Pages

07 Januari 2012

Mr Pai Epal 14

Mengubat rindu semua dengan sambungan Mr Pai Epal. Yeah! Senyum comel-comel dan puas hati dengan sambungannya kali ini. Doa saya semua sihat-sihat okey? Peminat Yang Terindah, beri laluan dulu untuk Mr Pai Epal. Peram rindu banyak-banyak dekat uncle Adib, mama Fifi dan Fifi okey?




Salam comel-comel semua! ^___^


lmh3




“Awak ni kelakarlah Yaya!” suara lelaki kacak itu melantun-lantun dalam fikiran. Aku tersengih geli hati memandang skuterku yang sedang aku basuh. Bermain dengan air dengan penuh perasaan. Menyabun dengan sepenuh rasa dengan perasaan yang berbunga-bunga. Yaya, Yaya ! Aku geleng kepalaku.

Kain buruk bersatu lagi di jemariku. Baldi dan air sabun kini bersama. Miss MJ Unguku harus dibasuh hari ini selepas berdaki dan berpeluh-peluh ke sana ke mari. Miss Mj Ungu juga harus nampak berkeyakinan dan cantik di mata dia. Ceh ! Juga berkilat dan wajib direbondingkan !

Suara dan wajah lelaki itu sekali lagi mengganggu rasa hati ini. Meski aku cuba tersenyum namun kenangan itu semakin melagukan muzik kesedihan untukku. Ya, entah kenapa aku rasa, lelaki itu semakin menampakkan wajah mendungnya di mataku.

Kenangan itu terlayar lagi di ruang mindaku. Hari bahagia dan ia kenangan kami berdua. Juga janjinya kepadaku. Dan keikhlasannya jelas nampak bersama bola matanya yang bulat bagaikan guli itu! Wajah kacaknya dan senyuman menawannya. Yang selalu dan sampai bila-bila akan bermaharaja di hati ini. Sampai bila-bila. Itu sumpah dalam hatiku!

“Awak janganlah selalu nervous bila berhadapan dengan saya, cik Yaya sayang oi ! Buat saya macam Fatin atau kawan-kawan awak. Saya kan sahabat awak merangkap kekasih hati awak? Kan ?Kan ?”

Aku tersengih lagi ! Merangkap kekasih ? Bukankah ibu larang aku berkawan rapat dengannya. Apa maksud lelaki ini ? Kaki kami melangkah bersama. Izz Amir telah membelikan sepasang baju kurung siap dengan tudung baru di kedai butik paling mahal untukku. Oh, kenangan lagi dalam diariku. Kenangan indah lagi untuk aku ! dengan wajah terkebil-kebil aku menerima apabila dia menghulurkan sehelai baju kurung pahang.

Pilihan dia. Amat cantik !

Dan akhirnya baju kurung berkenaan tersarung kemas melekap dengan tubuh badanku. Izz Amir memeluk tubuhnya bersandar di dinding butik berkenaan dan tersenyum lagi. Menawan ! Aku jelirkan lidah dan dia tersengih memerhati. Beg kertas berisi baju kurung dan tudung yang penuh dengan lekitan aiskrim tutti frutti dipegang kemas olehnya.

“Nervous ? saya nervous ? Eh, tak ! tak ! ” aku gelengkan kepala sambil membetulkan tudung dan kami berjalan keluar dari kedai berkenaan. Konon, tidak mengaku dengan kenervousan diri sendiri. Dia tersenyum sambil matanya menjeling nakal.

“Sampai habis jatuh aiskrim yogurt awak. Tutti Frutti yang sedap pun terjatuh ke bawah. Habis baju kurung awak ni! Kena saya belikan awak sekali lagi aiskrim tu ! ”

“Oh, tuan buruk siku ! Dah belanja saya, mengungkit-ngungkit ! Bukan saya yang nak semula aiskrim tu, tuan yang belanja ! ” aku menjeling dan mencebik. Izz Amir tertawa! Ah, ketawa dia saja sudah pasti membuatkan jantungku berdebar-debar.

“Cik Yaya sayang oi, saya bukan mengungkit. Saya suruh awak jangan gelabah tak tentu hala lagi! Sampai habis baju awak semua kotor!” dia pandang aku dan kami berjalan lagi. Panas terik hari ini langsung tidak mengganggu perjalanan kami berdua. Seolah-olah ada awan mendung yang mengiringi. Juga ada angin dingin yang membalut tubuh badanku. Sejuk semacam rasanya.

Saya gelabah sebab awak! Sebab awak selalu kacau saya. Sebab awak selalu panggil saya, cik Yaya sayang, cik Yaya sayang. Bukankah gila namanya kalau jantung dan hati saya ini tak bergetar hebat? Bohonglah kalau saya kata, darah saya tak menyerbu ke muka ketika awak selalu kacau dan memberikan senyuman mahalmu itu? Sudah tahu bertanya pula! Amboi-amboi, Izz Amir!

Aku telan air liur. Izz Amir menghentikan kakinya. Dia menoleh memandang diriku. “Awak kata apa, cik Yaya sayang? Amboi?” matanya bulat memandang wajahku. Tetap manis wajahnya. Tetap mentraumakan sanubariku.

Erk! Macam mana pula dia dengar suara hati ini? Aku gelengkan kepala. “Eh, tak ada apa-apa. Saya memang ada keturunan nervouslah tuan ! Gelabah tu memang selalu ada.” Aku menipu! Sumpah aku tidak pandai memberitahu perkara sebenar kepada lelaki ini. Tentang rasa hati. Tentang rasa jiwa yang berbunga-bunga. Jantungku juga yang sudah pandai bermadah pujangga.

Izz Amir melangkah lagi. Aku turuti. “ Nervous sebab saya! Sebab saya, kan? Sebab hari ni saya temankan awak makan-makan dan belanja cik Yaya sayang saya ni. Kita berlari berdua macam dalam filem dan cik Yaya sayang saya ni memang sudah jatuh hati dengan saya, kan?” jawabnya panjang dan aku mendengar ketawanya. Dia masukkan jemarinya ke dalam kocek seluar sementara kakiku terhenti dengan tiba-tiba. Langkahku mati dan lelaki itu berjalan perlahan dengan ketawanya yang masih bersisa.

