sarinah tergelak mendengar saya pulang semula ke kampung. Cuti saya masih berbaki sehingga menghabiskannya untuk cuti hujung tahun nanti. Anak-anak buah yang comel paling sakan berhari raya. Aidilfitri ini, menemukan kami semua sekeluarga. Emak sekurangnya, beban memasak sudah digalas ke bahu Dihah. Adik-adik semakin rajin mengemas dan membantu urusan rumah. Ayah, paling gembira, kerana anak-anak kembali dan memberi ruang kepada diri masing-masing untuk memohon maaf di pagi aidilfitri. Angah, menyambut aidilfitri di rumah mertuanya :Muar.

Selepas solat berhari raya, kami adik beradik berkumpul bersalaman. Tradisi. Namun tradisi aidilfitri ini bukan untuk setahun sekali sahaja. Memohon maaf harus sentiasa. Setiap hari dan harus menjadi amalan. Bagi saya sendiri, hari raya bererti menghubungkan silaturrahim dan jalinan keluarga. Juga aidilfitri adalah bererti untuk mereka yang terlibat dalam perjuangan islam. Ketaqwaan yang diraih dan barakah di dalam Ramadhan bererti kemenangan kepada diri. Hasilnya adalah aidilfitri yang memberi makna.

Saya kini melangkah ke tangga pertama menaiki cita-cita. Menjadi penulis bukanlah mudah. Bahkan ia memberi saya satu pelajaran baharu dan mengorak langkah dengan lebih berjaya. Saya teringat kata-kata Faisal Tehrani ketika mendengar rancangannya di ikim.fm. Seorang penulis itu apabila bercakap dan melontarkan suara, gemanya adalah penuh dengan ilmiah dan intonasi penuh ilmuan. Seorang penulis apabila berbicara, dia akan berbicara dengan kata-kata yang penuh dengan bahasa dan gaya sasterawannya. Seorang penulis juga harus penuh kreativiti. Perlu ada bakat dan perlu banyak membaca, membaca dan membaca. Saya mencari masa dan sekarang bertatih sendiri.

Bekal saya sekadar berusaha dan belajar mencari kesabaran dalam setiap manuskrip. Manuskrip yang berjalan atas dasar mengajar dan memberi makna kepada khalayak. Juga manuskrip yang berdiri atas nama islam sendiri.

Saya menanti komentar kawan-kawan dan pembaca untuk Lukisan Jiwa saya. Ia banyak memberi saya pelajaran. Meski ada sedikit kesilapan dalam saya menulis untuk naskah ini, dan saya belajar memperbaharuinya untuk manuskrip kedua. Doakan saya.

Saya baru setahun jagung menjadi penulis.

Tunasnya sedang saya siram dengan baja yang baik agar menjadi istimewa dan mengeluarkan isi yang penuh manfaat kepada semua. Harapan saya, diberikan ilham berpanjangan dan menjadi sederhana seperti ini. Saya mahu tulisan saya dialirkan kepada semua dengan
ingatan berharga dan memberi makna kepada kalian.

Kita berjumpa di lain tinta. InsyaAllah.

18 September 2009

~Salam Aidilfitri~


Ketupat dan lemang menjadi hidangan,
Santapan selera di hari raya,
Maaf dan ampun dihulurkan,
Untuk semua yang mengenali saya.

'Salam Aidilfitri Maaf Zahir Dan Batin'
Hartini Tamin
@Mardihah Adam

15 September 2009

Di Saat Saya Sedari

Saya terfikir.
Untuk bertukar ke wordpress dan mengubah background blog ini dengan kadar segera. Tetapi entah bila. Adakala saya jemu dan penat melihat blog ini. Entah kenapa. Terasa sendiri lagi bertamu untuk blog ini.

Saya mahu menulis tentang bagaimana naskah Lukisan Jiwa bermula dan bagaimana untuk pertama kali manuskrip pertama saya ini berjaya diterbitkan oleh PTS. Saya akan panjangkan selepas Aidilfitri nanti. InsyaAllah. Doakan saya untuk kerap menulis lebih di blog ini. Saya sekarang sibuk dengan projek kedua. Manuskrip kedua saya yang sedang dalam proses plot ke plot dan sambungan kisahnya dari satu bab ke satu bab. Saya belajar banyak perkara. Belajar memperbaharui gaya bahasa, mood penceritaan dan menulis dengan plot yang sudah tersedia. Meski saya telah membuat plot, namun, adakala jemari dan minda saya akan membuang plot dan membuat plot baharu yang lebih menarik. Plot dari satu bab ke bab sebenarnya banyak membantu seorang penulis. Blog ini akan saya ubah alirannya kepada dunia bacaan dan penulisan saya.

Juga serba sedikit saya akan menjurusi kepada peribadi, berita-berita semasa dan sama seperti sedia kala. Fasa saya baharu bermula. Menjadi penulis sebenarnya bukan sesuatu yang mudah. Lukisan Jiwa banyak memberikan saya panduan dan idea baharu untuk saya memperbaharui diri. InsyaAllah. Lukisan Jiwa juga memasuki fasa untuk mendekati diri saya dan seharusnya berdepan dengan kritikan dan khalayak ramai. Namun saya tidak pinta yang hebat-hebat melainkan penulisan saya hanya mewakili sebuah kisah yang pastinya alirannya dekat dengan khalayak.

