Pages

12 Januari 2012

Dunia Fantasi Kusuma [Bab 2]

Salam semua, Dunia Fantasi Kusuma saya sambung untuk bab yang kedua. Pengenalan kepada watak kanak-kanak untuk pengembaraan musim pertama ini. Actually, ceh, berbahasa inggeris I. Ngeee...ini e-novel yang lebih kepada fantasi kanak-kanak. Sesiapa orang-orang besar, gadis-gadis remaja, wanita-wanita comel dan jelita ituuuu..yang mahu ubah selera dan genre untuk diri sendiripun apa salahnya kan? Hehehe. Manuskrip ini telah saya edit dengan banyaknya! Okey, jom kita layanzzzzz.




[Bab 2] Aiman, bermata biru

Aiman turun dari kereta papanya. Menjerit ke arah nenek dan datuknya. Muhammad turun dari kereta dan menyalami kedua orang tuanya. Camelia, isterinya yang berbangsa Inggeris tersenyum. Membetulkan tudung dan kemudian menuruti, menyalami kedua mertuanya.

“ Cuti sekolah ni, Aiman duduk rumah nenek dengan atuk ya!” Nenek Latifah lantas menciumi pipi cucunya. Beg sebesar bantal pemeluk ditarik perlahan Aiman. Aiman tersengih geli hati melihat telatah nenek dan datuknya. Dia memang suka sekali pulang ke kampung. Suka benar dia berjalan-jalan ke daerah unik dan ganjil ini. Kota Syurgawan yang sering dia rindu! Paling dia rindui adalah banglo Kusuma yang penuh imaginasi itu!

Mesra. Dia tersangat merindui cucu dan anak menantunya.

“ Itulah nek. Memang Aiman nak duduk kampung selalu. Di bandar, papa dan mama asyik sibuk memanjang! Aiman mahu ke Banglo Kusuma. Membaca buku bersama kawan-kawan dan habiskan masa di sana!” Aiman tersenyum. Fikirannya lantas terus ligat, mengingati agendanya pada musim sejuk lepas apabila bersama sahabatnya iaitu Afrina dan Irfan menghabiskan masa dengan membaca buku dan bermain di setiap bilik iklim ajaib.

Aiman. Dia adalah seorang pelajar darjah 5. Pelajar sekolah berasrama penuh. Dia gemar membaca malahan merupakan seorang pelajar contoh yang mampu menguasai berbagai bahasa. Aiman digelar si mata warna biru dan berwajah kacukan persis papa dan mamanya.

“ Mari lekas kita masuk. Emak dan ayah ada buatkan rendang itik! Panas-panas lagi! Lekas-lekas!” Datuk Amin membawa cucunya masuk. Memimpin Aiman dengan penuh kasih sayang.

“ Sedapnya ayah. Emak jika masak sambal ikan bilis pun sedap. Makan nasi boleh bertambah-tambah sampai tiga kali. Fuh, berpeluh-peluh makan!” dia memandang Camelia isteri kesayangannya. Tersengih-sengih kerana teringatkan rendang daging isterinya yang tidak berapa menjadi pada minggu lepas.

“ Iyalah, saya ni masak tak sedap.” Camelia mencebik.

“Awak ni, janganlah merajuk. Awak masak memang sedap! Emak lain rasanya, awak masak lain!” Muhammad ketawa sambil menggenggam tangan isteri kesayangannya. Mereka lantas terus masuk ke dalam rumah banglo sederhana berkenaan. Nenek Latifah dan Datuk Amin awal-awal lagi sudah membawa cucunya ke dalam bilik, meletakkan beg sebelum mereka sama-sama menikmati makan tengahari bersama.

Makhluk berjubah penuh! Jubah yang berwarna hitam sedang memerhatikan mereka semua! Mata itu terus memerhati kelibat Aiman dan keluarganya. Terbeliak besar melihat Aiman yang memiliki mata berwarna biru. Aiman, diperhatikan penuh mesra dan makhluk berkenaan tersenyum lagi. Aiman, kanak-kanak 11 tahun yang kacak! Dari dalam semak, ia kemudian menukarkan diri menjadi seekor kucing Parsi yang gebu. Terus terkedek-kedek berjalan untuk masuk ke dalam rumah banglo itu.

Hujung jalan raya Jalan Firdaus, seorang anak gadis kelihatan berlari-lari perlahan. Salji terus turun dengan perlahannya. Menyimbah bumi dan pohon-pohon kelihatan amat cantik kerana dibaluti salji. Afrina memeluk tubuh. Baju sejuk berwarna coklat tua sedang melekap kemas. Afrina terus berlari perlahan ke rumah nenek Aiman dan terus menuju ke tingkap bilik Aiman. Dia nampak kereta papa dan mama Aiman melintasi rumah rehat mereka.

