Pages

27 Ogos 2013

Mr Tan 25



 "Ikan dua ekor ni pun nak bawak jugak?"
Angguk. Bisu. Kelu.
"Ikan ni nama apa?"
Jungkit bahu. Malas mahu jawab.
"Abang bagi nama nak? Yang ni Ali...yang tu Siti!"
Isk..sibuk. Sibuk sampai semua nak tanya dan tahu. "Didi. Yang ni Nini."
"ohh...ada nama rupanya. Baru nak bagi nama." Garuk kepala.




Dan selepas berakhirnya peperiksaan. Meninggalkan Serdang dan kenang-kenangan dengan dewan peperiksaan. Nad kini tersenyum manis sahaja. Dia sudah memeluk Bib dengan linangan air mata. Ala, dengan Bib tu, sekejap saja bergaduhnya. Sekejap juga rajuk mereka berdua. Dia juga telah berbohong dengan Bib untuk meninggalkan Tan Jie Kang. Tidak semudah itu Bib. Bibir mudah melafazkan, bukan? Tapi hati masih sayang. Kalau dia bercerita dengan Bib mengenai perhubungan yang berbaki tiga minggu ini apa yang akan Bib lakukan lagi dan pesankan lagi ya? Kalau Bib tahu cintanya masih berterusan untuk Tan Jie Kang, apa yang boleh Bib buat?

Meski Moh Jia Wei tidak membenarkan. Menidakkan lagi hubungan terlarang antara mereka berdua.

Nadratul Nisa’ sedang duduk di rumah menekuni resipi-resipi yang mama turunkan. Bercerita apa sahaja dengan abang-abangnya. Menyembunyikan sedihnya juga. Menutup ruang-ruang hatinya dari terus inginkan lelaki itu menjadi miliknya. "Bukan Nad tak pandai masak. Nad pandailah mama." Terkebil-kebil dia merenung buku resipi mama.

"Ishh..iyalah, tak lama lagi Nad dah nak pergi Cameron. Kenalah teman mama lebih sikit. Ya?"

Nad, ketika masak pun gulainya terpandangkan senyum Tan Jie Kang. Ketika membasuh pinggan mangkuk pun haruman lelaki itu seakan-akan melayang-layang masuk ke dalam rongga hidung.

Dia dan Tan Jie Kang sudah tidak peduli. Biarlah mereka bercinta sahaja meski  'beberapa hari' yang Bib katakan itu akan menjelma.  Tan akah kahwin. Tan akan mengahwini Moh Jia Wei. Meski hakikatnya dia tahu yang Moh Jia Wei sedang mengandungkan anak Tan Jie Kang. Kalau Bib tahu, mesti mata dia akan dicucuk dengan garfu. ‘Kau apa tahu Bib..cinta tu kan buta!’

Sehingga detik ini.  dia pasrah kerana turut sama mencintai si lelaki berbangsa Cina dan berlainan agama. Dia dan Tan Jie Kang kata orang, sudah tidak peduli pandangan mata orang lain. Berdosakah Nad, mama? Berdosakah Nad dengan Allah kerana hati Nad sudah terisi dengan seorang lelaki yang akan menjadi milik orang lain?

"Nad sayang. Gulai tu dah menggelegak. Termenung saja dia ni." Roziana menjeling. Jemari ligat membasuh sayur.

"Mama..." Nad menutup api. Gulai sudah semerbak harumnya. Dia pusingkan tubuh mengadap mama tersayang. Kaki mendekati mama yang sedang fokus membasuh sayur sawi.

