Pages

16 Januari 2012

Mr Pai Epal 15

Perlu fokus menyiapkan manuskrip ini. Dalam apa genre sekalipun, saya mahu ada 'kekuatan' dalam setiap plot saya. Biar sedikit, saya mahu ada 'sesuatu' pelajaran untuk kita mengenali diri.

Insya-Allah, selepas ini, Yaya dan Izz Amir akan bekerja di Pai Epal Cafe! Bagaimana Yaya ditemuduga? Berjayakah Yaya? Yaya pengsan sebab ketahui Izz Amir menjadi bosnyakah? Selepas bab 15, kita akan berkenalan pula dengan Chef Daud! Juga akan membawa suasana 'hiruk pikuk' bekerja di Pai Epal Cafe yang akan memasrahkan Yaya. Bagaimana pula dengan 'Projek memutihkan hati mr pai epal?'


Jeng jeng jeng!

Semoga semua terhibur!

4061-orkob12te0




“Dua hari tanpa khabar berita dari dia ?” Melati memandang aku sambil mengira-ngira wang kertas. Laju dan tangkas. Kemudian Melati mengikat wang kertas berkenaan dengan rapi sebelum membungkusnya di dalam beg plastik. Aku hulurkan pen dan Melati pantas mengambil pen yang aku hulurkan. Sekejapan, dia menulis berapa jumlah wang yang diterima untuk urusniaga malam ini. Syiling dengan pantas aku bungkuskan juga.


Aku memandang abang Haikal yang menyusun majalah. Stesen minyak miliknya ini memang sentiasa memberikan pulangan lumayan. Kemudian Melati mencuit aku. “Tak rindu dengan dia ?”

Aku tersengih. Amboi-amboi Melati. Pandai serkap jarang nampaknya! Melati buat muka seratus lapan belas. Muka ala-ala mengejek dengan bibir diherot ke kiri dan kanan. “Ala Yaya, kalau dia suka. Dia akan emel atau sms. Kita tengok malam ni. Dia sms atau tak? Janganlah monyok macam ni Yaya! Tak bestlah kalau tengok muka kau yang comel ni masam mencuka. Senyumlah sikit!”

“Kau ada nampak muka ni rindu dengan mr pai epal tu ke?” tanyaku lagi.

Melati tersengih lagi dengan mengangguk-angguk. “Ya! Sinarnya hilang kini! Cewah!”

Aku gelengkan kepala dengan telatah Melati yang suka sangat mengusik-ngusik. “Pandailah sangat ya! Mengenakan orang, Melatilah nombor satu!” Pantas aku mengunci laci dan mengemas-ngemas meja. Selepas kami memastikan semuanya selesai, kunci segera aku serahkan kepada abang Haikal. Ada perkara tergempar yang harus aku bincangkan dengannya. Tetapi aku lebih suka menguncinya terlebih dahulu. Aku mahu berbincang dengan abang Haikal tanpa kehadiran Melati. Nanti Melati pasti akan memarahi dan bersedih hati. Borang biasiswa dari Yayasan Marjan sudah berkali-kali aku tatap. Maka, aku harus memaklumkan kepada abang Haikal dan Melati mengenai perkara ini. Fatin juga berbuih-buih mulutnya membebel memaksa aku mengambil borang berkenaan.

Aku ketap bibir dan rasanya ini bukan masa yang sesuai untuk aku berbincang dengan abang Haikal. Melati pasti terjun kolam ikan jika tahu aku mengisi borang berkenaan. Eeee, Melati pasti juga menjerit dan pengsan!

Aku tersengih memandang Melati. Buat-buat seperti biasa, agar Melati tidak mengesyaki apa-apa. Pantas, kami berdua mengadap abang Haikal yang masih tekun menyemak stok makanan ringan pula. Lelaki kuat kerja! Girlfriendnya kami gerenti akan bertukar setiap bulan! Lepas Suhana, Norsidah. Kemudian Kak Asiah dan sekarang entah siapa pula!

“Semua okey?” tanyanya. Perkataan yang selalu akan keluar dari bibir abang Haikal adalah ‘okey’. Semua okey tak? Hari ni okey? Okeykah hari ni? Ada yang tak okey? Yaya okey? Melati okey? Kerja hari ni okey tak? Pelanggan okey? Lori minyak datang tak hari ni, okey ke semua?

