Pages

28 Ogos 2013

Mr Tan 26



"Nad..."
"Iya." Dia membelakangkan suami. Kan betul, kisah hidupnya memang sah-sah seperti cerita dalam drama televisyen. 
"Kita dah halal kan?" Jemari Maleq lembut diletakkan di atas pinggang cik isteri. 
Nad pejamkan mata. Wajah mama dan baba terbayang-bayang kini. 
Diam. Tidak ada jawapan.
"Nad." Lembut suara Maleq. Sekali lagi dia memujuk. 
"Iya." Pesanan Maleq sehari sebelum pernikahan terus memalu jiwa.
"....izinkan saya."





“Sampai hati baba…” Nad memeluk lutut. Mendiamkan diri merenung kaki langit yang boleh dia nampak melalui tingkap yang terbuka.

Dia kesat air mata. Dunia perhubungan luar sudah tidak ada untuk dia. Hanya kiriman SMS dari Bib dengan telefon lama ini. Itupun, diperiksa oleh baba. Kalau dia nak melarikan diri pun, dia sudah tidak berdaya. Abang Nazim dan Nazrul asyik menjenguk dan memujuk. Belikan itu dan ini untuk dia.

“Dah, abang Ajim dah jumpa Maleq tu. Dia okey lah. Jangan risau-risau. Dia baik. Confirm baik! Tan tu dah kahwin pun. Jangan dikenang suami orang Nad.” Nazim memujuk. Letak teddy bear warna putih besar atas katil. Hari-hari dia belikan hadiah. Sudah sepuluh teddy bear berjenis-jenis dihadiahkan untuk Nadratul Nisa’. Sungguhlah dia tidak tahu mahu hadiahkan apa. Sampaikan dia sudah kenal dengan pekerja kedai cenderhati di Giant tu.

“Okeylah untuk kau Ajim. Tak. Tak. Aku tetap tak setuju.” Nazrul pula membuat kesedihan dia berganda.

Akhirnya bergaduh si kembar. “Habis, kau fikir kau baik sangatlah? Kenapa kau tak setuju?” Nazim sudah bengang. Suka sangat bikin panas. “Kita ni nak memujuk Nad supaya terima dan lapang dada. Tapi kau lagi tambah jiwa dia kacau. Eeee…nampak kau macam kecik aje Arul!”
Nazim menyiku perut Nazrul yang duduk di sebelahnya.

“Habis semua budak perempuan bangunan sebelah kita dulu minat kat dia. Entah apa-apa. Si Nani pun sampai berkenan kat dia.”

“Hal lama pun jadi hal!” Nazim baling bantal. “Kau sebab pemalu. Nani cakap sepuluh patah, kau cakap setengah patah. Sebab tu dia beralih minat kat Maleq.” Sudah berdekah-dekah dia ketawakan Nazrul.

Nadratul Nisa’ hanya diam mendengar celoteh abang-abangnya. Abang Nazrul pula belikan dia bermacam-macam baju. Tudung entah jenama apa pun semua dia beli. Bersusun cantik atas katil tanpa dia usik. Dia tahu, kedua-dua abangnya sedang memujuk. Memujuk dia untuk menerima hakikat mengenai pernikahannya yang akan berlangsung beberapa hari saja lagi. Katalah apa sahaja mengenai Maleq Rafie. Baik, buruknya langsung dia tidak ambil peduli. Dia sudah tidak mampu berfikir. Makin diam menyepikan diri, makin kesedihan larut dalam diri. Biarlah abang-abangnya datang memeriahkan jiwanya nan sepi ini.

“Tan dah kahwin ya abang Ajim?” Itu sahaja soalan yang mampu keluar. Dia menoleh merenung Nazim dan Nazrul yang sedang duduk di penjuru katilnya. Mahukan kepastian sebenar. Bib sudah mengiyakan, hari ini dia mahu memastikan juga.

Angguk lesu. Nazrul juga. “Dipercepatkan.” Nazim menelan air liur. Dia memang terserempak dengan kereta Tan yang diparkir di hujung sana. Dia tahu, Tan mencari Nad. Hari-hari sehinggalah pergaduhan besar berlaku antara baba dan Tan. Sehinggalah baba tidak boleh menahan sabar mengheret Tan ke balai polis selepas dibelasahnya Tan oleh entah siapa yang baba suruh. Ah baba – baba sudah berdrama dan sanggup buat apa sahaja demi hasratnya bermenantukan Maleq tercapai.

“Sampai hati baba kan?” Nad mengesat lagi air mata. Nazim dan Nazrul terus bangun meluru menuju ke arah Nadratul Nisa’. Kedua-dua terus melutut. Nazrul membetulkan rambut panjang Nadratul Nisa’. Iya, adiknya cantik dipandang. Tambah memikat bila rambut ini dilepaskan sebegini.