Jantungku berdebar-debar lagi! Dup dap dup dap!

Izz Amir lantas menoleh kembali. Berdiri di hadapanku. Beberapa meter yang menjarakkan kami berdua. “Come. Saya hantar awak pulang ke pajabat. Hari terakhir kita!” Dia sembunyikan wajah dan senyumannya. Nampak dia mengawal pernafasan. Betulkah aku sudah jatuh hati dengannya? Bukankah aku mengaku beberapa hari yang lalu bahawa aku jatuh hati dan terpelosok dalam daerah cinta dengan lelaki ini? Aku bermimpikah?

Aku dan dia. Dia dan juga ibu. Lantas, pesanan ibu segera menjerat naluri. Segera menghantar aku ke daerah paling sepi ketaranya. Tidak layakkah Yaya berkawan dan bercinta dengan lelaki sepertinya, ibu?

Eh, eh. Bukankah tadi dia katakan ini adalah hari terakhir kita ? Betulkah ?

-Yaya kan perempuan. Dia lelaki. Yaya kena jaga diri Yaya sebaik mungkin. Ibu bukan larang Yaya berkawan dengan dia. Tapi jauhkan diri.
+Ibu mahu lelaki yang macam mana untuk Yaya? Kenapa pula Yaya kena jauhkan diri dari dia, ibu?
-Yang menjaga solatnya dan baik budinya. Yang ada agamanya. Yaya kan perempuan. Dia lelaki. Islam dah gariskan banyak perkara kita untuk berhubungan. Apa pula kata orang nanti kalau nampak Yaya asyik selalu dengan dia. Walaupun dia lelaki yang baik, Yaya harus tahu kita ada agama. Ibu tak suka. Ibu kata ibu tak suka, ibu tetap tak suka!
+Menjadi yang baik seperti yang ibu mahukan itu, bukankah boleh dibentuk dan dipupuk?
-Jika dia mahu menjadi baik, dia harus mencari diri dan mengenali agama lengkapnya. Barulah kelak dia akan menjadi suami yang baik untuk Yaya.
+Huh!
-Yaya akan berdosa dengan Allah jika Yaya tak dengar cakap ibu!

Mataku masih terkebil-kebil. Mengingati perbualan antara aku dan ibu yang adakalanya membuatkan emosiku berbaur-baur!

Kami berdua berjalan perlahan dengan episod membisu. Tiada jawapan dari bibirku sehingga kami berdua berdiri betul-betul di hadapan tangga ke pejabatku. Bila aku melangkah ke anak tangga kedua. Aku menoleh memandang lelaki itu yang masih setia memerhati. Pesanan ibu lantas bergema dalam benakku. Angin dingin dan panas terik bersatu. Menyimbah hati.

Dia tersenyum.

Entah kenapa aku rasa sebak teramat sangat. Sebak dengan berbagai perkara yang sentiasa dia buat kepadaku. Sentiasa memberikan senyuman kepadaku. Memberi warna pelangi dan mencerahkan hari-hariku. Bukankah dia yang menemani aku di sebuah bukit indah itu dan sama-sama menikmati pizza hut? Dia juga yang menolak skuterku dan membayarkan perbelanjaan membetulkan Miss MJ Unguku?

“Baju kurung tu awak ambillah ya, cik Yaya sayang! Cantik bila awak yang pakai! Saya hadiahkan untuk awak.” Dia tersenyum. Aku angguk perlahan-lahan.

“Saya tahu, ibu akan marah!” jelasnya jujur.

Dia tunduk perlahan. Bibirnya pantas berbicara lagi, “Tapi saya ikhlas mahu berkawan dengan awak, cik Yaya sayang. Biar apa sekalipun terjadi, saya akan sedaya upaya belajar sedikit demi sedikit.”

“Belajar?” aku kurang pasti. Belajar apa?

Dia tersenyum lebih dari biasa. Menghantar satu persoalan dalam rasa dan jiwa ini. Kemudian dia mengangguk lagi. Suaranya perlahan dan tiba-tiba menyentuh sanubariku.

“Belajar solat, belajar jadi lelaki yang baik dan Al-Fatihah yang tersusun tertibnya. Kata ibu, saya harus menjadi lelaki yang faham apa itu agama sebelum mahu menyunting awak menjadi suri saya.”

Sebak. Aku pandang dia dengan wajah hiba. Benarkah pengakuannya ini?

Air matanya mengalir perlahan-lahan. Kenangan indah dan gembira akhirnya bertukar warna. Menjadi sesuatu di luar dugaanku. Lelaki ini mengalirkan air matanya hari ini. Aku terkedu.

“Terima kasih sudi luangkan masa keluar dengan saya pada hari ini. Terima kasih cik Yaya sayang. Selepas ni, saya janji saya tak akan ganggu awak lagi. Saya juga tak akan menghantar rasa hati saya kepada awak lagi. Sampai saya betul-betul berubah mengikut apa yang ibu mahukan.”

“Saya berani bersumpah dengan nama Allah bahawa saya berubah bukan kerana awak dan paksaan ibu. Tapi kerana hati saya. Kerana hati saya sejuk, mata saya tenang melihat wajah awak, cik Yaya! Dan saya baru faham dari mana datangnya ketenangan itu.”

“Ketenangan? Tuan, saya tak berapa faham!” Nafasku sedikit sesak! Mataku terkebil-kebil memerhati perubahan lelaki ini. Aku melangkah kembali setapak ke hadapan. Tubuh rasa melayang-layang dengan pengakuannya.

