Pages

05 September 2013

Maleq Rafie 28

"Kita bukan kahwin paksa kan?"
Geleng kepala. Terkebil-kebil dia.
"Nad redha kan?"
Angguk pulak. Apa kena Maleq Rafie ni.
"Buatkan abang kopi kejap. Teringinnya nak rasa kopi air tangan Nadratul Nisa'. Lepas tu hantar masuk dalam bilik ya. Abang tunggu."
Eh-eh dia ni. Amboi-amboi.






Esok akan datang wahai Nadratul Nisa'. Esok akan berlaku. Esok, dia akan mampir menuntut janji seorang isteri.
 
Nad memeluk tubuh. Menggosok-gosok lengan sendiri. Mengetap bibir. Retina mata terus jatuh ke susuk tubuh lelaki di halaman. Ah - risaunya dia! Sungguh dia risau sekali melihat lelaki bernama Maleq Rafie itu merenung dan menjeling-jelingnya.
 
Maleq Rafie menggamit. Melambai dan menjerit. "Nad, turunlah sini!
 
Dia terpempan. Tidak sedar yang matanya sedang meneliti raut wajah suami. Berbalam-balam senyuman Tan Jie Kang hadir dan menghiasi.
 
Syaitan apakah yang mengganggunya kala ini?
 
Nadratul Nisa’ lekas-lekas mengikat rambut. Masuk kembali ke dalam bilik. Tidak mahu dia duduk berlama-lama di balkoni dan melihat aksi-aksi mesra keluarga di bawah. Dia duduk di hujung katil. Garu kepala sendiri dan mata memandang beg-beg yang tersedia.
 
Dia sudah mengemas semuanya. Sudah juga memasukkan hadiah-hadiah yang pernah diberikan Tan Jie Kang kepadanya ke dalam beg. Cuma akuarium kecil yang di dalamnya ada Didi dan Nini harus dipegangnya di dalam kereta nanti. Tiba-tiba sahaja Maleq merubah jadual. Suaminya mahu balik lekas ke Cameron kerana urusan kerjanya. Majlis sebelah lelaki tidak akan dibuat kerana sudah digabung sekali dengan majlis di rumahnya. Itupun dia tidak ambil tahu. Malas sebab apa-apa keputusan semuanya dari baba, mama dan ibu Maleq Rafie.
 
“Untung-untung, kita berjimat cermat sikit. Kenduri siap, nikah siap lebih afdal. Bersederhanalah kita ya!” Suara ibu Maleq semalam kedengaran. Dia mencuri-curi dengar di dapur.
 
“Ala, kalau ibu nak buat kenduri sepuluh dulang ke, lima belas dulang kat sana nanti, kami akan datang. Bolehlah menjenguk Nad dengan Maleq kat Cameron.” Suara mama pula berbalas-balas mesra dengan ibu Maleq.
 
“Itulah. Minyak pun dah naik dua kupang. Haihlah..dunia-dunia! Kita ni rakyat marhaen Ana. Pusing sana sini, kita yang terkena tempiasnya. Syukurlah Malaysia ni aman katanya. Maleq tu hari-hari bising kat saya cerita fasal minyak itu ini.”
“Ibu Wardahnya, agak-agak Nad okey ke?” Suara Roziana memaku tubuh Nadratul Nisa’ di dapur. Suara mama dan ibbu mertua bukan dia tak boleh dengar dari dapur.
 
“InsyaAllah Ana. Kita doakan sama-sama ya. Maleq tak tahu pun fasal sebelum ni Nad tu suka dengan orang lain. Biarlah saya sahaja yang tahu Ana. Saya percaya Ana, percaya dengan Maleq. Dia anak yang baik.”
 
“Saya minta maaf kak.” Hiba.
 
“Iskk…ada pulak nak diminta maafnya. Saya faham Ana. Kita pun perempuan. Pernah jadi kat kita juga kan? Ajal, maut, jodoh pertemuan semua di tangan Allah. Kita merancang A, tapi yang jadinya B.” Bunyi cawan berlaga dengan piring mengganggu minda Nadratul Nisa’. Dikacau-kacau air milo di dalam gelas besar.
 
Tidak sedar dirinya sedang asyik diperhatikan. Tidak sedar juga retina mata sang suami sebenarnya dari tadi sudah hinggap menjelajah wajah comelnya. Maleq Rafie di pintu belakang rasa kagum dengan keindahan si isteri.
 
Kriok….
 
