Pages

14 Januari 2012

Mahu Memeluk Bulan 2

Oh, Mahu Memeluk Bulan untuk bab 2 saya paparkan hari ini. Pembaca ada banyak pilihan untuk membaca dan berurusan di blog tersayang saya ini. Ada Mr Pai Epal, Yang Terindah dan sekarang buah tangan terbaru saya untuk 2012, Mahu Memeluk Bulan. Semoga suka!


Saya tak pasti kenapa harus letak gambar hero Korea lagi dalam setiap entry saya. Mungkin ini unsur memikat. Hahaha. Saya pun bukannya fanatik K-Pop teramat sangat. Cuma drama korea ada sesuatu rencah yang harus industri perfileman dan drama Malaysia ambil dan olah. Ceh, dah mengkritik drama Malaysia pula saya!


Okey allzzz, jom baca perlahan-lahan!


Senyum comel-comel semua......


da56384e3c0cc698d1c86aa




Bonda Marlia selak rambut As yang panjang mengurai. Dikesat-kesat air mata anaknya, As yang sedang menahan sakit dan tangisan menyepikan diri. Mata As merenung kain batik bonda yang membalut. Mata menerawang jauh entah ke mana. Dia bagaikan kanak-kanak yang hilang upaya fikirannya.

“As cuma mahu lihat bulan sahaja dengan abang chik. Bukan buat apa-apapun bonda. Kenapa abah sanggup rotan As dan abang chik hanya sebab tu sahaja? Kasihan abang chik, bonda.” Suara As merintih lagi. Dikesat-kesat air mata sendiri. Tersengguk-sengguk menahan sedih dan hiba.

Bonda Marlia tersenyum. Tapi hatinya lara. Melihat tubuh anak gadisnya dipukul lagi suami sendiri. Diusap perlahan-lahan dahi anaknya, Asmidar. “ As kan kecil lagi. Baru darjah enam dan abah rotan As bersebab. Sebab As tipu abah dan bonda kata mahu ke rumah Nini dan sebenarnya keluar dengan abang chik. As tak lama lagi nak besar. As kena dengar cakap bonda dan abah. Jangan selalu buat abah marah ya, As!”

“Kasihan abang chik!” mata As menyorot dalam. Jauh tembus melihat tubuh abang chik diseret oleh abah dan dipukul bertalu-talu. Sehingga Pak Su, ayah abang chik dan Mak Nah, ibu abang chik menjerit menyuruh abah berhenti memperlakukan abang chik sebegitu. Air mata As ketika itu mengalir-ngalir lebat sekali.

As menjerit-jerit, “As nak duduk dengan abang chik. Jangan bawa As balik rumah. Nanti abah pukul As lagi. Abah jahat!”

Kenangan terpadam. Bayangan dirinya diheret juga oleh abah menerjah-nerjah kotak mindanya. Dan As pandang lagi tingkap yang rapat ditutup bonda. Kepalanya sudah beralih letak ke sebuah bantal kekabu yang dibeli di rumah Makcik Adibah.

“As bukannya pergi mana-mana pun. As kan selalu kawan dengan abang chik. As hanya mahu duduk di pangkin Mak Tok dan Pak Aja sahaja. Salahkah As dan abang chik berbual-bual sahaja?”

Bonda Marlia menarik langsir. Pantas jemarinya merayap ke almari. Membetulkan bedak yang tersusun di atas almari solek Asmidar. “Sudah jauh malam, As. Abah tentulah risau. As kan perempuan, abang chik lelaki. Tak lama lagi, As akan besar tau! Tak elok berkawan dengan abang chik rapat macam tu!” Pujuknya lagi. Bonda Marlia berdiri di hadapan almari. Memeluk tubuh dan pantas tubuh tegapnya memandang As yang sudah diselimutkan.

“As tidur ya. Bonda nak siapkan kopi untuk abah. Nanti mengamuk lagilah abah tu! Dah jangan menangis lagi, nanti abah marah lagi! Tidur!” bonda Marlia berlalu. Menguak pintu kayu dan menutupnya perlahan-lahan.