Roziana sambil itu, terus mengunci bibir. Mata sesekali pandang sayur sawi, sekejap menjeling telatah si anak dara. Apa kena dengan anak gadisnya yang satu ini? Jantung berdebar-debar. Sebab Tan Jie Kang kah?  Ah, sudah. Malam tadi – dia, Nazrul dan Nazim duduk berbincang mengenai Nad dan Maleq. Bergaduh-gaduh pula Nazrul dan Nazim disebabkan Maleq. Nazrul tidak setuju sebab tidak sebulu dengan Maleq. Entah apa yang dimarahnya dengan Maleq itu. Yang Nazim sudah tak tahu nak beri jawapan apa. Nazim bebel-bebel marahkan baba kerana suka sangat memaksa Nad itu dan ini. Masing-masing mengeluh kerana akhirnya baba dah buat keputusan. Apa lagi yang mereka harus buat?

Tiga kesimpulan yang mengusutkan. Satu. Maleq itu baikkah? Bila Nazrul kata Maleq tu kaki perempuan, ohmaiii…..dia rasa nak pengsan dan pitam. Baba hilang akalkah? Baba ni tak diperiksakah salur galur Maleq itu.

Okey. Nazim akan pergi jumpa dan siasat. Kalau nak ikut cakap Nazrul, semua orang salah depan mata dia. Ada saja yang tak kena dengan Maleq. Semenjak zaman sekolah menengah, dia sebagai mama sudah tahu yang Nazrul tu asyik berperang saja dengan Maleq. “Peninglah Arul ni. Bagi aku aje jumpa. Bagi Maleq bersemuka sendiri dengan Nad. Kita ni kena siasat serba serbi. Kau tu kalau nak marahkan Maleq tu lagi janganlah sampai dibawa kisah-kisah lama tu masuk sekali. Matured sikit boleh tak?” Suara Nazim berlawanan lagi dengan Nazrul.

“Habislah penat-penat kita kawankan Nad dengan Tan!” Nazim lepaskan nafas. Pandang mama.

“Dari kita fikir Tan, baik sekarang kita settle masalah Maleq. Aku tak nak budak kaki perempuan tu jadi adik ipar aku. Kau Ajim, asyik fikir Tan aje. Sendiri mahu ingat, dia nak kahwin. Sendiri juga mahu ingat, baba memang pantang kahwin campur-campur ni. Sejarah dah ada depan mata. Kau nak baba tembak kita semua dengan senapang patah?” Nazrul bengang. Adik kesayangan dah jadi pertaruhan dan serupa bola pun iya.

Ah – jadi bergaduh anak beranak sebab Tan dan Maleq. Nazrul menyampah tahap ultraman dekat Maleq. Roziana gigit bibir bawah. Yang Nazim pula, asyik fikirkan si Tan Jie Kang yang akan kahwin beberapa hari lagi. Iyalah, dia tahu yang Nazimlah mula-mula menjadi orang tengah antara tukang rumah mereka itu dengan Nadratul Nisa’. Mestilah Nazim kecewa sebab projek ‘match-maker’nya tak menjadi. Punah kerana baba lebih dahulu membuat plot cerita nikah kahwin adik kesayangannya itu. Ahhh, baba memang dahsyat!

Baba pulak – sudah aturkan semuanya. Antara Nadratul Nisa’ dengan Maleq Rafie.

Dia sebagai mama? Tersepit di tengah-tengah dan tidak mampu berkata apa-apa bila berhadapan dengan si anak gadis.  Sudahnya, malam tadi – perbincangan mereka menjejak sampai dua jam.  Sampaikan, ketiga-tiga mereka termenung tanpa kata.

Dua. Malam tadi, Marzunisham sebagai seorang ayah sudah tidak boleh berkompromi. “Abang dah tak boleh nak sabar.”

Ditariknya tangan suami yang sudah membuka pintu bilik. Gelengkan kepala. “Janganlah abang. Janganlah. Nanti Ana pujuk Nad. Ana akan pujuk Nad.”

“Awak tahu dia ke hulur ke hilir dengan Tan tu? Pegang tangan, peluk pinggang. Sakit mata saya ni tau tak? Dah tak ingat agama apa?”

