Pages

07 Januari 2012

Mr Pai Epal 14

Mengubat rindu semua dengan sambungan Mr Pai Epal. Yeah! Senyum comel-comel dan puas hati dengan sambungannya kali ini. Doa saya semua sihat-sihat okey? Peminat Yang Terindah, beri laluan dulu untuk Mr Pai Epal. Peram rindu banyak-banyak dekat uncle Adib, mama Fifi dan Fifi okey?




Salam comel-comel semua! ^___^


lmh3




“Awak ni kelakarlah Yaya!” suara lelaki kacak itu melantun-lantun dalam fikiran. Aku tersengih geli hati memandang skuterku yang sedang aku basuh. Bermain dengan air dengan penuh perasaan. Menyabun dengan sepenuh rasa dengan perasaan yang berbunga-bunga. Yaya, Yaya ! Aku geleng kepalaku.

Kain buruk bersatu lagi di jemariku. Baldi dan air sabun kini bersama. Miss MJ Unguku harus dibasuh hari ini selepas berdaki dan berpeluh-peluh ke sana ke mari. Miss Mj Ungu juga harus nampak berkeyakinan dan cantik di mata dia. Ceh ! Juga berkilat dan wajib direbondingkan !

Suara dan wajah lelaki itu sekali lagi mengganggu rasa hati ini. Meski aku cuba tersenyum namun kenangan itu semakin melagukan muzik kesedihan untukku. Ya, entah kenapa aku rasa, lelaki itu semakin menampakkan wajah mendungnya di mataku.

Kenangan itu terlayar lagi di ruang mindaku. Hari bahagia dan ia kenangan kami berdua. Juga janjinya kepadaku. Dan keikhlasannya jelas nampak bersama bola matanya yang bulat bagaikan guli itu! Wajah kacaknya dan senyuman menawannya. Yang selalu dan sampai bila-bila akan bermaharaja di hati ini. Sampai bila-bila. Itu sumpah dalam hatiku!

“Awak janganlah selalu nervous bila berhadapan dengan saya, cik Yaya sayang oi ! Buat saya macam Fatin atau kawan-kawan awak. Saya kan sahabat awak merangkap kekasih hati awak? Kan ?Kan ?”

Aku tersengih lagi ! Merangkap kekasih ? Bukankah ibu larang aku berkawan rapat dengannya. Apa maksud lelaki ini ? Kaki kami melangkah bersama. Izz Amir telah membelikan sepasang baju kurung siap dengan tudung baru di kedai butik paling mahal untukku. Oh, kenangan lagi dalam diariku. Kenangan indah lagi untuk aku ! dengan wajah terkebil-kebil aku menerima apabila dia menghulurkan sehelai baju kurung pahang.

Pilihan dia. Amat cantik !

Dan akhirnya baju kurung berkenaan tersarung kemas melekap dengan tubuh badanku. Izz Amir memeluk tubuhnya bersandar di dinding butik berkenaan dan tersenyum lagi. Menawan ! Aku jelirkan lidah dan dia tersengih memerhati. Beg kertas berisi baju kurung dan tudung yang penuh dengan lekitan aiskrim tutti frutti dipegang kemas olehnya.

Nervous ? saya nervous ? Eh, tak ! tak ! ” aku gelengkan kepala sambil membetulkan tudung dan kami berjalan keluar dari kedai berkenaan. Konon, tidak mengaku dengan kenervousan diri sendiri. Dia tersenyum sambil matanya menjeling nakal.

“Sampai habis jatuh aiskrim yogurt awak. Tutti Frutti yang sedap pun terjatuh ke bawah. Habis baju kurung awak ni! Kena saya belikan awak sekali lagi aiskrim tu ! ”

“Oh, tuan buruk siku ! Dah belanja saya, mengungkit-ngungkit ! Bukan saya yang nak semula aiskrim tu, tuan yang belanja ! ” aku menjeling dan mencebik. Izz Amir tertawa! Ah, ketawa dia saja sudah pasti membuatkan jantungku berdebar-debar.

“Cik Yaya sayang oi, saya bukan mengungkit. Saya suruh awak jangan gelabah tak tentu hala lagi! Sampai habis baju awak semua kotor!” dia pandang aku dan kami berjalan lagi. Panas terik hari ini langsung tidak mengganggu perjalanan kami berdua. Seolah-olah ada awan mendung yang mengiringi. Juga ada angin dingin yang membalut tubuh badanku. Sejuk semacam rasanya.