“ Aiman! Aiman! ” jeritan Afrina membuatkan Aiman segera meluru kembali ke dalam biliknya.

“ Rina?” Aiman tersengih-sengih!

Pantas Aiman menyembunyikan senyumannya. Dia tahu, Afrina akan datang berjumpa dengannya hari ini.

Afrina turut sama tersengih manja! “Awalnya awak sampai! Kamu akan bercuti di sini untuk semester ni ya?” Aiman memberikan senyumannya. Sambil mata Aiman memandang Afrina, gadis berusia 12 tahun yang erat berkawan dengannya selepas mereka berkenalan di dalam banglo Kusuma.

“Ya. Semestinya saya juga mahu menghabiskan cuti sekolah semester ni di Banglo Kusuma. Membaca buku dan masuk ke dalam bilik-bilik ajaib Banglo Kusuma. Mesti seronok, kan?” Afrina tersenyum memerhatikan Aiman.

Kemudian dengan petah menyambung bicaranya. “ Rina pujuk emak dan ayah, mahu bercuti di sini. Marilah kita ke Banglo Kusuma hari ni. Ada buku baharu kata Yok Ni. Memang banyak sekali. Komik pun ada. Tangga berjalan di tingkat buku melayu pun kita boleh naiki. Taman permainan sekarang, sudah ada ladybird besar. Labah-labah asyik bertanyakan kamu sahaja. Marilah Aiman!” Afrina memujuk mesra. Mahu kawannya itu mengikutnya lekas.

Kucing Parsi yang berselindung terus mendiamkan diri. Memandang kedua sahabat itu. Matanya terus membesar dengan bulat dan menembusi dinding dan seterusnya ke setiap tingkat di Banglo Kusuma. Makhluk bertangan enam yang duduk selesa di tingkat pertama bawah tanah, tersenyum manis sekali. Mereka sedang sibuk menapis wajah kanak-kanak yang akan menjadi pilihan mereka. Sesekali mereka seolah berbisik-bisik. Tiada sesiapa memahami bahasa mereka, kecuali Puan Kusuma!

“ Kita pergi ke Banglo Kusuma, esok ya? Nanti papa dan mama akan marah saya kerana kami baru sahaja sampai ke sini.” Aiman mencemik. Melalui tingkap mereka berpesan-pesan, agar jangan lupa dengan temujanji esok. Juga mengingati seorang lagi sahabat mereka iaitu Irfan yang turut sama akan menghabiskan cuti sekolah di Pekan Syurgawan.

“ Rina, engkau balik dahulu. Jika nenek tahu yang kita akan ke sana esok. Pasti aku akan dimarahi. Ingatkan Irfan juga untuk bersama dengan kita esok!”

“ Irfan yang berbau busuk itukah?” Afrina membulatkan matanya bagai guli kerana terkenangkan badan Irfan yang gebu dan montel. Sesekali, bau badannya, masyaAllah! Boleh pengsan dibuatnya.

Aiman ketawa dan mengerling Afrina. “Aku akan berinya baju baru dan hadiahkan dua puluh botol minyak wangi untuk Irfan. Hehehe.”

“Tetapi dia ada SMS memaklumkan cuti sekolah semester ni, Irfan terpaksa ke kursus kepimpinan. Ayahnya marah betul padanya dan mendesak dia mengikuti kursus berkenaan! Padan muka!” Afrina membawa tangannya masuk ke kocel seluar. Jemari sudah menyeluk saku seluar sendiri.

“Begitukah? Tapi saya yakin, Irfan akan tetap datang walau ribut melanda negaranya! Saya berani bertaruh untuk Irfan! Kerana dia sekarang amat rindukan donut coklat di kafe Banglo Kusuma. Dia akan datang! Saya pertaruh satu donut coklat untuk awak, Rina!” Aiman ketawa dan memandang-mandang ruang tamu.

“Okey, Aiman! Saya bertaruh satu donut coklat! Eleh! Jika Irfan datang saya akan hadiahkan awak sekeping donut coklat. Okey Aiman, kita jumpa esok bersama teman-teman lain di Perpustakaan Banglo Kusuma. Jumpa nanti, ya!”

Lantas mereka ketawa bersama. Afrina melambai-lambai sambil kucing parsi berbulu tebal itu mengamati mereka berdua dan Afrina semakin mengecil dari pandangannya. Aiman berlari kembali ke ruang tamu. Menikmati makan tengahari bersama nenek, datuk, papa dan mamanya.