Sekali lagi dia menarik jemari suami duduk kembali ke atas sofa. Roziana terus mati akal. Mati segala nafsu seleranya mahu bergurau senda. Suara Marzunisham terus merantai jiwa. “Habis exam aje, makin menjadi-jadi. Keluar sampai entah pukul berapa. Balik, berkurung dalam bilik sampai saya nak jumpa dia pun susah. Hei Ana, saya ikutkan hati…esok juga saya nikahkan dia dengan Maleq tu. Awak ingat saya tak tahu yang dia berkepit dengan budak cina tu.”

Kalau suaminya sudah bersaya awak, memang sudah marahnya tahap tujuh lapis langit dan bumi. “Kalau terserempak dengan saya kat luar, cepat-cepat dia masuk bilik. Hah, tu tak namanya Nad menyorokkan sesuatu dengan saya?”

Kusut. Suaminya malam tadi sudah mula naik angin. Sudah mula mencorak.

Tiga. Adakah Nad akan menerima Maleq? Mampukah dia sebagai mama memujuk Nad. Nad mampukah melupakan Tan yang semakin hari semakin dihatinya anaknya itu.

“Mama…” Seru Nad. Dia pandang mama. Senyum. Eh mama ni, sambil basuh sayur pun boleh termenung-menung.

“Ehhh…sorry-sorry. Mama mengelamun kejap. Malam tadi baba mimpi sampai tak boleh tidur dibuatnya mama.” Terkebil-kebil. “Haaa..ada apa-apa nak cerita dengan mama? Cerita apa ya?”

“Errrr…” Nad memerhati jemari mama. Dia pantas menutup kepala paip yang sedang mengalirkan air. Ditarik lengan mama dan di bawa Roziana ke meja makan comel yang beralas cantik.

Mereka sudah duduk berhadapan. Nad mengukir senyuman. "Kalau Nad bercinta dengan lelaki yang akan berkahwin dengan orang lain lagi beberapa hari lagi..mama tak marah kan?"

Roziana terngaga. Akhirnya. Nad membuka mulut sendiri tanpa dia paksa. Dia renung wajah Nadratul Nisa’ yang putih kemerah-merahan. Mata anaknya bulat segar bersinar-sinar. Iya, dia tahu, anaknya memang sedang bercinta. Tetapi cintanya hanya akan berbaki beberapa hari saja lagi.

“Tan Jie Kang?” Dahi berkerut-kerut. Bibir pantas bertanya mahukan kepastian. Roziana merenung ulas bibir merah Nadratul Nisa’ yang sedang tersenyum. Sudah tahu, dia bertanya lagi. Ya Allah, permudahkan urusan kami sekeluarga.

Angguk. Namun anggukan Nad terhenti bila baba berdiri betul-betul di belakang mamanya. Senapang patah milik baba betul-betul di tangan baba. Wajah merah baba bagaikan biji saga. Mata bulat Marzunisham terus tepat mencari bibir anaknya yang sedang bergetar tanda ketakutan.

“Maleq Rafie!” Suara baba terus menggetarkan gegendang telinga.

***
Itulah Nadratul Nisa. Macam kata Baba, bila bersoal jawab mengenai hati ini, Nad mesti akan larikan diri. Tapi baba tidak boleh lagi boleh kompromi. Baba siap cakap, "Nad ingat baba tak tahu Nad pusing keliling satu Malaysia ni dengan budak cina yang tukang rumah kita ni?"

Nad kesat-kesat air mata. Melimpah sampai pipi. Mama terkujat tidak mampu menjawab apa-apa.

"Baba dah tak boleh sabar dengan Nad ni. Kalau dengan budak cina tu boleh. Tapi sekarang..Nad kena ikut arahan baba."

"Baba..baba. Janganlah buat Nad macam ni Baba. Nad janji, Nad tak akan keluar lagi dengan Tan." Sudah lemah anggota tubuh. Sudah puas dia menangis memohon dari baba. Sudah puas dia meminta kebenaran dari baba.

"Janji? Hei...mata aku ni sakit tengok anak sendiri bergelak ketawa, senda gurau macam tak ada pegangan agama lagi. Selama ni baba diamkan aje kamu Nad. Kali ni baba tak kira. Baba tetap. Tetap dengan keputusan baba."