“Ketenangan itu saya telah beroleh dengan solat!” Ulasnya dan dia tersenyum. Jemarinya menyapu lekas-lekas air mata yang bertakung. Aku memberikan senyuman kepadanya. Memahami rasa hatinya dan aku sedar dengan siapa aku berdiri sekarang ini. Dia pemuda yang aku rasa dahagakan sesuatu yang baru. Iaitu agama. Dengan SMSnya yang pernah aku baca dan luahannya itu, maka kini aku sedikit mengerti. Memahami rasa dan perasaannya.

Jauh sekali untuk aku menolak persahabatan dengannya. Jauh sekali juga untuk aku menolak rasa cinta kepadanya. Semua kenangan dengannya aku simpan rapat-rapat dalam memoriku.

“Ibu tak akan marah kalau kita berkawan. Tapi perlu ada batas-batasnya. Tuan faham, kan?” rasa sebak dalam diri aku buang jauh-jauh. Aku tidak harus menunjukkan rasa kekok dengan luahannya sekarang ini. Aku harus membantu sekiranya dia memerlukan. Juga aku harus membuka peluang kepada lelaki ini sekiranya dia mahu merubah diri ke arah kebaikan.

Dia angguk. “Cinta jarak jauh!” automatiknya dia ketawa. Izz Amir pantas mengangkat wajahnya. Mahu aku segera naik ke pejabat.

“Cik Yaya sayang harus jaga diri baik-baik! Jangan gelabah selalu ya!” ucapnya perlahan.

“Awak…” aku panggil dia perlahan.

Dia tersenyum.

“Ya, cik Yaya sayang!”

Kami tertawa.

“Tuan Izz Amir boleh. Boleh berubah dan berjaya dunia akhirat! InsyaAllah! Saya doakan dan itu namanya pengorbanan!”

“Terima kasih cik Yaya sayang! Terima kasih. Ini pertemuan terakhir kita ya! Saya tahu ibu akan marah awak jika saya selalu usik-usik awak. Nanti saya akan sentiasa rindukan awak. Rindukan kenakalan awak dan senyuman awak. Jaga diri baik-baik. Saya akan sampaikan pesanan melalui Adnan nanti.” Jelasnya jujur.

‘Ini pertemuan terakhir kita ya!” dia menekan lagi perkataan itu.

Sementara aku terkebil-kebil lagi.

‘Saya tahu ibu akan marah awak jika saya selalu usik-usik awak. Nanti saya akan sentiasa rindukan awak. Rindukan kenakalan awak dan senyuman cik Yaya sayang saya ni. Jaga diri baik-baik. Saya akan sampaikan pesanan melalui Adnan nanti’.

Suaranya melantun beberapa kali. Ahh, aku menjadi sebak. Aku mendaki tangga dengan air mata yang terus jatuh dan terus tumpah. Mengalir-ngalir tanpa aku sedari.

“Cik Yaya sayang, doakan saya. Doakan cita-cita saya mengenali agama tercapai! Setiap hari, dalam solat, cik Yaya sayang harus doakan saya! Saya mahu jadi pemuda yang baik! Mahu memperisterikan wanita baik juga seperti awak!” jeritnya perlahan-lahan.

“Boleh untuk kali terakhir awak panggil saya dengan gelaran, Izz?” pintanya.

Aku terhenti. Pantas menoleh memandangnya yang sedang tersenyum di bawah. Air mataku entah kenapa mengalir perlahan lagi. Jujurnya lelaki ini. Kenapa dia berterus terang denganku?

Aku angguk perlahan-lahan. Aku tahu aku tidak akan berjumpa dengannya lagi. Kelak, aku akan keseorangan tanpa teman. Tiada sesiapa lagi yang akan memanggilku dengan panggilan, cik Yaya sayang, cik Yaya sayang! “Izz, terima kasih temankan saya makan.” Air mataku mengalir lagi.

Aku kesat lagi air mataku. “Izz, terima kasih belanja saya makan tutti frutti. Sampai tumpah dan terima kasih dengan sehelai baju kurung juga sehelai tudung yang mahal ini untuk saya.”

Banyak masa yang telah kami habiskan bersama-sama. Tanpa aku sedar, ia boleh menjadi sebuah buku dan dinovelkan. “Izz, terima kasih selamatkan saya dan berkejar-kejaran dengan saya.” Aku cuba tersenyum.


Dia juga. Lelaki itu angguk lagi.

“Izz, terima kasih menjadi teman saya dan kawan saya! Saya hutang awak betulkan skuter saya dan pasu pecah itu! Itu syarat yang harus saya lunasi. Hutang tetap hutang. Dan ini bukan pertemuan terakhir kita. Jangan rasa rendah diri. Awak lelaki yang baik, saya percaya!”

Bicaraku terhenti dengan aliran air mata. Lelaki itu memandang aku dengan senyuman mahalnya. “Terima kasih Yaya! Terima kasih!”

Saat itu juga, aku memalingkan tubuh badanku dan mendaki tangga dengan sepenuh perasaan. Berlari menaiki dan air mata akhirnya deras tumpah. Aku tidak mahu melihat wajah sedih dan wajah simpatinya.

Untuk kesekian kali, hati wanita ini tercuit lagi dengan keikhlasannya. Pengakuan dan penjelasannya. Tuhan, cukupkah aku sekarang ini menjadi wanita yang baik? Yang kelak akan Dikau anugerahkan pasangan yang baik juga untuk diri ini? Adakah dia lelaki yang tercipta untukku?

Air mata mengalir akhirnya. Tanpa paksa dan hujan membasahi. Selebat hujan di hati!

Kak Mahani, Kak Zabedah, Encik Sulaiman dan Osman Jelani melopong! Terkebil-kebil memandang aku!

Skuter di hadapanku aku lap penuh rasa syahdu. Ada air mata bergenang lagi tapi aku tahan-tahankan. Sehingga Fatin memanggilku lekas masuk ke dalam rumah. Kerana ada satu berita terkini yang mahu dia sampaikan kepadaku.

“Cepatlah masuk kak long! Yayasan Marjan ada temudugalah! Chef Daud letak iklan biasiswa!”