Saya gelabah sebab awak! Sebab awak selalu kacau saya. Sebab awak selalu panggil saya, cik Yaya sayang, cik Yaya sayang. Bukankah gila namanya kalau jantung dan hati saya ini tak bergetar hebat? Bohonglah kalau saya kata, darah saya tak menyerbu ke muka ketika awak selalu kacau dan memberikan senyuman mahalmu itu? Sudah tahu bertanya pula! Amboi-amboi, Izz Amir!

Aku telan air liur. Izz Amir menghentikan kakinya. Dia menoleh memandang diriku. “Awak kata apa, cik Yaya sayang? Amboi?” matanya bulat memandang wajahku. Tetap manis wajahnya. Tetap mentraumakan sanubariku.

Erk! Macam mana pula dia dengar suara hati ini? Aku gelengkan kepala. “Eh, tak ada apa-apa. Saya memang ada keturunan nervouslah tuan ! Gelabah tu memang selalu ada.” Aku menipu! Sumpah aku tidak pandai memberitahu perkara sebenar kepada lelaki ini. Tentang rasa hati. Tentang rasa jiwa yang berbunga-bunga. Jantungku juga yang sudah pandai bermadah pujangga.

Izz Amir melangkah lagi. Aku turuti. “ Nervous sebab saya! Sebab saya, kan? Sebab hari ni saya temankan awak makan-makan dan belanja cik Yaya sayang saya ni. Kita berlari berdua macam dalam filem dan cik Yaya sayang saya ni memang sudah jatuh hati dengan saya, kan?” jawabnya panjang dan aku mendengar ketawanya. Dia masukkan jemarinya ke dalam kocek seluar sementara kakiku terhenti dengan tiba-tiba. Langkahku mati dan lelaki itu berjalan perlahan dengan ketawanya yang masih bersisa.

Jantungku berdebar-debar lagi! Dup dap dup dap!

Izz Amir lantas menoleh kembali. Berdiri di hadapanku. Beberapa meter yang menjarakkan kami berdua. “Come. Saya hantar awak pulang ke pajabat. Hari terakhir kita!” Dia sembunyikan wajah dan senyumannya. Nampak dia mengawal pernafasan. Betulkah aku sudah jatuh hati dengannya? Bukankah aku mengaku beberapa hari yang lalu bahawa aku jatuh hati dan terpelosok dalam daerah cinta dengan lelaki ini? Aku bermimpikah?

Aku dan dia. Dia dan juga ibu. Lantas, pesanan ibu segera menjerat naluri. Segera menghantar aku ke daerah paling sepi ketaranya. Tidak layakkah Yaya berkawan dan bercinta dengan lelaki sepertinya, ibu?

Eh, eh. Bukankah tadi dia katakan ini adalah hari terakhir kita ? Betulkah ?

-Yaya kan perempuan. Dia lelaki. Yaya kena jaga diri Yaya sebaik mungkin. Ibu bukan larang Yaya berkawan dengan dia. Tapi jauhkan diri.
+Ibu mahu lelaki yang macam mana untuk Yaya? Kenapa pula Yaya kena jauhkan diri dari dia, ibu?
-Yang menjaga solatnya dan baik budinya. Yang ada agamanya. Yaya kan perempuan. Dia lelaki. Islam dah gariskan banyak perkara kita untuk berhubungan. Apa pula kata orang nanti kalau nampak Yaya asyik selalu dengan dia. Walaupun dia lelaki yang baik, Yaya harus tahu kita ada agama. Ibu tak suka. Ibu kata ibu tak suka, ibu tetap tak suka!
+Menjadi yang baik seperti yang ibu mahukan itu, bukankah boleh dibentuk dan dipupuk?
-Jika dia mahu menjadi baik, dia harus mencari diri dan mengenali agama lengkapnya. Barulah kelak dia akan menjadi suami yang baik untuk Yaya.
+Huh!
-Yaya akan berdosa dengan Allah jika Yaya tak dengar cakap ibu!

Mataku masih terkebil-kebil. Mengingati perbualan antara aku dan ibu yang adakalanya membuatkan emosiku berbaur-baur!