As merenung lagi tingkap yang bertutup rapat. Air matanya perlahan-lahan mengalir lagi. Sakit sungguh punggung dan betisnya kerana dipukul abah tadi. As pantas bangun dengan senyap dengan derap kaki yang tidak berbunyi bila mendengar bunyi yang sinonim dengan telinganya. Abang chikkah? Anak gadis itu pantas bangun, mengunci pintu biliknya dan terhendap-hendap ke arah tingkap. Bunyi batu dibaling kedengaran lagi.

Rambutnya dibetulkan rapi. Sedunya ditahan dan dipendam. Tingkap dibuka perlahan. Abang chik tersenyum memandang adik kesayangannya itu.

“As okey tak?” tubuh tinggi lampainya muncul di balik pekat malam. Jemari abang chik menyentuh kekisi tingkap. Mendongak kepala melihat keadaan As. Terukkah As dipukul abahnya? Kalaulah bukan kerana dia mengajak As melihat bulan mengambang, As pasti tidak akan dipukul sebegini teruk oleh Ustaz Shaari itu.

As angguk dan tersenyum. Dengan berbisik, dia membalas pertanyaan abang chik, “ As okey. Abang chik kena pukul juga ke dengan Pak Su dan Mak Nah marah kita juga ke?”

Abang chik geleng kepala dan tersenyum. “Pak Su kan sayang abang chik. Mak Nah nak pukul abang chik? Pun tak. Ala, kata pak su, kita budak-budak. Bukan buat apa-apa pun. Main-main dan tengok bulan atas pangkin saja. Salah apanya, As? Kasihan As. Abah pukul lagi ke?” abang chik memandang inci tubuh gadis kecil itu. Dia sungguh kasihkan As gadis berumur 12 tahun itu.
Dia kasihankan As yang asyik sahaja diherdik ayahnya, Ustaz Shaari itu. Kadang kala dialah yang menyelamatkan As. Membawa As berlari mengejar pelangi di bukit belakang rumah Mak Tok dan Pak Aja. Ya, mereka berjiran. Jaraknya sepelaung sahaja. Sebab itu dia tahu bila masa dan waktunya Ustaz Shaari akan merotan As. Panjang sahaja telinganya mendengar herdikan Ustaz Shaari. Dia yang akan berkejar masuk melalui dapur dan merentap tangan As supaya mengikutnya. Bonda Marlia pula merestui sahaha kegiatannya menyelinap masuk itu. Pantas, masa berlalu dan kerana mereka berkawan rapat, maka abang chik rela mengajar As dalam pelajarannya, membantu menyiapkan kerja sekolah As dan kerana itu jugalah mereka menjadi akrab sehingga hari ini.

“As mesti belajar rajin-rajin! Tengok abang Hadi yang selalu abah As puji melambung-lambung tu! As buktikan keputusan UPSR As pun sama macam abang Hadi.”

“Tapi abah selalu kata, sepandai-pandai orang perempuan pun dia akan duduk di dapur juga. As manalah pandai masak-masak ni. Bonda yang memasak! Abang Hadi tu memang kesayangan abah. Apa yang abang Hadi buat semua betul dan abah benarkan. As semua tak boleh!”

Dia pandang wajah putih bersih As. “ Maksud abah tu, nanti bila As dah besar. Bukanlah sekarang abah suruh As memasak. Kalau As memasak sekarang, alamatnya terbakarlah dapur bonda Marlia!” abang chik mengekek ketawa.

Walau mereka umurnya dijarakkan dengan 15 bulan. Tapi mereka akrab bagai seorang adik dan abang. Akrab bagai lagu dan lirik. Bersatu bagai laut dan ombak. Tidak boleh dipisahkan dan tidak boleh berenggang.

Abang chik melempar pandangannya ke belakang. Takut disergah sesiapa. Kalau ustaz Shaari yang menyergah lagi mati rasanya! Huh!