Kami selalu gelar dia, mamat okey! Asyik okey 24 jam sahaja! Aku pandang Melati yang tersengih geli hati. Dia pasti sedang berfikir apa yang aku fikir saat ini. Aku tersenyum geli hati. Pantas aku menjawab. “Semua okey abang Haikal. Meja okey sudah berkemas, duit okey dan balance. Stok semua okey juga. Kami pun okey!”

Melati menyiku lenganku dan dia memasukkan jemari ke kocek seluarnya. “Ada apa-apa yang tak okey ke dengan kerja kami hari ni abang Haikal? Kami nak balik dah ni. Lewat malam nanti, berembunlah jawabnya! Kami balik, okey?” Melati sengaja mengejek abang Haikal. Abang Haikal, sedar atau tidak yang kami sedang mempermainkan dia?

Abang Haikal anggguk berkali-kali. Dia masih fokus mengira stok makanan ringan. “Okey! Baliklah. Saya okey sahaja. Esok jangan lupa datang macam biasa, okey!”

Memang sah 'mamat okey'. Tiada perasaan dan agak-agaknya abang Haikal selalu berokey-okey dengan kekasihnya sampai semua cabut lari. Bercakap tiada nada dan irama. Bagaikan patung hiasan diletakkan berbagai-bagai pasang baju.

Kami berjalan perlahan. Menolak pintu kedai dan tersengih-sengih geli hati. Beg galas kini dibahu. Malam ini, kami menghirup udara malam yang segar. Mujur juga tidak hujan, jika tidak pastilah Melati akan demam lagi. Aku dongakkan kepala memandang kegelapan malam. Ah – aku betul-betul rindukan usikan lelaki itu. Mahu melihat dia tersenyum dan bola matanya yang bersinar-sinar. Benarkah aku gadis yang ingin dikenalinya hanya kerana memayungi ibu kala hujan itu? Bertuahkah aku dipilihnya? Atau itu hanya mainan dan bibirnya sahaja yang sengaja mereka-reka cerita untuk memancing hati ini?

Ada bintang! Dan kini terasa betul aku merindui dia! Juga ada bulan. Aku telan air liur. Serta merta terasa betul apa yang dikatakan Melati. Wajah aku sudah tidak bersinar. Sudah tidak bernyawa dan hilang serinya. Kenapa dengan aku? Adakah aku merindui lelaki itu?

“Yaya!” seru Melati.

Kalau saya nampak bulan, saya sentiasa nampak awak yang sentiasa tersenyum dan kalau saya nampak bintang, saya sentiasa rasa awak bintang di hati saya! Entah – saya tak tahu kenapa dengan hati saya sekarang ni, Yaya! Suaranya kedengaran menusuk hati! Ah, kenapa aku kala ini.

Ya, bila saya sedut udara yang berhembus nipis ini, saya juga sentiasa menyebut nama awak! Saya sentiasa rasa awaklah ruang angkasa yang temani saya kala ini. Aku pejam mara rapat-rapat. Menyebut namanya lagi dalam setiap nafas ini.

“Yaya!” panggil Melati kuat sehingga bahuku digoyang perlahan.

Kami berpandangan. Melati tersengih. Mataku terkebil-kebil. Oh, fasa jiwang melanda punah akhirnya kerana dirosakkan Melati. “Sila jangan jiwangkan diri di sini. Ayuh, kita start enjin skuter dan balik. Dah malam Yaya! Penat badan sangat ni! Berlengas sungguh rasa ni!”

Tiada jawapan untuk Melati. Rasa hambar dan kosong sahaja jiwa ini. Entah aku tidak tahu kenapa. Melati memandang aku. Turut sama pandangannya yang memberi berbagai rasa. Berbagai erti untukku. Aku ambil kunci skuterku di dalam beg dan menyarung helmet.

Melati memandang aku. “Kau kenapa Yaya? Macam sedih saja. Mukapun tak bermaya. Berjalan pun seolah-olah kaki tak berpijak di bumi. Nampak macam kau sedang terbang! Tahu tak terbang?”

Aku gelengkan kepala. Mendung lagi.

Melati ketap bibir bawahnya. “Mendung dan diam sahaja. Termenung sana sini. Engkau kenal Superman kan? Macam tulah kau terbang!” Melati yang mahu menyarung helmet terbantut. Helmet lantas diletakkan di dalam bakul comel skuternya.

Kami berpandangan lagi. Aku mengumamkan bibir. Tersenyum lagi! aku turut sama membuka helmet yang telah tersarung.

