Pages

06 Ogos 2013

Mr Pai Epal : Edisi Khas II (Cerpen Ramadhan & Aidilfitri)






Seminggu sebelum aidilfitri disambut. Beberapa hari dan beberapa jam sahaja lagi. Menyulam rindu dan kenangan di Malaysia terus menari-nari di minda. Iya, bila duduk seorang diri di dalam rumah dan untuk menyahkan manja sangat diri sendiri ini, aku aktifkan diri mengemas. Kalau duk termenung aje, hmm haruslah aku sedih dan merengek minta Izz Amir pulang ke Malaysia. Sambil mengemas aku melayan Izz Ashfan manja aku itu yang sekejap-sekejap merengek minta itu dan ini.

Aktiviti lain, semestinya habiskan masa dengan menekuni tafsir dan membaca AlQuran. Waktu senggang sebelum menyediakan menu berbuka kami, aku lebih suka melayani segala macam jenis biskut yang aku gemari. Tapi kalau sudah terlalu letih sangat bersama Izz Ashfan, melihat nyenyaknya tidur anak aku ini, aku turut sama menidurkan diri.  Iya, pelajaran aku di Le Cordon Bleu sudah selesai. Alhamdulilah kerana akhirnya pengajian disudahi dengan penuh indah.

Izz Amir. Dia meneruskan legasi minat dan kegemarannya dengan dunia masakan. Kursus pastrinya yang setahun di sini, berbaki enam bulan. Hakikat yang aku terpaksa hadapi ialah menunggu Izz Amir menyelesaikan kursusnya dan selepas itu barulah kami akan pulang ke Malaysia. Mungkin ya. Atau mungkin juga tidak kerana ura-ura Izz Amir yang merancang memanjangkan kursusnya. Faktor kerjanya dan pengajiannya pada hari Sabtu dan Ahad menghambat aku untuk setia mendengar kata suami. Oh, Yaya kan mahu jadi isteri mithali? Yaya mahu jadi isteri baik mendengar perintah suami kan? Kan?

Itu hakikatnya sebagai seorang isteri kepada Izz Amir. Kadang-kadang rajukku itu dipujuk dengan berbagai hadiah. Rasa terharu pula dengan jambangan bunga mawar yang terletak di atas meja kecil belajar aku kala ini. Aku bawa bola mata memandang Izz Amir.

Niat memujuk Izz Amir sekali lagi akhirnya aku diamkan. Hmm, dan kemungkinan yang aku kira-kira dalam kepala terjawab, “Abang tambah kursus pastri lagi enam bulan. Setahun lagi baru kita balik Malaysia. Izz Ashfan pun dah besar. Dah pandai jalan masa tu. Senanglah sikit kita.”

Kan betul. Sebab salinan borang kemasukan tambahan kursus pastrinya aku jumpa di dalam beg. Salinan okey? Bermaknanya borang sudah selesai di hantar dan sedang diproses. Duit yurannya juga telah Izz Amir bayarkan. Disuruh ambil jaket putihnya di dalam beg, alih-alih borang berkenaan yang aku nampak. Izz Amir tersengih sambil menggigil-gigil buat penjelasan. “Yaya pun tahu kan, ambil pastri tu seronok. Kalau Yaya boleh buat kursus pastri sampai berjaya, abang pun boleh.”

Aku diam. Sengetkan bibir. Mata kami bertemu. Suara Izz Amir rendah lagi memujuk. “Abang pun kerja. Sabtu, Ahad dan kalau dapat pelepasan bolehlah kejar sikit masa untuk pendekkan kursus ni. Yaya okey kan?”

Diam lagi. Dia dekatkan lagi hidungnya. Hampir mengena hidungku. “Cik Yaya sayang ni akan okey kalau kita balik lagi setahun? Okey kan cik adik manis?”

Aku tarik nafas. Jambangan bunga sebagai bukti memujuk, aku pandang lama-lama. Eh-eh encik suami ni. Apesal makin dekat ni. Aku terus menolak bahunya. “Kita puasalah. Heilah abang ni.”

Dia ketawa. Terus bersila bila melihat aku sudah tersenyum manis. “Ohh, okey. Lupa pulak. Nasib baik tak terbabas. Haha. Tapi malam boleh kan?” Dia ketawa. Matanya menyorot ke katil kecil tempat letaknya Izz Ashfan.

“Eeee..mengada aje.” Jelirkan lidah. Puasa-puasa ni, mulalah buat perangai tak senonoh dia tu.

“Ashfan okey tak?” Mata kami bertemu. Sekali lagi menghantar rasa kasih.