Dua tiga kali Fatin menjerit sehingga ibu sengaja membatukkan diri.

***

‘Umi selalu memperli saya, “Nak cari calon isteri kena yang baik, Izz. Tapi kita dulu kena jadi baik dan lelaki yang baik! Berbuih-buih mulut umi cakap, solat. Solat! Izz selalu buat tak tahu dengan apa yang umi cakap!”

“Izz akan jumpa calon menantu yang baik nanti untuk umi. Umi jangan risau-risaulah ya!”

“Baguslah tu. Perempuan mana entah mahukan dia! Setakat Jasmin yang terhegeh-hegeh dengan dia. Jangan haraplah. Umi tunggu dan nak tengok, siapa bakal isteri Izz tu. Hebatkah dia?”

Lantas, pesanan umi bagaikan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Awak tahu cik Yaya sayang, selalu terdetik di hati saya untuk mencari calon isteri yang baik dan sekurang-kurangnya bertudung dan comel macam awak! Hehehe.

Satu hari ketika saya membawa kereta volkswagen beetle saya. Eh, perlukah saya tulis jenama kereta saya di sini? Perlukan? Mendung dan saya fikir hujan akan turun dengan lebatnya beberapa minit lagi. Saya ternampak awak dan seorang wanita buta. Awak sedang memimpin ibu dengan bercerita keadaan sekeliling yang awak nampak. Saya keluar dari kereta saya dan mengekori awak perlahan-lahan. Entah saya tidak pasti kenapa tiba-tiba saya mengekori awak dan ibu waktu itu. Ia perasaan diri yang meronta-ronta mahu melihat dan tahu. Saya mendengar dengan teliti.

“Bu, langit nampak mendung. Warnanya hitam pekat. Seperti akan hujan!”

“Bu, ada banyak kereta lalu-lalang. Warna merah, warna biru, warna putih, warna kelabu. Van pun ada. Lori pun ada.”

“Bu, tanah yang kita pijak ini warnanya merah hati!”

Awak ketika itu terus memimpin ibu dengan penuh kasih sayang. Bersama sekaki payung sebagai teman. Hujan turun dengan lebatnya! Payung itu awak buka dan memberi teduhan untuk ibu dari dirinya ditimpa hujan. Waktu hujan lebat itu, saya melihat awak memayungkan ibu seorang sahaja.

“Yaya, payungkan sekali Yaya ya! Cepat kita pergi perhentian bas!”

“B..baik bu!” awak angguk tapi payung itu tetap awak teduhkan hanya untuk ibu sahaja. Awak berbohong dengan ibu.

Awak tahu perasaan saya ketika itu? Sayu dan sedih. Betapa awak menghargai kasih sayang seorang ibu dan meneduhkan ibu awak dengan sekaki payung itu sahaja. Dan awak kebasahan sehingga akhirnya kamu berdua berhenti di sebuah perhentian bas. Awak basah lencun dan terbersin-bersin!

Saya lantas teringatkan umi saya. Teringatkan pesanan umi yang selalu saya abaikan. Berkali-kali umi memberi pesanan tetapi ia bagaikan angin lalu sahaja.

Saya anak lelakinya yang degil! Anak lelakinya yang sentiasa dipesan-pesankan dengan perkara baik. Tetapi saya buat endah tidak endah. Saya kesedihan! Hiba! Dan berlari perlahan ke dalam kereta dan mencurahkan air mata saya kerana terkenangkan kebaikan umi. Juga terkenangkan kelembutan umi melayani karenah saya dan nasihatnya yang selalu tidak saya dengari. Saya kabur dengan kekayaan papa sahaja! Kabur dengan segala kemewahan yang saya ada. Atau, adakah saya takbur dengan Allah swt? Saya lantas menjadi takut dan kemudian saya menangis seorang diri di dalam kereta. Dan mata masih melihat awak dan ibu yang masih setia di perhentian bas. Hujan lebat menjadi saksi! Mata ini menangkap wajah awak, cik Yaya sayang. Menangkap cepat bibir, mata, kening dan hidung yang buat saya termimpi-mimpi selalu.

Saya tidak pasti kenapa hati dan perasaan saya ketika itu. Adakah saya jatuh cinta pandang pertama dengan seorang gadis yang memayungkan ibunya dari ditimpa hujan? Adakah awak gadis yang Allah turunkan dari syurga untuk mengisi hati saya? Juga saya sendiri tak pasti kenapa hati saya lantas menyebut mahu menjadi lelaki yang baik, lelaki yang patuh dengan arahan umi. Juga ibadat saya yang lama hilang dan tertinggal. Terkadang saya buat hanya atas arahan ibu dan terkadang saya buat-buat leka dan lupa.

Saya terkebil-kebil teringatkan umi. “Umi tunggu dan nak tengok, siapa bakal isteri Izz tu. Hebatkah dia?”

Pertemuan seterusnya saya dan cik Yaya sayang adalah di café saya. Pai epal café akhirnya membuatkan saya sedar, awaklah wanita yang dikatakan oleh umi paling tepat untuk saya.

Cik Yaya sayang, saya mahu bersihkan kedai saya. Pai epal café akan tutup awal hari ini. Mr pai epal mahu berehat-rehat dan mimpikan awak hari lagi. Nanti saya sambung lagi.

Izz Amir.

***



Aku pandang skrin komputer. Aku terdiam tanpa kata. Sebak pun ada ketika ini. Emel pertamanya kepadaku melalui facebook yang mengundang hiba. Kenangan dengan ibu itu pantas bersemi di dalam memori. Mengundang air mata yang perlahan-lahan keluar. Ibu, yang sentiasa menyayangi aku dan Fatin. Menjaga kami sehingga hari ini. Mungkin itu sahaja pengorbanan yang boleh aku lakukan. Jika mahu dikira pengorbanan ibu, ia terlalu besar nilainya dari aku kebasahan lencun ketika itu! Biarlah aku basah, dan ibu tidak akan nampak aku yang basah ketika itu. Biarlah aku terbersin berkali-kali. Tetapi ibu sihat tersenyum, itu sudah buat aku gembira berhari-hari!