Dengan lembut, Melati menarik lenganku ke hujung stesen minyak. Kaki ini mengikut sahaja arah Melati. Rasa kosong saat ini, bukan? Rasa hambar juga hati ini, bukan? Tuhan, berikan aku kekuatan! Rasa mahu menangis tiba-tiba kerana teringatkan lelaki itu.

Ini pertemuan terakhir kita, cik Yaya sayang!

Pantas kami sudah berada di dalam surau. Aku bersila mengadap Melati yang menanti aku meluah rasa kesedihan ini. Entah dari pagi tadi, memang aku muram sahaja. Segala kerja bagaikan tidak kena jadinya. Dimarahi encik Sulaiman dan beberapa pelanggan kerana kelalaian sendiri. Ya, Melati perasankan semua ini.

Aku pandang Melati. “Kata dia, mungkin itu pertemuan terakhir kami, Melati.” Aku meluahkan rasa hati. Memang aku telah bercerita kepada Melati kisah kami menikmati minum pagi, beralih pula kepada adegan kejar mengejar, kenangan terindah di kedai aiskrim yogurt tutti frutti dan Izz Amir telah menghadiahkan sepasang baju kurung untukku.

Bagaimana pula untuk aku melupakan setiap saat dan detik yang pernah kami lalui bersama?

Melati mengerdipkan matanya. Bibir bersatu, diketap lagi. “Kau kenapa, Yaya?”

Aku tarik nafas. Angin dingin pantas membalut tubuh. Bunyi cicak kedengaran. Ada sendu berlagu di hati. “Bagaimana ya untuk aku tidak merindui dia? Bagaimana untuk aku tolak rasa dan perasaan ini, Melati? Bagaimana?”

Air mata tumpah akhirnya. Tersedu-sedu aku di situ. Melati terlongo. Sekejap sahaja aku meluah rasa hati dan sekejap juga aku boleh mengalirkan air mata. Entah kenapa yang terjadi dengan diri ini. Apa rasuk yang melanda hati ini, aku tidak tahu. Hairan sungguh aku.

“Kata dia lagi, dia jatuh cinta dengan seorang gadis yang memayungkan ibunya dari ditimpa hujan.”

“Dan gadis itu, ialah kau, Yaya?”

Aku angguk dan kesat air mata. Mahu berbual-bual dengan Melati dan mahu Melati tahu rasa hati ini. Rasa puas meluahkan apa yang terbuku dengannya. Melati, sahabat yang selalu mendengar masalah dan membantu memberikan ‘sesuatu’.

“Rasa rindu itu fitrah, Yaya!” Melati menyambut dengan seulas senyuman. Dia genggam jem
ari ini.

“Rasa sayang juga pemberian dari Dia, Yaya! Tak salah untuk kita rasa semua itu. Dan kasih sayang itu memang Allah swt sudah tetapkan untuk lelaki dan wanita. Kita dijadikan berpasang-pasangan. Bukan?”
Aku angguk lagi. Menyedut hingus. Iyakkkk! Sempat lagi aku tersengih dalam keadaan sebegini.

Melati tersenyum penuh makna. “Dah agak dah. Memang kerana Izz Amir semuanya. Apa lagi yang mahu dikongsikan? Dah-dah, jangan menangis. Buruk benor nampaknya!”

Aku tersengih sambil mengambil tisu yang dihulurkan oleh Melati. Aku kesat hidungku yang berair.

“Bagaimana aku mahu merubah dia menjadi baik seperti yang dia sebutkan di dalam emelnya tu ya? Dia serius menyahut cabaran ibu yang mahu dia berubah. Katanya, dia nak solat, berubah jadi baik seperti yang uminya selalu pesankan pada dia. Luahan hatinya di dalam emel seperti aku baru mengenalinya semalam, Melati! Ayat-ayatnya berubah seratus peratus!”

+Yaya, jiwang? Sejak bila ni Yaya?
-Entahlah. Agaknya semenjak Izz Amir mengganggu jantung, usus dan urat-urat ini.
+Yaya, kumbang bukan seekor, okey?
-Peduli apa dengan kumbang yang seekor dan pepatah merapu tu! Dia kumbang hitam spesis raja gunung Everest. Tahu tak? Tiada di pasaran. Stok tempat lain pun, tiada!
+Huh, sudahlah Yaya, jangan fikirkan dia lagi.
-Tak boleh! Tak boleh! Yaya harus membantu mr pai epal menjadi insan yang cemerlang dunia akhirat.
+Ceh!