Aku angguk. Selepas bersalaman, mengucup dahi kami duduk berbual-bual begini. Hidangan berbuka sudah selesai aku masak. Sebelum Ramadhan, selepas Izz Amir balik, hidangan minum petang dan makan malam kami akan tersedia untuk dia nikmati. Kalaupun aku tidak memasak kerana kepenatan, Izz Amir akan membawa sahaja kami berdua keluar berjalan sekitar Paris. Iya, dia memahami. Adakala juga berdiplomasi dalam banyak perkara. Peranan sebagai suami dan isteri itu selalu Izz Amir titipkan selepas selesai solat Isya’ berjemaah.

Beg dan salinan borang kemasukan Izz Amir ke Le Cordon Bleu aku ketepikan. “Okey. Minum susu banyak. Letih. Rasa tak larat nak puasa.”

“Boleh berbuka kalau Yaya tak larat. Nanti gantilah.”

“Nak menggantinya itulah. Tapi kalau masih boleh tahan..isteri abang akan tahan. InsyaAllah.

Izz Amir rapatkan kepala ke dinding. Mendongak dan menutup mata. Nampak penat sungguh dengan tugasnya sebagai seorang cef di La Rose Du Kashmir. Izz Amir sudah naik pangkat. Kenaikannya tepat sebulan selepas kelahiran Izz Ashfan. Aku menarik chef jacket milik suamiku. Baunya ya Allah. Memang inilah dunia kulinari. Bau entah bercampur aduk dengan segala makanan yang dimasak. Tompok-tompok kari, lauk pauk dan entah apa-apa pastinya menjadi lakaran di atas baju berwarna putih ini.

Baru sahaja mahu membangunkan diri, jemari ini ditarik Izz Amir. “Yaya…”

“Ya abang.” Punggung kembali terletak. Betul-betul kini di sebelah Izz Amir. Dia membuka mata. Menoleh merenung aku yang hanya menanti perbualannya.

“Yaya okey kan kalau kita tangguhkan sekejap masa untuk balik ke Malaysia?” Nadanya rendah sekali. Dia bawa bola matanya menyeluruhi wajah ini. Jemari runcing Izz Amir terus membetulkan rambut aku yang jatuh ke dahi ini.

Angguk. Aku memahami. Tidak akan ada lagi proses memujuk Izz Amir. Kerana jawapannya telah ada dan terbukti kini. Salinan borang kemasukan Izz Amir aku capai. Menayangkannya di depan Izz Amir. “Abang kena habiskan kursus kat LCB dulu. Tambah lagi enam bulan. Then lagi setahun baru kita balik.”

Dia senyum. “Terima kasih sayang. Terima kasih.”

Aku sengetkan bibir. “Terima kasih saja?” Jungkit kening kanan.

“Aik?” Dia terus menarik aku ke dalam dakapannya. Untuk beberapa minit, fikiran terasa lapang dengan jalinan kasih sayang dari Izz Amir.

Iya, inilah Izz Amir yang aku sayang. Inilah Izz Amir yang semakin hari menebarkan cintanya ke seluruh jiwa dan raga. Aku dan dia. Kini sudah bertiga. “Tapi kan, kalau dalam tempoh tu tetibalah kan…cik yaya sayang mengandung anak nombor dua abang kan….kita duduk lah lagi sini sampai mamanya bersalin!”

“Abang!!!!” Aku sudah menjerit. Terus menolak dakapannya dan dia ketawa sampai naik merah pipinya.

Izz Amir mengangkat keningnya juga. “Apa-apa? Betul apa abang cakap ni. Abang nak anak sebelas orang. Ni baru seorang. Cef Richard tu, setiap tahun satu. Abang baru tanya dia macam mana nak jadi bapa yang komited melahirkan anak-anak cergas setiap tahun!”

Aku terus mencubit-cubit pehanya. Ketawa Izz Amir semakin rancak. Gegendang telinga terasa nyaman.

Petang Ramadhan ini, rumah tangga kami indah seperti biasa. Guraunya dan senyumannya. Selang setengah jam sebelum berbuka, Izz Amir selepas merehatkan diri terus ringan tulang membantu aku menyiapkan hidangan berbuka kami berdua.

Sambil Izz Amir membancuh teh tariknya. Dia angkat kening dan sempat dia mengusik aku, “Hei..cik Yayalah isteri paling beruntung tau.”

Aku cekak pinggang. Membalas renungannya. Sambil menyusun murtabak arab di dalam pinggan, aku tersengih-sengih. “Untung? Apa yang untung?”

“Dapat suami soleh.”

“Erk?”

“Suami handsome macam abang….” Nadanya rendah sahaja.

“Iyalah tu..”

“Dapat suami gagah perkasa.” Izz Amir sengih. Sengetkan bibir, “Err…gagah dalam erti kata sebenarnya ialah rajin..hahaha.”

“Eeee..mengada.” Tengoklah tu. Ada-ada aje Izz Amir ini.

“Dapat suami baik hati dan sedap mata memandang. Kan? Kan?”