Pertemuan kedua kami adalah ketika aku di pai epal cafenya. Aku cuba mengingati kisah berkenaan. Ya, aku ingat! Hampir pasti aku ingat pertemuan kami itu.

Apa lagi kisahnya yang aku tidak pernah tahu? Sihatkah Izz Amir hari ini?

06 Januari 2012

Penuh Luar Biasa



Ulasan seorang blogger, Engku Muzahadin, seorang pelajar dari Universiti Putra Malaysia mengenai naskah kedua saya : Andai Gerimis Berhenti! Blognya, Nakhoda Nurani siap ada bunga-bunga yang berguguran lagi! Cantik, macam salji bunga! ^___^ Lantas pagi-pagi lagi saya tersenyum, haihhh, rasa mahu memeluk pelangi! Terima kasih, terima kasih, terima kasih saya ucapkan. Mari baca komennya terhadap naskah kedua saya!

Bersemangat saya nak menulis laju-laju lagi! Gigih dan terus gigih! Fighting Mardihah! Namun saya memohon maaf seandainya novel ini tidak menepati selera. Pembaca ada pilihan masing-masing dan berhak memberi pujian juga kritikan. Saya berlapang dada seandainya ada kalangan pembaca mahu memberikan idea, pandangan juga kritis bagi mencambahkan lagi halusinasi ini. Jom baca komen menarik ini. Ayatnya berputar dengan sungguh pintar dan saya cemburu sekali!

***

Tanah ini akan menjadi gersang. Kontang lalu kekeringan. Sirnalah segala kesuburan bumi andai tidak disirami. Begitulah juga senarionya dengan sekeping hati. Hati yang tidak disejukkan dengan air ketakwaan akan jadi layu kekeringan. Jiwa yang tidak dibasahkan dengan gerimis keimanan akan hancur dalam kebinasaan. Maka, hati dan jiwa ini perlu juga dipastikan kehidupannya. Seperti perut yang diisi dengan makanan begitulah juga hati yang perlu disuapkan dengan juadah yang sebetulnya. Hati insan perlu diterapkan dengan zikir dan cahaya Al-Quran kerana itulah sebaik-baik panduan sebagai seorang yang beragama Islam.

Justeru, bingkisan kali ini akan mengupas sebuah cerita karya Mardihah Adam berjudul Andai Gerimis Berhenti. Sebuah cerita biasa yang digarap menjadi buah tangan yang luar biasa. Indah. Itulah perasaan tatkala membaca episod pertama daripada novel dwilogi ini. Watak utamanya Nur Aisya menjadi penghias latar masyarakat novel ini. Seorang gadis Melayu yang diangkat wataknya menjadi pendukung nilai-nilai keislaman dalam kehidupan seharian. Nur Aisya Mohd Jamil, seindah namanya sebegitulah jua perilakunya. Anak gadis yang merupakan anak kedua daripada tiga orang adik beradik ini merupakan kesayangan keluarga, harapan insan sekeliling dan menjadi seorang muslimah yang sering memperbaiki hubungannya dengan Ilahi.

Ceritera ini dimulakan dengan imbas kembali. Nur Aisya terdampar di bumi Leicester . Dan kerna berkeseorangan di perantauan itu membuka kembali rentetan peristiwa semalam. Persahabatan sedari kecil dengan pasangan kembar merangkap jiran iaitu Najmi dan Najihah juga Ustaz Zul yang merupakan lelaki pertama yang mengetuk pintu hati sang gadis menjadi antara saduran pada perkembangan plot. Istimewanya, segala perlakuan digambarkan dengan penuh halus yang diwarnakan dengan unsur keislaman. Penuh nasihat dan pengajaran. Dikukuhkan lagi dengan potongan surah dan hadis buat renungan bersama menjadikan novel ini sesuai dijadikan makanan jiwa.

Nur Aisya merupakan seorang gadis biasa yang berusaha untuk menjadi seorang wanita yang hebat. Projek Chinta Aisya yang merupakan projek penternakan ikan air tawar menjadi perintis kepada hasratnya. Keluarga yang terdiri daripada ayah, ibu, abang long, Kak Hasnah, dan Hakim telah menjadi tulang belakang kepada Aisya dalam melewati liku-liku kehidupan. Usaha yang dimulakan dengan niat yang suci pastinya akan diredhai oleh Ilahi. Tetapi apalah ertinya kehidupan ini andai tidak diuji. Itulah juga yang terjadi kepada empunya diri.

Pemergian ayah dan anak saudara di awal Ramadhan meninggalkan kesan yang sangat mendalam. Dihimpit cinta arwah rakan baik sendiri, Hisyam sehinggakan penolakannya menyebabkan cemburu dan dendam. Ditambah pula kemusnahan yang dilakukan kepada kolam ternakan yang menghancurkan segala usahanya menjadikan wanita ini semakin tabah menghadapi realiti kehidupan. Namun, Allah telah menjanjikan bahawa setiap ujian yang ditimpakan itu selari dengan kemampuan insan. Dalam kesulitan itu masih ada teman seperti Balqis dan Herman juga keluarga yang membantu meringinkan beban. Bahkan hikmahnya yang tersembunyi tentu sekali merapatkan hubungan kekeluargaan yang pernah renggang dengan keluarga abang sulungnya, Huzairi suatu masa dahulu.

Tegasnya, naskhah ini merupakan adunan cereka yang sebati dengan ramuannya. Cukup rencah ibarat suatu set hidangan yang menepati piramid makanan. Justeru, tidak rugi untuk memiliki novel ini apatah lagi untuk membaca intinya sekali gus mengunyah dan menghadam segala yang dipadatkan dalam sebuah perkongsian ilmu ini. Yang baik hanya datang daripada-Nya dan yang lemah terzahir oleh kekurangan diri.

P/s : Senyum comel-comel semua

05 Januari 2012

Jangan Rindu Saya!