“ Puan Kusuma itu memang ada kuasa sakti, Aiman. Dia perempuan tua yang tak dikenali. Juga ada kuasa jahat yang kita semua tak sedari! ” Nenek Latifah memberi amaran kepada Aiman. Tidak bersetuju dengan permintaan cucunya untuk ke Banglo Kusuma. Asyik menyebut-nyebut sejak tadi.

“Kamu jangan ke sana! Nanti nenek bawa bercuti di pulau Impian! Lagi seronok!” Nenek Latifah memancing Aiman.

“ Ala nek. Aiman dan kawan-kawan tak pernah kacau sesiapa kalau ke sana. Malahan tahun lepas kami tidak pernah terserempak dengan perkara ganjil sikitpun! Aiman, Afrina dengan Irfan cuma mahu membaca buku dan bermain di taman permainan sahaja. Aiman tak akan ganggu rak labah-labah, pari-pari gadis bersayap dan mengambil buku-bukunya. Sumpah, nek!”

“ Biarlah budak-budak tu ke sana. Tahun lepas, bukan mereka tidak balik ke rumah, pun! Lagipun di sana, banyak buku dan ramai kawan. Banglo itu akan tutup operasinya jam 7 malam. Bosan pula budak-budak ni kalau terperap di sini sahaja.” Datuk Amin menyudahkan karipapnya. Nenek Latifah mendengus seolah memberi amaran atas pilihan cucunya mahu ke Banglo Kusuma.

“ Memang tak ada sesiapa yang mengenali siapa Puan Kusuma. Malah, kita juga tak tahu siapa pemilik sebenar Banglo Kusuma tu. Biarlah Aiman dan kawan-kawannya ke sana. Sekurang-kurangnya mereka mengisi lapang dengan perkara yang berfaedah. Kita pun membeli-belah di gedung barangan harian Bango Kusuma. Macam-macam kita membeli di sana. Setakat ini, tiada perkara ganjil berlaku. Semua okey saja! Awak saja yang takut sangat. Itu inilah! Macam-macamlah awak tu!” Datuk Amin mengenyit mata kepada cucunya. Aiman lantas menunjukkan tanda bagus dan tersenyum simpul.

“Iyalah. Nenek benarkan Aiman ke sana. Tapi janji, jangan sebarangan bila ke sana! Jangan ambil apa-apa barang di dalam banglo tu kecuali buku sahaja!” Nenek Latifah memberi peringatan. Akhirnya dia lembut hati dan berlapang dada dengan nasihat dari suaminya.

Kucing Paris menderam tanda suka hati. Aiman terpandangkannya, lantas diambil dan diulit bulunya dengan manja.

“Kucing milik siapa ni, nek? Comelnya!” Aiman memeluk kucing berkenaan.

“Entah, selalu sahaja jiran-jiran nenek yang membuang kucing. Petang nanti, pasti adalah yang datang mencari dan mengambilnya.”

“ Kalau tak ada sesiapa ambil kucing ni, Aiman mahu belalah! ” dia kembali bermain-main dengan kucing parsi berkenaan.

Kucing yang bermata aneh! Sebelah kanannya berwarna biru dan kirinya berwarna hijau. Kucing berkenaan lantas menggesel-geselkan badannya ke arah Aiman dan melayani Aiman mesra.

“Kita tengok dalam dua tiga hari ni. Jika tak ada sesiapa yang datang untuk mencari kucing gebu ni, Aiman jadikannya sebagai kawan.” Datuk Amin memandang cucunya.

“ Badannya gebu dan montel. Macam Irfanlah badan awak ni! Aiman namakan awak sebagai Mr Montel ya!” dia terkekek ketawa. Lantas si kucing menderam tanda suka hati. Aiman mengesel-geselkan wajah putihnya di muka kucing berkenaan.

Di Banglo Kusuma, semua makhluk bertangan enam ketawa geli hati. Dinding-dinding juga seolah berbisik dan ketawa sesama mereka. Mereka turut sama menjadi geli kerana Aiman mengesel-geselkan wajahnya ke kucing berkenaan. Puan Kusuma tersenyum senang dan matanya membutang besar. Cermin itu ditatap sepenuh hati dan wajah Aiman dijamah perlahan.

Adakah Aiman pilihan Puan Kusuma? Adakah pengembaraan ini bakal bermula beberapa hari lagi? Sementara itu, Aiman dan kucing berkenaan sedang berehat-rehat di beranda. Salji mula turun dari langit. Suasana indah ditemani angin dingin yang mengasyikkan. Luar biasa suasana hari ini. Sungguh luar biasa sekali!

Puan Kusuma, ketawa sekuat hatinya!

Tetapi kemudian Puan Kusuma menangis teresak-esak. Penuh misteri. Penuh tanda tanya!

:::Terima kasih sudi like-like!:::

Tiada ulasan:

Catat Ulasan