“Tak kuasa nak layan!” Aku jelirkan lidah. Izz Amir ketawa terbahak-bahak. Sampai Izz Ashfan di atas tilam comel berbunyi-bunyi suaranya mengikut rentak ketawa papanya.

Bahagia. Tapi kalau melihat wajah Izz Amir, sebenarnya ada sesuatu yang sedang dia fikirkan. Aku mengerti, lebih mendalami isi hatinya nan satu itu. Mahu bertanya lebih, dia sudah berulang kali mengingatkan. Hingga akhirnya soalan aku ini beberapa bulan yang lalu langsung tidak dijawab oleh dia, ‘Kita balik Malaysia nanti abang bawa Yaya jumpa umi ya. Raya tahun ni. Okey?’

***
3 hari sebelum Aidilfitri. Entah apa gila kerana tak pernah dibuat oleh aku ini. Aku menggeledah beg galas Izz Amir. Sumpah tidak pernah aku sebagai seorang isteri memunggah dan memeriksa beg suami sendiri. Satu sahaja di dalam minda. Manalah tahu kot kot, ada tiket kapal terbang dari Paris ke Malaysia. Tapi hampa. Tidak ada. Langsung tidak ada.

Dengan harapan Izz Amir bikin surprise. Tapi hmmmm. Aku renung kalendar. Musim panas di Paris kali ini benar-benar berlainan. Meski sudah tiga tahun berhari raya di sini, tetapi tahun ini sebenarnya tahun yang memeritkan selain memenjarakan rindu kampung halaman sendiri. Paling penting, hajat aku untuk membawa pulang Izz Amir menemui umi juga menemui jalan buntu.

Siang di Paris bersama Ramadhan yang panjang. Siang di Paris sekali sekala membawa kenangan cinta kami yang sentiasa terpahat dalam ingatan. Whatsapp dari Zana, memberi teman. Ashfan si comel dah bangun tak? Aunty ada belikan baju baru ni. Untuk hari raya!

Udah-udahlah tu Zana. Dah penuh satu almari ni. Mengalahkan baju mama dan papa dia pulak.

Ah…kau dan Izz Amir diam. Jangan sibuk-sibuk. Ke kau jealous sebab aku tak belikan kau baju baru? Hihi.

Aku sengih. Mengukir senyuman dan hari ini si kecil nampaknya lebih baik. Lebih tidurnya dan dapatlah si mamanya ini mengemas apa yang patut untuk Aidilftri tahun ini. Aku mengukir senyuman. Pesan ibu terngiang-ngiang di telinga. Khabar yang Fatin bawakan untuk aku sudah mencukupi mengalas beban rindu.

Yaya dah dewasa. Dah jadi isteri orang pun. Ibu pesan lagi, udah-udahlah tu memujuk encik suami tu balik Malaysia. Duduk sana ajelah. Kami kat sini okey-okey. Hari-hari mendoakan kak long kat sana tu. Janganlah sedih sangat. Dah macam belacan aje mukanya tu.

Wall facebook terus jadi perhatian ramai. Berbalas-balas komen. Paling seronok bila mengemaskini gaya terbaru Izz Ashfan dan kami berdua dengan memakai sut lengkap cef. Bergaya juga Izz Ashfan dengan topi cefnya sekali. Haha. Habis satu Malaysia memberi komen. Kalau tak Fatin, mesti Lily atau Melati. Kawan-kawan lama di Mama Mei Café dan bekas pekerja Pai Epal Café pun turut sama teruja. Cef Ng, Cef Rita, Cef Fikri dan Cef Ridzuan pun merakamkan rasa gembira.

Rita bukan Rudaini - Sampai sekarang, macam tak percaya yang kau orang kahwin. Akhirnya kan. Anak kau handsome sungguh, cef!

Chef Fikri – dah campur yaya dgn cef Izz, mestilah anak dia handsome. Rita ni ntah apa-apa.

Melati Malik– Oi oi. Bila nak balik Malaysia. Aku nak cium pipi anak korang sampai lunyai.

Laily Idayu – cis. Kau dah ada anak satu. Aku aje tak kahwin-kahwin lagi. Menyesal aku tolong adsjutkan cef Izz kat kau Yaya. Tapi serius, comelnya anak kau Yaya.

Cik Yaya Sayang – sampai hati semua. Rindukan Izz Ashfan aje. Semua tanya fasal dia. Fasal aku, tak ada pun. Ah, nangis

Melati Malik – ahahaha. Emo lagi la tu

***
Iya, mencintai dia bermakna aku harus memahami isi hatinya. Kepiluan jiwanya yang satu itu. Resah hatinya dan juga kerinduan dia kepada umi.  