Nadratul Nisa’ cepat-cepat menoleh. Kenangan pagi tadi terus melayang-layang. Hilang bila sahaja Maleq menolak daun pintu dan kini sudah berdiri di depan pintu bilik. Dia betulkan rambut. Terus ayunkan kaki duduk di sebelah isteri.
 
“Kenapa tak nak turun? Esok kita dah nak balik Cameron. Waktu cengginilah, Nad boleh bual-bual dengan abang-abang, mama dan baba.”
 
Protes! Suara hati Nad bernada. Dia senyum. Cuba mengawal diri seadanya. “Malas. Lagipun Nad baru sudah kemaskan beg tu.” Bibir muncung ke depan.
 
Maleq gagahkan retina mata mencari beg milik isterinya. “Nad..”
 
“Iya..”
 
“Kemaskan baju abang sekali ya. Dalam beg tu rasa dah berpunggah-punggah pulak. Semalam abang cari baju tak jumpa.” Mata meleret memandang beg sendiri di sebelah beg Nadratul Nisa’.
 
“Okey.” Sepuluh patah perkataan dari bibir mungil Maleq, dibalas sepatah-sepatah sahaja.
 
Maleq mula rasa terasing. Mula rasa dia dipinggirkan isteri sendiri. Kalau bercakap dengan Nadratul Nisa’, isterinya akan membalas ala kadar sahaja. Apa perlu dia buat untuk merapatkan hubungan suci ini? Apa perlu dia lakukan untuk melihat senyum itu ikhlas untuk diri dia. Bertegas? Atau Nad belum boleh menerima akan tittlenya yang sudah bertukar menjadi ‘isteri’. Terkejut beruk sebab dapat suami ala-ala hero ini? Haih-haih! Maleq gelengkan kepala.
 
Dicapai jemari Nadratul Nisa’. Ditarik meski isterinya cuba merentap. Diam. Semakin kuat Nadratul Nisa’ menarik, semakin kuat dia genggam!
 
“Abang tahu Nad mungkin rasa perkahwinan ini terlalu awal untuk Nad. Sebab tu agaknya abang nampak Nad macam serba tak kena duduknya. Awal-awal pun abang dah tanya Nad soalan. Nad sukakah dengan perkahwinan ini? Nad terimakah abang dengan redha Nad?”
 
Sentap! Nadratul Nisa’ menelan air liur. Perlahan-lahan dia menoleh memerhati wajah sugul Maleq. Berdosanya dia.
 
“Berdosa Nad, melayan suami begini. Kalau Nad mahu berikan abang masa, abang boleh. Tapi dua hari dah, abang dah nampak gerak tubuh Nad dan jiwa Nad yang tak setuju dengan ikatan ini. Abang ada salah apa-apa ke?”
 
Dia gelengkan kepala. Automatik dia mendengar sahaja luahan dari Maleq. Rambutnya dibetul-betulkan oleh Maleq. “Nad, abang bukan apa. Kalau betul Nad kahwin dengan abang sebab baba atau mama. Juga atas sebab ibu pun, abang nak Nad terima abang dengan redha. Itu sahaja pinta abang ya.”
 
‘Perempuan Maleq. Mula-mula bibir dan hati kata tak mahu. Lama-lama dia akan mahu juga. Kerak nasi pun kalau direndam lama-lama dengan air, akan lembut. Inikan pula Nadratul Nisa’. Haa..pujuklah lagi. Mana tahu, lembut nanti.’
Masalah Nadratul Nisa’ pun dia tidak tahu. Maleq terus pusingkan tubuh Nadratul Nisa’. Dipeluk dengan kasih sayang. Dia pinta lagi pengertian dari isteri. “Masalah Nad pun abang tak tahu. Kalau Nad sudi kongsikan dengan abang, Nad cerita ya.”
 
“Errr..” Bibir terkunci. Jantung berdegup-degup. Maleq ini, spontan sahaja tindakannya. ‘Masalah? Masalahnya dia ingat pada Tan. Apa-apa Tan!’
 
“Kau jangan jadikan dia suami yang teruji, Nad. Apa-apa tindakan yang kau buat, pastikan jangan kecilkan hati suami. Kau tu bukan boleh percaya. Asyik-asyik Tan. Semua Tan!” Suara Bib di hujung gegendang telinga menari-nari lagi.
 