Kami berdua berjalan perlahan dengan episod membisu. Tiada jawapan dari bibirku sehingga kami berdua berdiri betul-betul di hadapan tangga ke pejabatku. Bila aku melangkah ke anak tangga kedua. Aku menoleh memandang lelaki itu yang masih setia memerhati. Pesanan ibu lantas bergema dalam benakku. Angin dingin dan panas terik bersatu. Menyimbah hati.

Dia tersenyum.

Entah kenapa aku rasa sebak teramat sangat. Sebak dengan berbagai perkara yang sentiasa dia buat kepadaku. Sentiasa memberikan senyuman kepadaku. Memberi warna pelangi dan mencerahkan hari-hariku. Bukankah dia yang menemani aku di sebuah bukit indah itu dan sama-sama menikmati pizza hut? Dia juga yang menolak skuterku dan membayarkan perbelanjaan membetulkan Miss MJ Unguku?

“Baju kurung tu awak ambillah ya, cik Yaya sayang! Cantik bila awak yang pakai! Saya hadiahkan untuk awak.” Dia tersenyum. Aku angguk perlahan-lahan.

“Saya tahu, ibu akan marah!” jelasnya jujur.

Dia tunduk perlahan. Bibirnya pantas berbicara lagi, “Tapi saya ikhlas mahu berkawan dengan awak, cik Yaya sayang. Biar apa sekalipun terjadi, saya akan sedaya upaya belajar sedikit demi sedikit.”

“Belajar?” aku kurang pasti. Belajar apa?

Dia tersenyum lebih dari biasa. Menghantar satu persoalan dalam rasa dan jiwa ini. Kemudian dia mengangguk lagi. Suaranya perlahan dan tiba-tiba menyentuh sanubariku.

“Belajar solat, belajar jadi lelaki yang baik dan Al-Fatihah yang tersusun tertibnya. Kata ibu, saya harus menjadi lelaki yang faham apa itu agama sebelum mahu menyunting awak menjadi suri saya.”

Sebak. Aku pandang dia dengan wajah hiba. Benarkah pengakuannya ini?

Air matanya mengalir perlahan-lahan. Kenangan indah dan gembira akhirnya bertukar warna. Menjadi sesuatu di luar dugaanku. Lelaki ini mengalirkan air matanya hari ini. Aku terkedu.

“Terima kasih sudi luangkan masa keluar dengan saya pada hari ini. Terima kasih cik Yaya sayang. Selepas ni, saya janji saya tak akan ganggu awak lagi. Saya juga tak akan menghantar rasa hati saya kepada awak lagi. Sampai saya betul-betul berubah mengikut apa yang ibu mahukan.”

“Saya berani bersumpah dengan nama Allah bahawa saya berubah bukan kerana awak dan paksaan ibu. Tapi kerana hati saya. Kerana hati saya sejuk, mata saya tenang melihat wajah awak, cik Yaya! Dan saya baru faham dari mana datangnya ketenangan itu.”

“Ketenangan? Tuan, saya tak berapa faham!” Nafasku sedikit sesak! Mataku terkebil-kebil memerhati perubahan lelaki ini. Aku melangkah kembali setapak ke hadapan. Tubuh rasa melayang-layang dengan pengakuannya.

“Ketenangan itu saya telah beroleh dengan solat!” Ulasnya dan dia tersenyum. Jemarinya menyapu lekas-lekas air mata yang bertakung. Aku memberikan senyuman kepadanya. Memahami rasa hatinya dan aku sedar dengan siapa aku berdiri sekarang ini. Dia pemuda yang aku rasa dahagakan sesuatu yang baru. Iaitu agama. Dengan SMSnya yang pernah aku baca dan luahannya itu, maka kini aku sedikit mengerti. Memahami rasa dan perasaannya.

Jauh sekali untuk aku menolak persahabatan dengannya. Jauh sekali juga untuk aku menolak rasa cinta kepadanya. Semua kenangan dengannya aku simpan rapat-rapat dalam memoriku.

“Ibu tak akan marah kalau kita berkawan. Tapi perlu ada batas-batasnya. Tuan faham, kan?” rasa sebak dalam diri aku buang jauh-jauh. Aku tidak harus menunjukkan rasa kekok dengan luahannya sekarang ini. Aku harus membantu sekiranya dia memerlukan. Juga aku harus membuka peluang kepada lelaki ini sekiranya dia mahu merubah diri ke arah kebaikan.