Aku tahu, saban malam yang sunyi itu, dia akan menadahkan tangan. Memohon ampun kepada Tuhan atas tindakannya mengenepikan umi untuk memilih aku sebagai isterinya. Kalau aku mendengar doanya, air mata aku perlahan-lahan menitis haru. Terampunkah dosa kami melupakan umi dan dapatkah kami restu dari umi itu? Kalau juga aku mendengar mimpinya menyebut nama umi dan aku yang terjaga, air mata ini juga yang menjadi teman. Aku kesat-kesat air mata Izz Amir.

Iya, Aidilfitri tahun ini sebenarnya aku mahu membawa Izz Amir pulang menemui umi. Tetapi aku tahu, hati lelakinya yang keras itu menidakkan. Minggu pertama Ramadhan, Izz Amir demam panas. Sudah lama selepas pemergian arwah Adnan dia tidak sakit seperti itu. Iya, aku tahu, demamnya itu kerana dia merinduikan umi dan arwah papanya. Sampainya hati aku kan? Sampai hati aku kerana memisahkan kasih sayang seorang anak dan uminya sendiri. Akukah yang bersalah? Akukah yang harus diberi balasan kerana menjarakkan mereka berdua? Akukah?

Detik ini, tulisannya di dalam diari kecil terus menenggelamkan aku dengan hiba yang berlanjutan.

Mimpi lagi. Entah apa, umi datang memanggil. Dengan air mata. Rindunya. Kalau umi tahu yang aku rindukan dia sebegini, apa rasanya ya.

Umi… Izz  cuma ada gambar sebagai kenangan kita. Umi….mahu sangat Izz memeluk tubuh umi itu. Umi sihatkah? Umi bagaimana di sana?
Umi..Alhamdulilah, umi pun dah bergelar Opah. Izz Ashfan anak kecil kami miripnya wajah isteri Izz. Tapi  kan umi, mestilah kacak bergaya macam papanya. ;) Umi nanti, bolehlah memeluk cucu umi. Bolehlah juga umi belikan sepasang baju untuk anak kami ini. Umi…doakan Izz  berjaya di sini. Doakan juga kami suami isteri bahagia sampai syurga. Dalam doa, setiap hari nama umi sentiasa Izz pahatkan. Izz ingat sampai bila-bila pesan umi. Izz ingat, yang jasa umi itu terlalu banyak tak mampu dibalas dengan apa-apa harta.

Umi..tidakkah ada ruang rindu dan kemaafan untuk Izz di sini? Umi..tidak ada jugakah sedikit belas untuk kami di sini? Umi..tidak mahukah lagi melihat wajah anak kesayangan kamu ini?

Umi….Izz rindukan umi. Izz rindu sungguh.

Aku kesat air mata. Menutup diari kecil dan mampirkan tubuh ke katil yang telah tersedia. Aku betul-betulkan gebar yang menutupi dada Izz Amir. Aku usap-usap dahinya yang berkeringat. Malam terasa panjang. Malam terasa begitu mengasingkan aku dari kasih sayang seorang ibu mertua. Ah – tiba-tiba aku terasa syahdu.

“Umi…” Bibir Izz Amir bergerak-gerak lagi. Kepalanya ke kiri dan ke kanan. Bagaikan bersama sebuah mimpi yang entah apa bentuknya. “Umi…..” Panggilnya sekali lagi.

Aku terus menarik jemari Izz Amir. Menggenggam seerat mungkin. Padu. Hening. Dahi Izz Amir terus berpeluh-peluh. “Abang…”

“Umi…bangun umi. Bangun umi!” Suaranya menghantar pilu di hati. Ah, air mata aku gugur lagi.

Izz Amir terus meracau-racau. Mata masih belum terbuka. Masih kuat terpejam meski kini aku cuba menyapanya. “Umi..bangun umi..bangun. Izz datang ni umi!!”

“Abang…bangun abang.” Aku sapu dahinya. Berkali-kali mengelap peluh di dahi Izz Amir. Jemari aku ditarik-tarik. Sepuluh saat berlalu dan dia membuka mata. Izz Amir terus bangun dari baringnya. Menarik aku ke dalam dakapannya. Semuanya berlaku dengan pantas. Sekelip mata sahaja Izz Amir menghambur mimpinya di bahu ini.

“Umi..umi!” Suaranya keras lagi.

“Shh…iya abang. Iya. Umi ada. Umi sihat kat Malaysia.” Aku mengusap-usap belakang badan Izz Amir. Memberikan rasa nyaman untuk Izz Amir yang sedang bergelut dengan entah igauan apa. Tetapi iya, aku tahu. Izz Amir merindui umi. Sama seperti aku yang merindui ibu dan Fatin. Aku tidak mungkin menidakkan ikatan darah antara mereka meski aku tahu yang umi sampai bila-bila membenci aku. Aku kesat air mata yang membasahi pipi.