Nad terus menarik-narik jemari baba. Marzunisham sudah hilang panduan diri. Amarah setinggi gunung Kinabalu. Dia sudah tidak boleh bersabar dengan perangai anak gadisnya ini.

Air mata Nad meleleh-leleh lagi. Dikesat-kesat minta simpati. "Nad tak nak baba. Sumpah, sampai mati pun Nad tak akan kahwin dengan lelaki yang tak pernah Nad cintai!"

“Sumpah?” Mendidik darah tuanya. “Sumpah juga kalau kau kahwin dengan lelaki cina tu kau akan tengok mayat dia depan rumah ni.”

Nadratul Nisa’ longlai di hujung dinding. Memandang mama yang tidak mampu membantu.

“Baba berani bersumpah juga Nad…si lelaki tukang rumah keturunan cina tu tak akan bahagiakan Nad. Ingat Nad, kalau cinta beralaskan dengan Allah barulah Allah akan redha.” Dia cekak pinggang. Puas hati akhirnya.

Marzunisham terus pusingkan badan. Bawa senapangnya bersama. Ambil kunci bilik anak sendiri dari dalam poketnya. Roziana terus terburu-buru mengikut. Nad dibiarkan di hujung sana. Nad dibiarkan bertangisan tanpa sesiapa sudi pujuk.

“Sampai hati abang buat Nad macam ni. Kesianlah dekat dia abang.”

Suara baba mengalirkan lagi air mata. “Nak kesiankan apa lagi Roziana? Apa lagi yang dia nak dari kita, Roziana?” Marzunisham menekan nama isterinya. Suara dia sudah tegang. Esak tangis Nad di dalam bilik makin kedengaran. Pintu bilik sudah ditutup rapat.

Dia masukkan kunci. “Hujung bulan ni. Kita nikahkan Nad dengan Maleq.”

“Abang!” Roziana gelengkan kepala. Ni kahwin paksa apakah ini?

“Tak ada kahwin paksa. Ni akan jadi dia redha terima aje. Ini Marzunisham.” Nekad bunyinya. Dari telinga asyik bernanah mendengar kawan-kawan cerita fasal anak gadisnya. Dari telinga sampai naik muak mendengar soalan-soalan orang surau fasal anaknya, lebih baik dia kahwinkan aje. Kemudian hantar Nad terus ke Cameron Highland.

“Nad tak nak. Nad tak nak. Buka pintu ni baba. Bukak cepat. Bagi Nad jumpa dengan Tan sekarang jugak!!!!” Nad menjerit-jerit bagai orang gila. Dia sudah kehabisan daya tenaga memujuk baba.

Marzunisham menjeling isterinya. Dia masukkan kunci ke dalam poket seluarnya. “Haa tengoklah tu.” Dia hulurkan senapang patah yang dia miliki. “Simpan senapang ni elok-elok. Kalau awak kata saya ni kampung sangat mengurung anak dara saya, biarlah.”
Roziana memandang suaminya. Entah dia jadi bisu. Sampai hati suaminya buat sebegini. Sampai hati suaminya mengurung Nad.

“Lebih baik saya kurung dia, dari saya terus tanggung dosa!” Langkah semakin besar. Dia tinggalkan Roziana yang sedang kaku berdiri tanpa boleh melakukan apa-apa. Suara Nad merayu supaya dibukakan pintu semakin mengetuk pintu hati. Semakin dia mendengar…air mata ibunya mengalir perlahan-lahan.
***
“Kalau awak tak setuju….errr tak apalah.” Maleq merenung gadis yang duduknya di hujung sofa.

Kelu. Bisu.

Mata sudah bengkak. Nad tunduk sahaja. Bib sudah hantar SMS. Itupun dengan telefon buruknya yang dia jumpai dalam laci meja belajarnya. Tan dah kahwin dengan Jia Wei. Dia ada hantar beberapa keping surat kat aku ni Nad. Iphone miliknya entah mana disorok baba.