“Nanti Nad cerita. Tapi sekarang mungkin Nad belum biasa.” Nad sedang cuba menarik perhatian Maleq. Dia sedang cuba menawarkan hakikat dan mula mencari rentak sebagai seorang isteri. Nama Tan Jie Kang dia cuba buang. Cuba, Nad! Cuba, Nad!
 
“Lama-lama akan biasa kan?” Maleq sudah longgarkan pelukan. Bibir terus mengucup pipi sejuk isteri. Dia senyum. Jemari tangkas lagi betulkan rambut yang jatuh di dahi isteri. Sederhana sahaja kecantikan isterinya. Tapi entah kenapa mata bagaikan melekat-lekat mahu terus menjamah wajah Nadratul Nisa’.
 
Dia angguk. Cuba lagi berlagak biasa. Tubuh Maleq terus dipeluk erat. “Iya, lama-lama Nad akan biasa. InsyaAllah. Dan Nad pohon berikan Nad ruang dan masa untuk kenal Maleq Rafie ni ya. Kalau Nad terkasar,  jangan ambil hati ya.”
 
“Bila nak panggil saya abang?” Maleq menarik nafas. Sudah boleh berdiplomasi dengan isteri. Nad sekarang sedang mencari rentak untuk menerima dia seadanya sebagai suami. Dia terima. Dia sedang menerima seorang isteri yang rapuh jiwanya. Dia juga sedang menganyam cinta dan memohon dibalas cinta itu seadanya.
 
“Esok!” Nad senyum. Dia sudah boleh berkawan. Berkawan dan kini perlahan-lahan menerima Maleq Rafie sebagai suaminya. Tetapi hakikat yang semua orang tahu di dalam rumah ini ialah nama Tan Jie Kang sudah lama terukir di hati.
 
Berdosakah Nad, wahai Maleq Rafie?
Dan mata Nadaratul Nisa’ tiba-tiba membulat besar. Chup! Maleq senyum sahaja sambil bibir kering si isteri di pandang lama-lama.
 
“Esok ya. Abang tuntut!”

***
Maleq senyum pulas.  Gebar yang membuka separuh badan isteri cepat-cepat dia tarik. Lampu tidur yang terpasang memberi ruang mata dia menangkap wajah Nadratul Nisa’. Iya perhubungan antara dia dan isteri sudah terjalin. Perhubungan suci dua insan bernama suami dan isteri sudah dibentuk.

Mudah bukan wahai Maleq? Hanya dia berdoa. Hanya dia menadah tangan supaya kegentaran si isteri dinyahkan. Allah telah permudahkan. Bagaimana dia memberi, Nadratul Nisa’ menerimanya. Bagaimana dia mencari rentak, sebegitu juga isterinya. Pipi merah isterinya tadi terbayang-bayang di hujung mata. Dia mengerti. Dia malah sebagai seorang lelaki memahami bahawa perempuan itu lebih dalam malunya.

Rambut Nadratul Nisa’ di lurut lagi. Hujan di luar menambah hangatnya ikatan suci. ‘Esok’ yang dijanjikan, sudah ditunaikan sang isteri. Meski payah juga dia memujuk. Haha. Maleq senyum simpul. Dia terus membaringkan diri. Menarik sekali lagi gebar dan terus berdoa. Ya Latif. Ya Latif. Ya Latif.

Esok, dia kena uruskan isteri. Esok, kena membawa isteri yang baru dikenalinya ini ke Tanah Rata. Esok, dia mahu kenalkan Nadratul Nisa’ dengan rumah comel milik mereka. Di sana, lebih tenang sayang. Di sana, sejuknya lebih luar biasa. Di sana juga, semoga isteri abang ini lebih mengerti mengenai kasih dan sayang. Di sana juga, kita akan berkenalan lebih rapat sesama kita.

Jemari kasar terus memeluk pinggang isteri. “Selamat malam sayang!”

***
"Ikan dua ekor tu pun nak bawak jugak?" Maleq terkedu bila Nadratul Nisa’ angkat si ikan tunjuk pada dia. Siap gaya pujuk rayu untuk membolehkan dia membawa si ikan.

Angguk. Bisu. Kelu

"Ikan tu nama apa?" Bertanya lagi selepas tidak ada respon. Tengoklah pipi Nadratul Nisa tu, merah lagi macam malam tadi.  Apa nak malu. Kita dah jadi suami isteri. Eh-eh dia ni.

Jungkit bahu. Malas mahu jawab. Iyalah, malas sebab malu. Malunya dia. Mana nak sorok muka lepas apa terjadi malam tadi dengan si suami. Nadratul Nisa’ gigit bibir. Entah apa magisnya si Maleq Rafie ni, sampai dia telah tergoda.