Beberapa hari lagi, Aidilfitri akan menjelma. Setahun, rupanya tidak lama. Pejam celik, pejam celik, kita sudah bertemu Ramadhan dan kemudian kembali ke Aidilfitri. Banyak perkara yang berlaku, memberikan kenangan dalam hidup saya tahun ini. Perkara paling saya belajar adalah tentang 'kawan, persahabatan'
Kita tidak akan dicari oleh seorang yang bernama kawan jika kita berterusan mendiamkan diri. Itulah saya yang sekarang menyepi terlalu luar biasa.
Kawan sebenarnya cermin kita, dan sekarang kawan mengajar saya tentang erti
'Luar Biasa'

Saya lebih suka menyendiri dan sendiri itu sebenarnya proses monolog diri.Entah kenapa, saya merajuk kepada kawan-kawan, sahabiah-sahabiah yang lama tidak memunculkan nama di telefon ini. Semuanya sepi meminta-minta agar diri yang dahulu menjadi kawan pertama.
Akhirnya.

11 September 2009

LJ sudah terbit!!

Telah terbit!!!!!

Dapatkan naskah Lukisan Jiwa di pasaran!
Dihah lebih suka jika kawan-kawan dapatkan di bookcafe. Mudah dan menjimatkan.

Anda akan memperolehi diskaun.
Mana tahu, buku ini juga boleh dijadikan hadiah untuk yang tersayang
dan untuk hadiah hari raya. Tetamu bawa kuih raya, tapi kita belikan Lukisan Jiwa....amacam?
Ada berani?

Klik di sini

03 September 2009

Cinta Dalam Dirinya

Musim panas di Leicester.

Pokok terus menghijau. Angin sepoi-sepoi membawa saya kepada kehangatan yang penuh luar biasa. Sesekali dedaunan berguguran. Saya asyik melihatnya.
Pantas mata saya mendongak naik melihat Sahara. Sahara terjerit-jerit dari tingkap. Kepalanya ditutup dengan tuala.

" Aisya....kamu mahu ke mana? Tiba-tiba sahaja keluar" jeritnya.

" City Centre" gesa saya cepat. Kaki terus melangkah perlahan.

" Aku mahu pesan sama kamu.." Sahara gadis Indonesia genit menjerit lagi.
Saya tersenyum melihat telatah sahabat baik yang seorang ini. Gadis Indonesia yang cukup Istiqamah dalam amalannya.

" Aisya rasanya menghala ke Hay Market.. Mahu pesan apa-apa?" saya bertanya. Kepala lantas teringat beberapa barang yang perlu dibeli dengan kadar segera. Saya juga akan ke kedai barangan dapur Falcon. Kedai yang cukup saya gemari di sini.

" Belikan roti dan ikan ya. Aku mahu bikin sandwich ikan. Wangnya nanti balik, aku bagi sama kamu"Saya angguk dan melambai mesra. Pantas berjalan perlahan. Saya mahu berjalan kaki sahaja. Perjalanan dari rumah saya ke City Centre mengambil masa 20 minit. Dengan berjalan, sekurangnya mengeluarkan peluh.Menyihatkan dan ia adalah senaman paling mudah dan ringkas untuk menjadi sihat.

Petang ini saya mahu ke Wymesworld Farm. Kebun yang berdekatan dengan Loughborough. Bersama Sahara, Khaleeda dan Hanim. Hobi kami semestinya memetik buah strawberry segar. Fruit picking!! Sahara paling gemar membawa kami semua ke sana. Buah-buahannya ranum serta kulitnya memang yang terbaik pada musim panas. Harganya juga berpatutan sekali! Saya mahu Raspberries dan Blackberries!!
Pantas kaki saya melangkah.

Cerita kisah saya belum berakhir malahan makin panjang rasanya. Saya tertawa apabila jiran terdekat dengan ramah menegur. " Aisya...aaaa pa khaaaabar?...." pelat-pelat wanita Inggeris itu meramahi saya. Saya angguk. " Saya sihat....baaaahaaagiiiaaaa" saya mengajarnya perlahan. Lantas dia tertawa. Semestinya wanita itu akan menahan saya apabila saya berjalan pulang untuk bertanyakan apakah erti bahagia dalam bahasa rasmi mereka. Saya lantas berjalan lagi.

Dari hujung bangunan berwarna merah saya melihat seorang lelaki muda yang cukup saya kenali. Memandang saya. Penuh rasa rindu. Hakim...adik bongsu saya. Juga seorang wanita separuh usia yang paling saya rindui. Seorang lelaki membelakangkannya. Ombak rambutnya yang cukup saya kenali. Ada debaran. Air mata saya lantas mengalir laju. Sehebat rindu pada emak dan adik lelaki saya. Pantas kaki saya berjalan. Laju. Emak sudah tersenyum simpul. Membawa saya ke kenangan bertahun di kampung. Lelaki yang membelakangkan emak lantas berpaling. Saya penuh terkejut.

Dia tersenyum. Paling menawan. Ya, kerana hampir 2 tahun saya membawa diri ke sini!
Mata saya tajam menikam raut wajahnya. Raut wajah yang bermukim dalam mimpi saya lewat malam tadi!!

Dia masih merenung saya.

Tuhan, maafkan diriku, kerana pernah membuangnya jauh dari diri ini.

Masihkah ada cinta dalam dirinya untuk saya?


p/s : Tidak terlewat Dihah untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada semua pembaca blog, sahabat dan sahabiah-sahabiah tersayang.