Jemput minum kopi semua! Eceh!


Minggu depan, esok atau lusa, Insya-Allah saya akan publish Mr Pai Epal 14 okey. Juga Yang Terindah 10. Saya mengaku saya belum menulis sambungan kisah misteri cintan cintun dan gelak ketawa kesukaan ramai ni! *ceh, perasan! Ngeeeeee…Jangan kerut-kerut dahi okey. Hehehe. Saya sedang berhempas pulas cari ilham ni.

InsyaAllah, esok jika saya sempat menyusun ayat! Atau paling lewat minggu hadapan. Oh ya, Mr Pai Epal berkemungkinan akan di tukangi sebanyak 50 bab! Banyaknya nak habis kan? Bila laaa nak siap ya? Dinovelkan? Saya geleng kepala sebab tak tahu. Biar masa menentukan dan sokongan semua yang akan membenarkan! Tingginya impian... macam menyentuh pelangi, kan?

Lantas, saya pegang angan-angan ini dalam hati! Pegang ia bersama jemari yang akan terus menari-nari! Doakan semuanya dipermudahkan.

Okey, terima kasih baca coretan ringkas ini. Bebel-bebel percuma, lamanya rasa tak tulis entry-entry peribadi semenjak ada e-novel ni kan? Tapi, blog dah meriah! Blog dah rasa macam ada pelangi! Ada awan-awan yang sentiasa temani saya. Kalian semua sebenarnya pelangi dan awan yang melindungi itu! Waah....bab karang jiwang-jiwang ni memang lah serah pada penulis Cik Yaya sayang ni, kan? Eceh! Okeylah, senyum comel-comel semua ya!

Baik-baik dalam setiap perkara yang dilakukan!

Tata! Titi! Tutu!

P/s : Jangan rindu saya ya! Hehehe

01 Januari 2012

Dunia Fantasi Kusuma [Bab 1]

Sumber gambar : google.



Selamat Tahun Baru, 2012! Moga permulaan yang baik untuk segalanya. Insya-Allah. Jadual akan disusun atur untuk perkembangan e-novel saya di blog ini. Harap semua akan suka dan nantikan buah tangan saya seterusnya. Di samping meneruskan drama 'Mr Pai Epal, Yang Terindah, Mahu Memeluk Bulan (biar baru 1 bab) dan terkini Dunia Fantasi Kusuma. Harap-harap peminat genre fantasi berselera dengan hidangan saya. Cubaan pertama dan semoga ia diterima!



Saya ingin ambil kesempatan di sini, ceh, macam menang award! Hehehe.. "Terima kasih semua sepanjang saya menulis di blog terchentaaaaa ini, yang menjeling manja sambil tersenyum comel, yang memberi komentar, silent readers tersayang dan pembaca tetap di mardihah.blogspot.com! Okey, jom seperti yang saya janjikan, Dunia Fantasi Kusuma, Musim Pertama : Dan Magis Pun Bermula!

***


[Bab 1] Banglo Kusuma

Sebuah bandar yang diselaputi dinginnya udara. Namanya Kota Syurgawan yang dikelilingi laut biru. Kota Syurgawan sebuah negara terpencil yang sungguh menarik dengan pemandangan indah seluruh alam sekelilingnya. Di hujung bandar Kota Syurgawan, terdapat sebuah banglo enam tingkat. Bangunan itu juga menempatkan tambahan dua tingkat di bawah tanah. Burung-burung berterbangan tanda senja mula menghampiri. Bangunan klasik berbentuk buku yang sungguh menyeramkan, buatannya mempunyai nilai klasik dan sungguh mengkagumkan. Keseluruhan bangunan berwarna kelabu kehitam-hitaman dan dibina kukuh dengan batuan yang bernilai berjuta-juta ringgit.

Struktur dalamannya dengan perabot lama dan ditambah dengan momen-momen berlandaskan kaca yang tinggi nilainya. Pemiliknya amat menggemari kayu-kayu jati yang kukuh. Di Tingkat 1, ia adalah lobi mewah dengan ruang yang amat luas. Marmar berwarna putih kelabu yang bercirikan kristal sepenuhnya. Amat menyejukkan. Sebuah kolam ikan bersama kerusi rendah jati melatari. Bersama dengan meja bacaan yang serba lengkap sekali. Ia diletakkan di setiap sudut. Tingkap-tingkap diukir indah dengan ayat-ayat Al-Quran.

Pekerjanya lengkap menutup aurat. Si jejaka akan memakai baju kemeja berwarna biru cair. Si gadis kelihatan amat manja dengan jubah seluar berwarna merah jambu. Berdiri di kaunter pertanyaan. Sentiasa menghadiahkan senyuman kepada setiap pengunjung. Terdapat juga beberapa ruang bersantai dengan kolam berbentuk bulat di setiap penjuru bangunan.

Suasana itu lantas dilatari dengan bunga-bunga yang sentiasa berkembang mekar. Ajaibnya, setiap bulan, semua bunga akan bertukar dengan magisnya! Cuma ketika musim salji melatari, hanya ros putih yang akan kelihatan. Ruang santai akan ditemani dengan skrin sentuh bagi bacaan majalah. Ditengah-tengah ruang rehat, akan kelihatan berbagai jenis majalah. Majalah luar dan dalam negara. Ia akan keluar di sebelah kerusi jati apabila butang permintaan ditekan. Setiap ruang bahkan ditemani meja bacaan yang sungguh indah ukirannya. Lampu yang bergemerlapan dihiasi dengan taburan berlian di setiap biji kilauannya. Ia berharga jutaan ringgit. Lampu-lampu akan menyala mengikut keadaan persekitaran, cuaca dan tragedi yang tidak disangka-sangka. Ia seolah tahu, apakah yang sedang berlaku di setiap tingkat banglo.