“Soalan pertama aku, dia sihat?”Melati melunjurkan kakinya pula. Nampak Melati penat sungguh. Ah, kasihannya aku dengan Melati.

Melati tersengih lagi. “Soalan kedua, Yaya rasa untuk tempoh sekarang ni, apa sebenarnya hubungan Yaya dan dia?”

Bola mata kami berlaga! Jantung berdegup kencang.

“Izz Amir ada beri SMS semalam. Katanya dia sihat dan sedang sibuk dengan urusan di Pai Epal Cafenya tu. Ermm… jawapan kedua, rasa-rasanya untuk tempoh dan saat ini, biarlah kami sebegini. Yaya dengan kerja dan menyambung cita-cita. Begitu juga dengan dia. Dengan café dan kerjayanya juga sudah pasti boleh hiburkan diri. Boleh begitu?” Rasa mahu sahaja aku ketuk dahi ini. Jawapan tak relevan sungguh! Atau aku perlu bertindak? Menderhaka kepada larangan ibu terus sahaja berpacaran dengannya atau minta sahaja kahwin lari dengan dia? Gila! Gila, Yaya!

-Eh, tak boleh kahwin lari! Memang gila namanya tu, Yaya!
+Jangan buat masalah, Yaya! Yaya ada ibu dan Fatin. Yaya juga harus laksanakan tanggungjawab Yaya sebagai seorang kakak dahulu. Lari kahwin ke Thailand, dah ramai yang membuatnya. Janganlah menyusahkan diri. Kelak merana, Yaya!
-Betul! Betul! Betul! Yaya kena capai cita-cita! Yaya kena patuh arahan ibu!
+Kemudian baru cinta!
-Kalau cita-cita dan cinta digabungkan sekali?

“Yaya dengan kehidupan harian Yaya, dan Izz Amir dengan cara hidup dia? Begitu? Mahu dia putus asa?” Melati membuat kesimpulan.

Aku angguk. Rasa mahu sahaja aku tampar pipi sendiri laju-laju.

Melati gelengkan kepala. Mencebik. “Bukan dengan cara begitu Yaya! Kau kena tolong dia. Memanglah dia kata itu adalah pertemuan terakhir kalian berdua. Itu perancangan kita, Yaya! Perancangan Allah itu lagi teliti. Kalau betullah dia nak berubah, sokong dia. Bantu dia. Bukan jauhkan diri macam yang Yaya sebutkan tadi. Kita kena memberikan dia semangat dan kekuatan walau dengan cinta jarak jauh.”

Cinta jarak jauh?

Itu juga perkataan yang pernah Izz Amir ungkapkan kepadaku.

“Cinta tak salah Yaya! Kita sahaja yang selalu menyalahkannya. Anak-anak muda sekarang yang warnakannya dengan cara yang salah. Kalau tiba-tiba dia putus asa, dan kembali kepada gaya hidupnya yang lama, bagaimana?”

Aku akan larikan diri ke Uganda, Melati! Huwaaaaa!!

“Larikan diri ke Ugandalah tu!” Melati tarik hujung tudungku dan kami ketawa. Sekejap sahaja rasa hiba ini berkurangan. Aku terfikir-fikir lagi. Apa langkah seterusnya yang perlu aku lakukan? Tisu bertebaran di dalam surau.

“Belikan buku untuknya ke. Cari ustaz untuk dia belajar ke. Iyalah, manalah tahu kan, dia pemalu dan bila kita nak berubah ni, perlulah kita berdamping dengan ustaz-ustaz atau orang yang berilmu. Barulah melekat di hati! Juga kita boleh senaraikan masjid atau surau berdekatan yang ada kuliah agama untuk Izz Amir sertai. Secara tak langsung, kita pun akan pergi dengar kuliah maghrib. Dia dapat ilmu, kita pun dapat ilmu. Iya tak?”

Aku angguk dengan penerangan panjang lebar Melati. Konsultan pakar perunding jiwaku ini memang terbaik! “Memang pun kita ni kan? Kita ni satu kuliah agama pun jarang pergi! Isk Isk…” dan aku gelengkan kepala. Mengenangkan hitamnya hati dan bebelan ibu yang selalu memaksa aku menjengah ke surau berhampiran rumah.