Malam terus berlabuh dengan rasa syahdu. Izz Amir terus lena dalam dakapan aku. Perlahan-lahan, aku membaringkan semula suamiku. Mengesat air matanya yang berbaki. Peluh di dahinya aku kemaskan juga.

“Shh…umi sihat. Umi sentiasa doakan kita. Umi sentiasa doakan abang juga. Tidur ya.” Izz Amir sudah seperti si kecil yang perlu dilenakan. Beberapa hari sebelum aidilfitri ini, anak-anak di perantauan seperti kami…mana mungkin dapat mengelak dari berbicara mengenai erti rindu dengan keluarga. Mana mungkin juga dapat kami mengelak untuk merindui musim-musim di Malaysia. Panas, hujan, kering, berangin dan musim buahnya. Ah – semuanya dirindui. Mana mungkin juga aku boleh membohongi diri sendiri mengenai sisi hati lelaki di depan mata aku ini. Izz Amir merindui umi. Izz Amir sebenarnya sedang berperang melawan rasa hatinya yang ego itu.

Apa tindakan aku sekarang ini untuk menyatukan umi dan Izz Amir? Apa yang perlu aku buat?

***
“Kita masak lebih tau.” Izz Amir letakkan semua barang-barang basah di atas meja.

“Ishh..banyaknya.” Aku menengok-nengok segala barang yang tersedia. Hadiahkan senyum untuk Izz Amir.

“Abang jemput kawan-kawan datang makan. Lepas solat sunat, semua orang akan serbu rumah kita!”

“Waaa..ada nasi impit. Kita boleh buat rendang. Tambah menu lain, nasi minyak. Abang buat ayam masak merah okey? Cik Yaya nak buat sambal kacang. Manalah tahu boleh poskan ke Malaysia ke. Hihi.” Aku sudah teruja menikmati segala menu yang tersedia dibeli oleh encik suami.

Izz Amir cubit pinggang. “Eeee…kalau pos kuah kacang, sampai kat Fatin keluar ulat besar.”

“Eleh, jealouslah tu!”

“Iyalah, dialah ada adik sayang dia tu. Sangatlah kan!”

Usik mengusik berlanjutan.  Sambil sibuk menyiapkan hidangan untuk berbuka puasa dan juga menu khas menyambut aidilfitri. Rasa sekejap sungguh memproses diri dengan bulan tarbiyah ini. Rasa terkadang amat payah menyantun diri dengan istiqamah yang telah dijalani. Takut kalau selepas berakhirnya Ramadhan, aku lupa dan lalai dengan amanah sebagai seorang hamba Ilahi. Titip Izz Amir lewat malam kelmarin, “Apa yang kita buat di dalam bulan Ramadhan ni, kita istiqamah sama-sama. Baca Al-Quran meski satu hari sehelai pun memadai. Lebih banyak lagi bagus, kan? Haa..solat pun kena awal waktu.”

“Ramadhan itu bulan tarbiyah. Tapi lagi indah bila tahun ini, kita susuri ia bersama-sama. Alhamdulilah, sebab Allah pinjamkan abang dekat di hati Yaya untuk kita sama-sama perbaiki diri.” Aku mengukir senyum. Memandang Izz Amir yang sedang memandang aku dengan  sepenuh jiwa.

***

Takbir bergema. Langit kebiru-biruan. Angin segar memeluk diri. Udara kian nyaman berpaksi dengan penuh rahmat kepada Tuhan yang Menciptakan. Kemenangan kini telah Allah ganjarkan. Aidilfitri disambut penuh sederhana di sini. Pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian di sekitar Paris turut sama menjadi keluarga. Sukar sebenarnya mencari pelajar berbangsa Islam dan dari Malaysia di Le Cordon Bleu. Hanya segelintir sahaja pelajar yang berbangsa Islam dan ini memudahkan kami untuk bertemu selepas sembahyang berjemaah di Grande Mosquee De Paris.

Rakyat Malaysia yang menginap di Paris sama-sama menyambut aidilfitri di sini. Saat ini, tidak aku tangguhkan. Kalau yang baru berkenalan, diajak sama-sama untuk menikmati jamuan makan di rumah kami. Yang sudah lama berkenalan, makanya ini tempoh sesuai untuk memanjangkan proses silaturrahim.