"Abang bagi nama nak? Yang ni Ali...yang tu Siti!"

Iskk...sibuk. Sibuk sampai semua nak tanya dan tahu. Ini ikan dari Tan Jie Kang. Mana boleh sebarangan ubah nama ikan hadiah dari lelaki pujaan hati. "Didilah. Yang tu Nini."

"Ohh..ada nama rupanya. Baru nak bagi nama." Garuk kepala. Maleq sengih malu.

"Nama kampung sungguh.Tak moden langsung." Nad mengusik. Menjeling Maleq.

"Eleh... Didi dan Nini tu lagi kampung. Nama kucing!"

"Ni ikanlah. Suka hati Nadlah nak bagi nama apa pun. Sibuk!"

"Berdosa cakap begitu dengan encik suami." Maleq terus bersuara. Hakikat. Dia kata aku ini sibuk? Amboi. Sedap-sedap mulut saja mengata kita sibuk.

Nad telan air liur. Dia menoleh memerhati Maleq yang sedang duduk di hujung katil. Beg-beg sudah bersedia. Nad sedang sibuk mengemas dan Maleq pula duduk tercongok memerhati cik isteri yang menyusun baju.

Bila melihat renungan Maleq macam mahu ditelannya diri, cepat-cepat dia kembali memandang beg.

"Errr..bukan Nad sengaja pun. Tercakap. Nad minta maaf ya."

"Nad,,,," Maleq rendahkan nada. Mata menyeluruhi tubuh isteri yang sedang duduk bersila melipat dan mengemaskan baju dalam begnya itu. Dia dah pesan dari semalam pun. Tapi lagi beberapa jam nak bertolak balik ke Cameron, barulah Nad cepat-cepat membuat dan mula bertugas melipat menyusun baju-bajunya.

"Iya..." Suara saja bergema tetapi mata yang sudah semakin mengantuk buat-buat pandang beg dan baju. Nad memerhati lagi si Didi dan Nini. Letaknya betul-betul di depan mata. Meja kecil jadi penyeri. Dari tadi, dia duduk bersila dan meski tangan mengemas, matanya lebih suka melihat gelagat Didi dan Nini.

"Ikan tu lebih penting ke dari abang? Kalau bercakap dengan abang ni, Nad tak boleh pandang abang betul-betul ke?”

Nad terus melipat baju. Tidak mampu menjawab. Apa lagi jawapan yang boleh dia beri kepada Maleq Rafie? “Errrr…boleh. Bukan tak boleh. Nad minta maaf ya.”

“Habis, kenapa tak nak pandang abang kat sini?”

Dia menoleh. Sekali lagi memandang Maleq di hujung sana.

Maleq melangkah lagi. Dia harus membiasakan Nad. Dia harus membiasakan Nad menghormatinya sebagai seorang suami. Beberapa saat, dia sudah duduk bersila depan Nad. Diangkat-angkat kening. “Hurmm…kenapa? Ada jawapan?”

Sengih. Jemari Nad terus tangkas melipat baju milik Maleq Rafie. Kemain berpunggah sungguh baju-bajunya. Ni cari baju ke, atau main treasure hunt cari barang tersembunyi? “Sebab kalau pandang Nad, rasa macam mata pemilik si Maleq Rafie tu nak ditelan-telannya sahaja Nadratul Nisa’.”

Heh. Boleh Nadratul Nisa’ bercakap begitu?

“Memang pun! Sebab comel sangat!”

Hahaha. Maleq ketawa berdekah-dekah. Habis menyakat, dia keluar cepat-cepat sebab Nad mula mencampakkan bantal comel yang ada di sisi.

Didi dan Nini terus riang berenang-renang.

:::tetttt:::


8 ulasan:

  1. sukanyer (sambil sengih 14juta) :D

    BalasPadam
  2. Kami pun redha jugak cik dihah

    BalasPadam
  3. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  4. iyalah...kena paksa pun, nad bukan tak tahu agama kan. jadi redha ajelah ya. kan ke maleq rafie tu dah jadi jalan untuk nad ke syurga? kenalah redha.... :-)

    BalasPadam
  5. angguk laju-laju...
    hehehe... ^_^

    BalasPadam
  6. Tanpa Nama5/9/13 21:03

    Saya merana kerana saya pernah melalui apa yg Nad rasa..

    BalasPadam