Dia angguk. “Cinta jarak jauh!” automatiknya dia ketawa. Izz Amir pantas mengangkat wajahnya. Mahu aku segera naik ke pejabat.

“Cik Yaya sayang harus jaga diri baik-baik! Jangan gelabah selalu ya!” ucapnya perlahan.

“Awak…” aku panggil dia perlahan.

Dia tersenyum.

“Ya, cik Yaya sayang!”

Kami tertawa.

“Tuan Izz Amir boleh. Boleh berubah dan berjaya dunia akhirat! InsyaAllah! Saya doakan dan itu namanya pengorbanan!”

“Terima kasih cik Yaya sayang! Terima kasih. Ini pertemuan terakhir kita ya! Saya tahu ibu akan marah awak jika saya selalu usik-usik awak. Nanti saya akan sentiasa rindukan awak. Rindukan kenakalan awak dan senyuman awak. Jaga diri baik-baik. Saya akan sampaikan pesanan melalui Adnan nanti.” Jelasnya jujur.

‘Ini pertemuan terakhir kita ya!” dia menekan lagi perkataan itu.

Sementara aku terkebil-kebil lagi.

‘Saya tahu ibu akan marah awak jika saya selalu usik-usik awak. Nanti saya akan sentiasa rindukan awak. Rindukan kenakalan awak dan senyuman cik Yaya sayang saya ni. Jaga diri baik-baik. Saya akan sampaikan pesanan melalui Adnan nanti’.

Suaranya melantun beberapa kali. Ahh, aku menjadi sebak. Aku mendaki tangga dengan air mata yang terus jatuh dan terus tumpah. Mengalir-ngalir tanpa aku sedari.

“Cik Yaya sayang, doakan saya. Doakan cita-cita saya mengenali agama tercapai! Setiap hari, dalam solat, cik Yaya sayang harus doakan saya! Saya mahu jadi pemuda yang baik! Mahu memperisterikan wanita baik juga seperti awak!” jeritnya perlahan-lahan.

“Boleh untuk kali terakhir awak panggil saya dengan gelaran, Izz?” pintanya.

Aku terhenti. Pantas menoleh memandangnya yang sedang tersenyum di bawah. Air mataku entah kenapa mengalir perlahan lagi. Jujurnya lelaki ini. Kenapa dia berterus terang denganku?

Aku angguk perlahan-lahan. Aku tahu aku tidak akan berjumpa dengannya lagi. Kelak, aku akan keseorangan tanpa teman. Tiada sesiapa lagi yang akan memanggilku dengan panggilan, cik Yaya sayang, cik Yaya sayang! “Izz, terima kasih temankan saya makan.” Air mataku mengalir lagi.

Aku kesat lagi air mataku. “Izz, terima kasih belanja saya makan tutti frutti. Sampai tumpah dan terima kasih dengan sehelai baju kurung juga sehelai tudung yang mahal ini untuk saya.”

Banyak masa yang telah kami habiskan bersama-sama. Tanpa aku sedar, ia boleh menjadi sebuah buku dan dinovelkan. “Izz, terima kasih selamatkan saya dan berkejar-kejaran dengan saya.” Aku cuba tersenyum.


Dia juga. Lelaki itu angguk lagi.

“Izz, terima kasih menjadi teman saya dan kawan saya! Saya hutang awak betulkan skuter saya dan pasu pecah itu! Itu syarat yang harus saya lunasi. Hutang tetap hutang. Dan ini bukan pertemuan terakhir kita. Jangan rasa rendah diri. Awak lelaki yang baik, saya percaya!”

Bicaraku terhenti dengan aliran air mata. Lelaki itu memandang aku dengan senyuman mahalnya. “Terima kasih Yaya! Terima kasih!”

Saat itu juga, aku memalingkan tubuh badanku dan mendaki tangga dengan sepenuh perasaan. Berlari menaiki dan air mata akhirnya deras tumpah. Aku tidak mahu melihat wajah sedih dan wajah simpatinya.