Air mata menitis tanpa dipinta. Pedihnya. Sakitnya jiwa. Kisah cintanya terlalu pantas. Bagaikan sebuah drama dua jam tanpa iklan berbayar. Nadratul Nisa’ terus rasa hidupnya kosong tanpa apa-apa. Rasa tawar sahaja hatinya.

“Ehh, kenapa awak menangis? Saya tak buat apa-apa yang salah kan?”  Ah sudah – tanya soalan itu pun Nadratul Nisa’ sudah menangis. Dia nampak titis-titis air mata yang mengalir di pipi si gadis. Dia jadi gelabah. Terus cari tisu. Haa, ada-ada. Kaki ayun ke kanan. Cepat-cepat mengambil sekotak tisu. Dihulurkan.

Suara baba Nad dan ibu di ruang tamu pertama lebih kuat berbanding mereka berdua di sini. “Ni tisu ni, ambillah.”

Nad menggelengkan kepala. Sumpah dia tak mahu memandang wajah lelaki yang bernama Maleq Rafie ini. Dia ingat-ingat pun, lelaki ini hanya sahabat zaman kecilnya. Sepatah haram dia tidak ingin berbual dengan lelaki ini. Lagi pula untuk mengingatinya. Jemari runcing sendiri mengesat-ngesat air mata.

Teragak-agak dia turunkan kotak tisu. Perlahan-lahan dia duduk kembali di sofa yang bertentangan. Tak apa, ada lori ada bas. Ada hari boleh balas. Heh. Dia senyum sendiri memerhatikan jemari runcing si gadis pilihan ibu. Dia dan Nadratul Nisa’ pun hanya berkawan semasa zaman kecil. Tidak pernah pun terlintas di hati untuk memperisterikan Nadratul Nisa’. Tapi sebabkan ibu beria-ia tunjukkan sekeping gambar gadis di depan matanya ini, dia terus jatuh cinta.

“Maleq asyik sibuk kerja. Ibu tahu takde calon lagi. Haaa…ni….yang ni mesti terpikat punya!”

Dia mana ada masa nak bercinta. Kalau zaman sekolah menengah dulupun, dia dipikat pelajar-pelajar sekolah perempuan bangunan sebelah. Habis semua kata dia calon pelajar lelaki kaki perempuan. Dia senyum.

Bila gambar sudah ada di depan mata. Bila juga Allah pernah temukan dia dan Nadratul Nisa’ di beberapa tempat. Dia jadi terus mengkagumi keindahan ciptaan Allah swt. Dia terus rasa calon ibu ini paling tepat untuk dia. Lantas, istikharah sudah berlangsung. Jawapan lantas ditemui. Hati dan jiwa mulai lapang.

Kini, dia sedang menemui si calon isteri.

Semasa terserempak dengan Nadratul Nisa’ pun, dia sudah tersenyum-senyum sendiri. Si gadis calon isteri ketika itu sedang memicit-micit sebiji jerawat yang tumbuh di pipi kanan. Dia ingat ketika sedang membelek-belek buku di MPH Aeon, Seremban 2. Sambil memilih buku, Nadratul Nisa’ sibuk betul marah-marahkan si jerawat yang baru hendak tumbuh.

Mahu sahaja dia ketawa. “Eeee..jerawat ni. sibuk!”

“Besar pulak tu. Habislah. Habislah abang Ajim membahan malam ni.”

Maleq perlahan-lahan menyorot retina mata. Mencuri pandang Nadratul Nisa’ yang membisu dari tadi. “Tak ada jawapan ke?” Mata meneliti pipi yang putih bersih. Sudah hilang agaknya ‘jerawatnya’ itu.

Mata meniti lagi bibir merah yang basah. Dia gigit bibir. “Nad memang tak suka ya? Kalau tak…tak apa. Lagipun,benda-benda begini bukan boleh paksa. Nikah kahwin bukan untuk sehari dua. Benda panjang bawa ke syurga neraka ni, kena fikir betul-betul.”