Hati lelaki jadi rawan melihatkan adiknya yang tambah kurus dan cengkung ini. “Nad dah makan tak?” Dia memandang Nazim yang turut bersila. Marilah kita sama-sama mengubah topik. Dia jeling Nazim yang sedang gigit bibir.

Nad gelengkan kepala. Apa khabar Tan ya? Sihatkah dia? Apa yang berlaku dengan Tan di sana? Kenapa dia tidak jejakkan kaki bertemu dengan dia di sini? “Nad tak lapar.” Air mata menitis lagi.

“Makanlah sikit. Tu mama dah letak bubur untuk Nad.” Nazrul memujuk lagi.

Nazim lekas bangun. Bertindak laju untuk sesi pujuk memujuk hari ini. Dia mengambil mangkuk bubur yang sudah mama sediakan. Dulang yang letaknya lengkap bersama air suam tersedia.

“Nad…” Kalau baba kata begitu, dia juga tidak boleh menolak. Meski dia pernah marahkan Maleq kerana hal-hal orang lelaki zaman sekolah dahulu, dia kena lebih menjadi ‘abang’ untuk Nad hari ini.  Dia juga harus menjadi abang kepada Nazim dan mama.

Mereka perlu menyokong Nadratul Nisa’ walau apa terjadi. Nazim sudah duduk bersimpuh. Dulang diletak di depan mereka bertiga.

“Makanlah sikit Nad. Mama risau sangat dah tu sebab Nad tak makan. Kalau kurus sangat, nak jadi pengantin nanti tak cantik.” Nazim angkat mangkuk bubur. Sudu sudah dimasukkan di dalam mangkuk. Dia mengacau-ngacau bubur yang mama sediakan. Tiba-tiba dia lapar pula terbaukan bubur ayam. Siap mama hiris daun bawang dan taburkan dengan bawang goreng. Lada sulah pun hadoo ni Nad. Makanlah. Sedap ni.

“Maleq tu baik ke?” Nad pandang Nazrul. Dia mahukan kepastian. Dia mula perlahan-lahan mengutip hakikat. Dia mula berdepan dengan kenyataan. Hidup bukan untuk sehari dua lagi, Nadratul Nisa’.

Akhirnya dia mengangguk. Nazrul mengalah demi adiknya. Demi Nad mengalas perutnya. “Nad makanlah ya.”

Nad betulkan kaki. Dari melutut dia sudah bersila. Duduk mereka kini bertiga. Dia renung wajah abang Nazrul dan abang Nazim yang disayanginya. Air mata semakin serasi.

Bubur diceduk-ceduk dengan sudu. Jemari kiri Nazim perlahan-lahan membetulkan rambut yang jatuh di dahi adiknya. “Sedap ni Nad. Dah seminggu kami tengok Nad tak makan. Minum air je. Baba dan mama risaukan Nad. Kalau Nad masuk hospital, lagilah kami semua susah hati. Makan ya.” Sudu sudah ada di depan bibir Nad.

“Baba tak sayangkan Nad kan? Sampai hati baba buat Nad macam ni.” Air mata lesu lagi. Bibir masih terkunci. Nazim kembalikan sudu ke dalam mangkuk. “Baik ke buruk Maleq tu..kenapa baba perlu tentukan perkahwinan Nad? Kenapa baba benci sangat dengan Tan tu? Teruk sangat ke Nad ni abang Ajim? Nad ni jahat sangat ke abang Arul?”

Dia rasa dunia kejam. Dia rasa semakin lelah. Air mata mengalir lagi dan lagi. Nazrul mengesat-ngesat air mata adik kesayangannya.

“Nad anak kesayangan baba. Baba nak yang terbaik untuk Nad. Kita makan ya. Nanti perut masuk angin. Meh abang Arul suapkan.” Dia sudah tidak berdaya memujuk. Kalau memujuk itulah bahan utama  Nad. Menangis dan mahukan kepastian mengenai pernikahannya. Dia dan Nazim mati akal.

Mangkuk bubur sudah di tangan Nazrul. “Kita makan ya.”

Nazim kalau bab Nadratul Nisa’ dia akan tewas. Dia akan bersedih dulu dari Nazrul. Ia, Nad rapat dengan dia. Nad serba serbi berkongsi segala ceritanya dengan dia.

Nad sudah angkat jemarinya. Mengambil mangkuk bubur dari tangan Nazrul. Dia rapatkan sila dengan abang-abangnya. “Kalau abang Ajim dengan Arul nak tengok Nad makan, kita makan sama-sama ya?”

Nazrul pandang Nazim. Nazim terus mengangguk cepat. Air mata dia sudah bertakung. Buatlah apa sahaja Nad, asalkan Nad makan dan mengalas perutnya.