Aku bahagia. Kalau mahu meletakkan rasa rindu, sebenarnya sudah berganda-ganda banyaknya. Tetapi nikmatnya lebih lagi dikau beri kepada aku, Ya Allah. Detik bahagia paling berharga pagi aidilfitri ini, ialah ditemani sang suami. Tambah menarik, kerana hadirnya Izz Ashfan sebagai peneman kami. Juga bukti cinta kami ini semakin pandai bergaya sakan dengan hadiah-hadiah pemberian teman-teman.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri anak ibu!” Sahut ibu di hujung talian. Aku senyum sahaja sambil berjalan kaki menuju ke Metro. Izz Amir sedang sibuk menolak Izz Ashfan dengan stroller pemberian dari sahabat baiknya, Hyung. Kami bergegas balik ke rumah untuk sesi bermaafan dan makan-makan dengan teman rapat dan jiran. Sesekali aku menjeling Izz Amir yang lengkap berbaju melayu. Ronanya ungu muda. Sama juga sedondon dengan Izz Ashfan. Aku semestinya bergaya sakan dengan baju kurung Pahang sama warnanya dengan Izz Amir hasil jahitan kak Maimon. Jaket kulit berwarna coklat tersarung dan tudung yang aku lilit sederhana ini menyerlahkan lagi penampilan aku.

Pagi-pagi lagi, Izz Amir sudah mengusik. “Cantik!”

“Eh..mestilah. Isteri abang mesti cantik.”

“Selamat hari raya ya ibu. Maaf zahir dan batin.” Ucapku sambil melenyapkan kenangan pagi tadi. Perbualan dengan ibu lantas menyambung rindu. “Ibu..rindunya kat ibu.”

“Masak apa, Yaya? Ish…ibu ni lagi rindu dengan kak long. Cucu nenek tu kat sana sihat tak?”

Aku senyum. Mengesat air mata yang tiba-tiba mengalir. Suara Fatin di hujung talian kedengaran. Aku tahu, Fatin sedang duduk di sebelah ibu sambil menanti untuk berbual pula bersama dengan aku. “Macam-macam ibu.” Kaki terus berayun. Izz Amir sesekali menjeling sambil tersengih-sengih. “Ada nasi impit. Rendang kerang. Kuah kacang yang ibu suka pun kak long ada masak. Kami masak nasi beriani dengan ayam masak merah. Siap ada kual dalca sekali. Cef Izz yang masak. Hihi.” Ah – aku mengundang ketawa untuk diri sendiri.

“Banyaknya anak ibu ni masak. Bolehlah ibu datang berhari raya kat sana ya.” Ibu suaranya ceria sahaja. langsung tidak terusik dengan hiba yang sedang mengetuk pintu hati.

“Jauhlah ibu. Tapi seronoklah kak long kalau betul-betul ibu dan Fatin beraya kat sini. Haaa..cucu ibu ni sihat sangat-sangat. Makin semangat. Makin nakal! Nanti dia balik Malaysia, dah besar pun.” Aku menoleh menjeling kelibat suami yang tekun mendengar perbualan ini. Air mata sudah kering. Aku menengadah mata melihat kaki langit yang cantik. Pokok maple, daunnya masih segar. Cuaca yang sedikit kering di sini, malah memberi satu aroma entah apa di jiwa. Rasa segar meski kadang-kala ruang di kota Paris ini sentiasa penuh dengan para pelancong asing.

“Cepatlah bu…bagi Fatin pula cakap dengan kak long.” Suara Fatin mengasak ibu.

Aku ketawa. Memerhati kelibat dua orang kesayangan di sisi. “Ibu, dah sampai rumah nanti kak long telefon balik ya. kami nak turun ke bawah ni. Nak angkat stroller si bujang cucu ibu ni.”

“Haaa ya ya. Ibu tunggu. Baik-baik jalan tu kak long. Fatin ni tak sabar sangat nak berbual. Entah apa lah nak dicerita lagi. FB sudah, wechat sudah…tak habis-habis nak berborak.”

“Syoknya orang tu ada emak.” Izz Amir sengetkan bibir. Aku terus mendukung Izz Ashfan sambil Izz Amir melipat stroller untuk di bawa turun ke bawah. Selepas matikan talian, kami tergesa-gesa pula turun ke bawah.

Aku renung wajah suami. Jawapan aku perlu menutup resah dan kerinduannya juga kepada umi. “Kita sama-sama ada emak. Abang ada umi. Sayang ada ibu. Kita kat sini, mendoakan kedua orang tua kita sama-sama. Itu mencukupi untuk memadam rindu kan?”

Izz Amir mengangguk. Dia mengusap kepala aku dan kami sama-sama turun ke Metro. Laungan takbir kemenangan terasa meresap-resap ke dalam jiwa bila dalam perjalanan ini, Izz Amir sudi melaung-laung sederhana ungkapan penuh keramat itu.

Apa lagi boleh aku ungkapkan. Apa lagi boleh aku bicarakan dan rumuskan. Bila sahaja kaki aku melangkah masuk ke dalam rumah kecil kami di Rue Dutot. Aku terpaku. Hiba sampai mengalir-ngalir air mata ini.

“Selamat hari raya aidilfitri kak long!” Fatin berdiri sambil tidak sabar untuk memeluk aku. “Kak long, cepat sini…peluk Fatin. Ya Allah. Dah tembam sikit kak long aku ni! hahaha.” Fatin menjerit-jerit minta perhatian. Air matanya aku lihat mengalir-ngalir. Rindu sungguh Fatin.