Sayu. Hati terus dipagut pilu. Dia menyebut nama itu berkali-kali. Sudah lebih seratus kali. Tan Jie Kang. Tan Jie Kang. Tan Jie Kang. Tan Jie Kang. Tetapi langsung tidak ada bayang.

Sudah penat menunduk, akhirnya dia panggung kepala. Tepat matanya bergabung dengan renungan si Maleq Rafie.

“Apa penyudahnya hidup saya kalau saya berkahwin dengan awak, Maleq? Apa janji awak pula untuk saya kalau saya jadi isteri awak, Maleq?”

Maleq Rafie terkedu.

Nadratul Nisa’ tiba-tiba bersuara mencari jawapan yang tidak mungkin dia perolehi.

Dahi Maleq berkerut-kerut. Dia mula menyusun aksara indah untuk calon isteri. “Penyudahnya ialah redha Allah dan syurga. Janji seorang suami itu satu sahaja…”

Mata terus melekap mencari mata yang sudah tidak berseri lagi. Maleq mula rasa sangsi. Tetapi dia yakin dengan jawapan yang telah dia perolehi dari istikharah beberapa malam nan lalu. “Hatinya untuk isteri. Juga janjinya supaya rumahtangga itu bahagia sampai ke syurga.”

Air mata mengalir lagi. Tanpa Nadratul Nisa’ pinta. Suara Maleq terus menghumban dia ke daerah paling sunyi dalam hati. “..dan untuk bahagia sampai syurga saya perlukan seorang isteri. Kamu, Nadratul Nisa’.”

Adeiii…apesal lagi dia ni menangis? Apesal lagi si calon isteri ni bersedih bagai. Bukan disuruh masak buat asam pedas ke, buat pavlova ke, reneh sup tulang ke, buat mee rebus ke. Maleq sekali lagi bangun mengambil kota tisu yang tidak dipedulikan Nadratul Nisa’. Dia mara mendekati.

Sekali lagi, Maleq menghulurkan ‘pakcik kotak tisu’ a.k.a kotak tisu yang tadinya tidak dipedulikan kepada Nadratul Nisa’.

“Nah. Tisu ni. ambillah. Kesat hingus dan air mata awak tu. Buruk benooo rupanya. Haihlah perempuan.”



:::Maleq, selamat datang:::Selamat datang untuk terus memuja sang wanita yang kadang kala rapuh jiwanya. Selamat menempuh kenyataan ya:::

9 ulasan:

  1. Cian nad n tan tp kn,
    Mcm ok je maleq ni

    BalasPadam
  2. dah lah Nad lupakan je Tan tu...
    hope Maleq adalah pilihan terbaik untuk Nad... ;-)

    BalasPadam
  3. Biarape pun, tan ttp tan. Tapi nnt nad kawen dgn maleq ke. Knp berubah dah.

    BalasPadam
  4. sebak..sebak..sebak sangat sangat...hati pun dah mula kecewa...

    BalasPadam
  5. idarohaina28/8/13 07:24

    Jeng3 maleq dah munculkan dirinya....cik mardihah silalah kenalkan maleq dengan lebih lanjut spy sy boleh pilih hahahahah

    BalasPadam
  6. tengok dr watak Maleq macam da berubah...maybe dulu dia kaki perempuan but everyone can change right...mungkin sudah di tulis oleh kak dihah jodoh nad dengan maleq...hihihi

    BalasPadam
  7. is it the end of Nad & Tan lovestory?? huhu..sedeynyeee.. tp takpelah. life must go on ye Nad... Tan pon dah kawen. Maleq pon mcm ok je tu..

    BalasPadam
  8. Cedihlaaaaa...cian ngan nad..huaaaaa

    BalasPadam
  9. Maleq handsome, picture tu Nicholas Saputra eh!? Thank you!

    BalasPadam