Untuk kesekian kali, hati wanita ini tercuit lagi dengan keikhlasannya. Pengakuan dan penjelasannya. Tuhan, cukupkah aku sekarang ini menjadi wanita yang baik? Yang kelak akan Dikau anugerahkan pasangan yang baik juga untuk diri ini? Adakah dia lelaki yang tercipta untukku?

Air mata mengalir akhirnya. Tanpa paksa dan hujan membasahi. Selebat hujan di hati!

Kak Mahani, Kak Zabedah, Encik Sulaiman dan Osman Jelani melopong! Terkebil-kebil memandang aku!

Skuter di hadapanku aku lap penuh rasa syahdu. Ada air mata bergenang lagi tapi aku tahan-tahankan. Sehingga Fatin memanggilku lekas masuk ke dalam rumah. Kerana ada satu berita terkini yang mahu dia sampaikan kepadaku.

“Cepatlah masuk kak long! Yayasan Marjan ada temudugalah! Chef Daud letak iklan biasiswa!”

Dua tiga kali Fatin menjerit sehingga ibu sengaja membatukkan diri.

***

‘Umi selalu memperli saya, “Nak cari calon isteri kena yang baik, Izz. Tapi kita dulu kena jadi baik dan lelaki yang baik! Berbuih-buih mulut umi cakap, solat. Solat! Izz selalu buat tak tahu dengan apa yang umi cakap!”

“Izz akan jumpa calon menantu yang baik nanti untuk umi. Umi jangan risau-risaulah ya!”

“Baguslah tu. Perempuan mana entah mahukan dia! Setakat Jasmin yang terhegeh-hegeh dengan dia. Jangan haraplah. Umi tunggu dan nak tengok, siapa bakal isteri Izz tu. Hebatkah dia?”

Lantas, pesanan umi bagaikan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Awak tahu cik Yaya sayang, selalu terdetik di hati saya untuk mencari calon isteri yang baik dan sekurang-kurangnya bertudung dan comel macam awak! Hehehe.

Satu hari ketika saya membawa kereta volkswagen beetle saya. Eh, perlukah saya tulis jenama kereta saya di sini? Perlukan? Mendung dan saya fikir hujan akan turun dengan lebatnya beberapa minit lagi. Saya ternampak awak dan seorang wanita buta. Awak sedang memimpin ibu dengan bercerita keadaan sekeliling yang awak nampak. Saya keluar dari kereta saya dan mengekori awak perlahan-lahan. Entah saya tidak pasti kenapa tiba-tiba saya mengekori awak dan ibu waktu itu. Ia perasaan diri yang meronta-ronta mahu melihat dan tahu. Saya mendengar dengan teliti.

“Bu, langit nampak mendung. Warnanya hitam pekat. Seperti akan hujan!”

“Bu, ada banyak kereta lalu-lalang. Warna merah, warna biru, warna putih, warna kelabu. Van pun ada. Lori pun ada.”

“Bu, tanah yang kita pijak ini warnanya merah hati!”

Awak ketika itu terus memimpin ibu dengan penuh kasih sayang. Bersama sekaki payung sebagai teman. Hujan turun dengan lebatnya! Payung itu awak buka dan memberi teduhan untuk ibu dari dirinya ditimpa hujan. Waktu hujan lebat itu, saya melihat awak memayungkan ibu seorang sahaja.

“Yaya, payungkan sekali Yaya ya! Cepat kita pergi perhentian bas!”

“B..baik bu!” awak angguk tapi payung itu tetap awak teduhkan hanya untuk ibu sahaja. Awak berbohong dengan ibu.

Awak tahu perasaan saya ketika itu? Sayu dan sedih. Betapa awak menghargai kasih sayang seorang ibu dan meneduhkan ibu awak dengan sekaki payung itu sahaja. Dan awak kebasahan sehingga akhirnya kamu berdua berhenti di sebuah perhentian bas. Awak basah lencun dan terbersin-bersin!

Saya lantas teringatkan umi saya. Teringatkan pesanan umi yang selalu saya abaikan. Berkali-kali umi memberi pesanan tetapi ia bagaikan angin lalu sahaja.