Tingkat dua ; Hampir kesemua buku-buku agama dari seluruh dunia ditempatkan di sini. Seramai 100 orang pekerja akan tekun melayani pelanggan. Tingkat dua diubah suai seperti seolah berada di Negara Mesir dan sentuhan Timur Tengah yang sungguh memukau. Ia digarap dengan sentuhan islami dan memenuhi keinginan sesiapa sahaja yang mencari ketenangan. Dibahagikan kepada 26 bahagian mengikut daerah di Negara Mesir. Setiap bahagian mempunyai momentum suasana yang berbeza. Dibahagikan rak dengan jenis-jenis buku. Pemiliknya juga mendirikan sebuah surau besar yang membolehkan mereka beragama Islam bersolat dengan sempurna. Ia surau berhawa dingin, yang menggunakan sentuhan skrin untuk bahan bacaan Al-Quran dan berwuduk. Terdapat 15,000 rak disusun bersama sebuah perpustakaan besar.

Meja-meja khas diatur dengan pemilihan tajuk buku pada skrin sesentuh. Ia mengkagumkan. Para petugas akan memastikan kesemua buku yang dipesan akan dimiliki hanya lebih kurang 5 saat sahaja. Ia gedung buku. Yang membuatkan ramai menyayangi banglo klasik ini. Sebuah cafe besar menjadi teman di kala setiap pengunjung kelaparan dan dahaga. Secangkir kopi panas dan sebiji donut coklat untuk setiap pengunjung, ia adalah percuma! Cafe Islam yang mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Tulisan khat dari kayu jati mengelilingi semua dinding yang berkonsepkan kaca. Ia bagai sebuah pentas tulisan khat yang amat mengujakan!

Tingkat tiga ; Menempatkan kawasan permainan kanak-kanak. Barangan permainan yang berterbangan dan mempunyai bunyi-bunyian yang menyenangkan. Terdapat 100 ekor gadis kecil yang terbang dengan sayap membantu kanak-kanak memilih barangan masing-masing. Gadis-gadis sayap ini juga akan berkeliaran di setiap tingkat, malahan menjadi penyambut tetamu kepada setiap pengguna perpustakaan. Ia pari-pari yang sentiasa dengan senyuman comelnya.Kanak-kanak kelihatan amat riang dan gembira sekali. Ia ditutup dengan lingkungan dinding kaca yang tidak menganggu suasana . Juga menempatkan perpustakaan bagi si ibu dan bapa yang membawa anak-anak merehatkan minda. Buku bacaan untuk kanak-kanak memenuhi setiap rak yang direka dengan keupayaan bergerak ke sana dan ke mari.

Rak-rak berkenaan akan bergerak ke setiap meja dan sesiapa sahaja boleh memilihnya. Malahan, kesemua buku, komik, novel remaja chic-lit yang menjadi kegemaran ramai, komik dari luar negara yang bermanfaat dan semua bahan bacaan dibalut kemas dan dipastikan memenuhi citarasa kanak-kanak dan ibu bapa. Ia rak seekor labah-labah yang mempunyai tangan dan selalu sahaja tersenyum. Ia labah-labah besar yang diawetkan dan disumpah menjadi robot khas di situ. Ia tidak menggangu malahan menjadi kegemaran ramai pengunjungnya. Dua puluh ruang khas untuk seisi keluarga menonton televisyen disediakan dengan amat santai.

Tingkat empat ; Buku-buku bahasa Melayu lama dan baharu ditempatkan. Ratusan ribu menjadi pilihan. Dari berbagai benua Melayu. Juga dari semua industri dan penerbit. Perpustakaan yang bertingkat-tingkat dengan anak tangga yang menghala ke ruang pilihan masing-masing. Ia tangga kayu seolah-olah reput, namun tangga itu tetap kukuh semulajadi. Setiap jam, anak tangga akan berpusing-pusing ke sana dan ke mari. Fenomena luar biasa yang digemari semua pengguna. Ia mengasyikkan. Perpustakaan yang direka khas seperti sebuah rumah Melayu Melaka. Tangga menghubungkan semua pembaca ke bahagian yang mereka gemari.

Cafe turut sama menjadi pilihan jika pengunjung kelaparan. Di suatu sudut, perpustakaan menempatkan sebuah bilik besar untuk melayari internet. Khidmat skrin sentuh bagi memudahkan pilihan bacaan akan memudahkan. Plurpppp! Buku akan keluar di bahagian tepi kerusi apabila butang pilihan ditekan. Hanya lima saat sahaja! Tersenyum apabila pilihan buku datang dengan sekelip mata. Perpustakaan dihiasi ukiran kayu asli yang memodenkan suasana. Bunyian lagu jazz akan serentak menghiburkan suasana. Sebuah lukisan luar biasa pemandangannya pasti memberikan tarikan paling kuat ketika berada di tingkat ini. Ia menggerikan, menggerunkan, malahan sesekali terdapat sepasang mata yang akan memerhati tanpa kalian sedari!

Tingkat lima ; Buku-buku Bahasa Inggeris juga majalah dan sepenuhnya bahan bacaan untuk seluruh dunia ditempatkan di sini. Sebut sahaja bahan bacaan untuk setiap negara, ia akan dipenuhi dengan bantuan butang permintaan buku.

Plurppp!

Kesemua buku pengunjung akan menjelma sekelip mata dalam masa lima saat sahaja. Pembaca akan berpuas hati. Cafe yang santai tetap dipenuhi. Perpustakaan besar dengan meja dan kerusi yang diatur kemas tersedia! Meja yang berbentuk buah-buahan menjadi tema! Kerusi pula bersama kombinasi pokok yang berakar-akar unik! Kemudahan skrin sentuh dan segalanya diadaptasi dengan sentuhan Inggeris moden. Rak-rak juga bebas berjalan ke setiap pengguna.

Pembaca boleh menekan butang atau memilih sahaja melalui rak labah-labah yang sentiasa berawangan tanggannya dan berjalan ke sana ke mari. Ia memandang setiap diri anda. Di tingkat ini, ditempatkan beberapa puluh bilik pilihan untuk merasai setiap musim di seluruh dunia. Ia merangkumi musim banjir, khatulistiwa, hujan, tropika, panas, salji, bunga, luruh, dingin, sejuk dan segalanya.