Aku cekakkan pinggang. “Ni tembam sebab Izz Ashfan tau! Hahaha.”

“Anak ibu…”Suara yang paling aku rindui sekali mengetuk gegendang telinga. Tubuh kurus cengkung ibu berdiri di depan ruang dapur. “Ibu datang berhari raya kat Paris ni. percaya tak?”

Ah – aku ketawa. Bukan lagi bertangisan. Terus meluru mendapatkan ibu dan Fatin. Memeluk mereka yang aku rindui ini puas-puas. Mencium pipi ibu dan Fatin bagaikan terlupa yang suamiku sedang memerhati.  Berbual seadanya siap request kat ibu, “Ibu, buatkan kak long sambal belacan ya. Dah lamanya tak makan air tangan ibu. Sambal belacan pun bolehlah.”

“Ah..mengadanya dia. Suami kan cef. Suruhlah encik suaminya buatkan.”

Bahagia. ketawa. Aidilfitri tahun ini terasa lengkap sempurna. Aku segera menyiku perut Fatin dan gelak ketawa sekali lagi menghiasi ruang tamu rumah kecil kami ini.

Ohh, kejutan apakah ini? Terus sahaja aku mendapatkan kembali suamiku. Izz Ashfan segera didukung oleh Fatin. Rumah sudah riuh rendah. Sambil tersenyum-senyum tangan ini terus memeluk pinggang Izz Amir

“Cik Yaya sayang belum minta maaf minta ampun lagi ni. cepat…” Dia menarik hidung aku.

Aku terus sandarkan kepala ke dadanya. “Terima kasih. Eeee…surprise sungguhlah! Haha.” Aku angkat kepala. Kembali memeluknya. “Iyalah, cik Yaya memang datang ni nak minta maaf minta ampun banyak-banyak.”

Tubuh aku dipeluknya juga. Kemas sampai terlupa dengan kehadiran ibu dan Fatin. “So, kena ada hadiahlah untuk abang. Bolehlah abang request seminggu empat kali!” Bisiknya.

Aku mencebik. “Apa empat kali?” Mengerti maksudnya yang bukan-bukan itu. Amboi, kepala asyik fikir ke lain sungguh Izz Amir ni.

Pipi Izz Amir sudah merah. “Tak…seminggu empat kali buatkan abang ikan siakap tiga rasa. Sup sayur campur sekali jangan lupa.” Izz Amir ketawa. Memang sengaja mengubah topiknya sebab aku tahu kehadiran Fatin dan ibu ini buat dia malu-malu mahu bersikap jujur. Eleh, kemain lagi Izz Amir ni.

Sudahnya, aku mencubit perut Izz Amir.

Sesi bermaafan melengkapkan aidilfitri aku tahun ini. Aidilfitri kali ini ditemani ibu, Fatin dan suami aku yang tersayang. Tambah manis, kerana kehadiran Izz Ashfan yang sentiasa menjadi perhatian sesiapa di sini.

Rakan-rakan aku, teman-teman Izz Amir datang meraikan hari penuh mulia dan berkat di rumah kami. Zana, Alisa dan Chin turut sama teruja dengan setiap momen dirakamkan di kamera milik suamiku.

Paling terkesan, bila ibu ada di sisi. Paling menyeronokkan kerana suamiku rupa-rupanya memberi hadiah paling bermakna untuk diri ini. “Selamat hari raya aidilfitri abang. Ampunkan segala salah dan silap Yaya selama ini. dari hujung rambut sampai ke hujung kaki.”

Dia gelengkan kepala. Kenangan beberapa minit tadi berlabuh di hujung minda. Aku pandang suamiku yang sedang membetulkan kamera miliknya. Meski rumah sedang dipenuhi tetamu tetapi aku perasankan wajah mendung suamiku ini. Suara Izz Amir menggamit lagi. “Cik Yaya sayang abang ni, tak pernah ada buat salah dan silap. Hari-hari abang redha. Selamat hari raya juga. Ampunkan salah abang kalau selalu buat kesayangan abang ni merajuk ya. Kita cinta sampai ke syurga ya.”

Ah – akhirnya aku memeluk tubuhnya. Tanpa segan dengan Fatin yang tersenyum-senyum memerhatikan kamai berdua.

Wajah Izz Amir terus aku renung. Meski kini dia sedang berdiri melihat kamera. Musim panas di Paris kali ini dia berikan aku hadiah paling bermakna untuk diri. Izz Amir malah telah menempatkan dirinya di hati paling dalam ini. Izz Amir ini, lelaki yang cintanya untuk aku bertahan meski rumah tangga ini ada badai dan sedikit gelora.