Kami berdua tersengih. Menampakkan gigi yang tersusun rapi.

So?” Aku membutangkan biji mata. Semakin hilang hiba ini dengan sahabat sepertinya. Tetapi aku pasti Melati akan lagi hiba jika aku berjaya memegang biasiswa dari Yayasan Marjan!

“Projek memutih hati, Mr Pai Epal!”

Aku angguk suka hati. Bermacam-macam idea berhantu datang dalam otakku. Tetapi mulut ini dengan lancangnya berterus-terang kepada Melati, “Dan aku ambil borang biasiswa Yayasan Marjan!”

Erk!

Melati menjerit bagaikan terkena histeria. Memang betul sanggkaanku. Kalau ada kolam ikan, Melati pasti akan menjunamkan dirinya masuk bersama denganku. Jeritan Melati menggegarkan suasana malam. Abang Haikal sampai keluar memerhati dan bercekak pinggang mengarahkan kami segera pulang!

Sudahnya, aku berlari keluar kerana dikejar oleh Melati. Kasutku entah tercampak ke mana. Kami berlari lagi. Mengejar dan dikejar. Malam ini, rasa gembira, rasa hiba dan rasa segala-galanya. Saat ini juga, aku turut merasakan yang aku tidak mahu kehilangan Melati. Aku juga tidak mahu apa-apa yang buruk berlaku kepada Melati. Aku mahu Melati juga dihamparkan rasa bahagia seperti yang sedang aku rasai sekarang ini.

Tuhan, Maha Besar segala perancanganmu.

***
Cik Yaya sayang saya ni apa khabar?

Entah kenapa ketika saya mencoretkan emel ini, ada air mata lagi mengalir. Sungguh-sungguh mengalir sehingga saya rasa siapalah saya untuk awak, Yaya! Awak anak yang baik, dan patuh apa yang ibu pesankan. Sehingga ketika mahu berkawan dengan awak, dan pesanan ibu ketika di hospital tempoh hari, membuatkan saya rasa serba salah.

Teramat sangat.

Ya, saya bukan lelaki yang solat lima waktunya. Tidak pernah cukup dan selalu sahaja lalai. Ala, saya selalu berkata, nanti bolehlah saya qadanya. Tetapi bila ibu bertanya, “Izz dah solat? Dah masuk waktu ni.”

Saya menjawab ringkas, “Belum, makcik! Nanti balik saya solat!”

“Lelaki yang mahu berkawan dengan Yaya, perlu segera solatnya! Perlu solat awal waktu! Ibu suka lelaki yang solat!”

Saya telan air liur. Malu. Mata hati ibu sungguh bercahaya sekali! Saya nampak ada senyuman di hati ibu. Saya patuh dan itulah kali pertama ketika menemani awak demam panas, saya solat Zohor dan Asar di hospital dan berbantukan seorang lelaki yang mengambil wuduk dengan bantuan kerusi rodanya.

Sungguh, jemari ini jarang menyentuh kaki untuk alirkan air wuduk. Sungguh, saya rasa hina dengan diri sendiri kerana nikmat kaki saya lebih sempurna dari lelaki cacat itu. Saya malu kerana tanpa ragu-ragu saya minta dia ajarkan saya berwuduk.

Namun, lelaki itu dengan senyuman mengajar dengan penuh tertibnya. Wajahnya penuh keikhlasan sekali. Awak tahu, saya menangis dan menangis selepas itu. Air mata lelaki saya tumpah kerana kesekian kalinya, saya merasakan Allah masih sayangkan saya. Allah masih memberikan saya nikmat yang paling berharga untuk saya. Pancaindera lengkap ini, sudah mencukupi namun saya selalu lalai dan lupa.

Sungguh, saya rasa senang dan tenang kerana Allah izinkan saya berkenalan dengan ibu dan awak, Yaya!

Dan kalaupun awak tahu saya selalu lalai dan lupa dengan amal ibadat, masih sudikah lagi awak berkawan dan bersahabat dengan saya?

Izz Amir

3 ulasan:

  1. sedihnye, sobsob..... kciannye cik yaya sayang dgn mr pai apple ni....
    thanxs cik writer

    BalasPadam
  2. Ahkak RSL17/1/12 08:49

    Dannnn.. air mata ini mengalir lagi... huwaaa...

    BalasPadam
  3. Kak Dihah! Ini entri memang buat orang menangis! Dem!

    BalasPadam