Tingkat enam ; terdapat gedung membeli belah yang menjanjikan segala keperluan keluarga amnya. Kesemua barangan terapung di atas angin dengan deretan yang sungguh kemas sekali. Tingkat ini juga menyediakan sebuah dewan makan dengan berbagai pilihan menu seluruh dunia. Pilihan makanan yang beraneka dengan pengguna memilih butang idaman dan makanan akan menjelma serta-merta. Anda pasti ketawa dan berselera menikmatinya.

Tiada pekerja yang membantu di gedung membeli-belah sebaliknya Gedung Kusuma ini diawasi oleh seorang lelaki bertubuh tegap yang bertongkat. Juga matanya yang juling! Malah, matanya menembusi setiap pengguna yang cerewet, malah yang mencuri akan dihumban ke sebuah bilik gelap dengan ditugaskan bekerja membersihkan dapur di cafe setiap tingkat banglo ini. Barangan dibayar di kaunter dengan labah-labah yang penuh dedikasi sekali. Di sini, semua pembaca bebas memilih tanpa perlu risau kehalalan sesuatu barangan. Ia berkualiti. Malahan, sebuah kilang pengeluaran seluruh barangan dikawal selia sendiri oleh pemilik banglo ini. Terdapat berbagai-bagai bilik barangan yang tanpa anda sedar, kesemuanya mempunyai beratus-ratus pintu tembus pandang. Pintu-pintu ini sebenarnya membawa kepada 55 tingkat di dalam banglo ini.

Lif juga turut disediakan. Ia dilengkapi dengan 50 buah lif . Ia pilihan mudah untuk pembaca beralih dari satu tingkat ke setiap tingkat. Namun, jika tersalah memilih butang lif, awas! Mungkin pembaca akan mencari jalan keluar selama 1 jam atau 1 hari lamanya!

Di dalam lif, terdapat 55 butang ! Pelik?

Walaupun banglo ini hanya 6 tingkat di atas dan 2 tingkat di bawah. Jangan bermain-main dengan butang ini! Sebuah papan tanda diukir memberi pesan kepada kesemua pengguna. Angka 55 ini sebenarnya adalah 55 tingkat yang akan menghubungkan ‘pembaca sesat’ dengan beratus-ratus anak tangga yang menyeramkan dan mengelirukan. Anak-anak tangga berada di hujung setiap bangunan di dalam banglo. Arah tujuan di setiap permulaan anak tangga akan berubah setiap setengah jam. Ia magis! Malahan, berkemungkinan, pembaca akan mengembara ke dunia magis pemilik banglo ini! Tiada siapa sedar dan tiada siapa peduli dengan kehadiran kesemua anak tangga ini. Ia anak tangga yang dikatakan mempunyai fantasi dan dunia penuh pengembaraan!

Dari jauh, banglo ini kelihatan seperti sedang membaca buku. Membaca dan membaca. Setiap jam, tiang bangunan akan kelihatan duduk dan seperti seolah-olah mengulit sebuah buku. Hanya mereka yang memerhati dengan mata halus yang akan menyedari banglo ini sentiasa bergerak-gerak perlahan. Seolah menyatakan kegembiraannya kepada setiap pengguna. Pintu berkayu jati yang besar, diukir indah akan tersenyum sentiasa. Ia nyata memberi kehairanan dan pertanyaan sesiapa sahaja yang memasuki banglo ini. Ia banglo yang penuh dunia buku dan magis! Ia banglo yang istimewa malahan pemiliknya sendiri masih belum dikenalpasti.

Jam 8 malam, setiap tingkat akan bercahaya dengan dipenuhi berbagai-bagai makhluk bertangan enam yang lucu wajahnya sedang mengemas dan menyusun buku. Rama-rama besar dan kumbang hitam berbaju merah berbintik hitam akan terbang melatari dan menerbangkan buku membantu si makhluk bertangan enam!

Banglo ini akan menghilang setiap jam 12 malam. Ia akan mendap perlahan-lahan ke dalam tanah dan kemudian bunga-bunga ros putih akan melatari persekitaran. Kota Syurgawan akan berbau wangi. Setengah jam selepas banglo ajaib ini mendap ke dalam tanah. akan kelihatan seorang nenek tua, terbongkok-bongkok berjalan keluar dari kelopak bunga-bunga ros putih yang melatari sehingga nenek tua berkenaan akan menghilangkan diri. Tiada siapa berani bertanya, berani menegur nenek tua ini. Malahan tiada sesiapaa yang berani melalui kawasan Banglo Kusuma ini selepas tengah malam. Ia istimewa dihati semua penduduk, malahan ia fantasi yang tidak siapa berani ungkaikan lagi!

Banglo Kusuma terus menjadi perhatian. Berpusu-pusu pengguna menggunakannya, tanpa mereka sedar, mata di setiap lukisan pada setiap dinding, sedang memilih enam di antara mereka untuk pengembaraan terhebat musim pertama ini. Dinding-dinding akan berbisik-bisik mencalonkan wajah kegemaran mereka. Labah-labah akan memerhati dengan sepenuh perasaan. Semua pekerja tekun merencanakan siapakah yang menjadi pilihan Puan Kusuma.

Puan Kusuma di bilik bawah tanah, seolah sedang menderamkan sesuatu.

Matanya terpejam.

Rapat.

Dia berhijab, sekadar menampakkan matanya sahaja. Kawasan sekitarnya dipenuhi buku-buku dan rak yang berterbangan dari tingkat setiap banglo. Bibirnya terkumat-kamit seolah sedang membaca mentera. Wajahnya seakan bengis dan goresan yang bermula dari mata hingga ke pipinya telah mencacatkan kecantikan wajahnya. Matanya kemudian terbeliak. Merah menyala-nyala.

Suara perempuan berwajah hodoh itu bertempik sekali lagi, “Engkau pilihan aku!”