Di luar, langit terus berwarna biru. Awan bercorak cantik. Angin berputar dengan nyaman menghantar rasa indah di jiwa. Sehari menyambut aidilfitri dengan penuh rasa syukur. Bahagia menghambat diri. Jam lantas berlalu dengan suasana riuh rendah. Hari terus beranjak dengan penuh berharga.

Tetapi malam indah kami hari ini tiba-tiba dipagut sayu. Izz Amir berdiri sambil meletakkan telefon. Dia pandang aku. menelan air liur dan halkumnya bergerak-gerak. Air matanya mengalir di pipi. Aku kehairanan. Penuh debaran. Bibir Izz Amir bergerak-gerak. “Kita balik Malaysia. Sekarang.”

“Abang? Kenapa ni?”

“Umi. Munir beritahu umi dah nazak.”

*********************
Sambungan seterusnya hanya di dalam Mrs Pai Epal. InsyaAllah. Selamat hari raya adilfitri kepada semua pembaca yang saya sayangi. Maaf Zahir & Batin. Segala kekurangan entry, layanan atau apa sahaja di laman blog ini dan di group mahupun page Mr Pai Epal. Selamat pulang ke kampung dan kawal pemakanan. Kita jumpa selepas seminggu aidilfitri ya.

Terima kasih kerana menjadikan Mr Pai Epal sebagai koleksi. Terima kasih kerana penantian anda untuk Mrs Pai Epal. Saya sayang semua!

17 ulasan:

  1. Tanpa Nama6/8/13 11:55

    i love you mardihah. hahaha. suka-suka.
    ni kena tunggu mrspaiapple lah ya?

    BalasPadam
  2. Tanpa Nama6/8/13 12:20

    Dah nangislah akak. Kshan izz amir. Ya Allah.

    BalasPadam
  3. idarohaina6/8/13 12:21

    best...tak sabarnya mrs pai epal. selamat hari raya cik mardihah

    BalasPadam
  4. Aduhh..tang klimaks plk mardihah berhenti..takpe takpe kita tunggu mrs pie epal plk..jgn lm lm tau..
    Slmt hr raya aidilfitri...

    BalasPadam
  5. Aduhh..tang klimaks plk mardihah berhenti..takpe takpe kita tunggu mrs pie epal plk..jgn lm lm tau..
    Slmt hr raya aidilfitri...

    BalasPadam
  6. Aduhh..tang klimaks plk mardihah berhenti..takpe takpe kita tunggu mrs pie epal plk..jgn lm lm tau..
    Slmt hr raya aidilfitri...

    BalasPadam
  7. sedey....huhuhu...br nk layan emo dh kena stop....
    x sabar nk tunggu mrs. pie epal...hopefully boleh bc this year jugak... :D

    BalasPadam
  8. Love you 14 juta kali sis!!!
    Terima kasih untuk entry istemewa Mr.Pai Epal... #^_^

    BalasPadam
  9. Tanpa Nama6/8/13 18:13

    Best... merajuk... sedih... happy....sayu semula....

    BalasPadam
  10. Sayang akak...muahhss

    bestnya cerpen nie..x sabr nak miliki Mrs Pai epal lak...apa jdi dekat umi Izz Amir ek?...sian kat Izz...

    btw, selamat hari raya akak..ampun maaf dipinta sepanjang kita berkenalan di fb..:)

    BalasPadam
  11. huaaa...ini sgt bagussss! hehe..kategori bagus 14 juta ni! ok--ok..dhuha akan tunggu mrs.pai eal tu! cik mardihah takyah la tidur malam,ek? siapkan aje manuskrip tu..hahaha..ini kejam tahap 14 juta.. Selamat hari raya..utk cik mardihah,yaya,izz dan family yg terlibat juga..

    rasa nak print aje n3 ni dan tampal kat belakang novel mr pai epal..boleh baca selalu.. hik hik hik...thanks,yaarrr?

    BalasPadam
  12. apapun terbaik kak diha. kita dah baca mr pai epal dan x sabar nak tungu mrs pai epal pulak. cpt2lah siapkan ya. kita nak sayang izz amir dan cik yaya.

    BalasPadam
  13. Tanpa Nama27/8/13 15:09

    Bru abes bc mr pai epal..... Huhuhu x sabar nk tunggu mrs pai epal..

    BalasPadam
  14. Tanpa Nama29/5/14 11:21

    Tak sabarnyaaaaaaaaaa . Cepat cepat siap novel mrs pai epal ni tau kak . Goodluckkkk ;)

    BalasPadam
  15. Aduhai... Tak sabarnya mrs pie apple

    BalasPadam
  16. Wahhhh syoknya.ishhh tak sabar pula rasanya nk tggu mrs.pai epal nie...haaa sambil baca lagi mr. pai epal berangan plak.hahahah penangannya sampai boleh bygkn sendiri.pehhh.suka suka sukaaaa

    BalasPadam