Suapan pertama untuk Nazrul. Abangnya yang sulung. “Doakan Nad bahagia. Dunia dan akhirat.” Air mata lagi dan lagi menjadi teman. Nazrul menahan hiba. Dia mengunyah penuh jiwa.

Nad menyuap pula untuk Nazim. Direnung Nazim dengan kasih sayang. “Nanti lawatlah Nad kat Cameron. Mesti abang Ajim dan abang Arul akan rindukan Nad yang comel ni. Kan?” Dia mengawal sebak. Nad akan rindukan semua dalam rumah ni.

Nazim tidak mampu menyembunyikan sedihnya. Air mata lelakinya gugur. Satu persatu dikesat dengan jemarinya yang kasar. 

Nad memaksa diri. Dia sedang memaksa diri menerima aturan yang sedang baba tetapkan. Dia menyuap bubur. Disumbat masuk ke dalam mulut. Dia mahu abang-abangnya tidak susah hati kerana kurus dan cengkungnya ini. Tadi dia sudah berjanji untuk makan dan menikmati bubur ini dengan abang-abangnya.

“Jangan lupakan Nad.” Sekali lagi dia menyua bubur ke bibir Nazrul.

Wajah abang Nazim yang disayangi direnung lagi. “Terima kasih kerana sudi menjadi abang yang baik untuk Nad.”

Nad letakkan mangkuk bubur. Diketepikan dan terus memeluk kedua-dua abang kembarnya ini. “Nad akan rindukan semua. Baba, mama, abang Arul dan abang Ajim.”

Ah Nad. Kenapa perlu air mata menemani? Mengapa juga hatinya menyalahkan takdir yang sentiasa tidak menyebelahi sisi hidupnya ini.

“Jangan risaukan kami lagi Nad. Jangan.” Nazrul mengusap lembut belakang tubuh adiknya. Dikucup lembut ubun adik-adiknya. Dia akan merindui Nadratul Nisa’ yang manja ini. dia akan rindukan senda gurau si manis yang akan kelak menjadi milik Maleq Rafie.

Buanglah Nad nama Tan Jie Kang itu. Kuburkanlah nama itu jauh-jauh ke hujung dunia. “Kami akan sentiasa doakan Nad bahagia. Dengan siapa pun jodoh Nad, Nad kena ingat yang itu adalah yang terbaik. Kuncinya ialah Nad kena redha dan menerima suami Nad. Nad kena jadi isteri yang baik. Jaga nama baik keluarga. Nad kena ingat tu semua ya…”

***

Hantaran sudah siap. Segalanya lengkap. Baju nikah yang dipilih entah siapa ini pun sudah melekap cantik di tubuhnya. Dia termenung jauh. Aroma bunga rampai tidak memberikan apa-apa rasa untuknya. Dia duduk di dalam bilik kesepian entah kenapa. Bilik hari ini dihias cantik oleh mama dan mak long Hawa.

Maleq Rafie. Perkenalan antara dia dan bakal suaminya itu singkat sahaja. Selebihnya diuruskan baba dan mama bersama abang-abangnya. Maleq Rafie itu sibuk telefon bertanya itu dan ini. Saiz cincin dan apa hadiah yang diimpikan pun sekali turut sama ditanya. Bertemu dengan bakal suaminya itu pun hanya ketika kursus perkahwinan dan mengisi berbagai-bagai jenis borang di rumah ini.

Minggu lepas pertemuan dia dan Maleq diaturkan. Sekali lagi untuk majlis pertunangan. Majlis kecil hanya dihadiri sanak saudara sahaja. Ibu Maleq pun namanya dia tidak tahu. Apa-apa tentang Maleq Rafie dia langsung tidak ingin tahu.

Entahlah jiwa. Entahlah hati mengapa.

Kalau berdiri di dalam bilik, dia ternampak-nampak Tan Jie Kang dengan senyuman dan jelingannya. Segala-gala bagaikan baru semalam berlaku. Bagaikan juga semalam perkenalannya dengan lelaki berbangsa cina itu.

“Saya tengok awak macam tak ada semangat aje. Kursus pun macam tak nak kursus. Isi borang pun macam bosan entah apa-apa. Kenapa ya Nadratul Nisa’?” Suara Maleq pertama kali di dalam telefon mengejutkan. Dia fikirkan Tan Jie Kang yang menelefonnya. Tetapi lewat malam tadi, suara lelaki pilihan baba ini yang meledak gegendang telinga.

“Kalau Nadratul Nisa’ tak suka beritahu saya ya. Jika rasa terpaksa pun kita ada masa untuk batalkan. Kita ada masa untuk tangguhkan.” Maleq berdiplomasi.