Saya anak lelakinya yang degil! Anak lelakinya yang sentiasa dipesan-pesankan dengan perkara baik. Tetapi saya buat endah tidak endah. Saya kesedihan! Hiba! Dan berlari perlahan ke dalam kereta dan mencurahkan air mata saya kerana terkenangkan kebaikan umi. Juga terkenangkan kelembutan umi melayani karenah saya dan nasihatnya yang selalu tidak saya dengari. Saya kabur dengan kekayaan papa sahaja! Kabur dengan segala kemewahan yang saya ada. Atau, adakah saya takbur dengan Allah swt? Saya lantas menjadi takut dan kemudian saya menangis seorang diri di dalam kereta. Dan mata masih melihat awak dan ibu yang masih setia di perhentian bas. Hujan lebat menjadi saksi! Mata ini menangkap wajah awak, cik Yaya sayang. Menangkap cepat bibir, mata, kening dan hidung yang buat saya termimpi-mimpi selalu.

Saya tidak pasti kenapa hati dan perasaan saya ketika itu. Adakah saya jatuh cinta pandang pertama dengan seorang gadis yang memayungkan ibunya dari ditimpa hujan? Adakah awak gadis yang Allah turunkan dari syurga untuk mengisi hati saya? Juga saya sendiri tak pasti kenapa hati saya lantas menyebut mahu menjadi lelaki yang baik, lelaki yang patuh dengan arahan umi. Juga ibadat saya yang lama hilang dan tertinggal. Terkadang saya buat hanya atas arahan ibu dan terkadang saya buat-buat leka dan lupa.

Saya terkebil-kebil teringatkan umi. “Umi tunggu dan nak tengok, siapa bakal isteri Izz tu. Hebatkah dia?”

Pertemuan seterusnya saya dan cik Yaya sayang adalah di café saya. Pai epal café akhirnya membuatkan saya sedar, awaklah wanita yang dikatakan oleh umi paling tepat untuk saya.

Cik Yaya sayang, saya mahu bersihkan kedai saya. Pai epal café akan tutup awal hari ini. Mr pai epal mahu berehat-rehat dan mimpikan awak hari lagi. Nanti saya sambung lagi.

Izz Amir.

***



Aku pandang skrin komputer. Aku terdiam tanpa kata. Sebak pun ada ketika ini. Emel pertamanya kepadaku melalui facebook yang mengundang hiba. Kenangan dengan ibu itu pantas bersemi di dalam memori. Mengundang air mata yang perlahan-lahan keluar. Ibu, yang sentiasa menyayangi aku dan Fatin. Menjaga kami sehingga hari ini. Mungkin itu sahaja pengorbanan yang boleh aku lakukan. Jika mahu dikira pengorbanan ibu, ia terlalu besar nilainya dari aku kebasahan lencun ketika itu! Biarlah aku basah, dan ibu tidak akan nampak aku yang basah ketika itu. Biarlah aku terbersin berkali-kali. Tetapi ibu sihat tersenyum, itu sudah buat aku gembira berhari-hari!

Pertemuan kedua kami adalah ketika aku di pai epal cafenya. Aku cuba mengingati kisah berkenaan. Ya, aku ingat! Hampir pasti aku ingat pertemuan kami itu.

Apa lagi kisahnya yang aku tidak pernah tahu? Sihatkah Izz Amir hari ini?

9 ulasan:

  1. halamak.... romantik gile... >__<

    BalasPadam
  2. zino sangat tak rajin nak baca yg panjang2 ni.. hehe

    BalasPadam
  3. arasnieryie@19958/1/12 13:19

    adeh2,trlebih gula lar cik Mardihah ooi,sweeeeeet giler weh!!..

    BalasPadam
  4. so sweet...
    meleleh-leleh air mata bace entry kali nie...

    BalasPadam
  5. Tanpa Nama15/1/12 16:12

    sweet sgt.. bgus izz nk berubah.. x sabar tggu dia berubah jd lebih baik..

    BalasPadam
  6. Ahkak RSL17/1/12 08:29

    Awak niii.. tak baik tau buat akak nanges!! huhuhu

    BalasPadam
  7. suwiiiitnyerrrrr mesej fb tu....bes bes bes!!!

    BalasPadam
  8. Tanpa Nama27/1/12 11:33

    alamak...im so touched bace ini entry...yaya n ibu...huhuh...sob3..tp xnanges...ok lg kt dlm blk ni...haha

    BalasPadam
  9. saya betul-2 terkejut bila penulis sendiri imagine izz amir tu lee minho i tot penulis pilih org msia hidup mardihah!

    BalasPadam