“Abang chik untung. Semua sayangkan abang chik. As ni, abah selalu pukul teruk-teruk.” Air mata As mengalir perlahan. Tingkap menjadi medan mereka berbual-bual. Abang chik menelan air liurnya. Sedihnya lihat As menangis.

“Abah sayangkan As. Jaga As dan didik As. Abang chik pun kadang-kadang kena rotan juga!” Dia pujuk sedaya upaya.

“Tapi bukan dengan memukul As sampai lebam macam ni. Cikgu kata, mengajar anak-anak ada batas dan caranya!” As tunjukkan lengannya yang biru dan kemudian seluarnya dilipat sedikit ke atas. Betisnya merah menerbitkan darah.

“Ya Allah, As!” dia separuh menjerit. Bunyi cengkerik menemani lagi. Sesekali abang chik menoleh. Mereka berpandangan.

Air mata sayu menitis entah untuk keberapa kali. “Sakit abang chik!” dan dia merenung wajah sugul abang chik. Dia tahu abang chik tidak mampu buat apa-apa kala ini. As pantas menolak seluarnya ke bawah. Dia pegang tingkap dan air matanya meleleh-leleh lagi.

“As rasa abah tak sayangkan As macam abah sayangkan abang Hadi. As ni siapa? As ni kenapa selalu jadi mangsa pukul abah. Badan As selalu sakit-sakit, abang chik!” dia meluah rasa hati.

“As!” suara bonda Marlia kedengaran. Abang chik terus terjatuh ke bawah. Bunyi hentakan kaki Ustaz Shaari lantas terasa dekat dengan mereka. Wajah As berubah.

“Cepat balik abang chik. Kita jumpa esok di sekolah ya!”

Abang chik menepuk-nepuk punggungnya yang kotor. Sakitnya kerana terjatuh. Ustaz Shaari memang berhantu betullah! Abang chik angguk berkali-kali. Memandang wajah As yang sugul.

“ Ya, bonda!”

“Buka pintu ni. Buat apa tu?” suara bonda mengeras lagi.

“As, ambil ni. Minyak gamat! Sapu ya!” abang chik menghulur cepat dan huluran disambut. Pantas As menutup tingkap melihat abang chik sayup-sayup menghilangkan diri dengan kegelapan malam.

“As ada ni. Baca buku, bonda!” pantas As mengunci tingkap. Membetulkan langsir seperti yang bonda aturkan dan meja belajarnya pantas dibukakan sebuah buku. Pensel di keluarkan dari bekasnya.

“Buka pintu ni!” suara abah kedengaran pula.

Mata As memerhati segenap bilik yang tidak menampakkan syak abahnya. Suaranya perlahan membalas. Air mata dikesat lagi. Debaran melanda. “Baik abah!”

Dia tahu abah sayangkan dirinya. Malam itu ditemani bonda Marlia, abah usapkan minyak gamat di betisnya. Suara bonda Marlia menyusup deras ke hatinya. “Tulah abang, ikut sangat panas barannya. Sakit awak tahu tak! Terbit darah kaki budak ni!”

“Saya tak sengaja awak tahu tak!”

“Satu kampung ni tahu sikap panas baran awak tu!” bonda membidas lagi.

“Awak jangan kerana As, awak tinggikan suara!”

As pejam mata erat-erat. Kerana dia juga, malam itu abah dan bonda bertengkar lagi. Bergaduh dan berperang mulut. Dia tidak pasti bila akan berakhirnya suasana ini. Muram dan suram.

Malam terus gelap dan likat warnanya. Hitam dan bunyi cengkerik menemani halwa telinga. Angin dingin dan kedinginan itu belum tentu merubah hati dan perasaan bencinya dengan setiap herdikan dan pukulan abah.

Ada gerimis di hatinya. Air mata As meleleh-leleh lagi.

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum.

    Menariknya. Bilalah saya mampu menulis jenis-jenis cerita begini ya puan.

    BalasPadam
  2. akak...sedihnya citer....kekeluargaan...memang sensitif sikit huhuhu

    BalasPadam