Suaranya mati. Dia tidak membalas apa-apa. Langsung tidak dibuka bibirnya.

“Ke awak dah ada pilihan sendiri?” Maleq menghambat pilu ke dalam diri. Dia tahu calon cik isterinya ini ada masalah. Cumanya, dia tidak mahu bertanya dengan bakal mertua. Lebih baik dia bertanya sendiri. Lebih baik mendengarnya dari mulut si gadis.

“Kalau berdiam diri begini, Nadratul Nisa’ saya rasa lebih baik kita batalkan. Masih sempat!” Maleq Rafie buntu. Dia keliru.

Baru saja hendak dimatikan telefon, suara yang dinantikan itu mengusik naluri lelaki. “Ehh..tunggu.”

Dia mengesat air mata. Pejamkan mata. Wajah Tan Jie Kang melayang-layang di dalam kepala.

“Iya Nad. Saya tunggu.”

“Jangan batalkan.”

Hening.

Maleq masih menanti suara itu bernada untuknya. “Jangan.” Wajah baba, mama dan abang-abangnya menghimpit seluruh minda. “Mana boleh batalkan. Esok kita akan menikah.”

Maleq senyum. Akhirnya. “Puan Nadratul Nisa’ harus melengkapi suaminya nanti. Tanggung dan jawab juga. Zahir dan batin. Hubungan halal itu mesti berlangsung dengan rela. Saya tak mahu menanggung dosa. Sebelum bernikah, lapangkan dada dan solatlah minta ketenangan hati. Dua jiwa yang akan disatukan esok bukan untuk permainan melepaskan tekanan. Saya pohon, Nad.”

Dia diam. Maleq mula membenarkan akan hubungan sah antara suami isteri. Dia tidak mahu pernikahan esok bukan atas kerelaan bakal isteri. Dia juga tidak mahu semua yang akan berlangsung mendatangkan kebencian Allah swt.

Nadratul Nisa’ akhirnya mengangguk. Dia mula menangis. Maleq jadi kelu tiba-tiba. “Errrr….Nad…kalau ada masalah nanti, esok Nad cerita dengan saya ya. Sudahlah, pergi tidur. Ambil wuduk dan berdoa untuk majlis kita.”

Pintu bilik ditolak. Wajah riang mama, wajah gembira baba dan abang-abangnya melekat di hujung mata. Suara Maleq memujuknya terus hilang dengan wajah Tan Jie Kang berganti dan berbalam-balam. Seketika dia rasa berdosa. Seketika pula dia rasa seperti tidak mampu menerima kenyataan ini.

“Tadaaaa…” Nazim terus dengan kemahirannya mengambil  gambar si adik kesayangan. Klik! Klik!

“Okey, Nadratul Nisa’….jom kita pergi bawah. Maleq Rafie dah tunggu!” Nazrul cekak pinggang. Suasana makin ceria. Para tetamu jantungnya berdebar-debar. Malaikat sekarang juga sedang memenuhi ruang kosong majlis pernikahan suci antara Nadratul Nisa’ binti Marzunisham bersama Maleq Rafie bin Asmawi.

Dia senyum. Meski hati sedang menangis. Dia ketawa. Meski hati sedang bergerimis. Dia cuba berlagak ceria meski jiwa sedang dihentak pilu. 

:::Sebab saya laju sangat menulis, bab 27 tunggu minggu depan ya. Saya nak berjalan-jalan pergi Hong Kong. Hahahaha:::Press like banyak kali saya up bab 28. *hihihi.:::

11 ulasan:

  1. Tanpa Nama29/8/13 05:30

    Kakdihhah.....sambung esok jugak. Xkire.

    BalasPadam
  2. Alaaaaaaa nak ikutttttt gi hong kong......hehehe.....

    BalasPadam
  3. Ala lama lg ke next chapter
    Cian nad...maleq jugak...tan jugak..uwaaaaaaa

    BalasPadam
  4. sebak yg teramat...huhuhuhuhu...mmbuat hati tringt kisah lama...aduhhh skitnye jiweee

    BalasPadam
  5. best dan sedih... T_T
    hope lepas ni Nad akan bahagia dan gembira dengan Maleq... :-)

    BalasPadam
  6. Sape hero dalam cite ni... Tajuk Mr. Tan tapi nad kena nikah ngan Maleq.. Tan pun dah nikah ngan jia wei...Ada kisah Tan ngan nad lg tak lepas ni?..

    BalasPadam
  7. Ewah ewah......jumpa sya kat hongkong ye....

    BalasPadam
  8. nilh citer hero tk dapat heroin...sedeh yg teramat..huhu akk nk lalak...waaaaaaaaaa

    BalasPadam
  9. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  10. Pngantin lelaki brtukarrrrrr..huaaaaaaaa cian dear

    BalasPadam